Pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 destinasi di Asia yang wajib dikunjungi, Ipoh, menjanjikan pengalaman pelancongan yang bakal menggegarkan dunia anda.

Dikelilingi oleh bangunan kolonial yang telah mencecah usia berdekad lamanya, anda bukan sahaja dapat ‘merasai’ era lama, tapi juga berpeluang untuk merasai bermacam hidangan yang keenakannya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Begitu banyak sekali tempat makan menarik untuk dipilih sampai berdenyut kepala untuk membuat pilihan.

Untuk mengelakkan anda daripada kepeningan mencari kedai makan yang menarik, Mai Singgah ingin memudahkan ‘food hunt’ anda dengan menyenaraikan 27 tempat makan menarik di Ipoh yang terbaik berdasarkan review yang wajib anda singgah. Teruskan membaca.

27. Miker Food

Miker Food Ipoh
Sumber: Miker Food

Anda rasa Pizza Hut dah cukup sedap? Mai cuba makan pizza di Miker Food pula. Mengeluarkan bauan yang menggoda, kerak pizza ini terlampau lazat, apabila digigit terus terasa kepaduan kejunya.

Baca: 53 Destinasi Menarik Di Ipoh

Dah puas mencuba pizzanya, ada banyak lagi menu lain yang mesti anda nikmati seperti chicken chop, tom yam nyior ketam, nasi goreng dan banyak lagi. Sambil menikmati hidangan, anda boleh melihat lanskap indah yang disajikan di depan mata iaitu padang Ipoh dan bangunan-bangunan bersejarah di sekitar.

Jika anda bercadang untuk ke sini, elakkan daripada datang selepas pukul 9 malam kerana kemungkinan pizzanya dah licin. Sedih pula tak dapat merasa menu utamanya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Padang, 30020 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (5.00 pm – 12.00 am) | Isnin (Tutup)

26. Restoran M Salim

Restoran M Salim Ipoh - Gambar Restoran
Sumber: Ahmad Jazri

Tercari-cari mana kedai makan yang menyediakan hidangan kari kepala ikan dengan rasa yang betul-betul asli? Mai singgah makan di Restoran M Salim. Bukan itu sahaja, ayam goreng berempahnya tidak kurang sedapnya.

Apa sahaja lauk yang ditawarkan di sini boleh dimakan bersama dengan nasi briyani ‘Anarkali’atau nasi briyani daripada gred yang terbaik, ya, nasi ini sudah cukup enak walaupun dimakan kosong. Tapi kenapa nak makan tanpa lauk pula kan?

restoran M Salim Ipoh - Gambar Makanan
Sumber: Restoran M Salim

Lebih-lebih lagi bila lauknya dimasak dengan enak, apa sahaja hidangan yang diambil sama ada, ayam atau kambing, kesemuanya dimasak dengan sempurna sehingga lembut. Selain nasi briyani, hidangan lain juga tak kurang menariknya seperti murtabak, roti canai dan juga mee goreng.

📍 Alamat
Alamat: 75, Jalan Bahru off Jalan Tokong, Ipoh, Perak

25. Restoran Simpang Tiga

Restoran Simpang Ipoh - Gambar Restoran
Sumber: Restoran Sipang Tiga

Nikmati masakan padang, seafood dan barat yang menyelerakan di sebuah restoran yang cukup memuaskan hati tahap kebersihan, keselesaan dan juga kualiti hidangannya hanya di Restoran Simpang Tiga.

Restoran Simpang 3 Ipoh - Gambar Makanan
Sumber: Restoran Sipang Tiga

Di restoran ini, anda boleh memilih sama ada ingin mengambil lauk-pauk sendiri atau menempah daripada menu yang disediakan.

