27 Tempat Menarik Di Cherating (2023) Untuk Percutian Pantai Yang Seronok

Perkampungan nelayan, Cherating, yang terletak nun di pantai timur Semenanjung Malaysia adalah sebuah pusat peranginan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Lokasinya yang terletak berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu juga menjadi salah satu faktor yang menarik ramai orang untuk ke sini.

Baca: 40 Tempat Menarik Di Terengganu

Mana tak syoknya, dapat bercuti ke dua-dua negeri serentak. Dengar macam best, tapi sudahkah anda tahu kemana nak dituju kalau dah sampai ke sini?

Untuk mengelakkan anda daripada mati akal ke mana nak pergi di Cherating nanti, dalam artikel kali ini, kami senaraikan 27 tempat menarik di Cherating yang mesti anda lawati, kalau tak, apalah maknanya percutian anda ke sini.

27. Rimbun Dahan Turtle Hatchery

Rimbun Dahan Turtle Hatchery adalah pusat pemuliharaan dan penetasan penyu yang diusahakan di dalam sekitar kawasan Kasturi Resort sejak dari tahun 2013.

Pusat ini telah dibuka oleh Arrifin bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Pak Su dengan menggunakan dana yang diberikan oleh pemilik resort dan juga sumbangan daripada rakan dan orang ramai. Pada tahun 2014, pusat penetasan ini telah membeli sebanyak 6000 telur penyu dan pada tahun 2015 pula sebanyak 5000 biji telur untuk ditetaskan.

Telur-telur penyu ini ditanamkan dan diberikan perhatian sehingga mula menetas. Pengunjung yang datang dapat melihat suasana ketika mana anak-anak penyu yang kecil ini dilepaskan ke lautan.

Alamat: Jalan Pantai Chendor, Jln Kuantan – Kemaman, Kg Chendor, 26080 Balok, Pahang


26. Kam’s Surf Shack

Kam’s Surf Shack  menawarkan pelbagai aktiviti pantai menarik yang mesti anda dilakukan untuk menjadikan percutian anda sekeluarga di Cherating lebih bermakna. Antara aktiviti lasak yang ditawarkan adalah seperti kite surfing, windsurfing, X-Sailing dan surfing.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Cherating

Teringin untuk mencuba? Waktu yang terbaik untuk melakukan aktiviti ini adalah antara bulan Disember ke Januari.

Nak buat aktiviti yang lebih santai? Anda boleh menyewa stand up paddle ataupun kayak yang ditawarkan.

Alamat: Jalan Kampung Cherating, Kampung Padang Lalang, 26080 Balok, Pahang


25. Intan Seafood Restaurant

Setelah sehari berjalan ke sana ke mari, apa kata kalau anda berhenti rehat seketika di Intan Seafood Restaurant untuk mengembalikan tenaga?

Aneka jenis masakan yang boleh didapati di sini seperti masak butter, celup tepung, tom yam, masakan steam, masakan tiga rasa dan banyak lagi dengan menggunakan hasil laut yang segar. Hidangan ini bertambah sempurna bila dinikmati bersama dengan teh tariknya yang sangat kaw!

Yang penting, walaupun sentiasa dibanjiri pelanggan, masa yang diambil untuk makanan dihantar ke meja adalah cukup pantas.

Alamat: LOT 995, Cherating, 26080 Balok, Pahang

Waktu Operasi: Setiap Hari (12.00 pm – 11.00 pm)


24. Rumah Jambi

Rumah Jambi Kemaman
Sumber: Muhammad Naim

Terletak hanyalah dalam sekitar 17 km dari bandar Chukai adalah sebuah peninggalan era lama yang memiliki gaya seni bina yang berbeza daripada rumah lain iaitu Rumah Jambi. Rumah ini dikatakan telah dibina oleh seorang lelaki berketurunan raja Jambi yang juga merupakan ketua pelayaran iaitu Engku Mahmud Tengku Abu Bakar.

Rumah klasik ini telah dibina dengan menggabungkan gaya seni bina Islam, Melayu Johor, Inggeris dan juga Melayu Terengganu. Gaya tradisional diraja Jambi pula dapat dilihat jelas daripada seni bina bumbungnya yang memiliki bentuk seolah-olah nanas dan kerbau.

Selain Rumah Jambi, tarikan lain yang turut terdapat di sini adalah Masjid Jambi yang turut didirikan Engku Mahmud selepas rumah ini siap didirikan.

