36 Tempat Menarik Di Hong Kong | Panduan Melawat Permata Asia Timur

Apa yang menariknya di Hong Kong melainkan bangunan-bangunan tinggi? Tak susah ke nak cari kemudahan sebagai Muslim? Mungkin ini antara persoalan yang bermain di fikiran bila sebut tentang salah satu daripada wilayah di China ni. Bandar yang juga merupakan pusat kewangan dan perdangan terpenting di dunia ini sebenarnya jauh dari yang disangka dan yang biasa kita lihat di kaca tv.

Hong Kong sebenarnya berada di dalam senarai top 20 antara destinasi pelancongan yang mesra Muslim di dunia! Dah penat berjalan dan meneroka 1001 tarikan yang ada di sini, cukup mudah untuk anda mencari restoran yang memiliki sijil halal, bukan itu sahaja, masjid dan surau juga tak sukar untuk ditemui.

Di samping itu, yang menjadikan wilayah ini destinasi percutian yang terkenal bukanlah semata-mata kerana kemajuannya, tapi juga kerana keunikannya yang menggabungkan dua dunia berbeza, moden dan klasik, inilah satu suasana yang sukar ditemui di destinasi lain.

Ingin diceritakan dalam satu perenggan tentang semua tarikan yang ada di Hong Kong ni memang tak muat, nak tahu lebih terperinci di mana lokasi-lokasinya? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Hong Kong hingga ke hujung.

36. Victoria Peak

Victoria Peak Hong Kong
Sumber: MrWunder

Pada suatu ketika dahulu, sejak zaman penjajahan British dari tahun 1841 ke 1997, Victoria Peak merupakan sebuah kawasan penempatan yang eksklusif, reputasinya sebagai kawasan elit masih kekal sehingga kini di mana rumah-rumah agam dengan nilai mencecah jutaan dolar berdiri dengan megah.

Victoria Peak yang merupakan kemuncak yang tertinggi di Hong Kong memiliki ketinggian sehingga 1,811 kaki dari paras laut.

Baca: 50 Tempat Menarik Di Korea

Dengan ketinggian sebegini, keindahan lanskap yang dapat disaksikan sangat memuaskan pandangan mata, di sinilah anda dapat melihat segala yang terdapat di Hong Kong dalam 360 darjah.

Alamat: Victoria Peak, The Peak, Hong Kong


35. Peak Tram

Peak Tram Hong Kong
Sumber: FLY Tourmate

Beroperasi seawal 7 pagi sehinggalah lewat malam pada pukul 12 tengah malam, Peak Tram merupakan sebuah pengangkutan penting yang mula diwujudkan oleh pihak British pada tahun 1888 untuk kemudahan mereka serta yang tinggal di kawasan sekitar.

Namun kini, Peak Tram boleh digunakan oleh orang ramai untuk menuju ke puncak bukit Victoria Peak.

Waktu yang diambil untuk sampai ke puncak hanyalah 7 minit dengan waktu bertolak pada setiap 10 ke 15 minit. Sesudah sampai ke puncak, anda boleh mendapatkan tiket Tram Sky Pass untuk melihat pemandangan Hong Kong dari Sky Terrace 428 yang merupakan platform pemerhatian yang tertinggi di Hong Kong.

Alamat: Central, Hong Kong

Waktu Operasi: Isnin – Ahad & Cuti Umum (7.00 am – 12.00 am)

Bayaran Masuk: Dewasa HK$ 84 | Kanak-Kanak HK$ 38


34. Museum Madam Tussaud

Siapa tak kenal Museum Madam Tussaud? Muzium patung lilin yang realistik ni selalu terdapat di bandar-bandar besar kerana ianya sering menjadi tumpuan para pelancong yang datang dari pelbagai pelusuk dunia.

Untuk Museum Madam Tussaud yang terletak di Hong Kong ni, anda boleh bergambar dengan banyak wax figures selebriti terkenal dunia seperti Bruce Lee, Taylor Swift, Jackie Chan dan ramai lagi!

Lihat Tawaran Hotel Terbaik Di Hong Kong

Bergantung kepada cara anda posing, lagi power, lagi ‘real’ lah situasi ‘perjumpaan’ anda dengan selebriti atau tokoh terkenal tu. Pastikan bateri kamera atau phone full ya?

