Bandar Taiping merupakan antara bandar yang bersejarah di Malaysia. Malahan, baru-baru ini bandar Taiping telah dinobatkan No 3 Most Sustainable City in the World di Majlis Anugerah 100 Bandar Terbaik Dunia 2019 di Berlin, Germany. Cukup membanggakan!
Jadi tidak hairanlah sekiranya ia menjadi tumpuan pelancong setiap kali tiba musim cuti persekolahan atau pada hujung minggu. Taiping juga menjanjikan variasi makanan-makanan yang sedap dan unik untuk anda nikmati. Jadi, jom kita lihat senarai tempat makan menarik di Taiping yang wajib anda singgah sekiranya berada di sana.
30. Nasi Kerabu Mashwi Tekah
Siapa kata di Taiping tak boleh cari Nasi Kerabu power setanding yang ada di Kelantan? Singgahlah ke restoran nasi kerabu mashwi tekah ini dan rasai sendiri kelazatan keaslian Nasi Kerabu mereka.
Uniknya, nasi kerabu disini dimakan bersama beraneka lauk masakan salai ayam,daging ataupun itik. Hidangan istimewa lain seperti solok lada dan daging bakar turut dijual disini. Rugi tak cuba, pastinya dapat memenuhi selera pantai timur anda!
Alamat: No 13 Jalan Tekah, Lorong Jaya 6, Taman Tekah Jaya, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9am – 8pm)
29. Mee Combat
Salah satu tempat makan yang menggamit kenangan penulis ialah Mee Combat yang terletak di Cashier Market, Jalan Panggung Wayang, Taiping. Gerai Mee Combat ini telah beroperasi sejak 1945 lagi dan kini diusahakan oleh generasi ke-3.
Mee Combat ini sebenarnya mi goreng mamak yang mempunyai kelainan rasanya yang tersendiri sehinggakan ia begitu popular di kalangan penduduk Taiping.
Cara masakan dan penyediaan Mee Combat ini sama seperti mana-mana mi goreng mamak yang ada dipasaran cuma perencah masakannya yang istimewa sehinggakan anda boleh merasai perbezaan ketika menikmati hidangan ini.
Ia dimasak kering dan dihiasi dengan daun bawang dan bawang goreng ketika dihidangkan. Harga sepinggan Mee Combat hanya RM4.50 sepinggan. Anda juga boleh memesan lauk ayam atau daging yang berharga RM7 setiap pinggan. Selain itu, gerai ini juga menghidangkan bihun sup, kuey teow goreng, nasi goreng dan juga maggi goreng.
Sekiranya anda bercuti di kawasan sekitar Taiping, jangan lupa singgah ke gerai Mee Combat yang terletak di dalam Cashier Market atau dahulunya dikenali sebagai Casual Market. Bangunan yang dibina sejak tahun 70-an ini turut menjadi syurga pelbagai jenis makanan popular di Taiping.
Lokasi: Jalan Panggung Wayang, 34000 Taiping, Perak
28. Warung Muhibbah
Bangun pagi dan lapar? Terus saja ke Warung Muhibbah untuk menikmati kelazatan Nasi Lemak yang cukup popular bukan saja dalam kalangan masyarakat setempat malah menjadi kegemaran mereka di luar kawasan.
Baca:Â 27 Tempat Menarik Di Taiping
Rata-rata pelanggan memuji keenakan sambal nasi lemaknya kerana tidak terlalu pedas dan terasa keaslian masakannya. Populariti menu Nasi Lemak di warung ini terbukti apabila seawal 6.30 pagi lagi akan ada pelanggan yang beratur untuk membelinya bersama lauk pilihan.
Antara lauk yang disediakan adalah seperti sotong, ayam dan daging. Menu lain yang turut dijual disini ialah seperti Soto Jawa dan Bihun Sup. Pasti membangkitkan tenaga anda untuk memulakan hari.
Alamat: Taman Tupai Mas, 34000 Taiping, Perak
27. Doli Kuey Teow
Restoran ternama yang sudah lama bertapak di Taiping ini mempamerkan konsep hidangan bercirikan Chinese style. Menu istimewa yang menjadi kegemaran pelanggan tentunya Char Kuey Teow yang digoreng basah bersama kuah pekat dan isi udang serta sotong yang banyak.
Jangan terkejut kalau anda cuma perlu membayar rm10-rm13 untuk hidangan seumpama itu. Menu lain yang cukup menyelerakan yang patut anda cuba ialah Nasi Ayam dan Mee Rebus. Dijamin sedap dan memuaskan selera!
