Apa yang dibayangkan kalau bercakap tentang Bangkok? Spa yang bertaraf dunia? Tokong dan patung Buddha yang tua? Pasar terapung? Pusat-pusat membeli-belah yang hebat? Ya semua ini ada di Bangkok. Semua tarikan-tarikan yang terdapat di Bangkok ini mesti anda lawati untuk sebuah kepuasan pelancongan yang maksima.
Tapi tahukah anda bahawa ibu negara Thailand ini turut menyimpan banyak tarikan unik dan misteri? Di mana? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Bangkok yang sekali dilawati, pasti tidak dapat dilupakan.
47. PAPAYA Design Furniture & Studio
PAPAYA Design Furniture & Studio adalah sebuah tarikan unik di Bangkok. Nampak macam kedai antik biasa? Tidak sama sekali! Kerana ia sebenarnya bukan semata-mata kedai antik, tapi juga studio fotografi dan muzium. Barangan-barangan yang terdapat di dalamnya adalah hasil koleksi Encik Tong (pemilik PAPAYA Studio) yang telah memulakan pengumpulan barang antik sejak sekitar 25 tahun yang lalu.
90 peratus daripada ribuan koleksi antik yang dipamerkan di sini adalah didatangkan dari negara-negara Eropah.
Antara koleksi yang ada adalah seperti basikal, hasil seni, arca, figurin Star Wars, perabot antik, lampu, projektor filem, Vespa dan macam-macam lagi! Siapa pun yang memasuki studio ini pasti akan teruja melihat barangan yang disusun dengan rapi mengikut era atau gaya.
Sepanjang berada di sini, anda boleh bergambar dengan sepuas hati, tanpa sebarang bayaran, namun sekiranya anda datang dengan peralatan fotografi professional, caj tambahan akan dikenakan.
Dah puas bergambar? Sebelum pulang, anda boleh singgah ke kedai kopinya yang menyediakan pelbagai minuman sejuk dan panas untuk menghilangkan dahaga sebelum ke destinasi seterusnya.
Alamat:Â 306/1 Soi Lat Phrao 55/2 Lat Phrao Rd, Phlabphla, Khet Wang Thonglang, Bangkok 10310
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm)
46. Batcat Museum & Toys
Peminat watak superhero? Kalau ya, tak patut anda lepaskan peluang untuk melawat Batcat Museum & Toys, memang sangat berbaloi. Muzium ini padat dengan pelbagai jenis permainan yang datang dari pelbagai era menjadikan ia lokasi yang menarik dilawati oleh seisi keluarga.
Jangan terkejut, bukan sikit koleksi yang dipamerkan, kerana jika dibilang kesemuanya mencecah 50,000 buah koleksi. Koleksi-koleksi ini terdiri daripada permainan, kostum, poster, komik dan sebagainya yang bertemakan superhero seperti Captain America, Ultraman, Batman, Superman, Iron Man, Thor dan lain-lain lagi watak DC dan Marvel yang wujud di dunia ni.
Di samping ini semua, ada satu sudut atau bilik yang hanya mempamerkan koleksi berkaitan Batman. Ini mungkin kerana pemilik muzium ini sendiri adalah peminat tegar Batman berbanding superhero lain.
Setelah puas melihat dunia superhero, anda boleh menuju ke kedai cenderamata muzium untuk membeli tanda ingatan sebelum pulang.
Alamat: Berdekatan 3701 Thanon Srinagarindra, Hua Mak, Bangkok, Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.00 am – 5.00 pm) | Isnin (Tutup)
45. Flow House Bangkok
Sekiranya anda seorang yang berbadan fit dan suka mencuba aktiviti yang memerlukan perhatian atau konsentrasi yang tinggi, anda mesti datang ke Flow House Bangkok! Aktiviti yang dipanggil FlowRider ini sebenarnya adalah sukan luncur air, namun ia tidak dilakukan di atas ombak laut kerana di sini anda akan meluncur di atas mesin yang dipanggil FlowRider.
Mesin yang dicipta di San Diego, Amerika ini hanya wujud sebanyak 100 unit sahaja di seluruh dunia dan salah satunya adalah di A-Square Mall, Bangkok.
Nak tahu best ke tak best, percayalah, sekali cuba, pasti akan ketagih. Tak yakin boleh buat sebab tak pernah ada pengalaman bersurfing? Jangan risau, pekerja di sini akan membantu anda dengan hati terbuka.
Mengenai fasiliti di Flow House Bangkok, antara kemudahan yang disediakan adalah bilik persalinan yang luas, lengkap dengan ruang mandian, pengering rambut, ruang santai, cafe, plunge pool, games room, RipCurl store, locker, dan banyak lagi.
Alamat: 120/1 A-Square, Soi Sukhumvit 26, Sukhumvit Road, Bangkok, Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm)
Harga: Dewasa 800 Baht / Jam | Kanak-Kanak 535 Baht / Jam
44. MahaNakhon Building
MahaNakhon Building ataupun King Power MahaNakhon merupakan bangunan yang baru sahaja dirasmikan iaitu pada tahun 2016, dengan kos binaan mencecah 18 billion Thai Baht.
Bangunan 78 tingkat ini digunakan sebagai hotel, shopping mall dan juga tarikan dek pemerhatian pada ketinggian 1,030 kaki atau 314 meter. Untuk menuju ke dek ini, anda perlu menaiki lif dari tingkat bawah dengan kepantasan hanyalah 50 saat untuk sampai. Sepanjang berada di dalam lif ini, setiap bahagian dinding lif akan memaparkan video yang menunjukkan suasana bandaraya Bangkok dalam pergerakan yang pantas. Ya, belum sampai dek lagi, dah terasa thrillnya.
Sebaik tiba di dek pemerhatian yang diberi nama Mahanakhon SkyWalk ini, anda dapat melihat panorama di sekitar bandar Bangkok dari lantai ke siling lutsinarnya tanpa sebarang halangan pada ketinggian yang cukup mendebarkan.
Tertarik untuk ke sini? Sekiranya anda merancang untuk datang, nasihat kami, datanglah dalam sekitar pukul 4 petang untuk mengelakkan mentari yang terlalu terik. Namun jauhkan juga daripada ke sini berdekatan dengan saat matahari terbenam dalam sekitar 5.30 petang kerana tarikan ini akan mula padat dengan kehadiran orang ramai.
