Ho Chi Minh City adalah sebuah kota yang terbesar di Vietnam. Dulunya dikenali sebagai Saigon, kota besar ini sebenarnya menyimpan pelbagai kisah penting dalam sejarah Vietnam. Dari zaman pemerintahan Dinasti Nguyen hinggalah ke zaman penjajahan Perancis dan Peperangan Vietnam, di sinilah segala kesan-kesan lama hasil peninggalan era yang berlalu dapat dilihat.
Apa yang menjadikan Ho Chi Minh City lebih menarik adalah di sebalik peristiwa-peristiwa pahit ini, kota ini mampu membangun dengan penuh berani diperlihatkan daripada kewujudan bangunan-bangunan pencakar langit dan taman tema yang berhektar luasnya.
Namun begitu, dalam masa yang sama, kota ini tetap kaya dengan taman-taman hijau yang indah tak terkata. Ingin tahu dengan lebih terperinci segala tarikan hebat yang ada di kota yang unik ini? Teruskan membaca senarai 31 tempat menarik di Ho Chi Minh.
31. Turtle Lake
Turtle Lake adalah sebuah kawasan yang menjadi tarikan ramai penduduk tempatan untuk bersantai melihat ketenangan air tasik. Dari tempat duduk bersimen yang menyeberangi tasik ini anda juga dapat melihat sebuah struktur yang pelik di tengah-tengahnya dengan sebuah tangga untuk ke tempat bersantai yang lebih tinggi.
Sememangnya ini adalah tasik yang agak unik untuk dilawati. Tapi kalau anda nak tahu, banyak teori konspirasi berhubung dengan tasik buatan ini. Turtle Lake ini tidaklah senaif yang disangka. Nak tahu? Jom gali di Google.
Alamat: Vo Van Tan and Tran Cao Van Streets, District 3, Ho Chi Minh City 70000
30. Binh Tay Market
Terletak di tengah-tengah kota Chinatown terbesar di Vietnam, bangunan pasar ini pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang melaluinya.
Sungguh unik, sememangnya bangunan ini bukanlah bangunan biasa, kerana ianya telah berdiri sekian lama sejak dari tahun 1880-an lagi dan pembinaannya telah dijalankan oleh orang Perancis yang pada ketika itu sedang menjajah Vietnam. Untuk pengetahuan anda, nama lain bagi Binh Tay Market adalah Cholon Chinatown Market.
Di pasar yang terletak di dalam bangunan 2 tingkat ini anda dapat menemui banyak barangan yang termasuklah sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut hinggalah ke cenderamata.
Namun begitu, kebanyakkan barangan di sini dijual secara borong. Terlalu ramai orang yang disayangi yang tak dapat mengikuti anda ke Vietnam? Borong sahaja buah tangan dari pasar ini.
Alamat: 57 Thap Muoi, | Ward 2, District 6, Ho Chi Minh City 700000
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)
29. Museum of Ho Chi Minh City
Digelar Dragon House (Nha Rong) ataupun Rumah Naga, istana gaya neoklasik yang menempatkan Museum of Ho Chi Minh City ini telah dibina oleh orang Perancis pada tahun 1863. Muzium ini seperti nama yang diberikan kepadanya, menempatkan pelbagai barangan yang pernah menjadi kepunyaan Ho Chi Minh seperti pakaian, cermin mata dan kasutnya.
Eh, siapa pula Ho Chi Minh ni? Sebenarnya Ho Chi Minh adalah nama Presiden Vietnam dari tahun 1945 ke 1955.
Beliau juga merupakan ketua pergerakan kebebasan Việt Minh dari tahun 1941 yang telah berjaya menumpaskan French Union pada tahun 1954 dalam pertempuran Điện Biên Phủ. Nampakkan kenapa beliau begitu disanjungi?
