Kuasa magik apakah yang digunakan Genting Highlands sehinggakan cuacanya boleh berubah sekelip mata, cukup berbeza dengan suhu di Lembah Klang yang hanyalah 1 jam pemanduan dari pusat peranginan ini.
Kabus yang tebal dengan wap yang terbentuk setiap kali menarik nafas cukup untuk menggambarkan kedinginan cuaca yang dapat dinikmati di ‘Las Vegas’ Malaysia ini.
Tidak perlu menempah tiket ke Eropah, dengan suhu serendah 14 ke 16 darjah Celsius, keadaannya tidak ubah seperti bercuti di benua yang sejuk ini. Suhu nyaman dan pemandangan mempesonakan di Genting Highlands menjadikan ia tarikan yang menarik untuk dilawati bukan sahaja penduduk Malaysia tetapi juga dari luar negara.
Selain itu, kedudukannya yang terletak tidak jauh dari bandar membuatkan ia menjadi destinasi percutian pilihan setiap kali tiba musim cuti ataupun di hujung minggu.
Lokasi yang strategik, dengan tarikan-tarikan hebat yang tiada penghujungnya, segalanya dapat dinikmati dalam atmosfera nyaman kawasan tanah tinggi, tiada sebab untuk anda sekeluarga tidak ke sini untuk cuti akan datang.
Di sini, kami telah menyenaraikan semua tempat menarik di Genting Highland untuk dikunjungi. Percayalah, ia sememangnya destinasi yang padat dengan pelbagai tarikan unik dan hebat untuk dialami. Teruskan membaca untuk mengetahui dimanakah tersimpannya keseronokan tanah ini.
24. Skyworlds
Umum sudahpun tahu bahawa taman tema Genting Highlands yang dinanti-nantikan iaitu Genting Skyworlds sudahpun mula beroperasi sejak Februari awal tahun ini. Sejak pembukaannya yang selari dengan pembubaran sekatan rentas negeri, ramai yang sudah ke sini. Seluruh taman tema ini bukan sahaja penuh dengan rides dan aktiviti riadah, ia juga dihias dengan begitu cantik, ceria dan bertemakan dunia perfileman.
Taman tema yang sangat hebat ini menawarkan 9 bahagian dunia fantasi bertema yang kebanyakannya bertemakan filem-filem ternama. Di setiap bahagian ini anda akan menikmati bermain rides, kiosk-kiosk makanan yang berbeza-beza, persembahan dan juga kedai-kedai di mana anda boleh dapatkan cenderamata dan merchandise pilihan.
Alamat: Genting Highlands Resort, 69000 Genting Highlands, Pahang
Waktu Operasi: 11am-6pm (setiap hari)
Harga Tiket:
Dewasa | RM189 |
Kanak-kanak/Warga Emas/OKU | RM161 ke atas |
*Dapatkan tiket secara online untuk promosi dan harga terbaik.
23. Skytropolis
Genting Highlands memang sinonim dengan taman tema dan pusat hiburan. Satu lagi taman tema yang disediakan di sini ialah Skytropolis yang merupakan sebuah taman tema indoor. Ia terletak di First World Plaza dan bersambung dengan Sky Avenue.
Apa yang boleh anda jangkakan dari Skytropolis yang berkeluasan 400,000 kaki persegi ini? Lebih 20 rides, aktiviti dan mainan yang boleh anda nikmati bersama keluarga. Antaranya termasuk Ferris wheel, marry-go-round, tea cup, roller coaster dan banyak lagi. Setiap bahagian menyediakan rides mengikut kesesuaian dan tahap umur pengunjung. Jadi anda bolehlah memilih rides yang lebih sesuai dengan anda dan keluarga.
Alamat: Level 1, First World Plaza Resorts World, 69000 Genting Highlands, Pahang
Waktu Operasi: 2pm-9pm (setiap hari)
Harga tiket: Bermula dari RM62
22. Zombie Outbreak
Pernahkah anda bayangkan keadaan anda jika berada dalam situasi seperti filem bertema zombie? Kini, anda boleh menjadikannya suatu realiti. Eh, bukan zombie nya, hanya situasi itu sahaja. Permainan di zombie Outbreak Genting Highlands ini berkonsepkan ala-ala escape room tetapi lebih intense kerana terdapat elemen-elemen “hidup” iaitu para pelakon yang menjadi zombie.