Alamat: 114 Naradhiwat Rajanagarindra Rd, Silom, Bang Rak, Bangkok 10500, Thailand
43. National Museum of Royal Barges
National Museum of Royal Barges adalah sebuah muzium di Bangkok yang mempamerkan beberapa buah tongkang atau bot besar diraja yang digunakan dalam majlis Perarakan Tongkang Diraja Thailand. Perarakan Tongkang Diraja Thailand adalah sebuah sambutan kebudayaan yang telah wujud hampir 700 tahun.
Muzium yang menempatkan tongkang-tongkang ini pada asalnya adalah limbungan kapal untuk menempatkan tongkang-tongkak dan kapal-kapal perang di bawah kawalan Royal Household dan juga Royal Thai Navy. Namun begitu, ketika Perang Dunia Ke-2, limbung kapal ini dan tongkang yang ada telah mengalami kerosakan yang serius. Usaha pembaikan telah dilakukan pada tahun 1949 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan warisan budaya Thailand.
Setelah kerja-kerja baik pulih ini selesai, limbung kapal ini mula dijadikan muzium pada tahun 1972.
Alamat: Â 80 1 Arun Amarin Rd, Arun Amarin, Bangkok Noi, Bangkok 10700, Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 5.00 pm)
Harga: Dewasa 100 Baht
42. Grand Palace
Kalau sudah menjejakkan kaki ke sesebuah negara tanpa melawati bangunan bersejarahnya, percutian menjadi tidak begitu sempurna. Di Bangkok, Grand Palace adalah lokasi bersejarah yang wajib anda singgahi walau sepadat mana pun waktu anda di sini.
Istana yang dibina pada tahun 1782 ini pernah digunakan sebagai tempat tinggal keluarga diraja. Berkeluasan sekitar 214,000 kaki persegi, untuk melihat kesemua pelusuk kawasan istana ini mengambil masa lebih daripada satu jam. Bukan mudah nak dapat mendekati ruang istana kan? Alang-alang dah dapat masuk tu, teroka habis-habisan ya?
Alamat: Na Phra Lan Road, Phra Borom Maha Ratchawang, Phra Nakhon
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 3.30pm)
41. Wat Pho / Wat Chetuphon
Jangan tak tahu, majoriti penduduk Thailand menganuti agama Buddha, maka, tidak hairanlah kalau di Thailand ini kaya dengan tokong-tokong dan lokasi patung Buddha.
Yang menariknya tentang tempat-tempat sebegini adalah kerana usianya yang kadangkala boleh mencecah ratusan tahun, bukan mudah untuk mengekalkan kecantikan sesuatu yang telah wujud begitu lama. Salah satu tokong Buddha klasik ini adalah Wat Pho ataupun Tokong Buddha Berbaring.
Kalau nak dibezakan dengan usia tokong yang lain, Wat Pho adalah yang tertua di Bangkok. Tokong yang dibina oleh King Rama I ini juga merupakan universiti Thailand yang pertama di mana sesiapa yang ingin mempelajari teknik urutan dan rawatan terapi yang lain boleh menghadiri kelas-kelas yang diadakan di sini.
Alamat: 2 Sanamchai Road, Grand Palace Subdistrict, Pranakorn District
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: 100 Baht
40. Dreamworld Bangkok
Kalau di luar negara ada Disney World, taman tema yang boleh dikatakan hampir menyerupainya di Bangkok pula adalah Dreamworld Bangkok.
Di sini anda boleh menyaksikan ‘The Animal Show’ untuk melihat aksi haiwan yang mengujakan, ‘Hollywood Action’ untuk persembahan live seperti aksi lasak dengan efek letupan dan banyak lagi.
Untuk permainan pula, seperti taman tema lain, sudah semestinya pelbagai permainan menarik menanti untuk dicuba. Antaranya adalah seperti Hurricane Ride, Viking Ride, Tornado Ride, Super Splash, Grand Canyon Ride dan banyak lagi!
Lokasinya adalah dalam sekitar 47 km dari pusat bandar Bangkok (47 minit perjalanan).
Alamat: 62, Moo 1, Rungsit-Ongkarak Road, Bang Yitho, Thanyaburi 12130,, Thailand
Bayaran Masuk: 1,100 Baht
- Pakej:
- Pakej A (Rides + Snow Town + Water Fun + Transfer): 1,125 Baht
- Pakej B (Rides + Water Fun + Buffet + Transfer): 1,300 Baht
39. Art in Paradise
Art in Paradise di Bangkok adalah tarikan di mana anda boleh mendapatkan pelbagai foto yang epik dengan berlatar belakangkan karya-karya 3D yang dipamerkan di sini.
Untuk pengetahuan anda, Art in Paradise terbahagi kepada 6 seksyen iaitu Zon Media Art, Zone Moden, Zon Akuarium & Safari, Zon Alam Semula Jadi, Zon Klasik dan Zon Fantasi.
Sebagai peringatan, untuk memasuki galeri ini, anda perlu membuka kasut. Kenapa? Kerana ada lukisan di sini yang dilukiskan di atas lantai.
Lokasi Art in Paradise adalah di tingkat 4, pusat membeli-belah Esplanade yang hanyalah beberapa tapak dari stesen MRT Thailand Cultural Centre.
Alamat: 99 Esplanade Shopping Mall, 4th Floor | Ratchadapisek Road, Din Daeng, Din Daeng, Bangkok 10400,& Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa 400 Baht | Kanak-Kanak 200 Baht
38. Bangkok Art and Culture Centre
Tiada satu pun bahagian di dalam Bangkok Art and Culture Centre yang diabaikan. Setiap ruang pusat kebudayaan dan seni ini dipenuhi dengan pelbagai pameran yang menarik.
Selain melihat pameran, anda juga boleh menuju ke tingkat 2 untuk melawat ‘Hibiki Music Studio.’ Di sini ditawarkan kelas muzik dan kelas nyanyian. Di tingkat 3 pula terdapat ‘Shanta’, di mana anda berpeluang untuk menghasilkan barangan kemas sendiri dengan bantuan pakar yang ada.
Sebelum pulang, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke kedai ECOSHOPnya yang menjual bermacam produk mesra alam sekitar. Memang menarik!
Lapar? Terdapat 8 buah kafe yang boleh dipilih, antaranya adalah seperti Artisthouse, Le Pla Daak dan ART CAFE.