Alamat: Hồ Chí Minh City Museum, 65 Lý Tự Trọng, Bến Nghé, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)
Bayaran Masuk: 15,000 VND
28. Bitexco Financial Tower
Di setiap kotaraya pasti ada bangunan pencakar langitnya, kalau di Ho Chi Minh bangunan yang tinggi mencakar awan adalah Bitexco Financial Tower. Berketinggian 262 meter dengan 68 tingkat, menara dengan reka bentuk moden ini menempatkan Skydeck di tingkat 48.
Dari dek pemerhatian ini anda dapat menikmati pemandangan 360 darjah yang mengujakan sekitar bandar. Apa kata kalau anda datang ke sini pada waktu malam? Cahaya lampu yang bertaburan dari kota ini di malam gelap adalah satu pemandangan yang tidak patut dilepaskan.
Alamat: 36 Hồ Tùng Mậu, Bến Nghé Hồ Chí Minh
Waktu Operasi Skydeck: Setiap Hari (9.30am – 9.30pm)
Bayaran Masuk Skydeck: 200,000 VND
27. Independence Palace (Reunification Palace)
Independence Palace ataupun Istana Kemerdekaan pada asalnya merupakan tempat tinggal Presiden Vietnam Selatan sewaktu Peperangan Vietnam.
Yang menariknya, segenap pelusuk istana ini masih lagi menggunakan semua perabot asal walaupun setelah berdekad lamanya. Bayangkanlah berjalan dari satu tingkat ke satu tingkat yang dalamannya masih terhenti di era 1975. Satu pengalaman yang unik dan sukar dilupakan.
Mesti anda tertanya-tanya kenapa ia dinamakan sebagai istana kebebasan bukan? Ini kerana pada tahun 1975, sebuah kereta kebal milik tentera Vietnam Utara telah merempuh pagar istana ini, menjadikan ia tanda pengakhiran Peperangan Vietnam.
Notis: Walaupun dibuka setiap hari, istana ini ditutup pada hari majlis-majlis rasmi diadakan di sini.
Alamat: 135 Nam Kỳ Khởi Nghĩa, Bến Thành, Quận 1
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.30am – 11.00am & 1.00pm – 4.00pm)
Bayaran Masuk: 30,000 VND
26. Central Post Office
Tidak mampu bergambar dengan Eiffel Tower yang jauh di Eropah sana? Pergi sahaja ke Vietnam, jangan terkejut, sebenarnya bangunan Central Post Office yang terletak di Vietnam ini juga telah direka bentuk oleh arkitek yang sama, Gustave Eiffel.
Dapat aura Eiffel Tower pun kira okaylah kan? Bangunan megah yang mula dibina pada tahun 1886 ini masih lagi digunakan sebagai pejabat pos, ya, anda masih boleh membeli poskad dan poskan kepada orang tersayang dari pejabat pos ini.
Memandangkan bangunan ini telah direka oleh seorang arkitek yang terkemuka, keindahannya tidak terhenti di situ. Sebaik melangkah masuk ke dalam pejabat pos ini anda akan tergoda dengan keindahan rekaan dalamannya pula, yang mana dindingnya terpapar peta bersejarah Cholon, Vietnam dan Saigon.
Jangan hanya melihat kiri dan kanan, kerana jika dilihat dengan terperinci setiap ruang bangunan ini, anda akan terpandang banyak sekali rekaan yang menakjubkan, termasuklah lantai bangunan ini.
Alamat: 2 Công xã Paris, Bến Nghé, tp. Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (7.00am – 7.00pm) | Sabtu (7.00am – 6.00pm) | Ahad (8.00am – 6.00pm
25. War Remnants Museum
Peperangan bukanlah satu peristiwa yang ingin diingati sesiapa terutama bagi yang pernah melaluinya, namun, ini tidak bermakna generasi baru perlu terus melupakan bahawa tragedi ini pernah terjadi supaya lebih menghargai erti kemerdekaan. Inilah salah satu lokasi yang dapat membuka mata anda tentang kesan yang dibawa oleh peperangan, dalam kes ini, Peperangan Vietnam.
