Pahang adalah negeri yang terbesar di antara 14 negeri-negeri lain yang terdapat di Malaysia. Bukan hanya popular sebagai sebuah negeri yang terbesar dari segi saiz malahan Pahang juga turut terkenal dengan pelbagai aktiviti pelancongan yang menarik serta ia turut dikenali dengan keindahan khazanah hutan hujan tropika yang tersendiri.

Maka tak hairanlah jika Pahang menjadi lokasi pilihan para pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar. Antara lokasi pelancongan di Pahang yang sering dikunjungi dan dilewati adalah Kuantan.

Kuantan merupakan sebuah ibu negeri yang terbesar di belah Pantai Timur serta berada di dalam carta antara 20 ibu negeri terbesar di Malaysia. Kaya dengan aktiviti ekopelancongan serta lokasinya yang menghadap Laut China Selatan membuatkan Kuantan cukup istimewa dan popular di kalangan geng kaki melancong.

Jika anda berhajat untuk melancong ke Kuantan Pahang dan masih terpinga-pinga mencari lokasi makan yang menarik serta berbaloi dengan bajet anda. Kami di maisinggah.com dengan berbesar hatinya membantu anda dengan menyenaraikan tempat makan yang menarik di sekitar Kuantan untuk dicuba.

Dalam artikel kali ini kami akan menyenaraikan 37 tempat makan yang menarik dengan harga yang berpatutan serta kelazatan makanan yang tiada tolok bandingnya. Jom mulakan pengembaraan anda bersama kami!

37. Restoran Mint Kuantan

Restoran Mint Kuantan
Sumber: Mint KTN

Bagi anda yang inginkan suasana santai, tenang dan romantis untuk makan malam bersama dengan  yang tersayang, Restoran Mint Kuantan adalah jaminan kami sebagai tempat yang terbaik untuk anda dan pasangan.

Terletak di tepian Pantai Balok yang dingin dek hembusan bayu malam serta kawasan makan yang luas, sudah tentu memberi impak yang selesa dan romantis buat anda dan pasangan berborak dan mengimbau kenangan pahit manis bersama. Dihidang pula dengan masakan barat yang lazat sebagai santapan malam sememangnya cukup sempurna.

Baca: 30 Tempat Menarik Di Kuantan Pahang

Bukan itu saja, Restoran Mint Kuantan turut menjadi pilihan keluarga dan kumpulan yang besar kerana suasananya yang luas serta tidak terlalu padat dengan pengunjung. Pendek kata, di sini adalah tempat yang sesuai untuk habiskan masa yang berkualiti dengan pasangan, keluarga mahupun rakan-rakan.

Apa yang lebih menariknya di sini, Resoran Mint Kuantan ada menyediakan servis beach wedding dan juga event venue. Mana-mana yang berangan nak kahwin di tepi pantai maka inilah masa dan tempat yang sesuai untuk realisasikan impian anda. Jadi tunggu apa lagi? Jom tempah slot majlis anda sekarang!

Alamat:  Pantai Balok, 26080 Balok, Pahang


36. Nasi Ulam D’Pondok

Nasi Ulam D Pondok Kuantan
Sumber: nasi ulam d’pondok kuantan

Sebut saja negeri Pahang terus terhidu aroma ikan patin masak tempoyak yang pekat, rasa tempoyak yang sebati serta ikan patin yang segar. Boleh kecur air liur di buatnya! Cukup mengasyikkan bila teringatkan masakan yang cukup popular dan sedap ini.

Bagi anda yang berpeluang singgah atau mengunjungi Kuantan, gunakan peluang keemasan ini sebaiknya dengan menerjah Nasi Ulam D’Pondok untuk merasai keaslian masakan negeri Pahang serta masakan tradisional yang lain yang dihidangkan bersama ulam-ulaman.

Lokasinya yang cukup strategik iaitu berhadapan dengan Masjid Bukit Setongkol membuatkan restoran ini dilimpahi oleh para jemaah masjid terutamanya seusai solat jumaat. Jadi bagi anda yang ingin ke sana kena pandai membajet masa ye. Selain itu juga, antara keistimewaan lain Nasi Ulam D’Pondok adalah pelbagai variasi lauk pauk yang boleh dicuba. Dianggarkan kira-kira 75 jenis lauk dihidangkan di sini setiap hari terutamanya waktu makan tengah hari. Wah! Pasti rambang mata nanti.

Bukan itu saja, di sini anda akan lihat lauk pauk akan dimasak dan dihidangkan silih berganti. Pendek kata aroma masakan kampung yang menggoda ini sentiasa memenuhi ruang makan dan  pasti membuatkan anda terasa lapar dan teruja ketika memilih lauk pauk.

Ikan siakap stim, gulai lemak daging salai, tempoyak ubi ikan bilis, ikan keli berlada, tilapia goreng masam manis dan ikan patin goreng berlada antara menu yang mampu menggoncang iman bagi para penggemar masakan kampung. Selain dari itu, terdapat lebih dari 20 jenis masakan sayur yang boleh disuai padan dengan lauk pauk di sini.

Nasi Ulam D’Pondok adalah pilihan bijak bagi anda yang inginkan keaslian dalam resepi masakan negeri Pahang. Beroperasi dari jam 7.00 pagi sehingga 5 petang untuk hidangan lauk pauk dan ulam ulaman. Dan bagi anda yang sukakan makanan barat boleh mula berkunjung selepas jam 6.00 petang sehingga jam 12.00 pagi.