Alamat: 939 Rama I Rd, Khwaeng Wang Mai, Khet Pathum Wan, Krung Thep Maha Nakhon 10330, Thailand
Bayaran Masuk: Percuma
37. Siam Niramit Theatre Show
Terletak di tengah-tengah bandaraya Bangkok, Siam Niramit Theatre Show adalah sebuah bangunan teater yang cukup gah, dengan 2000 buah tempat duduk, menjadikan ia sebagai salah sebuah lokasi pementasan yang terbesar di dunia.
Di sini, anda dapat menyaksikan persembahan yang diinspirasikan daripada kisah sejarah dan budaya Thailand sebagai sebuah kota tua yang telah wujud berabad lamanya.
Yang menariknya, sebelum persembahan dimulakan, ada pelbagai menarik aktiviti yang ditawarkan seperti demonstrasi tenunan kain sutera, Muay Thai dan urutan Thai. Anda juga boleh melawat kawasan ‘kampung’ tradisional Thailand yang bakal digunakan dalam persembahan nanti.
Berkaitan dengan persembahannya, anda pasti akan teruja menyaksikan betapa sempurna sekali setiap saat pementasan dilakukan. Dengan lebih daripada 200 orang penghibur, setiap ruang di dalam teater ini termasuklah laluan / walkway akan digunakan dalam lakonan. Tidak ubah seperti menyaksikan movie 3D.
Alamat: 19 Tiamruammit Road, Bangkok 10310, Thailand
36. Asiatique City
Asiatique City adalah sebuah pusat membeli-belah outdoor yang terletak di tepian sungai. Dapatlah anda bershopping sambil menikmati pemandangankan?
Antara barangan yang boleh ditemui di sini adalah aksesori, cenderamata, pakaian, barangan besi dan banyak lagi dalam harga yang murah. Barangan yang dijual tidak ubah seperti di pasar biasa namun dengan suasana yang lebih unik diinspirasikan daripada zaman klasik Thailand.
Selain menjadi pusat jualan pelbagai jenis barangan, terdapat juga gerai yang menjual aneka produk spa dan juga yang menawarkan rawatan spa. Bolehlah anda menggunakan peluang ini untuk melegakan badan setelah seharian berjalan.
Tak rasa nak bershopping? Anda boleh menyaksikan persembahan yang sering dianjurkan di sini iaitu persembahan boneka Joe Louis Puppet Theatre.
Alamat: 2194, Charoen Krung Road & Wat Phraya Krai, Bang Kho Laem, Bangkok 10120, Thailand
35. MBK Shopping Centre
MBK Shopping Centre adalah sebuah pusat membeli-belah yang sangat terkenal di Bangkok, lebih kurang macam Mid Valley di KL yang tidak pernah sunyi daripada kedatangan orang ramai.
Terletak di dalam bangunan 8 tingkat, pusat membeli-belah ini menempatkan sehingga 2,000 buah kedai yang menjual pelbagai jenis barangan seperti aksesori, pakaian, handbag, produk kulit, perabot, peralatan elektronik dan banyak lagi!
Selain bershopping, anda juga boleh berhibur di pusat karaoke, menonton movie terbaru di panggung wayang multi-screen, berseronok di pusat permainan komputer dan lain-lain.
Alamat: Pathumwan Intersection, diagonally opposite Siam Discovery Centre
Waktu Operasi: 10.00 am – 10.00 pm
34. Sealife Bangkok
Sealife Bangkok adalah sebuah tarikan yang terletak di 2 tingkat ke bawah pusat membeli-belah Siam Paragon. Di sini terdapat 3 buah kolam renang bersaiz Olimpik yang dipenuhi dengan pelbagai haiwan yang menarik dan unik yang didatangkan daripada laut dalam.
Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 30,000 jenis hidupan yang dibawa dari pelbagai kedalaman lautan dan pelbagai pelusuk dunia.
Turut dapat dilihat di sini adalah hidupan yang memegang rekod dunia sebagai haiwan yang telah wujud dari zaman purba lagi.
Alamat: 991 Rama I Rd, Khwaeng Pathum Wan, Khet Pathum Wan, Krung Thep Maha Nakhon 10330, Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 9.00 pm)
33. Sook Siam
Sook Siam adakah lokasi di mana pelancong dapat melihat berpusatnya kepelbagaian budaya dan kesenian daripada 4 buah rantai di Thailand. Di sinilah anda dapat menyelami warna-warni sebenar Thailand dalam aspek kulinari, karya, kraftangan, tarian, perubatan dan banyak lagi.
Sook Siam menempatkan lebih daripada 3,000 buah perniagaan tempatan di dalam sebuah lokasi yang dihias indah untuk menggambarkan sub-budaya yang wujud di Thailand.
Semasa berada di sini, selain dapat melihat kemeriahan suasana, anda sekeluarga juga berpeluang untuk mencuba pelbagai permainan tradisional Thailand dari zaman lampau.
Alamat: 299 Soi Charoen Nakhon 5, Charoen Nakhon Road, Khlong Ton Sai, Khlong San, Bangkok, Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am — 10.00 pm)
32. Sathorn Unique Tower
Bukanlah nama yang diberikan secara sengaja oleh pemiliknya, Sathorn Unique Tower ini diberikan nama demikian kerana kondisi menara ini yang terbengkalai setelah 80 peratus siap akibat krisis ekonomi yang melanda asia pada tahun 1997. Menara berketinggian 49 tingkat ini telah dibina di tengah-tengah bandaraya Bangkok.
Bagi anda yang berjiwa ekstrem dan ingin menikmati pemandangan yang memuaskan pandangan mata sekitar Bangkok, tak salah untuk anda cuba menawan bangunan tinggi ini. Namun begitu anda perlu membayar beberapa Baht terlebih dahulu kepada pengawal yang menjaga menara ini.
Alamat: 266/14-15, Soi Siam Square 3, Rama 1 Road, Pathumwan, Khet Pathumwan, Bangkok, 10330
31. Khao San Road
Terletak berdekatan dengan banyak tarikan menarik di Bangkok seperti Wat Pho, Wat Phra dan Grand Palace, Khao San Road dikatakan sebagai pusat berkumpulnya ramai kaki backpackers di Thailand.
