Ipoh, sebuah bandaraya yang terkenal dengan penangan white coffeenya yang memang ‘kaw’! Siapa sangka sebuah kawasan yang pernah mengalami peristiwa hitam pada tahun 1892 ini di mana kebakaran yang sangat besar pernah berlaku mampu membangun menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, malahan di seluruh dunia.
Untuk pengetahuan anda, Ipoh pernah disenaraikan di dalam laman web pelancongan antarabangsa, Lonely Planet, sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di Malaysia yang terbaik pada tahun 2016.
Pembangunan pesat bandar Ipoh dengan pusat-pusat pelancongan, kafe-kafe dan lain-lain lagi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan bandar ini destinasi yang wajib dilawati.
Salah satu sebab mengapa Ipoh menjadi lokasi pilihan kepada ramai para pelancong adalah kerana kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik tanpa dimakan dek peredaran zaman yang menghauskan perubahan.
Banyak bangunan-bangunan klasik yang masih terpelihara dengan baik di luaran tetapi fungsi dalamannya diubah untuk mengikut keperluan semasa atau lebih tepat lagi mengikut selera anak-anak muda yang tinggal di Ipoh. Sebab ini jugalah Ipoh digelar sebagai bandar hipster Malaysia! Memang lain dari yang lain.
Bukan itu sahaja, Ipoh turut kaya dengan keindahan alam semulajadinya yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Tersendiri bagaimana? Kalau anda nak tahu, teruskan membaca senarai 60 tempat menarik di Ipoh.
60. Book Xcess Ipoh
Tak perlu menjadi penyamun, anda kini boleh menjejakkan kaki ke dalam peti besi bank tanpa rasa bersalah sekiranya datang ke Book Xcess Ipoh. Kedai buku yang terletak di Kong Heng Square ini telah menggantikan fungsi salah sebuah bank yang pernah sibuk dengan urusan perbankan pada sekitar tahun 1980-an.
Di tingkat bawah, anda dapat melihat ramai pelanggan sibuk memilih pelbagai buku yang diletakkan pada peti-peti besi deposit yang telah diubahsuai sebagai rak buku.
Selain itu, di kedai buku ini juga terdapat ruang “newseum” Yasmin at Kong Heng yang mempamerkan antara iklan Petronas dan filem yang terbaik pernah dihasilkan arwah Yasmin Ahmad. Di samping itu, anda turut berpeluang melihat skrip asal filem seperti Sepet dan Wasurenegusa daripada komputer Mac milik Yasmin Ahmad sendiri. Memang menarik!
Lebih sebab untuk datang ke sini? Buku-buku yang dijual di Book Xcess adalah 50 ke 80 peratus lebih murah daripada kedai-kedai buku yang lain!
Alamat: No. 91, Jalan Sultan Yussuf (Belfield Street), 30000 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 10.00 pm)
59. Kong Heng Square
Untuk menyelami ‘intipati’ sebenar kota hipster Ipoh, anda boleh menjejaki Kong Heng Square yang terletak di antara bangunan dengan seni bina kolonial dan juga moden di Ipoh Old Town.
Gabungan dua era menjadikan lokasi ini begitu unik dan sesuai sekali untuk dijadikan lokasi jual-beli karya seni dan kraftangan kerana aura kreatif yang terpancar di sekitar pelusuk Kong Heng Square ini.
Selain produk kreatif, di sini juga anda boleh menemui banyak kafe atau gerai makanan yang menarik. Hanyalah terdiri daripada 3 buah lot, namun ia cukup padat dengan kiosk dan gerai yang akan menggoda jiwa sesiapa sahaja untuk berhenti melihat.
Alamat: Kong Heng Square, Jalan Bandar Timah, 30000 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat Kecuali Selasa (11.00 am – 5.00 pm) | Sabtu, Ahad & Cuti Umum (10.00 am – 5.00 pm)
58. The Banjaran Hotsprings Retreat
Terletak di kawasan hutan batu kapur yang indah, The Banjaran Hotsprings Retreat menjanjikan satu terapi minda bagi mereka yang mahukan ruang privasi dari kesibukan kota. Hanya berjarak 20 minit dari bandar ipoh, lokasi strategik ini menempatkan beberapa buah villa yang lengkap dengan fasiliti mewah untuk dijadikan tempat percutian.
Terdapat 3 jenis penginapan yang disediakan iaitu Garden villa, Water Villa dan Lake Villa. Garden Villa berkeluasan 260 kaki persegi hanya untuk penginapan 2 orang dewasa dengan satu katil saiz king, ruang makan, ruang tamu dan halaman bertembok yang diliputi hutan prasejarah. Villa yang dilengkapi dengan perabot mewah ini juga mempunyai kolam persendirian dan jakuzi air panas geoterma serta pancuran mandian yang pasti menyegarkan anda.
Water Villa pula berkeluasan 155 kaki persegi, ia juga dilengkapi dengan kolam peribadi, ruang tamu dan ruang makan. Villa yang menghadap kolam teratai ini juga dilengkapi dengan air panas geoterma serta dikelilingi dengan ruang privasi tahap maksima untuk mereka yang mahukan ruang ketenangan sendiri. Lake Villa pula yang dibina berdasar konsep desa dan kotemporari juga mempunyai kolam peribadi dan tab air panas. Villa yang berkeluasan 81 kaki ini juga lengkap dengan katil saiz king dan hiasan dalam kontemporari.
The Banjaran Hotsprings Retreat tidak hanya menawarkan pakej penginapan sahaja kerana anda juga boleh memilih pakej makan malam iaitu Celebrate Love untuk meraikan hubungan anda dengan pasangan. Resort ini juga memiliki beberapa ‘berlian’ yang tersembunyi seperti The Secret Escape iaitu restoran mewah di dalam gua, The Banjaran’s Day Spa Packages yang menawarkan rehabilitasi serta The Banjaran’s Day Pass iaitu program eksplorasi kawasan gunung batu kapur dan juga gua-gua yang terdapat di kawasan sekitar.
Alamat: The Banjaran Hotsprings Retreat No. 1, Persiaran Lagun Sunway 3, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak
57. Pavillion Petting Zoo
Para penggemar haiwan pastinya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Pavilion Petting Zoo yang terletak di Jalan Jelapang-Chemor. Beroperasi sejak tahun 2020, para pengunjung pasti teruja apabila ‘disambut’ lebih 40 haiwan yang jinak di sini. Idea asal Pavilion Petting Zoo kerana pengasasnya sendiri, Syariff Yahya berasa sukar untuk membawa anak-anaknya ke Zoo Taiping yang berjarak 70 km dari Ipoh. Lalu beliau membina sebuah zoo mini di atas tanah seluas 6.7 ekar dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Veterinar.
