35 Tempat Menarik Di Hatyai & Songkhla | Jom Jelajah Selatan Thailand

Lokasi Hatyai yang terletak berdekatan dengan sempadan Malaysia menjadikan ia destinasi pelancongan pilihan ramai rakyat Malaysia.  Sebagai salah satu bandar yang terbesar di Thailand, tidak hairanlah betapa banyaknya tarikan yang terdapat di sini terutamanya gerai makan, pusat urutan badan dan tempat-tempat membeli-belah, mana tak seronok pelancong yang datang.

Nak tahu apa lagi yang best di Hatyai? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Hatyai ini, barulah mudah untuk anda merancang perjalanan anda di sana nanti.

35. Pasar Terapung Hatyai Klong Hae

Kalau ke Hatyai tapi tak melawat Pasar Terapung Hatyai Klong Hae, apalah maknanya percutian anda ke kota ini. Pasar yang unik ini agak fotogenik, mana taknya, jualan-jualannya dilakukan di atas sampan. Bukan sikit, tapi dalam sekitar 50 buah sampan semuanya, memang banyaklah pilihan makanan kalau anda yang datang dengan perut menggerodak tu.

Antara makanan yang terdapat di sini adalah seperti kari Selatan Thai, roti hotdog, ayam goreng, penkek kelapa, samosa dan macam-macam lagi yang mengenyangkan. Tak cukup dengan gerai-gerai atas sampan, di bahagian darat sekitarnya juga terdapat banyak gerai yang menjual pakaian, makanan dan cenderamata.

Alamat: Khlong Hae Khutao Road, Khlong Hae, Hatyai, Thailand

Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (3.00pm – 9.00pm)


34. Hatyai Park Lantern Festival

Hatyai Park Lantern Festival
Sumber: Oh Ji En

Setiap tahun, Hatyai Park Lantern Festival ataupun Festival Tanglung akan diadakan di Hatyai Park. Kalau anda pernah ke i-City,  lebih kurang sama sahaja konsepnya, tapi di sini cahaya-cahaya dihasilkan di dalam bentuk yang cukup kreatif dan lebih pelbagai!

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Hatyai

Antaranya adalah bentuk Eiffel Tower, tokong, naga dan bermacam lagi yang tak tercapai dek akal, namun begitu, reka bentuk-reka bentuk tanglung yang dipamerkan di festival ini berbeza dari tahun ke tahun. Pergi sahaja setiap tahun kalau ada peluang, masuk pun percuma!

Alamat: Thanon Karnjanavanit, Kho Hong, Hat Yai, Songkhla 90110, Thailand

Bayaran: Percuma


33. Hatyai Wonders Land

Hatyai Wonders Land
Sumber: Plearn House

Satu-satunya di Asia, Hatyai Wonders Land memberikan anda sekeluarga pengalaman bukan 3D tapi 4DX! Dengan teknologi 4DX anda dapat melihat, merasa, mendengar dan menghidu apa sahaja yang terdapat di dalam Hatyai Wonders Land dengan menggunakan cermin mata magikal.

Seperti berada di galeri seni, tapi seperti yang dah diceritakan tadi, ini bukanlah pameran seni biasa, lukisan-lukisan di sini terasa hidup di sekeliling anda. Nak cerita panjang-panjang hilang pula kejutannya nanti, apa lagi, jangan lepaskan peluang ke Hatyai Wonders Land kalau dah ke Hat Yai.

Alamat: Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Waktu Operasi: 9.00am – 8.00pm


32. Central Festival Mall

Central Festival Mall
Sumber: Hrm Alorsetar

Sebuah pusat membeli-belah yang agak baru, Central Festival Mall, bukanlah tempat anda berwindow shopping yang biasa, tapi adalah sebuah pusat membeli-belah yang terbesar di Hat Yai. Dengan keluasan 250,000 meter persegi, bayangkanlah betapa banyaknya kedai-kedai yang terdapat di sini.

Selain daripada outlet-outlet antarabangsa dan tempatan serta kedai makan, tarikan lain yang terdapat di sini adalah ice skating rink, pusat boling, wayang 3D Imax, permainan arked dan banyak lagi.

Bagi anda yang datang bersama anak kecil, anda boleh menggunakan stroller kanak-kanak dalam bentuk kereta sport secara percuma di kaunter informasi Central Festival Mall. Dapat stroller cool macam ni, mesti tak meragam punyalah. Baru tenang anda bershopping.