Di sinilah anda dapat menemui ramai orang yang berjiwa traveler terutamanya dalam golongan mat-mat saleh. Antara yang terdapat di sini adalah kafe, hotel bajet, kedai-kedai buku dan banyak lagi.
Alamat: Bang Lamphu, Phra Nakhon, Bangkok
30. Wat Arun
Wat Arun ataupun digelar Temple of the Dawn ini telah wujud sejak zaman peperangan antara Siam dan Burma lagi.
Dalam peperangan ini Siam telah dikalahkan, namun begitu mereka yang tidak gugur dalam peperangan menentang Burma termasuklah general angkatan perang, General Taksin, telah membina tokong ini.
Di sinilah juga raja Thailand kemudiannya mula membina istana. Tokong yang berketinggian sekitar 79 meter ini terletak bersebalahan dengan Sungai Chao Phraya.
Waktu yang paling menarik untuk melawati Wat Arun adalah sewaktu sebelum matahari terbenam kerana anda akan disajikan dengan pemandangan yang menakjubkan matahari terbenam di sebalik Sungai Chao Phraya.
Alamat: Arun Amarin Rd
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 5.30pm)
29. Wat Traimit
Pada sekitar tahun 1950-an, East Asiatic Company telah membeli sebidang tanah di sekitar sebuah tokong.
Salah satu daripada perjanjian pembelian tersebut adalah untuk membuang sebuah patung Buddha yang dibuat daripada plaster yang terletak di tanah ini. Namun begitu, ketika patung ini cuba diangkat menggunakan kren, kabelnya putus kerana keberatan patung ini yang agak luar biasa.
Kerja-kerja pembuangan patung ini pun dibiarkan semalaman. Dikatakan pada waktu itu musim hujan sedang melanda Thailand, esok paginya, beberapa orang sami telah melalui kawasan patung Buddha ini dan terlihat kilauan cahaya daripada lapisan plaster patung ini.
Lapisan ini kemudiannya dibuang mendedahkan sebuah patung Buddha yang berketinggian 3.5 m yang diperbuat daripada 5.5 ton emas asli, inilah dia Wat Traimit, sebuah tokong dengan patung Buddha emas yang tidak diketahui asal-usulnya walaupun setelah banyak kajian dilakukan. Sisa-sisa plaster patung ini juga turut dipamerkan di sini.
Alamat: 661 Tri Mit Rd, Khwaeng Talat Noi, Khet Samphanthawong, Krung Thep Maha Nakhon 10100
Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm
Bayaran Masuk: Muzium 10 Baht | Golden Buddha Percuma
28. Erawan Shrine
Erawan Shrine adalah sebuah tempat suci Hindu yang terletak di tengah-tengah kawasan yang sibuk di Bangkok.
Dibina pada tahun 1956 untuk menghilangkan nasib buruk yang menimpa mereka yang terlibat dalam pembangunan di kawasan sekitar tanah ini yang dipercayai kerana pemilihan tarikh yang salah untuk meletakkan batu asas pembinaan.
Antara perkara malang yang berlaku adalah seperti kos pembinaan yang lebih daripada bajet, kecederaan buruh-buruh binaan dan kegagalan kapal yang membawa batu marmar dari Itali untuk sampai ke tapak pembinaan. Setelah patung Brahma ini dibina, pembinaan bangunan dapat dijalankan dengan lancar. Macam-macamlah kan.
Alamat: Lumphini, Pathum Wan, Bangkok 10330
27. Giant Swing (Buaian Gergasi)
Giant Swing ataupun Buaian Gergasi ini bukanlah buaian di taman permainan yang boleh anda ayunkan kerana yang ada hanyalah tiangnya sahaja yang kelihatan seperti pintu gerbang yang tinggi.
Kalau bukan buaian kenapa dinamakan buaian? Mestilah ada sebabnya bukan? Giant Swing ini sebenarnya pada zaman dahulu pernah digunakan untuk menjalankan majlis keagamaan selepas musim menuai padi.
Dalam setiap kumpulan terdapat 3 orang peserta yang akan cuba mengimbangkan badan mereka pada sebuah papan yang sempit dan salah seorang daripada mereka akan dilantunkan sehingga ke ketinggian 25 meter dari paras tanah untuk cuba menangkap sekantung beg yang diisi dengan duit syiling perak menggunakan gigi mereka.
Namun begitu, majlis ini telah menyebabkan banyak kematian sehingga diharamkan oleh King Rama VII pada tahun 1932. Lihatlah dengan lebih dekat buaian ini dan bayangkan bagaimana permainan ini diadakan, seram sejuk rasanya.
Alamat: Thanon Bamrung Muang Khwaeng Sao Chingcha, Bangkok Krung Thep Maha Nakhon 10200
26. National Museum & Wang Na Palace
Koleksi barangan pameran yang terdapat di Bangkok National Museum ini bukanlah sikit, dikatakan antara yang terbanyak di Thailand, mana tidaknya, muzium ini merupakan satu-satunya muzium di Thailand sehinggalah ke pertengaharan tahun 1970-an.
Muzium ini mula dibuka oleh King Rama V untuk mempamerkan kesemua pemberian oleh ayahnya. Antara yang terdapat di muzium ini adalah batu-batu permata, pakaian, topeng Khon, senjata, emas, seramik, ukiran kayu, alat muzik dan banyak lagi.
Di samping ini semua, tapak muzium ini juga tak kurang nilai klasiknya kerana ia dibina di dalam kawasan istana lama, Wang Na yang dibina pada tahun 1887. Walaubagaimanapun, anda tidak dibenarkan untuk menangkap gambar di dalam galeri-galeri muzium ini ya.
Alamat: Na Phra That Road, Bangkok
Waktu Operasi: Rabu – Ahad (9.00am – 4.00pm)
Bayaran Masuk: 200 Baht
25. Jim Thompson House
Sekali lagi kita kembali dengan kisah misteri di Thailand. Kali ini pula berkaitan dengan seorang usahawan Amerika yang berjaya di Thailand, Jim Thompson. Siapa Jim Thompson ini?
Beliau merupakan seorang usahawan ternama yang terlibat di dalam industri sutera Thailand sehingga dianugerahkan dengan anugerah ‘The Order of the White Elephant,’ yang khas diberikan kepada orang luar negara yang menyumbang kepada negara Thailand.
