Setuju tak kalau admin katakan bahawa destinasi pelancongan paling best adalah yang paling banyak menawarkan tempat makan menarik? Kalau anda setuju, Langkawi bakal menjadi salah satu destinasi paling menakjubkan yang pernah dikunjungi. Pulau ini sememangnya tidak lokek dengan kehadiran restoran, terlampau banyak pilihan yang ditawarkan untuk menampung keperluan ramai pelancong yang datang.

Namun begitu, bukan semua restoran menjanjikan kualiti makanan yang diidamkan. Untuk mengelakkan kekecewaan disaat menyuap makanan ke dalam mulut, Mai Singgah menyenaraikan 25 tempat makan menarik di Langkawi yang best.

Nak tahu di mana? Teruskan membaca untuk mencari tempat makan yang berjaya menaikkan selera anda.

25. The Kasbah

The Kasbah Langkawi
Sumber: The Kasbah Langkawi

The Kasbah adalah salah satu khazanah tersembunyi di Langkawi kerana kedudukannya yang jauh dari kesibukan kota dan agak tersorok. Untuk memudahkan anda mencari lokasinya, gunakanlah Google Map. Walaupun agak tersembunyi, percayalah, selepas merasai hidangan di restoran ni, lokasi restoran ini pasti akan terus tersemat di ingatan.

The Kasbah menawarkan beraneka menu yang mengiurkan daripada masakan tempatan hinggalah kepada masakan barat. Mana satu selera yang anda ingin puaskan?

Salah satu makanan yang boleh dicuba di sini adalah Phat Boy Cheese iaitu burger daging yang diselaputi oleh keju yang meleleh, jeruk bawang, tomato, salad dan juga mustard. Dalam setiap hidangan burger ini juga turut lengkap dengan french fries dan sos tartar yang dihasilkan sendiri oleh chef restoran.

Sambil menikmati makanan yang dihidangkan, anda akan dihiburkan dengan alunan muzik retro / reggie. Kalau bernasib baik, anda mungkin dapat menyaksikan persembahan muzik yang diadakan secara live.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Lorong HJ Salleh Lot 1301, Kampung Bohor Tempoyak, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 11.00 pm)

24. Restoran Orkid Ria

Restoran Orkid Ria Langkawi
Sumber: zarulsukri

Bukan senang nak jumpa restoran yang sentiasa dipenuhi pelanggan tapi dalam masa yang sama dapat memberikan layanan pantas kan? Tapi beginilah layanan pelanggan di Restoran Orkid Ria, memang tip-top!

Terletak di Pantai Cenang, sebuah kawasan pantai yang indah, anda boleh menjangkakan hidangan makanan laut yang cukup segar. Apa yang anda ingin merasa? Udang karang? Udang galah? Tiram? Ketam? Atau bermacam-macam lagi, anda boleh memilih makanan laut yang diinginkan melalui akuarium gergasi yang diletakkan di ruang masuk restoran.

Antara hidangan yang terkenal di sini adalah seperti udang harimau masak lada hitam, ketam masak cili dan ketam yang dibakar bersama keju.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Lot 1225, Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07100 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari (12.00 pm – 3.00 pm, 6.00 pm – 11.00 pm)

23. Kak Yan Nasi Campur Langkawi

Kak Yan Nasi Campur Langkawi
Sumber: Restoran Kak Yan Ulu Melaka

Murah semacam! Bagi sesiapa yang ingin berjimat tapi tak rela membiarkan lidah merasai masakan yang tak mencapai standard, mai singgah ke restoran Kak Yan Nasi Campur Langkawi.

Betapa murahnya masakan yang dihidangkan di sini sehinggakan ada yang mengatakan jumlah bayaran yang dikenakan untuk hidangan lengkap yang penuh dengan lauk bagi 7 orang pun masih tidak lebih dari RM90! Bagi anda yang datang bersama keluarga, tidak perlu lagi memandang restoran lain kalau anda ingin menyelamatkan poket dari kebocoran.

Apa hidangan yang ada di sini? Terlalu banyak, mencecah sehingga 50 jenis masakan berbeza. Selain nasi campur, makanan lain yang patut dicuba adalah laksa utara, bubur kacang dan juga bubur jagungnya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Ulu Melaka, Kampung Padang Gaong, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (8.30 am – 4.00 pm) | Isnin (Tutup)

22. Nasi Dagang Pak Malau

Nasi Dagang Pak Malau Langkawi
Sumber: Nasi Dagang Pak Malau

Nikmati perasaan penuh nostalgia apabila anda singgah makan di restoran Nasi Dagang Pak Malau.