Antara haiwan yang ada disini ialah kuda, iguana, landak, kucing parsi, kura-kura, kambing, ayam belanda, itik, arnab, burung unta, burung puyuh, tikus belanda dan pelbagai jenis burung seperti ayam sutera, ayam selasih dan banyak lagi. Inilah peluang bagi setiap pengunjung mengenali spesies-spesies yang jarang kita lihat. Terutama spesies ayam yang mempunyai bentuk dan warna yang berbeza.
Pengunjung boleh memberi makan dengan makanan yang telah disediakan selain merakam foto kenang-kenangan bersama haiwan-haiwan yang jinak ini. Bukan sahaja memberi makan, pengunjung juga boleh menyentuh dan bermain dengan haiwan-haiwan di sini terutama tikus belanda, iguana, kambing dan burung-burung kecil.
Alamat: Taman Rekreasi Gunung Lang 30010 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Isnin-ahad (10am – 6pm)
Harga Tiket: RM6 (dewasa dan kanak-kanak)
56. Gopeng Rainforest White Water Rafting
White water rafting ialah aktiviti berakit di atas jeram sungai. Aktiviti ekstrim ini sering kita sangka banyak dilakukan di luar negara, tetapi ia juga boleh dilakukan di Malaysia! Gopeng Rainforest White Water Rafting menyediakan aktiviti ini di Sungai Kampar yang dikategorikan kepada 1 hingga 3 mengikut tahap kesukaran aktiviti ini.
Untuk menyertai aktiviti ini, anda disaran untuk berkhemah mengikut pakej yang diberikan kerana ada beberapa latihan yang perlu anda jalani sebelum memulakan aktiviti rakit yang ekstrim. Jangan bimbang, tapak khemah dan makanan disediakan oleh penganjur.
Antara latihan yang dijalankan ialah water confident dan body surfing. Latihan ini amat penting supaya anda mempunyai keyakinan sebelum bermain rakit sebenar. Selain itu juga, pihak penganjur amat menitikberatkan keselamatan pengunjung dengan memberi latihan awal sebelum turun berakit. Insurans juga disediakan untuk Standard package.
Selain dari berakit, terdapat juga aktiviti lasak lain yang boleh anda sertai antaranya menjelajah Gua Tempurung dan melakukan waterfall abseiling di Ulu Geruntum. Kunjungan anda ke sini pasti lebih seronok sekiranya anda datang dengan kumpulan. Ajak rakan-rakan anda untuk mencuba aktivi yang menarik ini. Pastikan anda membawa kamera aksi yang kalis air untuk merakam memori indah ini.
Alamat: Razak House, Jln Sungai Itek, 31600 Gopeng, Perak
Waktu operasi: Isnin-Ahad (9am – 5pm)
Harga tiket: Bermula RM135 seorang
55. Time Tunnel Ipoh
Time Tunnel Ipoh adalah sebuah muzium kecil yang terletak di tingkat dua, di atas sebuah kedai perhiasan di Jalan Panglima. Jangan ingat dengan saiz yang kecil menjadikan muzium ini kurang penting untuk dilawati, kerana di dalamnya sungguh padat dengan pelbagai barangan antik yang dapat membawa anda ke era lama iaitu dari zaman 40-an sehingga 80-an.
Antara koleksi klasik yang boleh ditemui di muzium ini adalah permainan-permainan lama, dapur tradisional, mesin wang tunai analog, botol minuman Coca-Cola versi klasik, tea set dan banyak lagi.
Sambil melihat setiap barangan yang dipamerkan, anda juga boleh bergambar dengan sepuas hati. Jangan risau, tiada halangan untuk berfotografi. Luangkanlah masa selama mana anda inginkan untuk betul-betul menyelami dunia klasik ni ya?
Berjaya menarik dalam sekitar 100 orang pelawat setiap hari pada musim cuti, ternyata muzium ini menjadi salah satu destinasi ‘bucket list’ dalam kalangan ramai pelancong yang bercuti di Ipoh. Caj masuk yang dikenakan juga cukup murah, kenapa perlu fikir lama-lama?
Alamat: 23, Jalan Panglima, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 4.30 pm)
Harga: RM6
54. Upside Down World Ipoh
Menawarkan 16 buah tarikan berbeza di dalam satu lokasi, Upside Down World Ipoh adalah lokasi berfotografi yang paling menyeronokkan di Ipoh. Mana tidaknya, setiap barangan dan perabot di dalam Upside Down World ini adalah seperti namanya, terbalik atau melawan graviti.
Dengan set-up yang sebegini, anda boleh berposing seolah-olah terapung di udara, terjatuh atau terbalik. Hasilnya? Gambar yang tidak ubah seperti berlakon di dalam filem aksi Hollywood. Sama ada anda pandai berposing atau tidak, anda tetap akan pulang dengan hasil foto yang menarik kerana staff di sini cukup banyak membantu supaya anda dapat menghasilkan pose yang bersesuaian dan penuh dengan kreativiti. Anda hanya perlu datang dan enjoy!
Alamat: 55, Jalan Tun Sambanthan, 30000 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm)
53. Birch Memorial Clock Tower
Birch Memorial Clock Tower adalah sebuah struktur berwarna hitam putih yang berketinggian 1.95 meter. Menara ini telah dibina pada tahun 1909 untuk memperingati ulang tahun kematian ke-34 Resident British pertama Perak, James WW Birch yang telah dibunuh oleh pahlawan Tanah Melayu, Datuk Maharaja Lela pada tahun 1875.
Terletak di bandar Ipoh, menara ini telah dibina dengan kos pada ketika itu 25,000 pound sterling. Ia kemudiannya dirasmikan oleh Residen British Perak yang ke-8, Sir Ernest Woodford Birch.
Dapat dilihat pada empat bahagian penjuru di atas jam menara ini terdapat empat ukiran patung yang masing-masing membawa maksud sendiri berdasarkan empat prinsip pentadbiran British iaitu keadilan, kesabaran, ketabahan dan kesetiaan.
Pada keempat-empat sisi menara ini juga terdapat lukisan tokoh-tokoh dunia dan pembangun tamadun seperti Buddha, Darwin, Shakespeare dan sebagainya.
Setelah melawat lokasi ini anda boleh menuju ke banyak lagi tarikan Ipoh yang terletak di sekitar seperti Masjid Negeri dan Rose Centre.
Alamat: 31650 Ipoh, Perak
52. Lost World of Tambun
Taman tema Lost World of Tambun ini secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu dry park dan wet park. Di dry park anda boleh meningkatkan adrenalin dengan menaiki roller coaster yang juga sesuai untuk kanak-kanak, juga terdapat rumah hantu jika anda inginkan sedikit thrill.
Di samping itu, anda boleh melawat Petting Zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rakun, ular, zirafah, harimau dan bermacam lagi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti lasak seperti berakit, merentas hutan, meneroka gua, mendaki gunung dan banyak lagi.