Di War Remnants Museum ini anda dapat melihat pameran pelbagai jenis senjata, kereta kebal dan kapal yang telah digunakan sewaktu peperangan. Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat replika penjara dan alat penyeksaan yang digunakan ke atas banduan perang.
Di bahagian dalam muzium ini pula dapat dilihat banyak foto zaman peperangan yang agak berat untuk dilihat terutama bagi kanak-kanak. Oleh sebab itu, muzium ini turut menyediakan bilik permainan bagi menempatkan anak-anak sementara yang dewasa meneruskan perjalanan sekitar muzium.
Alamat: 28 Vo Van Tan, District 3, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.30am – 12.00pm & 1.30pm – 5.00pm)
Bayaran Masuk: 15,000 VND
24. Opera House
Dengar sahaja opera mesti anda dapat teka bahawa bangunan ini juga adalah salah satu daripada hasil peninggalan Perancis di Vietnam. Dibina pada tahun 1897, Opera House ini kini digunakan sebagai tempat pertunjukan bukan sahaja opera tapi juga banyak lagi pertunjukan seni yang lain seperti tarian tradisional Vietnam, konsert muzik dan teater.
Anda boleh terus ke box office Opera House ini yang dibuka setiap hari dari pukul 9.00am ke 4.30pm atau lawati laman web mereka Ho Chi Minh City Ballet Symphony Orchestra and Opera untuk maklumat berkenaan pertunjukan yang diadakan di sini.
Alamat: 7 Lam Son Square, District 1
Waktu Operasi: Dibuka Hanya Pada Hari Pertunjukan dan Majlis
23. Dong Khoi Street
Dong Khoi Street yang terletak di tengah-tengah kawasan komersial bandar ini merupakan sebuah lokasi yang hidup siang dan malam dengan pelbagai butik, restoran menarik dan cafe yang penuh gaya.
Yang menjadikan pengalaman lebih unik di sini adalah bangunan-bangunan kolonialnya yang masih terjaga dengan baik dan cukup indah dipandang mata. Sediakan lensa anda di tangan walau dimana sahaja anda berjalan di sekitar Dong Khoi Street ya?
Alamat: Dong Khoi Street, District 1
22. Saigon Zoo and Botanical Gardens
Taman botani dan zoo di dalam satu lokasi yang sama? Satu idea yang cukup menarik bukan? Inilah yang dapat anda sekeluarga nikmati di Saigon Zoo and Botanical Gardens dengan sekali bayaran sahaja.
Sebaik membayar tiket anda akan memasuki kawasan zoo yang indah ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok hijau yang menyejukkan mata sehingga membuatkan anda menyangka bahawa ini adalah bahagian taman botaninya.
Tidak sama sekali, kerana sebenarnya anda masih berada di dalam kawasan salah satu zoo yang tertua di dunia yang menempatkan pelbagai jenis haiwan eksotik.
Untuk menuju ke taman botani pula, anda perlu meneruskan perjalanan sehingga terlihat sebuah seksyen khas untuk taman ini. Pemandangan yang disajikan di taman botani ini sungguh mengujakan dengan lebih daripada 1,830 batang pokok yang mana sesetengahnya sudah berusia lebih daripada 100 tahun.
Alamat: 2 Nguyen Binh Khiem Str., Ward Ben Nghe, District 1, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)
Bayaran Masuk: 20,000 VND
21. FITO Museum (Museum of Traditional Vietnamese Medicine)
Ingin melawat sebuah lokasi yang berbeza dari yang lain di Vietnam? Jom ke FITO Museum, sebuah muzium yang mempamerkan dan memperkenalkan pelbagai teknik perubatan tradisional Vietnam.
