37 Tempat Makan Menarik Di Shah Alam (2023) | Restoran Paling Best

Shah Alam, kalau dilihat di dalam Google Map, geografinya bukan sahaja padat dengan tarikan menarik tapi juga dibanjiri oleh kafe-kafe dan restoran yang wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan, sampai keliru nak buat pilihan.

Tidak kira malam atau siang, ada saja kedai makan yang menarik untuk dikunjungi bagi memuaskan segala macam kes ‘mengidam’ yang dirasai. Dari masakan barat, Thailand, Cina hinggalah Arab, semuanya dapat dipuaskan di Shah Alam.

Untuk menjimatkan masa anda membuat pilihan kafe atau mengelakkan daripada tersalah pilihan, Mai Singgah telah menyenaraikan 37 tempat makan menarik di Shah Alam yang mesti anda cuba. Nak lagi feel baca artikel ni? Bacalah di saat perut kosong, anda akan dapat membayangkan keenakan yang bakal dijelaskan secara terperinci dengan penuh keasyikan.

37. Kopimeo

Kopimeo Shah Alam
Sumber: Kopimeo Café

Kafe dengan gaya hipster bertemakan warna monokrom hitam dan putih ini adalah sebuah kafe yang bukan sekadar sedap dipandang, tapi juga menghidangkan pelbagai makanan yang sedap-sedap belaka.

Yang menariknya, ada juga menu unik yang mustahil untuk dijumpai di tempat lain seperti spaghetti ikan masin, spaghetti udang masak lemak dan banyak lagi. Saiz hidangannya juga tidak mengecewakan.

Baca: 29 Destinasi Menarik Di Shah Alam

Sebelum pulang, jangan lupa untuk menikmati kelazatan kopinya yang mana aromanya adalah yang pertama sekali akan menerpa deria anda sebaik memasuki kafe Kopimeo.

Alamat: 29 Jln Tengku Ampuan Zabedah B 9/B, Seksyen 9, 40100 Shah Alam

Waktu Operasi: Isnin – Rabu (12.00 pm – 10.00 pm) | Jumaat (4.00 pm – 9.59 pm) | Sabtu, Ahad (8.30 am – 10.00 pm) | Khamis (Tutup)


36. Warung Ambo

Warung Ambo Shah Alam
Sumber: Warung AMBO

Oghe Kelate? Jom pakat makan di Warung Ambo untuk melepaskan kerinduan kepada masakan Kelate atau ‘pata timo.’ Bermacam jenis juadah disajikan di kedai makan ini dari makanan berat hinggalah kepada kuih-muih tradisional Kelantan, cukup lengkap juadah yang disajikan.

Untuk menu yang mengenyangkan, Warung Ambo menawarkan masakan seperti nasi ngosek, nasi ikan ayo, nasi daging kerutuk, nasi kerabu, nasi sado dan banyak lagi. Jangan lupa untuk melengkapkan hidangan ini dengan sambal untuk memantapkan lagi rasanya!

Bagi kuih-muihnya pula, terdapat sekaya pulut, pulut mangga, apam beras, pulut pagi, roti jala, puteri mandi dan banyak lagi.

Sebagai pelengkap hidangan, anda wajib cuba daripada bermacam jenis minuman yang disediakan seperti air buah bidara yang penuh dengan khasiat, teh madu serta teh hijau yang melimpah buihnya dan banyak lagi!

Alamat: 38, Jalan Novelis U1/86A, Laman Glenmarie, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.30 am – 4.00 pm) | Isnin Minggu Ke-2 Dan Ke-4 (Tutup)


35. Polperro Steak House (Seksyen 7)

Polperro Steak House Shah Alam
Sumber: Polperro Steak House Seksyen 7

Nikmati masakan barat dalam harga berpatutan di Polperro Steak House. Betapa sedapnya masakan di sini, sampaikan jarang sekali dapat dilihat restoran ini lengang daripada kehadiran pelanggan.

Walaupun selalu penuh, layanan yang diberikan sebaik anda melangkah masuk cukup menyejukkan hati. Pelayan yang murah dengan senyuman akan datang mengambil order.

Apa yang istimewa di sini? Antara yang mesti anda cuba adalah t-bone steaknya yang sungguh lembut dan mudah dipotong dengan sekali hirisan dan juga chicken chop combonya yang sungguh mengenyangkan. Hidangan lain yang turut ditawarkan adalah seperti hot baby scallop spaghetti, polperro carbonara, golden mushroom chicken chop dan banyak lagi.

Sambil menanti kehadiran makanan, perut yang berkeroncong tak akan kecewa kerana anda boleh melapik perut dengan menikmati otak-otak yang disediakan di atas meja (perlu dibayar berdasarkan bilangan diambil).

Pernah disyorkan oleh rancangan Jalan-Jalan Cari Makan, anda wajib cuba sendiri kelazatan hidangan di Polperro Steak House ini. Tak rugi cuba!

Alamat: 7, 2, Jalan Kristal J7/J, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 pm – 12.00 am)


34. Al Rawsha Restaurant

Al Rawsha Restaurant Seksyen 7 Shah Alam
Sumber: al-rawsha restaurant seksyen 7

Rasai pengalaman menikmati hidangan di dalam ‘istana’ sekiranya anda singgah ke restoran masakan Arab, Al Rawsha Restaurant. Seolah-olah terbeku di dalam era lama, siapa pun akan terpana melihat keindahan bangunan restoran ini yang kelihatan tidak ubah seperti sebuah istana klasik.

Melangkah masuk ke ruangan dalam, anda akan terlihat keindahan dindingnya yang dihiasi dengan mozek yang kelihatan eksklusif berserta corak berbentuk ukiran pada tiang, dapat membuatkan anda terasa seperti bercuti di negara Arab.