Di wet park terdapat Jungle Wave Pool yang memiliki kolam berombak yang terbesar di Malaysia, Adventure River pula adalah di mana anda dapat mengelilingi sungai buatan yang agak panjang dengan menaiki pelampung. Aktiviti-aktiviti lain di wet park ini adalah seperti Sandy Bay, Kids Explorabay, Cliff Racer dan Tube Raiders.
Aktiviti-aktiviti ini mungkin kedengaran agak lasak, namun jangan risau, permainan-permainan ini dibahagikan mengikut kesesuaian umur dan kemampuan pengunjung, jadi datanglah bersama ahli keluarga anda ke sini untuk memberikan mereka pengalaman yang tidak akan dilupakan!
Alamat: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11.00 am – 6.00 pm) | Sabtu & Ahad (10.00 am – 6.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM85 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM77
51. Catch A Toy X Rainbow Box
Catch A Toy X Rainbow Box adalah seperti yang digambarkan daripada namanya, sebuah dunia penuh dengan warna-warni di mana di dalamnya terdapat banyak mesin-mesin yang diisi dengan mainan untuk dicapai dengan menggunakan ‘tangan robot.’
Apa yang anda nak dapatkan? Teddy bear? Keychain Hello Kitty? Doraemon? Atau macam-macam lagi, bolehlah bermain dengan pelbagai vending machine permainan yang ada di kedai ini.
Sebelum pulang, jangan lupa bergambar dengan pintu masuknya yang sangat Instagrammable!
Alamat: 29, Jalan Lau Ek Ching, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (4.00 pm – 3.00 am) | Sabtu & Ahad (3.00 pm – 3.00 am)
50. Gua Kek Look Tong & Zen Garden
Terletak berdekatan dengan Gunung Rapat dan 5 km dari bandaraya Ipoh adalah sebuah gua batu kapur yang besar digelar Gua Kek Look Tong. Pada tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan besi.
Kini, ia merupakan tokong Buddha yang telah memenangi pelbagai anugerah kerana keindahan lanskap taman yang ada disebalik gua ini. Siapa menyangka akan diraikan dengan pemandangan yang sebegitu indah sebaik sahaja keluar daripada terowong gua ini?
Sebaik sahaja anda sampai ke taman ini, anda akan dapat mendengar keriuhan burung-burung dan angsa yang dipelihara di sini. Yang lebih menarik lagi, anda boleh beriadah di sini kerana terdapat jalan yang disediakan untuk berjogging mengelilingi dua tasik yang indah. Taman ini juga memiliki salah satu daripada laluan refleksologi pejalan kaki yang terpanjang di Ipoh.
Waktu yang terbaik untuk anda melawat gua dan taman ini adalah pada waktu pagi supaya anda dapat menikmati keindahan taman ini di samping udara yang menyegarkan.
Alamat: Kek Look Tong, Gunung Rapat, Ipoh
Waktu Operasi: Setiap hari termasuk hari cuti umum (7.00am – 6.00pm)
49. Art of Old Town
Art of Old Town persis namanya merupakan sebuah destinasi yang dihiasi dengan ilustari-ilustrasi kreatif pada dinding-dinding bangunan di sini.
Ilustrasi-ilustrasi ini telah dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang seniman yang menerima pengiktirafan dunia atas lukisan-lukisan mural yang beliau hasilkan di sini. Beliau juga turut terlibat dalam penghasilan seni jalanan di New York.
Mural dinding yang terdapat di sini diinspirasikan daripada budaya masyarakat Ipoh. Masa yang diambil untuk melihat keseluruhan Art of Old Town ini adalah lebih kurang 30 minit.
Anda perlu berjalan sekitar Market Street, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Padang, Jalan Bijeh Timah dan Concubine Lane 3. Jangan lupa membawa kamera anda sekali untuk mengabadikan diri anda dengan karya-karya kreatif ini.
48. Taman Rekreasi Gunung Lang
Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar adalah sebuah taman rekreasi yang dikelilingi pemandangan alam semulajadi. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah bukit batu kapur.
Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang.
Alamat: Taman Rekreasi Gunung Lang Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.00am – 12.00pm/1.30pm – 7.00pm) | Jumaat (8.00am – 12.00pm/2.45pm – 4.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (8.00am – 6.30pm)
Bayaran Bot: Dewasa RM3 | Kanak-kanak 3 – 12 tahun RM1.50 | Warga emas 55 tahun ke atas RM1.50
47. Funtasy House Trick Art
Rumah yang dipenuh dengan ilusi optikal dan magikal ini dibuka pada tahun 2015. Masa yang diambil dalam proses menyiapkan semua lukisan-lukisan ini adalah dalam sekitar empat bulan. Terdapat lapan orang pelukis yang terlibat dalam projek ini.
Funtasy House Trick Art memiliki empat bahagian yang berbeza antara satu sama lain dari segi tema mereka.
Pertama adalah galeri yang memaparkan bandaraya Ipoh, yang kedua adalah bahagian rumah terbalik ataupun upside-down house, yang ketiga adalah dunia fantasi dan yang terakhir sekali bertemakan Bilik Penderaan.
Pasti anda pernah melihat bukan gambar-gambar pengunjung yang pernah datang ke tempat ini? Amat menarik. Anda juga akan dapat pulang dengan foto-foto yang pasti akan menjadi kerana kakitangan-kakitangan di sini akan membantu anda mendapatkan gambar yang sempurna secara percuma.
Alamat: Funtasy House Trick Art 16, Jalan Market, 30000 Ipoh
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00am – 8.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM15 | Kanak-Kanak, Pelajar, Warga Emas RM10 | OKU, Kanak-Kanak Bawah 4 Tahun Percuma
46. Dataran Medan Stesen
Dataran Medan Stesen atau turut dikenali sebagai Dataran KTM Ipoh kerana lokasinya yang terletak berdekatan dengan Bangunan Stesen Keretapi Ipoh adalah sebuah tarikan yang indah untuk dilawati terutama sekali pada waktu malam di mana anda dapat melapangkan fikiran sambil menyaksikan pancuran air dengan cahaya berwarna-warni yang bergerak dengan irama.
Tidak cukup dengan itu, dataran ini turut dihiasi dengan kehijauan pokok-pokok yang didatangkan dari luar negara seperti pokok Tagoma dan Bucida.
Percayalah, sekali datang ke sini, anda pasti tidak dapat melupakan keindahan yang disajikannya dan terasa rindu untuk datang lagi.
Alamat: Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Malam
45. Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz
Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz ataupun Padang Polo adalah destinasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga bagi mengambil udara segar sambil menyegarkan mata dengan pemandangan penuh kehijauan di sekitar taman. Di tengah-tengahnya juga terdapat tasik yang damai dipandang mata.
Semasa berada di sini, anda boleh mengeluarkan peluh dengan aktiviti berjogging, sementara anak-anak pula berseronok di taman permainan atau bermain di padang bola luas yang disediakan. Aktiviti lain yang dapat dilihat dilakukan pengunjung di taman ini adalah seperti skateboard, rollerblade dan sebagainya.