Alamat: Kanchanavanich Road, Hatyai District, Songkhla, Thailand


31. Thai Odyssey

Thai Odyssey Hatyai
Sumber: Jeff Eng

Sudah puas menerokai semua yang ditawarkan di dalam hiruk-pikuk Hat Yai, inilah masanya untuk anda memanjakan diri dengan urutan yang berkemungkinan besar paling melegakan di dunia.

Di mana lagi kalau bukan di Thai Odyssey, kalau anda melihat harga yang ditawarkan untuk setiap pakej urutan di sini, mungkin kedengaran agak mahal, tapi dengan sekali rasa, mesti tak ada yang dapat mengalahkan Thai Odyssey.

Atmosfera di sekitar pusat urutan ini juga sungguh menenangkan, dengan rekaan dalaman berkonsepkan Thailand sendiri, bauan aromaterapi yang menyegarkan, memberikan anda satu pengalaman yang cukup sempurna. Kalau anda tercari-cari di mana Thai Odyssey ini, lokasinya adalah di dalam bangunan hotel yang berwarna putih dan merah, Red Planet Hotel. Cuba jangan tak cuba urutan di sini!

Alamat: No. 152 – 156 Niphat Uthit 2 Road | Red Planet Hotel Hat Yai, Hat Yai 90110

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (10.00am – 10.00pm) | Jumaat – Sabtu (11.00am – 11.00pm)

Bayaran: Bermula Dari 380 Baht


30. Magic Eye 3D Museum

Terletak berdekatan dengan Central Festival Mall adalah sebuah bangunan dua tingkat yang di dalamnya terdapat karya seni 3D yang cukup realistik iaitu Magic Eye 3D Museum. Sebuah muzium namun keseronokan melawati muzium ini mengalahkan taman tema.

Maklumlah, siapa tak seronok dapat bergambar dengan lukisan-lukisan 3D, baru meriah instagram anda dengan gambar-gambar gempak di sini.

Dengan bayaran 400 Baht anda turut mendapat sepasang stokin untuk dipakai di dalam muzium kerana lukisan-lukisan yang menakjubkan ini bukan hanya terdapat pada dinding, malahan di lantai muzium juga, di mana anda nak bergambar, atas? Bawah? Kiri? Kanan? Ada sahaja yang membuatkan mata anda terbeliak melihat betapa realistiknya karya-karya 3D ini.

Alamat: 1408 Kanjavanich Road, Hatyai, Songhkla Thailand 90110

Waktu Operasi: 9.00am – 9.00pm

Bayaran: 400 Baht


29. Namtok Ton Nga Chang

Siapa sangka di sebalik pokok-pokok berdekatan dengan jalanraya utama terletaknya sebuah air terjun yang tercantik di Selatan Thailand iaitu Namtok Ton Nga Chang.

Kecantikannya adalah kerana airnya yang mengalir daripada 7 tingkat berbeza. Namun air terjun daripada tingkat ketiga adalah yang terindah kerana ia terpecah kepada 2 bahagian menghasilkan bentuk seperti gading gajah.

Baca: 33 Destinasi Luarbiasa Di Pattaya

Kalau anda nak tahu, bentuk gading gajah di tingkat 3 air terjun inilah yang menjadi inspirasi kepada namanya. Bagi anda yang ingin menikmati keindahan air terjun ini dari tingkat ke tingkat, anda boleh menggunakan trek yang disediakan, pastikan anda bersedia dengan kasut yang sesuai sebelum mendaki ke atas kerana kawasan di sekitar air terjun ini agak licin.

Alamat: Namtok Ton Nga Chang Namtok Ton Nga Changton, Nga Chang wildlife Sanctuary, Amphoe Hat Yai, Songkhla, Thailand


28. Wat Hat Yai Nai

Siapa sangka wujudnya patung Buddha yang kelihatan sangat chill seperti di Wat Hat Yai Nai. Kedudukan patung ini sangat berbeza daripada biasa, boleh terkejut dibuatnya kalau anda terjumpa patung besar dalam posisi yang peliknya ini tanpa pernah mendengar sebarang informasi tentang kewujudannya. Selamat jantung anda kerana meluangkan masa membaca artikel ini.

Bukan itu sahaja, patung ini juga cukup besar dengan kepanjangan sekitar 35 meter, memang tak muatlah kalau anda nak masukkan kesemuanya ke dalam frame gambar.

