Taman Wetland Putrajaya | Taman Rekreasi Sekeluarga Untuk Berhujung Minggu

Kolam Dengan Angsa Liar Di Taman Wetlands Putrajaya
Sumber: hfcheah

Bagi memastikan warga kota kita sentiasa menjaga kesihatan dan mengekalkan gaya hidup yang aktif, banyak taman-taman rekreasi disediakan di sekitar Lembah Klang.

Namun, jarang yang sama dengan Taman Wetland Putrajaya. Ia merupakan sebuah taman rekreasi sekeluarga untuk berhujung minggu atau luangkan masa bersama di waktu petang. Mari kita lihat, apa yang ada di sana.

Lokasi

Taman Wetland Putrajaya terletak di Presint 13, Putrajaya. Dengan keluasan sebesar 197 hektar, Taman ini dahulunya merupakan sebuah kawasan ladang kelapa sawit.

Para pemaju dan pembangun Putrajaya telah memilih untuk membina sebuah taman wetland bagi membantu mereka mewujudkan sebuah perbandaran yang dibina sekitar beberapa kawasan tasik.

Pusat Penerangan Taman Wetlands Putrajaya
Sumber: bromptongirlmalaysia

Apakah itu wetlands? Wetlands merupakan kawasan bertanah lembap. Taman Wetland di Putrajaya ini diwujudkan atas beberapa faktor.

Pertama sekali, ia menjadi sistem penapisan alami yang membantu menapis sedimen, nutrisi dan pencemaran dari Sungai Chua dan Sunga Bisa yang menjadi sumber utama Tasik Putrajaya.

Pintu Gerbang Masuk Taman Wetland Putrajaya
Sumber: Perbadanan Putrajaya

Mereka memilih untuk menggunakan penapisan alami dan tidak bergantung kepada sistem penapis buatan manusia. Kedua, Taman Wetland ini juga membantu mengelakkan banjir bagi kotaraya Putrajaya.

Ketiga, Taman Wetland ini berfungsi sebagai habitat alami bagi hidupan-hidupan lain. Akhir sekali, Taman Wetland Putrajaya juga menjadi “paru-paru hijau” utama buat penduduk Putrajaya yang membantu meningkatkan tahap oksigen dan tapisan udara di sini. Mari kita lihat, apa yang ada di sini!

Tarikan & Aktiviti

Sebagai sebuah taman rekreasi, Taman Wetland Putrajaya telah dibina dengan beberapa tarikan dan fasiliti yang akan membuatkan pengunjung lebih selesa, seronok dan mudah. Mari kami kongsikan satu persatu.

Jogging & Berbasikal

Jambatan Kayu Untuk Jogging Atau Berbasikal
Sumber: sitijamila

Antara aktiviti dan fasiliti wajib yang akan ada di taman-taman rekreasi ialah trek jogging dan berbasikal.

Aktiviti senaman yang sihat ini bukan sahaja membantu menguatkan jantung dan badan, ia juga antara aktiviti yang membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Laluan Berbasikal Yang Luas & Selamat Sesuai Untuk Kanak-kanak
Sumber: @tamanwetlandputrajaya

Jika anda tidak mempunyai basikal sendiri, pihak taman ada menyediakan perkhidmatan sewa basikal di sini. Jangan lupa membawa botol minuman untuk kekalkan hidrasi sepanjang berjogging atau berbasikal.

Pusat Interpretasi Alam

Pusat Interpretasi Alam di sini di bina untuk mendidik masyarakat tentang fungsi dan kegunaan wetlands. Ia juga boleh dianggap sebagai sebuah muzium kecil yang menceritakan tentang pembinaan wetlands ini.

Ia juga memberi sedikit informasi tentang haiwan-haiwan yang menjadikan wetlands sebagai habitat, dan jenis-jenis tumbuhan yang tumbuh di wetlands ini.

Menara Tinjau

Buat anda yang sukakan fotografi atau ingin mencari secebis ketenangan, jangan lepaskan peluang untuk mendaki naik menara tinjau yang mereka sediakan di sini.

Menara Tinjau Di Taman Wetland
Sumber: @tamanwetlandputrajaya

Ia bukan sahaja memberi pemandangan Taman Wetlands yang cantik, ia juga memberi pemandangan sekitar Putrajaya.

Dari sudut ini, anda boleh melihat dan menghasilkan gambar-gambar alam semulajadi dan kotaraya yang cukup istimewa.