Dah puas menikmati keindahan taman? Sekiranya anda datang pada waktu petang, banyak gerai dibuka dengan jualan makanan seperti ABC, cendol, rojak, laksa dan sebagainya. Kemudahan lain yang disediakan adalah tandas awam.
Alamat: 7, Jalan Brash, 30350, Ipoh, Perak
44. Masjid Muhammadiah Ipoh
Pernah lihat masjid dengan gaya seni bina Cina di Malaysia? Pemandangan yang sangat rare ini dapat dilihat sekiranya anda melawat Masjid Muhammadiah Ipoh yang terletak di Taman Tasek Jaya.
Dibina pada tahun 2008, masjid ini menggabungkan warna-warna yang cerah seperti merah, jingga, merah jambu dan hijau.
Melalui reka bentuknya, anda dapat melihat gaya bumbung yang tidak ubah seperti bangunan-bangunan tradisional Cina namun kepala naga yang kebiasaannya terletak pada bucu bumbung digantikan dengan bentuk bulan sabit yang lebih bersesuaian dengan agama Islam.
Selain itu, motif bunga teratai yang selalu wujud pada bangunan klasik Cina turut digantkan dengan bunga kebangsaan negara iaitu bunga raya.
Di samping reka bentuk yang unik, suasana di dalam masjid ini juga cukup nyaman, kerana anda sentiasa dapat merasai tiupan angin yang menyegarkan tanpa perlu menghidupkan kipas.
Alamat: Masjid Cina Masjid Muhamadiah Tasek Jaya Ipoh Perak, Regat Tasek Jaya 1, Taman Tasek Jaya, 31400 Ipoh, Perak
43. Blueblue Playland
Blueblue Playland adalah sebuah taman permainan indoor yang terbesar di Malaysia yang menjanjikan keseronokan tak terhingga kepada bayi sehinggalah anak-anak yang berusia 15 tahun.
Dah puas bermain di taman permainan dan tenggelam di dalam lautan bola kecil yang menyambut sebaik turun dari gelongsor, tarikan lain yang turut boleh dicuba di sini adalah Master Jump iaitu tempat permainan trampoline yang sangat luas. Namun begitu, trampoline ini hanya boleh dimainkan oleh kanak-kanak berusia 7 tahun dan ke atas sahaja.
Bab kebersihan? Cukup terjaga, kerana anak-anak diwajibkan untuk menggunakan sanitizer yang disediakan sebelum masuk ke kawasan permainan.
Lokasinya adalah di tingkat 2 bangunan Magicboo Gunung Rapat atau Old Town Gunung Rapat. Untuk meletak kereta, anda boleh melalui bahagian belakang bangunan dan parking di bahagian basement.
Alamat: Persiaran Gunung Rapat, Taman Rapat Setia, 31350 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (10.00 am – 8.00 pm) (*Kemasukan Terakhir Pukul 7.00 pm)
Harga Tiket:
- Selasa – Khamis: Bayi 0 – 6 Bulan Percuma | 7 Bulan – 2 Tahun RM17 | 3 – 15 Tahun RM26 | Ibu Bapa / Penjaga +RM5/Pax (Seorang Penjaga Adalah Percuma) | OKU RM5
- Jumaat – Ahad: Bayi 0 – 6 Bulan Percuma | 7 Bulan – 2 Tahun RM26 | 3 – 15 Tahun RM30 | Ibu Bapa / Penjaga +RM10/Pax (Seorang Penjaga Adalah Percuma) | OKU RM5
- Lain-Lain: Stokin RM7
42. Lubuk Timah Hot Spring
Pusat Rekreasi Hotsprings Lubuk Timah adalah tarikan air terjun serta kolam air panas yang terletak hanyalah dalam sekitar 20 ke 30 minit pemanduan dari Bandaraya Ipoh.
Di sini terdapat kolam renang utama yang mana airnya dialirkan kepada kolam kedua dan seterusnya ke kawasan sungai. Air terjunnya pula sebenarnya terhasil daripada binaan tembok yang kelihatan tidak ubah seperti empangan. Kalau anda datang pada musim tengkujuh, air yang bercurahan dari tembok ini kelihatan seolah-olah limpahan air Niagara Falls. Pemandangannya memang wow!
Di samping itu, pusat rekreasi ini turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, gazebo, tandas, tempat bbq, pondok rehat dan kolam-kolam air panas konkrit.
Alamat: Pusat Rekreasi Hotsprings Lubuk Timah, Mukim Sg Raja, 31300 Ipoh
Waktu Operasi: 8.00 am – 6.30 pm
- Harga Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM3
- Harga Sewaan Lain: Gazebo Ekslusif RM70 | Gazebo RM50 | Pondok RM10
41. X Park Sunway City Ipoh
Nak menikmati keseronokan maksima tanpa mengira usia, tanpa mengira kanak-kanak atau dewasa? Mai datang ke X Park Sunway City Ipoh.
Taman ekstrem ini adalah lokasi di mana anda dapat melakukan bermacam aktiviti untuk mengeluarkan peluh dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti gelanggang futsal, gelanggang badminton, litar untuk permainan go-kart, ATV, tempat rock climbing dan banyak lagi!
Anda tidak akan pulang dengan badan yang kering, bermainlah dengan sepuas hati! Ingin menghilangkan dahaga atau mendapatkan kuasa kafein sebelum beraktiviti? Kedai kopi turut disediakan.
Tak pasti bila boleh datang ke sini? Jangan risau, taman ini dibuka setiap hari selama 24 jam.
Alamat: No, 1, Persiaran Lagun, Sunway City, 31150 Ipoh, Negeri Perak
40. Bukit Kledang
Berketinggian 800 meter atau 2640 kaki, Bukit Kledang adalah lokasi pendakian yang agak popular di Ipoh. Sama ada pada waktu pagi mahupun petang, ramai yang datang ke sini untuk menguji stamina mendaki sehingga ke puncak bukit.
Bukan sekadar dapat memberikan kepuasan kepada pencinta aktiviti lasak, di puncaknya juga anda dapat menyaksikan pemandangan yang cukup memuaskan sekitar Bandaraya Ipoh.
Untuk mendaki, terdapat beberapa laluan yang boleh digunakan, sama ada laluan bertar, bertangga atau melalui hutan yang sudah semestinya jauh lebih mencabar. Laluan yang terpanjang adalah laluan menara RTM yang mengambil masa sehingga 4 jam, manakala laluan yang terpendek pula hanya mengambil masa selama sejam.
Alamat: Jalan Kledang, 31450 Ipoh, Negeri Perak
39. Laser Battle Ipoh
Taubat bermain paintball yang agak menyakitkan kalau tersasar? Jom main permainan yang juga dapat memuaskan jiwa kepahlawanan anda di Laser Battle Ipoh tanpa sebarang risiko kesakitan.