Wajah patung ini pula seolah-olah tersenyum sinis melihat pelancong yang datang tak putus-putus untuk melihatnya. Satu tarikan unik yang mesti anda saksikan sendiri di Hat Yai.

Alamat: Wat Hat Yai Nai di Phetchakasem Road, berdekatan Khlong U, Taphao Bridge, Amphoe Hat Yai, Songkhla, Thailand

Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm


27. Hatyai Cable Car

Terletak di Hat Yai Park,  terdapat dua stesen Hatyai Cable Car iaitu di Thao Maha Phrom dan di Phra Buddha Mongkol Maharaj.

Dengan bayaran semurah 200 Baht ataupun sekitar RM25 anda dapat menikmati pemandangan indah sekitar bandaraya Hat Yai dengan sepuas hati, siapa tak seronok dapat melihat panorama seluas pandangan dari tempat yang tinggikan?

Sekali-sekala ke Hat Yai, bila lagi nak menikmati keindahan bandar ini dari perspektif berbeza. Macam inilah baru puas bergambar!

Alamat: Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 8.00pm)

Bayaran: 200 Baht


26. Greenway Night Market

Apabila melancong ke negara bukan Islam, mencari makanan halal adalah satu cabaran yang agak besar. Tapi yang bestnya melancong ke Thailand ini walaupun bukanlah sebuah negara Islam adalah gerai-gerai halalnya yang agak mudah didapati, salah satunya adalah di Greenway Night Market.

Bukan sahaja makanan, barangan lain juga banyak terdapat di sini seperti pakaian baru dan bundle, aksesori, beg, kasut dan bermacam lagi. Yang menjadi bonusnya adalah ramai antara peniaga di sini yang boleh bercakap di dalam bahasa Melayu. Macam ni baru syok! Mudah untuk anda tawar-menawar.

Alamat: 1406/3 Kanjanavanich Rd., Hat Yai 90110, Thailand

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (5.00pm – 10.0pm)


25. Cense by Spa Cenvaree

Selain makan-makan dan keindahan alam semulajadi di Thailand, urutan Thailand adalah satu lagi tarikan yang wajib dicuba. Selain di Thai Odyssey, satu lagi lokasi di mana anda boleh mendapatkan urutan badan yang hebat adalah di Cense by Spa Cenvaree.

Seperti di tempat urutan lain di Thailand, atmosfera di dalam spa ini juga sangat terapeutik,  tak perlu pejam mata untuk membayangkan berada di tempat yang menenangkan. Bukan itu sahaja, anda juga akan disajikan dengan air teh sebelum diberikan rawatan spa.

Alamat:  3 Samehanusorn Road, Hat Yai, SongKhla 90110, Thailand

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 8.00pm)

Bayaran: Bermula Dari 600 Baht


24. Hat Yai Municipal Park

Tak tahu nak buat apa bila sampai sahaja ke Hat Yai? Datang sahaja ke Hat Yai Municipal Park. Gerenti pening kepala memilih aktiviti yang ingin dibuat di sini sebab begitu banyak sekali tarikan yang ditawarkan di taman yang satu ini.

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah seperti kereta kabel Hat Yai, patung besar Guan Yin, patung Buddha Ketawa dan patung Buddha Berdiri, ada-ada sahaja kan.

Alamat: Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand


23. Hat Yai Observatory

Dah puas melihat semua tarikan di Hat Yai Municipal Park, jom pergi ke Hat Yai Observatory pula, kedua-dua lokasi ini sangat dekat antara satu sama lain.

Bagi anda yang membawa anak-anak, di bahagian pameran astronomi Hat Yai Observatory banyak yang mereka dapat pelajari berkaitan dengan galaksi kerana terdapat foto-foto dan illustasi bintang-bintang, planet-planet dan lain-lain yang pastinya mengujakan mereka. Bahagian bumbung Hat Yai Observatory pula boleh dibuka untuk melihat pemandangan di langit yang luas.

Alamat: Kanchanawanit, Hat Yai, Thailand


22. ASEAN Market (Poet tai)

ASEAN Market merupakan pasar 2 tingkat yang besar, yang mana di tingkat 1 terdapat jualan pelbagai jenis barangan sebagaimana di pasar yang lain seperti pakaian, aksesori, kasut, beg dan lain-lain lagi, di tingkat 2 pula terdapat gerai-gerai makanan barat, Thai dan buah-buahan, tepuk dada tanya selera.