Masuk sahaja ke dalam muzium ini anda akan dibawa menonton filem pendek berkaitan perkembangan perubatan tradisional Vietnam dan kemudiannya anda boleh meneruskan perjalanan melihat lebih daripada 3,000 koleksi berkaitan perubatan tradisional negara ini yang termasuklah peralatan, dokumen, manuskrip dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, anda juga dapat cuba mengenakan pakaian doktor tradisional Vietnam. Setelah tamat, anda akan dihidangkan dengan air teh yang dikatakan dapat membuatkan anda terasa relaks. Menjadi atau tidak, cuba dulu.
Alamat: 41 Hoang Du Khuong Str., Ward 12, Distric 10, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 5.30pm)
Bayaran Masuk: 50,000 VND
20. San Art Laboratory – Gallery
Anda seorang yang berjiwa seni? Atau sekadar ingin mencuci mata? Kalau begitu, mai singgah ke San Art Laboratory – Gallery yang terletak di dalam sebuah rumah yang telah diubah menjadi ruangan penuh artistik.
Di tingkat bawah rumah ini terdapat sebuah perpustakaan kecil dengan pelbagai koleksi buku berkaitan seni. Tingkat satu dan dua galeri ini pula dikhaskan sebagai ruang pameran.
Alamat: 48/7 Me Linh Binh Thanh District, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Selasa- Sabtu (10.30am – 6.30pm) | Ahad & Isnin Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
19. Ben Thanh Market
Apa yang dicari? Mungkin boleh ditemui di Ben Thanh Market ini. Tak kisahlah pakaian, peralatan memasak, cenderamata, produk kaca, kopi, buahan kering dan bermacam lagi, semuanya ada di sini. Cukup padat dari awal hinggalah ke hujung.
Disebabkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah kota, pasar ini adalah antara yang paling meriah di Ho Chi Minh. Yang penting, jangan berputus asa bertawar-menawar kalau shopping di sini walaupun tergantung dengan jelas papan tanda ‘Harga Tetap’nya, sure dapat murah punyalah!
Alamat: Lê Lợi, Bến Thành, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi:
- Pasar Tertutup: Setiap Hari (6.00am – 6.00pm)
- Pasar Malam: Setiap Hari (6.00pm – Tengah malam)
18. Phu My Hung and Starlight Bridge
Sudah puas berlaga bahu dengan ramai orang di kawasan lain di Ho Chi Minh? Tenangkan fikiran anda di Phu My Hung, sebuah kawasan pembangunan terancang yang terletak di bahagian selatan Ho Chi Minh.
Aura kawasan ini ternyata cukup berbeza dengan kawasan lain yang mana suasananya lebih tenang dengan persekitaran yang lebih bersih. Di sini juga terdapat banyak pusat membeli-belah dan kafe untuk anda yang suka menjadi pemerhati ragam manusia.
Namun salah satu tarikan yang paling menarik di Phu My Hung adalah Starlight Bridge yang merupakan sebuah jambatan indah dengan air pancut yang dicurahkan pelbagai warna pelangi. Betapa romantik sekali pemandangan yang disajikan.
Alamat: Tôn Dật Tiên, Tân Phú, Hồ Chí Minh
Bayaran Masuk: Percuma
17. Museum of Vietnamese History
Nama lama bagi Museum of Vietnamese History adalah Blanchard de la Brosse Museum dan Saigon National Museum.
Bangunan yang telah direka bentuk oleh arkitek Perancis ini pada asalnya digunakan untuk mempamerkan banyak koleksi purba yang didatangkan dari serata Asia, sehingga kini, terdapat sekitar 30,000 koleksi artifak yag terkumpul. Bukan main banyak lagi tu, memang rugi kalau tak pergi.
Lokasi muzium ini juga cukup menarik kerana terletak di dalam Saigon Zoo and Botanical Gardens. Ya, anda tak salah dengar, muzium ini memang terletak di dalam salah satu kawasan yang paling tenang di Ho Chi Minh.