Hanya dengan menggunakan cahaya laser, anda boleh mengumpulkan mata dan menghancurkan pihak lawan. Yang bestnya, lebih daripada 55 mode permainan yang boleh dipilih iaitu dari tahap yang mudah hinggalah kepada yang mencabar.
Alamat: Ipoh Parade, 105, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh, 30450 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Ahad – Khamis , Ahad (11.00 am – 10.30 pm) | Jumaat & Sabtu (11.00 am – 11.00 pm)
38. Bukit Batu Suluh
Selain Bukit Kledang, Bukit Batu Suluh juga adalah lokasi pendakian yang agak terkenal. Dari puncak bukit ini anda dapat menyaksikan panorama yang indah meliputi gunung-gunung di kejauhan seperti Gunung Korbu dan Gunung Gayung. Dari sini juga anda dapat melihat pemandangan tanpa batasan sekitar Bandaraya Ipoh.
Tak perlu fikir dua tiga kali kerana perjalanan untuk ke puncak hanyalah memakan masa sekitar 45 minit ke 1 jam sahaja. Tak perlu ada ilmu mendaki yang mantap, inilah salah satu puncak bukit yang boleh anda takluki kalau masih baru dalam aktiviti pendakian.
Secara keseluruhannya, tinggi bukit ini adalah 400 meter, separuh daripada ketinggian puncak Bukit Kledang. Namun begitu, anda tetap perlu berhati-hati kerana terdapat laluan yang agak curam.
Alamat: Bukit Batu Suluh, Perak
37. Bukit Bangkong
Terletak di Chemor dan hanyalah dalam sekitar 30 ke 40 minit dari Bandaraya Ipoh adalah destinasi pendakian yang seterusnya, Bukit Bangkong. Ya, cukup banyak puncak untuk dipilih bagi sesiapa yang ingin merasai keseronokan pendakian dan berada di puncak yang tinggi.
Berketinggian hanya 200 meter, masa yang diambil untuk menuju ke puncak Bukit Bangkong hanyalah dalam sekitar 20 ke 30 minit. Anda boleh mendaki bersama keluarga dengan menggunakan jalan berturap yang disediakan.
Sebaik tiba di puncaknya nanti, anda dapat melihat keindahan pemandangan puncak Gunung Korbu. Sungguh mengasyikkan.
Alamat: Tanah Hitam, 31200 Chemor, Perak
36. Taman Herba Papan
Terletak di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, Taman Herba Papan adalah sebuah tarikan yang kaya dengan bermacam spesies herba yang dikatakan mencecah 186 jenis kesemuanya.
Herba-herba yang ditanam di sini memiliki pelbagai khasiat dan penggunaan sama ada dalam aspek perubatan, aromaterapi, kosmetik mahupun dalam masakan.
Tak cukup sehari mendalami ilmu herba? Anda boleh juga berkhemah di tapak perkhemahan yang disediakan pihak pengurusan.
Selain tapak perkhemahan, taman ini turut lengkap dengan pelbagai lagi kemudahan lain seperti surau, dewan terbuka, tandas, denai hutan, pondok rehat, bilik persalinan, kantin dan tempat penginapan. Kedudukannya, hanyalah 25 km dari Bandaraya Ipoh.
Alamat: Batu 1, Jalan Simpang Pulai, Kg. Kepayang, Perak, Batu Gajah, 31300 Gopeng, Negeri Perak
35. Ladang Limau Tambun GOChin
Ladang Limau Tambun GOChin adalah sebuah ladang limau bali yang luas di mana anda dapat melihat banyak pokok-pokok yang mewah dengan buah yang ranum ini. Bukan selalu dapat tengok pokok buah limau balikan?
Sambil itu, anda sekeluarga turut dapat mengetahui pelbagai info menarik berkaitan buah ini iaitu jenis-jenisnya, khasiat dan kegunaannya.
Anda juga dapat menikmati teh herba yang diperbuat dari buah ini dan sejenis bunga yang dikatakan berkhasiat untuk menghilangkan toksin dalam badan.
Selain buah limau bali, ladang ini turut menempatkan beberapa lagi pokok buah lain seperti buah belimbing dan buah jambu batu. Sebelum pulang, jangan lupa untuk membeli buah yang dijual segar dari ladang dan bermacam lagi produk lain seperti jem dan jeli.
Alamat: 158258A, Jalan Ampang Baru, Tambun, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm
34. Concubine Lane
Kalau datang ke Ipoh, inilah antara lokasi wajib yang perlu anda ‘mendarat’ sebelum ke kawasan-kawasan lain. Memang tak sah percutian anda ke Ipoh kalau tak meluangkan masa bergambar atau bershopping di sekitar lorong-lorong ini.
Dinamakan, Wife Lane (Lorong Hale), Concubine Lane (Lorong Panglima dan Second Concubine Lane (Market Lane), ketiga-tiga lorong ini pada asalnya didirikan oleh seorang taikun perlombongan pada akhir abad ke-19 untuk dihadiahkan kepada 3 orang isterinya. Di sini, setiap isteri dapat mengutip sewa daripada kedai-kedai yang terdapat di lorong masing-masing.
Kini, setiap lorong ini memiliki street art yang tersendiri, namun daripada ketiga-tiga lokasi ini, Concubine Lane adalah lorong yang tersibuk kerana kepadatannya dengan pelbagai jenis kedai dan sebuah hotel butik.
Alamat: Panglima Ln, 30000 Ipoh, Perak
33. Ipoh Town Hall
Ipoh Town Hall adalah salah satu daripada beberapa bangunan kolonial di Malaysia yang telah direka bentuk oleh arkitek A.B. Hubback. Pembinaan bangunan Dewan Bandaran ini telah dimulakan pada tahun 1914 dan siap pada 1916, sedikit lewat daripada perancangan awal kerana masalah bekalan material ketika Perang Dunia Pertama.
Bangunan besar yang berwarna putih ini cukup menarik untuk dilawati kerana kemegahan seni binanya yang cukup mengujakan terutama sekali bila dilihat pada waktu malam.
Alamat: 2700, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh, Perak
32. TT5 Tanjung Tualang Tin Dredge
Sekali pandang, TT5 Tanjung Tualang Tin Dredge ini kelihatan tidak ubah seperti sebuah kilang terapung. Struktur ini sebenarnya adalah peninggalan kapal korek biji timah yang terakhir masih wujud di Malaysia. Memiliki keberatan mencecah 4500 tan, kapal ini dibina di England pada tahun 1938 oleh syarikat F.W.Payne & Son yang pada ketika itu merupakan syarikat kejuruteraan yang terkenal dalam pembinaan kapal korek.
Kapal yang kian dimamah usia ini telah menjalankan operasi selama 44 tahun iaitu sehingga tahun 1982 ketika mana kerja-kerja perlombongan terpaksa dihentikan kerana kejatuhan harga timah dan peningkatan kos operasi.