Alamat: Rumah Jambi, Kemaman, Terengganu


23. Ombok Cherating Surf Café

Ombok Cherating
Sumber: OMBOK

Ditubuhkan pada tahun 2011, Ombok Cherating Surf Cafe adalah gabungan kedai jualan peralatan surfing dan juga kafe. Mereka turut menawarkan kelas surfing bagi sesiapa yang ingin berjinak-jinak dalam dunia aktiviti lasak ni.

Bab makanan? Walaupun aktiviti perniagaannya tidak hanya fokus kepada kafe, hidangan yang disajikan dihasilkan dengan begitu profesional sekali, memang sedap! Menu yang mereka tawarkan adalah seperti roti bakar tuna berkeju, salad avocado, fish and chips, nasi goreng dan banyak lagi. Jangan lupa juga untuk mencuba mango cheesecakenya, ramai yang jatuh cinta dengan hanya sekali suapan.

Untuk minumannya pula, anda boleh mencuba pelbagai jenis kopi yang ada atau aneka smoothie yang ditawarkan. Pendek kata, orderlah apa pun, anda mesti tak akan kecewa dengan rasanya.

Sambil makan dan minum, anda boleh mencuci mata melihat betapa kreatifnya setiap sudut kedai ini didekorasi.

Alamat: 1006 -1 Kedai Jalan Kemaman Kampung Cherating Lama, Kuantan 26080

Waktu Operasi: 9.00 am – 5.00 pm


22. Bukit Mak Dayang

Bukit Mak Dayang Cherating
Sumber: Jeremy Chappell, Fariz Ahmad, Hanafi Hasan, Wei Keong Wong

Terletak di Chukai, Bukit Mak Dayang merupakan spot hiking di Cherating Yang popular. Ketinggian Bukit ini adalah lebih kurang 1000 meter. Permulaan hiking anda akan bermula dengan mendaki tangga. Tetapi, tangga ini bukan sebarang tangga tau. Ada 450 anak tangga yang perlu didaki. Sampai di atas, perjalanan ke puncak tidak mempunyai tangga lagi. Anda hanya ikuti laluan yang sudah di tetapkan di peta.

Buat pengetahuan anda, ada beberapa tempat di bukit ini yang menjadi tarikan seperti air terjun mini, tembok mini, telaga tahun ratusan, mak dayang dan Rumah D’ Kramat. Bagi anda yang ingin menyaksikan matahari terbit, datanglah mendaki pada awal pagi. Bagi yang lebih gemarkan matahari terbenam, boleh datang mendaki pada sebelah petang. Bukit ini boleh dikatakan mesra kanak-kanak. Jadi yang mempunyai anak-anak masih boleh datang mendaki bersama mereka.

Alamat: Kampung Kubang Kurus, 24000 Chukai, Terengganu


21. Muzium Kemaman

Kemaman Museum Cherating
Sumber: Chongkian

Kalau anda sukakan sejarah, jangan lupa untuk mengambil masa melawat Muzium Kemaman. Muzium ini telah ditubuhkan sejak Julai 2012 lagi dan memfokuskan kepada individu-individu terbilang negeri Terengganu. Bangunan tersendiri yang mempunyai 2 tingkat ini bukanlah terlalu besar tetapi cukup lengkap dengan informasi-informasi yang menarik. Menjadikan lawatan anda lebih panjang dari yang disangkakan.

Di muzium ini, anda akan mempelajari sejarah penubuhan Kota Kemaman, melihat tokoh-tokoh dan pembesar-pembesar negeri Terengganu dan melihat sendiri artifak-artifak yang dikumpul. Ada juga beberapa fakta yang akan dikongsikan seperti sejarah beca, matawang dan duit lama Terengganu, foto-foto lama dan terkini yang akan menunjukkan progress negeri ini, dan macam-macam lagi. Memang cukup menarik dan semestinya bermakna jika anda berasal dari negeri Terengganu.

Alamat: Kampung Dusun Nyior, 24000 Chukai, Terengganu

Waktu Operasi: 9am-5pm (setiap hari, tutup pada hari Jumaat)


20. Pantai Chendor

Pantai Chendor Cherating
Sumber: Jalan Pantai Chendor

Berlokasi di antara sempadan Terengganu dan Pahang, Pantai Chendor adalah antara destinasi wajib singgah di mana anda dapat bersantai bersama keluarga menikmati bayu laut dan merasai kehalusan pasir putihnya.

