Hujung minggu buat warga kota Kuala Lumpur merupakan antara peluang keemasan yang sentiasa dinanti-nanti. Kesibukan dan tekanan rutin harian di kota yang sibuk tentunya membuatkan semua teruja menanti hujung minggu.
Ada yang akan pulang ke kampung halaman, keluar bandar, ke pantai dan banyak lagi. Buat anda yang Inginkan sesuatu tempat yang lebih mendekatkan anda dengan alam semulajadi, marilah berhujung minggu di air terjun, Taman Eko Rimba Kanching!
Lokasi
Taman Eko Rimba Kanching ini terletak di bahagian selatan Rawang. Dari Kuala Lumpur, lalu saja Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
Anda juga boleh mengambil laluan lain iaitu laluan dari Jalan Ipoh ke Bandar Baru Selayang, menuju ke Rawang. Selepas Selayang, pastikan anda perhatikan papan tanda Hutan Luput Kanching. Nak lebih mudah, gunakan saja aplikasi Waze atau Google maps.
Tarikan
Buat pengetahuan anda, Taman Eko Rimba Kanching ini merupakan sebuah taman eko yang dipenuhi dengan air terjun. Ada 7 tingkat air terjun di sini yang boleh anda pilih untuk mandi bersama keluarga.
Kesemua aras air terjun di sini mempunyai keunikan dan kecantikan sendiri. Sejurus masuk, pengunjung akan terus disajikan dengan pemandangan yang cukup cantik dan suasana yang istimewa. Ada sungai yang mengalir perlahan untuk anda dan anak-anak bermandi-manda.
Di sekeliling kawasan ini pula, kelihatan kerusi-kerusi batu dan gazebo yang tersedia untuk kegunaan anda. Ada juga jambatan kecil yang merentasi sungai ini. Ramai yang suka bergambar di sini. Kawasan ini memang menjadi spot berkelah kegemaran untuk kaum keluarga.
Naik sedikit dari kawasan ini, anda akan melalui kawasan hutan simpan yang menghijau untuk tiba ke kawasan air terjun yang pertama. Sebelum sampai ke air terjun setinggi 4 hingga 5 meter ini, ada aliran air yang mengalir lembut, di sini memang seperti gelongsor air yang natural untuk si kecil.
Dari air terjun yang pertama ini hingga yang ke tujuh, semuanya ada kelainan tersendiri. Ada yang mengalir deras ke bawah, ada yang mengalir dengan cukup lembut di celahan batu-batu, ada yang tinggi dan besar dan ada yang kecil. Terpulang kepada anda untuk mendaki sejauh mana.
Laluan konkrit untuk mendaki terhenti di kawasan air terjun aras ke 4. Dari sink, anda perlu melalui laluan tanah bersebelahan dengan air terjun ke 4 ini, tidak jauh dari situ anda akan bertemu dengan air terjun ke 5.
Air terjun ini agak deras menjunam ke bawah, menjadikan ia tempat kegemaran bagi pengunjung untuk mandi di bawah pancutan air tersebut. Bersebelahan dengan air terjun ke 5 ini, anda akan jumpa laluan yang akan membawa anda ke air terjun aras ke 6.
Air terjun ini pula sangat tinggi. Laluan ini akan terhenti di air terjun ke 7. Jika anda memerlukan perjalanan dari air terjun ke 7 ini, anda akan sampai ke puncak dan dapat melihat sumber air terjun-air terjun di bawah datang dari 2 sumber air kecil yang mengalir perlahan. Menarik, kan? Memang terasa teringin sampai ke puncak. Namun, pastikan anda menjaga kesihatan dan keselamatan terdahulu.
Camping/Berkemah
Buat golongan yang sukakan aktiviti outdoor dan ingin berkemah di sini, kawasan berkemah terletak di sekitar air terjun aras ke 2. Memang akan rasa tenang dan damai apabila berkemah di sini.
Kawasan menghijau ditemani bunyi air terjun yang kuat dan nyanyian burung-burung, pasti membuatkan anda lupa akan tekanan dan kesibukan hidupan harian. Jangan lupa membawa semua peralatan berkemah dan BBQ untuk anda nikmati pengalaman berkemah yang lengkap. Selain itu, pastikan anda menjaga kebersihan sekitar campsite ini. Peliharalah alam semulajadi agar ia sentiasa dapat digunakan.
Kemudahan
Selain dari kawasan tempat letak kereta yang luas dan banyak, Taman Eko Rimba Kanching ini tersedia dengan pelbagai kemudahan yang tentu membuatkan waktu riadah anda lebih mudah. Ini termasuk:
- Tandas
- Bilik persalinan
- Surau
- Taman permainan
- Gerai makan
- Gazebo
Tips
Jika anda merancang untuk ke sini nanti, Mari kami kongsikan sedikit tips untuk memudahkan dan memeriahkan lawatan anda ke sini.
- Sungai dan perairan akan naik dengan mendadak ketika hujan, jadi pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan nanti.
- Pastikan anda menjaga kawasan berkelah dan berkemah anda dari monyet-monyet yang tinggal di sini. Mereka ni agak nakal ye.
- Pastikan anda berpakaian sesuai untuk ke sini. Walaupun kawasan Taman Eko Rimba Kanching ini merupakan taman air terjun yang terjaga, ia masih kekal sebagai alam semulajadi yang asal. Jadi pakaian dan kasut yang sesuai perlu dipakai untuk memastikan anda sentiasa selamat.
- Jaga kebersihan kawasan yang anda pilih untuk berkemah atau berkelah. Pastikan semua sampah-sampah dan bekas-bekas makanan dan minuman yang anda nikmati dibuang di tempat yang betul.
- Jaga penjarakkan sosial. Walaupun kita sudah tiba ke fasa endemik, kesihatan dan keselamatan masing-masing Masih perlu dijaga. Jadi elakkan berkumpul terlalu ramai atau di kawasan yang penuh dan sesak.
Harga Tiket & Waktu Operasi
Taman Eko Rimba Kanching ini dibuka setiap hari dari 8am ke 5pm. Harga tiket adalah seperti berikut:
Isnin-Jumaat | Warganegara
RM2 | Warga Asing
RM8 |
Sabtu-Ahad & Cuti Umum | Warganegara
RM3 | Warga Asing
RM8 |
Lain-lain:
- Sewa gazebo: RM250 sehari
- Tempat letak kereta:
Kereta | RM5 |
Motosikal | RM2 |
Bus | RM15 |
- Rakaman filem: RM1,000
Semua bayaran dan pembelian tiket boleh dilakukan di kaunter tiket di pintu masuk dari tempat letak kereta.
Jadi, pastikan anda mengambil masa untuk ke Taman Eko Rimba Kanching ini. Bukan jauh pun, Rawang saja. Kami pasti anda dan keluarga bukan sahaja dapat mencipta memori yang indah bersama, anda juga akan dapat menghilangkan tekanan dan nikmati keindahan alam semulajadi.
No. Telefon: 03-6091 6131
Alamat: Templer Park, 48000 Rawang, Selangor
Baca: Taman Saujana Hijau | Rasa Seperti Berada di Luar Negara