“Kalau macam ni mewah gayanya, licinlah poket!”

Jangan lari dulu! Anda akan terkejut melihat saiz hidangan yang akan dihantar ke meja untuk harga yang ditawarkan, sebenarnya cukup berpatutan. Betapa besarnya saiz hidangan sampaikan anda terpaksa berkongsi dengan orang lain. Salah satu masakan yang direkomenkan untuk anda cuba adalah Mansaf Jordan Lamb, memang terbaik!

Bab fasilitinya, restoran ini turut lengkap dengan ruang solat supaya anda tidak terkejar-kejar bila dah masuk waktu. Untuk lebih keselesaan, anda juga boleh menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari sini.

Alamat: 2, Jalan Platinum G 7/G, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 12.00 am)


33. Pak Li Kopitiam Shah Alam 13

Pak Li Kopitiam Shah Alam 13
Sumber: faizalrozali_peja, lrw.official, zumirabdullah, redahhh9193

Pak Li Kopitiam memang sangat popular di Shah Alam dengan pembukaan banyak cawangan di sekitar Shah Alam. Tetapi cawangan mereka di Seksyen 13 ini sangat istimewa. Bukan sahaja besar dan luas, Pak Li Kopitiam Seksyen 13 ini juga nampak classy dan elegan, namun tetap mengekalkan charm Kopitiam tradisional mereka. Kopitiam ini sering menjadi pilihan untuk bersama keluarga terutama sekali pada hujung minggu.

Masih mengekalkan menu yang sama seperti cawangan-cawangan yang lain, Pak Li di Seksyen 13 ini sering dipenuhi oleh peminat-peminat Pak Li Kopitiam. Yang popular di sini tentulah Nasi Lemak ayam mereka selain dari roti bakar, telur separuh masak dan kopi mereka. Selain itu, ramai yang gemarkan nasi ayam lemon dan katonglaksa di sini.

Alamat: 2, Jalan Balapan 13/32, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: 12pm-9pm (setiap hari, tutup pada hari Isnin)


32. Nasi Arab Restoran Aroma Hijrah

Nasi Arab Restoran Aroma Hijrah Shah Alam
Sumber: Restoran Aroma Hijrah

Bertemakan padang pasir, Restoran Aroma Hijrah adalah sebuah kedai makan dengan sentuhan dekorasi dalaman menarik yang boleh dijadikan lokasi menjamu selera bersama keluarga.

Sentiasa dibanjiri pelanggan, terutama sekali pada musim cuti atau hujung minggu, sebaiknya anda booking terlebih dahulu sekiranya merancang untuk ke Restoran Aroma Hijrah supaya tak kecewa mencari meja kosong.

Pelanggan yang ramai ini menjadi bukti betapa hebatnya masakan Arab yang dihidangkan sehingga mampu mengejutkan deria rasa. Mana tidaknya, masakan Arab di sini dikatakan diberikan sedikit ‘twist’ supaya ‘kena’ dengan lidah rakyat Malaysia.

Antara hidangan yang mesti dicuba adalah seperti baklava, humus, kebab, nasi mandy, maglubah, kabsah dan macam-macam lagi yang dihidangkan segar dan panas-panas dari dapur. Melihat saiz hidangan yang diletakkan di atas meja, sudah cukup untuk membuat anda kenyang.

Lebih sebab untuk menjadikan restoran ini sebagai pilihan adalah kerana ia turut lengkap dengan surau untuk memudahkan pengunjung menunaikan ibadah sebaik tiba waktu.

Sebelum pulang, jangan lupa untuk membeli kurma dan juga madu original dari negara Arab untuk dinikmati khasiatnya di rumah nanti.

Alamat: Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Selasa – Khamis (11.00 am – 3.30 pm, 5.00 pm – 10.30 pm) | Jumaat (11.00 am – 1.00 pm, 2.00 pm – 10.30 pm) | Sabtu, Ahad (11.30 am – 6.00 pm, 7.45 pm – 10.30 pm)


31. Restoran Temerloh Catering

Restoran Temerloh Catering Shah Alam
Sumber: Restoran Temerloh Catering – PATINiers

Boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi, begitulah dahsyatnya keenakan masakan yang dihidangkan di Restoran Temerloh Catering. Tapi masakan apa yang menggoda sangat ni?

Jawapannya dapat dihidu sebaik melangkah masuk ke dalam restoran ini yang mana aroma patin tempoyaknya begitu menusuk ke kalbu. Dihidang pula bersama sambal tempoyak dan ulam-ulaman. Sedar tak sedar dah berpinggan-pinggan nasi ditambah.

Waktu terbaik untuk anda singgah ke kedai ini adalah sebelum tiba waktu makan tengahari atau anda terpaksa menunggu untuk mendapatkan meja kosong. Sekitar 11.00 ke 11.30 pagi adalah waktu yang terbaik.

Alamat: 2, Jalan Pahat J 15/J, Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 6.00 pm)


30. Nasi Lan Kedah

Nasi Lan Kedah
Sumber: Nasi Lan Kedah

Deria rasa anda pasti tak akan kecewa bila menikmati juadah yang disajikan di Nasi Lan Kedah.

Nasi yang dihidangkan di sini tidak ubah seperti nasi kandar namun menggunakan nasi kuning, dicurahkan dengan kuah, anda boleh melengkapkan nasi ini dengan pelbagai pilihan lauk-pauk seperti daging masak hitam, telur sotong, kambing, ayam goreng, kerang dan banyak lagi.

Tak kisahlah yang mana pun pilihan lauk yang diambil, masakannya cukup lembut, dengan gabungan rasa manis, masam dan masin yang begitu sempurna di lidah.