Di sini juga terdapat sudut air yang cetek untuk anda berdiri sambil berendam kaki. Lebih menarik sekiranya anda beli makanan terlebih dahulu untuk dinikmati sambil berkelah di tepian pantai dan menanti saat ketika matahari terbenam.

Di samping pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan, terdapat juga kehadiran bot-bot nelayan yang memeriahkan lagi pemandangan di sekitar pantai. Bagi yang bawa dslr tu, inilah masanya untuk anda memantapkan skill fotografi yang terpendam.

Nak tengok penyu bertelur? Datanglah pada waktu malam antara bulan April ke September, kalau bernasib baik, anda mungkin dapat menyaksikan fenomena ini berlaku di depan mata.

Alamat: Pantai Chendor, 24000 Chukai, Terengganu


19. Bandar Chukai

Bandar Chukai adalah salah sebuah bandar di Terengganu yang terletak berdekatan dengan pelabuhan Kemaman. Bandar ini menawarkan antara tarikan yang paling mengujakan di Terengganu seperti Kelip-Kelip di Sungai Kak Yah dan aktiviti berkayak di Sungai Chukai.

Tidak jauh dari bandar ini juga terletaknya banyak kawasan pantai menarik yang kekal tenang daripada ‘serangan’ orang ramai dan daripada sentuhan pembangunan.

Dah puas makan angin? Anda boleh singgah ke Kedai Kopi Hai Peng untuk mengembalikan tenaga dengan menikmati kopi special yang tak cukup secawan lazatnya.

Alamat: Bandar Chukai, Chukai, Kemaman, Terengganu


18. Restoran Sri Jembal

Restoran Sri Jembal Cherating
Sumber: Amirul A

Tidak jauh dari De Rhu Resort adalah sebuah lokasi menjamu selera yang terkenal di Cherating iaitu Restoran Sri Jembal.

Restoran ini cukup terkenal dengan hidangan ikan bakar, nasi kukus, nasi goreng USA, sup rusa dan juga rusa petainya. Ya, bukan satu tapi bermacam-macam hidangan istimewa yang mesti dicuba.

Tidak hanya menghidangkan sajian yang enak, Restoran Sri Jembal turut menjanjikan keselesaan kepada para pelanggan dengan ruangan kedainya yang luas serta lengkap dengan tempat meletak kereta yang banyak. Bagaiman pula dengan harga makanannya? Cukup berpatutan!

Alamat: Cherating Jalan Kuantan – Kemaman, Balok, Pahang


17. Hafiz’s Cherating Activities

Hafiz’s Cherating Activities menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama keluarga mengikut musim. Antara aktiviti yang ada adalah seperti melihat kelip-kelip di sungai dengan menaiki bot pada waktu malam, berkayak di sungai, lawatan snorkeling di Pulau Ular dan river cruise di paya bakau Cherating.

Aktiviti lain yang turut boleh diaturkan adalah seperti sukan ATV, program penanaman pokok di paya bakau, pelepasan anak penyu (April – September), aktiviti banana boat ride dan banyak lagi.

Boleh dikatakan hampir segala aktiviti best yang patut anda lakukan di Cherating ditawarkan oleh Hafiz’s Cherating Activities.

Alamat: 7/ 1156,Cherating Lama,, 26080 Kuantan, Pahang

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.00 am – 9.00 pm) | Isnin (Tutup)


16. Warung Aziz Satar

Warung Aziz Satar
Sumber: Sue Chew Yap

Warung Aziz Satar adalah sebuah kedai yang sangat popular dalam kalangan penduduk setempat dan juga pengunjung yang datang dari jauh. Pendek kata, kedai ni umpama magnet manusia, sentiasa dipenuhi orang ramai.

Apa yang ada di warung ni sampai ramai sangat tergoda untuk datang? Di sinilah terjualnya satar yang boleh dikatakan antara yang tersedap di Terengganu. Harganya juga sangat murah.

Bukan sekadar satar, makanan dan minuman lain turut ditawarkan. Antaranya adalah seperti coconut shake, ketam bakar, sotong goreng, udang galah, pulut panggang, laksam, laksa dan macam-macam lagi. Yang penting, semua masakan lautnya sangat segar!

Alamat: Jalan Kuala Kemaman, Kg Geliga, Kemaman


15. Pantai Marina Telaga Simpul

Pantai Marina Telaga Simpul adalah sebuah tarikan yang terletak dalam sekitar 9 km dari Bandar Chukai dan bertentangan dengan Kampung Kuala Kemaman. Untuk ke sini, anda perlu menggunakan jalan yang berhadapan dengan Pengkalan Bekalan Kemaman atau Kemaman Supply Base.

