Apabila kita pergi berjalan atau bercuti, antara benda paling penting selain penginapan yang kita titik beratkan untuk mencari destinasi, makanan sedap juga menjadi faktor penting.
Bagi anda yang merancang untuk ke Janda Baik, jangan risau, mari kami kongsikan antara 12 tempat makan menarik di Janda Baik dan Bentong.
01. Kopi Ladang Restaurant
Buat para penggemar kopi, restoran ini antara tempat wajib yang perlu anda cuba. Kalau anda nak tahu, kopi di sini adalah unik kerana ia merupakan hasil tanaman mereka sendiri. Malah, mereka turut roast biji kopi itu di situ juga.
Memang kopi fresh la. Boleh order panas atau sejuk. Nak order online pon boleh tau. Klik di sini. Selain dari itu, restoran ini juga mempunyai rekaan dan hiasan dalaman yang sangat insta-worthy.
Kalau bab makan, mereka memang tak ambil ringan. Dengan variasi hidangan dari Western ke lokal, anda diberi pilihan luas. Sarapan pagi di sini antara yang paling sibuk.
Mana taknya, longing, nasi lemak, telur separuh masak, semua ada. Mereka mempraktiskan servis layan diri. Anda cuma perlu, order, bayar dan tunggu pesanan anda dipanggil. Untuk maklumat terkini, ikuti mereka di Facebook dan Instagram.
Alamat: Lot 6503, Kg Janda Baik, 28750, Bentong, Pahang Darul Makmur
Waktu Operasi: Isnin-Khamis (Tutup) | Jumaat-Ahad (08:00am-10:00pm)
02. Cafe Nusantara Daun
Mencari makanan masakan kampung untuk makan tengah hari atau makan malam? Cafe Nusantara Daun sedia mengenyangkan anda. Dengan persekitaran penuh kehijauan dan suasana kampung, cafe ini sangat menyenangkan.
Antara menu pilihan ramai di sini termasuk nasi bakar, sejenis hidangan nasi buluh yang dihidangkan bersama ayam goreng, tahu, tempeh dan sambal bajak. Istimewa kan? Anda juga boleh mencuba ikan patin tempoyak yang sinonim dengan orang Pahang, sup tulang, satay atau masakan goreng-goreng panas. Jangan lupa singgah tau.
Alamat: Jln Kampung Janda Baik, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: Rabu & Khamis (Tutup) | Ahad-Selasa (01:00pm-10:00pm)
03. Lemang To’Ki
Lemang To’Ki ni bukan sahaja dikenali ramai oleh orang Pahang, malah, satu Malaysia. Dah jadi seperti satu jenama dalam industri lemang.
Menu utama mereka tentulah lemang yang dihidangkan dengan pilihan rendang ayam atau daging. Tak perlu tunggu bulan puasa atau hari raya la kan.
Selain menu tarikan mereka itu, mereka juga menghidangkan nasi berlauk dengan pilihan lauk yang banyak dan sedap.
Ada juga menu istimewa lain iaitu ayam bakar dengan air asam To’Ki. Nak rasa lemang istimewa yang popular ini, datang sendiri ke Lemang To’Ki. Untuk maklumat terkini, ikuti mereka di Facebook dan Instagram.
Alamat: Batu 2, Jalan Tras, 28700 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: 8am-8pm setiap hari kecuali Isnin
04. Lemuni Cafe @ Istana Lemuni
Satu lagi restoran yang menghidangkan masakan Melayu kampung, Lemuni Cafe di Istana Lemuni. Suasana dan look restoran ini juga ala-ala kampung. Dengan struktur diperbuat dari kayu, atap tinggi dan perabot kayu, memang macam suasana kampung.
Malah ada seksyen di mana anda boleh duduk bersila, macam orang dulu-dulu. Di sini juga menyediakan servis katering dan event di mana anda boleh menjadikan lokasi majlis perkahwinan juga.
