Tiba saja musim cuti persekolahan tentunya anda dan keluarga ada merancang untuk pergi bercuti, meluangkan masa bersama setelah sekian lama sibuk dengan komitmen dan tugasan masing-masing.
Cameron Highland sering kali menjadi lokasi pilihan kerana suasana persekitarannya yang sejuk ditambah pula dengan pemandangan kehijauan yang indah, pasti membuatkan anda sekeluarga lupa sebentar dengan kesibukan kota.
Persoalannya kini, selain daripada banyak lokasi tarikan pelancong untuk dikunjungi, bagaimana pula dengan tempat makan menarik? Di sini kami kongsikan tempat makan menarik di Cameron Highlands yang wajib singgah sekiranya berpeluang berkunjung ke sini.
Kandungan
- 25. Strawberry Cottage (Cameron Square)
- 24. Nolina Restaurant
- 23. Pizzarella
- 22. BOH Sungai Palas Tea Centre
- 21. Highland Steamboat Cheese & Grill
- 20. Ferm Nyonya Restaurant (Halal)
- 19. Glory 78 Steamboat Snack Corner
- 18. Jim Thompson Tea Room
- 17. Cameron Bharat Tea Valley
- 16. The Lord’s Café
- 15. Al Raudhah Arabian Food
- 14. Nik Ikan Bakar 2
- 13. Anjer’s Corner Shellout
- 12. Orchid Food Court Tanah Rata
- 11. Rasa Sayang Ya Mal Al Sham Cafe
- 10. Restoran Taman Apple : Steamboat & Grill Buffet
- 9. Pak Leh Chicken Rice
- 8. Stone Valley Steamboat and Grill
- 7. Nasi Kukus Cameron Highland Tanah Rata
- 6. Restoran Bunda “Ayat Penyet Istimewa”
- 5. Tiny Boutique Habitat Café
- 4. Mr Aisu Ice Cream Café
- 3. YZ Strawberry Farm & Café
- 2. Pak Nil’s BBQ & Grill
- 1. 200 Seeds Café (Abang Strawberry)
25. Strawberry Cottage (Cameron Square)

Strawberry Cottage adalah sebuah kafe moden yang terletak di dalam shopping mall Cameron Square. Apa yang menjadikan kafe ini menarik adalah kerana tawaran kek-keknya yang sungguh menyelerakan dan yang penting unik daripada yang biasa kita dengar.
Mana tak uniknya, antara kek yang ada adalah seperti kek cendol dan kek nasi lemak berkeju. Tak rasa teringin ke nak cuba? Review yang diterima untuk kek yang rare ini juga adalah rata-ratanya positif. Selain kek ini, kek lain yang ada adalah seperti kek Oreo, Matcha Tiramusu, Chocolate Belgium, Chocolate Moist dan sebagainya. Sambil makan, anda boleh membasahkan tekak dengan minuman seperti Strawberry Tea atau Vanilla Latte.

Tidak terhad dengan kek sahaja, ada juga menu lain yang boleh menjadi pemanis mulut seperti ais krim homemade dan biskut. Lengkap dengan wifi percuma, anda boleh menikmati kesemua hidangan ini sambil melayari internet atau menyelesaikan kerja, suasana kedainya pun selesa dan cukup santai, tak rugi datang untuk meluangkan waktu petang di sini.
24. Nolina Restaurant

Nikmati pelbagai jenis hidangan tempatan yang menyelerakan dalam harga yang cukup berpatutan di Nolina Restaurant. Restoran yang ditubuhkan pada tahun 2014 ini sungguh selesa, tahap kebersihannya juga sangat memuaskan hati, menjadikan ia lokasi santapan yang sesuai untuk disinggahi bersama keluarga sebelum bergerak melawat pelbagai tarikan yang ada di sekitar Kea Farm.
Restoran ini menghidangkan pelbagai jenis hidangan untuk sarapan pagi dan juga tengahari. Sekiranya anda datang pada waktu pagi, menu yang ada adalah seperti nasi kerabu, nasi lemak, nasi dagang, nasi goreng kampung dan banyak lagi yang boleh dinikmati bersama dengan ayam goreng berempah yang disediakan panas-panas dari dapur. Bukan itu sahaja, roti canai pun ada! Dengar cerita, roti canai di kedai ni tak kurang enaknya.