Alamat: 2730, Jln Serai Wangi G 16/G, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm)


29. Mozer’s Bukit Jelutong

Mozer’s Bukit Jelutong
Sumber: Mozer’s Bukit Jelutong

Menghidangkan masakan Arab Syria dan juga hidangan barat, sungguh beraneka menu yang disediakan. Apa saja yang tekak anda ingin rasakan, kemungkinan besar dihidangkan di sini, yang penting, rasanya memang superb!

Antara hidangan menarik adalah pavlova, banoffee, shawarma ayam, shawarma kambing, nasi maglouba, om ali dan banyak lagi.

Selain masakan Arabnya, Mozer’s Bukit Jelutong juga sebenarnya terkenal dengan hidangan churros mereka yang sangat crunchy. Bagi pencinta churros tunggu apa lagi? Berita baiknya lagi, anda boleh mendapatkan churros percuma kalau memberikan pihak restoran telefon bimbit untuk disimpan sementara menikmati hidangan. Bagus juga idea ni untuk mengelakkan sesiapa daripada tenggelam dalam phone semasa makan beramai-ramai kan?

Bab harga? Kalau dibezakan dengan restoran lain yang turut menghidangkan masakan Arab, boleh dianggap murah. Nak hilangkan lapar tapi tak sanggup melihat duit menipis sekelip mata, mai singgah makan di sini!

Alamat: 12G, D’Bayu Business Centre, 40160, Jalan Serambi U8/21, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor


28. Rojak & Cendol Shah Alam

Rojak & Cendol Shah Alam
Sumber: Rojak & Cendol Shah Alam

Masih ada ruang kosong di dalam perut? Jom singgah ke Rojak & Cendol Shah Alam untuk menikmati pencuci mulut yang kelazatannya bakal membuat anda makan bertambah-tambah.

Menawarkan sekitar 100 jenis rasa cendol, di mana lagi anda dapat jumpa kedai yang seinovatif ini dalam bab makanan tradisional cendol ni? Anda boleh memilih daripada cendol madu, cendol buah tin, cendol marshmellow hinggalah kepada cendol yang biasa kita dengar seperti cendol pulut dan cendol durian, boleh terbeliak mata sekali terpandang senarai menunya.

Bab harga, untuk cendol durian, ianya bergantung kepada harga semasa durian. Kalau anda kempunan durian ketika bukan musimnya dan tak kisah untuk bayar lebih, kedai ini patut menjadi lokasi yang pertama sekali anda tujui.

Alamat: Medan Selera Delima, Lot G.2, Jalan Bawang Putih 24/34, Seksyen 24, 40200 Shah Alam

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (12.00 pm – 12.00 am) | Isnin (Tutup)


27. Foodsbury di Seksyen 9, Shah Alam

Restoran Foodsbury Shah Alam
Sumber: Foodsbury

Kedai makan dengan sentuhan interior yang begitu santai dan cozy, Foodsbury adalah sebuah restoran yang akan meninggalkan memori indah bukan sahaja kerana atmosferanya tapi juga kerana rasa hidangannya yang begitu sempurna seperti menikmati makanan di restoran mewah.

Tiada satu pun makanan yang hanyalah sekadar hidangan biasa, kelazatan masakan yang disediakan di sini seolah-olah kesemuanya adalah menu utama atau menu ‘viral’nya. Tak percaya? Cuba sendiri. Antara yang boleh anda nikmati adalah tom yam spaghetti, chicken grill, beef burger, lamb chop dan banyak lagi. Menu pencuci mulut yang menarik hati ramai pelanggan di sini pula adalah kek crepenya yang cukup enak.

Sebagai pelengkap hidangan, anda boleh mencuba minuman salted caramelnya yang tidak terlalu manis namun memiliki rasa karamel yang secukupnya.

Bagi para pelajar, anda dapat menikmati hidangan di sini dengan diskaun sebanyak 10%. Apa lagi, mai datang ramai-ramai buat discussion dekat sini!

Alamat: 24, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (12.00 pm – 10.30 pm) | Isnin (Tutup)


26. D Kayangan Steamboat

D Kayangan Steamboat Shah Alam,
Sumber: D’Kayangan Steamboat BBQ Buffet

Alangkah puasnya hati bila datang dengan perut kosong, di sini anda dapat menikmati makanan sampailah kenyang kerana penangan konsep buffet D Kayangan Steamboat.

Pilih sahaja daripada 12 jenis makanan laut segar yang dihidangkan serta sehingga 24 variasi perapan kambing, daging, ayam dan ikannya. Siapa tak naik ‘sheikh’ melihat semua pilihan yang ada? Anda boleh memilih sama ada untuk menikmati dengan sup biasa ataupun tom yam.

Yang mana anda lebih suka? Makan di ruangan yang terbuka untuk menikmati angin luar atau dalam bilik berpenyejuk udara? Pilih sahaja tempat duduk yang diingini.

Bagi yang bercadang untuk datang beramai-ramai, jangan risau, tempat meletak keretanya juga cukup luas.

Alamat: Sri Acappella, 1, Jalan Lompat Tinggi 13/33, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (5.00 pm – 11.59 pm) | Sabtu, Ahad (3.00 pm – 11.55 pm)


25. Eat & Repeat

Eat & Repeat Shah Alam
Sumber: Eat & Repeat Cafe Shah Alam

Pernah makan Boat Noodle? Dengan konsep yang lebih kurang sama, anda boleh order seberapa banyak makanan yang ingin dirasai dengan harga statik hanya RM1.90 satu menu di Eat & Repeat. Mix and match sahaja mengikut selera anda, dari nasi paprik, mee hailam, nasi ayam cincang dan macam-macam lagi, anda akan rambang mata dengan pilihan yang ada.

