15 Tempat Menarik Di Desaru (2023) | Percutian Tepi Pantai Yang Best

Desaru merupakan sebuah lokasi percutian di Johor yang menjanjikan kepuasan berganda buat para pengunjung yang cintakan alam semula jadi terutamanya kawasan pantai membiru serta luas terbentang.

Desaru cukup terkenal di kalangan pelancong akan keindahan pantainya yang menyajikan pemandangan yang memukau mata sesiapa saja yang berkesempatan ke sini. Pastinya Desaru sebuah lokasi yang menghadiahkan ketenangan buat anda.

Bukan itu saja, pantai bukanlah satu-satunya lokasi yang boleh anda kunjungi apabila ke sini bahkan terdapat banyak lagi tempat yang menarik untuk anda luangkan masa bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Waterpark, ladang, dusun buah–buahan serta banyak lagi lokasi yang boleh anda terokai sepanjang berada di Desaru.

Untuk bukti lebih, apa kata teruskan membaca entri tempat menarik di Desaru ini. Pastikan semua lokasi pilihan ini masuk ke dalam target lokasi percutian anda nanti ye!

15. Pantai Desaru

Ramai yang kata Pantai Desaru adalah pantai yang tercantik di Johor. Keindahan pantai di sini mampu membuat anda terlupa akan masalah dan bebanan buat seketika. Pantai yang dihiasi dengan deretan pokok rhu sepanjang 25 km serta pasir putih luas terhampar di persisiran pantai ini menjanjikan sebuah pemandangan yang cukup memukau.

Diulik pula dengan deruan ombak yang memukul gigi air dan bayu petang yang menampar lembut pipi ternyata omongan ini bukanlah omongan kosong. Maka tak hairanlah jika pada musim cuti sekolah Pantai Desaru menjadi target lokasi keluarga untuk bersantai-santai.

Baca: 10 Tempat Makan Menarik Di Desaru

Bercuti sambil menikmati keindahan alam di tepi pantai adalah antara aktiviti kegemaran warga kota kerana di sinilah tempat paling mujarab bagi mereka untuk melepaskan tekanan dan bebanan. Tambahan pula, pantai ini turut menyajikan para pengunjung dengan pelbagai aktiviti pantai yang menarik seperti snorkeling, memancing, berenang, jungle trecking, menunggang kuda dan banyak lagi.

Bagi para pengunjung yang merancang untuk bermalam di sekitar Pantai Desaru, jangan risau kerana di sini terdapat banyak pilihan hotel, chalet dan resort yang boleh anda diami bersama keluarga. Kadar harga penginapan di sini tentunya berpatutan dan berbaloi-baloi. Ada yang murah dan ada yang mewah dengan harga yang berpatutan. Jadi, rancanglah percutian anda sebaiknya mengikut bajet dan kemampuan.


14. The Wetlands Sedili

Percutian ke The Wetlands Sedili, Kampung Belukar Durian adalah berkonsepkan back to nature dan pastinya lokasi ini sangat digemari oleh si pencinta alam semula jadi.

Berpeluang menjejaki kawasan hutan paya bakau yang masih elok terjaga dan kaya dengan berbagai spesis flora dan fauna, berpenghunikan bermacam-macam jenis burung, monyet dan ikan semestinya memberikan kepuasan kepada para pengunjung. Kebanyakan pengunjung yang menjejakkan kaki ke sini kebiasaannya tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti memancing udang air tawar dan mengutip lokan.

The Wetlands Sedili, Kampung Belukar Durian adalah projek yang diusahakan oleh KEJORA  dengan kerjasama penduduk tempatan ini ternyata bukanlah satu usaha yang sia-sia. Lokasi ini sering dikunjungi ramai dek aktiviti dan keistimewaan yang di tawarkan seperti menyelusuri Sungai Selidi Kecil, melihat belangkas secara dekat, mempelajari sedikit sebanyak mengenai cara pembiakan belangkas serta berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menanam pokok paya bakau.