Selain ruang pameran, salah satu bahagian di dalam muzium ini juga dikhaskan sebagai ruang teater untuk pertunjukan boneka air Vietnam. Wow! Macam-macam ada.
Alamat: Nguyễn Bỉnh Khiêm, Bến Nghé, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin Yang Pertama (8.00am – 11.30am & 1.30pm – 4.30pm)
Bayaran Masuk: Masuk 15,000 VND | Fotografi 40,000 VND | Water Puppet Show 35,000 VND
16. Fine Arts Museum
Bangunan kolonial dari tahun 1929 ini kelihatan cukup elegan, boleh dikatakan bangunan ini sendiri adalah karya seni yang indah untuk dilihat. Fine Arts Museum ini pada asalnya merupakan rumah agam milik seorang lelaki yang terkaya di Saigon pada suatu ketika dahulu.
Sungguh banyak karya menarik dapat dilihat di dalam bangunan bereka bentuk pengaruh Perancis dan China ini. Di tingkat pertama rumah ini dipamerkan pelbagai hasil seni antarabangsa dan domestik.
Tingkat ke-2 pula menempatkan banyak hasil lukisan dan arca yang telah dibuat oleh penggiat seni bukan sahaja dari Vietnam tapi juga dari negara lain. Manakala tingkat yang terakhir pula menempatkan pelbagai koleksi bersejarah dari abad ke-7 hingga awal abad ke-20.
Alamat: 97 Phó Đức Chính, Nguyễn Thái Bình
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.00am – 5.00pm) | Isnin Tutup
Bayaran Masuk: 10,000 VND
15. Water Puppet Show
Persembahan boneka air ataupun Water Puppet Show telah wujud lama di Vietnam iaitu sejak dari abad ke-11 lagi. Sudah dapat agak apa kisah yang biasanya disampaikan dalam persembahan ini?
Seperti kebanyakkan pertunjukan tradisional yang lain, kisah yang sering diceritakan menggunakan boneka air ini adalah berkaitan dengan mitos-mitos, budaya dan kehidupan kampung Vietnam. Masa yang diambil untuk sesebuah pertunjukan adalah dalam sekitar 50 minit.
Alamat: 55B Nguyen Thi Minh Khai Street, Ben Thanh Ward, District 1, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi:
- Waktu Permbelian Tiket: Setiap Hari (8.30am – 11.30am & 1.30pm – 7.30pm)
- Pertunjukan: Setiap Hari (5.00pm – 6.30pm)
Bayaran Masuk: 160,000 VND
14. Bonsai River Cruise
Ingin melihat Ho Chi Minh dari perspektif yang berbeza? Apa kata kalau anda sekeluarga menyusuri Bonsai River dengan menaiki kapal. Terdapat banyak pakej Bonsai River Cruise yang boleh anda jumpai, pilihlah yang sesuai dengan keselesaan anda.
Berlayar di sepanjang Bonsai River ini dapat memberikan anda satu pengalaman yang unik, penuh dengan ketenangan, terutama pada waktu petang, melihat keindahan cahaya matahari terbenam yang terpancar dari air sungai.
Alamat: 5 Nguyen Tat Thanh Street | Nha Rong Port, District 4, Ho Chi Minh City 700000
13. Mekong Delta
Sepadat mana pun jadual percutian anda di Ho Chi Minh, jangan lepaskan peluang untuk mendekati salah satu daripada sungai yang terpanjang di dunia, Mekong Delta. Sekitar kawasan sungai ini boleh dikatakan seperti dunia yang berbeza daripada kawasan lain di sekitar Ho Chi Minh.
Di sinilah anda dapat menyaksikan banyak kampung, pasar, dan sekolah yang terapung. Untuk menikmati pemandangan sekitar Mekong Delta anda boleh mendapatkan pakej menyusuri sungai daripada banyak pusat penginapan di bandar ini.