Di restoran yang terletak berdekatan dengan Masjid Kampung Bukit Temin ini, anda dapat menikmati nasi dagang Terengganu yang cukup enak berlemak rasanya. Anda boleh memilih sama ada ingin berlaukkan daging lembu, ayam, ikan atau kambing. Tapi sejujurnya, tiada gabungan yang lebih sempurna dengan nasi dagang daripada gulai ikan tongkol.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Makam Mahsuri, Kampung Mawar, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (8.00 am – 2.00 pm) | Selasa (Tutup)

21. Restoran Wan Thai

Restoran Wan Thai Langkawi
Sumber: Restoran Wan Thai

Restoran Wan Thai adalah sebuah restoran yang cukup luas, mampu memuatkan sehingga 300 orang pelanggan. Dengan saiz seluas ini, tak mustahil kalau dikatakan pihak restoran mengambil langkah ini kerana mereka sendiri yakin dengan kualiti hidangan yang disediakan.

Seperti namanya, restoran ini menghidangkan masakan Thai dengan keenakan yang sukar ditandingi restoran lain. Dalam banyak-banyak hidangan yang ada, menu yang menjadi kegilaan orang ramai adalah pulut mangga dan juga pulut duriannya.  Selain ini semua, turut patut dicuba adalah otak-otak, udang Wan Thai, tom yam, lompang dan banyak lagi!

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 80-82, Langkawi Mall, Kuah (Jalan Pokok Asam), Langkawi, Kedah 07000
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 3.00 pm & 6.30 pm – 10.00 pm)

20. My French Factory

My French Factory Langkawi
Sumber: MY French Factory Langkawi

Dah puas makan masakan tempatan? Jom bawa deria rasa anda bercuti ke Paris dengan merasai hidangan kota romantik ini daripada sebuah restoran yang dimiliki orang Perancis sendiri iaitu My French Factory.

Salah satu hidangan yang tidak akan mengecewakan anda adalah salty crepe dengan telur, cheese dan ayam bakar. Gabungan telur dan cheese bersama ayam bakar ini menghasilkan rasa yang sungguh menyelerakan! Atau rasa yang bak kata orang Perancis “Superbe!”

Hidangan lain yang terdapat di sini adalah waffle yang rangup dengan ais krim kelapa, crepe dengan nutella + ais krim vanilla dan banyak lagi. Boleh kecur air liur mendengarnya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Ground Floor, Langgura Baron Resort, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (11.00 am – 11.00 pm) | Jumaat (Tutup)

19. Halim GP Gulai Panas Airport

Halim GP Gulai Panas Airport
Sumber: Halim GP Gulai Panas

Peminat gulai atau kari? Restoran Halim GP Gulai Panas Airport boleh jadi tempat paling heaven bagi deria rasa anda. Salah satu feedback daripada mereka yang pernah mengunjungi kedai ni adalah “Orang yang tak minat kari pun akan hirup sampai licin!”

Bukan itu sahaja, anda juga boleh memilih daripada pelbagai  jenis masakan laut yang ditawarkan, sama ada ikan, ketam, sotong atau udang yang segar-segar belaka.

Lepas tu, anda boleh “tepuk dada, tanya selera” masakan apa yang nak dicuba? Sekadar digoreng celup tepung? Dijadikan gulai? Atau macam-macam lagi masakan lain yang terlintas di fikiran, pekena pula dengan sambal belacan dan ulam, rasanya memang meletop!

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: No 4, Jalan Lapangan Terbang, Kampung Bukit Nau, 07100 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00 pm – 12.00 pm)

18. Restoran Pak Haji Ya Nasi Ayam

Restoran Pak Haji Ya Nasi Ayam
Sumber: Eylizar Homestay Langkawi

Penggemar nasi ayam? Bila dah cuba Restoran Pak Haji Ya Nasi Ayam, anda tak akan jumpa lagi nasi ayam lain yang dapat mengalahkan keenakan di restoran ni. Dikatakan, kicapnya lain daripada yang biasa kita nikmati, tapi yang penting, kelainan rasanya adalah jauh lebih sedap daripada biasa.