Sebagai pemanis mulut, menu menarik yang ada adalah seperti pulut mangga, ais krim vanilla dan ais krim kopinya yang sangat disyorkan untuk dicuba.

Bagi yang nak makan sepuas hati tapi tetap nak berbajet-bajet tu, restoran ini tercipta khas untuk anda. Bagi yang duduk jauh dari Shah Alam, restoran ini turut memiliki 7 lagi cawangan lain iaitu di Senawang, Bangi, Kuala Selangor, Johor Bharu dan Kuala Terengganu.

Alamat: YG24, Jalan Plumbum Y7/Y, Pusat Komersial Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 11.00 pm)


24. Island BBQ Steamboat

Island BBQ Steamboat Shah Alam
Sumber: Island BBQ Steamboat

Terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Subang, Island BBQ Steamboat adalah sebuah lagi kedai berkonsep buffet yang boleh anda nikmati tidak kira seberapa penuh pinggan atau berapa kali tambah dengan hanya sekali bayar. Wajib datang dengan perut kosong!

Cukup banyak pilihan makanan laut yang dihidangkannya. Di samping steamboat, menu lain yang turut ditawarkan adalah seperti mihun goreng, bubur, laksa, nasi lemak, kuey teow dan sebagainya.

Untuk menyegarkan tekak selepas makan bermacam hidangan yang panas-panas ini, bolehlah cuba ais krimnya yang sungguh enak.

Mengenai kemudahan yang disediakan, restoran ini lengkap dengan tempat meletak kereta dan juga surau yang selesa.

Alamat: U5, Lot 3370, Jalan Kemboja, Kampung Melayu Subang, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Selasa – Khamis (6.00 pm – 12.00 am) | Jumaat – Ahad (5.00 pm – 12.30 am) | Isnin (Tutup)


23. Kedai Nasi JJ (Kak Wok) Shah Alam

Kedai Nasi JJ (Kak Wok) Shah Alam
Sumber: Kedai Nasi JJ Kak Wok

Melampau sedapnya, begitulah hebatnya rasa hidangan masakan terkenal di Kelantan ini, nasi kak wok di Kedai Nasi JJ (Kak Wok) Shah Alam.

Percayalah, sekali makan di sini, tiada lagi makanan lain yang dapat mengalahkan keenakan nasi panas kak wok yang dicurahkan dengan kuah gulai. Apatah lagi kalau ditambah dengan sambal. Gulainya cukup kaya dengan rasa santan, serta potongan ayamnya begitu menyelerakan. Simple, tapi rasanya memang sedap!

Harga untuk santapan enak ini cukup murah, ada yang dicaj hanya RM6 untuk satu hidangan yang lengkap. Makan hari-hari pun apa salahnya kan?

Alamat: 50, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.30 am – 6.00 pm) | Sabtu, Ahad (8.30 am – 3.00 pm)


22. Nasi Bukit Padang Jawa

Nasi Bukit Padang Jawa Shah Alam
Sumber: Warung Nasi Bukit

Bukanlah kerana terletak di atas bukit, tapi kerana hidangan nasinya yang mem‘bukit’ menjanjikan kekenyangan 24 jam, itulah sebab ianya dinamakan kedai Nasi ‘Bukit’ Padang Jawa.

Menjadi tempat makan pilihan ramai pelajar kerana kedudukannya yang tidak jauh dari UiTM Shah Alam, hidangan pelbagai jenis nasi gorengnya dikatakan mampu memberikan kekenyangan kepada 2 orang dengan hanya sepinggan nasi dalam harga standard sekitar RM5 ke RM10.

Bukan sekadar menjadi port makan nasi goreng yang membukit, menu lain yang turut ada di sini adalah seperti set nasi kambing, nasi ayam penyet, pecel lele dan juga nasi ayam.

Mengenai masakan kambingnya, kambing bakar di kedai ini juga dikatakan antara yang menjadi kegemaran ramai di Padang Jawa.

Alamat:  Jalan Mat Raji, Padang Jawa, 40200 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: 5.00 pm – 12.00 am


21. Restoran Lontong Klang

Restoran Lontong Klang Shah Alam
Sumber: Lontong Klang

Hilangkan “monday blues” anda di pagi hari dengan menikmati sarapan di Restoran Lontong Klang yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam ni. Ya, bukanlah di Klang.

Juadah istimewa di restoran ini adalah nasi lemak dan sudah semestinya lontongnya yang terasa cukup berlemak dan pedas.

Alang-alang dah sampai ke sini, anda mesti cuba lontong specialnya yang memang betul-betul istimewa. Nasi impitnya ‘diselubungi’ oleh kuah lodeh, lengkap dengan sambal sotong untuk rasa manis dan pedas, telur rebus, telur mata kerbau, tempe goreng dan bergedil yang padu dengan rasa daging. Akhir sekali lontong akan ditaburi dengan serunding kelapa.

Keenakannya dapat membuatkan anda jatuh cinta dengan lontong walau dengan hanya sekali suapan.

Alamat: 20, Jalan Zirkon 7f/F, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (7.00 am – 3.00 pm) | Jumaat (Tutup Awal Untuk Solat Jumaat)


20. Restoran Pak Mal Nasi Ayam

Restoran Pak Mal Nasi Ayam Shah Alam
Sumber: Pak Mal Nasi Ayam

Dengar saja nama restoran ni, terus dapat teka apa menu utamanya yang menjadi kegemaran ramai. Restoran Pak Mal Nasi Ayam yang terletak di Seksyen 10 ini menyajikan antara nasi ayam yang paling enak pernah dirasai!