Yang lebih menariknya, di sini turut menyediakan restoran makanan laut yang menyajikan pilihan seafood yang segar serta kedai cenderamata untuk kemudahan para pengunjung.

Alamat: Kompleks the wetlands, kampung belukar durian, sedili kecil, 81930 Kota Tinggi, Johor


13. Jambatan Tinggalan Sungai Rengit

Jambatan Tinggalan Sungai Rengit ini terletak di Kota Tinggi ini tidak jauh dari Desaru. Kian menjadi tarikan untuk dijadikan backdrop untuk bergambar, jambatan tinggalan ini memang nampak sangat istimewa seperti bangunan bersejarah. Namun, hakikatnya, jambatan tinggalan yang kini hanya tinggal bahagian kaki-kakinya sahaja merupakan sebuah jeti pada suatu masa dahulu.

Kini, hanya struktur kaki jeti ini sahaja yang tinggal, bersusun di perairan di sini. Susunannya yang kemas pula memberikan satu latar belakang yang cukup simetri dan sempurna untuk gambar yang insta-worthy. Malah, ramai pengantin di kawasan Johor ini datang ke sini untuk gambar wedding outdoor yang sangat cantik. Jadi, jika anda datang bercuti ke Desaru, singgah sejenak ke Jambatan Tinggalan Sungai Rengit ini!

Lokasi: Bandar Penawar, Johor


12. Taman Buaya Teluk Sengat

Tak lengkap rasanya percutian anda ke Desaru tanpa berkunjung ke Taman Buaya Teluk Sengat kerana tidak semua tempat anda berpeluang untuk mendekati haiwan reptilia seperti ini.

Taman Buaya Teluk Sengat adalah taman buaya yang terbesar di Semenanjung Malaysia yang menempatkan lebih dari 1000 ekor buaya. Apa yang menariknya terdapat buaya yang berusia lebih dari 100 tahun di sini. Salah satu tarikan yang ada di taman buaya ini adalah buaya yang tidak bergigi berusia lebih dari 130 tahun. Rasanya anda boleh bayangkan betapa comelnya gelagat buaya ini ketika waktu makan, bukan?

Kebanyakan buaya yang menghuni di taman ini adalah dari spesis buaya air tawar. Ada sesetengah darinya yang agresif dan tak kurang pula ada yang sedikit jinak. Bukan itu saja, anda juga berpeluang untuk memberi makan kepada buaya-buaya yang terdapat di sini. Jadi inilah masanya untuk menguji samada anda seorang yang berani ataupun tidak.

Dengan bayaran masuk ke taman ini sebanyak RM8.00 bagi orang dewasa dan RM4.00 bagi kanak-kanak sudah tentu tersangatlah berbaloi dan setimpal dengan pengalaman dan kenangan yang bakal anda sekeluarga bawa pulang nanti.

Alamat: Jalan Sembilang, Teluk Sengat, 81900 Kota Tinggi, Johor


11. Ostritch Farm Desaru

Jika tadi anda sudah pun melawat reptilia di Taman Buaya Teluk Sengat. Apa kata kali ini anda beralih ke Ostritch Farm Desaru pula dan merasai sendiri pengalaman bermain dengan burung unta yang mungkin sebelum ini anda tak pernah berpeluang melihatnya di depan mata. Dengan bayaran sebanyak RM12.00 bagi orang dewasa dan RM8.00 bagi kanak-kanak, sudah pasti menyempurnakan lagi kenangan percutian anda sekeluarga.

Di ladang ini terdapat lebih dari 100 ekor burung unta yang jinak. Yang lebih menariknya anda bukan saja berpeluang untuk menyentuh dan memberi makan kepada burung unta di sini bahkan anda juga boleh membelai dan memeluknya.

Baca: 56 Destinasi Pelancongan Paling Popular Di Johor

Selain daripada burung unta, terdapat juga haiwan lain yang boleh anda lihat dengan lebih dekat lagi seperti ayam belanda, kasawari, burung merak dan burung-burung eksotik lain yang hampir pupus. Kami pasti kunjungan anda ke sini bersama keluarga bukan saja seronok bahkan dapat menambahkan ilmu sedia ada. Bak kata pepatah melayu ibarat menyelam sambil minum air.