Buktinya, boleh dilihat kedai ni jarang sekali lengang daripada kedatangan pelanggan terutama sekali pada waktu tengah hari. Untuk mendapat makanan dengan cepat, elakkan daripada datang pada waktu kemuncak ini.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 82-98, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan Kelana Mas, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00 am – 6.00 pm) | Jumaat (Tutup)

17. Restoran Siti Fatimah

Restoran Siti Fatimah Langkawi
Sumber: RESTORAN SITI FATIMAH

Juga menjadi port makan yang sibuk pada waktu tengahari adalah restoran masakan kampung, Restoran Siti Fatimah. Antara yang boleh dinikmati di sini adalah masakan petai, tempe, bronok, ikan bakar, kari dan banyak lagi! Untuk pencuci mulut pula, anda boleh mencuba jeli ais bandung specialnya, lega tekak lepas berpanas-panasan di bawah matahari.

Seperti yang dikatakan tadi, kedai makan ini menjadi pilihan ramai pada waktu tengahari, oleh sebab itu, kalau anda teringin untuk merasa masakannya, seboleh-bolehnya datanglah sebelum pukul 2 petang. Kalau lebih dari itu, banyak lauk yang dah licin. Harganya? Bakal membuat anda tersenyum puas hati.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Batu 5 ¼, Jalan Kampung Tok Senik, Kawasan Mata Air, Ulu Melaka, 07000 Langkawi
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 4.00 pm)

16. Tanjung Tirai View Café

Tanjung Tirai View Café
Sumber: Tanjung Tirai View Cafe

Bukan sekadar menghidangkan makanan yang menyelerakan, lanskap di sekitar Tanjung Tirai View Café ini juga menjadikan pengalaman bersantapan di sini sebuah memori yang sukar untuk dilupakan.

Masakan utama ataupun signature dish di Tanjung Tirai View Café ini adalah ikan jenahak masak asam jawa dan juga sotong goreng tepung. Masakan lain seperti ketam kari powder juga tak kurang mantap rasanya, sungguh enak!

Sambil makan, nantikan saat matahari terbenam, keindahannya wajib diabadikan di dalam foto.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Kompleks Jeti Pelancongan Kuah, 07000 Langkawi
Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 am – 12.00 am)

15. Santai @ Kuza & Luke Café

Santai @ Kuza & Luke Café
Sumber: Santai Café

Kafe yang sungguh selesa dengan tempat duduk yang lengkap dengan bantal  sofa empuk, Santai @ Kuza & Luke Café adalah kedai makan yang patut anda jadikan pilihan utama setelah kepenatan makan angin di sekitar pulau. Aura kafe ini sungguh cosy dengan dekorasi dalaman yang sedap dipandang mata, cukup relaks.

Baca: 55 Destinasi Menarik Di Kedah

Mengenai hidangannya, anda boleh mencuba masakan seperti tom yam seafood, seafood aglio e olio pedas, steak, pisang goreng cheese, kari hijau Thai, asam pedas, nasi goreng seafood, lamb chop dan banyak lagi. Dari masakan Thai, western hinggalah tempatan, macam-macam ada. Nak cuba semua sekali pun boleh, percayalah, tiada satu pun yang mengecewakan.

Sambil menikmati makanan yang dihidangkan, anda akan dihiburkan dengan alunan muzik yang sedap didengar.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 132, Jalan Pantai Kok, Kg. Batu Ara, Kampung Batu Ara, 07000 Langkawi
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.30 pm – 11.30 pm) | Selasa (Tutup)

14. Desa Permata Ikan Bakar Seafood

Desa Permata Ikan Bakar Seafood Langkawi
Sumber: Restoran Desa Permata Ikan Bakar

Desa Permata Ikan Bakar Seafood adalah sebuah restoran yang menghidangkan makanan selera tempatan dalam harga yang lebih murah daripada kebanyakan kedai seafood lain.

Seperti nama kedai, menu utama di sini adalah ikan bakarnya yang disertakan dengan sos istimewa yang akan membuat anda makan sambil menjilat jari. Selain ini, sebenarnya terdapat banyak lagi makanan seafood yang boleh dipilih.

Anda boleh menikmati seafood yang diingini dengan pelbagai jenis masakan ala kampung yang ditawarkan seperti asam pedas, masak lemak, gulai panas dan sebagainya.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: No 5-6 Gerai Taman Desa Permata, Langkawi, 07000 Kuah, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 12.00 am) | Selasa (Tutup)

13. Pia’s the Padi

Pia’s the Padi Langkawi
Sumber: pia’s the padi

Miliki lidah yang sensitif seperti seorang chef? Anda tak akan kecewa dengan hidangan di Pia’s the Padi, rating untuk rasanya adalah 10/10! Tapi untuk menikmati masakan yang sesempurna ini, kadar caj yang dikenakan juga bersesuaian dengan usaha tukang masak restoran ini untuk menghasilkan rasa yang semewah ini.