Alamat: The Victoria Peak, 128 Peak Rd, The Peak, Hong Kong

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm)

Bayaran Masuk:  Dewasa HK$ 280


33. Sky 100

Sky 100 Hong Kong
Sumber: justgola.com

Sky 100 adalah sebuah dek pemerhatian yang terletak pada tingkat yang ke-100 struktur tertinggi di Hong Kong, the International Commerce Centre (ICC).

Terletak pada ketinggian 393 meter dari paras laut, menjadikan Sky 100 sebagai dek pemerhatian indoor yang tertinggi di bandaraya ni. Dari dek ini, anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan sekitar Hong Kong dari segenap pelusuk.

Terfikir berapa lamalah agaknya naik lif untuk sampai ke tingkat 100 tu? Tak lebih 60 saat pun sebenarnya! Sebabnya, mereka menggunakan lif yang berkelajuan tinggi.

Tak cukup dengan itu, anda juga boleh menikmati keindahan Hong Kong melalui aplikasi interaktif mobile Sky100 dan Sky-High Tech Zone yang menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) dan juga Virtual Reality (VR).

Alamat: International Commerce Centre (ICC), 1 Austin Rd W, West Kowloon, Hong Kong

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (10.00 am – 9.00 pm) | Jumaat – Sabtu (10.00 am – 10.30 pm)

Bayaran Masuk: Dewasa HK$ 188 | Kanak-Kanak HK$ 128


32. Avenue Of Stars

Avenue Of Stars merupakan sebuah tarikan di Hong Kong yang bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang telah banyak menyumbang untuk menjadikan Hong Kong sebagai ‘Hollywood of the East.’

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah plak tapak tangan 20 orang selebriti terkenal, pameran dan mural yang menggambarkan babak-babak dalam movie klasik.

Nota: Avenue Of Stars ditutup sementara & dijangka akan mula dibuka semula pada awal tahun 2019. Buat masa ini, pameran Avenue Of Stars telah dialihkan ke Garden of Stars.

Alamat: Ave of Stars, Tsim Sha Tsui, Hong Kong


31. A Symphony Of Lights

Mendapat anugerah Guinness Book of Records sebagai persembahan kekal cahaya dan bunyi yang terbesar di dunia, A Symphony Of Lights bukanlah sebuah pemandangan biasa yang boleh ditemui di tempat lain.

Pertunjukan cahaya laser ini melibatkan 40 buah bangunan-bangunan percakar langit yang terletak di kedua-dua belah pelabuhan.

Persembahan multimedia ini sudah bermula sejak dari tahun 2004 lagi di mana bangunan-bangunan penuh gah di kawasan sekitar akan menjadikan langit malam ibarat kanvas untuk limpahan cahaya laser yang penuh warna-warni.

Pastikan anda membuat perancangan perjalanan yang teliti untuk datang ke sini kerana persembahan ini hanyalah berjalan selama 10 minit bermula dari pukul 8 malam.

Alamat: Ave of Stars, Tsim Sha Tsui, Hong Kong

Waktu Operasi: Selama 10 Minit Bermula Dari Pukul 8.00 pm


30. Promenade Tsim Sha Tsui

Promenade Tsim Sha Tsui merupakan laluan tepi air yang bermula dari sebuah monumen bersejarah di Hong Kong, Clock Tower hinggalah ke jalan masuk ke terowong kapal selam, Hung Hom.

Sepanjang perjalanan yang berkepanjangan 1.6 km ini anda akan melalui banyak tarikan-tarikan yang terdapat di Hong Kong seperti Hong Kong Cultural Centre, Hong Kong Space Museum dan Garden of Stars.

Dari Promenade Tsim Sha Tsui juga, anda dapat melihat pemandangan bangunan-bangunan tinggi yang berekabentuk menarik di sekitar Hong Kong yang sudah pastinya lebih luar biasa apabila diterangi cahaya lampu bila tibanya waktu malam.

Alamat: Tsim Sha Tsui, Kowloon


29. Causeway Bay

Kawasan yang patut anda jejaki sekiranya berada di Hong Kong dan sebagai seorang yang shopaholic adalah Causeway Bay. Setiap inci sudut Causeway Bay ini cukup padat dengan pelbagai tempat membeli-belah.

