24 Tempat Menarik Di Bangi (2023) | Panduan Lengkap Destinasi Terbaik Di Bandar Ilmu

Eh! Biar betul? Banyak juga rupanya tempat menarik di sekitar Bangi rupanya! Bukan sahaja tarikan untuk berseronok seperti taman tema, tapi juga syurga kepada pencinta makanan kerana kehadiran bermacam tempat menjamu selera best, pusat-pusat membeli-belah yang gah dan tarikan alam semula jadi yang memukau.

Apa lagi yang tak ada di sekitar Bangi ni? Lokasinya juga yang sangat strategik kerana berdekatan dengan beberapa bandaraya yang lain menaikkan lagi seri bandar yang dulunya hanyalah sebuah ladang kelapa sawit ini.

Nak tahu apa tarikan-tarikan yang ada di sekitarnya? Jom lihat senarai tempat menarik di Bangi.

24. Bangi Wonderland

Terletak di Bangi Avenue, Bangi Wonderland adalah sebuah  taman tema air yang padat dengan pelbagai tarikan yang seronok untuk anda sekeluarga nikmati sampai tak ingat masa! Siapalah yang tak suka main air kan? Apatah lagi bila kawasan penuh dengan air tu siap lengkap dengan pelbagai jenis gelongsor dan kolam lagi, memang heaven!

Antara tarikan yang ditawarkan di sini adalah Body Slide, Kids Adventure, Magic Tunnel, Pirates Bay, Spiralax, The Fall dan banyak lagi!

Alamat: 2, Jalan Bangi Avenue, Bangi Avenue, 43000 Kajang, Selangor

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis & Jumaat (11.00 am – 6.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (10.00 am – 6.00 pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM55 | Kanak-Kanak RM45 | Kanak-Kanak Bawah 90 cm Percuma | OKU Dewasa RM28 | OKU Kanak-Kanak RM22 | Warga Emas RM28


23. D Virtual Park @ Evo Mall

Adakah anda seorang gamers tegar? Pastikan anda datang ke D Virtual Park di Evo Mall, Bangi. Tarikan dan keistimewaan taman virtual ini ialah games atau mainan yang berkonsep Virtual Reality (VR) atau Alternate Reality (AR). Secara asasnya, games atau mainan jenis VR/AR ini membolehkan anda memasukkan diri ke dalam dunia fantasi gaming. Seronok kan?

Baca: Senarai Tempat Makan Best Di Bangi

Di sini terdapat 8 jenis VR dan 2 jenis AR. Permainan di D Virtual Park ini boleh disesuaikan mengikut set kebolehan tersendiri, agar semua yang mencuba akan seronok bermain. Jom, kita alami dan rasai sendiri berada di dalam dunia game.

Alamat: T.14-T.25, Level 3, Evo Mall Bangi, Jalan Medan 2D, Seksyen 9, 43650 Bangi, Selangor, Malaysia


22. Istana Puteri Bongsu

Istana Puteri Bongsu Bangi
Sumber: Alan Seah

Jika anda sukakan sejarah atau berminat dengan artifak zaman dahulu, pastikan anda singgah ke Istana Puteri Bongsu di Bangi ini. Bangunan istimewa yang membawa seni arkitektur dan ukiran dari zaman dahulu ini merupakan sebuah Istana lama yang asalnya terletak di Kota Bharu, Kelantan. Dipercayai ia milik puteri bongsu kepada Sultan Ahmad iaitu Tengku Kalsum dan suaminya, Tengku Chick Tuan Abdullah Sultan Mansur, pewaris terakhir Istana ini ialah Tengku Fatimah Zaharah Tengku Chik Tuan Abdullah.

Di sini, anda boleh memerhati dan menghargai hasil seni bina tradisional Melayu yang memang cukup cantik dan indah. Mengetengahkan 3 jenis motif ukiran dalam hiasan istana ini, ianya menggabungkan motif Melayu, Cina dan India. Ini sangat simbolik dengan perpaduan rakyat Malaysia yang kukuh sejak zaman dahulu lagi. Jom, kita pergi tengok!