Menu yang ditawarkan bukan sahaja masakan Melayu, tapi juga barat dan India. Hidangan-hidangan yang boleh anda cuba kalau singgah ke sini adalah pasta bolognese, sayur masak butter masala, ayam masak kurma, rendang daging, steak ikan, ayam berkeju dan banyak lagi.

Untuk masakan berdaging, dagingnya cukup empuk, mudah digigit dengan kesegaran yang jelas terasa. Kuah-kuah yang dihidangkan juga secukup rasa, sangat kaw! Anda juga pasti akan berpuas hati dengan saiz hidangannya yang begitu mengenyangkan.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Ulu Melaka, Kampung Padang Gaong, 07000 Langkawi
Waktu Operasi: Setiap Hari (12.00 pm – 3.00 pm & 6.00 pm – 9.00 pm)

12. Artisan Pizza

Artisan Pizza Langkawi
Sumber: Artisans Pizza

Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Pantai Cenang sudah cukup menarik perhatian ramai orang untuk singgah. Tapi ini bukanlah daya tarikan sebenar Artisan Pizza, kerana sebab utama ianya dibanjiri pelanggan adalah kerana kualiti pizzanya yang super-duper sedap! Ini adalah berdasarkan banyak review yang pernah dikongsikang oleh mereka yang pernah datang ke restoran ini.

Yang hebatnya, pujian ini diberikan oleh mat saleh sendiri yang menjadikan pizza sebagai makanan ruji mereka, power tak power? Tidak hanya menghidangkan pelbagai variasi pizza, restoran ini turut menawarkan fish & chips, seafood pasta, cheeseburger, sandwich, ais krim dan juga pelbagai jenis masakan India.

Harganya? Sangat berpatutan. Wajib singgah tau! Tak larat nak bergerak ke restoran? Artisan Pizza turut menyediakan khidmat delivery terus ke muka pintu secara percuma dari pukul 9 hingga 12 malam.

📍 Alamat
Alamat: Bandar Baru Baron Kuah, Perdana Quay, Telaga Harbour Park, Pantai, Kok, Langkawi, Kedah

11. HBL Food Corner

HBL Food Corner Langkawi
Sumber: Langkawi Permata Kedah

Ini adalah salah satu restoran masakan tempatan yang paling best di Langkawi. Apa yang anda terbayang nak makan? Pelbagai masakan sayur, kari, ikan bakar, atau bermacam lagi masakan ala kampung lain, boleh didapati di HBL Food Corner.

Walau apa pun lauk yang diambil untuk dimakan bersama nasi, gandingan paling penting untuk melengkapkan rasanya adalah kerabu bronok dan air asam, wajib!

Sambil menikmati makanan ini, anda boleh menyaksikan pemandangan Gunung Raya yang terbentang di depan mata.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: HBL Food Corner, Kampung Lubok Dalam, Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: 10.00 am – 4.00 pm

10. Warung Jati Aisya

Warung Jati Aisya Langkawi
Sumber: Warung Jati Aisya

“Kalau boleh nak makan di sini setiap hari!” Inilah salah satu komen yang diberikan mereka yang pernah datang ke Warung Jati Aisya. Pelbagai pilihan lauk-pauk beraneka rasa ditawarkan dalam harga yang  sangat berpatutan. Sekali cuba, anda akan ringan kaki untuk singgah ke kedai ini lagi.

Setiap kali datang, anda boleh merasa pelbagai menu yang berbeza memandangkan jenis lauk yang dihidangkan cukup banyak. Anda boleh memilih lauk-pauk yang terdiri daripada pelbagai masakan ikan, ayam, daging, sayur dan kuah.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 5, Jalan Chandekura, Kampung Bukit Lembu, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 5.30 pm)

9. EE Burger Trimula Cafe ( Pekan Kuah Langkawi )

EE Burger Trimula Cafe
Sumber: Langkawi Permata Kedah

Jangan tertipu dengan nama kafe ini, EE Burger Trimula Cafe, kerana kafe ini bukan hanya menghidangkan burger, tapi juga banyak lagi makanan lain seperti masakan grill, pasta, steak dan masakan tempatan lain.