Alamat: Jalan Tupai, 34000, Taiping, Perak
26. Locs & Thyme
Kalau anda sukakan food adventure, anda bolehlah cuba untuk menerokai menu lazat dan unik yang disajikan oleh Locs & Thyme Café ini. Menu yang diketengahkan adalah seperti fusion antara makanan barat dan ala Melayu.
Tidak hairanlah jika ia pernah dipromosikan sendiri oleh Astro Awani. Yang paling popular disini ialah hidangan Nasi Lemak dan Nasi Mentega yang dimakan bersama ayam panggang resipi istimewa mereka. Selain itu, menu kreatif hasil air tangan chef café ini adalah seperti Angel Hair Pasta feat.
Ayam Salai Masak Lemak Cili Api. Bagi yang sukakan manisan pula, café ini turut menyediakan pelbagai jenis kek dan coffee ala hipster. Dengar pun dah terliur bukan?
Alamat: 12, Jalan Lim Teong Chye, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9am – 6pm)
25. Oasis Yemeni Arabic Cuisine
Restoran masakan Arab-Yaman kepunyaan keluarga melayu Hajah Soraya ini pastinya mempunyai kelasnya yang tersendiri.
Malah, rata-rata pelanggan memuji kesedapan nasi kabsa, mandy, manghdout dan shawarmanya yang lebih enak berbanding pengusaha Arab-Yamani sebenar.
Rugilah kalau anda tidak membawa keluarga mahupun rakan-rakan untuk singgah dan menjamu selera sepuasnya. Tambahan pula, saiz hidangannya besar dengan harga yang cukup berpatutan. Dijamin sedap dan cukup menyelerakan.
Alamat: 42, Jalan Asam Kumbang, Kampung Asam Kumbang, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (12pm-11pm)
24. Cheeky Summer
Café ini sesuai untuk anda yang inginkan kelainan dan lari sebentar daripada makanan berat tradisional orang Taiping. Menu yang disajikan banyak menekankan aspek kesihatan dan diet yang seimbang.
Nak sihat bukannya susah, pesan saja pelbagai jenis jus atau dessert buah-buahan yang unik dan kreatif yang disajikan disini. Contohnya seperti minuman jus Golden Triangle yang menjadi signature café ini iaitu campuran buah nanas, halia, oren dan carrot.
Kalau nak makan pun boleh, Red Velvet Bowl smoothie atau istimewanya Fruit Vege Thin Crust Pizza ini sedap dan pasti mengenyangkan. Tambahan pula, dekorasi dalamannya yang mempamerkan konsep rusty modern ini pasti menarik untuk dijadikan latar belakang selfie anda!
Alamat: 92, Jalan Barrack, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8am – 6pm)
23. Ansari Famous Cendol
Dah puas berjalan dan melawat tempat menarik, tekak berasa haus dan perut pula berasa lapar, singgahlah menikmati keenakan cendol di Ansari Famous Cendol ini.
Menurut masyarakat Taiping, kedai makan ini antara yang legend kerana telah diusahakan selama tiga generasi. Cendol disini sangat terkenal kerana pemiliknya mencampurkan daun pandan bagi menaikkan aroma cendol selain tidak lokek dengan santan dan gula melaka.
Antara hidangan kegemaran yang dicadangkan ialah cendol pulut bakar bersama pasembor yang pasti memuaskan selera anda. Harganya juga sangat murah setanding dengan kualiti yang ditawarkan.
Alamat: 92, Jalan Barrack, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (10am – 6.30pm)
22. Chacibor Café
Bagi anda yang sukakan kepelbagaian di dalam pilihan makanan, anda bolehlah datang dan mencuba sendiri kelazatan makanan fusion Melayu, Thailand dan Barat ini.
Antara menu popular yang sering menjadi kegemaran ramai ialah seperti Tomyam Seafood, Grilled Chicken Chop dan Nasi Lemak Sotong.
Tambahan pula, restoran ini sesuai untuk anda yang mempunyai keluarga atau kawan-kawan yang ramai kerana ruang makannya luas mempamerkan konsep seperti sebiji rumah banglo melayu tradisional pasti menjadikan makan tengahari atau makan malam anda lebih selesa.
Pasti seronok menjamu selera pelbagai hidangan enak sambil bersembang dan bersantai bersama.