Alamat: Taman Pantun, UKM, 43650 Bangi, Selangor


21. Tasik Cempaka

Terletak tidak jauh dari PKNS Bangi adalah sebuah taman awam yang menjadi tempat rekreasi ramai penduduk di sekitar Bandar Baru Bangi, Tasik Cempaka.

Di dalam taman yang berkeluasan 16.8 hektar ini terdapat banyak ruang dan kemudahan untuk anda sekeluarga melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti berjogging, berbasikal, bermain layang-layang di tapak yang lapang, bermain bola sepak, atau mengeluarkan peluh di dalam gimnasium yang disediakan.

Anda juga boleh menyegarkan fikiran sambil menikmati pemandangan tasik berkeluasan 6 hektar yang terdapat di sini sambil melihat ikan yang berenang dengan bebas.

Terasa lapar lepas beraktiviti? Tak payah susah-susah mencari makan di tempat lain, sebab di sekitar taman ini sudah tersedia bermacam restoran untuk anda cuba.

Alamat: 5, Jalan 1/7d, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor


20. Masjid Al Hasanah

Masjid Al Hasanah adalah sebuah masjid yang penting di Bandar Baru Bangi memandangkan ianya adalah satu-satunya masjid yang wujud di sini selepas bandar ini dijadikan tempat penempatan pada tahun 1977.

Masjid yang siap dibina pada tahun 1999 ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Negeri Selangor pada tahun 2000.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Bangi

Untuk pengetahuan anda, masjid ini pernah mendapat anugerah sebagai masjid bertaraf 5 bintang selepas tahun 2010 dan merupakan sebuah masjid yang cukup aktif dengan pelbagai anjuran aktiviti dan ceramah.

Bila masuk waktu solat, jangan lepaskan peluang untuk menikmati kekhusyukan solat di masjid ini ya? Kalau bernasib baik, mungkin anda dapat join aktiviti yang dianjurkan.

Alamat: Persiaran Kemajuan, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi


19. Resort Golf Bangi

Ingin menikmati pemandangan penuh kehijauan sambil beraktiviti? Singgahlah ke Resort Golf Bangi. Bukanlah padang golf biasa, kerana padang golf 36 lubang ini telah direka oleh Ronald Fream yang  pernah menghasilkan tidak kurang daripada 10 buah padang golf yang terbaik di dunia.

Padang ini ditumbuhi dengan rumput menghijau yang menyejukkan pandangan mata dan dikelilingi oleh pokok paku-pakis dan pokok-pokok rendang yang lain. Suasana yang cukup santai untuk melegakan fikiran.

Tak main golf? Anda boleh sahaja bersantai melihat pemandangan penuh kehijauan sambil menikmati pelbagai hidangan enak daripada restoran di sini.

Alamat: 1, Persiaran Bandar, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Bayaran Masuk:

  • Isnin – Jumaat: RM85
  • Sabtu: Pagi RM175 | Petang RM105
  • Ahad & Cuti Umum: Pagi RM165 | Petang RM95

18. Pusat Kebudayaan UKM

Ingin membuka mata anak-anak anda tentang keunikan pelbagai budaya yang wujud di negara kita? Apa kata sekiranya anda menjadikan Pusat Kebudayaan UKM sebagai salah satu destinasi untuk dituju semasa berada di Bangi.

Di Dewan Canselor Tun Abdul Razak yang dapat memuatkan lebih daripada 600 orang pada satu-satu masa ini sering diadakan persembahan seni atau aktiviti kebudayaan yang melibatkan muzik tradisional negara, tarian tradisional dan sebagainya.