Sebab itulah rumah Jim Thompson dijadikan muzium sutera Thailand dan berkenaan Jim Thompson sendiri. Namun begitu, bukan bermakna anda dapat menemui beliau kalau datang ke sini, kerana beliau telah hilang tanpa jejak sewaktu bercuti di Cameron Highlands, ya di Malaysia.
Sudah banyak cubaan untuk mencari beliau dijalankan, namun sehingga kini tiada satu pun yang membawa kepada penemuan beliau.
Alamat: Jim Thompson House, 6 Soi Kasemsan 2, Rama 1 Road, Bangkok
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa 150 Baht | Bawah 22 Tahun 100 Baht
24. Terminal 21
Terminal? Siapa nak melawat terminal, biar betul? Ini bukanlah terminal pengangkutan, tapi Terminal 21 ini sebenarnya adalah sebuah pusat membeli-belah yang berbeza dari yang lain.
Rasanya tak ada lagi tempat shopping dengan konsep yang diketengahkan Terminal 21 ini. Untuk pengetahuan anda, setiap tingkat di kompleks ini memiliki tema yang berbeza berdasarkan bandaraya-bandaraya terkenal yang terdapat di dunia.
Di tingkat LG mall ini membawa tema Caribbean, Ground Floor bertema Rome, Mezzanine Floor bertema Paris, tingkat 1 bertema Tokyo, tingkat 2 bertema London, tingkat 3 bertema Istanbul, tingkat 4 bertema San Francisco dan tingkat 6 pula bertema Los Angeles. Bagi anda yang gilakan fesyen, wayang dan kopi, ini adalah pusat membeli-belah yang dicipta khas untuk anda.
Alamat: 88 Soi Sukhumvit 19, Khwaeng Khlong Toei Nuea, Khet Watthana, Krung Thep Maha Nakhon 10110
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
23. Lumpini Park
Di mana-mana bandaraya besar pun pasti tak akan mengetepikan kawasan hijau untuk menjadi paru-paru bandar tersebut.
Kalau di Bangkok, Lumpini Park adalah lokasi bagi warga kota mendapatkan udara segar, menenangkan fikiran dan mata dari hiruk-pikuk bandar. Berkeluasan sekitar 500,000 kaki persegi, taman ini menyediakan ruang yang luas untuk anda yang ingin beraktiviti dalam udara yang bersih.
Antara aktiviti yang dapat dilihat diadakan di sini adalah seperti Tai Chi, berjogging, bersenam dengan peralatan senaman outdoor, bermain bola keranjang, menaiki bot pedal, malahan ada juga persembahan orkestra klasik yang boleh ditonton secara percuma.
Untuk pengetahuan anda, pada zaman dahulu iaitu dalam tahun 1920-an, taman ini pernah dijadikan sebagai pusat pameran kraftangan Thai dan bunga-bungaan.
Alamat: Rama IV Road, antara Ratchadamri Road dan Witthayu Road
Waktu Operasi: 5.00am – 9.00pm
Bayaran Masuk: Percuma
22. Chatuchak Market
Di sinilah syurga bagi anda yang kaki shopping, dengan keluasan sekitar 27 ekar, Chatuchak Market menempatkan lebih daripada 8000 gerai membuatkan ia salah satu pasar yang terbesar di dunia. Setiap hari Sabtu dan Ahad ia mampu menarik hampir 200,000 orang pelawat.
Dengan bilangan gerai yang sebanyak ini, apa sahaja yang anda bayangkan mungkin ada di sini. Tapi, hati-hati, takut tersesat pula dah berpusing nanti, pastikan anda membawa peta pasar ini sebelum memulakan langkah.
Alamat: 587/10 Kamphaeng Phet 2 Rd, Khwaeng Chatuchak, Khet Chatuchak, Krung Thep Maha Nakhon 10900
Waktu Operasi:
- Sabtu & Ahad (9.00am – 6.00pm) | Jumaat (6.00pm – 12.00am)
- Seksyen Tumbuhan Rabu & Khamis (7.00am – 6.00pm)
21. Sungai Chao Phraya
Inilah punca kemajuan Bangkok, Sungai Chao Phraya, sungai yang terpenting dan terpanjang di Thailand, betapa pentingnya sungai ini sehinggakan dinamakan sebagai Chao Phraya yang bermaksud Sungai Raja ataupun sungai milik tuhan.
Sehingga ke hari ini sekitar 50,000 penduduk Thailand masih menggunakan sungai ini yang juga merupakan laluan feri untuk menuju ke tempat kerja.
Sekiranya anda berpeluang ke Sungai Chao Phraya, jangan lepaskan peluang untuk menaiki feri merentasi sungai, anda dapat menikmati pemandangan kawasan yang sarat dengan pembangunan dan juga kawasan lain yang agak kontra iaitu kampung yang dipenuhi dengan pondok-pondok kayu.
Alamat: 780/488 Charoen Krung Road, Bang Kho Laem, Bangkok 10120
20. Siam Paragon
Anda memiliki citarasa yang tinggi dan duit berkepuk menunggu untuk dibelanjakan? Siam Paragon pasti menjadi kegemaran anda. Semua kedai di sini sesuai untuk anda yang suka berbelanja mewah, butik fesyen yang ada di sini juga kebanyakannya daripada jenama antarabangsa dihasilkan pereka fesyen terkenal.
Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat wayang multiplex yang cukup besar untuk anda sekeluarga menikmati filem terbaru dengan penuh keselesaan. Selain itu, Siam Paragon turut memiliki pusat akuarium dan Wax Museum. Tak nak shopping? Bawalah keluarga anda menikmati keseronokan yang ditawarkan di sini. Mesti best punyalah!
Alamat: 991, Rama 1 Road | Pathum Wan, Bangkok 10330
Waktu Operasi:Â Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
19. Thai Massage
Pada sekitar abad ke-2 dan ke-3, sami-sami Buddha yang datang daripada negara India untuk menyebarkan kepercayaan ini ke Thailand turut membawa masuk ilmu mengenai teknik urutan dan penyembuhan yang mereka miliki.
Pada ketika itu, tokong-tokong banyak dijadikan sebagai pusat urutan dan pengubatan. Sehingga kini, urutan negara Thailand terkenal di seluruh dunia. Jika anda sudah menjejakkan kaki ke negara ini tanpa merasai sendiri nikmat penuh kelegaan urutan ini, cukuplah rugi.