Alamat: Kampung Asam Kumbang, 34000 Taiping, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (5pm – 12am)
21. Roti Bakar Arang Fadzil House
Kedai makan ini juga merupakan antara yang terkenal di bandar Taiping dan mempunyai pelanggan setia daripada seluruh Malaysia.
Terkenal dengan roti bakar arang yang dihidangkan bersama telur separuh masak dan kacang panggang sebagai pelengkap hidangan tentu boleh membangkitkan mood ceria di pagi anda. Selain itu, anda juga wajib cuba roti kukus bersama inti pandan yang dipadankan bersama teh Tarik panas.
Nasi Lemak Rendang juga antara menu popular disini jadi tunggu apa lagi? Cepat cuba dan menikmati sendiri keenakan makanan disini.
Alamat: 1, Jalan Perusahaan 2, Kampung Sungai Tupai, 34000 Taiping
Waktu Operasi: Isnin – Ahad kecuali Jumaat (6.30am – 12.45pm)
20. Laksa Telur Goreng Kamunting
Bagi anda yang menggemari hidangan laksa, wajib singgah di gerai ini untuk menikmati keenakan laksa buatan asli pemilik gerai dan apa yang unik di sini ialah laksa tersebut disajikan bersama telur goreng garing.
Harganya cukup berpatutan iaitu antara RM3 hingga RM4 sahaja untuk satu hidangan. Pasti semangkuk tidak akan cukup untuk anda nikmati.
Alamat: Jalan Taiping – Bagan Serai, Kampung Jana Baharu, 34600 Kamunting
Waktu Operasi: Setiap Hari (12:00pm-06:00pm) | Jumaat (Tutup)
19. Popiah Basah Omar Taiping
Kalau nak cari makan pagi atau minum petang yang ringkas tetapi mengenyangkan, singgahlah di Pasar Taiping yang menjual hidangan Popiah Basah Omar yang cukup terkenal ini.
Istimewanya popiah ini ialah kerana ia merupakan resipi turun-temurun keluarga Omar dan telah lama beroperasi sejak bertahun yang lalu tentunya mempunyai jumlah pelanggan setia yang ramai.
Buktinya, seawal pagi pelanggan setia mereka telah lama beratur untuk membeli popiah basah mereka dan anda harus datang awal bagi mendapatkan tempat duduk.
Kalau anda nak tahu, tarikan gerai makan ini pernah disiarkan dalam rancangan terkenal Sarapan Pagi yang bersiaran di TV3.
Alamat: 5, Jalan Panggung Wayang, 34000 Taiping
18. Nafis Restoran
Kalau perut sudah berkeroncong minta diisi pada waktu makan malam, singgahlah di kedai mamak style gred A ini. Dikenali sebagai Nafis Kitchen, restoran ini menyajikan kepelbagaian masakan Thai, Melayu, makanan laut dan juga mamak.
Apa yang sering menjadi pilihan pelanggan untuk menjamu selera tentunya masakan panas dan Nasi Goreng Seafood antara yang cukup terkenal di sini. Dibuka berkonsepkan mamak style, tentunya tempat lepak dan santai menarik buat anda sekeluarga serta rakan-rakan.
Alamat: Jalan Kota, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 1am)
17. Roti Jantan Kaki Bukit Larut
Anda bukan sahaja boleh beriadah di Bukit Larut ini, malah anda juga boleh menikmati pelbagai makanan tradisional hasil air tangan masyarakat setempat. Antara menu sarapan pagi yang popular ialah seperti meehoon sup dan nasi lemak.
Tidak ketinggalan menu istimewa di sini yang dikenali sebagai Roti Jantan Gedik iaitu roti bakar dihidangkan bersama telur goyang istimewa, dicampur pula dua biji telur separuh masak, kacang panggang dan dua sosej pasti memberikan tenaga dalaman kepada anda. Setelah itu, bolehlah anda sambung semula aktiviti riadah anda!
Alamat: 34000 Taiping, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (7am – 6pm)
16. Rumah Makan Nasi Talam
Budaya makan di dalam talam sememangnya cukup sinonim di dalam kalangan masyarakat melayu. Tujuannya adalah untuk menjamu selera sambil mengeratkan silaturrahim sesama keluarga dan masyarakat.
Buat anda yang rindukan suasana kampung seumpama ini, bawalah keluarga makan di sini supaya anak-anak boleh merasai sendiri pengalaman berharga ini.