Setibanya di kawasan pantai ini nanti, anda boleh berkelah sambil menikmati pemandangannya yang sungguh mendamaikan jiwa. Mengenai fasilitinya, Pantai Marina Telaga Simpul lengkap dengan tandas, surau, pondok rehat, gerai makan dan taman permainan kanak-kanak.

Alamat: Jalan Telaga Simpul & Jalan Pantai Marina, 24000 Kemaman, Terengganu


14. Padang Astaka Chukai

Padang Astaka Chukai Kemaman
Sumber: Faizal Bean

Padang Astaka Chukai adalah antara kawasan yang bak kata orang putih paling “festive” di bandar Chukai. Kawasan sekitarnya sering menjadi pilihan ramai orang untuk melakukan aktiviti rekreasi seperti berjogging.

Selain menjadi taman rekreasi, Padang Astaka Chukai turut digunakan dalam pelbagai sambutan besar-besaran seperti hari merdeka, tahun baru dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, setiap Jumaat pagi, Isnin malam dan Khamis malam terdapat pasar yang menjadikan kawasan sekitar Padang Astaka Chukai meriah dengan orang ramai.

Alamat: Jalan Padang Astaka, Kampung Gong Limau, 24000 Chukai, Terengganu


13. Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating

Pusat Penerangan Dan Sanctuari Penyu Cherating
Sumber: Shane Khow

Bagi anda yang bercuti ke Cherating dengan kanak-kanak, jangan lupa untuk ke Santuari Penyu Cherating, mesti mereka excited punyalah untuk tengok penyu-penyu yang comel ni!

Santuari Penyu Cherating ini tidaklah besar mana, tak sampai 20 minit anda dah habis tengok semuanya, jadi, apa salahnya kan singgah sekejap sebelum ke tempat-tempat lain di Cherating.

Banyak info berkaitan haiwan ini yang boleh anda sekeluarga dapati di dalam galeri penerangan, di bahagian luar bangunan santuari ini pula anda boleh mendekati penyu-penyu ini yang diletakkan di dalam kolam. Paling best kalau anda datang ke sini pada waktu anak-anak penyu baru menetas.

Alamat: KM 45, Jalan Kuantan – Kemaman, 26080 Kuantan

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.30am – 4.30pm)

Bayaran: Percuma


12. Pantai Teluk Mak Nik

Pantai Teluk Mak Nik Cherating
Sumber: Eliljoothy

Jangan tak tahu, Pantai Teluk Mak Nik ini ada juga nama mat salehnya iaitu Monica Bay. Di sekitar pantai ini anda boleh bersantai bersama keluarga di pondok-pondok yang disediakan untuk menikmati pemandangan.

Dari pantai ini, anda dapat melihat bot-bot yang berlabuh di Kemaman Supply Base nun jauh di sana. Untuk pengetahuan anda juga, dekat pantai ini terdapat litar motorcross untuk perlumbaan dan latihan. Kalau bernasib baik, dapatlah anda lihat orang berlumba motorcross di sini. Bukan main lagi Mak Nik ni!

Alamat: Teluk Mak Nik | Geliga Kemaman, Cukai 24000


11. Zoo Kemaman & Taman Rekreasi

Kemaman Zoo
Sumber: Kemaman Viral

Hanya 15 km dari Pantai Cherating terletaknya Zoo Kemaman & Taman Rekreasi yang berkeluasan 35 ekar, menggabungkan taman, kebun buah-buahan, taman herba, bonsai, taman tema air dan zoo mini.

Pada bahagian zoo mini, anda sekeluarga dapat melihat di depan mata 54 spesies haiwan eksotik seperti harimau, singa, orang utan, gajah, dan banyak lagi. Punyalah banyak tarikan dalam satu kawasan yang sama, apa yang anda fikir lagi? Serbu je tempat ni kalau dah sampai ke Kemaman nanti!

Alamat: Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, 24000 Kemaman, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-kanak 5-12 Tahun RM7


10. Sungai Yah-Yah

Sungai Yak Yah Cherating
Sumber: Martin Lee

Teringin nak tahu bagaimana rasanya kalau bintang ada di sekeliling dan bukan di atas awan? Kalau macam tu, jom ke Sungai Yah-Yah, di sinilah anda dapat melihat habitat kelip-kelip yang terbesar di Malaysia! Cahaya ‘bintang’ dari kelip-kelip tak kurang hebatnya, sungguh mempesonakan.