Di mana anda boleh mendapatkan urutan Thailand ini kalau di Bangkok? Antara yang terkenal adalah di Wat Pho Thai Traditional Massage yang terletak di tokong Wat Pho dan Divana Divine Spa untuk rawatan dalam suasana yang lebih terapeutik.
Alamat:
- Wat Pho Thai Traditional Massage: 2 Sanamchai Road | Wat Po, Tatian, Bangkok 10200
- Divana Divine Spa: 103 Thong Lor 17, Sukhumvit 55 North Klongton, Wattana Bangkok 10110
Bayaran:
- Wat Pho Thai Traditional Massage: Bermula Dari 260 Baht
- Divana Divine Spa: Bermula Dari 1250 Baht
18. Muay Thai
Thailand dan Muay Thai tidak dapat dipisahkan, inilah sukan yang terkenal di negara dengan bahasa selembut sutera ini, sukannya tidaklah selembut bahasanya ya.
Bagi anda yang teringin melihat Muay Thai di depan mata, di Bangkoklah lokasinya untuk anda melihat antara perlawanan Muay Thai yang terbaik di Thailand.
Seringkali, perlawanan ini diadakan di Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen di Bangkok. Lain ‘feel’nya kalau tengok secara langsung, jangan anda masuk ke dalam gelanggang sudahlah.
Alamat: Stadium Lumpini atau Stadium Ratchadamnoen
17. Dusit Zoo
Dusit Zoo Bangkok adalah zoo yang tertua di Thailand dengan usia yang sudah pun lebih daripada 60 tahun. Pada asalnya ia dibina oleh Raja Chulalongkorn (Rama V) sebagai taman peribadinya.
Namun selepas kematiannya, taman ini dibiarkan begitu sahaja sehinggalah ia diambil alih oleh kerajaan Bangkok yang kemudiannya memberikannya kepada Zoological Park Organization.
Di dalam zoo ini terdapat sekitar 1600 ekor haiwan yang termasuklah buaya, harimau, penguin, kangaroo, monyet dan banyak lagi. Selain zoo yang kaya dengan pelbagai jenis haiwan, Dusit Zoo turut memiliki pusat pendidikan, sebuah keretapi dan muziumnya sendiri.
Alamat: Rama 5 road, Khwaeng Dusit, Khet Dusit, Bangkok
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa 150 Baht | Kanak-kanak 70 Baht
16. Bangkok Puppet Show | Aksra Theatre
Pertunjukan Boneka Bangkok adalah salah satu tarikan yang sangat penting untuk anda lihat. Anda akan dihiburkan dengan kisah-kisah klasik dan dongeng Thailand yang dilakonkan oleh boneka ini.
Yang menjadikan pertunjukan lebih unik daripada pertunjukan boneka yang lain adalah kerana anda dapat melihat bukan sahaja boneka, malahan dalangnya juga adalah sebahagian daripada pertunjukan ini.
Anda bukan sahaja akan teruja dengan pertunjukan yang cukup kreatif dan unik ini, anda pasti akan turut terpesona dengan keindahan rekaan dalaman teater ini yang dikelilingi oleh ukiran kayu dan lukisan tradisional bukan sahaja di dinding malahan pada ruang siling teater.
Alamat: King Power Duty Free Complex, Soi Rang Nam, Berdekatan Victory Monument
Waktu Operasi: 10.00am – 6.00pm
Waktu Pertunjukan:
- Isnin – Rabu 7.30pm
- Khamis – Ahad 6.30pm
15. Vimanmek Mansion (Rumah Agam Vivanmek)
Rumah Agam Vivanmek merupakan rumah yang diperbuat daripada kayu jati yang terbesar bukan sahaja di Thailand malahan di seluruh di dunia. Memiliki ciri seni bina Viktoria, rumah ini memiliki 31 buah bilik yang dijadikan ruang galeri.
Dahulunya rumah ini dijadikan sebagai tempat tinggal keluarga diraja, namun kini ia telah menjadi sebuah muzium yang mempamerkan pelbagai artifak purba, perabot antik termasuklah beberapa buah foto yang diberikan oleh raja Thailand.
Alamat: 16 Ratchawithi Rd | Dusit, Bangkok 10300
Waktu Operasi: Selasa – Sabtu (8.30am – 4.30pm)
Bayaran Masuk: 100 Baht
14. Chinatown (Yaowarat Road)
Di mana-mana sahaja negara di dunia pasti ada Chinatownnya, kalau di Bangkok, Chinatownnya terletak di Yaowarat Road. Asalnya, Yaowarat Road ini merupakan pusat perdagangan yang utama dalam kalangan komuniti Cina yang datang sekitar 200 tahun yang lalu.
Berkepanjangan sekitar 1 km, Yaowarat Road padat dengan pelbagai jenis gerai, kedai emas, kedai pakaian, kedai barangan terpakai, barangan antik, alat muzik, restoran, dan banyak lagi, boleh rambang mata dibuatnya.
Pada waktu malam, lampu-lampu neon di jalan ini akan dibuka memeriahkan lagi suasana dan membuatkan anda berasa seperti berada dalam filem Hong Kong.
Alamat: Yaowarat Road
13. Sook Station Hostel
Walau bagaimana jahat pun anda, tidak pernah sekalipun dimasukkan di dalam penjara? Tapi anda teringin menjadi banduan? Kalau begitu, tak perlu fikirkan tempat penginapan yang lain lagi, menginap sahaja di Sook Station Hostel.
Anda akan ‘dipenjarakan’ secara sukarela. Sampai sahaja di sini nanti, anda akan diberikan pakaian lengkap banduan penjara yang berbelang hitam dan putih, untuk check-in pula, gambar anda sebagai banduan yang baru akan diambil. Anda akan diberikan nombor banduan sebagai kunci pintu hostel ataupun ‘penjara’.
Macam serius sahaja bunyinyakan? Jangan terkejut, hostel ini sebenarnya turut menawarkan beberapa bilik yang lengkap dengan ruang balkoni, dan di tingkat atas bumbung bangunan ini terdapat tab mandian air panas.
Di samping itu, bagi anda yang ada assignment ataupun kerja yang perlu diselesaikan, co-working space yang sangat selesa dengan wifi turut disediakan.