Sekiranya anda ke sini, anda boleh mendapatkan khidmat lawatan berpandu yang ditawarkan untuk mendapatkan lebih banyak info berkaitan kapal korek dan industri ini yang pernah melalui zaman kegemilangan pada suatu masa dulu.
Alamat: 9th KM, Jalan Tanjung Tualang, 31000 Batu Gajah, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.00 am – 6.00 pm) | Rehat Sementara (1.00 pm – 2.30 pm) | Lawatan Berpandu (10.00 am, 11.00 am, 12.00 pm, 2.30 pm, 3.30 pm & 4.30 pm)
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak (8 – 12 Tahun) RM5 | Kanak-Kanak (<7) Percuma | Warga Emas (65+) RM20
31. Gaharu Tea Valley
Destinasi tarikan yang seterusnya ini adalah sebuah ladang yang cukup unik di Malaysia iaitu ladang pokok gaharu. Ya, bukan ladang teh seperti mana yang dapat dilihat di Cameron Highlands, tapi ladang pokok gaharu dengan pemandangan yang cukup cantik seperti berada di luar negara.
Tapi kenapa dinamakan ‘tea valley’? Kalau anda nak tahu, daun pada pokok ini sebenarnya turut boleh diproses menjadi teh. Bukan itu sahaja, sebenarnya, pokok gaharu ini memiliki bermacam penggunaan daripada akar hinggalah daunnya! Kesemua bahagian pokok ini memiliki khasiat yang tersendiri.
Semasa berada di ladang ini, anda boleh mengikuti lawatan berpandu menaiki van yang disediakan pihak pengurusan untuk melihat sekitar kawasan ladang sambil mendengar sejarah dan proses ladang. Jangan lupa untuk membawa kamera DSLR kerana pemandangan yang menanti sukar ditemui di tempat lain.
Selain itu, kawasan ladang ini turut lengkap dengan kafe dan juga kedai yang menjual pelbagai jenis produk daripada gaharu.
Alamat: Kampung Sungai Itek 9840 Jalan Gopeng, Gaharu Tea Valley, Gopeng 31600
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm)
Harga Tiket:
- Harga Tiket: Percuma
- Lawatan Minivan Berpandu Sekitar Estet: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak (<4) Percuma
30. Cheeky Tots
Selain Blueblue Playland, tarikan seterusnya yang dapat memberikan keseronokan tak terhingga kepada anak-anak adalah di Cheeky Tots, taman permainan indoor yang cukup luas untuk anak bermain mengeluarkan peluh berjam lamanya.
Antara permainan yang disediakan adalah gelongsor-gelongsor yang menyeronokkan, trampoline, jambatan dan banyak lagi permainan lain yang sesuai untuk bayi hinggalah kanak-kanak yang berusia 12 tahun.
Turut terdapat di sini adalah bilik permainan lego, sand art dan aktiviti lukisan kanvas yang pastinya dapat membuatkan anak terleka dalam dunia kreatif mereka. Sementara itu, anda pula boleh bersantai sambil menikmati makanan di kafe yang disediakan.
Ingin mengadakan majlis hari jadi? Mereka turut menyediakan bilik party yang luas yang boleh dihias mengikut tema yang anda inginkan untuk anak yang tersayang.
Alamat: DL1-1 De Garden, No 1 Persiaran Medan Ipoh, Medan Ipoh, 31400 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm) | Operasi Dapur (11.30 am – 8.30 pm)
Harga Tiket:
- Isnin – Jumaat: Bawah 1 Tahun Percuma | Bawah 3 Tahun RM10 | 3 – 12 Tahun (Playground RM15, Playground + Lego RM21) | Dewasa Percuma
- Sabtu, Ahad, Cuti Umum, Cuti Sekolah: Bawah 1 Tahun Percuma | Bawah 3 Tahun RM15 | 3 – 12 Tahun (Playground RM20, Playground + Lego RM26) | Dewasa (1 Kanak-Kanak 1 Dewasa Percuma, Tambahan Dewasa RM1)
- Jadual Tiket: http://www.cheekytots.com.my/prices-times/
29. Ipoh Railway Station
Pembinaan Stesen Keretapi Ipoh dimulakan pada tahun 1914 dan dapat disiapkan pada tahun 1917 akibat Perang Dunia Pertama yang mengakibatkan masalah bahan dan kos binaan.
Bangunan yang turut diberi gelaran Taj Mahal Ipoh ini telah direka bentuk oleh seorang arkitek British bernama AB Hubback yang juga merupakan arkitek bagi Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Rekabentuk bangunan ini tidak diubah sama sekali sehingga ke hari ini, yang dilakukan hanyalah pengubahsuaian dalaman bangunan ini pada tahun 1993.
Stesen keretapi ini sangat indah bukan hanya kerana seni binanya, malahan, ia dikelilingi oleh tumbuhan bunga-bungaan tempatan yang berwarna-warni.
Kecantikan lokasi ini telah menarik perhatian Hollywood untuk merakamkan filem Anna and the King lakonan Jodie Foster di sini. Untuk penginapan pula, Majestic Hotel turut berkongsi bangunan dengan stesen keretapi ini.
Alamat: Ipoh Railway Station, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh
28. Han Chin Pet So (Ipoh World)
Han Chin Pet So merupakan sebuah rumah agam yang dijadikan muzium sejarah pelombong-pelombong bijih timah berbangsa Hakka. Pada mulanya ia dijadikan tempat ekslusif untuk ahli kelab pelombong Hakka pada tahun 1893.
Walau bagaimanapun, tempahan waktu untuk kemasukan ke dalam muzium ini perlulah dibuat seawal yang mungkin iaitu sekurang-kurangnya 30 hari sebelum membuat lawatan.
Alamat: No. 3, Jalan Bijeh Timah (Treacher Street), 30100 Ipoh
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.30 am – 3.30 pm)
Bayaran Masuk Adalah Percuma Namun Menggalakkan Derma Dengan Nilai: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5
27. Muzium Ho Yan Hor
Muzium ini merupakan rumah peninggalan Dr. Ho Yan Hor yang merupakan seorang usahawan teh herba yang disegani di Ipoh. Muzium ini berada di tangga yang ketiga daripada 62 perkara yang boleh dilakukan di Ipoh berdasarkan laman web Trip Advisor.
Ramai pengunjung yang pernah datang ke sini merasakan bahawa muzium ini sangat memberi inspirasi. Anda dapat mempelajari tentang proses pembuatan teh herba dan cara perniagaan pada zaman dahulu.
Di sini, anda akan dapat mengetahui banyak info tentang sejarah Ipoh dan Ho Yan Hor daripada tahun 1940-an sehingga masa kini yang mana syarikatnya telah berkembang sebagai syarikat farmaseutikal bergelar Hovid Bhd, berperingkat global dengan lebih daripada 400 produk dan telah menjalankan aktiviti eksport ke lebih daripada 50 negara.