Cara lain? Cuba berbual dengan mana-mana penduduk setempat dan dapatkan khidmat sewaan bot mereka. Bermacam cara boleh digunakan untuk memuaskan jiwa adventure anda.
Alamat: Mekong Delta, Ho Chi Minh City 70000
12. Cu Chi Tunnels
Adakah anda berani untuk melalui terowong bawah tanah yang tidak diketahui dimana penghujungnya? Kalau berani, mai teroka Cu Chi Tunnels, sebuah terowong yang cukup panjang dan agak kompleks sekali rangkaiannya.
Terowong ini dibina untuk melawan tentera Amerika dan Selatan Vietnam yang memiliki kelengkapan senjata yang lebih sempurna. Di sinilah ramai askar ditempatkan sebagai persediaan serangan dan tempat dimana segala bekalan dan alat perhubungan disalurkan.
Dari masa ke masa, terowong ini berkembang menjadi kawasan perkampungan bawah tanah, lengkap dengan hospital, dapur, kuaters, teater dan bermacam lagi. Namun kini, ia telah ditinggalkan setelah kehidupan di permukaan mula selamat.
Anda bukan sahaja dapat melihat sekitar terowong ini, tetapi juga dapat cuba menembak dengan menggunakan senapang M16 dengan caj tambahan. Menarik bukan?
Alamat: Đường tỉnh lộ 15, Phú Hiệp, Phú Mỹ Hưng, Củ Chi, Hồ Chí Minh 733814
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 5.00pm)
Bayaran Masuk: Operator Lawatan Dari 825,000 VND & Keatas | M16 35,000 VND/ Satu Peluru (Min 10 Peluru)
11. Diamond Plaza
Lokasinya hanyalah di belakang Notre Dame Cathedral, Diamond Plaza adalah pusat membeli-belah barangan berjenama di bandar Ho Chi Minh.
Bagi para suami yang tidak larat menunggu si wanita bershopping, bolehlah ke tingkat 13 mall ini untuk menonton wayang terbaru dari Hollywood. Dah puas menonton wayang? Apa kata kalau anda polish skill boling anda di bowling alley yang terdapat di sini.
Alamat: 34 Le Duan Street, District 1 , Ho Chi Minh City
10. Saigon Centre
Untuk pengetahuan anda, Saigon Centre pernah menjadi bangunan yang tertinggi di Vietnam. Pusat membeli-belah ini menempatkan banyak kedai-kedai barangan berjenama seperti Nike, Converse dan Adidas.
Harga? Lebih kurang sahaja dengan bandar-bandar besar yang lain. Nak chill dalam aircond setelah berpanasan di luar? Datang sahaja ke sini.
Alamat: 65 Lê Lợi, Bến Nghé, Quận 1, Hồ Chí Minh
9. Suối Tiên Amusement Park
Suối Tiên Amusement Park adalah sebuah taman hiburan yang penuh dengan warna-warni. Jika dilihat dengan terperinci, taman tema ini telah dibina dengan reka bentuk dan konsep Oriental.
Dikatakan, taman tema ini merupakan salah satu yang terbesar di Ho Chi Minh dengan pelbagai permainan yang bertaraf dunia. Antara tarikan yang ada di sini adalah roller coaster, Air Bicycle, Mystery of the Forest dan Teater 4D.
Alamat: Phường Tân Phú, Quận 9, Phường Tân Phú, Quận 9, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 6.00pm) | Sabtu & Ahad (8.00am – 6.30pm) | Cuti Umum (8.00am – 11.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa 50,000 VND | Kanak-kanak 25,000 VND
8. Đầm Sen Park
Đầm Sen Park adalah sebuah taman yang berkeluasan 50 hektar yang meliputi 20% kawasan tasik dan 60% flora yang menghijau.