Mereka menyediakan hidangan buffet style sarapan pagi dengan menu termasuk nasi lemak, bihun, lempeng, ubi rebus dan macam-macam lagi. Dengan harga RM30 (dewasa) dan RM20 (Kanak-kanak), berbaloi la boleh makan berkali-kali. Menu tengah hari pula didatangkan dalam bentuk set.
Nasi dihidangkan bersama ulam-ulaman dan berbagai jenis lauk seperti asam pedas dan kari ikan jenahak, daging dan rebung gulai kawah dan macam-macam lagi. Buat masa ini mereka mengikut sistem reservation jadi pastikan anda membuat tempahan untuk dine-in sebelum ke sana. Klik di sini untuk buat tempahan anda.
Alamat: Lot 9756, Kg Chemperoh, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: 8am-5pm (Jumaat – Ahad sahaja)
05. Warung Janda Baik
Restoran yang kian mendapat perhatian, dengan nama yang mudah diingati ini seeing menjadi spot berkumpul buat travellers yang suka berkonvoi.
Jadi, geng-geng kereta, superbike dan basikal memang kenal dengan kedai ini. Mereka beroperasi untuk sarapan pagi dan makan tengah hari.
Menu yang popular di sini ialah lempeng. Dengan berbagai jenis lempeng di sini, lempeng pisang antara yang istimewa kerana dihidangkan bersama serawa durian. Ha, lain dari yang lain, kan?
Selain itu, specialty atau signature di sini merupakan nasi lemak hijau mereka. Mesti cuba tu. Selain itu, soto nasi ayam dan patin tempoyak pon ada di sini.
Alamat: Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: 8am-5pm (Jumaat-Ahad sahaja)
06. Kopi N Kraf
Satu lagi kafe kopi menarik di Bentong ialah Kopi N Kraf. Bukan kedai kopi calang-calang ni. Ada bermacam kopi yang dihidangkan di sini, baik dari dalam ataupun luar negeri.
Tetapi yang menarik tentang Kopi N Kraf mungkin saja struktur kedai ini yang dibina di atas asas batu sungai. Malah, bangunan ini sebenarnya dibina menggunakan rumah Tradisional Indonesia.
Selepas rumah ini dibeli, ia di cabut dan dipasang semula di sini, dengan sedikit adjustment dilakukan untuk sesuaikan bangunan ini dengan persekitarannya.
Makanan yang ditawarkan di sini juga menggabungkan makanan dalam dan luar negeri. Antara yang istimewa di sini ialah ayam kuzi dari Kelantan, Soto Indonesia dan Popiah Cambodia. Nak rasa semua makanan unik ini, pastikan anda singgah ke sini apabila tiba di Bentong.
Alamat: 27797, Jalan Sumsum Hilir, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
07. Nero Bianco Deli
Jika anda mengidam makanan western ketika di Janda Baik, pergi ke Nero Bianco Deli. Kedai yang simple, dengan look industrial ini, menawarkan makanan barat atau western sebagai menu utama.
Antara makanan yang mesti dicuba ialah Grilled Lamb iaitu kambing bakar, German Sausage dan juga spaghetti dengan meatballs.
Burgers dan nuggets juga ada di sini. Memang berbaloi makan di sini kerana harganya juga berpatutan. Ikuti laman media sosial mereka di Facebook dan Instagram untuk maklumat terkini.
Alamat: Lot 5474, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: 12pm-11pm (Selasa-Ahad sahaja)
08. Satay Warisan Pak Chu
Buat penggemar satay, jangan risau, satay Warisan Pak Chu tersedia di Bentong. Gerai yang dijayakan sejak tahun 1993 ini, menjual satay yang pelbagai dengan ramuan rempah satay mereka tersendiri.
Dihidang bersama kuah kacang yang pekat dan sedap, nasi impit, bawang dan timun, memang cukup memuaskan. Pastikan anda datang makan Satay Warisan Pak Chu. Ikuti laman media sosial mereka di Facebook untuk maklumat terkini.