Alamat: Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), 43600 Bangi, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.30 am – 5.00 pm) | Sabtu & Ahad (Tutup)


17. Taman Paku Pakis UKM

Lagi satu tarikan yang boleh dilawati semasa berada di UKM adalah Taman Paku Pakis UKM. Bila lagi nak semaikan rasa cinta dengan keindahan dan keunikan flora kepada anak-anak kalau bukan semasa mereka masih muda kan?

Kalau anda nak tahu, Taman Paku Pakis UKM ini telah mula diusahakan dari tahun 1988 hasil cetusan idea Prof. Dr. Abdul Aziz Bidin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Botani.

Baca: 17 Destinasi Menarik Di Putrajaya

Taman ini kemudiannya dirasmikan pada 18 Mei 1990 oleh Al-Marhum Tuanku Ja’afar Ibni Al-Marhum Tuan’ku Abdul Rahman yang merupakan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia sempena Ulang Tahun UKM yang ke-20.

Alamat: Taman Paku Pakis UKM, 43600 Bangi, Selangor


16. Bangi Sentral

Bangi Sentral Image
Sumber: Bangi Sentral

Selain mencuci mata melihat keindahan alam penuh kehijauan, aktiviti lain yang tak patut dilepaskan semasa berada di Bangi adalah bershopping.

Salah satu lokasi untuk anda melepaskan gian berbelanja ni adalah di Bangi Sentral. Di sekitar Bangi Sentral ini terdapat banyak kedai-kedai pakaian berjenama tempatan yang trendy.

Jom serlahkan aura fashionista anda dengan berbelanja di mana-mana butik yang ada di sini, antaranya adalah Bella Ammara, Naelofar, Calaqisha, Al-Ikhsan, De’xandra, Al-Humaira dan banyak lagi!

Alamat: Bangi Sentral, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor


15. Bangi Getaway

Tak puas lagi bershopping di Bangi Sentral? Anda boleh meneruskan misi shopping dengan menuju ke Bangi Getaway. Jangan cakap tak puas shopping lagi kalau dah sampai kat sini sebab ada lebih daripada 200 kedai yang menanti kehadiran anda sekeluarga.

Dari kedai jualan pelbagai barangan, tempat berhibur hinggalah kepada kedai-kedai makan, segalanya berpusat di sini.

Alamat: Bangi Gateway, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor


14. Restoran Ana Ikan Bakar Petai Bangi

Sudah penat berjalan ke sana-sini, gerenti rasa lapar kan? Untuk mengembalikan tenaga yang makin menghilang tu, anda patut singgah ke Restoran Ana Ikan Bakar Petai Bangi.

Bukan patut, tapi wajib! Sebab hidangan yang disediakan di sini memang enak! Terkenal dengan hidangan ikan bakarnya yang dimasak dalam daun pisang, antara menu lain yang boleh dicuba adalah sotong goreng tepung, udang masak butter, tom yam, dan pelbagai lagi masakan berbakar dan masakan Thai yang lain. Tapi anda kena tahu, kedai ini hanya mula dibuka pada pukul 5 petang.

Alamat: Lot 29991, Persiaran Kemajuan, (Bersebelahan Balai Bomba BB Bangi), 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 pm – 12.00 am)


13. Kompleks PKNS Bangi

Selain kaya dengan kedai makan yang viral, Bangi juga menawarkan banyak lokasi membeli-belah dan salah satunya adalah Kompleks PKNS Bangi.

Kompleks yang terletak di bahagian selatan bandaraya Kuala Lumpur ini menawarkan pelbagai pilihan barangan terutama sekali pakaian Islamik yang trendy.

Dah puas bershopping, ada banyak kedai makan atau restoran yang boleh anda singgah untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga. Antara yang ada di sini adalah Kyros Kebab, Sate Kajang Haji Samuri, KFC dan sebagainya. Dah kenyang nanti bolehlah anda bersantai pula di Taman Tasik Cempaka yang terletak berdekatan.