Antara menu yang ada adalah seperti ayam penyet, masak lemak telur itik, ikan jenahak bakar, dan sebagainya. Di sini nanti, anda boleh memilih sama ada ingin menjamu selera di ruang terbuka atau tertutup yang lengkap dengan penyejuk udara.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: d-g, Jln Dato Seri Ahmad Said, Kmpng Kastam Greentown, 30450 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 10.00 pm)

24. Plan B (Ipoh)

Plan B Ipoh
Sumber: plan b ipoh

Plan B adalah sebuah kedai makan yang sepatutnya menjadi ‘plan A’ anda semasa bercuti di Ipoh. Dengan dekorasi dalaman yang begitu menarik, masuk sahaja ke dalam kedai ini, anda tidak akan dapat menahan diri dari berposing.

Berkonsep hipster, kedai ini terletak di dalam bangunan yang dahulunya adalah sebuah gudang lama, dengan siling yang tinggi serta dinding batu-bata, atmosfera kedai ini terasa cukup santai.

Bukan sekadar memiliki vibe yang menarik, makanan yang dihidangkannya juga cukup enak. Minuman coklat panasnya terasa begitu lemak berkrim dan kopinya pula sangat kaw! Mengenai hidangan yang ditawarkan, antara yang patut anda cuba adalah salted egg spaghetti, rockyroad raspberry cake, serai chicken rice, chocolate brownie yang lembut di lidah dan banyak lagi!

Segala hidangan di kedai ini seperti diberikan perhatian yang begitu terperinci sewaktu dihasilkan, tiada yang mengecewakan.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: No. 75, Jalan Panglima, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (10.00 am – 11.00 pm) | Jumaat, Sabtu (10.00 am – 12.00 am)

23. Green Town Dimsum Café

Green Town Dimsum Café Ipoh
Sumber: Dimsum Cafe Greentown

Green Town Dimsum Café adalah sebuah kedai makanan Cina yang halal untuk dinikmati Muslim. Kalau anda tak pernah tahu lagi macam mana rasa sebenar dimsum, singgahlah ke kedai ini. Tak pasti dimsum apa yang best? Anda boleh mendapatkan cadangan daripada staff di sini yang cukup mesra.

Selain dimsum, hidangan lain yang turut ditawarkan di sini adalah yee mee goreng, chi cong fan dan banyak lagi. Masakan Melayu seperti nasi lemak dan nasi goreng kampung pun turut ditawarkan. Mengenai minumannya pula, paling wajib anda cuba adakah white coffeenya yang sangat enak.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 10, Persiaran Greentown 4, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Menglembu, Negeri Perak
Waktu Operasi: Isnin, Selasa, Khamis, Sabtu (7.00 am – 10.30 pm) | Rabu, Jumaat, Ahad (8.00 am – 9.00 pm)

22. Laksa Telur Goreng Bersarang / Kafe Setinggan

Laksa Telur Goreng Bersarang
Sumber: Laksa Telur Goreng Bersarang

Laksa Telur Goreng Bersarang adalah lokasi yang kejam bagi peminat laksa, kerana di sini anda akan dibuli dengan pelbagai pilihan laksa enak yang ditawarkan. Antara pilihan yang akan menerjah pandangan anda setibanya di sini adalah laksa special, laksa dimsum telur bersarang, laksa fishcake / fishball, laksa tanpa telur dan laksa telur bersarang.

Tertanya-tanya kenapa menunya dipanggil telur bersarang? Ini kerana telur goreng yang dicampurkan dengan laksa ini dimasak dengan menggunakan teknik special untuk membuatkan telur itu kelihatan seperti sarang burung. Telur bersarang inilah yang menjadi keunikan kafe jika dibandingkan dengan kedai lain yang menggunakan telur rebus. Wajib cuba kalau tak pernah lagi!

Sebagai info tambahan, kafe ini turut lengkap dengan surau yang selesa untuk memudahkan para pengunjung.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Margosa D/8 Jalan Margosa D/8, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (12.00 pm – 7.00 pm) | Jumaat (Tutup)

21. Pakeeza Restaurant and Catering

Pakeeza Restaurant and Catering Ipoh
Sumber: Pakeeza Restaurant

Kelaparan? Anda akan pulang dengan perut yang penuh sebaik pulang dari Pakeeza Restaurant and Catering kerana restoran ini sangat ‘bermurah hati’ dengan saiz hidangan yang diberikan.