Anda boleh cuba mainan ini secara individu ataupun berkumpulan. Misi anda ialah mencuba untuk menghentikan fenomena zombie ini tanpa menjadi mangsa. Memang mendebarkan. Dalam bilik gelap dan dikelilingi zombie-zombie yang mengerikan, tentu riuh. Jom, cuba ramai-ramai!
Alamat: Lot SA – T2C – B16, Genting Highlands, 69000 Genting Highlands, Pahang
Waktu Operasi: 10am-10pm (setiap hari)
Harga Tiket: Dewasa RM30 | Kanak-kanak RM20
21. Awana Bio Park
Awana Bio Park terletak di kawasan perhutanan yang menuju ke arah Resorts World Genting. Dengan ketinggian 914 hingga 1828 meter dari aras laut, terdapat 3 Aras hutan di sini. Yang pertama digelar Fashion Forest, kedua Sky Forest dan terakhir ialah Chocolate Forest. Bio Park ini sangat dijaga dan dipelihara. Anda boleh ke sini bukan sahaja untuk menikmati keindahan alam, namun juga untuk melakukan aktiviti jungle trekking.
Awana Bio Park merumahkan pelbagai spesis tumbuhan dan haiwan yang menjadikannya sebagai habitat. Tumbuhan yang menjadi tarikan di sini ialah pitcher plant yang dijaga dan dilindungi di sini. Selain itu, anda juga akan menyaksikan pokok Mahogany yang dinamakan sebagai Optimus.
Sangat tinggi dan antara pokok tertua di sini. Haiwan-haiwan seperti siamang, burung-burung exotic dan macam-macam lagi mengekalkan eko sistem alam semulajadi di sini. Ambil masa dan terokai kawasan perhutanan di Awana Bio Park ini bila anda berada di Genting Highlands!
Alamat: 69000 Genting Highlands, Pahang
Harga tiket: Conservation Trail RM75 | Herb Forest RM95 | Biodiversity Trail RM135
20. Snow World
Sudah penat melarikan diri dari kota yang panas dan dah puas merasakan kedinginan di puncak Genting? Jom kita rasai tahap kesejukan yang luar biasa pula!
Di Snow World ini anda perlu bersedia dengan baju sejuk yang sangat tebal kerana suhunya yang melepasi paras beku iaitu -6 darjah Celsius. Memang ketar la mulut nak bersembang dalam taman tema ini.
Antara tarikan yang terdapat di sini adalah gelongsor, snowball, cahaya lampu lip-lap yang persis kilauan bintang, animasi cahaya LED yang mengubah Snow World dari waktu siang kepada malam dan banyak lagi. Dengar seperti dunia fantasi bukan? Tunggu apa lagi?
Notis: Ditutup Sementara Untuk Penambahbaikan
Alamat: Level T2A, First World Plaza, 69000 Genting Highland Resort
Bayaran Masuk: Dewasa (12 – 59 Tahun) RM40 | Kanak-kanak (3 – 11 Tahun) RM30 | Warga Emas (60 Tahun & Keatas) RM30
19. Strawberry Leisure Farm
Siapa tak suka dengan buah yang comel berwarna merah ini? Rasanya yang masam-masam manis, memang sedap kalau dicicah dengan cairan coklat. Nak makan strawberry sepuas hati? Bawalah keluarga anda ke Strawberry Leisure Farm. Kalau anda nak tahu, buah-buahan strawberry yang ranum ini berasal daripada benih yang didatangkan nun jauh dari California.
Nak terus beli di dalam packaging yang disediakan atau petik sendiri? Bergantung kepada anda. Tapi alang-alang dah sampai tak akanlah nak lepaskan peluang untuk petik buah ini sendiri kan?