Kalau anda tak nak keluarkan bajet yang banyak seperti bershopping di Central Festival, ASEAN Market adalah tempat bershopping yang sesuai untuk anda. Bukan itu sahaja, sekiranya anda pandai tawar-menawar, di sinilah tempatnya untuk anda mengaplikasikan kelebihan anda.

Alamat: 44, 46 Chotwittayakul 5 Rd., Hat Yai 90110, Thailand


21. Princess Maha Chakri Sirindhorn Natural History Museum

Princess Maha Chakri Sirindhorn Natural History Museum adalah sebuah muzium dua tingkat yang terletak di Prince of Songkla University. Terbahagi kepada 2 zon iaitu zon pameran dan zon koleksi rujukan.

Antara pameran yang terdapat di sini adalah pameran luaran yang menempatkan 3 buah ukiran dinasour, pameran Earth Study, pameran Amazing Nature, pameran Biodiversity dan pameran Ekosistem.

Baca: 32 Destinasi Menarik Di Phuket Untuk Percutian Pulau Istimewa

Untuk pengetahuan anda juga, muzium ini menempatkan lebih daripada 25,000 jenis spesimen tumbuhan dan lebih daripada 35,000 spesimen haiwan.

Alamat: 15, Kanjanawanich Road | Prince of Songkla University, Hat Yai 90110, Thailand

Waktu Operasi: Rabu – Ahad (9.30am – 4.30pm)


20. Masjid Pusat Songkhla

Masjid yang menjadi simbol kewujudan masyarakat Muslim di Songkhla, Masjid Pusat Songkhla adalah masjid yang terbesar di sini.  Masjid ini agak terkenal bukan hanya kerana saiznya yang besar malahan adalah kerana fungsinya yang juga menjadi tempat pernikahan ramai orang yang datang ke Thailand.

Jangan tak tahu, Thailand juga popular untuk mereka yang ingin bernikah ya, bukan untuk melancong sahaja. Tidak jauh dari masjid ini adalah pasar terapung yang hanya 5 ke 10 minit berjalan kaki dari masjid.

Alamat: Khlong Hae, Hat Yai District, Songkhla 90110, 352 Lopburi Ramesuan Rd, Moo 10,& Khlong Hae, Thailand


19. Pagoda Besi

Antara tempat menarik di Hatyai yang menjadi tumpuan pelancong semasa berada di sana adalah Steel Pagoda. Dikelilingi oleh loceng dan gong, Pagoda yang dibuat daripada besi ini dikatakan yang paling unik bukan sahaja di Thailand malahan di mana sahaja di dunia ini. Reka bentuk Pagoda ini juga sangat menarik dan penuh dengan ketelitian, ini termasuklah dekorasi dalamannya.

Di samping itu, daripada Pagoda Besi ini anda dapat menikmati pemandangan yang mengasyikkan kawasan sekitar.

Kalau anda ingin melihat keadaan Pagoda pada waktu-waktu yang berbeza iaitu siang dan malam, datanglah dalam sekitar 6.30pm, kerana anda akan dapat melihat cahaya lampu Pagoda ini mula dibuka bila langit malam menjelma.

Alamat: Punnakan Road | Ko Hong subdistrict, Hat Yai, Thailand


18. Songkhla Old Town

Songkhla Old Town
Sumber: LP Leow

Berjalan-jalan di sekitar Songkhla Old Town, setiap langkah kaki bakal membawa anda tenggelam ke dalam era lampau yang makin terserlah sepanjang perjalanan.

Kesemua elemen klasik ini dapat disaksikan daripada reka bentuk-reka bentuk bangunan yang berada di sekitar, deretan kedai-kedai lama yang diperbuat daripada kayu masih kukuh berdiri, tidak kurang juga dengan kehadiran bangunan yang bergaya Eropah kesan daripada jajahan pada masa lalu.

Bukan itu sahaja, seperti mana di Georgetown, Penang, Songkhla Old Town juga turut terkenal dengan mural-mural indah yang dihasilkan pada dinding-dinding bangunan. Sememangnya wajib untuk anda mendokumenkan setiap saat berada di sini.

Mengenai tarikan yang boleh anda lawati di sini adalah seperti muzium barangan antik Ban Nakorn Nai Museum dan Masjid Asasul yang dikatakan telah wujud sejak dari pertengahan abad ke-19 lagi.