Kalau anda nak rasai pengalaman ini, bila waktu dah mulai gelap, anda sewa bot yang terdapat di jeti Sungai Yah-Yah. Waktu terbaik untuk melihat cahaya kelip-kelip ini adalah dari bulan Julai hingga Oktober sebab pada waktu ini kelip-kelip membiak dengan banyak sekali.

Bayangkanlah pemandangannya pada waktu ini, satu keindahan yang sukar untuk dilupakan. Bukan selalu dapat naik bot, dikelilingi gemerlapan cahaya kelip-kelip pula tu, macam di alam fantasi!

Alamat: Sungai Yah Yah


9. Restoran Masakan Ibu

Restoran Masakan Ibu Cherating
Sumber: Saa Azahri

Siapa tak suka masakan ibu sendiri kan? Bagi sesiapa yang jauh dari ibu tersayang, apa kata kalau singgah ke Restoran Masakan Ibu,  memang sedap menjilat jari baq hang! Harga pun tak mencekik darah.

Baca: 12 Pulau Di Terengganu Untuk Percutian Yang Luarbiasa

Antara masakan yang anda sekeluarga boleh cuba di sini adalah ayam panggang, gulai kawah, ayam percik dan macam-macam lagilah! Sedap-sedap menunya.

Alamat: Kampong Cherating, Pahang


8. Sungai Cherating

Sungai Cherating
Sumber: Bella Idura

Selain Sungai Yah-Yah, untuk melihat gemerlapan cahaya kelip-kelip, anda juga boleh singgah ke Sungai Cherating. Apa salahnya pergi ke dua-dua tempat kan, dapatlah anda sekeluarga menikmati ‘pelayaran’ magikal di malam hari bukan sekali tapi dua kali.

Untuk menikmati keindahan cahaya semula jadi di Sungai Cherating ini, anda boleh mendapatkan pakej ini dari banyak hotel berdekatan.

Alamat: Sungai Cherating, Balok, Pahang


7. Limbong Art

Mari kita belajar macam mana corak batik dihasilkan. Lawatan ke Limbong Art ini sangat bermanfaat untuk kanak-kanak lebih mengenali fabrik kebanggaan negara supaya tak mati ditelan dek zaman.

Anda sekeluarga berpeluang mencanting batik sendiri, sebelum itu, anda perlu membeli dulu kain kosong yang ada di sini dalam bermacam saiz.

Sekiranya anda nak mencanting puas-puas, belilah yang besar sikit,  kalau cun, bolehlah dijadikan hiasan rumah. Selain daripada batik, anda boleh juga melihat pelbagai lagi produk kraftangan lain yang dijual di sini.

Alamat: Kampung Cherating Lama, 26080 Balok, Pahang

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)


6. Pulau Ular

Pulau Ular Cherating
Sumber: Erya By Suria

Nak rasai pengalaman bersnorkelling? Mari beramai-ramai bergerak ke Pulau Ular. Untuk aktiviti bersnorkelling di sini, pastikan anda bertolak awal sebelum pukul 12 tengahari, kerana selepas sahaja pukul 12, ombak mula bergelora, terpaksalah anda lupakan niat snorkelling tu, tak ke sedih.

Tambahan lagi untuk ke Pulau Ular, perjalanan menaiki bot memakan masa sekitar 35 minit. Oleh itu, mulakan pagi anda sekeluarga dengan awal ya!

Alamat: Pulau Ular, Cherating, Kuantan


5. Kedai Kopi Hai Peng

Kedai Kopi Hai Peng
Sumber: Yew Siang

Apa kata kalau anda sekeluarga memulakan hari yang indah dengan menikmati juadah di kedai klasik Kedai Kopi Hai Peng? Kenapa kedai klasik? Jangan terkejut, kopitiam yang terletak di bandar Kemaman ini telah wujud sejak tahun 1940-an lagi.

Baca: 43 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu

Antara makanan yang dihidangkan di kedai antik ini adalah roti bakar mentega dan kaya, nasi lemak, ice-blended dan macam-macam lagi! Nasi dagang pun ada! Semuanya cukup menyelerakan.