Selagi duit tak habis, selagi tu tak boleh berhenti berjalan di sini. Dari kedai barangan mewah hinggalah kepada barangan dalam harga borong, inilah syurganya.

Apa yang anda ingin beli? Pakaian? Makanan? Kosmetik? Elektronik? Komputer? Atau apa sahaja yang terbayang di fikiran, kemungkinan besar boleh ditemui di sini.

Alamat: Causeway Bay, Hong Kong


28. Tsing Ma Bridge

Kalau di Malaysia, Jambatan Pulau Pinang adalah jambatan yang dibanggakan sebagai yang terpanjang, di Hong Kong pula ada Tsing Ma Bridge, tapi rekod yang dipegang jambatan ni sebenarnya mengalahkan Jambatan Penang kerana ia bukan sahaja yang terpanjang di Hong Kong tapi juga di dunia!

Selain menjadi tempat laluan kereta, Tsing Ma Bridge juga lengkap dengan fasiliti lain seperti platform tinggi dan pameran outdoor komponen-komponen jambatan ini. Anda juga boleh melihat video, gambar dan model-model terperinci jambatan ini di Visitors Centre.

Alamat: Tsing Ma Bridge, Hong Kong


27. Tsim Sha Tsui

Tak puas menghabiskan duit di Causeway Bay, di Tsim Sha Tsui juga dapat membuat jiwa anda sekeluarga berbelah bahagi sama ada mahu menghabiskan segalanya di sini atau simpan untuk percutian akan datang, memang parah godaan shopping di sini!

Antara pusat-pusat membeli-belah yang ada di sini adalah Harbour City yang menempatkan lebih 700 buah kedai, Silvercord yang menjadi tempat jualan barangan IT, DFS Galleria yang merupakan tempat membeli barangan berjenama antarabangsa dalam harga diskaun, 1881 tempat membeli-belah mewah dan banyak lagi!

Shopping streetnya juga tak kurang banyaknya seperti Canton Road yang menjadi tempat shopping barangan berjenama antarabangsa, Granville Road untuk barangan mewah dalam harga diskaun (terkenal dalam kalangan warga muda), Haiphong Road untuk barangan terpakai jenama mewah dan banyak lagi jalan-jalan lain yang tak sempat untuk habis teroka dalam sehari.

Alamat: Kowloon, Hong Kong


26. Dragon’s Back

Dah puas tenggelam dalam dunia kota, segarkanlah badan dengan melawati Dragon’s Back. Dari sini anda dapat menikmati pemandangan yang mempesonakan lautan, gunung-ganang dan pulau-pulau terdekat lain di sekitar Hong Kong.

Untuk menuju ke puncak bukit ini, anda perlu melakukan sedikit pendakian yang tersangatlah mudah kalau dibezakan dengan pendakian di kawasan-kawasan lain di sini.

Tak cukup hanya dengan menikmati pemandangan? Anda juga boleh melakukan aktiviti lasak paragliding yang ditawarkan di sini! Tak pernah ada pengalaman pun tak apa sebab mereka turut menawarkan tandem paragliding dan juga latihan untuk beginner. Pasti akan menjadi memori yang paling best di Hong Kong!

Alamat: Shek O, Hong Kong


25. Repulse Bay

Repulse Bay adalah sebuah tarikan alam semula jadi pantai dengan kawasan berpasir yang berbentuk seperti bulan sabit. Kalau anda nak tahu, Repulse Bay sebenarnya merupakan kawasan pantai yang paling cantik di Hong Kong.

Di kawasan sekitar pantai ini terdapat banyak pusat membeli-belah, hotel-hotel dan kafe. Kalau dah datang ke sini, jangan lupa untuk bergambar dengan rumah api pantai ini, cukup terkenal dalam kalangan para pelancong yang datang. Selain itu, anda juga patut melawat Zhentai Tower Park, sebuah struktur yang dibina dengan gaya tradisional China.

Alamat: Beach Road, Repulse Bay, Hong Kong Island


24. Kowloon Walled City Park

Kowloon Walled City Park adalah sebuah kawasan yang penting ketika abad ke-16, namun bermula daripada akhir abad ke-19, kawasan ini padat dengan pelbagai aktiviti jenayah kerana ianya tidak termasuk dalam kawasan jajahan, menjadikan ia bebas daripada sebarang undang-undang.