Mengenai menu pada waktu petang pula, terdapat hidangan seperti nasi ayam dan buffet nasi campur yang lengkap dengan pelbagai jenis ulam-ulaman yang segar.
23. Pizzarella

Tiada yang lebih mengasyikkan daripada pengalaman menikmati pizza panas di dalam cuaca yang dingin dan berangin di Cameron Highlands. Apa sahaja yang anda order seperti pizza pepperoni, pizza nenas atau bermacam lagi masakan western lain, segalanya dihidangkan fresh dari dapur dengan menggunakan ramuan terbaik.
Restoran yang bernama Pizzarella ini mendapat banyak pujian daripada pelanggan disebabkan keenakan rasa hidangan yang ada, bukan sahaja kerana pizzanya tapi juga kerana banyak lagi hidangan lain seperti chicken chop, spaghetti aglio olio, mushroom soup dan banyak lagi.

Sebagai pencuci mulut pula, anda boleh mencuba English scones, European Sourdough sandwiches, French Creme Brulee, Italian Panna Cotta, dan sebagainya.
22. BOH Sungai Palas Tea Centre

Kalau bercuti ke Cameron Highlands, BOH Sungai Palas Tea Centre adalah salah satu ladang teh yang wajib anda jejaki bersama keluarga. Tea Centre ini menempatkan bukan sahaja ladang tapi juga kafe, galeri, kilang dan kedai jualan barangan cenderamata.
Tiba di sini, anda boleh meletakkan kereta di tapak terbuka yang disediakan dan terus menuju ke kafe atau Tea Garden. Dari kafe ini, anda dapat menikmati pemandangan yang menakjubkan sekitar ladang yang luas penuh dengan kehijauan.
Dalam cuaca yang dingin sejuk, terhidang pula teh panas dan kek yang empuk di depan mata, ini bakal menjadi salah satu memori yang dapat mendamaikan jiwa bila diingat kembali.

Mengenai makanan yang ada, cukup pelbagai dan sesuai untuk dinikmati sambil bersantai dan menikmati kesegaran udara, antara yang ditawarkan adalah sandwich, pie, pelbagai jenis roti, kek pisang dan sebagainya. Tempat makan yang disediakan terbahagi kepada dua iaitu indoor dan outdoor. Pilih sahaja mana yang selesa.
Sebelum pulang, jangan lepaskan peluang untuk melawat kilang teh. Dah bertahun-tahun minum teh, mesti teringin nak lihat sendiri macam mana teh ini diproses terus dari ladangkan?
21. Highland Steamboat Cheese & Grill

Ditubuhkan pada tahun 2018, Highland Steamboat Cheese & Grill adalah sebuah restoran yang lapang dan luas, selesa untuk dilawati bersama keluarga. Mengetengahkan konsep steamboat buffet, anda boleh makan sepuas hati sehingga kenyang dalam harga yang cukup berpatutan.
Terletak di kawasan perumahan Cameron Jaya, restoran ini menyediakan pilihan tempat duduk outdoor di mana anda boleh menikmati hidangan sambil menghirup udara luar yang segar.
Pengalaman menjadi bertambah sempurna sebaik menghirup sup tom yam panas yang disediakan untuk dinikmati bersama steamboat. Bagi memenuhkan meja makan, anda boleh memilih daripada aneka hidangan yang ada seperti pelbagai jenis perapan (ayam, kambing, daging), sayur-sayuran yang segar, pelbagai jenis makanan laut seperti udang, kepah, lala, ketam, pelbagai jenis bebola, nasi goreng, mihun goreng dan sebagainya.

Kesemua ini boleh dinikmati dengan pelbagai variasi kuah atau sos yang ditawarkan. Campur adukkan segalanya mengikut selera dan kreativiti anda. Yang penting segalanya sedap dan secukup rasa!
Bagi yang suka keju, dengan sedikit caj tambahan anda akan diberikan keju mozzarella untuk dinikmati bersama hidangan.
Untuk pencuci mulutnya pula, terdapat pelbagai pilihan ais krim, wafel, buah strawberi yang disertakan dengan cicahan coklat, air float gergasi, bertih jagung dan banyak lagi.
Bukan sahaja dapat memuaskan deria rasa, tapi anda sekeluarga juga boleh bergambar sepuas hati dengan berlatarbelakangkan dekorasi insta-worthy yang menjadi dekorasi sekitar restoran dan ini termasuklah sudut nurseri strawberi yang terdapat di sini.
20. Ferm Nyonya Restaurant (Halal)

Terletak di Tanah Rata, Ferm Nyonya Restaurant menawarkan pelbagai jenis pilihan masakan barat, Nyonya, Cina dan Melayu.
Antara hidangan yang ditawarkan adalah seperti rendang, tom yam bihun, ayam masak lemon, asam seafood, kacang sambal, sotong petai dan sebagainya. Untuk masakan Nyonya, mereka menggunakan pelbagai jenis bahan masakan resepi tradisional seperti buah pala, bunga lawang, serai dan halia.