Selain strawberry, Strawberry Leisure Farm turut memiliki tanaman lain seperti cendawan, sayur-sayuran, herba dan bunga-bunga yang tumbur subur penuh dengan warna-warni. Bagi anda yang kaki Insta, selain taman bunga, lawat juga bahagian Lavender Gardennya yang berkeluasan 6 ekar untuk sebuah latar belakang yang tak ubah seperti di luar negara.
Alamat: No.6, Lot 3707, Jalan Jati 2, Bandar Gohtong Jaya, 69000 Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.30pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM5
18. Sky VR
Sky VR merupakan satu tarikan baharu di Genting yang menggunakan teknologi terkini Virtual Reality. Teknologi ini akan memberi anda satu pengalaman seperti berada dalam dunia permainan video dengan merasai kehebatan ultra-realistic yang mampu merangsang deria anda.
Sky VR akan membawa anda ke dimensi lain dengan menggunakan VR headset yang akan memberi visual dunia 3D bagi setiap dimensi. Anda akan merasai aksi penerjunan bebas, menjelajah ke dasar laut serta melakukan misi yang mendebarkan.
Antara tarikan yang ada di sini ialah RoboCoaster, iaitu satu permainan aksi pertempuran robot yang membuatkan anda berasa seperti berada di dalam robot itu. Tarikan kedua ialah Vortex, di mana anda akan merasai debaran ketika menyelam ke dasar laut secara ultra-realistic. Nak merasai debaran terjun dengan paracut? SkyGlider VR akan memberi anda pengalaman ini kerana ia akan membuat anda seperti benar-benar melakukan penerjunan disamping anda perlu mengawal tali steering line yang ada pada payung terjun sebenar.
Akan datang, Sky VR akan meperkenal lagi 2 tarikan baru iaitu Xd Theater dan VirtuGlobe. Xd Theater akan menjadi pawagam VR terbesar di Malaysia yang boleh membawa anda ke pelbagai dimensi. VirtualGlobe pula, anda akan bermain di dalam sebuah globe besar supaya anda boleh berjalan setempat dan melakukan misi yang di dalam permainan VR.
Alamat: Level 2 , Skytropolis Indoor Theme Park
17. Gohtong Jaya
Bandar utama di Genting Highlands, Gohtong Jaya merupakan kawasan komersial yang menempatkan banyak kedai-kedai, rumah dan tempat penginapan. Di sini jugalah anda yang datang ke Genting boleh menaiki kereta kabel Genting Skyway untuk menuju ke puncak Genting tanpa perlu melalui jalan panjang yang memeningkan kepala.
Bandar ini juga merupakan tapak permulaan untuk anda yang ingin menguji stamina dengan mendaki ke puncak, ataupun untuk membuat lawatan yang santai ke Ladang Strawberry.
Alamat: Gohtong Jaya, Genting Highlands
16. Genting Skyway
Genting Skyway adalah salah satu daripada 2 buah sistem kereta kabel yang menghubungkan kawasan tanah rendah dan puncak Genting Highlands. Perjalanan kereta kabel ini bermula dari Gohtong Jaya dan berhenti separuh jalan untuk lawatan ke Chin Swee Temple.
Anda boleh menikmati udara segar dan pemandangan yang indah sekitar Genting sepuas hati kerana jangka masa yang diambil untuk sampai ke puncak adalah dalam sekitar 15 ke 20 minit. Namun, jangka masa ini bergantung kepada cuaca. Apa-apa pun bersedia dengan suhu sejuk yang bakal anda tempuhi sebaik sampai ke puncak Genting ya?
Untuk anda yang membawa kereta dari KL ke Gohtong Jaya, tak perlu risau tentang dimana nak letakkan kereta, kerana terdapat sebuah bangunan 10 tingkat yang disediakan khas sebagai tempat meletak kereta.
Alamat: Gohtong Joya | Genting Highlands Resort, Genting Highlands 69000
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 12.00am)
Bayaran Masuk: RM8
15. Awana Skyway
Sepertimana dari Genting Skyway, menaiki kereta kebal Awana Skyway membolehkan anda melihat keindahan sekitar Genting yang cukup memukau.
