5 Tempat Ice Skating Menarik Di Malaysia Khas Untuk Penggemar Sukan Luncur Ais

Sukan meluncur ais sememangnya sesuatu yang tidak asing bagi warga-warga penduduk Barat dan Eropah. Namun, bagi kita yang duduk di negara beriklim khatulistiwa ini, sukan berunsur ais atau salju ini sesuatu yang asing.

Walaupun sudah lama bertapak di Malaysia, tidak semua pernah mencuba aktiviti ini. Jika anda ingin mencuba atau membawa anak-anak mencuba aktiviti meluncur ais atau ice skating, cubalah antara 5 tempat Ice Skating menarik di Malaysia ini.

5. Sunway Pyramid Ice, Sunway Pyramid

Sunway Pyramid Ice, Sunway Pyramid
Sumber: NG SENG (J)

Merupakan pusat meluncur ais yang pertama di Malaysia, Sunway Pyramid Ice bermula operasi sejak tahun 1997 lagi. Ya, memang sudah lama. Malah, ia merupakan ice skating rink yang paling popular di Malaysia. Ramai yang pernah berkunjung ke sini walau sekali terutamanya waktu zaman kanak-kanak.

Kini, golongan-golongan ini pula membawa anak-anak atau cucu-cucu mereka. Sudah beroperasi lebih 2 dekad, tentulah pelbagai generasi kan. Di sini, anda bukan sahaja boleh mendapatkan sewaan kasut meluncur ais dan membeli stokin, sarung tangan dan lain-lain, ada juga para instructor yang sedia memberi tunjuk ajar, menjaga keselamatan dan membantu para pengunjung.

Alamat: LG3 Sunway Pyramid, Jalan PJS 11/15, Bandar Sunway, 47500 Petaling Jaya, Selangor

Waktu Operasi: 10am-7.30pm (setiap hari)


4. Icescape, iOi City Mall

Icescape, iOi City Mall
Sumber: ameer haqeem

Kalau anda mahu mencuba ice skating rink bersaiz Olympic, datang ke Icescape di iOi City Mall! Mula beroperasi pada tahun 2014, pusat meluncur ais ini bukan sahaja besar dan luas, ia juga lengkap dengan pemandangan hijau di sebelah luar yang boleh dinikmati menerusi tingkap yang melitupi ice skating rink ini. Jadi, sambil anda meluncur ais, bolehlah nikmati pemandangan indah.

Buat pengetahuan anda, kerana saiznya yang sebesar gelanggang meluncur ais sukan Olympic pusat ini juga sering dijadikan tempat penganjuran pelbagai persembahan dan pertandingan. Mereka juga menyediakan kelas untuk membantu dan menggalakkan para belia menyertai sukan luncur ais. Anda atau anak-anak boleh mengikuti kelas mengikut kesesuaian dan tahap kebolehan mereka.

Alamat: AT-4, iOi City Mall, iOi Resort, 62502 Putrajaya

Waktu Operasi: 10am-10pm (setiap hari)


3. Blue Ice Skating Rink, 163 Retail Park

Blue Ice Skating Rink, 163 Retail Park
Sumber: lv y

Untuk warga Kuala Lumpur yang sedang mencari tempat meluncur ais yang baru, boleh datang ke Blue Ice Skating Rink di 163 Retail Park, Mont Kiara. Walaupun ianya baru dan bersaiz lebih kecil dari pusat-pusat meluncur ais yang lain, ia tidak kurang hebat dan saiznya cukup untuk golongan peluncur ais yang berpengalaman untuk berlatih atau meluncur secara kasual.

Blue Ice Skating Rink juga antara jenama pusat meluncur ais yang sudah tidak asing lagi jadi, anda tentu puas hati dengan kualiti rink di sini. Malah, dinding sekitar pusat meluncur ais ini juga dihias dengan penuh trendy. Papan tanda berlampu neon seeing menjadi spot bergambar untuk gambar-gambar insta-worthy ketika meluncur ais di sini.

Alamat: 3F-03 , 163 Retail Park, 8, Jalan Kiara, Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: 10am-10pm (setiap hari)


2. Blue Ice Skating Rink, KL East Mall

Blue Ice Skating Rink, KL East Mall
Sumber: Arif Hakim NH

Satu lagi cawangan Blue Ice Skating Rink di Kuala Lumpur terletak di KL East Mall. KL East Mall terletak di Taman Melawati dan rink ini sebenarnya dibuka dahulu dari cawangannya yang berada di Mont Kiara. Selain itu, cawangan ini juga menawarkan rink yang lebih besar. Jadi, ia cukup sesuai untuk anda kunjungi secara berkumpulan, tidak kira bersama keluarga ataupun rakan-rakan.

Anda boleh meluncur ais untuk suka-suka atau secara kasual, tetapi jika anda mahu, anda juga boleh menyertai program beginner untuk sukan figure skating atau short-track speedskating. Menarik, kan? Buat mereka yang berkunjung sebagai sekadar peneman, jangan risau. Rink ini dikelilingi dengan pelbagai restoran dan kafe. Jadi, anda boleh saja meninjau dari restoran atau kafe pilihan sambil menjamu selera!

Alamat: G1-21, Ground Floor 1, KL East Mall, 823, Jalan Lingkaran Tengah 2, 53100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: 10am-10pm (setiap hari)


1. Blue Ice Skating Rink, Paradigm Mall Johor Bahru

Blue Ice Skating Rink, Paradigm Mall Johor Bahru
Sumber: Mira Haniza

Cawangan terakhir Blue Ice Skating Rink membawa tuah kepada warga Johor Bahru, kerana ia terletak di Paradigm Mall Johor Bahru! Dibuka pada tahun 2017, cawangan ini sebenarnya adalah cawangan pertama Blue Ice Skating Rink. Ia juga merupakan satu-satunya pusat meluncur ais yang ada di Johor Bahru.

Jika anda ingin beriadah di hujung minggu atau mempunyai kelapangan, datanglah ke Blue Ice Skating Rink di Paradigm Mall Johor Bahru ini. Bukan sahaja dapat melakukan aktiviti sihat, malah mereka turut menawarkan kelas-kelas untuk sukan luncur ais seperti figure skating, speedskating dan yang terbaru di sini, ice hockey! Hanya cawangan Johor Bahru sahaja yang menawarkan kelas sukan hoki ais ini tau! Untung orang JB.

Alamat: 3F-30, Paradigm Mall, Jalan Bertingkat Skudai, Johor Bahru, 81200 Johor

Waktu Operasi: 10am-10pm (setiap hari)


Itu dia antara 5 pusat meluncur ais yang mesti anda kunjungi terutama sekali pada musim cuti sekolah untuk meluangkan masa bersama anak-anak, melakukan aktiviti yang sihat. Malah, diharapkan juga ia dapat memupuk bakat semulajadi yang mungkin ada pada anda dan keluarga anda. Selamat mencuba!

Baca: 25 Taman Tema Air Di Malaysia Yang Menarik

5/5 - (1 vote)