Makanan yang disajikan juga bukan calang-calang, masakan melayu asli dihidangkan di dalam talam mempunyai lauk pauk seperti nasi putih, patin masak tempoyak, gulai daging, telur masak lemak, kerabu pucuk kaduk, sambal tomato, sambal belacan dan ulaman serta satu jug air sirap disediakan dengan harga cuma RM20. Cukup berbaloi!
Alamat: Jalan Pokok Assam, Taman Raja Idris, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (10.30am – 5pm)
15. Mee Udang Mak Jah Kuala Sepetang
Mee Udang menjadi antara makanan kegemaran ramai rakyat Malaysia dan yang paling diutamakan di dalam hidangan ini tentulah kuahnya yang pekat serta isi udangnya. Mak Jah Mee Udang Kuala Sepetang pasti tidak akan mengecewakan anda.
Dengan harga RM11 hingga RM15, anda akan disajikan mee udang yang berkuah pekat, kaya dengan isi bahannya serta 5 hingga 7 ekor udang yang cukup segar dan bersaiz besar.
Ruang makannya yang luas pasti membuatkan anda sekeluarga dapat menjamu selera dengan selesa.
Alamat: Kampung Menteri, 34650 Kuala Sepetang, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu (12pm – 10pm)
14. Taiping Bomba Yong Tau Foo
Medan Selera yang terletak di belakang Balai Bomba Taiping ini sebenarnya telah lama menjadi tumpuan utama penggemar-penggemar Yong Tau Foo. Terdapat banyak gerai yang boleh anda pilih dan semuanya dijamin sedap dan asli.
Bukan sahaja menyajikan pelbagai variasi bahan Yong Tau Foo untuk dipilih, boleh rambang mata dibuatnya, malahan rata-rata peniaga sangat menitikberatkan ramuan kuah Yong Tau Foo mereka supaya pekat dan berkualiti.
Ianya sesuai untuk dijadikan makan tengahari mahupun makan malam buat anda yang inginkan sajian yang ringan tetapi mengenyangkan.
Alamat: Pusat Penjaja Taiping, Jalan Tupai.
Waktu Operasi: Setiap hari (3pm – 12am)
13. Ipoh Bakery
Berita baik buat anda yang sangat menggemari manisan seperti kek, pudding ataupun pelbagai jenis roti, Ipoh Bakery tentunya menjadi pilihan terbaik ketika berada di Taiping.
Kedai bakeri ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana sudah lama bertapak sejak tahun 1918 lagi dan kini legasinya diteruskan generasi ketiga dan keempat keluarga Tan.
Di sini, anda boleh mendapatkan segala jenis aneka manisan dan roti yang tentunya dibakar segar setiap hari.
Jangan lupa untuk mencuba signature menu mereka iaitu pai ayam dan puff curry serta jem kaya asli yang cukup istimewa dan tidak boleh dijumpai di mana-mana.
Bolehlah bungkus banyak-banyak, dibawa pulang untuk dikongsi bersama ahli keluarga. Pasti seronok minum petang sambil berbual mesra.
Alamat: 144-146, Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (8.30am – 7.30pm)
12. Station FMS-Selera Taiping
Konsep yang cuba diketengahkan di restoran ini ialah umpama medan selera yang cukup santai dan mempunyai gerai-gerai kecil menyajikan pelbagai jenis juadah kegemaran masyarakat Taiping.
Baca:Â 60 Destinasi Menarik Di Ipoh
Antara menu popular disini ialah seperti menu Yong Tau Foo, Nasi Ayam, Char Kuey Teow, Mee Kuah selain daripada pelbagai jenis minuman hipster dari jus, smoothie dan blended coffee juga turut menjadi tumpuan.
Pada sebelah petang hingga malam, anda akan dihiburkan pula oleh Live Band atau Buskers undangan dengan dendangan lagu-lagu popular. Tentu makan malam anda cukup bersahaja dan menenangkan.
Alamat: Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu (11am – 1am)
11. Talam Lounge
Sukakan makanan ala barat atau masakan asia dengan kuantiti yang banyak tetapi harga yang murah? Wajib bawa keluarga dan rakan rakan untuk menikmati hidangan sebegitu di Talam Lounge.
Konsepnya mudah, hidangan seperti grilled chicken/lamb, pasta, sosej, fries, malahan nasi goreng disediakan sekali di dalam satu talam yang besar untuk dikongsi bersama. Selain itu, pilihan pelbagai jenis makanan laut atau set nasi masakan melayu seperti nasi kerabu atau nasi tomato malahan nasi arab di dalam talam juga turut menjadi signature dish sini.