Anda dapat melihat pemandangan resort dan banyak lagi tarikan lain termasuklah Twentieth Century Fox World Malaysia yang bakal siap tidak lama lagi.
Dengan kelajuan 6 meter/saat, kereta kabel ini mampu membawa 3,000 penumpang untuk pergerakan sehala dalam masa satu jam. Menyediakan 99 buah gondola standard dan 10 buah yang berlantai kaca, mana satu menjadi pilihan anda? Kalau tak kisah untuk bayar lebih, gondola kaca sememangnya menarik untuk dinaiki untuk kepuasan pemandangan yang lebih meluas.
Selain itu, anda juga dapat menikmati udara yang menyegarkan melalui tingkap khas pada gondola ini. Belum sampai ke puncak lagi, dah dapat merasakan aura kesegaran Genting.
Alamat: Level 2, Awana SkyWay building, Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 12.00am)
Bayaran Masuk: Standard Gondola RM8 | Glass Floor Gondola RM50
14. Happy Bee Farm
Seperti yang kita sedia tahu, banyak sekali khasiat kesihatan yang datang dari madu. Apa kata jika kita jejaki asal-usul madu ini dan macam mana ia diproses dari satu peringkat ke satu peringkat di Happy Bee Farm.
Bukan itu sahaja, di Happy Bee Farm ini juga anda dapat mempelajari tentang cara-cara menggunakannya dalam pelbagai resepi masakan dan banyak lagi info lain yang menarik berkaitan dengan makanan sunnah ini. Bolehlah jadi pakar madu dalam keluarga anda lepas ni.
Selain ladang lebah, Happy Bee Farm turut memiliki tarikan lain yang dipanggil Insect World dimana anda dapat melihat pelbagai spesimen kumbang yang datang dalam pelbagai saiz dan warna yang sememangnya suatu pengalaman yang penuh ilmiah.
Tak cukup dengan ladang lebah dan serangga, rama-rama pun ada di sini, nak tahu? Jom kita lompat ke point seterusnya.
Alamat: 6452, Genting View Resorts, KM 11-3, Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 9.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM16 | Kanak-kanak/ Warga Emas RM12
13. Butterfly Wonderland
Jika di Happy Bee Farm penuh dengan kemanisan madu, di Butterfly Wonderland pula penuh dengan kemanisan melihat pemandangan indah rama-rama beraneka warna.
Bayangkanlah berjalan-jalan sambil menikmati udara segar Genting dan pandangan pula diwarnai dengan rama-rama yang terbang bebas. Hilang segala beban yang bermain di minda.
Di dalam taman indah ini juga, anda akan disajikan dengan pemandangan air terjun, kolam ikan koi dan kolam dengan kura-kura yang berkeliaran. Anak-anak anda pasti gembira melihat haiwan-haiwan comel dalam suasana lanskap indah ini.
Alamat: 6452, Genting View Resorts, KM 11-3, Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 9.00pm)
Bayaran Masuk (MyKad): Dewasa RM16 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) & Warga Emas RM12
12. Sky Avenue
Nak merasa bershopping pada ketinggian 6,000 kaki dari paras laut? Di Sky Avenuelah lokasinya. Kaki shopping atau sekadar ingin berwindow shopping, pusat membeli-belah ini menawarkan lebih daripada 100 pilihan kedai. Gajet? Kasut? Barangan kemas atau apa sahaja yang terlintas di hati, semuanya terhidang di depan mata.
Bukan itu sahaja, Sky Avenue turut menyediakan banyak pilihan restoran yang sesuai dengan bajet anda. Apa lagi? Bukan selalu dapat ke pusat membeli-belah pada ketinggian memecah awan ni.
Alamat: Genting Highlands Resort, Genting Highlands, 69000
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
11. Genting Highlands Premium Outlets
Pernah dengar tentang Johor Premium Outlets? Jangan tak tahu, di kawasan tanah tinggi ini pun ada Premium Outletsnya sendiri iaitu Genting Highlands Premium Outlets. Bercuti di kawasan peranginan sambil bershopping sakan barangan branded yang murah, kedengaran macam satu percutian yang sempurna bukan?
