Merancang untuk melancong ke ibu negeri Kedah, Alor Setar pada musim cuti akan datang? Anda telah membuat pilihan yang tepat! Bandar yang terletak di utara semenanjung Malaysia ini menyimpan pelbagai keunikan tersendiri yang dapat mempesonakan sesiapa sahaja.

Dari struktur bangunan yang menarik hinggalah kepada alam semula jadinya dengan pemandangan yang memukau jiwa, Negeri Jelapang Padi ini bakal menjadi destinasi yang mustahil dapat dilupakan.

Ingin tahu dimanakah tersembunyinya semua tarikan di Alor Setar ini? Teruskan membaca senarai 11 tempat menarik di Alor Setar yang mesti anda lawati.

11. Menara Alor Setar

Menara Alor Setar Image
Sumber: Discover Kedah

Kalau pergi ke Alor Setar tapi tak singgah ke Menara Alor Setar rasa macam tak lengkap perjalanan makan angin di sini. Sebagai menara telekomunikasi kedua yang tertinggi di Malaysia, sudah semestinya ini menjadi tarikan utama yang tak patut anda lepaskan.

Seni binaannya dikatakan diinspirasikan daripada gelaran yang diberi kepada negeri Kedah sendiri iaitu, β€˜Negeri Jelapang Padi.’ Kalau anda perasan, struktur menara ini kelihatan seolah-olah serumpun padi.

Baca:Β 55 Destinasi Paling Menarik Di Kedah

Bukan sahaja menarik dari segi reka bentuknya, menara ini juga lengkap dengan pelbagai fasiliti menarik seperti ampitheatre, dek pemerhatian pada ketinggian 88 meter, restoran berputar yang terletak pada ketinggian 94 meter dan juga bilik seminar pada ketinggian 100 meter. Anda juga boleh singgah ke kedai cenderamata untuk membeli tanda ingatan sebelum pulang.

πŸ“ AlamatπŸ’² Harga Tiket
Alamat: Menara Alor Setar, Lot 99, Lebuhraya Darul Aman, 05100 Alor Setar, Kedah
Harga Tiket: Dewasa RM12 | Kanak-Kanak (4 – 12 Tahun), OKU, Warga Emas RM8

10. Muzium Padi Alor Setar

Muzium Padi Alor Setar Image
Sumber: Muzium Padi Alor Setar

Berlatar belakangkan keindahan Gunung Keriang yang penuh kehijauan, Muzium Padi Alor Setar hanyalah 8 km sahaja dari bandar Alor Setar. Sekiranya anda datang pada musim menanam, kawasan di sekitar muzium ini kelihatan seperti permaidani hijau yang sangat menyegarkan pandangan mata. Pada waktu padi mula masak pula, sekitar muzium ini akan mula dihiasi oleh warna keemasan.

Antara yang menarik di muzium ini adalah pameran berkenaan sejarah penanaman padi Kedah, info berkaitan jenis-jenis padi yang berbeza, peralatan pesawahan tradisional, peluang belajar untukΒ  membanting padi dan banyak lagi pameran menarik lain yang dapat membuka mata supaya kita lebih menghargai setiap biji beras yang diletakkan di atas pinggan.

Anda juga boleh naik ke platform beputar yang memaparkan mural sawah berketinggian 8 meter dan berkepanjangan 103 meter. Dah puas melihat segalanya? Sebelum melangkah pulang, anda boleh singgah ke kedai cenderamata untuk membeli pelbagai kraftangan yang diinspirasikan daripada padi.

πŸ“ Alamat⌚ Waktu OperasiπŸ’² Harga Tiket
Alamat: Β Muzium Padi,Lot 798 Jalan Gunung Keriang, Mukim Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00 am – 5.00 pm) | Jumaat (Tutup Sementara 12.30 pm – 2.30 pm)
Harga Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM2

9. Gua Gunung Keriang

Gua Gunung Keriang Alor Setar
Sumber: keriang cave

Sesudah melawat Muzium Padi, lokasi seterusnya yang boleh anda lawati adalah Gua Gunung Keriang. Kedudukan kedua-dua tarikan ini sangat hampir antara satu sama lain.

Bagi yang ingin memanjakan mata dengan keindahan alam semula jadi, inilah salah satu destinasi yang tidak rugi untuk lawati. Sekiranya anda berstamina tinggi, bolehlah mendaki sehingga ke puncak gunung untuk sebuah ganjaran pemandangan hamparan sawah padi yang mustahil untuk dilupakan.

Selain pendakian, anda juga boleh melawat gua-gua batu kapur yang ada di gunung ini di mana di dalamnya terdapat pembentukan batuan kristal yang mengujakan. Tak larat nak mendaki? Jangan risau, kemudahan lif setinggi 7 tingkat telah disediakan untuk kemudahan anda. Jangan lupa untuk membawa pulang batuan kristal yang dijual di sini untuk dijadikan kenangan ya?