Antara tarikan yang terdapat di Đầm Sen Park ini adalah zon permainan pengembaraan, dataran bertemakan Rom purba, boling, tempat permainan kanak-kanak, zon permainan elektronik, taman diraja Nam Tu dan banyak lagi.
Di taman tropikanya pula anda dapat menikmati bunyi dan melihat lebih daripada 70 spesies burung yang berterbangan dan sekitar 20 spesies haiwan yang lain.
Di sini juga terdapat taman batu yang berketinggian 22 meter dengan gua-gua, kolam dan air terjun yang indah. Sebenarnya, terlalu banyak sekali tarikan yang terdapat di Đầm Sen Park ini, nak tahu? Mai sini.
Alamat: 3 Hòa Bình, Phường 3, Quận 11, Hồ Chí Minh
7. Dragon Wharf
Dragon Wharf pada awalnya adalah pelabuhan perdagangan yang besar di Saigon (nama lama bagi Ho Chi Minh City).
Bangunan Dragon Wharf ini mula dibina oleh penjajah Perancis pada tahun 1862 dengan menggabungkan seni bina barat dan timur. Sesuai dengan nama yang diberikan, bentuk 2 ekor naga turut dapat dilihat sebagai sebahagian daripada struktur bangunan ini.
Pada tahun 1979, People’s Committee di bandar ini mengubah fungsinya menjadi Muzium Ho Chi Minh. Berlokasi di awal jalan Nguyen Tat Thanh, muzium ini mengumpulkan sekitar 3,300 buah buku dan lebih daripada 11,000 dokumen berkenaan Presiden Ho Chi Minh.
Alamat: 1 Nguyễn Tất Thành, phường 12, Quận 4, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00am – 5.00pm) | Isnin Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
6. Dai Nam Van Hien
Dai Nam Van Hien adalah sebuah kompleks pelancongan yang terbesar di Vietnam dengan keluasan sekitar 450 hektar. Antara yang terdapat di sini adalah zoo, pusat membeli-belah, pusat hiburan, tokong Đại Nam Văn Hiến, hotel dan tempat menjamu selera.
Di zoo yang berkeluasan sekitar 12.5 hektar yang ditempatkan di sini, anda boleh melihat lebih daripada 76 spesies haiwan yang sukar dijumpai di sekitar Vietnam seperti beruang, burung merak, gajah, harimau, kuda belang, burung unta dan banyak lagi.
Tarikan lain yang boleh didapati di sini adalah taman tema Snow World dan panggung wayang moden dengan teknologi 4D. Fuhh! Tak cukup sehari!
Alamat: QL 13, Bến Cát, Bình Dương
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (5.00am – 6.00pm) | Sabtu & Ahad (5.00am – 8.00pm)
5. Tao Dan Park
Berkeluasan 10 hektar, Tao Dan Park adalah salah sebuah taman hijau yang paling indah di bandar Ho Chi Minh. Diteduhi oleh lebih daripada 1000 batang pokok besar, taman ini menjadi pilihan ramai orang untuk melakukan aktiviti di waktu petang sama ada bersenam, sekadar berjalan melihat pemandangan, mahupun bertai chi.
Sebahagian daripada lanskap taman ini juga adalah replika tokong Hung King dan Menara Po Nagar Cham yang merupakan lokasi sempurna untuk anda berfotografi. Untuk pengetahuan anda, taman ini juga menjadi tempat berkumpulnya ramai peminat burung kerana kewujudan sebuah bird cafe di sini.
Alamat: Trương Định, Bến Thành, Quận 1, Hồ Chí Minh
4. Monkey Island
Untuk pemandangan yang memukau, anda boleh mendaki sebuah gunung yang terdapat di Monkey Island ataupun Cat Ba ini. Masa yang diambil untuk perjalanan turun dan naik gunung ini adalah dalam sekitar 1 jam. Pastikan anda memakai kasut yang sesuai untuk mendaki memandangkan permukaannya berbatuan tajam.