Menawarkan beraneka masakan mamak dengan kualiti dan tahap kebersihan yang jauh berbeza daripada kebanyakan restoran mamak lain. Cukup sesuai untuk dilawati bersama keluarga.

Masakan seperti daging kambing dan ayamnya cukup empuk dan enak. Roti naan keju dan juga naan bawang putihnya juga sangat mengiurkan lebih-lebih lagi bila ditambah dengan perahan limau nipis.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 15-17, Jalan Dato Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 10.00 pm)

20. Konda Kondi Café & Bistro

Konda Kondi Café & Bistro Ipoh
Sumber: Konda Kondi Café

Konda Kondi Café & Bistro bukanlah kedai untuk anda bermain permainan tradisional ni, tapi namanya ini agak sesuai dengan konsep kafe ini yang bergaya hipster.

Kafe ini menghidangkan masakan barat seperti chicken chop, pasta, burger, fish & chips, spaghetti dan banyak lagi. Tak kisahlah apa pun yang anda tempah, rata-rata yang pernah makan di sini memuji keenakan banyak hidangannya.

Lokasinya, begitu strategik, terletak di tengah-tengah bandaraya Ipoh berdekatan dengan Ipoh Parade.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 183, Jalan Sultan Idris Shah, Taman Jubilee, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 12.00 am)

19. Restoran Halimah Bachik

Restoran Halimah Bachik
Sumber: restoran halimah bachik

Seringkali padat dengan orang ramai terutama sekali pada waktu tengahari, Restoran Halimah Bachik adalah kedai makan yang cukup sesuai untuk anda yang inginkan makanan dengan rasa yang sempurna dalam harga yang ‘ultra’ murah, jauh lebih murah daripada kedai makan lain!

Salah satu komen yang pernah dikongsikan mengatakan bahawa caj hanya RM5 dikenakan untuk sepinggan penuh dengan nasi campur dengan mee, 2 biji telur dan potato wedges. Murah tak murah?

Hidangan lain yang ada di sini adalah ayam bakar, roti canai, nasi ayam dan lain-lain lagi.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 29, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (7.15 am – 4.00 pm) | Ahad (Tutup)

18. 21 Grilled

21 Grilled Ipoh
Sumber: 21 Grilled

Bukan kedai masakan barat yang biasa anda jumpa, di 21 Grilled, anda dapat menikmati burger bakar bersaiz gergasi yang sangat murah dan super sedap! Selain menawarkan pelbagai variasi burger, menu lain yang ditawarkan adalah seperti roti john, nasi beryani kambing bakar dan nasi beryani ayam bakar.

Takkanlah nak makan sambil termenung je kan? Di sini, anda boleh mengamati ‘pameran’ anime pada dinding kedai yang digantungkan dengan poster-poster anime seperti Luffy, Goku dan Naruto yang penuh dengan warna-warni.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 87, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30 am – 11.00 pm)

17. Hadramout Paradise Restaurant

Hadramout Paradise Restaurant Ipoh
Sumber: Restaurant Hadramout Paradise

Lengkap dengan pendingin hawa dan tempat duduk yang selesa, cukup sesuai untuk dijadikan lokasi bersantap bersama keluarga. Masakan Arab yang dihidangkan di Hadramout Paradise Restaurant ini terasa sungguh asli kearabannya kerana diusahakan oleh orang Arab sendiri.

Antara masakan yang menarik untuk dinikmati di sini adalah nasi arab ayam mandy, shawarma, daging kambing dan sebagainya. Untuk air pula, anda mesti mencuba arabian mint tea, minuman yang sungguh melegakan tekak. Saiz hidangannya juga begitu besar menjadikan caj yang perlu dibayar terasa sangat berbaloi.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Kinta Riverfront, K1, Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 12.00 am)

16. Restoran M. Salim, Jalan Tokong

Restoran M.salim Ipoh
Sumber: RESTORAN M.SALIM IPOH

Ada sesiapa yang ketagih dengan kari kepala ikan? Restoran M. Salim yang sudah pun beroperasi lebih daripada 50 tahun ini menjanjikan kari kepala ikan yang paling ‘epik’ pernah anda rasai.