Alamat: Raman, Tambon Bo Yang, Amphoe Mueang Songkhla, Chang Wat Songkhla 90000, Thailand


17. Songkhla National Museum

Terletak di dalam bangunan dengan gaya seni bina tradisional, Songkhla National Museum adalah salah sebuah destinasi yang mesti disinggahi sekiranya anda ingin memahami dengan lebih terperinci berkaitan dengan sejarah yang membentuk Songkhla.

Di sini, anda dapat melihat pelbagai pameran menarik yang terdiri daripada hasil penemuan arkeologi, hasil karya tradisional dan ini termasuklah pelbagai koleksi artifak yang ditinggalkan oleh keluarga Na Songkhla iaitu golongan pembesar yang pernah menguasi Songkhla pada suatu ketika dulu.

Anda bukan hanya perlu melawat muzium ini kerana kekayaan pamerannya, tapi juga untuk melihat dengan lebih dekat bangunan muzium ini sendiri yang pernah digunakan sebagai tempat tinggal pembesar Songkhla selepas dibina pada tahun 1878 sebelum dijadikan muzium.

Alamat: Vichianchom Rd. Bo Yang, Songkhla 90000, Thailand

Waktu Operasi: Rabu – Ahad (9.00 am – 4.00 pm)


16. Phathammarong Museum

Phathammarong Museum
Sumber: Boat Abtoecan

Destinasi wajib singgah yang seterusnya adalah Phathammarong Museum yang terletak di sudut jalan Chana dan Saiburi. Muzium ini dikatakan telah dibina dengan inspirasi daripada rumah kelahiran Perdana Menteri Thailand yang ke-16 iaitu Prem Tinsulanonda.

Muzium ini menempatkan pelbagai memorabilia termasuklah artifak yang diambil dari zaman ketika mana Prem Tinsulanonda pernah terlibat dalam ketenteraan.

Alamat: Bo Yang, Mueang Songkhla District, Songkhla 90000, Thailand

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.30 am – 4.00 pm)

Bayaran Masuk: Percuma


15. Santisuk Market

Santisuk Market Hat Yai
Sumber: Sufi Yusof

Dibuka setiap hari dari awal pagi sehingga 7 petang, Santisuk Market adalah sebuah pasar yang sangat menarik untuk dilawati sekiranya anda ingin bershopping sakan dalam harga bajet, di sinilah anda boleh bertawar-menawar sampai puas hati sebelum membeli. Kalau betul-betul power bernego, bolehlah dapat sehingga 50% murah dari harga asal.

Antara barangan yang boleh ditemui di sini adalah seperti peralatan elektronik, pakaian, aksesori, kosmetik, buah-buahan dan banyak lagi.

Alamat: Nipat U-thit 2 Rd, Hat Yai 90110, Thailand

Waktu Operasi:Setiap Hari (9.00 am – 7.00 pm)


14. Songkhla Zoo

Bawa anak kecil semasa bercuti di Songkhla? Anak-anak mesti tersenyum gembira kalau dibawa berjalan ke Songkhla Zoo. Di sini anda sekeluarga berpeluang untuk melihat pelbagai jenis haiwan seperti unta, harimau, buaya dan banyak lagi.

Di dalam zoo ini juga terdapat sebuah menara pemerhatian di mana anda boleh menyaksikan pemandangan sekitar bandar. Kelaparan? Gerai-gerai makanan turut dibuka di sini, tapi jangan lupa untuk kenal pasti status halalnya dulu ya?

Alamat: 189 Songkhla-Natawi Road, Moo 5, Khao Roop Chang, Muang Songkhla, Songkhla

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30 am – 5.00 pm)

Harga Tiket:

  • Masuk: Dewasa 150 Baht | Kanak-Kanak 70 Baht
  • Parking: Motor 10 Baht | Kereta 50 Baht

13. Street Art Songkhla

Street Art Songkhla
Sumber: Bang Pa Pai

Dikelilingi oleh kedai-kedai dengan gaya tradisional Melayu, di sepanjang Street Art Songkhla, anda dapat menyaksikan pelbagai mural yang artistik dan begitu teliti penghasilannya.

Sesetengah bangunan kafe yang dilalui, walaupun telah diceriakan dengan pelbaga warna, masih mengekalkan gaya klasiknya. Selain kreativiti gabungan pelbagai hasil seni dan warna-warni, banyak juga kedai-kedai yang dinaikkan serinya dengan tanaman hiasan yang penuh kehijauan.