Tasik Flamingo

Si pencinta burung perlu mengambil masa untuk beriadah atau berkelah di tebing tasik Flamingo.

Di sini, terdapat pelbagai jenis burung-burung dan ikan-ikan yang hidup bebas, datang dan pergi.

Aktiviti Memberi Makan Haiwan Tasik
Sumber: @tamanwetlandputrajaya

Tentunya Burung Flamingo adalah burung tarikan utama yang membuatkan para pengunjung, terutama sekali kanak-kanak cukup teruja.

Tasik Flaminggo Taman Wetlands
Sumber: @tamanwetlandputrajaya

Namun, ada juga burung-burung lain yang sering menyinggah. Ini termasuk burung Cattle Egrets, Night Heron, Purple Heron, Black Neck Heron, Grey Heron, Green Heron, Painted Storks dan banyak lagi.

Mereka sedia menanti dan bertenggek di kawasan tasik dengan harapan dapat mendapat ikan di tasik. Suasana ini membangkitkan rasa tenang dan seronok sambil anda berkelah dan beriadah bersama keluarga.

Bamboo Forest

Buayan Bertema Sarang Burung Di Tepi Tasik
Sumber: calvin.lsbong

Ada sebuah laluan yang menuju ke Pusat Interpretasi Alam yang akan menembusi sebuah hutan pokok bamboo.

Hutan Bamboo ini cukup cantik dan tampak zen. Kadang kala, anda dapat melihat beberapa ekor monyet yang bergayut di sekitar hutan ini.

Pusat Rekreasi Air

Pusat Rekreasi sukan air ini terletak diseberang jambatan, jadi anda perlu melalui jambatan untuk ke kawasan bertentangan.

Keindahan Tasik Di Taman Wetland Putrajaya
Sumber: hfcheah

Di sini, mereka menyediakan beberapa aktiviti air seperti kayak, canoe, paddle boat dan rowing boat. Tentu kanak-kanak akan rasa cukup seronok bermain di tasik.

Memancing

Bagi si kaki joran, jangan lupa membawa sekali peralatan memancing ketika berkunjung ke Taman Wetland ini.

Anda dibenarkan melakukan aktiviti memancing di tasik utama sahaja ya, bukan di sel-sel wetlands yang terjaga.

BBQ

Kawasan BBQ Untuk Kegunaan Awam
Sumber: bromptongirlmalaysia

Percaya atau tidak, anda boleh melakukan aktiviti BBQ di Taman Wetland Putrajaya ini. Ia mungkin bukan sesuatu yang konvensional tetapi ia tentu seronok.

Ini antara idea best untuk anda dan keluarga serta rakan-rakan lakukan bersama. Berkelah sambil BBQ di taman tepi tasik.

Sewa Padang

Buat pengetahuan anda, padang luas yang tersedia di taman ini boleh disewa untuk apa-apa majlis.

Malah, ada yang menyewa kawasan Taman Wetland ini untuk upacara majlis perkahwinan tau. Tentu romantis dan istimewa sekali. 

Fasiliti

Seperti biasa, fasiliti adalah antara faktor utama dan penting di setiap pusat tarikan dan taman rekreasi.

Di Taman Wetland Putrajaya ini, mereka turut utamakan kemudahan dan keselesaan pengunjung. Kemudahan asas telah disediakan untuk gunaan semua.

Lawatan berpandu untuk menerokai tasik
Sumber: @tamanwetlandputrajaya

Ini termasuk:

  • Tandas Awam
  • Surau
  • Tempat Letak Kereta
  • Gazebo
  • Sewa Basikal
  • Aktiviti Sukan Air

Harga Tiket & Waktu Operasi

Kemasukan adalah percuma untuk Taman Wetland Putrajaya. Namun, sewaan alatan dan aktiviti sukan air akan dikenakan cas berasingan.

Taman Putrajaya Wetland beroperasi dari jam 7am hingga 7pm setiap hari kecuali pada hari Isnin, hari mereka tutup.

Itu dia serba sedikit tentang Taman Wetland Putrajaya. Pastikan anda ambil peluang dan luangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan di sini ketika anda berada di sekitar Putrajaya.

Kami pasti, taman ini akan membuatkan anda rasa seperti berada di Central Park, New York.

Media Sosial: Facebook

No. Telefon: 03-8887 7774

Laman Web: ppj.com.my

Waktu Operasi: Setiap Hari (07:00am-07:00pm)

Alamat: Taman Wetland, Presint 13, 62300 Putrajaya, Malaysia