Namanya pun Monkey Island, sudah semestinya agak banyak monyet yang akan memberikan senyuman kepada anda sekeluarga di sini.
Hati-hati, kerana senyuman mereka membawa makna, jangan sesekali memberikan makanan atau menyentuh monyet-monyet ini, apatah lagi mendekati dengan tujuan berselfie jika anda ingin pulang dengan badan yang sihat dengan semua barang terselamat.
Alamat: Cat Ba, Cat Ba, Vietnam
3. Thuy Chau Tourist Site
Sebenarnya tak ramai orang luar yang tahu tentang tarikan Thuy Chau yang lebih popular dalam kalangan penduduk tempatan, sebab itulah Thuy Chau boleh dikatakan sebagai salah satu khazanah tersembunyi di Ho Chi Minh.
Di sini terdapat banyak kolam renang untuk anda sekeluarga bermandi-manda sepuas hati dan juga sebatang sungai buatan dengan air terjun kecil. Nikmatilah udara yang segar dan atmosfera tenang di sekitar Thuy Chau ini setelah seharian makan angin di sekitar bandar.
Alamat: ĐT743C, Bình An, tx. Dĩ An, Bình Dương
Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (8.30am – 5.30pm)
Bayaran Masuk: 80,000 VND
2. Ho Chi Minh City Book Street
Ho Chi Minh City Book Street adalah sebuah tarikan yang baru sahaja dibuka iaitu pada awal September 2016. Bagi yang ulat buku tu, inilah syurga dunia anda. Jalan yang berkepanjangan sekitar 100 meter ini adalah jalan seumpamanya yang terpanjang dengan genre buku yang paling pelbagai di dunia.
Di sepanjang jalan ini anda dapat lihat banyak kiosk-kiosk yang bersebelahan antara satu sama lain yang terdiri daripada penerbit dan kedai buku yang berbeza. Di penghujung jalan ini pula terdapat ruang bacaan yang cukup selesa denga sofa dan kerusi untuk anda menghabiskan masa dengan bahan bacaan yang dibeli tadi.
Kadangkala, di ruang yang sama juga sering dijalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan seni dan budaya.
Alamat: Nguyễn Văn Bình, Bến Nghé, Quận 1, Hồ Chí Minh
1. Rin Rin Park
Rin Rin Park adalah sebuah taman dengan kolam ikan koi, arca dan lampu-lampu tanglung yang banyak tergantung.
Suasana taman kecil ini cukup tenang untuk anda melapangkan minda setelah puas menerokai segenap pelusuk kota yang meriah dengan penduduknya ini. Di dalam kolam ikan yang terdapat di sini, anda dapat melihat banyak sekali ikan koi yang berwarna-warni. Tak perlu lakukan apa-apa, tarik nafas dan relaks.
Alamat: 87/8p Xuân Thới Thượng 6, Ấp Xuân Thới Đông 1, Xuân Thới Đông, Hóc Môn, Hồ Chí Minh
Bayaran Masuk: 50,000 VND
Inilah dia al-kisahnya berkenaan bandar Ho Chi Minh yang penuh dengan daya tarikannya dari bangunan menyentuh langit hinggalah ke taman tema yang tidak berpenghujung keluasannya.
Boleh menggeletar lutut kalau ingin melawat semua destinasi hebat di sini dalam masa yang singkat, nak tak nak, terpaksalah anda menginap beberapa hari di mana-mana pusat penginapan di Ho Chi Minh.
Nak tahu di mana tempat menginap yang menarik dan murah di sini? Layari sahaja booking.com, bermacam jenis penginapan best dengan harga berpatutan dapat dijumpai di sini.
Tunggu apa lagi jom jelajah tempat-tempat menarik di Ho Chi Minh City? Bersedia dengan backpack dan cermin mata hitam anda untuk satu perjalanan di bandaraya yang betul-betul happening. Selamat bercuti di Ho Chi Minh!