Alamat: K-3753, Jalan Sulaimani,Chukai,Kemaman, 24000

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (6.00am – 7.00pm)


4. Club Med Cherating

Terletak di pesisir Laut China Selatan dan dikelilingi hutan hijau adalah tempat penginapan Club Med Cherating. Atmosfera resort tepi pantai ini cukup menyegarkan, jauh dari sebarang pencemaran atau keriuhan kota.

Lokasinya yang istimewa di tengah-tengah alam semula jadi ini menjadikan ia tempat yang sangat best untuk anda sekeluarga menginap kerana banyak sekali aktiviti yang ditawarkan resort ini untuk membuatkan percutian anda dan keluarga tercinta lebih gempak.

Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah menyertai kelas memanah, melakukan aktiviti lasak treetop adventure, rock climbing, belajar berlayar, yoga, berkayak dan banyak lagi! Semuanya menyeronokkan dan banyak yang mampu memacu adrenalin anda ke langit ketujuh.

Alamat: Batu 29 miles Jalan Kuantan, Jalan Kuantan Sungai Lembing, 26080 Kuantan


3. Pasar Segar Kemaman

Pasar Ikan Kuala Kemaman
Sumber: Kuala Kemaman

Nak berbbq tepi pantai ataupun anda menginap di tempat yang boleh memasak? Jangan lupa untuk menyinggah ke Pasar Segar Kemaman. Di sini, anda boleh memilih dari pelbagai jenis hasil laut yang segar-segar dengan harga yang sukar dipercayai murahnya kalau dibezakan dengan pasar yang lain.

Tak ada sebab untuk tak ke sini kalau bercuti di Cherating. Siapa tak nak makan makanan yang segar-segar, lepak pula di tepi Pantai Cherating sambil menikmati bayu laut, memang heaven!

Alamat: Pasar Ikan Kuala Kemaman, Kampong Kemaman, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Selepas Pukul 3.00pm


2. Mangrove Tour

Pada waktu malam, Sungai Cherating terkenal dengan aktiviti melihat cahaya indah kelip-kelip, tapi pada waktu siang pula anda dapat boleh melihat keindahan kawasan bakau sungai ini dengan lebih jelas.

Keindahan hidupan liar dan pokok-pokok paya bakau di sini sangat mengujakan. Satu pengalaman yang sangat berharga untuk anda sekeluarga nikmati.

Kalau anda tertarik untuk melihat keindahan alam semula jadi ini, anda boleh sertai pelayaran dengan bot di bawah Hafiz River Mangrove Cruise. Setiap saat anda di atas bot ini pasti tidak dapat dilupakan.

Alamat: Sungai Cherating, Balok, Pahang

Waktu Operasi: Mangrove Cruise Pertama (9.00am) | Kedua (4.00pm) | Durasi 1 1/2 Jam

Harga Tiket: Dewasa RM35 | Kanak-kanak Bawah 11 Tahun RM25


1. Pantai Cherating

Pantai Cherating
Sumber: Piccer Studio

Inilah dia destinasi paling terkenal di Cherating. Berdekatan dengan pantai ini terdapat banyak chalet-chalet yang agak instagrammable.

Syok juga tinggal di chalet ni kalau berada di Cherating sebab tak akan ada sesaat pun anda akan buang dengan perkara membosankan sebab sangat banyak aktiviti air menarik yang boleh dilakukan. Nak belajar surfing? Berkayak? Dan macam-macam lagi, semuanya boleh diatur di sini.

Alamat: Pantai Cherating, 26080, Pahang


Itulah senarai tempat menarik di Cherating yang boleh anda temui semasa bercuti di sini nanti.

Percutian yang santai dan cukup sesuai untuk anda yang ingin berjimat kerana tarikan-tarikan yang ada di sini kebanyakannya tidak menelan belanja yang banyak, tambahan lagi kebanyakan tarikannya melibatkan alam semula jadi.

Baca: 10 Hotel Murah Di Cherating Best Untuk Bajet Traveller

Tak ada sebab untuk tidak bercuti ke sini pada musim cuti kerana di sinilah anda dapat menenangkan fikiran dari kekacauan kota dan bersatu dengan keindahan alam. Sebelum anda sekeluarga bergerak ke Cherating, jangan lupa layari booking.com untuk mendapatkan tempat penginapan yang best dengan harga yang terbaik.

Tempat menginap dah jumpa, destinasi untuk dilawati pun dah tahu, jangan buang masa lagi, masa yang berlalu tak akan kembali, jangan biarkan kebosanan menguasai diri, moh cepat bergerak ke Cherating untuk percutian yang gerenti happening!

4.6/5 - (67 votes)