Kari yang enak ini anda boleh juga makan bersama dengan roti canai, thosei atau chapati yang turut ditawarkan di restoran ini. Gandingan lain yang boleh dicuba adalah seperti nasi beryani, nasi kandar dan lain-lain lagi. Untuk minumannya pula, anda mesti cuba air oren laicinya, gabungan kedua-dua buah ini semacam sedapnya!

Disebabkan keenakannya, restoran ini seringkali padat dengan ramai pelanggan, jadi kalau anda nak lebih selamat, anda boleh membuat tempahan meja terlebih dahulu sebelum ke sini.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 75, Jalan Tokong, Taman Hoover, 31650 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (6.30 am – 10.00 pm) | Jumaat (6.30 am – 1.00 pm & 2.00 pm – 10.00 pm)

15. Suhaimi Café

Suhaimi Cafe Ipoh
Sumber: Suhaimi Café

Suhaimi Cafe adalah sebuah kedai makan yang sering menjadi buah mulut masyarakat setempat kerana hidangan simple mereka yang menarik semacam! Menu utama yang menjadi kegemaran ramai di sini adalah roti benggali yang berkuahkan kari ayam. Roti yang tebal dan lembut ini bila dicicahkan dengan kari ayam memberikan sensasi yang sangat menggemparkan lidah.

Hidangan wajib cuba yang seterusnya pula adalah roti titab kaya berserta dengan telur goyang. Untuk hidangan ini, rotinya dibakar rangup sebelum disapukan dengan kaya dan diletakkan telur separuh masak. Memang sedap!

Bagaimana pula dengan minumannya? Juga menjadi daya penarik kedai ini, anda mesti mencuba sama ada green tea, kopi mocha atau kopi Vietnam. Memang padu rasanya!

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 57, Laluan Jelapang Selatan, Taman Kledang Permai, 30020 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (7.45 pm – 12.00 pm) | Selasa (Tutup)

14. Eight Miles Burger Banjir

Eight Miles Burger Banjir
Sumber: Eight Miles Burger Banjir

Cara burger dihidangkan di Eight Miles Burger Banjir ini memang unik. Tapi keunikan inilah yang memaksimakan keenakan burgernya. Setiap hidangan burger dibanjiri dengan sos black pepper yang sangat sedap. Bukan setakat burger ayam dan daging lembu, burger rusa dan arnab pun ada!

Baca: 26 Tempat Menarik Di Pulau Pangkor

Selain burger, makanan lain yang boleh dicuba adalah fish & chips, breaded chicken chop (ayam digoreng dengan serbuk roti), lamb chop dan full tank (gabungan daging burger, fries, coleslaw, sosej, red bean dan telur). Dengar pun dah kenyangkan? Apatah lagi bila menikmatinya sendiri, memang sesuai untuk dilawati ketika perut menggerodak kelaparan.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Kampung Melayu, 31250 Tanjung Rambutan, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.30 pm – 12.30 am) | Selasa (Tutup)

13. Restoran Fuziah

Restoran Fuziah Ipoh
Sumber: Restoran Fuziah Nasi Ayam

Bila melihat kemeriahan kedai makan, mesti ada yang akan tertanya-tanya, “Apa yang bestnya?” Beginilah suasana Restoran Fuziah hampir setiap hari.

Restoran ini yang turut dikenali sebagai Restoran Nasi Ayam Pasar Bulat adalah sebuah kedai makan yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Ipoh sejak dari tahun 1980-an lagi.

Seperti yang anda dapat teka, masakan terhangat di sini adalah nasi ayamnya yang dihasilkan dengan menggunakan beras wangi berserta minyak lemak ayam. Manakala ayamnya pula digoreng sehingga garing serta dicampurkan dengan sos soya untuk melahirkan rasa manis. Nak tahu betapa enaknya nasi ayam ni? Sampai sahaja di Ipoh nanti, terus singgah ke sini ya?