πŸ“ Alamat
Alamat: Gua Gunung Keriang, 05150, Alor Setar, Kedah

8. Muzium Negeri Kedah

Muzium Negeri Kedah Alor Setar
Sumber: Kedah State Museum

Muzium Negeri Kedah yang juga pernah dikenali sebagai Muzium Sejarah Kedah pada tahun 1957 ini adalah sebuah muzium yang menempatkan sehingga 10 buah galeri berbeza untuk memuaskan hati para pencinta sejarah, seni dan budaya.

Antara galeri tetap yang terdapat di muzium ini adalah Dewan Sejarah, Dewan Manuskrip, Dewan Kebudayaan, Dewan Tekstil, Dewan Seni Kraf serta Sudut Bahasa dan Sastera.

Selain ruangan pameran yang pelbagai, muzium ini turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kafeteria, bengkel, teater mini, perpustakaan dan fasiliti asas lain seperti tandas awam, lif serta tempat meletak kereta.

πŸ“ Alamat⌚ Waktu OperasiπŸ’² Harga Tiket
Alamat: Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman, Lebuhraya Darul Aman, Bakar Bata, 05100 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00 am – 5.00 pm) | Jumaat (Tutup Sementara 12.30 pm – 2.30 pm)
Harga Tiket: Percuma

7. Masjid Zahir Alor Setar

Masjid Zahir Alor Setar
Sumber: Muzairi Mustapaβ€Ž

Sesudah puas berjalan dari satu lokasi ke satu lokasi menarik, apa kata sekiranya anda singgah sebentar ke Masjid Zahir Alor Setar untuk mendapatkan ketenangan yang sebenar sambil menunaikan ibadah. Terletak di tengah-tengah pusat bandar, cukup mudah untuk anda sampai ke masjid ini. Setibanya di sini nanti, anda bakal disambut oleh sebuah struktur indah.

Keasyikan menyaksikan masjid ini makin bertambah bila mengetahui usianya yang sudah pun mencecah lebih 100 tahun! Memiliki 5 buah kubah hitam sebagai simbol kepada rukun Islam, masjid ini dikatakan antara masjid yang tercantik di dunia.

πŸ“ Alamat
Alamat: Jalan Kampung Perak, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah

6. Taman Jubli Emas Alor Setar

Taman Jubli Emas Alor Setar Image
Sumber: Dr.Ismadi

Bercadang ingin berjogging bersama keluarga di dalam suasana penuh keindahan? Anda boleh membuka langkah kaki ke Taman Jubli Emas Alor Setar. Di tengah-tengah taman ini terdapat sebuah kolam ikan di mana anda boleh berhenti seketika setelah berjogging satu pusingan untuk memberi ikan-ikan yang ada di sini makanan.

Selain jogging dan memberi ikan makan, aktiviti lain yang boleh anda lakukan di sini adalah seperti bermain layang-layang, bermain skateboard, atau menunggang kuda. Kalau anda datang ke sini pada musim cuti sekolah, cukup terasa kemeriahannya.

πŸ“ Alamat
Alamat: Kampung Suka Menanti, 05150 Alor Setar, Kedah

5. Masjid Al-Bukhary

Masjid Al-Bukhary Alor Setar
Sumber: Alchemiya

Selain Masjid Zahir, masjid lain yang mesti anda singgahi untuk merasai nikmat beribadah di Alor Setar adalah Masjid Al-Bukhary. Di masjid ini, anda dapat menunaikan ibadah dengan penuh khusyuk bukan hanya kerana ketenangan suasananya yang jauh dari gangguan bunyi, tapi juga kerana keindahan rekaannya yang sungguh mempesonakan.

Rekaan masjid ini dikatakan dipengaruhi oleh seni bina Turki dan juga Iran. Manakala minaretnya pula adalah dipengaruhi oleh seni bina Mesir dan Madinah.

Berkeluasan 4.96 ekar, masjid yang dibina di bawah Albukhary Foundation ini dapat menampung jumlah jemaah yang besar iaitu mencecah sehingga 15,000 orang pada satu-satu masa.

Mengenai kemudahan yang disediakan, masjid ini lengkap dengan bilik pengajian, bilik mesyuarat, bilik wuduk lelaki dan wanita, bilik pengurusan jenazah, bilik imam, dan pelbagai kemudahan untuk orang kurang upaya seperti lif dan tandas khas.

πŸ“ Alamat
Alamat: Β Jalan Langgar, Kedah, 05450 Alor Setar

4. Pekan Rabu Ukir Mall

Pekan Rabu Ukir Mall Alor Setar
Sumber: Google

Hanyalah 100 meter dari Menara Alor Setar, setelah puas menikmati pemandangan sekitar bandar dari menara, tibalah masa untuk menghilangkan rasa lapar dengan mencuba pelbagai hidangan tradisional Melayu di Pekan Rabu Ukir Mall. Di sini, anda bakal menemui makanan seperti kuih bahulu, dodol durian, ikan pekasam, kuah rojak dan sebagainya, hidangan panas juga turut terdapat di sini.