Alamat: B-34 Lorong Tun Ismail 6, Sri Dagangan, 25000 Kuantan Pahang


35. Nasi Minyak Eda Yasin

Nasi Minyak Eda Yasin Kuantan
Sumber: eda nasi minyak tanjung api

Sesekali bercuti atau singgah ke Kuantan apa kata anda cuba masakan yang cukup popular dan sering menjadi pilihan anak jati Kuantan iaitu masakan di Nasi Minyak Eda Yassin. Mungkin ini kali pertama anda dengar Nasi Minyak Eda Yassin dan agak ragu-ragu untuk mencuba. Jangan risau hanya tempat makan yang terbaik dan menarik saja yang kami syorkan dalam entri ini.

Bagi anak jati Kuantan Nasi Minyak Eda Yassin sudah sinonim dengan mereka dan rata-ratanya pasti ke sini setiap kali berkunjung ke Pantai Teluk Chempedak. Lokasinya di Tanjung Api iaitu berdekatan dengan Pantai Teluk Chempedak membuat ia sering dikunjungi ramai pelanggan.

Di sini terdapat banyak pilihan lauk yang boleh dinikmati bersama nasi minyak seperti gulai ayam, kaki ayam, kari daging, ikan, telor dan beberapa lauk yang lain. Apa yang bestnya dekat sini adalah kari daging dan gulai ayam. Cukup mantap dengan rasa kari yang padu, daging yang lembut serta keaslian masakan negeri Pahang yang terasa dalam setiap suapan.

Bagi anda yang teringin untuk mencuba masakan tradisional yang lain anda boleh cuba nasi kerabu, nasi lemak dan lain-lain.

Bagi anda yang berkunjung ke Bandar Kuantan, jangan lupa untuk ambil peluang ini untuk merasai nasi minyak warisan turun temurun di Nasi Minyak Eda Yassin.

Alamat:  Lot 384, Perkampongan Tanjung Api 25050 Kuantan, Pahang


34. KarRatz Café

KarRatz Café Kuantan
Sumber: KarRatz

Kafe yang berkonsepkan ala-ala hipster di Kuantan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Cukup banyak dan kafe yang berkonsep sebegini sangat diminati oleh warga tempatan. Maka tak hairan ramai pengusaha kafe mengambil peluang dengan mengetengahkan konsep ini. Percambahan kafe ala-ala hipster di Kuantan tidak mengurangkan sedikitpun populariti KarRatz Café. Malah kafe ini sentiasa dikunjungi terutama oleh peminat kereta dan motor klasik.

Menu makan yang terdapat di sini kebanyakannya adalah makanan barat dan apa yang istimewanya adalah penjenamaan menu yang dihidangkan diambil dari nama kereta –kereta lama serta aksesori-aksesori kereta. Penjenamaan sebegini sudah pasti mengangkat mood dan selera makan si pencinta kereta dan motor lama ketika berkunjung ke sini dengan rakan-rakan kelab yang berkongsi hobi serta minat yang sama.

Alamat:  No A-15, Ground Floor, Lorong IM14/32, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang


33. Aja Selera Kampung

Aja Selera Kampung Kuantan
Sumber: Makan kat mana

Jika anda berada di Kuantan dan inginkan masakan yang tak akan jemu untuk di makan setiap hari maka kami mengesyorkan Aja Selera Kampung sebagai lokasi pilihan yang terbaik.

Kenapa kami mengesyorkan Aja Selera Kampung? Kerana kami yakin dengan hidangan yang dikatakan lebih dari 100 jenis lauk pauk yang ada di sini serta menu sampingan seperti makanan barat pasti membuatkan mata anda tak berkelip dan haru biru ketika memilih lauk pauk.

Menjanjikan hidangan lauk pauk yang pelbagai, masakan yang dihidangkan panas-panas serta pencuci mulut yang memikat membuatkan warung ini sentiasa dipenuhi oleh warga tempatan.

Sebut saja Aja Selera Kampung pasti masakan asli kampung seperti ikan puyu salai lemak cili api akan terbayang-bayang di mata. Ikan cili puyu lemak api antara masakan yang sering menjadi rebutan dan tersangatlah terhad. Dikatakan lebih dari 20 kg ikan puyu dimasak setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan. Namun dalam masa beberapa jam sahaja masakan ini akan habis. Jadi bagi mengelakkan berlakunya drama air mata kerana kehabisan masakan ini kami nasihatkan supaya anda datang lebih awal.

Apa hidangan yang menarik selain ikan puyu lemak cili api? Terlalu banyak untuk disenaraikan. Cukuplah anda tahu bahawa Aja Selera Kampung ini akan memenuhi citarasa anda dengan kepelbagaian lauk, harga yang tersangatlah murah serta kelazatan setiap hidangan yang dimasak.

Alamat:  Jalan Bukit Setongkol, Taman Bukit Setongkol Indah, 25200 Kuantan, Pahang


32. Akar Coffee Café

Akar Coffee Café Kuantan
Sumber: Akar Kopi Kuatan

Gila kopi dan suka melepak? Anda patut ke sini dan nikmati masa senggang anda dengan secawan kopi ’O’ yang kaw bersama roti bakar telur didih! Pasti terpejam mata di saat makanan ini disua ke mulut. Cukup padu, cukup menggoda dan pasti menu ini akan menjadi pilihan pertama anda setiap kali berkunjung ke sini.

Di Akar Coffee Café anda bakal nikmati suasana taman mini yang menenangkan serta mendamaikan. Sangat sesuai untuk jadikan café ini sebagai port lepak anda bersama rakan-rakan serta tempat makan untuk anda dan pasangan yang ingin kelainan suasana.

Apa yang menariknya di sini, Akar Coffee Café turut menjadikan tema hitam putih  dan ala-ala hipster serta perabot yang diubah suai daripada tong minyak  sebagai tarikan utama pengunjung ke sini. Memang cukup sesuai cetusan gabungan tema hipster dan taman mini ini.

Bagaimana dengan harga makanan di sini? Jangan risau, semestinya berbaloi dan berpatutan dengan menu menarik dan unik yang ditawarkan.