Berkaitan dengan harganya, jangan terkejut, kerana ada hidangan yang lebih murah daripada gerai-gerai di jalanan. Saiz hidangannya juga cukup mengenyangkan.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 1, Persiaran Putera, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (5.00 pm – 12.00 am) | Rabu (Tutup)

8. Kaki Gunung Café

Nasi Arab Kaki Gunung Café
Sumber: Nasi Arab Kaki Gunung Café

Siapa sangka daripada sebuah gerai kecil dengan jualan air kelapa dan rempeyek, kini makin terkenal dalam kalangan pemburu makanan sebagai salah satu kedai makan yang menarik.

Kalau anda giankan nasi Arab berlaukkan kambing yang enak dalam harga bajet, anda boleh singgah ke Kaki Gunung Cafe yang terletak hanyalah 10 minit sahaja dari tarikan Lafarge Langkawi Plant.

Selain nasi Arab, makanan lain yang boleh anda cuba adalah seperti chicken wrap yang kaya dengan rasa, roti leleh, burger yang padu dengan keju, kebab kambing dan banyak lagi.

Bukan sekadar terkenal dengan nasi Arab, kedai makan ini turut menghidangkan masakan barat, Melayu dan Cina. Apa sahaja selera anda, semuanya akan dihidangkan di depan mata dalam saiz hidangan yang sangat mengenyangkan. Sebagai pencuci mulut, anda boleh menikmati coconut shakenya yang cukup enak.

Lebih sebab untuk anda mengunjungi kafe ini adalah kerana ia turut lengkap dengan kemudahan seperti tandas dan surau yang selesa untuk para pengunjung.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 1448, Jalan Ulu Melaka, 07000 Langkawi
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (11.00 am – 11.00 pm) | Jumaat (Tutup)

7. Veena Restaurant Thai Seafood

Veena Restaurant Thai Seafood
Sumber: Veena Thai Restaurant

Pejamkan mata semasa menghirup kuah tom yam yang dihidangkan di sini, fikiran anda akan mula melayang seolah-olah betul-betul berada di Thailand. Padat dengan rasa, pekat, pedas dan masam, mustahil untuk anda berhenti menghirup.

Ingin merasai pengalaman seindah ini? Anda boleh singgah ke Veena Restaurant Thai Seafood.

Hidangan di restoran ini bukan sahaja dapat membuatkan anda terasa seperti sedang bercuti di Thailand, tapi harganya juga  sangat berpatutan. Dicadangkan untuk datang ke sini sebelum pukul 8 malam untuk mengelakkan masalah meja penuh.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 3, Persiaran Mutiara 2, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 pm – 11.30 pm)

6. Laksa Power

Laksa Power Langkawi
Sumber: Des Mond

Saksikan pemandangan kapal terbang berlepas serta lautan biru yang tenang sambil menikmati laksa yang paling power pernah dirasai. Pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti ini boleh anda lalui di kedai Laksa Power yang mana keseimbangan rasa masam, masin dan manis laksanya membuatkan anda nak tambah lagi dan lagi.

Setelah puas menghargai rasa laksa, anda boleh menikmati cendol yang turut dijual di sini untuk dijadikan pencuci mulut sambil menanti saat matahari terbenam ketika mana keindahan pemandangannya sukar diungkap dengan kata-kata.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Kuala Muda, 07100 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 8.00 pm)

5. Jom Ikan Bakar

Jom Ikan Bakar Langkawi
Sumber: jom ikan bakar langkawi

Kempunan hidangan ala kampung yang simple? Jom makan di Jom Ikan Bakar yang berlokasi di Padang Matsirat. Gabungan nasi putih, ikan bakar yang berperencah secukup rasa, dimakan bersama dengan ulam dan sambal belacan, baunya saja sudah menarik selera.

Tempat makannya juga agak selesa untuk anda datang menikmati hidangan bersama keluarga. Sebelum pulang, anda boleh singgah ke gerai di sebelah untuk menyegarkan tekak dengan air coconut shake.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat:  Jom Ikan Bakar Masakan Ala-Kampung, Jalan Lapangan Terbang, Langkawi 07000
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 5.00 pm)

4. Restoran Padang Pasir

Restoran Padang Pasir Langkawi
Sumber: Restoran Padang Pasir

Perut berbunyi pada pukul 2, 3 pagi? Mai singgah ke tempat makan yang dibuka 24 jam ni iaitu Restoran Padang Pasir. Bermacam masakan mamak boleh anda cuba, antaranya adalah roti paratha, chapati, thosei, dosa, roti canai, ayam tandoori, kari, mee goreng dan macam-macam lagi!