Di muzium ini anda akan dapat melihat sudut informasi atau storyboards, video dokumentari, pameran barangan antik dan bar teh di mana anda dapat menikmati teh Ho Yan Hor.
Alamat: No. 1, Jalan Bijeh Timah (Treacher Street), Ipoh
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (10.00am – 4.00pm)
Bayaran Masuk: Percuma
26. Qing Xin Ling Cultural Village
Di Qing Xin Ling anda bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam semulajadinya, malahan, untuk anda yang sukakan fotografi terdapat banyak lokasi-lokasi yang berkonsep vintaj disediakan di sini.
Anda dapat melihat barangan-barangan antik yang dipamerkan. Yang menariknya lagi, anda boleh mengelilingi kawasan Qing Xin Ling ini dengan menaiki basikal atau beca klasik yang disediakan, sudah pasti ini akan menjadi pengalaman yang sangat menyeronokkan.
Terdapat beberapa kolam ikan di sekitar kawasan ini yang mana anda boleh membeli sebungkus makanan ikan dengan harga RM1.00. Setelah itu, anda bolehlah berehat-rehat di pondok-pondok yang disediakan di sini untuk menikmati pemandangan indah kawasan ini dengan penuh ketenangan. Dinasihatkan untuk anda datang awal ke sini ketika waktu matahari berada di sebalik gunung.
Untuk anda yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh menerokai kawasan ini dengan jungle trekking dan cuba mendaki bukit di sini. Tapi jangan lupa untuk membawa pakaian dan kasut yang sesuai ya dan berhati-hati kalau anda datang selepas hujan, kerana jalan dilalui boleh menjadi licin.
Penginapan turut disediakan di sini, terdapat beberapa rumah berwarna-warni yang disediakan di sini, harga juga berbeza-beza berdasarkan saiz rumah.
Alamat: Qing Xin Ling Leisure & Culture Village, 22A Persiaran Pinggir Rapat 5A, Taman Saikat, 31350 Ipoh
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.30 am – 12.30 pm & 1.30 pm – 4.30 pm) | Ahad & Cuti Umum (Tutup)
Bayaran Masuk: RM10
25. Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam
Nama lain yang diberikan kepada taman rekreasi ini ialah Taman D.R. dan Coronation Park. Taman ini adalah taman yang tertua di Ipoh kerana ianya telah dibuka sejak tahun 1950-an lagi. Apabila anda menjejakkan kaki ke taman ini anda akan dapat melihat tasik buatan yang di dalamnya terdapat beberapa spesies ikan yang berbeza.
Di samping itu, terdapat taman permainan kanak-kanak yang agak luas, tumbuhan-tumbuhan, tempat bermain roller skate serta arca-arca batuan. Anda boleh berehat-rehat di pondok-pondok yang disediakan sambil menikmati pemandangan.
Alamat: Jalan Keliling Dalam, 30300 Ipoh
24. Taman Mini Jepun
Berada di dalam Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam ialah sebuah Taman Mini Jepun yang berkeluasan 1.2 hektar. Taman dalam taman, menarik bukan? Taman mini ini telah direka bentuk oleh pegawai lanskap Majlis Bandaraya Ipoh.
Dalam penyediaan pelan taman ini, pegawai lanskap ini turut mendapatkan bantuan kepakaran daripada Majlis Bandaraya Fukuoka, Jepun.
Taman ini telah dirasmikan dan dibuka pada 30 Jun 1995 oleh Datuk Bandar Ipoh pada masa itu, Tuan Haji Ahmad Salleh Haji Sarif bersama bekas Datuk Bandar, Dato Haji Umar Haji Abu dan bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Encik Watanabe.
Anda akan dapat merasakan suasana seperti berada di negara Jepun sebaik sahaja memasuki taman mini ini dengan pepohon buluh yang berada di pintu masuk dan taburan batu-batu kecil berwarna-warni di laluan pejalan kaki. Tumbuhan-tumbuhan yang telah dipilih untuk ditanam di taman ini juga bertujuan untuk melahirkan suasana seperti berada di Jepun seperti pokok pine dan willow.
Alamat: Jalan Keliling Dalam, 30300 Ipoh
23. Gerbang Malam
Jika anda ingin membeli-belah, datanglah ke Gerbang Malam, pasar ini berkeluasan lebih kurang 1 km dan terletak di Jalan Tahwil Azhar, berdekatan dengan Ipoh Parade. Pasar ini berkonsepkan uptown di mana anda dapat melihat pelbagai jenis barangan dijual, memang rambang mata dibuatnya sebagai contoh pakaian, minyak wangi, beg, alat solek, kasut, cermin mata, cincin dan lain-lain.
Jika anda sukakan karya kreatif, di sini juga terdepat gerai-gerai yang menjual tulisan khat, lukisan atas papan dan banyak lagi. Bagi anda yang inginkan penjimatan pula, banyak juga gerai-gerai bundle di sini.
Setelah penat berjalan, anda boleh mendapatkan urutan kaki dan refleksologi yang berada di sini. Kemudian, bolehlah sambung berjalan lagi sehinggalah anda menjumpai barang yang diingini.
Alamat: Jalan Tahwil Azhar (Pintu Gerbang Malam)
Waktu Operasi: Setiap hari (8.00pm – 3.00am)
22. Pasar Karat Ipoh
Lagi satu destinasi untuk menipiskan poket anda adalah Pasar Karat Ipoh. Nama lain untuk pasar ini ialah Loken. Dulunya Pasar Karat ini terletak dekat dengan Bazar Lam Look King kerana itu Pasar Karat ni juga digelar Pasar Lam Looking, kedengaran seperti Loken bukan? Walaupun setelah bertukar ke lokasi lain, nama ini kekal sehingga sekarang.
Apa yang menariknya di sini adalah terdapat terlalu banyak barangan antik yang dijual, rambang mata dibuatnya. Semakin lama anda berjalan sekitar pasar ini, semakin susah untuk anda membuat pilihan.
Contoh barangan yang dijual adalah gramofon, radio lama, cermin mata klasik, basikal vintaj yang turut beserta dengan geran dan lain-lain lagi. Pasar ini boleh dianggap sebagai syurga bagi pengumpul barangan antik.
Sama seperti pasar di Gerbang Malam, jika anda ingin membeli belah barangan bundle atau secondhand, banyak gerai sebegini di pasar ini.
Bila anda sudah penat berjalan-jalan, yang mana saya yakin anda akan berasa penat kerana kawasan pasar ini agak panjang, lebih kurang 2 km, jangan risau kerana terdapat banyak gerai makanan yang boleh anda singgahi untuk mengisi perut yang lapar. Untuk penginapan pula, banyak hotel-hotel yang berada di sekitar kawasan ini.