Food court dan kedai cenderamata turut disediakan. Di sini anda berpeluang utuk merasai satay daging burung unta, telur dadar burung unta serta buah tangan yang diperbuatkan kulit telur burung unta sudah pasti lebih menyeronokkan.

Alamat: EMR 15, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor, Malaysia


10. Desaru Fruit Farm

Bagi warga kota, dapat menjejakkan kaki ke Desaru Fruit Farm Agro Tourism adalah suatu yang sangat dinanti-nantikan. Bersantai sambil melawat ladang yang dipenuhi lebih dari 100 jenis pokok buah dan sayur-sayuran yang segar, adalah satu pengalaman tak ternilai buat anda sekeluarga.

Bukan itu saja, di sini anda juga berpeluang untuk mempelajari jenis-jenis pokok dan cara memilih buah serta sayur yang segar. Tambahan pula, di sini para pengunjung juga dapat membeli buah atau sayur secara terus dari ladang untuk dijadikan buah tangan.

Baca: 11 Pulau Di Johor Yang Menarik | Mulakan Pengembaraan Pulau Anda Di Sini

Hanya pokok buah serta sayur saja yang terdapat di Desaru Fruit Farm Agro Tourism? Tekaan anda silap! Kerana di sini terdapat banyak lagi kemudahan dan aktiviti yang disediakan buat para pengunjung. Padang paintball, litar go kart, mini zoo yang menempatkan ayam belanda, kambing, ayam serama serta burung unta juga ada di sini.

Pada tahun 2006, Desaru Fruit Farm Agro Tourism pernah dinobatkan dengan Anugerah Taman Pelancongan Agro terbaik di Malaysia. Dengan segala kemudahan yang disediakan ternyata ia sememangnya layak menyandang anugerah ini.

Alamat: Sungai Cemaran, Desaru 81900 Kota Tinggi, Johor Darul Takzim


9. Kelip-Kelip Bujang, Bandar Penawar

Bila kali terakhir anda lihat kelip-kelip yang berterbangan menyebarkan cahaya di waktu senja? Mungkin pada zaman kecil-kecil dulu bukan? Bagi anak kampung keindahan cahaya yang keluar dari perut kelip-kelip ini mungkin saja sudah biasa di lihat tapi bagi warga kota pengalaman ini akan menjadi sesuatu yang berharga buat mereka.

Kelip-kelip Bujang, Bandar Penawar pasti menjadi lokasi idaman para anak kota untuk merasai sendiri pengalaman diterangi cahaya kelip-kelip ini. Dengan bayaran sebanyak RM20 bagi orang dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak sememangnya cukup berbaloi.

Setelah penat berjalan melihat kelip-kelip di Sungai Lebam ini, apa kata anda singgah sebentar untuk menjamu selera di restoran terapung yang menyajikan pelbagai pilihan makanan laut yang segar dan pastinya terbaik di sini.

Alamat: Bandar Penawar, 82200 Kota Tinggi, Johor


8. Lotus Desaru Beach Resort & Spa

Sebuah resort mewah terletak berdekatan dengan Pantai Desaru yang menghidangkan suasana indah serta memukau mata sesiapa yang berkunjung atau menginap di sini. Kawasan resort yang eklusif ini bukan hanya dihiasi dengan laut yang membiru bahkan ia juga berlatarbelakangkan kehijauan hutan. Sudah pasti membangkitkan lagi mood percutian anda sekeluarga nanti.

Selain itu, resort ini turut dilengkapi dengan kemudahan spa yang menawarkan pelbagai pakej menarik antaranya perfect touch, skin glow, urutan refleksiologi (urutan kaki dan tangan), rawatan muka dan lain-lain. Jika anda ingin berikan kejutan istimewa buat orang tersayang maka resort yang serba lengkap ini adalah pilihan yang bijak. Suasana tenang dan mengasyikkan serta disempurnakan lagi dengan pakej spa untuk memanjakan badan sudah pasti membuatkan si dia tersenyum bahagia.