Daripada kesemua menu yang ditawarkan, makanan paling penting untuk anda cuba di restoran ni adalah nasi kandar dan juga apom lenggangnya yang sungguh enak lebih-lebih kalau dinikmati semasa masih panas. Kadar harganya juga sangat berpatutan.

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 121, Jalan Padang Matsirat Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: 24 Jam

3. Selera Lubuk Buaya Pantai Cenang Langkawi

Selera Lubuk Buaya Pantai Cenang Langkawi
Sumber: Selera Lubuk Buaya

Selera Lubuk Buaya Pantai Cenang Langkawi adalah sebuah restoran yang sesuai untuk disinggahi bagi anda yang bercuti dalam bajet kerana restoran ini sangat terkenal dengan harganya yang begitu murah.

Bukan itu sahaja, kualiti rasa lauk-pauk yang dihidangkan juga sangat mantap! Nak lebih sempurna? Anda boleh menikmati makanan ini bersama dengan aneka jus buah yang ditawarkan. Harga dah murah, apa salahnya tempah jus buahkan?

Lokasinya, hanyalah beberapa tapak dari Pantai Cenang. Dah hilang rasa lapar, bolehlah anda terus ke pantai untuk menikmati bayu laut dan pemandangan matahari terbenam.

📍 Alamat
Alamat: Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi

2. Restoran Seashell

Restoran Seashell Langkawi
Sumber: Spa Jelai

Terletak di tengah-tengah bentangan sawah padi, suasana yang nyaman dapat anda rasai sebaik menjejakkan kaki ke lantai kayu Restoran Seashell. Lokasinya, terletak tidak jauh dari Muzium Laman Padi. Alang-alang melawat muzium, jangan lupa untuk singgah ke restoran bergaya kampung ni ya?

Bukan hanya sedap dipandang mata, masakan Melayu yang ditawarkan restoran ini juga sungguh enak. Kesemuanya dihidangkan dalam saiz yang besar dengan kadar harga yang cukup berpatutan. Tiada sebab untuk tak singgah ke sini kan?

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Seashells Restaurant, Muzium Laman Padi, Kampung Lubok Buaya, Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (2.00 pm – 12.00 am) | Rabu (Tutup)

1. Unkaizan Japanese Restaurant Langkawi

Unkaizan Japanese Restaurant Langkawi
Sumber: Unkaizan Japanese Restaurant

Bawa deria rasa anda terbang ke Jepun pula dengan menikmati hidangan di Unkaizan Japanese Restaurant Langkawi. Dimiliki oleh keluarga Jepun, anda boleh menjangkakan makanan dengan rasa Jepun yang betul-betul asli, bukannya dibuat-buat.

Betapa sedapnya masakan di kedai ini sehingga salah seorang pengunjungnya yang berasal daripada New York mengatakan bahawa ini adalah restoran Jepun yang paling best pernah dicuba. Ini reviewnya:

“Kedai makan Jepun paling best saya pernah cuba (dan di NYC terdapat banyak pilihan restoran Jepun yang menarik). Saiz hidangan yang besar, servis yang berkualiti tinggi, dan ikannya juga sangat segar sehingga membuatkan saya rasa seperti tidak pernah merasai sushi ikan sebenar sebelum ini.” – Dylan Rapoport

Macam mana? Tergoda nak cuba? Sebelum itu, ingin Mai Singgah kongsikan antara hidangan yang patut anda cuba di sini seperti yang dicadangkan orang ramai iaitu tiram bakar, sup miso, belut bakar, sushi dan set salmon. Jom serbu!

📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Pantai Tengah, Pantai Tengah, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (6.00 pm – 11.00 pm) | Rabu (Tutup)

Kesemua 25 destinasi makan menarik ini hanyalah sebahagian daripada banyak lagi kedai makan yang ada di Pulau Lagenda ini. Walaupun hanya di Langkawi, deria rasa anda dapat ‘melancong’ ke serata dunia, daripada Thailand hinggalah ke Perancis, inilah pengalaman menjamu selera yang dapat anda rasai di Langkawi.

Baca: 54 Tempat Menarik di Langkawi

Oleh sebab itu, tangguhkan dulu cita-cita anda untuk berdiet sebelum bercuti ke Langkawi, kerana pulang sahaja daripada Langkawi nanti, berkemungkinan besar berat badan anda akan bertambah berkali ganda.

Jangan buang masa lagi, rancang perjalanan anda sekarang! Selamat bercuti dan menjamu selera di Langkawi!