Apa lagi koleksi jenama yang anda ingin kumpulkan di dalam almari? Adidas, Polo Ralph Lauren, Coach, Michael Kors atau apa sahaja persediaan untuk hidup penuh bergaya anda, semuanya ada di sini dengan tawaran harga diskaun yang mencecah atap setiap hari.
Alamat: KM13, Genting Highlands Resort, Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)
10. Fashion Forest
Jika anda rasa Fashion Forest adalah sebuah tempat membeli-belah, tidak sama sekali. Fashion Forest ini sebenarnya sebuah tarikan alam semula jadi dengan konsep yang cukup unik.
Mesti anda tertanya-tanya, apa kaitannya fesyen dan hutan bukan? Pihak pengurusan Fashion Forest mengesyorkan para pelawat untuk memakai pakaian yang cun walaupun untuk masuk ke dalam hutan bagi menggalakkan semua pelawat berkongsi pengalaman di media sosial.
Di samping itu, Fashion Forest turut menganggap semua pokok-pokok di sekitar hutan ini sebagai Supermodel, Selebriti atau sebagainya. Unik bukan?
Selain itu, teknologi juga turut digunakan untuk menjadikan sesi bersatu dengan alam semula jadi lebih efektif seperti penggunaan arca bergerak, bantuan visual bingkai Natgeo, platform menaik dan macam-macam lagi. Memang lain daripada yang lain.
Alamat: Resorts World Genting, 69000 Genting Highlands
Bayaran Masuk: RM75 – RM130+
9. Fox World Studio Store
Anda peminat fanatik filem Hollywood? Sememangnya wajib untuk anda singgah ke Fox World Studio Store kalau dah sampai ke Genting Highlands ini. Percayalah, masuk sahaja ke dalam kedai barangan merch filem-filem 20th Century Fox ini, anda tak akan dapat menahan perangai hyper yang datang tiba-tiba.
Koleksi barangan yang terdapat di sini adalah daripada movie-movie yang menjadi kegemaran ramai seperti Night at the Museum, Planet of the Apes, Alien vs. Predator, Robots, Ice Age, Rio, Life of Pie dan sebagainya.
Bukan sedikit koleksi yang ada di sini, dengan keluasan 3000 kaki persegi, kedai ini memiliki hampir 700 koleksi barangan inspirasi filem-filem gempak hasil produksi 20th Century Fox.
Alamat: Level T2A-03, SkyAvenue, Genting Highland
Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm
8. Awana Golf
Terletak pada ketinggian melebihi 3000 kaki dari paras laut, suhu dingin bermain golf di Awana Golf ini tidak ubah seperti bermain di benua Eropah.
Padang golf yang berkeluasan 5860 meter ini merupakan sebuah padang golf 18 lubang yang dapat memberikan cabaran yang bersesuaian dengan pelbagai tahap kemahiran.
Bukan itu sahaja, golfer yang datang ke sini juga dapat menikmati keindahan flora dan fauna di kawasan sekitar yang cukup menyejukkan mata.
Alamat: KM13, Genting Highlands, 69000 Genting
Waktu Operasi: 10.00am – 12.50pm & 1.00pm – 5.00pm
Bayaran Masuk: RM80 – RM260
7. 20th Century Fox World
Sudah puas membeli-belah di Fox World Studio Store, jangan lupa untuk meneruskan siri keseronokan anda dengan menjejakkan kaki ke 20th Century Fox World.
Berdiri di atas tapak yang dulunya merupakan Genting Highlands Outdoor Theme Park, 20th Century Fox World menjanjikan sekitar 25 aktiviti yang penuh dengan thrill yang diinspirasikan daripada filem-filem yang memecah panggung wayang seperti Titanic, Ice Age, Night at the Museum dan Planet of the Apes.