Alamat:  Raman, Tambon Bo Yang, Amphoe Mueang Songkhla, Chang Wat Songkhla 90000, Thailand


12. Kim Yong Market

Kim Yong Market
Sumber: Wei Yan

Sebelum anda ke kedai-kedai yang lebih mahal untuk membeli kudapan sepanjang percutian di Hat Yai, singgah dulu ke Kim Yong Market. Di sini sudahlah murah, kalau harga tidak dipaparkan pada makanan itu, anda boleh tawar-menawar lagi.

Siapa tak suka shopping macam ni kan? Bukan sahaja makanan yang terdapat di sini, barangan lain juga boleh ditemui bagi anda yang kaki shopping seperti kasut, beg, pakaian dan banyak lagi. Pandai-pandailah berbajet ya, banyak lagi tempat membeli-belah best di Hat Yai ni.

Alamat: Sang Aretit Rd., Hat Yai 90110

Waktu Operasi: Sabtu – Ahad (7.00am – 7.00pm)


11. Chang Puak Camp

Gajah dan Thailand, berpisah tiada, di Chang Puak Camp ini anda dapat merasa menaiki gajah yang akan membawa anda menikmati pemandangan sekitar. Di mana lagi anda sekeluarga boleh mendapatkan pengalaman sebegini bukan?

Dah puas menaiki gajah, anda sekeluarga juga boleh mencuba aktiviti lain yang ditawarkan di kem ini seperti memanah, ATV, dan menembak.

Habis mencuba kesemua tarikan yang ada di sini, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan rawatan spa dan urutan kaki untuk melegakan badan yang dah lenguh seharian beraktiviti.

Alamat: 86, Moo 1, Thoong Yai sub-district, Hat Yai district, Songkhla

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am- 5.00pm)

Bayaran (Menaiki Gajah): 500 Baht (30 Minit)


10. Taman Negara Khao Nam Khang

Khao Nam Khang National Park
Sumber: Ser Gio

Taman Negara Khao Nam Khang  adalah sebuah taman negara yang berkeluasan sekitar 220 km persegi terdiri daripada beberapa buah gunung dari Selatan Thailand sehinggalah ke sempadan Malaysia. Antara gunung yang terdapat di dalam taman negara ini adalah Kuan Khao Mai, Kuan Sya dan Khao Nam Kang.

Gunung yang tertinggi di Taman Negara Khao Nam Khang adalah Khao Nam Kang yang berketinggian 648 meter dari aras laut. Antara sungai yang mengalir di taman negara yang luas ini adalah Sungai Prik, Sungai Klong Sai Kaow dan banyak lagi. Nak tahu apa lagi yang ada di sini? Rancanglah aktiviti meredah hutan anda di sini, banyak flora dan fauna yang unik menanti untuk diterokai.

Alamat: Amphoe Na Thawi, Songkhla

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)


9. Terowong Bersejarah Khao Nam Khang

Khao Nam Khang Historic Tunnel
Sumber: iEAGLE

Bagi pencinta sejarah, inilah lokasi klasik yang mesti anda lawati, Terowong Bersejarah Khao Nam Khang. Di sini anda dapat melihat peninggalan bersejarah yang wujud sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu yang menjadi saksi hubungan antara Thailand, British dan Malaysia.

Terowong tiga tingkat ini menjadi tempat tinggal pemberontak komunis pada masa itu. Di samping terowong bersejarah ini, anda juga dapat melihat pameran pelbagai jenis senjata dan barangan harian yang digunakan oleh pihak komunis.

Alamat: Mu 1, Tambon Khlong Kwang, Amphoe Na Thawi, Songkhla, Thailand

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Bayaran: 150 Baht


8. Thale Noi Waterbird Park

Thale Noi Waterbird Park
Sumber: Kelvin Lin

Berdasarkan nama yang diberikan kepada taman ini, Thale Noi Waterbird Park, anda rasa apa tarikan utama di taman ini? Tak lain tak bukan adalah ratusan jenis burung yang terdapat di sekitarnya.

Bukan sikit, tapi terdapat dalam 287 spesies burung yang menjadikan Thale Noi Waterbird Park habitat mereka. Waktu yang terbaik untuk anda melihat keindahan alam ini adalah dari bulan Januari hingga April dan datanglah awal pagi untuk mengelakkan pancaran matahari daripada mengganggu saat-saat indah anda di sini.