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: No. 78, Jalan Mustapa Al-bakri, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30 am – 10.30 pm)

12. Restoran Warteg Ipoh

Restoran Warteg Ipoh
Sumber: Warteg Ipoh

Restoran Warteg Ipoh adalah sebuah warung moden yang menawarkan pelbagai jenis hidangan inspirasi masakan Indonesia.

Menu wajib dicuba di sini adalah masakan jawa ala shellout ketam raja dan udang karang yang memang superb rasanya, seafood yang digunakan cukup segar.

Hidangan lain yang tidak kurang hebatnya di sini adalah kacang pol dan nasi uduk. Tak terasa nak makan masakan Jawa? Pilihan masakan baratnya juga agak pelbagai dengan hidangan seperti chicken chop, seafood linguine, chicken grill dan banyak lagi.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 73, Jalan Raja Musa Aziz, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (4.00 pm – 1.00 am)

11. Char Kuey Teow Abang Sayang

Char Kuey Teow Abang Sayang Ipoh
Sumber: Char Kuey Teow Abang Sayang

Char Kuey Teow Abang Sayang bukanlah seperti kedai char kuey teow biasa yang pernah anda cuba, di sini anda dapat menikmati makanan di bawah langit malam sambil dihiburkan dengan persembahan live muzik.

Yang menarik di sini bukan hanya suasananya, tapi juga kerana kesedapan menu utama yang menjadi nama kedai ini, char kuey teownya yang dikatakan menggunakan kuah special dan tidak lokek dengan udang yang besar. Sebaik rasanya mencecah lidah, anda tak akan teringat lagi char kuey teow lain.

Hidangan enaknya tidak terhenti di situ, ramai juga yang jatuh cinta dengan menu lain yang ditawarkan kedai ini seperti nasi ayam, sate dan sup dagingnya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 25, Jln Meru Bestari A14, 31200 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 1.00 am) | Selasa (Tutup)

10. Canning Dim Sum

Canning Dim Sum Ipoh
Sumber: Canning Dim Sum

Canning Dim Sum adalah sebuah restoran yang menghidangkan dimsum halal untuk para peminat masakan Cina yang beragama Islam. Bukan sedikit, tapi lebih daripada 50 pilihan dimsum ditawarkan di restoran ni!

Tak tahu nak order apa? Salah satu dimsum yang best untuk dicuba adalah dimsum 5 rasa, Lau Sa Pau yang menggabungkan telur asin, teratai, bijan hitam, keladi dan coklat.

Jangan lupa untuk mencuba kopinya juga ya? Aroma kopi kedai ini cukup menggoda dan sangat kaya dengan kelazatan.

Bila makanan dah tiba di meja, anda boleh menikmatinya dalam keadaan yang sangat selesa memandangkan kedainya lengkap dengan pendingin hawa. Dekorasi dalamannya juga cukup menarik pandangan mata.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 1, Lebuh Cecil Rae, Taman Canning, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari  Kecuali Rabu (6.30 am – 2.30 pm) | Rabu (Tutup)c

9. David’s Diner

David’s Diner Ipoh
Sumber: david’s diner

Tersangatlah lazat! Sekali cuba, anda tak akan pandang kedai makan western lain lagi, begitulah hebatnya penangan David’s Diner. Bukan hanya menu utamanya, berdasarkan maklum balas, rata-rata pengunjung mengatakan hampir kesemua yang ditawarkan di dalam menu memiliki rasa yang sungguh lazat.

Antara menu yang tak patut anda lepaskan dari merasa adalah t-bone steak, mozarella cheese burger dan the Manhattan Club sandwich. Untuk airnya pula, anda patut mencuba jus oren, jus belimbing atau jus tembikai susunya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: B-G-1, Persiaran Greentown 7, Pusat Perdagangan Greentown, 31350 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 10.30 pm)

8. Assam House Restaurant

Assam House Restaurant Ipoh
Sumber: ASSAM HOUSE Restaurant

Terletak di Medan Gopeng adalah sebuah restoran yang menghidangkan makanan dengan keenakan yang mengalahkan hotel 5 bintang. Tak percaya? Singgahlah ke Assam House Restaurant dan cuba sendiri.