Rahsianya? Terletak pada sambal atau sos yang digunakan untuk dicurahkan di atas ayam. Lepas rasa nasi ayam ni, dengar je nama Restoran Pak Mal, dah kecur air liur.

Selain nasi ayam, ada juga menu lain seperti soto, nasi kerabu dan lain-lain yang kesemuanya tidak kedekut dalam saiz hidangan. Sangat mengenyangkan. Jangan lupa juga untuk cuba cucur udangnya yang tak kurang sedapnya.

Yang bestnya juga, walaupun terkenal, harga nasi ayamnya kekal normal seperti mana kebanyakan harga nasi ayam di kedai lain, sangat berpatutan dengan rasa yang jauh lebih sedap.

Alamat: 2, Jalan Selendang 10/10, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.00 am – 11.30 pm) | Jumaat (Tutup)


19. CRG Chicken Rice Guys

CRG Chicken Rice Guys Shah Alam
Sumber: CRG Chicken RICE GUYS

Bukan hanya ada banyak pilihan kedai makan Arab, di Shah Alam rupa-rupanya terdapat juga kedai masakan Cina halal yang tak pernah sunyi daripada kedatangan pengunjung yang ingin menikmati rasa makanan yang menakjubkan. Kedai yang dimaksudkan ini adalah CRG Chicken Rice Guys yang terletak di Seksyen 7.

Makanan yang dihidangkan adalah masakan Cina yang dihasilkan dengan menggunakan teknik masakan tradisional Cina untuk mengekalkan rasa asli makanan tanpa perlu menggunakan walau secebis perisa seperti MSG.

Wajib dicuba adalah menu nasi ayam hainan, ayam steam berserta dengan teh aisnya, gabungan hidangan ni bakal ‘menghantui’ hidup anda sampai terpanggil-panggil untuk datang setiap hari.

Harganya, cukup murah iaitu hanya dari RM5.50 untuk sepinggan nasi ayam. Sedap dan murah, apa lagi yang anda perlukan?

Masakan lain yang boleh dicuba adalah nasi itiknya. Betapa sedapnya hidangan ini sampaikan lepas saja waktu lunch, menu ini pasti akan habis licin.

Alamat: 40, Jalan Zirkon 7f/F, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 7.00 pm)


18. Restoran Mak Uda Selera Timur

Restoran Mak Uda Selera Timur Shah Alam
Sumber: restoran mak uda selera timur

Restoran Mak Uda Selera Timur menghidangkan aneka masakan enak yang secara majoritinya adalah makanan tradisional Kelantan dalam harga yang sangat berpatutan.

Baca: 27 Tempat Menarik Di Putrajaya

Siapa yang tak gemar dengan masakan Pantai Timur? Hidangan yang disajikan di sini semuanya secukup rasa, lengkap dengan pelbagai jenis lauk-pauk yang menyelerakan.

Ramai yang datang ke sini tercari-cari nasi kerabu, nasi dagang Kelantan, gulai ayam dan banyak lagi.

Alamat: 50 & 52, Jalan Opera L U2/L, TTDI, Shah Alam


17. Nasi Kambing Harimau Nangis

Nasi Kambing Harimau Nangis Shah Alam
Sumber: Restoran Nasi Kambing Harimau Nangis

Tak mustahil kalau anda menitiskan air mata disaat menyuapkan Nasi Kambing Harimau Nangis ke dalam mulut kerana tahap kelazatannya yang sukar dipercayai.

Daging kambingnya cukup juicy dan lembut, pendek kata, kesempurnaan rasanya cukup heaven, wajib dicuba walau sekali dalam seumur hidup.

Selain nasi kambing, hidangan lain yang boleh dinikmati adalah asam pedas ikan jenahaknya yang memiliki kuah yang pekat dan rasa ikan yang segar, baunya sahaja sudah cukup membangkitkan selera.

Masakan lain seperti patin tempoyaknya juga sangat menyelerakan dengan masam manis yang secukup rasa. Pendek kata, orderlah apa sahaja, semua hidangan tak ubah seperti makan di restoran 5 bintang, semuanya dihasilkan oleh tukang masak dengan penuh rasa cinta.

Alamat: Lot, Lor Seri Cahaya 1, Kampung Melayu Subang, 40150 Shah Alam, Selangor


16. Kueh Café

Kueh Café Shah Alam
Sumber: KUEH

Ingin menikmati minum petang dengan makanan yang ringan-ringan? Atau mencari hidangan sampingan selepas puas menikmati segala macam menu berat? Anda boleh singgah ke Kueh Cafe yang terletak di Seksyen 13.

Dibuka setiap hari, dari jam 10 pagi hinggalah 10 malam, tanpa mengira masa, anda boleh menghilangkan kempunan kepada bermacam jenis kuih dengan menerjah terus ke Kueh Cafe.

Bukan sikit jenis kuih yang ada, cukup banyak! Dengan pilihan yang terdiri daripada kuih keria, apam ayu, donut, ketayap, kek lapis, kuih cara berlauk, kuih seri muka dan banyak lagi.

Pilihannya tidak terhenti di situ, makanan berat pun ada ditawarkan. Antaranya adalah nasi lemak, nasi kerabu, mee kari, soto dan lain-lain.

Kedainya? Cukup luas kerana menggabungkan dua buah kedai dan memiliki atmosfera yang cukup selesa dengan gaya industrial yang kelihatan sempoi. Memang menarik untuk dijadikan lokasi lepak bersama teman-teman atau keluarga.