Apa yang lebih menarik, Talam Lounge menjanjikan makanan percuma buat kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Wah, berita baik bukan buat ibubapa yang mempunyai ramai anak! Boleh makan sepuasnya dengan harga yang cukup berpatutan.
Alamat: Jalan Asam Kumbang, Kampung Asam Kumbang, 34000 Taiping
Waktu Operasi: Setiap hari (5pm – 12am)
10. Tomyam Sejati
Bersesuaian dengan nama restorannya, ‘Sejati’, sudah tentulah masakan tomyam dan menu ala Thai di restoran ini cukup asli dan kaw.
Oleh itu, bawalah keluarga anda atau rakan-rakan untuk singgah makan malam di restoran ini sekiranya mengidamkan masakan panas Thailand yang authentic, seolah berada di negara tersebut sendiri.
Menu utama tentu saja Tomyam yang wajib dicuba, tetapi cadangan hidangan lain yang turut viral ialah seperti sup daging atau sup perut istimewa serta kangkung goreng belacan yang pastinya lazat sehingga menjilat jari untuk dimakan panas-panas bersama nasi putih.
Alamat: 1A, Taiping Business Centre, Lorong, 34000 Taiping, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (8.00 am – 2.30am)
9. Bismillah Chendol Taiping
Kedai makan ini kelihatannya biasa dan sederhana saja tetapi kelazatan cendolnya tidak terkata.
Dikenali kerana menjadi gerai pertama yang menjual cendol disini, rata-rata pelanggan setia mereka cukup berpuas hati dengan hidangan yang disajikan.
Buktiknya, ramai orang akan beratur panjang terutama pada waktu kemuncak semata-mata untuk menikmati makanan di sini.
Jadi tips untuk anda, datang lebih awal untuk cop tempat duduk. Bukan saja cendol, laksa penang dan pasembor juga antara menu yang laris dijual.
Alamat: 233, Jalan Barrack, 34000 Taiping, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (8am – 6pm)
8. Ilham Rasa Café
Restoran ini viral dengan kesedapan hidangan Mi Kicap ala Chinese Style dan pemanis mulut Roti Sangkaya mereka yang mempunyai rasanya yang tersendiri.
Namun, anda jangan tidak tahu, Ilham Rasa Café baru-baru ini juga telah menambah banyak hidangan istimewa lain di dalam menu mereka.
Antara yang menarik ialah seperti set nasi ikan keli/talapia/ayam goreng/udang yang didatangkan bersama air sirap dan nasi tambah secara percuma, selain itu terdapat juga pad thai dan kerabu maggi sesuai buat anda yang menginginkan sesuatu yang lebih ringkas dan ringan.
Alamat: No. 53, Persiaran TBC, Taiping Business Centre, 34000 Taiping, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari (7.30am – 3.30pm)
7. Steamboat & Steak Taiping
Restoran ini merupakan pilihan yang tepat sekiranya anda penggemar kepada hidangan makanan laut yang dimasak menggunakan kaedah steamboat.
Kuah steamboat boleh dipilih samaada sup ayam atau tomyam, lalu dihidangkan bersama pelbagai bahan yang segar. Signature dish di sini iaitu steak, chicken chop malahan juadah melayu juga menjadi kegemaran pelanggan setia mereka.
Paling best ialah asam pedas claypot istimewa mereka yang wajib dipesan. Selain itu, set buffet juga turut dipromosikan disini sebagai alternatif lain buat anda yang sukakan kepelbagaian dalam makanan.
Ruang dekorasinya juga luas dan selesa menggunakan meja bulat, menjadikan tempat ini sesuai untuk makan malam bersama keluarga tercinta.
Alamat: Berhadapan Wisma Persekutuan, Jalan Istana Larut, 34000 Taiping
Waktu Operasi: Setiap hari (3pm-2am)
6. Dataran Wann Ikan Bakar
Bagi anda yang sudah kepenatan beriadah di Bukit Merah Laketown, perut pula sudah terasa lapar, apa kata anda dan keluarga singgah makan di Dataran Wann Ikan Bakar ini.
Variasi makanan yang disajikan bukanlah semata-mata hidangan ikan bakar segar sahaja, malahan lauk pauk ala Melayu penuh dari hujung meja ke hujung meja yang lain.
Terdapat juga aneka sate, pau serta buah-buahan buat pembuka selera. Konsepnya seperti layan diri jadi untuk air minuman biasa seperti teh, kopi atau sirap  telah tersedia dan anda cuma perlu menambah ais sendiri saja.