Berkeluasan 6.5 ekar, Kowloon Walled City Park dulunya merupakan kawasan yang cukup padat, namun, pada tahun 1984, kerajaan China telah mula menguruskan kawasan ini.

Setelah bertahun berlalu, kawasan ini mula bersih, diratakan pada tahun 1993 dan yang ditinggalkan hanyalah peninggalan warisan. Ianya mula dijadikan sebagai taman pada tahun 1994 dan kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada tahun 1995.

Alamat: Kowloon City, Hong Kong


23. Jumbo Kingdom

Bermula kewujudannya pada tahun 1976, Jumbo Kingdom yang terletak di Aberdeen Harbor merupakan sebuah restoran terkenal kerana masakan luar biasa seafoodnya, reka bentuknya dan juga hiasan dalamannya yang memang wow!

Dengan hanya melihat struktur restoran ini dari luar sahaja anda sudah dapat merasakannya suasana zaman lampau dinasti China. Cukup mengagumkan! Apatah lagi bila memasuki ruang dalamnya.

Saiz restoran ini juga sangat luar biasa besar kerana ianya dapat memuatkan lebih daripada 2300 orang pada satu-satu masa. Untuk pengetahuan anda, ramai orang terkenal yang pernah menjejakkan kaki ke restoran ini seperti Tom Cruise, pelakon klasik Amerika John Wayne, Queen Elisabeth II dan ramai lagi!

Alamat: Shum Wan Pier Dr, Aberdeen, Hong Kong

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Ahad (11.00 am – 11.00 pm) | Ahad (9.00 am – 11.00 pm)


22. Ladies Market

Kalau namanya Ladies Market, sudah semestinya anda boleh jumpa bermacam jenis barangan untuk wanita pelbagai peringkat umur menjadikan pasar ni ‘bahaya’ untuk kaum wanita. Boleh licin duit tanpa sedar! Apatah lagi bila barang-barang ini juga dijual dalam harga murah.

Baca: 31 DEstinasi Menarik Di Tokyo

Tapi! Bagi kaum lelaki yang ikut sama, jangan risau, sebab di sini juga tak kurang dengan jualan pelbagai lagi barangan lain seperti gajet elektronik, beg, jam, perhiasan dan macam-macam lagi! Jangan tertipu dengan namanya sebagai Ladies Market.

Lokasinya adalah di Tung Choi Street yang berada di antara Argyle Street dan Dundas Street.

Alamat: Tung Choi St, Mong Kok, Hong Kong

Waktu Operasi: Dibuka Setiap Hari Bermula Tengah Hari


21. Disneyland Hong Kong

Percayalah, tak kira usia, tarikan taman tema Disneyland adalah sebuah destinasi yang mengujakan. Sedihnya taman tema ini tidak wujud di Malaysia, oleh sebab itu, kalau anda berada di mana-mana negara yang memiliki tarikan Disneyland ni, wajib untuk anda singgah!

Salah satu lokasi Disneyland adalah di Hong Kong, Disneyland Hong Kong yang terletak di Lantau Island ini merupakan sebuah dunia magikal yang menempatkan 7 zon berbeza iaitu Adventureland, Grizzly Gulch, Mystic Point, Toy Story Land, Fantasyland, Tomorrowland and Main Street, U.S.A yang masing-masing padat dengan pelbagai aktiviti menarik untuk dicuba.

Antara aktiviti yang ada adalah Jungle River Cruise, Cinderella Carousel, Fairy Tale Forest, The Many Adventures of Winnie the Pooh dan banyak lagi!

Alamat: Lantau Island, Hong Kong

Waktu Operasi: 10.30 am – 10.00 pm

Bayaran Masuk: Dewasa HK$ 699 | Kanak-Kanak HK$515


20. Ocean Park Hong Kong

Ocean Park Hong Kong
Sumber: VIPCars.com

Dibuka pada tahun 1977, Ocean Park Hong Kong adalah sebuah taman tema hidupan marin yang padat dengan pelbagai tarikan menarik seperti rides yang best, haiwan-haiwan, dan pertunjukan. Berkeluasan 915,000 meter persegi, 2 tarikan utama di sini adalah Waterfront dan Summit yang boleh diakses dengan menaiki kereta kabel dan juga kereta api Ocean Express.