Alamat: Kampung Baru, 28700 Bentong, Pahang, Malaysia
Waktu Operasi: 5.30pm-11pm (setiap hari)
09. Ikan Bakar Sri Tanjung
Bagi anda yang teringin nak makan makanan laut ketika di Bentong, singgahlah ke Ikan Bakar Sri Tanjong. Menu utama mereka tentulah ikan bakar dan kerang bakar berempah, kerana itu la specialty mereka.
Namun, ada juga makanan laut yang dimasak berkuah, stim ataupun goreng tepung. Memang puas hati makan di sini kerana hidangannya yang besar. Ikan bakar mereka pon besar-besar.
Sering menerima kunjungan berkumpulan seperti pelancong antarabangsa, konvoi kereta dan banyak lagi. Ikuti mereka di Facebook dan Instagram untuk melihat kepelbagaian menu mereka.
Alamat: 1, Batu 1, 4, Jalan Tras, 28700 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: 5pm-12am (Isnin, Rabu-Ahad), tutup pada hari Selasa
10. Kedai Minang Sri Selera
Kedai simple yang berdekatan dengan sungai ini sebenarnya terkenal sungguh dengan specialty mereka, iaitu sup tulang.
Sup tulang istimewa mereka ini pernah dinobatkan sebagai sup tulang terbaik di Janda Baik. Di sini anda boleh membuat pilihan untuk menikmati sup tulang ini bersama nasi ataupun bihun.
Kepakaran mereka juga merupakan makanan minang dalam bentuk nasi campur padang. Selain itu lauk-pauk tengah hari dan snek minum petang juga ada di sini. Kalau hari panas, boleh juga nikmati ABC di sini. Ikuti laman Facebook mereka untuk maklumat terkini.
Alamat: Minang Sri Selera, Janda Baik
Waktu Operasi: 9am-9pm (setiap hari)
11. Restoran Che’ Seafood Janda Baik
Pada mata kasar, ia nampak seperti kedai Tom yam biasa. Namun, Restoran Che’Seafood ini menjadi pilihan ramai orang di Janda Baik.
Walaupun menu yang ditawarkan agak biasa kita lihat di kedai Tom yam lain, ia istimewa kerana masakannya yang dikatakan sedap sangat.
Kalau anda sukakan makanan Thai, anda juga boleh makan beberapa di sini. Terdapat kerabu, pulut mangga dan banyak lagi. Set-set tomyam mereka juga berbaloi kerana lengkap dan cukup untuk dimakan mengikut size kumpulan anda. Harga yang diletakkan juga sangat berbaloi. Pastikan anda singgah ke Che’ Seafood apabila ke Janda Baik.
Alamat: Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: 3pm-12am (setiap hari)
12. Pinto Coffee+
Antara rahsia terbaik Janda Baik ialah kafe kopi, Pinto Coffee+. Satu lagi kedai kopi yang menyaksikan kopi buatan mereka sendiri. Biji kopi yang ditanam, dikupas dan dibakar sendiri ini diberi nama kultura, banjaran origin dan belantara. Nak beli pek kopi mereka ini untuk dibawa pulang pon boleh.
Dari segi makanan, cafe ini menyediakan seleksi yang ringkas namun cukup memuaskan. Dengan kek-kek yang sedap seperti marble cake a la mode, carrot walnut slice dan cheesecake, menjadi gandingan hebat untuk kopi yang dipesan nanti.
Mereka juga menawarkan pasta untuk anda yang mahukan sesuatu yang lebih mengenyangkan. Ikuti mereka di Facebook dan Instagram untuk melihat sendiri menu mereka dan maklumat terkini.
Alamat: Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Operasi: Isnin & Selasa (Tutup) | Rabu, Khamis & Ahad (10:00am-06:00pm) | Jumaat & Sabtu (10:00am-08:00pm)
Itu dia, 12 tempat makan menarik di Janda Baik dan sekitar Bentong. Kami harap anda jumpa makanan yang dicari ketika di bercuti ke sana nanti ya. Selamat menjamu selera!