Bagi yang tengah bersemangat berdiet, kedai makan ini boleh dijadikan salah satu pilihan utama kerana terdapat pelbagai pilihan masakan bersayur yang enak untuk dicuba.
19. Glory 78 Steamboat Snack Corner

Seringkali meriah dengan kedatangan pelanggan namun begitu suasana restoran Glory 78 Steamboat Snack Corner tetap selesa untuk anda menikmati hidangan dalam penuh keasyikan kerana kelapangan ruangnya yang berkonsep terbuka.
Dalam kesejukan udara Cameron, anda dapat menikmati steamboat yang terhidang panas-panas, memang syok! Bagi yang sukakan kepedasan, cukup terasa sensasi kepedasannya di lidah. Caj yang dikenakan untuk nikmat hidangan yang sesempurna ini hanyalah dari RM26 sekepala.

Hidangan lain yang disediakan adalah seperti Briyani Buluh atau Bamboo Briyani yang merupakan salah satu menu signature di restoran ini. Nasi yang dimasak di dalam buluh ini memiliki aroma yang cukup menggoda jiwa. Dimakan pula dengan daging yang turut dimasak di dalam buluh, padat dengan rasa, tak cukup sekali cuba. Selain ini, mereka turut menawarkan makanan barat dan juga pelbagai jenis pencuci mulut.
Hidangannya boleh dinikmati bersama dengan pelbagai pilihan minuman yang sedap terutama sekali jus limau yang menyegarkan tekak. Minuman menarik lain yang ada adalah seperti hot chocolate dan air strawberi.
18. Jim Thompson Tea Room

Ingin merasai pengalaman yang penuh eksklusif sewaktu berada di Cameron? Jim Thompson Tea Room adalah lokasi yang tepat untuk anda merasainya. Suasana ruang santapan yang elegan ini ditawarkan oleh Cameron Highlands Resort yang boleh dilawati sesiapa sahaja yang tak lokek untuk mengeluarkan belanja lebih demi mengukir memori yang indah.
Sambil meluangkan waktu makan tengah hari di tea room ini, telinga anda akan dihiburkan dengan alunan instrumental piano yang dimainkan secara live. Sambil melihat suasana luar dari atas bukit yang menyajikan pemandangan penuh kehijauan dan padang golf, anda boleh menghirup air teh panas yang akan direfill secara percuma sepanjang waktu anda menikmati ketenangan di sini.

Tea room yang elegan namun penuh santai ini dihiasi dengan kerusi-kerusi rotan yang selesa. Makanan bagi setiap tetamu dihidangkan di atas susunan pinggan tiga tingkat yang dipenuhi dengan aneka pilihan makanan enak seperti scones, strawberi bersalut coklat, sandwich, brownies dan sebagainya. Hidangan apa yang bakal diberikan kepada anda adalah bergantung kepada pilihan peribadi chef pada hari kunjungan.
17. Cameron Bharat Tea Valley

Sebut sahaja Cameron Highland, tidak sah sekiranya tidak melawat ladang teh dan kebun strawberinya yang menjadi tarikan utama pelancong.
Mana lagi kan nak cari kawasan yang sesuai dengan penanaman tanaman berhawa sejuk seperti ini kalau bukan disini? Jadi buat anda dan keluarga yang mengidamkan sarapan pagi dan minum petang ala ‘English Breakfast’ ditemani pemandangan saujana mata memandang, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Cameron Bharat Tea Valley ini.

16. The Lord’s Café

Kalau anda mengidamkan scone terbaik yang lembut dan sedap, pasti anda akan disyorkan untuk mencubanya di The Lord’s Café ini. Kepakaran mereka membuat scone sering menjadi bualan penduduk sekitar juga pelancong yang pernah berkunjung kesini.
Scone dibuat segar setiap hari dan didatangkan dalam pelbagai perisa seperti Strawberry Fruity Scone dan Original Cream Scone. Selain scone, terdapat juga kek serta manisan yang disediakan dan kek terlaris disini ialah Straweberry Cheesecake dan Banana Chocolate Cake. Buat yang sukakan sesuatu yang savory , mereka turut menjual Chicken Pie.