Tarikan-tarikan utama lain yang terdapat di sini adalah Adventures in Australia untuk melihat haiwan-haiwan daripada benua Australia, Shark Mystique untuk melihat secara 360 darjah beratus ekor ikan jerung dan banyak lagi!

Alamat: Ocean Park Hong Kong, 180 Wong Chuk Hang Road, Aberdeen, Hong Kong

Waktu Operasi: 10.00 am – 11.00 pm

Bayaran Masuk: Dewasa HK$480 | Kanak-Kanak HK$240


19. Patung Tian Tan Buddha

Patung Tian Tan Buddha ataupun Big Buddha adalah sebuah pusat agama Buddha yang utama di Hong Kong. Di sekitar patung ini terdapat enam buah patung kecil lagi yang melambangkan Enam Kesempurnaan iaitu kedermawanan, moral, sabar, semangat, bijaksana dan meditasi.

Untuk pengetahuan anda, di sini turut terdapat sebuah loceng yang akan berbunyi setiap 7 minit ataupun 108 kali sehari yang melambangkan pelepasan dosa manusia.

Mungkin anda ingin tahu berapa usia tempat penyembahan ini bukan? Bukanlah seperti kuil dan kompleks Buddha lain, sebenarnya Big Buddha ini baru sahaja didirikan pada tahun 1990 dan selesai pada tahun 1993.

Alamat: Ngong Ping Rd, Lantau Island, Hong Kong


18. Po Lin Monastery

Po Lin Monastery
Sumber: Peri Law

Po Lin Monastery merupakan kawasan kompleks Buddha yang walaupun cukup popular dalam kalangan para pelancong, atmosfera kawasan sekitarnya kekal klasik.

Anda boleh terus melawat Po Lin Monastery ini selepas ke Big Buddha atau Patung Tian Tan Buddha kerana kedudukannya yang sangat dekat antara satu sama lain.

The Great Hall yang terletak di kompleks ini adalah struktur pertama yang dibina iaitu pada tahun 1920-an dan sejak daripada itu ianya mula dikembangkan.

Sekiranya anda masuk ke dalam The Great Hall, anda dapat melihat bagaimana ruang dalamannya dihias, silingnya dipenuhi dengan lukisan dan gantungan-gantungan lampu.

Alamat: Ngong Ping, Hong Kong


17. Ngong Ping 360

Ngong Ping 360
Sumber: Kkday

Ngong Ping 360 adalah sebuah gondola yang terletak di Lantau Island di Hong Kong. Pada asalnya, ianya dinamakan Tung Chung Cable Car Project sebelum ditukar kepada nama sekarang pada April 2005.

Tarikan di sini adalah terdiri daripada Ngong Ping Cable Car dan Ngong Ping Village. Setelah anda menaiki kereta kabel yang disediakan, anda akan disambut oleh sebuah perkampungan budaya Ngong Ping Village yang berkeluasan 1.5 hektar. Di sini terdapat bermacam kedai jualan yang memang syok untuk shopping.

Selain itu, kawasan kampung ini juga hanyalah 5 minit berjalan kaki dari banyak lagi tarikan lain di Hong Kong iaitu Po Lin Monastery, Big Buddha, Ngong Ping Piazza dan Wisdom Path.

Alamat: Ngong Ping, Lantau Island, Outlying Islands

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00 am – 6.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00 am – 6.30 pm)

Bayaran Masuk: Dewasa Dari HK$235 | Kanak-Kanak Dari HK$110


16. Tai O

Tai O adalah sebuah perkampungan nelayan yang terletak di sebelah pantai barat Lantau Island. Kalau anda rasa dah cukup puas melihat bangunan-bangunan tinggi dan tempat shopping yang penuh dengan cahaya neon, Tai O adalah lokasinya untuk anda menenangkan seluruh deria. Anda boleh memilih untuk meneroka kawasan ini dengan hanya berjalan kaki ataupun menaiki bot.

Dikelilingi oleh pergunungan, masyarakat-masyarakat di kampung nelayan ini tinggal di dalam rumah-rumah kayu terapung yang sungguh menarik untuk dijadikan subjek foto. Di samping itu, anda juga boleh melawat pasar yang penuh dengan pelbagai jualan hasil laut.