Selain itu, 20th Century Fox World turut bersambung dengan pelbagai tarikan lain di Genting seperti SkyAvenue Mall dan Arena of Stars Theatre.
6. Bona Cinemas
Memang banyak tarikan bagi movie buff di Genting Highlands ni. Tarikan hebat yang seterusnya ini adalah sebuah pawagam yang padat dengan teknologi moden, Bona Cinemas.
Buat masa ini, pawagam yang terletak di SkyAvenue ini memiliki 4 buah dewan panggung. Dewan panggung di sini dijangka akan ditambah lagi pada bulan Ogos 2018 dengan dewan VIP yang lengkap dengan 48 buah tempat duduk dan dewan teater IMAX dengan 250 buah tempat duduk.
Tiket wayang di Bona Cinemas ini mungkin kedengaran sedikit mahal berbanding dengan pawagam lain, namun perbezaan kualitinya memang dapat dirasai kerana mengunakan teknologi kesan bunyi khas yang terbaru, Dolby Atmos.
Alamat: Level 1, SkyAvenue, Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 3.00)
Bayaran Masuk: Premium Seats RM22 | Executive Seats RM17 | Standard Seats RM16
5. SeniKome Péng Hēng
SeniKome Péng Hēng East Coast Arts & Cultural Centre, macam pelik sahaja bunyinya kan? Tapi kalau dilihat lama-lama nama yang diberikan kepada pusat kesenian ini, barulah terlihat apa maknanya, ‘SeniKome’ bermaksud seni kita dan ‘Péng Hēng’ pula tak ubah seperti Pahang bukan? Péng Hēng ini juga adalah bahasa klasik yang digunakan untuk merujuk kepada negeri di bahagian pantai timur semenanjung.
Seperti namanya, pusat kesenian dan budaya ini mendedahkan anda dengan keindahan seni dan budaya yang menjadi warisan turun-temurun di negeri-negeri Pantai Timur di Malaysia iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Di sini anda dapat menyaksikan persembahan kebudayaan dan program-program seperti wayang kulit, pembuatan batik, wau dan lain-lain lagi.
Anda juga dapat mengulit kenangan di zaman kanak-kanak dengan bermain pelbagai permainan tradisional yang tersedia bersama keluarga seperti congkak, tingting, batu seremban dan macam-macam lagi.
Alamat: Level 4, First World Plaza
Waktu Operasi: 9.00am – 9.30pm
4. SkySymphony Genting
Jangan diingat SkyAvenue ini sekadar tempat bershopping, bagi para suami yang tak ada keinginan untuk bershopping ataupun dah penat membeli-belah di sana-sini, mari menuju ke tingkat 1 SkyAvenue.
Di sini anda akan dipersembahkan dengan pertunjukan yang memukau mata dan mampu membuat jiwa anda terbang ke satu dimensi berbeza yang penuh dengan ketenangan.
Persembahan yang mengusik jiwa SkySymphony Genting ini disampaikan dengan menggunakan 1001 bola yang bercahaya dalam pelbagai warna. Pertunjukan ini digabungkan dengan gubahan muzik yang menyempurnakan lagi ‘feel’ persembahan. Untuk pengetahuan anda, SkySymphony yang wujud di Genting ini adalah yang terbesar di Asia.
Dengar macam mahal sahaja persembahannya kan? Sebenarnya, anda tidak perlu membayar sesen pun untuk melihat SkySymphony Genting ini. Terbaiklah! Wajib masukkan dalam senarai tarikan untuk dilihat di Genting nanti.
Alamat: Level 1, SkyAvenue
Waktu Operasi: 10.00am – 12.00am
3. The Arena of Stars
Mesti dah pernah dengar tentang arena yang satu ini, The Arena of Stars. Bukan main hebat lagi majlis-majlis dan konsert yang pernah diadakan di sini menjadikan ia salah satu dewan yang paling berprestij di Malaysia.
Menyediakan 5000 tempat duduk, arena ini menjadi pilihan ramai artis-artis besar seperti Sir Elton John, Black Eyed Peas, Michael Bolton, Il Divo, Cliff Richard, Michael Learns to Rock dan banyak lagi. Di sini juga pernah dijalankan majlis anugerah MTV Asia Awards 2008.