Menariknya, kafe ini berkonsepkan homey dan vintage, saiznya sederhana berlatar belakangkan kayu dan koleksi susunan buku, pasti membuatkan suasana minum petang atau sarapan pagi anda lebih santai ditemani secawan teh asli dan manisan yang sedap.
15. Al Raudhah Arabian Food

Berita baik buat peminat masakan dari timur tengah yang tetap mahukan masakan arab sebagai hidangan utama mereka, singgahlah di Al Raudhah Arabian Food ini.

Cukup terkenal dengan masakan khabsah mereka, anda juga boleh memesan kebab atau shawarma yang dipanggang panas dan segar sekiranya menginginkan sesuatu yang lebih ringan tetapi mengenyangkan. Pasti sempurna dimakan bersama Arabian Tea mereka yang authentic. Rugi kalau tak cuba.
14. Nik Ikan Bakar 2

Sekiranya anda teringin menjamu hidangan panas dan masakan ala Thai ketika berkunjung ke Cameron Highlands ini, anda wajib singgah di Restoran Nik Ikan Bakar 2. Rata-rata pelanggan mereka cukup menggemari masakan Tom Yam dan Sup, selain ikan siakap kukus atau ikan siakap 3 rasa yang dimasak menggunakan resipi asli dari Thailand.
Apa yang lebih menarik, ikan bakar segar turut dijual disini dan dimakan bersama kuah air asam yang tentunya membangkitkan selera sesiapa saja yang menjamunya.

Pilihan set steamboat juga ada bermula dengan harga serendah RM30 dan anda boleh makan sepuasnya.
Bukan itu sahaja bagi yang ingin mencuba sedikit kelainan, boleh cuba pesan hidangan ala western yang bersaiz besar dan terjamin kualitinya. Tunggu apa lagi? Bawa keluarga anda makan malam bersama di sini!
13. Anjer’s Corner Shellout

Hidangan shellout ini sememangnya menjadi satu fenomena yang sangat digemari oleh masyarakat Malaysia, jadi Anjer’s Corner di Cameron Highlands ini juga turut tidak ketinggalan untuk menjamu pengunjungnya dengan hidangan favorite ini.

Shellout disini dikatakan antara yang terbaik kerana kuahnya dimasak pekat, terasa masam dan manisnya serta seafood yang segar dan besar. Makanan lain yang juga popular seperti burger ala tower yang bersaiz XL dan dihidangkan bersama sos banjir tentunya cukup mengenyangkan dan berbaloi. Rugi kalau tak cuba!
12. Orchid Food Court Tanah Rata

Untuk mereka yang ingin mengisi perut dengan hidangan tempatan favorite rakyat Malaysia, Orchid Food Court ini merupakan pilihan yang tepat.
Pelbagai jenis makanan dan lauk-pauk boleh anda pilih dan berkongsi bersama yang tersayang bermula daripada sarapan pagi hinggalah ke hidangan makan malam.

Anda boleh memesan nasi ayam, nasi berlauk, masakan india, masakan panas ala Thai, steamboat dan bermacam lagi. Harga yang ditawarkan juga tidaklah mahal dan setanding dengan kualiti makanan yang disajikan. Pasti memenuhi selera anda sekeluarga.
11. Rasa Sayang Ya Mal Al Sham Cafe

Satu lagi tempat makan menarik untuk anda terjah sekiranya anda inginkan makanan araba yang sedap tetapi murah dengan variasi jenis makanan. Signature dish mereka disini tentunya masakan khabsah, mandy, shawarma, kebab dan manisan arab yang tentunya dimasak khas menggunakan resipi authentic orang Arab oleh chef mereka yang profesional.

Saiz hidangannya yang besar dengan harga yang berpatutan membolehkan anda berkongsi hidangan bersama keluarga. Konsep restoran ini juga banyak bertemakan hiasan masyarakat Timur Tengah, mempamerkan kebudayaan dan tradisi mereka, pasti dapat memberikan keseronokan buat anda sekeluarga menjamu selera ditemani hidangan lazat dan mengenyangkan.
10. Restoran Taman Apple : Steamboat & Grill Buffet

Setelah penat menerokai keindahan dan merasai pengalaman melakukan pelbagai aktiviti di ladang strawberi, apa kata anda singgah di sini untuk menjamu selera bersama ahli keluarga. Restoran ini terkenal dengan hidangan steamboatnya yang sungguh menyelerakan.
Terdapat dua jenis pilihan sup sama ada tomyam ataupun sup ayam dimasak bersama pelbagai jenis bahan seafood yang segar. Bukan itu sahaja, bagi yang menggemari hidangan grill, restoran ini turut menyediakan grill buffet seafood, kambing, daging dan juga ayam yang dimakan bersama sos istimewa mereka.