Alamat: Sebelah Pantai Barat Lantau Island, Hong Kong


15. Silver Mine Bay Beach

Silver Mine Bay Beach Hong Kong
Sumber: Bill Arth

Terletak bersebelahan dengan Mui Wo Village yang meriah dengan banyak restoran makanan laut, Silver Mine Bay Beach merupakan sebuah tarikan alam semula jadi pantai yang cukup terkenal dalam kalangan para pelancong terutama sekali bagi yang mengenap di hotel berdekatan.

Dari April hingga Oktober, kawasan pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk menukar pakaian dan lifeguard.

Alamat: 14 Tung Tau Wan Rd, Mui Wo, Hong Kong


14. Sunset Peak

Sunset Peak Hong Kong
Sumber: Leonard To

Sunset Peak atau namanya dalam bahasa cina, Tai Tung Shan merupakan sebuah tarikan di kawasan puncak yang sangat mengujakan untuk dilawati.

Dari puncak ini anda dapat melihat pemandangan lautan seolah-olah berada di Hawaii yang menampakkan pulau-pulau lain di sekitar. Bukan itu sahaja, anda juga dapat melihat dengan jelas salah satu airport yang paling sibuk di dunia.

Untuk menuju ke sini, anda perlu mendaki dalam sekitar 2 jam. Jangan lupa untuk isi tenaga terlebih dahulu sebab pendakian ni boleh jadi agak mencabar.

Alamat: Southern Lantau Island, Hong Kong


13. Hong Kong Railway Museum

Hong Kong Railway Museum merupakan sebuah muzium terbuka yang berkeluasan 6,500 meter persegi yang ditukar daripada sebuah stesen kereta api lama Tai Po Market. Stesen yang pada asalnya dibina pada tahun 1913 ini memiliki reka bentuk tradisional China, memang klasik! Kawasan ini kemudiannya dibaikpulih dan dibuka sebagai muzium mulai tahun 1985.

Selain dapat melihat model kereta api antik dengan saiz sebenar di muzium ini, anda juga dapat melihat foto-foto bersejarah, sample laluan kereta api, dan ruang coach kereta api lama.

Alamat: 13 Shung Tak Street, Tai Po Market, Tai Po, New Territories

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Ahad (10.00 am – 6.00 pm) | Selasa Tutup

Bayaran Masuk: Percuma


12. 1881 Heritage

1881 Heritage Hong Kong
Sumber: Chien Albert

Ingin merasai sensasi kedua-dua era moden dan klasik di Hong Kong? Jom ke 1881 Heritage! Di dalam kawasan 1881 Heritage ini terdapat sebuah bangunan utama yang pada asalnya merupakan HQ Polis Marin dari tahun 1880-an ke 1996.

Selain monumen-monumen klasik, kawasan ini turut  memiliki banyak tarikan lain seperti pusat membeli-belah, hotel warisan dan dewan pameran.

Alamat: 2A Canton Road, Tsim Sha Tsui, Kowloon

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 12.00 am)


11. Clock Tower

Clock Tower merupakan sebuah menara jam yang didirikan pada tahun 1915 yang berketinggian 44 meter.

Baca: 31 Tempat Menarik Di Ho Chi Minh City

Pada asalnya, Clock Tower ini merupakan sebahagian daripada stesen kereta api yang sangat sibuk pada suatu ketika dulu iaitu Kowloon–Canton Railway. Setelah stesen baru dibuka di kawasan lain, stesen ini dihapuskan kecuali Clock Tower ini.

Alamat: Tsim Sha Tsui, Hong Kong


10. Stanley Market

Stanley Market Hong Kong
Sumber: John Wearing

Memang banyak tempat shopping di Hong Kong, salah satu lokasinya adalah di Stanley Market. Di sini anda boleh melihat pelbagai jenis jualan dari pakaian sutera, pakaian sukan, baranga seni, aksesori dan cenderamata.

Lokasinya yang terletak tidak begitu hampir dengan bandar, menjadikan ianya kurang padat dengan pelawat kalau dibezakan dengan pasar lain seperti Ladies Market. Kedudukannya yang terletak berdekatan dengan pantai juga menjadikan pengalaman bershopping di sini terasa lebih nyaman.