Alamat:  2-8, Exit Jalan Teluk Sisek, 25050 Kuantan, Pahang


31. Nasi Kukus Seberang Balok

Nasi Kukus Seberang Balok Kuantan
Sumber: Nasi Kukus Seberang Balok

Mendapat rating 4.1 daripada 5 bintang, maklum balas yang positif dari pengunjung warga tempatan mahupun pelancong dari luar sudah pasti ada sesuatu yang istimewa di sini. Jom bersama kami menerokai keistimewaan dan kelebihan Nasi Kukus Seberang Balok ini.

Nasi kukus ayam berempah digabungkan dengan coconut shake yang berkrim adalah pembuka selera makan di sini. Mungkin tampak ringkas tapi bila dicuba pasti anda akan rasa kelainan nasi kukus di sini berbanding nasi kukus di kedai-kedai yang lain.

Penyediaan nasi kukus yang lembut dihidangkan pula dengan kari pekat serta pedas ala-ala kari mamak style serta ayam goreng berempah yang empuk pasti destinasi ini bakal dikunjungi lagi di masa hadapan. Harga yang cukup murah dan berbaloi, kedai yang berdekatan dengan pantai serta servis tip top menjamin kepuasan anda sebagai pengunjung di sini.

Alamat:  Kampung Seberang Balok, 26100 Balok, Pahang


30. Char Keuy Teow Berapi

Char Keuy Teow Berapi Kuantan
Sumber: char kuey teow berapi kuantan

Jika anda ke Kuantan dan menginap di De Rhu Beach Resort ataupun Swiss Garden Beach Resort, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan Char Keuy Teow di sini.

Rata-rata pelanggan setia yang berkunjung ke sini mengatakan seperti berada di Penang ketika mencuba Char Keuy Teow di sini. Keaslian resepi dan rasa yang memikat membuatkan Char Kuey Teow di kedai ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Bukan itu saja, lokasinya yang berdekatan dengan perkampungan nelayan di Pantai Balok memudahkan lagi bekalan stok makanan laut yang segar didapati. Kesegaran serta kemanisan udang dimasak bersama char kuey teow mendapat sentuhan yang cukup menggiurkan.

Alamat:  2, Kampung Balok, 26080 Balok, Pahang


29. Mak Siti Ori Café

Mak Siti Ori Café Kuantan
Sumber: Mak Siti Ori Café

Mak Siti Ori Café satu nama yang klasik dan kemelayuan bila sekali dipandang. Tapi apa yang ditawarkan di sini bukanlah seklasik namanya. Berkonsepkan dekorasi yang elegent, moden dan ekslusif pasti membuatkan suasana makan anda lebih classy.

Kopitiam yang cantik ni sangat sesuai untuk anda berkunjung bersama rakan-rakan, pasangan mahupun untuk dijadikan tempat pertemuan bersama client. Bukan itu saja, jika anda merancang untuk mengadakan majlis tertentu seperti majlis hari jadi, surprise party atau apa-apa majlis Mak Siti Ori Café adalah pilihan tempat yang paling tepat.

Alamat:  Taman Industri Prima Kota, 25200 Kuantan, Pahang


28. Angah BBQ Steamboat

Angah BBQ Steamboat
Sumber: Angah BBQ Steamboat

Angah BBQ Steamboat antara restoran steamboat dan bbq yang terbaik di Kuantan! Selepas penat pusing satu bandar Kuantan inilah masa yang sesuai untuk melepaskan lelah serta mengisi masa yang berkualiti bersama keluarga atau rakan-rakan. Sambil menunggu lauk grill dan lauk yang direbus siap, apa kata gunakan masa ini untuk mengimbau kembali nostalgia dan kenangan dulu-dulu. Tentu seronok bukan?

Gaya klasikal yang masih mengekalkan dapur arang untuk aktiviti memasak mungkin agak melambatkan proses penyediaan makanan tetapi smokey flavored yang meresap masuk ke dalam makanan yang dimasak tentu sahaja tidak akan mengecewakan anda.

Ruang makan yang terbuka serta luas, lokasinya yang mudah diakses merupakan kelebihan utama mengapa Angah BBQ Steamboat menjadi pilihan para pengunjung. Bukan itu saja, kepelbagaian jenis lauk pauk yang disediakan dengan kadar harga yang murah serta tak masuk akal antara punca restoran ini sering diserbu ramai.

Alamat:  E144 Jalan Kampung Tengah, 25200 Kuantan, Pahang


27. Aniq Steamboat

Aniq Steamboat Kuantan
Sumber: Aniq Steamboats

Aniq Steamboat adalah pilihan yang sangat tepat bagi peminat makanan bergrill dan steamboat dengan bajet yang rendah. Sekiranya anda berkunjung ke Kuantan jangan lupa singgah dan rasai sendiri makanan di restoran ini yang dikatakan agak popular di Kuantan.

Pernah diviralkan di group Warga Kuantan suatu ketika dahulu sebagai lokasi steamboat yang murah, restoran ini mula diserbu ramai dan menjadi lokasi hangat bagi mereka yang suka berkumpul bersama keluarga sehingga sekarang. Dengan kadar harga yang tak masuk akal, hidangan yang pelbagai serta ruang makan yang cukup selesa menjadikan restoran ini wajib disenaraikan sebagai lokasi jalan-jalan cari makan di Kuantan.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang cukup cerewet dan memilih makanan, kami syorkan anda ke sini kerana terdapat banyak pilihan makanan sampingan yang disukai kanak-kanak. Antaranya aiskrim, ABC, pilihan air yang banyak dan bermacam-macam jenis.