Alamat: 45-49 Soi Sukhumvit 101/2, Khwaeng Bang Na, Khet Bang Na, Krung Thep Maha Nakhon 10260
Harga: Bermula Dari RM165
12. KC Selfie Coffee
Ada yang tak suka kopi? Tak kira, suka atau tak suka, anda mesti ke KC Selfie Coffee! Tak minum kopi itu pun tak apa, sebab yang penting dapatlah anda melihat buat julung kalinya wajah anda dihasilkan pada buih kopi ini.
Siapa yang sanggup abadikan masa dengan melukis wajah anda pada buih kopi, memang tak akan dijumpai. Menarik bukan? Oleh itu, nak fikir apa lagi, kopi yang kaw dapat, wajah anda yang cantik itu pun ada pada kopi. Baru syok nak update instagram!
Alamat: Â 965/8 Bangkok-Nonthaburi 29, Bangkok
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
Bayaran Masuk: Dari 85 Baht
11. Himmapan Avatar Show
Menggabungkan filem Avatar yang dihasilkan James Cameron dengan lagenda daripada Thailand, Himmapan Avatar Show memberikan anda satu pengalaman hiburan yang sukar dilupakan. Pertunjukan ini sangat luar biasa dengan teknologi 4D, aksi-aksi akrobatik yang mengujakan dan banyak lagi.
Jika anda menyangka bahawa anda hanya akan duduk di kerusi dan melihat pertunjukan ini dari jauh, salah sama sekali, kerana anda juga akan dibawa melalui hutan Himmapan yang padat dengan aksi-aksi yang dilakukan di sekeliling anda secara langsung. Dapat anda bayangkan keterujaan berada di sini?
Alamat: Jaturatid Rd | SHOWDC Mega Complex, Bangkok 10310
Waktu Pertunjukan: Sabtu & Ahad 2.30pm | Isnin dan Rabu – Ahad 7.30pm
Bayaran Masuk: Bermula Dari 861 Baht
10. Hello Kitty Spa & Massage
Bagi anda yang sukakan suasana yang cute, jangan lepaskan peluang untuk melawat Hello Kitty Spa & Massage yang lain daripada yang lain ini.
Pernah jumpa spa secomel ini? Masuk sahaja ke rumah ini, hati anda pasti girang dengan tiba-tiba melihat kecomelannya. Apatah lagi kalau dilengkapkan lagi dengan rawatan spa dan urutan, memang nikmatlah!
Alamat: Siam Square One, Ground Floor, Siam square, Bangkok
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
Bayaran Masuk: Bermula Dari 350 Baht
9. Bangkok Float Center
Ingin melupakan segala masalah yang terperangkap di fikiran? Ataupun badan terlalu lemah kerana jet lag setelah sampai ke Bangkok? Jangan seksa diri anda dengan meneruskan siri penjelajahan di Bangkok tanpa melawat Bangkok Float Center terlebih dahulu.
Di sini anda akan diapungkan di atas air yang terletak di dalam kapsul peribadi anda. Mungkin kedengaran pelik, tapi sudah ramai yang mencuba mengatakan bahawa tidak pernah mereka merasakan ketenangan sepertimana yang dirasakan ketika terapung di dalam kapsul yang disediakan di sini.
Kelegaan badan yang dirasakan setelah habis sesi di sini mengalahkan urutan Thai. Sekali masuk, terasa berat hati untuk keluar.
Alamat: Â 4th Floor, Show DC Mall, Jaturatid Road, Huai Khwang, Bangkapi, Bangkok 10110
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
Bayaran Masuk: Bermula Dari 2020 Baht
8. Bangkok Night Lights Tuk Tuk Tour
Seperti kebanyakan negara asia yang lain, Thailand juga turut memiliki tuk-tuk yang membawa anda mengelilingi kawasan bandaraya. Kadang-kadang badan juga perlu direhatkan dan biarkan mata anda sahaja menikmati pemandangan kawasan yang dilawati.
Apa kata kalau anda terus sahaja menempah pakej tuk-tuk yang digelar Klook’s Bangkok Night Lights Tuk Tuk Tour untuk menikmati pemandangan sekitar Bangkok yang penuh cahaya pada waktu malam? Jika anda ingin menempah tuk-tuk sendiri secara spontan, anda perlu bijak memilih yang tidak menipu anda ya?
Alamat: Lawatan Bermula Dari Klong San Market – Khlong Ton Sai, Khlong San, Bangkok 10600
Waktu Operasi: 7.00pm – 11.00pm (4 Jam)
Bayaran Masuk: Bermula Dari 1594 Baht
7. Airplane Graveyard
Airplane Graveyard adalah sebuah kawasan tanah kosong yang luas yang menjadi ‘tanah perkuburan’ kapal terbang-kapal terbang yang telah menamatkan khidmat mereka.
Kapal-kapal terbang yang terdapat di sini dikatakan telah wujud sejak tahun 2010 lagi. Kawasan yang hanyalah sebuah tanah terbiar ini sangat terkenal dalam kalangan pelancong yang masih tidak puas menaiki kapal terbang dan ingin melihat sisa kapal terbang ini dengan lebih dekat.
Siapa tak suka? Di sinilah anda dapat menerokai setiap pelusuk kapal terbang sepuas hati dari hujung kokpit ke hujung tayar.
Alamat: 13.764812 100.652406, Khwaeng Hua Mak, Khet Bang Kapi, Krung Thep Maha Nakhon 10240
Waktu Operasi: 11.00am – 5.00pm
Bayaran Masuk: Bermula Dari 100 Baht
6. Chang Chui Market
Tidak cukup dengan kapal terbang di airport dan Airplane Graveyard, di Chang Chui Market juga anda akan terlihat sebuah kapal terbang besar tersadai dengan relaksnya di tengah-tengah pasar.
Tapi yang bestnya, kapal terbang ini bukanlah kapal yang dibiarkan begitu sahaja kerana di sini anda berpeluang untuk menikmati makanan dan minuman, ya ianya adalah sebuah restoran.
Bukan itu sahaja yang menarik tentang Chang Chui Market ini, kalau anda nak tahu Chui di dalam bahasa Thailand bermaksud ‘tidak kemas’, namun jangan tertipu dengan namanya, di sinilah destinasi yang pasti menjadi kegemaran anda yang berjiwa seni, fashionista, kaki movie dan pencinta makanan. Suasana di pasar ini sangat menarik, dan berbeza daripada pasar yang lain, siap dengan paparan wayang klasik lagi.