Konsep restoran ini juga menarik dihiasi dengan kehijauan dan juga hiasan payung yang digantung pada bumbung restoran menonjolkan lagi keceriaan pada restoran ini. Cepat datang dan cuba sendiri keenakan makanan disini.
9. Pak Leh Chicken Rice

Restoran Pak Leh Chicken Rice tentu dapat memenuhi citarasa melayu anda yang menginginkan makanan tempatan buat sarapan pagi dan juga santapan tengahari.
Disini dijual pelbagai jenis lauk pauk yang boleh anda pilih seperti masakan kari, siput sedut masak lemak, ayam panggang, asam pedas, ikan siakap tiga rasa dan sambal belacan bersama ulam-ulaman dan tentunya nasi ayam yang menjadi pilihan kegemaran ramai.

Kuih muih tradisional juga turut dijual sebagai pelengkap hidangan anda. Untuk makan malam, steamboat dan masakan panas turut dijual. Harganya juga sangat berpatutan dan masakannya yang enak pasti membuatkan anda datang lagi untuk menjamu selera setelah pertama kali mencuba.
8. Stone Valley Steamboat and Grill

Istimewanya restoran ini ialah kerana merupakan pelopor utama makanan panas steamboat dan grill di Cameron Highlands ini. Jadi tidak hairanlah sekiranya mereka sentiasa dikunjungi oleh pelanggan setia mereka dari dalam dan luar kawasan yang cukup menggemari hidangan yang disediakan.
Konsep buffet yang diketengahkan bermula dengan harga RM30 dengan pelbagai jenis bahan steamboat segar sebanyak 110 pilihan untuk anda makan hingga puas. Berbaloi bukan? Untuk hidangan grill pula, anda boleh memilih sama ada daging, ayam atau seafood yang telah diperap bersama sos istimewa yang tentunya membangkitkan selera.

Bukan itu sahaja, berlatar belakangkan hiasan buluh menjadikan restoran ini tampak cantik dan menarik. Pasti suatu pengalaman yang menarik untuk makan hidangan panas dalam cuaca yang sejuk bersama keluarga.
7. Nasi Kukus Cameron Highland Tanah Rata

Nasi Kukus juga merupakan hidangan makan tengahari dan makan malam kesukaan rakyat Malaysia.
Untuk dapatkan nasi kukus yang sedap di Cameron Highlands, singgahlah ke restoran ini yang menjanjikan hidangan nasi kukus yang istimewa, resipi khas dari Indonesia yang dibawa oleh pemiliknya.

Lauknya ringkas saja iaitu nasi putih bersama telur rebus, sayur campur, ayam goreng berempah yang rangup bersama gulai yang dimasak pekat tentunya cukup menyelerakan. Rugi kalau tak cuba!
39000 Cameron Highlands, Pahang.
6. Restoran Bunda “Ayat Penyet Istimewa”

Kalau tadi berbicara mengenai keenakan Nasi Kukus, di Cameron Highlands juga terdapat restoran yang menyediakan masakan ayam penyet istimewa khas di Restoran Bunda. Bawalah keluarga anda menjamu hidangan disini yang tentunya murah tetapi mengenyangkan dan lazat.

Nasi Ayam Penyet disini berbeza daripada apa yang pernah anda cuba kerana sambal penyetnya yang asli dimakan bersama ayam penyet yang diperap dan digoreng rangup.
Kalau inginkan hidangan lauk campur masakan melayu juga turut dihidangkan. Konsep dalaman restorannya juga kemas dan bersih, bertemakan kayu dan ala klasik pasti memberikan keselesaan kepada anda untuk menjamu selera.
5. Tiny Boutique Habitat Café

Anda pasti sangat teruja melihat keindahan hiasan dalaman dan ditemani latar belakang kehijauan di café ini.
Sangat cantik dan menarik! Bukan sahaja pemandangannya indah, anda juga akan dapat merasai keenakan hidangan signature wood pizza, bersama topping ayam, udang atau daging, dimasak khusus resipi authentic orang Italy oleh chef mereka yang berpengalaman.