Alamat: Kompleks PKNS Bangi, Persiaran Bangi, 43650 bandar Baru Bangi, Selangor


12. Evo Mall

Evo Mall Bangi Image
Sumber: Evo Mall

Tak puas lagi bershopping di PKNS? Mai singgah ke Evo Mall pula yang terletak di Seksyen 9. Kalau di PKNS suasananya lebih santai dan fokus kepada jualan barangan tempatan, tapi di Evo Mall pula agak lain atmosferanya, jauh lebih moden dan menawarkan banyak outlet-outlet bertaraf antarabangsa. Antara kedai, gedung atau outlet yang terdapat di Evo Mall adalah seperti Daiso, Parkson, Aeon Wellness, Mr. DIY dan banyak lagi.

Mengenai kedai makannya pula, Evo Mall menawarkan pelbagai pilihan yang menarik untuk memuaskan deria rasa anda seperti Manhattan Fish, Sushi King, A&W, Dunkin Donuts, Aeon Max Value dan sebagainya.

Alamat: Evo Mall Bangi, Jalan Medan 2D, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor


11. Putrajaya

Terletak hanyalah dalam sekitar 20 ke 30 minit dari Bangi, Putrajaya menawarkan bermacam tarikan yang bertaraf dunia. Berikut adalah antara lokasi tarikan di sekitar Putrajaya yang boleh anda rancang untuk lawati bersama keluarga.


10. Taman Saujana Hijau

Taman Saujana Hijau Image
Sumber: JustRunLah

Taman Saujana Hijau adalah sebuah kawasan taman berkeluasan 41 hektar yang terletak di Presint 11, Putrajaya. Apa yang membezakan taman hijau ini dengan banyak lagi taman lain di sekitar Putrajaya ini adalah kerana ianya ditumbuhi dengan banyak pokok pine dan pelbagai lagi tumbukan bukan tropika yang lain.

Kawasan taman ini secara umumnya terbahagi kepada 3 zon berbeza iaitu zon Taman Eropah, Taman Oriental dan Taman Inggeris. Jangan lupa untuk membawa kamera semasa melawat taman indah ini!

Alamat: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


9. Taman Botani Putrajaya

Menempatkan ribuan spesies tumbuhan dalam dan luar negara, Taman Botani Putrajaya adalah salah satu lagi daripada banyak tarikan flora lain yang terdapat di Putrajaya, sesuai dengan gelaran yang diberikan kepada bandar ini sebagai sebuah “bandar pintar dalam taman.”

Untuk menikmati keindahan taman ini, anda boleh menyewa basikal yang disediakan atau menaiki tram dengan caj yang berpatutan. Sambil melihat, sambil belajar, kerana pokok-pokok yang ditanam di sini turut lengkap dengan informasi saintifik sekiranya anda teringin nak tahu dari mana asal-usul spesies sesuatu tumbuhan tu.

Jangan lupa juga untuk bergambar sepuas hati semasa melawat sudut Floral Garden di sini! Ada bermacam jenis bunga dari seluruh dunia yang boleh anda temui. Tak payah susah-surah travel ke luar negara semata-mata nak merasa bau bunga kan?

Alamat: Taman Botani Putrajaya, Presint 1, 62000 Putrajaya

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm

Bayaran Masuk: Percuma


8. Masjid Putra

Kalau sudah ke Putrajaya, memang tak sah sekiranya tak melawat salah satu mercu tanda utama bandar ini yang tak lain tak bukan adalah Masjid Putra.  Terletak berhadapan dengan Tasik Putrajaya dan bersebelahan dengan Dataran Perdana, pemandangan masjid ini dan kawasan sekitarnya sungguh mempesonakan.

Nak tahu beberapa fakta tentang masjid ni? Kalau anda nak tahu, masjid ini dinamakan sebagai Masjid Putra sempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Masjid yang dibina pada tahun 1997 ini memiliki rekabentuk yang berdasarkan daripada masjid Islam Persia dari zaman Safavid.