Alamat:  Tapak Gerai Makan, Medan Warisan, Jalan Seri Teruntum 1, Kuantan Pahang


26. Bombay Restaurant

Bombay Restaurant Kuantan
Sumber: bombay restaurant kuantan

Sebut saja Bombay Restaurant pasti aroma kari mamak style, nasi daun pisang serta beraneka pilihan nasi biryani berlegar-legar di ruangan imaginasi anda, bukan? Kalau anda nak tahu, di sinilah syurga makanan bagi mereka yang gemarkan masakan India yang sarat dengan rasa spice of India.

Pelbagai jenis lauk kari bakal anda jumpai di sini. Yang paling special di sini adalah nasi kandar & biryani kari kambing. Memang padu dan terangkat!

Bombay Restaurant yang diusahakan oleh Hamid Bros sejak beberapa tahun yang lalu cukup dikenali dan popular di Kuantan sebagai lokasi makan yang paling disyorkan buat anda dan keluarga. Ruang makan yang tertutup dan selesa serta berhawa dingin membangkitkan suasana makan malam yang cukup santai dan eksklusif.

Alamat:  71, Jalan Mahkota, 25000 Kuantan, Pahang


25. Warung Bay Route

Warung Bay Route Kuantan
Sumber: Warong Bay Route

Rindukan suasana makan di kampung? Ditambah pula dengan menu masakan kampung ala-ala Pantai Timur? Jika ya, memang anda tak salah tempat lagi dengan mengunjungi Warung Bay Route. Dekorasi gaya yang minimalis, ruang makan yang luas serta pelbagai pilihan menu masakan kampung seperti nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, kuih muih warga tempatan sememangnya membangkit selera makan!

Itu belum lagi kami senaraikan menu masakan yang lain. Confirm anda tak sabar untuk jejakkan kaki ke sini terutamanya waktu sarapan pagi. Kami jamin anda pasti takkan angkat kepala dan menoleh ke sebelah bila suapan pertama singgah di mulut. Berhantu betul Warung Bay Route ni!

Ramai cakap makan tengahari di Warung Bay Route juga se’power’ sarapan pagi. Pelbagai masakan kampung yang cukup popular boleh dicuba di sini. Antaranya ikan patin masak tempoyak, mee jawa, laksa Pahang, gulai kawah, ulam-ulaman serta banyak lagi. Pendek kata kalau anda tak cuba masakan di sini memang rugi besar!

Jika anda berminat untuk berkunjungi ke sini kami nasihatkan sila datang awal ya. Kebanyakan lauk pauk yang popular memang laku keras. Formulanya mudah ‘siapa cepat dia dapat.

Alamat:  10, Lorong Bukit Bay Route 23, Taman Permai, 25200 Kuantan, Pahang


24. Restoran Brotherhood Western Grill

Restoran Brotherhood Western Grill Kuantan
Sumber: Brotherhood Western & Grill

Sesekali ingin menunjukkan bukti cinta secara romantis terhadap pasangan apa salahnya kan? Orang kata ‘happy wife happy family’. Jadi encik suami sekalian, inilah masanya untuk anda bawa pasangan anda makan malam yang romantik ala-ala ‘candlelight dinner’ di Restoran Brotherhood Western Grill. Sudah pasti anda akan lihat betapa lebarnya sengihan dan senyuman pasangan anda sepanjang hari.

Masakan barat yang dimasak oleh chef yang terlatih, dipersembahkan pula dengan persembahan yang menarik, eksklusif dan professional serta suasana makan yang cantik pasti menjadikan makan malam anda dan pasangan sesuatu yang akan dikenang sampai bil-bila. Cukup sempurna!

Alamat:  No A 73 Lrg IM 15/19 Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan


23. Mail Ikan Bakar

Mail Ikan Bakar Kuantan
Sumber: Mail Ikan Bakar kuantan

Mail Ikan Bakar bertempat di Tanjung Lumpur adalah antara lokasi yang sangat sesuai untuk anda sekeluarga dan rakan-rakan berkumpul menikmati ikan bakar yang segar, makanan laut yang berbagai pilihan serta apa jua pilihan masakan mengikut citarasa anda juga boleh diminta.

Di sini semuanya cukup sempurna dan memenuhi kehendak serta citarasa anda. Sifirnya senang saja, pilih lauk-pauk, nyatakan apa jua masakan yang anda ingin, tunggu sambil borak-borak dengan ahli keluarga dan makanlah sampai kenyang. Silap haribulan nak bangun dari tempat duduk pun tak larat hihi.

Alamat:  Perkampungan Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang


22. T’Station Food Court

T’Station Food Court Kuantan
Sumber: T Station Kuantan

Wah, singgah satu tempat saja dah boleh makan pelbagai masakan. Di T’Station Food Court bermacam-macam masakan disediakan. Masakan melayu asli ada, makanan barat ada, makanan Korean ada dan masakan cina muslim pun ada. Order saja apa yang berkenan di hati dan nikmatilah dengan penuh rasa syok yang tak terhingga.

Antara menu yang popular di sini adalah dim sum, satay, char kuew teow, roti canai dan banyak lagi.

Berkonsepkan medan selera yang terbuka serta lapang, sangat sesuai bagi mereka yang ingin berkunjung dalam kumpul yang besar. Bukan itu saja, kemudahan yang disediakan seperti surau, tandas, dan lain-lain turut memudahkan urusan para pengunjung sebelum berangkat ke destinasi seterusnya.

Alamat:  Taman Pandan Damai, 25150 Kuantan, Pahang


21. Restoran Akob Patin House

Restoran Akob Patin House Kuantan
Sumber: akob patin house

Apabila bercuti ke Pahang, menu masakan ikan patin pasti akan dicari telebih dahulu, bukan? Lebih-lebih lagi ikan patin masak tempoyak. Keaslian resepi yang masih terjaga, ikan patin yang segar serta aroma tempoyak yang mengasyikkan adalah kunci utama mengapa masakan ini menjadi kegilaan ramai apabila berkunjung ke Kuantan, Pahang.