Rata-rata pelanggan juga cukup menggemari masakan Italy yang lain seperti pasta dan pelbagai jenis pencuci mulut yang jarang didapati di tempat lain. Pasti suatu pengalaman yang baharu buat anda sekeluarga. Jadi cepat datang dan singgah okay!
4. Mr Aisu Ice Cream Café

Kepakaran café ini tentunya membuat aiskrim yang unik dan sedap berbeza daripada aiskrim yang pernah anda cuba sebelum ini. Menariknya, homemade aiskrim disini dibuat dengan kaedah soft-served dan segala bahannya merupakan buah-buahan dan bahan segar dari ladang di sekitar Cameron Highlands.

Bukan itu sahaja, sekiranya anda berpeluang kesini, selain hidangan aiskrim pelbagai perisa seperti Teh Tarik, Strawberi, Vanila dan Chocolate, anda disyorkan untuk mencuba pelbagai variasi hidangan waffle yang popular seperti Banana Delight dan Strawberry Lover yang tentunya lembut dan melazatkan. Café ini tentunya sesuai buat anda sekeluarga untuk bersantai bersama hidangan ringan ditemani pemandangan Cameron Highlands yang indah.
3. YZ Strawberry Farm & Café

Memang tidak sah sekiranya berkunjung kesini jika tidak ke ladang strawberinya bukan? Antara ladang strawberi yang utama dan terkenal disini tentunya ialah YZ Strawberry Farm. Menariknya, ladang ini juga turut menyediakan kafe buat anda menjamu selera pelbagai hidangan menarik dan kreatif hasil daripada bahan-bahan masakan segar dari ladang ini.

Antara menu pilihan disini ialah nasi lemak, pelbagai jenis pastry seperti scones, muffins, tart, strawberry chocolate, cream strawberry dan juga minuman segar seperti ice blended buah-buahan. Anda juga jangan lepaskan peluang untuk membeli belah pelbagai produk berasaskan strawberi yang dihasilkan disini seperti jam, cordial, aiskrim dan buah strawberi kering untuk dijadikan sebagai buah tangan apabila pulang nanti.
2. Pak Nil’s BBQ & Grill

Restoran ini boleh dikatakan 4 in 1 kerana bukan sahaja menghidangkan set buffet BBQ dan Grill bersama bahan segar, tetapi juga turut menyediakan makanan ala western, masakan melayu tempatan malahan nasi arab juga turut laku keras disini.

Menariknya, saiz hidangan di Pak Nil’s BBQ & Grill ini besar cukup berbaloi dengan harga murah yang ditawarkan. Hiasan dalamannya berkonsepkan moden dan lapang, tentunya menjadikan pengalaman makan anda disini selesa dan santai. Tentu seronok berkongsi makanan panas ditemani cuaca sejuk sambil meluangkan masa bersama ahli keluarga.
1. 200 Seeds Café (Abang Strawberry)

Kafe atau jenama Abang Strawberry ini memang sudah viral dan dikenali ramai kerana keenakan masakan serta produk jualannya yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga kreatif. Yang paling favorite tentunya Nasi Lemak Strawberi yang unik, iaitu sambalnya dimasak bersama buah strawberi segar menjadikan rasanya pedas, masam dan manis dalam satu masa.

Nasinya juga berwarna merah jambu dihidangkan bersama ayam goreng rangup pastinya menimbulkan keinginan anda untuk merasai keenakkannya.
Selain itu, anda juga disyorkan untuk mencuba hidangan lain seperti lontong, soto, mee kari, makanan western seperti chicken chop, lamb chop dan variasi pasta kesukaan ramai selain pelbagai pastry dan manisan berasaskan strawberi. Anda tentu berpuas hati dengan harganya yang berpatutan bersama makanan yang berkualiti dan sedap.
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian tentang tempat makan menarik di Cameron Highlands yang wajib anda cuba sekiranya bercuti ke destinasi ini.
Baca: 23 Hotel Murah Di Cameron Highland Terbaik Untuk Bajet Traveller
Selain pemandangannya yang indah, tentu seronok untuk anda meluangkan masa menjamu selera pelbagai hidangan menarik yang terdapat di kawasan sekitar. Jangan lepaskan peluang ini dan rancangan percutian anda dengan baik. Selamat mencuba!