Tapi apa yang bestnya di restoran ni? Sangat banyak, dari ikan asam, masakan sotong dan petai, kari, ayam pandan dan bermacam-macam lagi, hampir kesemuanya memiliki rasa yang sukar ditandingi kedai makan lain.

Buktinya, kedai ini mendapat liputan yang cukup meluas dalam media massa seperti RTM, Jalan-Jalan Cari Makan TV3, NTV7, 8TV, Astro, Era, Majalah Rasa, Utusan dan banyak lagi.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 2, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (11.30 am – 3.00 pm & 6.00 pm – 10.30 pm) | Isnin (Tutup)

7. Restoran Bintara Ampang Ipoh

Restoran Bintara Ampang Ipoh
Sumber: Restoran Bintara Ampang Ipoh

Menawarkan pelbagai pilihan makanan, Restoran Bintara Ampang Ipoh adalah umpama ‘one stop center’ untuk segala hidangan yang dapat membahagiakan deria rasa.

Dari masakan Melayu hinggalah barat, antara menu yang perlu anda nikmati adalah beef steak, lamb chop, pasta, roti john, nasi ayam penyet, pecal leleh dan banyak lagi.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Sri Ampang 2, Kampung Sri Ampang, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 am – 12.00 pm)

6. Hokkaido Ice Cream Puff Ipoh

Hokkaido Ice Cream Puff Ipoh
Sumber: Hokkaido Icecream Puff Ipoh

Hanyalah sebuah kedai kecil yang comel, siapa sangka Hokkaido Ice Cream Puff Ipoh ini begitu popular sekali dalam kalangan kaki street food.

Di sini, anda dapat menikmati pelbagai perisa ais krim seperti green tea, mint, raspberry, durian, cookies n cream dan banyak lagi bersama dengan puff yang sangat sesuai dengan rasa ais krimnya.

Puff yang digunakan untuk mengapit ais krim ini cukup rangup dengan rasa yang agak manis. Wajib cuba!

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 34, Jalan Yau Tet Shin, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (12.30 pm – 8.00 pm)

5. Mee Kari Kak Yah

Mee Kari Kak Yah Ipoh
Sumber: Mee Kari Kak Yah

Salah satu hidangan kegemaran ramai adalah mee kari. Kalau mee kari biasa pun dah sedap, apatah lagi sekiranya anda cuba mee kari dari restoran yang memiliki reputasi hebat seperti Mee Kari Kak Yah di Ipoh ni.

Kesedapan yang tak terkata dengan aroma yang sungguh mengasyikkan, anda dapat merasakan perbezaan mee kari ini daripada kedai makan lain, cukup sedap!

Selain mee kari, masakan lain seperti nasi dagang, char kuey teow, dan murtabak, tak kurang enaknya. Hanya yang terbaik dihidangkan di sini.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 12, Jalan Jelapang Selatan 1, Taman Keledang Jaya, 30100 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (6.30 am – 12.00 pm & 5.00 pm – 10.00 pm) | Isnin (Tutup)

4. Rojak dan Cendol Padang Ipoh

Rojak dan Cendol Padang Ipoh
Sumber: Rojak N Cendol Padang Ipoh

Dah puas menikmati bermacam makanan berat di restoran-restoran viral yang tak terkira banyaknya di sekitar Ipoh ni? Apa kata kalau anda singgah pula ke kedai Rojak dan Cendol Padang Ipoh untuk merasai hidangan pencuci mulut.

Antara dessert yang dihidangkan di sini adalah cendol durian, rojak pasembor, cendol pulut, ais kacang dan lain-lain lagi. Betapa sedapnya kesemua menu yang ditawarkan sampai tak sedar dah bermangkuk-mangkuk dicuba. Hati-hati ya?