Resort mewah ini turut terkenal dengan taman tema air yang dikatakan sesuai untuk semua peringkat umur. Jika anda ke sini bersama anak-anak kecil maka keselamatan mereka bukanlah perkara besar yang perlu dititikberatkan.

Antara sukan atau permainan air yang boleh dilakukan di sini adalah splash water, berenang, bermain gelongsor dan banyak lagi. Bagi anak remaja atau golongan dewasa yang inginkan sedikit cabaran, apa kata anda cuba sukan air seperti jet ski, banana boat, bungy jumping dan juga parasailing.

Alamat: Lot 1854, Jalan Desaru Bandar Penawar, 81930 Kota Tinggi, Johor


7. Muzium Perkampungan Nelayan

Muzium Perkampungan Nelayan Tanjung Balau adalah sebuah muzium yang terletak di bahagian utara Desaru yang mana telah dibangunkan oleh Lembahaga Pembangunan Johor Selatan (KEJORA).

Di sini pelbagai artifak lama yang berkaitan dengan aktiviti penangkapan ikan dipamerkan seperti jaring ikan, tangkal, rakit, buritan serta bot tradisi yang berhias.

Muzium ini juga turut memaparkan info-info menarik yang berkaitan kepercayaan tahyul penduduk tempatan, kisah menarik penduduk di tepi laut serta cara-cara menangkap ikan yang digunakan poleh nelayan di sini.

Bukan itu saja, anda boleh mempelajari teknik-teknik lama yang digunakan oleh nelayan iaitu menangkap ikan berpandukan bentuk dan kedudukan bulan, melihat keadaan kaki langit dan juga perubahan angina laut.

Info yang menarik seperti ini sudah tentu akan membuatkan anak-anak teruja kerana hanya orang lama saja yang masih mempraktikkan seperti teknik ini dan ianya jarang diperdengarkan kepada anak-anak muda. Jadi, jangan lupa dan jangan lepaskan pelaung untuk berkunjung ke sini nanti.

Alamat: Tanjung Balau, 81930 Kota Tinggi, Johor


6. Restoran Terapung Seafood Bujang Firefly

Dah penat meronda di sekitar Desaru dan perut juga mula berkeroncong? Apa kata anda singgah dan rasai pula keenakan makanan laut serta makanan eksotik di Restoran Terapung Seafood Bujang Firefly.

Restoran Terapung Seafood Bujang Firefly terletak di mukim Desaru dan Bandar Penawar. Ia beroperasi bermula dari jam 12 tengah hari sehingga 12 malam. Bagi mereka yang ‘hantu’ makanan laut maka restoran ini amatlah disyorkan.

Pelbagai jenis makanan laut yang segar boleh dipilih seperti udang kara, udang kipas, udang galah, kupang, lala, sotong dan banyak lagi. Menurut staff yang bekerja di sini siput gonggong masak sambal telur serta belangkas masak blackpepper antara hidangan yang selalu di tempah oleh pelanggan.

Kebiasaan menu ini tidak selalu ada kerana haiwan eksotik ini agar sukar didapati. Jika anda berpeluang untuk ke sini jangan lupa untuk merasai dua hidangan istimewa ini ye!

Alamat: Bandar Penawar, 82200 Kota Tinggi, Johor


5. Tanjung Balau

Tanjung Balau sebuah lokasi percutian yang tidak kurang menarik di daerah Desaru. Mengambil masa kurang dari sejam sekiranya anda dari Johor Bharu. Percutian di Tanjung Balau sangat menyeronokkan dan sangat praktikal kerana kemudahan serta pelbagai aktiviti menarik telah diatur untuk anda sekeluarga.