Alamat: Jalan Renang 13/26, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm)


15. Restoran Soto Shah Alam

Restoran Soto Shah Alam
Sumber: Restoran Soto Shah Alam

Masakan orang-orang tua jarang sekali tak sedapkan? Sebab itulah, anda tak akan kecewa kalau menikmati hidangan di Restoran Soto Shah Alam. Menu utama di restoran ini iaitu sotonya adalah berdasarkan daripada resepi ibu mertua pemilik restoran ini sendiri, cukup padat dengan rasa.

Restoran yang terletak di Seksyen 8 ini menyajikan beberapa variasi soto iaitu mihun, mee dan juga yang menggunakan nasi impit.

Di samping soto, masakan lainnya juga mampu menggoda anda untuk mencampakkan duit dengan hati yang terbuka. Memang enak! Antara masakan yang dicadangkan untuk dicuba adalah seperti daging lemak cili api, roti canai, ayam penyet, gado-gado, ikan bakar dan banyak lagi!

Kalau bernasib baik, dapatlah anda melayan keenakan makanan sambil menyaksikan persembahan busking yang sering diadakan ketika waktu makan tengahari.

Alamat: No. 12, Jalan Liku B 8/B, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (7.00 am – 11.00 pm) | Isnin (Tutup)


14. Restoran Pak Anjang Bariani Johore

Restoran Pak Anjang Bariani Johore Shah Alam
Sumber: Pak Anjang Bariani Johore Sect 13

Rindu nak balik Johor tapi masih tak berkesempatan? Ubati homesick anda dengan menikmati masakan Johor di Restoran Pak Anjang Bariani Johore.

Inilah syurga nasi beriani gam yang asli daripada Johor yang boleh anda nikmati bersama dengan bermacam pilihan lauk-pauk yang ada seperti ayam, daging atau kambing yang masing-masing dimasak lembut.

Masakan tradisi Johor lain yang boleh didapati di sini adalah seperti mee rebus Johor, laksa Johor, mee bandung Muar dan banyak lagi.

Nak menikmati makanan dengan penuh kekhusyukan tanpa gangguan? Elakkan daripada datang ketika lunch hour dalam sekitar 11 pagi ke 3 petang ya?

Alamat: 44, Jalan Rugby 13/30, Seksyen 13 Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.30 am – 9.30 pm)


13. One Serambi Café

One Serambi Café Shah Alam
Sumber: One Serambi Café

Kalau anda sukakan vibe yang sangat chill dan cozy seperti di Starbucks, One Serambi Cafe bakal menjadi port santai yang akan sentiasa menguasai fikiran hanya selepas sekali singgah.

Dekorasi dalamannya cukup sejuk dipandang terutama sekali dengan adanya sebahagian dinding berbatuan sejuk batu-bata. Tingkap luas dari lantai ke siling di kafe ini juga membolehkan cahaya semula jadi menembusi seluruh pelusuk kafe yang luas. Menjanjikan anda suasana yang sungguh nyaman.

Bagaimana pula dengan makanan yang dihidangkan? Kafe ini menyediakan pelbagai makanan barat dari yang ringan hinggalah kepada makanan berat yang sungguh mengenyangkan. Yang pasti, kesegaran setiap hidangannya sungguh jelas dapat dirasa seperti daripada fish & chip, smoked salmon, squid ink pasta dan banyak lagi.

Selain dapat menghilangkan kelaparan, anda juga boleh mendapatkan ‘kuasa kafein’ untuk tenaga aktiviti seharian dengan menikmati kopi premium yang dihidangkan di sini. Sebelum minum tu, wajib tangkap gambar kopinya terlebih dahulu! Siap ada coffee art lagi tau.

Alamat: 1-G, D’bayu Commercial Centre, Jalan Serambi U8/21, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.30 am – 11.45 pm) | Isnin (Tutup)


12. Warong Saudagar Kambing Bakar

Warong Saudagar Kambing Bakar Shah Alam
Sumber: Saudagar Kambing Bakar Shah Alam

Terbayang-bayangkan hidangan dengan cheese yang meleleh-leleh? Keterujaan di saat melihat keju yang ditarik panjang? Inilah yang dapat anda rasai ketika menikmati hidangan di Warong Saudagar Kambing Bakar.

Bermacam menu panas yang boleh anda cuba kalau datang ke sini antaranya adalah kambing bakar cheese leleh, chicken chop cheese leleh, beef cheezy fries, wings chicken cheezy dan banyak lagi.

Mampu menampung sehingga 400 pelanggan pada satu-satu masa. Tiada masalah untuk mencari meja kosong, tapi kalau nak lebih selamat, booking terlebih dahulu.

Alamat: Kampung Jln Kebun, 40460 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (3.30 pm – 1.00 am)


11. Restoran Grease (Seksyen 13)

Restoran Grease Shah Alam
Sumber: Grease

Juga restoran yang dapat membangkitkan selera pencinta rasa lemak yang padu daripada keju, Restoran Grease menawarkan antara menu mesti cuba yang cukup mengiurkan iaitu mushroom cheesteak, chilli cheesesteak dan bacon cheesesteak. Apa? Cheese masih tak cukup padu? Boleh je beritahu pihak restoran untuk dapatkan wang anda kembali. Tapi admin yakin, ini tak akan terjadi.

Hidangan lain yang boleh dicuba di sini adalah seperti nachos, burger, pasta, chicken wings, hotdog dan macam-macam lagi. Kalau anda nak tahu, daging yang digunakan dalam burgernya dihasilkan dengan menggunakan resepi homemade yang tersendiri.