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 17, Jalan Tun Sambanthan, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 8.00 pm)

3. Old Town White Coffee (Grand), Ipoh

Old Town White Coffee (Grand) Ipoh
Sumber: old town white coffee grand ipoh

Biar betul? Tak akanlah nak cuba Old Town White Coffee pula? Bukan dekat KL pun ada ke? Jangan berhenti baca dulu! Sebenarnya Old Town White Coffee (Grand) yang terdapat di Ipoh ni berbeza daripada cawangan yang lain, sebab itulah ditambahkan perkataan “Grand” di hujungnya.

Jika dibelek-belek buku menunya, anda akan menemui banyak menu yang tidak ditawarkan di cawangan lain. Nak tahu apa menu istimewanya? Singgah jangan tak singgah!

Dikelilingi oleh bangunan yang terkenal di Ipoh, lokasi kedai kopi ini juga cukup strategik untuk anda yang sedang makan angin di kawasan sekitar. Alang-alang dekat tu, mai makan di sini. Bukan selalu dapat jumpa versi Old Town White Coffee yang istimewa ni.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 2, Hala Datuk 5, 31650 Menglembu, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 12.00 pm)

2. Restoran Saffani

Restoran Saffani Ipoh
Sumber: Restoran Saffani
Restoran Saffani adalah antara kedai masakan Melayu di Ipoh yang menjadi pilihan rancangan Jalan-Jalan Cari Makan.

Apa istimewanya kedai makan ni dengan kedai lain? Untuk pengetahuan anda, restoran ini dimiliki oleh seorang chef yang pernah menjadi tukang masak di hotel. Sebagai bekas chef hotel, sudah semestinya, rasa makanan yang dihidangkan diberikan perhatian yang tinggi. Buktinya dapat dilihat daripada komen-komen positif yang banyak diberikan oleh mereka yang pernah merasa masakan di sini.

Antara menu yang boleh dicuba adalah seperti kari kambing, ikan keli bakar yang dimasak dengan kuah special, ayam bakar, kari kepala ikan dan banyak lagi.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 54, Persiaran Pulai Baru 2, Taman Muda, 31300 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (6.30 am – 4.00 pm) | Jumaat (Tutup)

1. Zul Yahya Steamboat

Zul Yahya Steamboat Ipoh
Sumber: Zul Yahya Steamboat & BBQ

Masihkan anda ingat pelakon komedi Zul Yahya  yang pernah popular suatu ketika dulu? Tertanya-tanya ke mana perginya sekarang? Kalau anda nak tahu, pelakon ini kini giat menguruskan perniagaan kedai makan yang makin meriah dilawati orang ramai, Zul Yahya Steamboat yang terletak di Bandar Meru Raya.

Mendapat rating lebih daripada 4 bintang daripada 200 lebih review, kedai makan ini adalah salah satu tempat santapan yang perlu anda singgah kalau datang ke Ipoh.

Di sini anda boleh menghilangkan lapar dengan hidangan buffet bbq serta steamboat yang sungguh menyelerakan. Sambil menikmati makanan, anak-anak juga boleh berseronok dengan permainan yang disediakan di ruang santai.

Berminat untuk datang ke sini? Sebaiknya anda membuat tempahan awal untuk mengelakkan masalah ketika mencari tempat duduk kosong.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 1, Jln Meru Bestari A8 , Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (4.00 pm – 12.00 am)

Banyak sekali kedai makan yang best dekat Ipoh ni kan? Dah jumpa kedai yang anda teringin nak cuba?

Tak perlulah anda pening kepala mana nak makan kalau bercuti di Ipoh nanti, rujuk sahaja artikel ni. Kalau diikutkan memang banyak lagi kedai makan best lain di sekitar Ipoh, namun semua yang tersenarai dalam 25 Tempat Makan Menarik di Ipoh ini adalah antara yang terbaik berdasarkan rating dan review.

Baca: 14 Hotel Menarik Di Ipoh Untuk Pengalaman Menginap Luar Biasa

Macam mana? Makin membuak-buak perasaan nak bercuti ke Ipoh kan? Apa-apa pun, rancang perjalanan anda sebelum ke Ipoh sebaik yang mungkin untuk mengelakkan daripada bersesak-sesak dengan pelancong yang lain ya? Selamat berjalan-jalan cari makan di Ipoh!