Bagi anda yang meminati masakan kampung terutamanya ikan darat, Restoran Akob Patin House adalah syurga makanan untuk anda. Rasailah kenikmatan yang berganda di sini.

Selain dari ikan patin masak tempoyak terdapat juga masakan kampung asli Pahang yang anda boleh cuba antaranya adalah gulai lemak cili daging salai, udang galah masak tempoyak dan banyak lagi. Tentu rugi jika anda berkunjung ke kuantan tanpa mencuba semua masakan ini.

Alamat:  A2 Lorong Haji Abdul Rahman 1, 25000 Kuantan


20. Jungle Food Court

Jungle Food Court Kuantan
Sumber: Jungle Food Court

Tempat makan yang menarik tak semestinya perlu berkonsepkan gaya yang mewah atau eksklusif. Ada sesetengah yang sukakan suasana yang happening dan santai ketika menjamu selera.

Apa yang paling penting adalah kualiti makanan terjamin, kelazatan yang diakui serta kadar harga yang berpatutan. Jika ini dalah ciri-ciri tempat makan yang anda idamkan, maka kami syorkan Jungle Food Court sebagai pilihan tempat yang tepat untuk anda.

Jungle Food Court merupakan medan selera yang meriah dengan para pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat yang inginkan kepelbagaian pilihan makanan. Pendek kata, rambang mata ketika memilih menu. Menjanjikan pelbagai pilihan masakan seperti masakan melayu, masakan barat, masakan timur tengah serta banyak lagi akan memberikan kepuasan kepada anda semua.

Alamat:  Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang


19. Kula Cakes

Kula Cakes Kuantan
Sumber: kula cakes kuantan pahang

Orang Kuantan kalau tak tahu atau tak pernah menjejakkan kaki ke Kula Cakes, anda bukanlah anak jati Kuantan! Dari tahun 2011 lagi Kula Cakes menjadi sebutan dan kegilaan para peminat kek dan pencuci mulut. Kedai ini tak pernah sunyi dan sentiasa dipenuhi oleh para pengunjung. Sampaikan nak cari tempat duduk pun susah. Boleh bayangkan tak betapa kedai ini menjadi fenomena di Kuantan.

“Wajib try… Semua kek di Kula Cakes memang sedap sampai rasa nak pengsan.                 Terutamanya manggo cheese cake.” Ini antara feedback nakal yang dikongsi oleh netizen yang pernah berkunjung ke sini. Admin sendiri tak dapat bayangkan kesedepan manggo cheese cake yang dikatakan signature di Kula Cakes. Apa kata kita pergi di Kula Cakes sama-sama dan nikmati kesedapan kek seperti yang diperkatakan. Betuk ke tidak?

Selain dari manggo cheese cake, terdapat juga pencuci mulut seperti Pavlova, Toblerone Cheese Cakes, Red Velvet dan lain-lain yang sering menjadi rebutan para pengunjung. Jadi, untuk anda yang berminat nak mencuba menu-menu ini sila datang lebih awal sebelum dikebas orang.

Alamat:  96, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang


18. Restoran Arab Dallah

Restoran Arab Dallah Kuantan
Sumber: Restoran Arab Dallah

Apa kata kali ini kita tukar selera makan pulak. Kalau sebelum ini kita asyik makan masakan kampung, masakan ala-ala Thai dan masakan barat saja. Kali ini kita beralih ke masakan timur tengah pula.

Restoran Arab Dallah adalah lokasi pilihan kami buat anda yang baru mencuba masakan timur tengah. Menyajikan dengan berbagai pilihan masakan timur tengah yang original, ruang makan yang selesa serta set makan utama yang murah pasti membuatkan anda tak teragak-agak untuk ke sini lagi.

Bagi anda yang baru nak mencuba masakan arab, kami syorkan hanith lamb, mandy lamb dan kabsah chicken bersama Dallah Coffee sebagai menu utama. Kami jamin anda tak menoleh ke kiri atau ke kanan sebaik saja makanan sambil ke meja.

Manakala mix barbeques, mulawah bread, rateeb bread with honey and falafel with humus adalah menu sampingan yang cukup terkenal di sini untuk anda cuba nanti.

Alamat:  NO.19, Ground Floor, ICT Hub, Jalan, Putra square 4, Putra square, 25200 Kuantan, Pahang


17. Joe Mee Chalong & Keropok Berserah

Joe Mee Chalong & Keropok Berserah
Sumber: Joe Mee Calong Beserah

Pernah cuba mee chalong tak? Atau paling tidak, pernah dengar menu Mee Chalong di sebut-sebut? Setuju tak kalau admin bagitahu yang ramai lagi tidak tahu akan kewujudan menu mee Chalong di Kuantan. Jika ya, ini bermaksud anda sudah biasa berkunjung ke Pantai Berserah kerana mee chalong hanya popular di sini dan sukar ditemui di daerah-daerah lain. Kalau ada pun pasti rasanya tak seasli mee chalong di sini.

Mee chalong sebenarnya sama seperti bakso. Dan apa yang admin tahu, yang membezakan antara mee chalong dan bakso adalah mee chalong berasaskan isi ikan yang segar manakala bakso pula menyajikan bebola daging.

Sambil-sambil menunggu mee chalong sampai ke meja apa kata anda cuba keropok lekor yang ada di sini. Sememangnya cukup tip-top! Ramuannya cukup asli dan yang menariknya keropok disini digentel sendiri oleh pemilik kedai ini bagi menjamin kualiti dan kesedapannnya.