Alamat: Persiaran Akuatik, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00 pm – 12.00 pm)


10. Laman Grill Steak & Bar-B-Que Steakhouse

Laman Grill Steak & Bar B Que Steakhouse Shah Alam
Sumber: Laman Grill Steak & Bar-B-Que Steakhouse

Bagi yang berselera tinggi, bolehlah singgah ke Laman Grill Steak & Bar-B-Que Steakhouse. Mustahil untuk walau satu pun hidangan di kedai ini tidak mencapai standard rasa yang sepatutnya kerana restoran ini diasaskan oleh bukan orang yang calang-calang, tapi oleh Chef Zubir yang terkenal melalui rancangan Masterchef Malaysia.

Hidangan di restoran ini telah dihasilkan dengan penuh teliti oleh team kulinari yang dipilih oleh beliau sendiri.

Menu yang dihidangkan di sini adalah terdiri daripada steak Australia, steak USA, pasta Itali dan banyak lagi. Pendek kata, deria rasa anda dapat terbang dari satu negara ke satu negara dengan hanya duduk di dalam sebuah kedai.

Alamat: Persiaran Sukan, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00 am – 11.00 pm)


9. Fradoo ABC Special

Fradoo ABC Special Shah Alam
Sumber: Fradoo ABC Special Madness

Berpeluh sudah selepas seharian bershopping di Shah Alam? Destinasi seterusnya yang mesti anda singgah untuk mengembalikan kesegaran tekak adalah ke kawasan medan selera yang terletak di Seksyen 2 ataupun secara spesifiknya kedai bernombor 14, Fradoo ABC Special. Cari kedai yang dipenuhi orang ramai, kemungkinan besar, itulah Fradoo ABC Special.

Telah wujud dari 15 tahun yang lalu, anda boleh menjangkakan hidangan ABC yang dihasilkan oleh seorang pakar ABC yang sudah semestinya tidak akan mengecewakan.

Secara keseluruhannya terdapat hampir 10 jenis ABC yang ‘dimahkotakan’ dengan simbahan coklat yang likat. Sungguh enak!

Antara jenis ABC yang ditawarkan adalah ABC Milo, ABC Special, ABC Classic dan banyak lagi. Yang bestnya, bagi anda yang keliru nak makan ABC ke cendol, siapa kata tak wujud ABC Cendol? Anda mesti cuba menu unik ni!

Alamat: Stall No 14, Medan Selera Seksyen 2, Seksyen 2, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: 9.00 am – 12.00 am


8. Restoran Ceria

Restoran Ceria Shah Alam
Sumber: Restoran Ceria

Rasa moody habis sebab kena bangun awal pagi? Penawarnya berkemungkinan besar adalah Restoran Ceria yang terletak di Seksyen 3.

Restoran yang menghidangkan sarapan pagi ini nampak je biasa dari luar, tapi ianya cukup terkenal dalam kalangan penduduk Shah Alam kerana keunikan rasa nasi lemak dan roti canainya.

Selain itu, hidangan lain yang turut menjadi rebutan pelanggan adalah roti tampal telur goyangnya yang di toppingkan dengan telur mata kerbau. Menu wajib cuba yang seterusnya pula adalah cakoinya yang dihidangkan dengan kaya, panas-panas dari dapur, cukup menyelerakan.

Alamat: : 12, Jalan RU 3/9a, Seksyen 3, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00 am – 11.00 pm)


7. Nasi Kukus RZ

Nasi Kukus RZ Shah Alam
Sumber: Rz Nasi kukus

Bukan kedai biasa, ada yang sanggup datang dari jauh ke Shah Alam semata-mata untuk menikmati nasi kukus di kedai makan Nasi Kukus RZ ni.

Dengan harga yang bermula hanya dari RM6.50, anda dapat menikmati set nasi kukus yang lengkap dengan ayam goreng berempah, sambal dan kuah karinya yang mengeluarkan aroma menggoncang jiwa. Yang menambahkan lagi keenakannya adalah kerana dihidangkan di atas daun pisang, makin mengancam harumnya.

Alamat: 2, Jalan Plumbum Aa 7/Aa, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (10.00 am – 12.00 am) | Jumaat (2.00 pm – 12.00 am)


6. Restoran Sunda di Rumah Makan Cibiuk

Restoran Sunda di Rumah Makan Cibiuk
Sumber: Restoran Sunda di Rumah Makan Cibiuk

Ada sesiapa yang berketurunan Jawa? Kalau ya, anda akan menghargai kewujudan Restoran Sunda di Rumah Makan Cibiuk yang menghidangkan masakan Jawa Sunda Indonesia.

Walaupun bukan dari keturunan Jawa, anda pasti akan terkejut betapa enaknya hidangan di sini yang sebenarnya begitu sesuai dengan selera Malaysia.

Antara hidangan yang disajikan di sini adalah seperti sup iga bakar, nasi timbel, nasi liwet dan banyak lagi. Dalam banyak-banyak menu yang ada, paling wajib untuk anda cuba adalah nasi liwetnya  yang tidak ubah seperti nasi lemak, dihidangkan dengan lele goreng dan ayam kampung yang dibakar. Nasi ini apabila digabungkan dengan sambal, kelazatannya lain macam. Aromanya juga sungguh menggoda.

Alamat: Jalan Ikhtisas, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (11.00 am – 11.00 pm) | Jumaat (3.00 pm – 11.00 pm)


5. Gangnam Station Restaurant

Gangnam Station Restaurant Shah Alam
Sumber: Gangnam Station Restaurant

Bagi peminat “Oppa gangnam style!” ataupun Korea, anda wajib datang menikmati masakan Korea di Gangnam Station Restaurant. Tak kiralah sama ada anda terpaksa menempuh trafik yang sesak atau cuaca yang panas terik, restoran ini mesti anda singgah sekarang!