Nak lihat dengan lebih dekat seni bina indahnya? Jangan lepaskan peluang untuk ke sini!

Alamat: Persiaran Persekutuan, Presint 1, 62502 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


7. Putrajaya Wetlands Park

Angkut teropong terpower yang anda ada untuk ke Putrajaya Wetlands Park! Di dalam salah satu kawasan air tawar buatan manusia terbesar ini, anda dapat melihat lebih daripada 100 spesies burung yang terbang bebas.

Anda boleh juga menaiki menara pemerhatian yang berketinggian 18 meter untuk melihat burung-burung berterbangan dengan lebih dekat. Bagi anda yang ingin ‘berkenalan’ dengan burung di darat pula, anda boleh sahaja berjalan-jalan di sekitar tasik dan kolam yang tidak sunyi dari kehadiran angsa dan bangau.

Nak teroka habis-habisan taman yang berkeluasan 335 hektar ni? Anda boleh menyewa basikal yang disediakan dengan caj bayaran yang berpatutan. Syok juga kalau pasang kamera GoPro masa kat sini, mana tahu kalau jumpa burung yang cantik tiba-tiba kan?

Alamat: Putrajaya Wetlands Park, 62000 Putrajaya

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm


6. IOI Mall

Dekat Putrajaya ada beberapa pusat membeli-belah yang memang dapat membuatkan jiwa shopaholic anda tak terkawal, tapi dalam banyak-banyak ini, IOI Mall adalah yang paling istimewa. Sebabnya, dekat sini je yang ada Ice Rink untuk anda berseronok bermain ice skating bersama keluarga!

Bukan itu sahaja, nak tengok wayang? Buat aktiviti lasak di District 21? Dan melihat persembahan air pancut muzikal The Symphony? Segala yang mengujakan dan menyeronokkan ada di sini! Itu pun kalau duit tak habis bershoppinglah.

Alamat: IOI City Mall, 62502 Putrajaya


5. Taman Warisan Pertanian

Kalau di Taman Botani ada banyak tumbuhan dalam dan luar negara, dan di Taman Saujana Hijau pula lebih kepada tanaman lanskap seperti berada di luar negara, lawatan ke Taman Warisan Pertanian pula akan membawa anda ke dalam dunia yang mekar dengan pelbagai tumbuhan tropika negara dari pokok-pokok buah, tanaman herba dan rempah, pokok getah, tanaman daun teh, sawah padi mini dan banyak lagi!

Selain ini semua, Taman Warisan Pertanian turut menempatkan sebuah kedai bunga, kedai jualan barangan cenderamata, kedai pakaian dan lain-lain lagi.

Untuk pengetahuan anda, pada setiap hujung bulan (di hujung minggu) akan terdapat Agro Bazaar di tapak tempat meletak kereta yang menjual bermacam jenis buah, baja, tumbuhan dan lain-lain lagi.

Teringin nak menghijaukan lagi halaman rumah anda? Rancanglah untuk ke sini.

Alamat: Taman Warisan Pertanian, 7, Jalan P16, Presint 16, 62150 Putrajaya

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 5.30 pm) | Jumaat (Tutup Sementara Dari 12.15 pm – 2.45 pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM8.50 | Kanak-Kanak RM6.50


Lain-Lain Tarikan Terletak Berdekatan Dengan Bangi

Selain terletak dekat dengan Putrajaya, Bangi juga agak hampir dengan Seri Kembangan dan Nilai yang hanyalah dalam 30 minit perjalanan dari sini. Berikut adalah antara tarikan yang terdapat di kedua-dua bandar tersebut.

4. Farm In the City

Terletak di Seri Kembangan yang hanyalah bersebelahan dengan Bangi, Farm In the City adalah sebuah ladang di mana anda sekeluarga dapat mendekati bermacam jenis haiwan dengan lebih dekat.