Melihat anak-anak kecil mandi laut, bermain layang-layang, membina istana pasir dan berkejaran di tepi pantai cukup mendamaikan hati. Ditambah pula dengan pemandangan laut yang membiru, dihiasi dengan pasir pantai yang memutih serta kawasan pantai yang dijaga rapi cukup menyempurnakan hari percutian anda. Selain itu, jika anda ingin mencuba sesutau yang lasak dan ekstrem, aktiviti meredah hutan atau jungle trekking serta All-Terrain Vehicle (ATV) turut disediakan khas buat para pengunjung Tanjung Balau.

Jika anda merancang untuk bermalam di sini bersama keluarga, terdapat beberapa pilihan resort dan chalet dengan harga yang berpatutan turut ditawarkan.


4. The Els Club Desaru Coast

Sebut saja The Els Club Desaru Coast pasti ada yang teruja, bukan? Terutamanya bagi mereka yang meminati sukan golf.

Desaru Coast sebuah lokasi yang berkonsepkan rekabentuk kontemporari, kemudahan yang lengkap dan dihiasi pula dengan pemandangan padang golf yang menghijau serta dikelilingi dengan pemandangan Laut China Selatan yang memukau cukup membuatkan hari percutian anda di sini menyeronokkan.

The Els Club Desaru Coast adalah inspirasi yang diambil dari kejayaan pemain golf dunia iaitu Ernie Els yang merangkumi lebih dari 3,900 ekar. Dilengkapi dengan taman tema air, restoran mewah serta menjadi pusat persidangan atau acara-acara rasmi membuatkan Desaru Coast ini cukup popular di kalangan golongan professional.

Jika percutian mewah yang diidamkan, maka The Els Club Desaru Coast adalah pilihan yang terbaik buat anda.

Alamat: No. 4, Jalan Danau, Desaru Coast, 81930 Darul Ta’zim, Johor


3. Jambatan Sungai Johor

Jambatan Sungai Johor
Sumber: Risben Sirait

Lokasi yang menarik untuk dilawati tak semestinya perlu berkonsepkan alam semula jadi yang indah ataupun kemudahan yang mewah. Kadang-kadang cukup dengan sesuatu yang simple tetapi ada sejarah disebaliknya. Jambatan Sungai Johor, mungkin tak ramai yang tidak tahu akan keistimewaan dan kelebihannya.

Ia merupakan sebuah jambatan yang diiktiraf sebagai salah satu jambatan yang terpanjang di Malaysia dengan jarak sejauh 4 kilometer yang menghubungkan Pulau Juling dan Tanjong Penyabong.

Baca: 32 Tempat Makan Menarik Di Johor Bahru

Yang menariknya pembinaan jambatan ini mengambil masa lebih kurang 5 tahun untuk siap sepenuhnya. Bermula pada tahun 2006 jambatan ini siap sepenuhnya pada tahun 2011.

Jika dilihat dari jauh, pemandangan disekeliling jambatan ini sememangnya indah dan pasti memukau mata. Dapat melihat bot nelayan serta kapal kontena melalui bawah jambatan ini sudah pasti memberikan satu pengalaman bernilai untuk anak-anak kecil. Jika ada lebihan masa kami syorkan anda ke sini bersama keluarga dan ambillah peluang untuk bercerita kepada anak-anak akan kelebihan jambatan ciptaan anak watan Malaysia yang membanggakan ini.

Alamat: Persiaran Pantai, Desaru Coast, 81930 Bandar Penawar, Johor


2. Hard Rock Hotel Desaru Coast

Hard Rock Hotel Desaru Coast sebuah penginapan yang cukup sempurna dengan rekaan kontemporari serta serba mewah. Lokasinya yang hanya terletak bersebelah dengan Adventure Waterpark Desaru Coast menjadikan ia pilihan utama bagi para pengunjung yang merancang untuk bermalam setelah penat beraktiviti di Adventure Waterpark Desaru Coast.

Rekabentuk dalaman bilik hotel di sini kebanyakan menggabungkan elemen klasik dan moden. Setiap sudut di dalam bilik hotel ini dihias cantik dan susun atur perabotnya cukup teratur. Sangat sesuai dengan citarasa terkini. Tampak mewah tetapi elemen klasik masih dikekalkan. Kami yakin sebaik saja anda melangkah masuk ke sini pasti berat kaki untuk melangkah keluar.