Alamat:  2/1138, Kampung Alur Tuan Haji Berserah, 26100, Kuantan, Pahang, 25300


16. Restoran Dapur Mama

Restoran Dapur Mama Kuantan
Sumber: Nasi Kukus Dapur Mama

Dah penat meronda sekitar Bandar Kuantan apa kata singgah sebentar untuk makan di Resoran Dapur Mama. Harga makanan yang murah, kedai yang berhawa dingin dan yang paling penting adalah makanan di sini memang terbaik! Boleh hilang segala lelah sepanjang dengan menjamah sepinggan nasi kukus dipadankan dengan Tea O ais.

Bagi anda yang ‘kaki makan’ di sinilah tempat yang patut anda cuba. Nasi yang dikukus lembut, ayam goreng berempah dan beberapa pilihan lauk pauk lain yang dimasak penuh kasih sayang serta terdapat beberapa campuran kari yang memikat cukup membuatkan waktu makan anda sempurna.  Bukan itu saja, apa yang menariknya dengan berbekalkan RM10.00 anda mampu pulang dengan perut yang memboyot. Berbaloi-baloi!

Alamat:  No.2 (Corner Lot) Ground Floor, Indian Town, Jalan Putra Square 3, Putra Square


15. Mustafa Cendol

Mustafa Cendol Kuantan
Sumber: Mustafa Cendol

Apa lagi nikmat yang kau cuba dustakan apabila semangkuk cendol special terhidang di depan mata di hari panas yang terik? Cukup membuatkan hari-hari anda sempurna. Mustafa cendol adalah kedai cendol yang cukup legend di Kuantan patut anda cuba.

Baca: 10 Destinasi Menarik Di Bukit Tinggi Pahang

Resepi cendol yang menjadi warisan 3 keturunan, cendol serta bahan-bahan utama yang lain dibuat sendiri serta lebih dari 13 jenis cendol yang disediakan seperti cendol aiskrim, cendol pulut, cendol jangung, cendol durian dan banyak lagi menjadikan  kedai ini sentiasa penuh dengan pengunjung terutamanya pada waktu tengahari.

Bukan hanya cendol yang sedap di sini, terdapat juga beberapa menu lain yang boleh dicuba antaranya mee goreng mamak dan rojak ayam. Rata-rata pengunjung tetap di sini mengatakan dua menu ini antara menu yang tersedap yang mereka pernah makan.

Alamat:  Lot 9744, Jalan Teluk Sisek, Taman Selamat, 25000 Kuantan, Pahang


14. Sara Thai Kitchen

Sara Thai Kitchen Kuantan
Sumber: Sara Thai Tom Yam, Kuantan

Perasan tak ke mana saja kita pergi mesti akan ada restoran yang menyajikan masakan Thai. Memang cukup sinonim masakan Thai dengan masyarakat melayu kita. Rasa masam yang cukup, pedas yang padu, harga yang murah serta pelayan yang manis-manis antara faktor utama kenapa restoran Thai sering menjadi pilihan ramai.

Di Kuantan, tidak keterlaluan jika admin katakan bahawa Sara Thai Kitchen adalah yang terbaik di antara yang terbaik dalam menyediakan masakan Thai. Tahap kesedapan masakan di sini memang menjilat jari!

Siakap stim limau antara menu paling istimewa dan laku keras di sini. Selain dari itu, anda disyorkan untuk mencuba ayam gajus nam prik, kerabu manga, pulut manga dan banyak lagi.

Alamat:  Jalan Gambut, 25000 Kuantan, Pahang


13. Terminal Satay Zul

Terminal Stay Zul Kuantan
Sumber: Satezul_hq teluk sisik

Jika orang di Selangor stesen sate yang biasa disinggah adalah sate Kajang manakala kalau di Kelantan pula terkenal dengan Sate Baung. Agak-agak di Kuantan ada tak sate yang sedap? Sudah tentulah ada. Terminal Satay Zul merupakan stesen yang cukup famous di Kuantan. Tiba waktu malam saja mesti kedai ini dipenuhi oleh para pengunjung tempatan mahupun dari luar.

Terdapat banyak juga pilihan yang terdapat di sini antaranya sate ayam, daging dan jika anda ingin sesuatu yang unik dan eksotik boleh la mencuba sate arnab, sate kijang, sate rusa dan sate ikan. Tapi anda harus tahu, stok sate arnab dan rusa kebiasaan sukar untuk didapati. Jika ada rezeki anda maka dapatlah merasa.

Alamat:  No. A, 2600, Jalan Alor Akar, Taman Ruby, 25250 Kuantan, Pahang


12. Restoran MABIQ 2

Mabiq 2 Kuantan

Resoran Mabiq 2 merupakan cawangan kedua Restoran Mabiq. Ditubuhkan dengan niat yang sama iaitu untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim di pusat tahfiz. Cukup murni hasrat pemilik restoran atau pusat tahfiz ini.

Menggunakan konsep yang sama iaitu mengetengahkan masakan kampung asli Pahang sebagai tarikan utama para pelanggan memberikan satu kelebihan kepada restoran ini. Sehinggakan mereka mampu untuk mengembangkan Restoran Mabiq kepada dua cawangan.

Patin pais adalah menu yang tersohor di kalangan para pengunjung selain dari daging salai masak lemak dan ikan patin masak tempoyak. Ini kali pertama admin dengar masakan patin pais. Nampak gaya admin perlu juga turun ke Kuantan dan rasai masakan ini. Apa kata ramai join admin ke Kuantan nanti.

Alamat:  RESTORAN MABIQ 2, Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang


11. Restoran Lili Wadi

Restoran Lili Wadi Kuantan
Sumber: Lila Wadi Restaurant

Menampilkan pelbagai pilihan masakan seperti masakan kampung, masakan panas, masakan Thai, steamboat, masakan barat dan banyak lagi memberikan satu kelebihan besar kepada pemilik restoran ini dalam meraih pengunjung yang ramai setiap hari.