Keenakan masakan Koreanya dipuji ramai. Walaupun anda mungkin terkejut melihat harga di dalam menu, tapi bila sampai sahaja ke meja, anda akan teruja melihat saiznya yang melimpah-ruah. Ya, harganya sangat sesuai dengan saiz hidangan dan kelazatan.

Menu yang ditawarkan adalah seperti kimchi jjigae, jajangmyeon, dolsot bulgogi, bulgogi dubap, tteokbokki dan macam-macam lagi. Bagi yang selalu tengok K-drama tu, mesti tahu apa makanan ni semua kan?

Alamat: No G45, Block 6, Laman Seri Business Park, Persiaran Sukan, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30 am – 11.00 pm)


4. Teh Laris Café

Teh Laris Café Shah Alam
Sumber: Teh Laris Kafe / Laris Takeout Café

Teh Laris Café menyajikan juadah lazat dengan resepi asli daripada Johor dan juga Singapura.

Di sini, anda boleh menemui bermacam jenis hidangan seperti mee rebus Johor, nasi ambeng, lontong Singapura, kacang pool, asam pedas Johor dan banyak lagi tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh atau terbang ke Singapura.

Lebih sempurna lagi apabila hidangan ini digandingkan dengan teh lemon madu yang menyegarkan. Rancanglah untuk menjamu selera di sini nanti ya?

Alamat: 13, Jalan Snuker 13/28, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Ahad (8.00 am – 8.00 pm) | Ahad (Tutup)


3. Jibril

JIBRIL SS15 = Outside Restaurant Image

Jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru, pastikan anda cuba JIBRIL yang terletak di SS15 Subang Jaya, berdekatan dengan Shah Alam. Anda boleh ikuti Lebuhraya Persekutuan, hanya 10km dari Shah Alam. Sampai di sini, cari pintu tersembunyi ke restoran JIBRIL ini untuk mengalami pengalaman makanan yang luar biasa.

Dihiasi dengan rekaan dalaman yang romantic dan classy, restoran JIBRIL yang popular dengan masakan butter-based food ini cukup sesuai untuk sambutan harijadi, anniversary ataupun date night. Nak datang bersama keluarga atau rakan-rakan pon boleh. Masakan kegemaran ramai pelanggan termasuk Nasi Lemak Butter Chicken.

JIBRIL SS15 - Gambar Makanan Salted Egg
Sumber: Jibril SS15

Tapi kalau nak sesuatu yang lebih istimewa, boleh cube Salted Egg Butter Lobster mereka. Jangan lupa juga untuk mencuba minuman special mereka yang berbentuk mocktails. Semuanya dengan nama-nama istimewa. Specter, Monroe, Cleopatra, Saloma pon ada. Untuk pengalaman makan yang unik dengan harga berpatutan, pastikan anda pertimbangkan JIBRIL di SS15 Subang Jaya.

Laman web: https://linktr.ee/jibrilslounge

Baca Review Penuh Disini: JIBRIL

Alamat: No. 25, Jalan SS15/4B, 47500 Subang Jaya, Selangor

Waktu Operasi: 11am-11pm setiap hari


2. Restoran Jemari

Restoran Jemari Shah Alam
Sumber: restoran jemari

Kalau tak makan sehingga menjilat jari-jemari di Restoran Jemari memang tak sah. Di restoran yang terletak di Seksyen 7 ini anda mesti mencuba menu paling specialnya iaitu nasi goreng ala-Thai yang dihidangkan lengkap dengan kerabu mangga, daging masak merah, cili padi, timun, bawang dan keropok.

Hidangan lain yang juga menjadi kegemaran ramai adalah tom yamnya yang cukup pekat dan pedas, harganya juga bersesuaian dengan kekayaan bahan yang digunakan.

Hanyalah bersebelahan dengan butik jualan tudung, bagi yang dah penat bershopping tu, bolehlah singgah ke kedai ini sebelum pulang.

Alamat: No. 18A, Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, 40000 Shah Alam


1. Big Brother Restaurant & Grill

Big Brother Restaurant & Grill Shah Alam
Sumber: Big Brother & Co

Mustahil untuk anda tidak pulang dengan perut yang membulat kalau singgah makan di Big Brother Restaurant & Grill. Di sini masakan baratnya dihidangkan dalam saiz yang sangat mengenyangkan. Caj yang dikenakan? Begitu berpatutan.

Setelah puas menikmati kesedapan makanan beratnya, anda boleh mencuba menu sampingan lain seperti kek red velvet yang sungguh enak. Jangan lupa juga untuk mencuba kopi  istimewa restoran ini yang kaw habis!

Alamat: No.54-G Jalan Setia Perdana BB/U13 Seria 88 Business Centre Setai Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (4.00 pm – 12.00 am) | Sabty, Ahad (12.00 pm – 12.00 am) | Isnin (Tutup)


Dah ada idea nak makan di mana nanti? Dari kedai masakan Cina hinggalah Arab, tak cukup sebulan untuk anda menghabiskan food hunt di sekitar Shah Alam ni kan?

Jangan terkejut, sebenarnya ada banyak tempat makan menarik di Shah Alam lain yang tak dapat admin muatkan dalam artikel ni. Tak kira untuk santapan di waktu pagi, petang ataupun malam, tawaran kedai makan di sekitar Shah Alam ini ibarat tiada penghujungnya. Bertuah betul orang Shah Alam!

Baca: 73 TEMPAT MENARIK DI SELANGOR

Bagi anda yang perlu datang dari jauh, jangan risau, ada banyak tempat menarik yang boleh anda lawati untuk menjadikan kedatangan anda ke sini lebih padat dengan aktiviti. Selamat bercuti dan selamat menjamu selera di Shah Alam!

3.6/5 - (5 votes)