Tak ada apa-apa yang menjadi penghalang untuk anda berinteraksi dengan haiwan yang ada, memang best! Apatah lagi untuk kanak-kanak.

Alamat: Jalan Prima Tropika Barat 1, Pusat Bandar Putra Permai, 43300 Seri Kembangan

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00 am – 6.00 pm) | Hujung Minggu (9.30 am – 6.00 pm) | Selasa Tutup Kecuali Cuti Umum & Cuti Sekolah

Bayaran Masuk: Dewasa RM39 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM32


3. Muzium Anatomi

Muzium Anatomi UPM
Sumber: Rohaya Morat

Nak lihat secara live macam mana keadaan dalam badan manusia yang sebenarnya? Atau mungkin anda nak tahu lebih banyak lagi tentang anatomi spesies lain? Jejakkanlah kaki ke Muzium Anatomi yang terdapat di UPM ni.

Dari rangka kuda hinggalah kepada dinosaur yang telah pupus berabad lamanya, anda dapat melihat di depan mata sendiri kesemua spesimen anatomi yang sebenar.

Untuk pengetahuan anda, spesimen-spesimen yang terdapat di sini telah melalui proses pengawetan yang dilakukan sendiri oleh pihak universiti.

Alamat: Muzium Anatomi, FPSK, UPM, 43400 Seri Kembangan, Selangor

Bayaran Masuk: Dewasa RM24 | Kanak-Kanak RM12


2. Nilai 3

Nilai 3 adalah lubuk jualan borong yang berkeluasan 165 hektar. Bayangkanlah, dalam kawasan seluas ini, betapa banyaknya barangan yang boleh anda temui dengan tawaran harga yang murahnya tak terkira.

Antara barangan yang boleh anda jumpa di sini adalah pakaian, perabot, tekstil, karpet, peralatan bercucuk tanam, aksesori kereta, barangan kahwin dan bermacam lagi!

Alamat: No 231, Jalan Nilai 3/8, 71800 Nilai, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm


1. Kilang Coklat Beryl’s

Juga terletak di Seri Kembangan adalah syurga bagi pencinta coklat, Kilang Coklat Beryl’s. Ya, anda boleh masuk dalam kilang coklat! Tapi janganlah membayangkan suasana yang sama seperti dalam movie Charlie and the Chocolate Factory pula, terlampau magikal sangat tu!

Dengan melakukan lawatan ke kilang ini, anda sekeluarga dapat mengetahui sejarah syarikat Beryl’s dan bagaimana coklat di kilang ini diproses. Selain itu, anda juga berpeluang melihat bermacam peralatan antik yang pernah digunakan untuk menghasilkan coklat suatu ketika dahulu.

Alamat: 2, Jalan Raya 7/1, Seri Kembangan Industrial Estate, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan

Waktu Lawatan (Isnin – Sabtu):

  • Sesi Pagi (8.30 am – 11.15 am)
  • Rehat Makan Tengahari (12.00 pm – 1.00 pm)
  • Sesi Petang  (1.30 pm – 3.30 pm)

*Kecuali Pada Hujung Minggu & Cuti Umum


Tak sempat nak bercuti ke destinasi yang jauh dari ibu kota? Jom bercuti ke Bangi! Ternyata banyak tempat menarik di bangi dan kawasan berhampiran dengannya. Anda kaki shopping? Pencinta keindahan flora? Nak berseronok dengan bermacam aktiviti yang happening? Ingatlah Bangi!

Baca: 73 Tarikan Terbaik Di Selangor Untuk Day Trip Yang Istimewa

Sekiranya anda ingin meluangkan lebih banyak masa semasa bercuti di sini, anda boleh melayari booking.com untuk melihat pilihan-pilihan penginapan yang ditawarkan dalam tawaran harga yang berpatutan.

Dah selesai rancang segalanya? Jangan buang masa lagi! Selamat bercuti ke Bangi!

4.4/5 - (58 votes)