Alamat: Khaorup Rd., Khao Rup Chang, Muang Songkhla, Songkhla 90000 Thailand

Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm

Bayaran (Bot): 500 Baht


7. Tugu Ikan Duyung (Mermaid Statue)

Mermaid Statue Songkhla
Sumber: Adeline Chee

Tugu berbentuk ikan duyung ataupun Mermaid Statue yang terletak di Samila Beach ini memiliki kisah di sebaliknya, betul atau tak, hanya tuhan sahaja yang tahu.

Al-kisahnya adalah pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang nelayan muda yang terlihat seekor ikan duyung yang sedang menyisir rambut, namun bila didekati, ikan duyung itu terkejut lalu melarikan diri meninggalkan sikat emas yang digunakannya tadi.

Selepas daripada pertemuan itu, nelayan tadi pun menunggu setiap hari di tempat yang sama dengan harapan untuk melihat ikan duyung itu, tapi ia tidak pernah kembali. Begitulah kisahnya yang disampaikan dari zaman ke zaman sehingga tugu ini dibina untuk mengingati kisah ikan duyung ini.

Alamat: Samila Beach, Songkhla, Thailand


6. Bukit Tang Kouan

tang kuan hilltop
Sumber: Carlee Segers

Nama lain bagi Bukit Tang Kouan adalah Bukit Monyet kerana itulah maksud Tang Kouan sebenarnya. Dari atas bukit ini anda akan disajikan dengan panorama mengasyikkan seluruh bandar termasuklah air laut biru. Tidak jauh dari sini juga anda dapat melihat 2 buah pulau iaitu Pulau Kucing dan Pulau Tikus, pemandangan yang cukup menyejukkan mata.

Tapi mungkin ada antara anda yang dengar sahaja perkataan ‘bukit’ dah mula mengah, jangan risau, bukit ini juga menyediakan lif untuk anda yang rasa tak mampu untuk mendaki sehingga ke puncak.

Alamat:  Khao Tangkuan, Bo Yang, Mueang Songkhla District, Songkhla 90000, Thailand


5. Samila Beach

Samila Beach
Sumber: Worapon Masee

Bagi anda yang datang dari Hat Yai, masa yang diambil untuk sampai ke Samila Beach ini adalah dalam sekitar 45 minit, jadi, janganlah diambilnya tuk-tuk kalau nak ke sini ya, tapi kalau anda tak kisah berpanas selama itu, apa salahnya.

Di Samila Beach ini, untuk pengetahuan anda, tarikan utamanya adalah Tugu Ikan Duyungnya, agak ramai juga pelancong yang datang semata-mata ingin bergambar dengan ikan duyung ini.

Baca: 30 Destinasi Terbaik Di Krabi

Selain itu, di sekitar pantai ini juga terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis cenderamata, murah pula tu. Kalau anda dah puas membeli-belah, mesti terasa lapar atau hauskan? Jangan lupa untuk mencuba ais krim kelapa yang dijual di sini. Sambil-sambil makan, pipi disapa bayu lembut dari laut, memang terbaiklah!

Alamat: Samila Beach, Songkhla, Thailand


4. Sports Shooting Club Hatyai (SSC)

Anda rasa Hat Yai hanya ada tokong Buddha, alam semulajadi dan pasar je? Jangan tak tahu tentang kewujudan kelab menembak Sports Shooting Club Hatyai (SSC) ini. Memang rugilah kalau tak datang ke sini.

Bagi peminat filem-filem aksi, mesti teringin nak tahu bagaimana agaknya rasa memegang senjatakan? Bukan pistol kecil sahaja yang ada di sini, macam-macam lagi jenis senjata yang ada.

Senapang, pistol, shotgun dan revolver dalam pelbagai jenis semuanya ada di sini. Dah puas memegang dan memilih senjata pilihan hati, tiba masanya untuk anda cuba menembak di papan target, ini yang bestnya.

Dah habis semua peluru, anda boleh membawa balik papan target itu sebagai tanda ingatan betapa powernya tembakan anda. Manalah tahu satu hari nanti bila zombi mula menyerang, inilah waktunya anda memerlukan kemahiran menembak. Kata orang, sediakan payung sebelum hujan.