Yang paling istimewanya di restoran ini adalah steamboat dan pencuci mulut. Pendek kata bila dah cuba boleh angau jadinya. Asyik teringat saja akan kelazatan menu masakan di sana.

Kek keju mangga dan kek keju durian memang terbaik di sini atau kalau tak keterlaluan ia layak diberikan gelaran “kek keju terbaik di Kuantan”. Rasa keju yang sekata serta kek yang gebu memberikan impak yang sangat mantap bagi peminat keju. Jika anda peminat kek keju di sinilah tempat yang wajib anda singgah dan rasailah rasa keju yang sebenar.

Alamat:  Lorong Selamat 21 off Jalan Teluk Sisek


10. Restoran Anna Ikan Bakar Petai 3

Restoran Anna Ikan Bakar Petai Kuantan
Sumber: Ana Ikan Bakar Petai kuantan

Jika sebelum ini kami menampilkan Mail Ikan Bakar sebagai lokasi makanan malam yang menyajikan menu bakar. Tapi kali ini kami bakal mengesyorkan sesuatu yang lebih hebat, lebih menggiurkan dan yang lebih memberikan kepuasan kepada anda sekeluarga. Restoran Anna Ikar Bakar Petai 3, tiada yang lebih mantap dari ini.

Menggunakan petai sebagai signature dalam setiap makanan, rasa rempah yang kaw serta servis layanan yang terjaga cukup memberi kepuasan kepada para pelanggan. Sebab itulah ramai yang memilih untuk menjamu selera di sini berbanding restoran lain. Hinggakan pemilik perniagaan ini membuka lebih dari satu cawangan untuk menampung para pengunjung yang ramai.

Pebagai pilihan seafood yang segar dari laut, beraneka masakan panas yang mengiurkan, kuah tomyam putih yang menyengat cukup membuatkan anda tidak toleh ke restoran lain setiap kali berkunjung ke Tanjung Lumpur.

Alamat:  Jalan Tanjung Lumpur, Perkampungan Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang


9. Restoran MABIQ

Mabiq Kuantan
Sumber: MABIQ Restaurant – Original

Bila disebut Restoran Mabiq sudah pasti ramai yang meneka restoran ini menyajikan masakan timur tengah, bukan? Seunik namanya iaitu Mabiq begitulah uniknya sejarah penubuhan restoran ini. Restoran Mabiq diusahakan dengan Ust Jamaluddin yang berhati seputih kapas bagi menampung pembelanjaan pusat tahfiz yang dikhaskan bagi anak yatim dan asnaf. Tidak hanya mengharapkan derma atau belas ihsan dari orang ramai, Ust Jamaluddin mengambil peluang ini dengan menjadikan dewan makan pusat tahfiz sebagai lokasi sumber rezeki mereka.

Pelbagai menu masakan Pahang dijadikan taruhan bagi meraih perhatian para pengunjung. Ikan patin masak tempoyak, daging salai lemak cili api serta beberapa menu kampung yang lain antara yang hot sale di sini.

Nak makan masakan kampung yang memenuhi citarasa serta sambil beramal? Nah, inilah tempat terbaik buat anda!


8. Restoran Jamal Tory Resepi

Restoran Jamal Tory Resepi Kuantan
Sumber: Jaman Tory Resepi

Bermula dari kedai makan setingkat, kini Restoran Jamil Tory Resepi mula mengorat langkah lebih jauh lagi dengan mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan menaik taraf kepada restoran dua tingkat. Sudah tentu restoran ini menampilkan sesuatu yang istimewa, bukan? Jom kita bongkar rahsia ini sama-sama.

Char Kueow Teow Kerang bersama udang special sebagai signature inilah rahsia terbesar kejayaan mereka. Selain itu, menyediakan masakan kampung asli Pahang iaitu ikan patin masak tempoyak serta daging salai masak lemak sebagai menu istimewa memberikan kelebihan buat mereka kerana masakan sebeginilah yang dicari dan digemari orang ramai.

Alamat:  15 2/3 indera mahkota 2, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.


7. Restoran Western Daniello’s

Restoran Western Daniello’s Kuantan
Sumber: TheDaniello’s

Jika port melepak yang meriah dan menyajikan makanan ala-ala street café yang anda cari untuk mengisi masa bersama rakan-rakan, maka kami berbesar hati mengesyorkan Restoran Western Daniello’s. Restoran yang sememangnya cukup pakej dan memenuhi citarasa si kaki lepak.

Menampilkan keunikan burger homemade yang dicelup blackpaper sause yang kaw serta meatball yang padu, waktu makan anda bersama rakan-rakan sememangnya menjanjikan sesuatu yang istimewa yang akan dikenang sampai bila-bila.

Antara menu lain yang menarik boleh dicuba di sini antaranya mutton burger, buritto, beef burger dan banyak lagi.

Alamat:  B-50 Lorong Air Putih 2, Kuantan.


6. Kopi Mamba

Kopi Mamba Kuantan
Sumber: Mamba Cafe

Ramai orang jati Kuantan bagitahu ada sebuah kedai yang agak tersorot ke dalam tapi itulah syurga makanan bagi peminat makanan barat yang sebenar. Dekorasi kedai yang berkonsepkan barangan antik serta lampu samar-samar yang agak romantik amat membangkitkan mood anda ketika berkunjung ke sini.

Sambil menunggu makanan sampai ke meja, bolehlah berjalan-jalan melihat barangan antik yang mungkin tak pernah anda lihat. Menarik sangat!