Alamat: 462 Sirindhorn Rd, Khwaeng Bang Phlat, Khet Bang Phlat, Krung Thep Maha Nakhon 10700
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (4.00pm – 11.00pm)
Bayaran Masuk: Selasa – Jumaat 20 Baht (Percuma Sebelum 4.00pm) | Sabtu & Ahad 40 Baht (Percuma Selepas 9.00pm)
5. Nightingale-Olympic
Semua yang bermula pasti ada pengakhirannya, inilah kisahnya untuk sebuah pusat membeli-belah yang dahulunya terkenal dalam kalangan penduduk Thailand sebagaimana Siam Paragon pada zaman ini.
Kompleks membeli-belah yang tertua di Bangkok ini adalah Nightingale-Olympic, yang peliknya, walaupun sudah dimamah zaman dan tidak dilawati bagi mereka yang ingin membeli-belah secara ‘normal,’ Nightingale-Olympic tetap beroperasi seperti biasa dengan hanya sekitar 5 orang pekerja dan dengan barangan yang masih terperangkap di dalam era yang telah berlalu. Jangan anda terperangkap di dalam mall ini sudahlah ya?
Alamat: 70 Triphet Khwang Wang Road, just off of Pahurat Road
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00am – 6.00pm) | Ahad Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
4. Queen Saovabha Memorial Institute
Mungkin ramai yang takut-takut untuk ke Queen Saovabha Memorial Institute ini, mana tidaknya, kerana ini adalah ladang peternakan ular. Dengar sahaja apa fungsinya, pasti ramai yang seram sejuk nak pergi, tapi sebenarnya ladang ini ditubuhkan untuk menghasilkan ular yang anti-venom dan untuk tujuan perubatan.
Di sini terdapat makmal khas yang menjalankan kajian bisa ular dan penghasilan vaksin yang membantu pengubatan. Bukan itu sahaja, anda juga dapat melihat secara langsung bagaimana bisa dikeluarkan daripada ular. Di sini juga terdapat sebuah muzium yang lengkap dengan pelbagai informasi tentang pelbagai jenis ular.
Alamat: 1871 Rama IV Road | Phathumwan, Bangkok 10330
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.30am – 4.30pm) | Sabtu & Ahad (8.30am – 12.00pm)
Bayaran Masuk: 200 Baht
3. The Museum of Counterfeit Goods
Pernah anda dengar muzium yang khas untuk barangan tiruan? Inilah salah satunya yang terdapat di dunia, The Museum of Counterfeit Goods. Muzium ini dibuka untuk mendidik masyarakat agar melihat lebih mendalam daripada nilai murah yang ditawarkan barangan-barangan tiruan ini.
Ada yang dapat membawa kecelakaan, masalah kesihatan, malahan juga kematian kerana bahaya kimia yang digunakan. Antara yang dipamerkan di sini adalah barangan kosmetik, alkohol, ubat-ubatan, makanan, minyak wangi, barangan kereta dan banyak lagi.
Alamat: Supalai Grand Tower, 26th Floor, 1011 Rama 3 Road, Chongnonsi, Yannawa
Waktu Operasi: Isnin 2.00pm | Khamis 10.00am (Notis 24 Jam Sebelum Lawatan)
2. Safari World
Bukanlah sebuah zoo yang biasa anda lawati, tapi adalah sebuah taman safari di mana anda sekeluarga dapat mendekati habitat-habitat haiwan ini dengan menaiki kenderaan yang disediakan pihak safari. Duduk sahaja di dalam kenderaan ini tanpa mengganggu haiwan yang sedang bersuka-ria menjalankan aktiviti seharian mereka.
Antara haiwan yang terdapat di Safari World Bangkok adalah seperti zirafah, beruang, kuda belang, singa, rusa, harimau dan banyak lagi! Terasa macam berada di dalam rancangan Steve Irwin pula! Selain taman safari ini terdapat juga pertunjukan lain seperti, pertunjukan orangutan, singa laut, ikan lumba-lumba dan gajah. Gerenti seronok satu keluarga!
Alamat: 99 Panyaintra Road, Samwatawantok, Klongsamwa
Waktu Operasi: Safari Park 9.00am – 5.00pm | Marine Park 9.00am – 6.00pm
Bayaran Masuk:
- Safari World: Dewasa 400 Baht, Kanak-kanak 300 Baht
- Marine Park: Dewasa 700 Baht, Kanak-kanak 450 Baht
1. Pasar Terapung Damnoen Saduak
Sudah bosan ke pasar malam? Inginkan pengalaman membeli-belah yang lebih unik? Mai kita ke Pasar Terapung Damnoen Saduak, sebuah pasar yang bukan sebarangan, pasar terapung ini cukup terkenal di dunia.
Nak lagi best, anda boleh menyewa sebuah sampan yang akan membawa anda dari satu bot ke satu bot yang lain yang menjual pelbagai jenis makanan yang segar dan juga cenderamata.
Tak shopping pun tak apa, sebab di sinilah anda dapat menggunakan kamera anda yang mahal itu untuk mengambil gambar suasana sekitar yang tidak dapat dilihat di tempat lain.
Alamat: Damnoen Saduak, Damnoen Saduak District, Ratchaburi 70130
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00am – 12.00am)
Wow! Tak terkira banyaknya tarikan menarik dan unik di Bangkok ini bukan? Memang rugi kalau tidak ke bandaraya yang dekat dengan Malaysia ini, walaupun dekat, banyak sekali perkara berbeza yang terdapat di Thailand. Bagaimana?
Berdasarkan senarai tempat menarik di Bangkok yang kami berikan ini ada tak yang meremangkan bulu roma anda? Atau melajukan degupan jantung anda kerana tidak sabar untuk merasainya sendiri? Kalau begitu, Bangkok patut menjadi destinasi pelancongan anda dalam masa yang terdekat ini. Kalau lambat pergi, termimpi-mimpi pula.
Sebelum ke sana, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk membuat tempahan hotel dengan harga yang berpatutan. Pastikan lokasi penginapan yang anda pilih berdekatan dengan banyak tarikan menarik di Bangkok ya.
Sekian sahaja penulisan kali ini, jangan dibiarkan jiwa melancong anda terpenjara, mai kita ke Bangkok!