Alamat: Selatan Stanley, Hong Kong Island, Hong Kong

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm


9. Hong Kong Park

Hong Kong Park
Sumber: WiNG / CC BY-SA 3.0

Hong Kong Park adalah sebuah tarikan yang berkeluasan 80,000 meter persegi. Mula dibuka kepada orang awam pada tahun 1991, taman ini menggabungkan alam semula jadi dengan rekaan moden sebagai satu. Dengan keluasan sebegini, sudah semestinya banyak tarikan yang menanti.

Antara tarikan yang ada adalah Edward Youde Aviary yang merupakan simulasi hutan hujan tropika yang menyimpan lebih daripada 150 jenis burung! Tarikan seterusnya, Forsgate Conservatory adalah sebuah rumah hijau yang terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 1,400 meter persegi.

Tarikan lain adalah seperti Tea Ware Museum, Tai Chi Garden, gym, pusat squash terbesar di Hong Kong dan banyak lagi.

Alamat: Rawlinson House (cotton Tree Drive Marriage Registry), Cotton Tree Dr, Central, Hong Kong

Waktu Operasi: 6.00 am – 11.00 pm


8. Chungking Mansions

Chungking Mansions
Sumber: Dana Price

Chungking Mansions adalah sebuah bangunan yang terkenal dengan penginapan-penginapan murah di Hong Kong. Selain penginapan, bangunan ini turut memuatkan kedai-kedai jualan dan banyak lagi perkhidmatan yang lain.

Antara yang boleh anda temui di sini adalah kedai pakaian, kedai makan, tempat pertukaran wang, jualan komputer, DVD dan banyak lagi.

Alamat: B2, Chungking Mansion, 36-44 Nathan Rd, Tsim Sha Tsui, Hong Kong


7. Lantau Island

Lantau Island Hong Kong
Sumber: 윤혜민

Lantau Island adalah sebuah pulau yang terbesar di Hong Kong. Kawasan yang pada asalnya merupakan perkampungan nelayan ini telah melalui pembangunan yang rancak di mana projek-projek infrastruktur mega seperti Hong Kong International Airport, Hong Kong Disneyland, Ngong Ping 360 dan Lantau Link telah dilaksanakan. Bukan biasa-biasa tarikan yang ada di sini kan? Jadi jangan lupa singgah ke pulau ini!

Alamat: Lantau Island


6. Central Hong Kong

Central ataupun namanya di dalam bahasa cina Chung Wan adalah sebuah kawasan yang terletak di tengah-tengah bandaraya yang sibuk Hong Kong. Di sinilah terletaknya bangunan-bangunan headquarter syarikat-syarikat kewangan antarabangsa.

Selain bangunan-bangunan yang berdiri mencakar langit, anda juga boleh menemui banyak pusat membeli-belah yang stylish dan tempat-tempat penginapan yang paling menarik di Hong Kong.

Alamat: Central, Hong Kong


5. Mong Kok

Mong Kok adalah salah satu daerah yang tersibuk di Hong Kong. Namun begitu, ia bukanlah seperti kawasan sibuk lain yang  penuh dengan tempat shopping barangan jenama antarabangsa, kerana di sini tarikan-tarikan utamanya terasa lebih lokal dan unik.

Antaranya adalah Yuen Street ataupun Sneakers Street yang menempatkan banyak kedai kasut yang trending, rare dan edisi-edisi terhad.

Seterusnya adalah Sai Yeung Choi Street yang merupakan laluan pejalan kaki yang panjang dan dikelilingi pelbagai kedai jualan, apa je yang anda fikirkan dari barangan kosmetik, hinggalah gajet-gajet, semuanya ada. Tarikan lain yang ada di sini adalah Ladies Market, Flower Market dan lain-lain.

Alamat: Mong Kok, Hong Kong


4. Lamma Island

Dahulu kala, Lamma Island adalah sebuah perkampungan tradisional cina yang kini menjadi tempat berkumpulnya pelbagai komuniti dengan pelbagai budaya.

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah pantai Hung Shing Yeh yang terkenal dengan aktiviti BBQ, Kamikaze Cave yang merupakan peninggalan perang dunia ke-2, Lamma Fisherfolk’s Village iaitu perkampungan nelayan yang masih berjaya dikekalkan, Ling Kok Shan Hiking Trail, Yung Shue Wan Main Street dan banyak lagi.