Di samping itu, bonus untuk anda yang menginap di hotel ini adalah anda dapat bermalas-malasan di ruangan private balcony sambil merehatkan fikiran. Hembusan angin dari pantai yang berdekatan menambahkan lagi mood percutian santai anda.

Yang menjadikan hotel ini unik adalah terdapat ruangan game board yang sesuai untuk seumur peringkat umur. Inilah masa dan tempat yang sesuai untuk anda menguatkan lagi bonding antara ahli keluarga.

Ianya tidak berhenti di sini saja kerana di Hard Rock Hotel Desaru Coasts anda berpeluang untuk mendapatkan barangan limited edition hard rock yang dijual di ‘Rock Shop’. Jadi tunggu apa lagi, rebutlah peluang untuk menambah koleksi hard rock anda sekarang!

Alamat: Jln Pantai 3, Desaru Coast, 81930 Bandar Penawar, Johor


1. Adventure Waterpark Desaru Coast

Alang-alang dah berada di Desaru, apa kata anda bawa anak-anak dan isteri singgah atau bermalam di Adventure Waterpark Desaru Coast. Meluangkan masa dan bergembira di taman tema air yang serba lengkap dengan berbagai jenis sukan air, kami pasti percutian anda di daerah Desaru sepastinya makin meriah. Sudah tentu anak-anaklah manusia yang paling bahagia apabila dapat ke sini nanti.

Adventure Waterpark Desaru Coast adalah sebuah lokasi percutian yang menjadi tarikan terbaru di negeri Johor Darul Takzim. Dibangunkan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, ia merangkumi dan dilengkapi dengan resort, taman tema air, padang golf serta tempat makan yang cukup eklusif. Wah, memang wajiblah anda jejakkan kaki ke sini bila berada di Kota Tinggi nanti! Pastinya anda sudah terbayang-bayang apa aktiviti yang bakal dilakukan bersama keluarga di sini nanti, bukan?

Bagi yang belum pernah ke sini, bayaran masuk untuk orang dewasa adalah RM121 manakala bagi kanak-kanak pula dicaj sebanyak RM90 saja. Mungkin agak mahal tapi percayalah dengan pengalaman dan kenangan yang bakal anda dan anak-anak alami nanti sememangnya berbaloi dengan bayaran yang dikenakan. Untuk dapatkan harga diskaun yang istimewa pastikan anda rajin untuk menyemak harga tiket secara online. Kebiasaan banyak promosi ditawarkan terutamanya pada musim cuti sekolah.

Tidal Wave Beach, Kids Ahoy, Kraken’s Revenge, Reptide, Surf Wall, Wild Whirl dan Swinging Ship antara permainan air yang menjanjikan 1001 keseronakan buat anda sekeluarga.

Jadi, jangan tunggu lama-lama. Jom semak tiket masuk ke Adventure Waterpark Desaru Coast sekarang dan rancang percutian anda sekeluarga ke Desaru.


Nah, begitu banyak pilihan tempat yang menarik untuk dikunjungi di sekitar Desaru rupanya. Sebuah daerah kecil tetapi padat dengan tempat yang menarik untuk dikunjungi. Jadi, sudah terpujuk dengan pilihan tempat menarik di Desaru yang kami paparkan?

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Desaru

Jika ya, rancanglah percutian anda sebaiknya. Pastikan percutian anda sekeluarga atau bersama rakan-rakan di Desaru menjadi sebuah percutian yang bakal di kenang sampai bila-bila.

Untuk memudahkan lagi percutian anda ke Desaru, pastikan anda menyediakan travel itineraries selengkapnya beserta bajet mengikut kemampuan anda. Apa-apa pun kami mengucapkan terima kasih kerana setia membaca senarai tempat menarik di Desaru ini.

4/5 - (2 votes)