Alamat: Lot 5628, Kampung Pasir Berhadapan Taman Tasik, 34600 Kamunting
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali jumaat (10am – 9.30pm)
5. Laksa Buyong Taiping
Kalau tadi kita dikenalkan dengan Laksa Telur Goreng, kali ini pula cuba anda rasai sendiri keenakan luar biasa Laksa Buyong ini. Yang paling popular disini tentunya Laksa Pulas kerana kepekatan kuah laksanya resipi turun-temurun pemilik kedai makan ini sendiri.
Laksa Pulas ini berbeza dengan menu hidangan laksa yang lain ialah kerana ianya dimasak segar setiap hari dan mee laksa yang digunakan diperbuat khas menggunakan tepung gandum, memang unik dan jarang boleh didapati di mana-mana.
Harganya juga sangat murah. Tunggu apa lagi? Cepat datang dan cuba sendiri!
Alamat: KPW Kampung Jelutong, 34850 Taiping, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (11am – 6pm)
4. D’Labit Café Taiping
Hujung minggu atau musim cuti adalah waktu terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan untuk makan malam dan bersantai di D’Labit Café ini. Ruang makannya selesa, berhawa dingin dan lapang selain makanannya yang pelbagai dimasak khas oleh Chef Azhar.
Menu utama mereka ialah masakan steamboat dihidangkan bersama bahan-bahannya yang segar, terdapat juga menu ala carte ala western seperti steak dan lamb chop atau anda boleh cuba fusion barat-melayu seperti nasi goreng chicken chop yang tentunya puas dan menyelerakan.
D’Labit juga menerima tempahan catering buat pelbagai acara seperti korporat atau sambutan hari jadi dan rata-rata pelanggan sangat berpuas hati dengan servis dan kualiti makanan yang ditawarkan.
Alamat: 51, Jalan Unta, Kampung Jambu, 34000 Taiping, Negeri Perak
3. Le’pak Kitchen Taiping
Le’pak Kitchen ini menyediakan hidangan ala barat yang berkualiti tetapi murah. Hidangan yang sering mendapat pujian ialah seperti lamb chop dan nasi goreng chicken chop yang dimasak sempurna dan menyelerakan.
Restoran ini juga berkonsepkan santai dan kebersihannya juga terjaga. Tentu anda akan mengulangi kunjungan anda ke sini lagi setiap kali mengidam makanan enak dan lazat.
Alamat: Jalan Taman Kaya, Taman Sungai Mas, 34000 Taiping
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (5pm – 12am)
2. Kings Char Kuey Teow
Diusahakan pasangan suami isteri yang sememangnya hebat memasak terutama masakan Asian fusion hasil kreativiti mereka. Namun apa yang lebih menjadi tumpuan utama disini tentunya Char Kuey Teow padu yang disajikan bersama udang XL yang segar dan banyak.
Istimewanya char kuey teow disini ialah kerana ianya digoreng sempurna samada goreng berkuah ataupun tidak, mengikut citarasa anda sendiri.
Rata-rata pelanggan amat berpuas hati dengan hidangan yang disediakan berbaloi dengan harga dan kualiti yang ditawarkan. Dijamin kelazatannya yang luar biasa!
Alamat: Bersebelahan Pasar Tani Taiping(Bangunan City College Lama)
1. The Train
Melangkah saja keluar dari ETS di Taiping, singgahlah sebentar di restoran The Train ini. Anda akan disambut dengan aroma istimewa kepak ayam yang dimasak sempurna ala Buffalo, Jepun atau ala Thai yang cukup membangkitkan selera sesiapa sahaja yang menghidunya.
Anda juga disyorkan untuk mencuba hidangan variasi sandwich mereka yang sedap dan tentu saja mengenyangkan.
Restoran kepunyaan anak dramatis terkenal zaman 80-an, Hilal Azman ini berkonsepkan dekorasi kayu pallete dan tradisional sememangnya menenangkan untuk anda melepaskan penat berada di dalam perjalanan.
Alamat: 1, Jalan Stesen, Bangunan keratapi lama, 34000 Taiping
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (5.30pm – 12 am)
Tentu anda tidak sabar bukan untuk mencuba tempat makan menarik di Taiping yang kami kongsikan di atas.
Jangan lupa untuk rancang percutian anda dengan baik supaya tidak terlepas peluang untuk menikmati hidangan-hidangan lazat di bandar Taiping ini. Selamat mencuba!