Chicken grill antara menu istimewa di sini yang wajib anda cuba. Ayam yang digrill garing tetapi berjuicy dan disalut pula dengan sos lada hitam yang padu rasanya pasti membuatkan anda terpejam mata menikmati keenakannnya. Apa yang admin boleh katakan menu ini tersangat sedap.

Alamat:  No 73, Lorong Rusa (Belakang Court Mammoth), 25000 Kuantan, Pahang


5. Seni Bidadara Pizza

Seni Bidadara Pizza Kuantan
Sumber: Seni Bidadara Pizza

Asyik makan masakan kampung dan western saja, apa kata kali ini ikut kami ke restoran yang menyediakan makanan Itali pula. Barulah ada kelainan di setiap perjalanan, bukan?

Seni Bidadara Pizza sebuah restoran yang pandai mengambil peluang dan hati para pengunjung dengan menyajikan kelainan dalam setiap menu serta konsep ruang makan yang unik tetapi santai untuk anda semua.

Pizza XXL, pizza talam, pizza arang dan lempeng Itali antara nama jolokan yang diberikan oleh pelanggan. Cukup unik. Seunik proses penyediaan menu pizza yang ada di sini iaitu pizza ini akan dibakar secara tradisional mengggunakan ketuhar arang. Aroma smokey flavored bakal membangkitkan lagi feel seolah-olah anda sedang bercuti di Itali.

Alamat:  39, Lorong Bukit Setongkol 13, Taman Cenderawasih Indah, 25200 Kuantan, Pahang


4. Micasa Café by the River

Micasa Café by the River Kuantan
Sumber: Micasa Café by the River

Perfect! Ungakapan ini sudah cukup untuk menggambarkan suasana serta kelazatan masakan di Micasa Café by the River. Rata-rata feedback dari para pengunjung adalah 5 bintang dan 10/10 rating akan diberikan.

Bersebelahan dengan Mega View hotel dan berhadapan pula dengan pantai ditambah pula dengan hembusan bayu cukup membuatkan suasana makan anda sempurna. Terutamanya jika anda merancang untuk memberikan kejutan istimewa buat insan tersayang. Cukup dengan makan malam yang romantik, si dia pasti tersenyum simpul dan mungkin menangis kerana terharu.

Spagethi Risotto, Chocolate Volcano serta Chocolate larva adalah gabungan hidangan yang cukup sempurna untuk anda cuba bersama si dia.

Alamat:  Jalan Pasar, 25000 Kuantan, Pahang


3. Wan Satay House

Wan Satay House Kuantan
Sumber: Wan Satay House

Di Wan Satay House kami pasti anda akan temui sate yang cocok dengan selera dan keinginan anda. Bukan itu saja, di restoran ini juga menyediakan banyak pilihan makanan seperti masakan barat, masakan panas, mee serta banyak lagi. Cukup lengkap, bukan? Hanya pergi ke satu restoran semua masakan boleh dirasa.

Bagi yang belum tahu lokasi sebenar Wan Satay House anda boleh waze ke Hotel Seri Malaysia, Teluk Sisek Kuantan.

Alamat:  29, Jalan Seri Kuantan 2, Taman Teluk Sisik, 25050 Kuantan, Pahang


2. ProjektMakan : Cut The Crab

ProjektMakan Cut The Crab Kuantan
Sumber: ProjektMakan Cut The Crab

ProjektMakan : Cut The Crab antara lokasi makanan barat yang menarik dan cukup viral di Kuantan.

Menjanjikan lebih dari 20 hidangan masakan barat yang asli dan dimasak pula oleh chef yang terlatih bagi menjaga kualiti dan keaslian resepi, menjadikan restoran ini sering dibanjiri oleh warga tempatan mahupun pengunjung dari luar.

Chicken Milanese, alfredo with grill lamb, aglio olio shrimp, meatball dan alfredo tuna merupakan menu utama yang terlaris dan sering dicuba oleh para pengunjung.

Selain dari itu, anda juga boleh mencuba menu lain seperti laksa goreng ayam, laksa goreng kambing, chicken chop, mix grill chicken dan banyak lagi.

Alamat:  A-11, Jalan Tun Ismail 2, 25000 Kuantan, Pahang


1. Brew & Cabin Kuantan

Brew & Cabin Kuantan
Sumber: Brew & Cabin Café

Brew & Cabin Kuantan lokasi terakhir yang kami kongsikan di entri kali ini. Bak pepatah orang putih “save the best for last”.

Di sini ada menyediakan makanan barat dan juga terkenal dengan kopinya yang cukup padu. Bagi peminat tegar kopi, inilah tempat yang sangat disyorkan.

Suasana yang santai dan berkonsepkan ala-ala hipster membangkitkan lagi mood makan anda. Cukup dengan sepinggan spagethi carbonara dan secawan kopi, senyuman dibibir pasti terukir.

Dan yang paling menariknya jika anda tak sempat untuk menikmati hidangan di sini, anda boleh drive thru dan teruskan perjalanan seperti biasa.

Alamat:  Jalan Tanah Putih, Tanah Putih, 25100 Kuantan, Pahang

Kuantan sememangnya terkenal dengan tempat makan yang menarik dan menggiurkan. 37 tempat makan yang menarik di sekitar Kuantan yang kami kongsikan ini adalah antara yang menjadi pilihan warga tempatan dan pengunjung dari luar.

Apa yang boleh kami katakana adalah masakan melayu asli, kedai ala-ala hipster dan makanan Thai di sini adalah yang terbaik berbanding di negeri lain.

Baca: 53 Destinasi Pelancongan Paling Menarik Di Pahang

Namun begitu, masih terdapat banyak lagi tempat yang menarik di sekitar Kuantan yang tak dapat kami kongsikan kepada anda dalam entri kali ini. Jika tiada aral yang melintang kami akan kongsi lebih banyak lagi tempat yang menarik di masa hadapan.