Selain makanan, barangan lain juga turut diniagakan seperti pakaian dan ubat-ubatan. Jangan lupa untuk bertawar-menawar supaya anda dapat membeli dalam harga yang memuaskan hati.

πŸ“ Alamat
Alamat: Ukir Mall (Pekan Rabu), Jalan Sultan Badlishah, Alor Malai, 05000 Alor Setar, Kedah

3. Uptown Stadium Darul Aman

Uptown Stadium Darul Aman Alor Setar
Sumber: Uptown Stadium Darul Aman

Tertanya-tanya apa nak dibuat bila tiba waktu malam di Alor Setar? Salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan adalah bershopping sakan di Uptown Stadium Darul Aman.

Di sini, terdapat lebih daripada 100 buah gerai dengan jualan barangan seperti pakaian, kosmetik, kasut, jersey, merch dan macam-macam lagi. Tapi tarikan sebenar di sini adalah kerana betapa banyaknya pilihan makanan yang ada. Sure kenyang! Tak pasti nak makan kat mana? Dan tak nak keluar bajet banyak untuk mengenyangkan perut? Inilah destinasi yang wajib anda singgah.

πŸ“ Alamat
Alamat: Uptown Stadium Darul Aman, Lebuhraya Darul Aman, 05100 Alor Setar, Kedah

2. Rumah Kelahiran Mahathir Mohammad

Rumah Kelahiran Mahathir Mohammad Alor Setar
Sumber: Rumah Kelahiran Mahathir Mohammad

Ingin mengenali dengan lebih mendalam tentang kehidupan peribadi Bapa Permodenan Malaysia Tun Dr.Β Mahathir Mohammad? Segalanya bakal β€˜terbongkar’ setelah melawat Rumah Kelahiran beliau yang terletak di Alor Setar.

Di sini, anda dapat melihat rumah yang masih dalam keadaan asal lengkap dengan perabotnya seperti kerusi, meja solek, perkakas dapur, almari dan sebagainya.

Siapa menyangka, daripada sebuah kehidupan yang biasa di dalam rumah kayu terlahirnya seorang insan dengan ketokohan yang sungguh luar biasa sehingga terkenal di seantero dunia. Lawatan ke rumah ini pasti dapat menjadi penyuntik semangat bagi anak-anak yang masih di usia muda untuk cuba melakukan yang terbaik tanpa mengira situasi kehidupan.

πŸ“ Alamat⌚ Waktu OperasiπŸ’² Harga Tiket
Alamat: 18 Lorong Kilang Ais | Tepi Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar 05050
Waktu Operasi: Selasa – Khamis (9.00 am – 5.00 pm) | Jumaat (9.00 am – 12.00 pm & 3.00 pm – 5.00 pm) | Isnin Kecuali Cuti Umum & Cuti Sekolah (Tutup)
Harga Tiket: Percuma

1. Balai Seni Negeri

Balai Seni Negeri Kedah Alor Setar
Sumber: Google

Terletak di dalam bangunan yang didirikan pada tahun 1893, bangunan yang kini menempatkan Balai Seni Negeri pada asalnya pernah digunakan sebagai Mahkamah Besar pada tahun 1912. Kalau anda nak tahu, bangunan ini adalah bangunan kerajaan moden yang terawal di Alor Setar.

Antara yang terdapat di Balai Seni ini adalah pameran koleksi ukiran kayu, karya khat dan karya lukisan yang telah dihasilkan oleh rakyat Kedah sendiri dari pengkarya kontemporari hinggalah veteran. Ada dalam kalangan pengkarya ini pernah menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

πŸ“ Alamat⌚ Waktu OperasiπŸ’² Harga Tiket
Alamat: Β Balai Seni Negeri Kedah, Medan Bandar, Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (Tutup Sebentar Pada Pukul 12.30pm -2.30pm)
Harga Tiket: Percuma

Banyak juga tempat menarik di Alor Setar rupanyakan? Tarikan mana yang anda rancang untuk lawat semasa di Alor Setar nanti?

Alang-alang sampai, apa kata kalau anda singgah sahaja semua destinasi hebat di Alor Setar ni, baru puas hati! Untuk Β pengetahuan anda, sebenarnya ada banyak lagi tarikan lain yang tidak dimasukkan dalam artikel ini.

Baca:Β 57 Destinasi Paling Menarik Di Langkawi

Nak tahu lebih banyak? Anda boleh jejakkan kaki ke sini dan mula teroka kawasan sekitarnya dengan peka, bersedia untuk dikejutkan dengan pelbagai lagi perkara menarik tersembunyi yang ditawarkannya. Β Selamat bercuti ke Alor Setar!