Alamat: Lamma Island, Hong Kong


3. Hong Kong Zoological and Botanical Gardens

Hong Kong Zoological and Botanical Gardens
Sumber: Clive Massyn

Tak kisahlah di mana pun anda bercuti, jangan lupa untuk melawat taman botani dan zoo negara tersebut. Kalau di Hong Kong, semua ini telah digabungkan menjadi satu di Hong Kong Zoological and Botanical Gardens.

Tarikan ini sebenarnya merupakan yang tertua di wilayah ini, mula diwujudkan pada tahun 1860, dan dibuka sebahagiannya pada tahun 1864, taman Botani di sini mula siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam pada tahun 1871.

Pada awalnya ia digunakan untuk mengumpulkan dan menjalankan kajian tentang jenis-jenis tumbuhan, tapi bermula dari tahun 1876, taman ini mula mengumpulkan koleksi pelbagai jenis haiwan mamalia dan burung sehinggalah ianya ditukarkan nama seperti yang dikenali sekarang pada tahun 1975.

Alamat: Albany Rd, Central, Hong Kong

Waktu Operasi: Fountain Terrace Garden (5.00 am – 10.00 pm) | Green House/ Education and Exhibition Centre (9.00 am – 4.30 pm) | Kawasan Lain (6.00 am – 7.00 pm)

Bayaran Masuk: Percuma


2. Hong Kong Space Museum

Hong Kong Space Museum
Sumber: Amy Lim‎

Hong Kong Space Museum merupakan salah satu mercu tanda yang terkenal di Hong Kong.  Bangunan dengan kubah berbentuk seperti telur ini memiliki keluasan sebesar 8000 meter persegi.

Terbahagi kepada 2 bahagian / wings – timur dan barat. Bahagian timur menempatkan tarikan seperti Stanley Ho Space Theatre, Hall of Space Science dan OMNIMAX projector room. Manakala di bahagian barat muzium ini pula terdapat Hall of Astronomy, Lecture Hall, Gift Shop dan Resource Centre.

Alamat: 10 Salisbury Rd, Tsim Sha Tsui, Hong Kong

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat (1.00 pm – 9.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00 am – 9.00 pm) | Selasa Kecuali Cuti Umum Tutup

Bayaran Masuk: Stanley Ho Space Theatre Bermula Dari HK$12 | Exhibition Halls Bermula Dari HK$5


1. Victoria Harbour

Pernah ke Hong Kong tapi tak pernah singgah ke Victoria Harbour? Anda wajib patah balik!  Victoria Harbour ini adalah sebuah tarikan yang sangatlah terkenal di sini.

Anda boleh memilih untuk sekadar berjalan di tepian air sambil melihat pemandangan bangunan-bangunan ikonik seperti Convention Center, IFC Two Tower, Bank of China dan bangunan HSBC.

Selain pemandangan bangunan-bangunan pencakar langit, pemandangan yang ditawarkan sebaik tiba waktu malam juga adalah antara saat yang tak patut dilepaskan! Kapal-kapal besar kontena dan pelayaran dapat dilihat di sekitar Victoria Harbour.

Bukan itu sahaja, dari sini juga anda dapat menyaksikan sebuah persembahan yang sangatlah luar biasa mengujakan, A Symphony of Lights yang merupakan sebuah pertunjukan yang mendapat anugerah Guinness Book of Records.

Alamat: 18 Harcourt Rd, Admiralty, Hong Kong


Secara jujurnya, apa yang kami senaraikan ini hanyalah antara yang terkenal di Hong Kong, rahsia tarikan sebenarnya hanya boleh ditemui dengan menjejakkan kaki sendiri ke wilayah ini, terlampau banyak! Bandar ini ibarat sebuah puzzle yang perlu diteroka sendiri untuk merasai nikmat sebenar pengembaraannya.

Baca: 50 Destinasi Pelancongan Paling Menarik Di Jepun

Sebelum ke sini, jangan lupa untuk booking penginapan terlebih dahulu ya? Untuk tujuan ini, anda boleh melayari booking.com untuk mendapatkan senarai pelbagai jenis penginapan menarik dalam tawaran harga yang terbaru.

Dah tahu betapa bestnya Hong Kong ni? Tunggu apa lagi? Tempah tiket flight sekarang! Selamat bercuti ke Hong Kong!

4.5/5 - (20 votes)