Alamat: Sports Shooting Club Hatyai (SSC), 29 Soi 11 Poonnakan Rd., Korhong Hatyai Songkhla 90110

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)


3. Khu Khut Waterfowl Park

Khu Khut Waterfowl Park
Sumber: Willy Wong

Berkeluasan sekitar 91,000 ekar, Khu Khut Waterfowl Park merupakan lokasi yang perlu dilawati oleh pencinta alam semulajadi, flora dan fauna. Di sini terdapat lebih daripada 200 jenis burung.

Baca: 48 Destinasi Menarik Di Bali

Sekiranya anda sekeluarga ingin menyaksikan keajaiban alam ini dengan sepuas hati, waktu yang terbaik adalah dari bulan Disember sehingga Mac dengan menaiki bot yang disediakan. Jangan lupa untuk merakamkan saat-saat indah anak kecil anda teruja melihat alam di sekitarnya.

Alamat: Moo 4, Khu Khut, Sathing Phra, Songkhla 90190 Thailand


2. General Prem Tinsulanonda Historical Park Songkhla

General Prem Tinsulanonda Historical Park Songkhla adalah sebuah taman yang penting untuk anda lawati sekiranya berada di Songkhla. Taman yang berkeluasan 60 ekar ini dibina untuk memperingati jasa Jeneral Prem Tinsulanonda yang merupakan  bekas Perdana Menteri Thailand.

Terbahagi kepada 3 bahagian, bahagian pertama menempatkan Dewan Bersejarah, bahagian kedua terletaknya taman botani, kolam air, ruang budaya, taman awam dan hasil ukiran, bahagian yang terakhir pula menempatkan pusat pendidikan ekologi dan 4 buah pameran berkaitan dengan tumbuhan dan hutan paya bakau.

Di sini juga terdapat tapak perkhemahan untuk anda menikmati pemandangan di sekitar dengan sepuas hati.

Alamat: General Prem Tinsulanonda Historical Park Songkhla, General Prem Tinsulanonda Historical Park Songkhla

Waktu Operasi:

  • Taman: Setiap Hari (5.00am – 8.00pm)
  • Dewan Bersejarah: Rabu – Ahad (9.30am – 4.30pm) | Isnin – Selasa (Tutup)

1. Pulau Ko Yo

koh yo island

Terletak di bahagian timur Tasik Songkhla, Pulau Ko Yo boleh diaksess dengan menggunakan jambatan konkrit yang terpanjang di Thailand iaitu Jambatan Tinsulanond. Apa yang menariknya di Pulau Ko Yo ini adalah makanan-makanannya yang segar, snek tempatan dan fabrik buatan tangannya.

Di pulau ini juga anda dapat mencuba sejenis nangka yang berbeza daripada tempat lain, rasanya cukup manis. Bukan itu sahaja, Pulau Ko Yo juga menempatkan banyak lokasi menarik yang lain seperti Buddha berbaring, tokong dan beberapa buah muzium. Makanan ada, seni ada, muzium pun ada, apa lagi sebab untuk anda tidak ke Pulau Ko Yo?

Alamat: Ko Yo, Mueang Songkhla District, Songkhla 90100, Thailand


Menarik juga Hat Yai ini kan? Memang rugilah kalau anda sekeluarga tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke destinasi pelancongan yang satu ini. Bukan sahaja kaya dengan tarikan-tarikan yang unik, makanannya juga tak kurang hebatnya.

Musim cuti kali ini, jangan biarkan hidup anda sekeluarga diselubungi kelabu kebosanan, mai beramai-ramai ke Hat Yai untuk mencipta warna-warni memori indah.

Sebelum itu, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mendapatkan tempat penginapan dengan harga yang murah apabila menjejakkan kaki ke Hat Yai nanti. Tak perlu mengeluarkan bajet yang besar, hotel murah, makanan murah, tarikan-tarikan yang ditawarkan di Hat Yai juga dalam harga yang berpatutan, sudah cukup rasanya syarat untuk membuat anda sekeluarga ke Hat Yai.

Baca: 32 Hotel Murah Di Hatyai Yang Sesuai Untuk Bajet Traveller

Jadi jangan buang masa lagi, nak cuba berbackpacking bersama keluarga? Inilah destinasinya untuk anda berjinak-jinak sebelum melangkahkan kaki ke negara yang lebih jauh. Semoga berseronok di Hat Yai!

4.7/5 - (66 votes)