Amphitheater yang berkeluasan 45,000 kaki persegi ini memiliki sistem bunyi dan pencahayaan yang berteknologi tinggi. Nak merasai kesempurnaan arena ini sendiri? Celikkan mata anda dengan informasi berkenaan persembahan yang akan diadakan untuk membeli tiket secepat mungkin.
Alamat: Resorts World Genting, 69000 Genting Highlands Resorts
2. Vision City Video Games Park
Menawarkan lebih daripada 400 buah permainan, di Vision City Video Games Park anda dapat menguji skills gaming anda sama ada dari segi refleks, keberanian, fokus atau ketepatan, terlampau banyak pilihan yang ada.
Permainan yang terdapat di sini adalah seperti memanah, laser tag, wheel-of-fortune, whack-a-mole, basketball hoops dan sebagainya yang dapat mengisi seharian waktu anda di Genting. Sedar tak sedar, dah lewat malam, itulah penangan asyiknya berseronok di games park ini.
Anda bukan sahaja dapat bermain, tapi juga berkemungkinan mendapat hadiah atas kejaguhan anda dalam bermain permainan-permainan ini tadi. Barulah syok dapat hadiah, tak gitu?
Bagi anda yang datang bersama anak kecil pula, permainan yang bersesuaian turut disediakan seperti kereta api, carousel dan kereta mainan bertemakan haiwan. Tak kisahlah berapa pun usia anda dan keluarga, semuanya dapat merasai keseronokan yang luar biasa.
Alamat: Vision City Video Games Park, Genting Grand
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 12.00am) | Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuit Umum & Cuti Sekolah (9.00am – 1.00am)
1. World of Phalaenopsis (Orchid Farm)
World of Phalaenopsis adalah sebuah ladang orkid yang berkeluasan sekitar 6500 meter persegi. Cukup luas sehinggakan ia terkenal sebagai ladang orkid Phalaenopsis atau orkid rama-rama yang terbesar di Malaysia.
Ladang yang ceria dengan orkid yang aneka warna ini mampu memukau pandangan sesiapa sahaja yang datang sehingga terlupa akan kedinginan suhu di Genting. Bukan sedikit, tetapi lebih daripada 390 jenis orkid yang telah ditanam di ladang ini.
Untuk pengetahuan anda, orkid rama-rama adalah jenis orkid yang terkenal di negara ini kerana kemampuannya untuk tahan lama dan mudah untuk dijaga.
Sambil melihat deretan pokok-pokok orkid ini, anda juga dapat belajar banyak tentang tips penjagaan orkid agar dapat tumbuh dengan mekar.
Alamat: 100, Gohtong Jaya, Genting Highlands
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am -5.00pm)
Terbukti sudah Genting Highlands ini bukanlah hanya sebuah destinasi percutian yang penuh dengan tarikan mewah dan hiburan semata-mata, tetapi juga menawarkan sesuatu yang unik untuk dicuba seperti yang terdapat di Fashion Forest.
Selain itu, anda juga dapat melegakan keinginan bershopping barangan berjenama dengan harga diskaun yang melampaui batas dan macam-macam lagi. Tidak hairanlah, tanah tinggi ini menjadi pilihan ramai setiap kali tiba musim cuti.
Namun, sekiranya anda merancangkan sebuah percutian yang berdekatan dengan bandar, anda dijemput untuk membaca artikel kami tentang 32 Tempat Menarik Di Kuala Lumpur.
Tidak jauh dari bandaraya metropolitan ini, negeri Selangor juga tak kurang hebat tarikan yang ditawarkannya. Nak tahu dimana? Anda boleh meluangkan masa membaca artikel kami bertajuk 37 Tempat Menarik Di Selangor.
Akhir kata, diharapkan artikel tempat menarik di Genting Highland ini dapat membantu anda membuat perancangan percutian yang sempurna dan padat dengan keseronokan. Selamat bercuti ke Genting Highlands!