Alamat: Jalan Horley (Gerbang Memory Lane)
Waktu Operasi: Ahad (7.00am – 1.00pm)
21. Muzium Darul Ridzuan
Bangunan yang telah pun berusia 100 tahun lebih ini telah dibina oleh seorang pelombong bijih timah yang berjaya, Foo Choong Kit.
Selepas pembinaannya pada tahun 1926, bangunan yang mempunyai pengaruh Inggeris ini digunakan sebagai rumahnya sendiri. Kemudian pada tahun 1950, ia dijual kepada Kerajaan Perak dan digunakan sebagai pejabat Jabatan Kerja Raya dan pada tahun 1992, ianya dijadikan muzium.
Di Muzium Darul Ridzuan ini anda dapat mengenali sejarah Negeri Perak dengan lebih mendalam lagi seperti siapakah dan apakah yang telah dilakukan oleh Hugh Low, Swettenham, Clarke dan ramai lagi pemerintah British yang memainkan peranan yang besar dalam pembentukan negeri ini dan Tanah Melayu.
Alamat: Muzium Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm & 2.45pm – 5.00pm) | Hari Raya Puasa & Hari Raya Haji (Tutup)
Bayaran Masuk: Percuma
20. Bulatan Sultan Idris Shah
Bulatan Sultan Idris Shah ini merupakan salah satu daripada kebanggaan Ipoh. Kemegahannya yang berada benar-benar di pintu masuk Bandaraya Ipoh menjadi lambang kemajuan negeri ini.
Jika anda melawat kawasan ini pada waktu malam, anda akan berasa lebih teruja kerana bulatan ini dikelilingi oleh cahaya lampu yang penuh warna-warni serta pancutan air.
19. Gua Tempurung
Gua ini terletak di Gopeng, Perak, perjalanan ke sini daripada bandaraya Ipoh adalah dalam 24 km. Gua Tempurung ini merupakan yang terbesar di Semenanjung Malaysia dengan kepanjangan lebih daripada 3 km.
Terowong gua ini terbentuk di bawah gunung batu kapur iaitu Gunung Tempurung dan Gunung Gajah. Terdapat juga sungai yang mengalir di dalam gua ini dengan kepanjangan sebanyak lebih kurang 1.6 km. Gua ini terkenal dengan kecantikan pembentukan batu-batu stalagmit dan stalaktitnya.
Alamat: Pusat Pelancongan Gua Tempurung, 31600 Gopeng
Waktu Operasi: 9.00am – 4.00pm
18. Kinta Riverfront
Kinta Riverfront ialah satu destinasi yang agak menarik untuk dilawati pada waktu malam kerana terdapat cahaya lampu LED yang dipasang pada pokok-pokok di sepanjang laluan sungai Kinta ini. Konsepnya sama seperti I-City di Shah Alam.
Lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi kawasan ini memberikan suasana yang agak romantik dan mengujakan. Ia memang lokasi yang sempurna untuk anda bergambar dengan yang tersayang.
Alamat: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh
Waktu Operasi: Setiap hari
17. Muzium Geologi Ipoh
Sekiranya anda suka mempelajari sesuatu yang baru, lawatilah muzium ini. Ditubuhkan pada tahun 1957, Muzium Geologi Ipoh ini merupakan tempat yang penting untuk memberi didikan kepada masyarakat tentang geologi dan geosains di Malaysia.
Penyusunan muzium ini juga adalah sangat teratur mengikut kesesuaian informasi yang disampaikan, ibarat anda membuka buku teks yang bermula dengan pengenalan dan berakhir dengan konklusi.
Muzium ini terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu dari A sehingga G. Anda akan mempelajari struktur geologi dan sejarah bumi serta bagaimana perlombongan mineral dilakukan.
Di sini juga anda dapat melihat pameran pelbagai koleksi yang unik melibatkan batuan, batu permata, fosil dan mineral yang turut didatangkan dari luar negara. Tidak lupa juga pameran sampel-sampel bijih timah yang boleh ditemui di Lembah Kinta.
Perjalanan anda di muzium ini akan ditutup dengan penceritaan tentang sumbangan geologi kepada manusia. Satu destinasi yang perlu anda lawati untuk menjadikan percutian anda lebih terisi lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang mempunyai perasaan ingin tahu.
Alamat: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00am – 12.30pm & 2.00pm – 4.30pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm & 3.00pm – 4.30pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (Tutup)
Bayaran Masuk: Percuma
16. Dataran MBI Food Court
Datanglah ke dataran ini sekiranya anda ingin berjalan-jalan cari makan di sekitar Ipoh. Terdapat banyak pilihan gerai dengan pelbagai jenis makanan yang dijual di sini, boleh kenyang juga perut melihat pilihan yang terlalu banyak.
Contoh makanan yang anda boleh temui di sini adalah nasi kerabu ayam dara, pattaya banjir, sate kambing, char kuew teow, nasi itik, sup tulang, nasi goreng daging pedas, nasi ayam dan banyak lagi.
Untuk pengetahuan anda, gerai-gerai yang terpilih sahaja yang boleh dibuka di sini, ini bermakna besar kemungkinan untuk anda berpuas hati dengan apa sahaja yang anda makan di sini.
15. Taman Alam Kinta (Taman Burung)
Taman Alam Kinta menempatkan lebih daripada 150 spesies burung air. Dengan keluasan 900 hektar, taman ini memiliki populasi burung air yang lebih daripada 1000 ekor.
Antara spesies yang boleh dijumpai di sini adalah burung panglim, wak-wak, raja udang, bangau, toing air dan banyak lagi.
Anda juga boleh menaiki menara pemerhati burung yang disediakan di taman ini untuk melihat habitat-habitat pelbagai jenis burung ini seluas pemandangan anda.
Alamat: Taman Alam Kinta, Kampung Pisang, Batu Gajah, Ipoh, Perak
14. Dataran Jam
Terletak di bahagian tengah Dataran Bandaraya Ipoh adalah sebuah menara jam yang agak tinggi dan unik sekali reka bentuknya. Untuk anda yang ingin mengisi perut yang lapar, di sekitar Dataran Jam ini anda dapat melihat banyak gerai makanan yang dibuka.
Dinasihatkan supaya anda datang ke kawasan gerai ini sekitar pukul 6 petang kerana agak ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati selera.
13. Masjid Sultan Idris Shah II
Pada asalnya masjid ini dinamakan Masjid Negeri (Perak) namun pada tahun 1984, masjid ini ditukarkan namanya kepada Masjid Sultan Idris Shah II untuk memperingati Sultan Idris Iskandar Shah II yang kembali ke Rahmatullah pada tahun itu.
Terletak di Bandaraya Ipoh, masjid ini mula dibina pada tahun 1966 yang memakan belanja sebanyak RM1,840,000.00. Batu asas masjid ini telah diletakkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu pada tahun 1967.
Alamat: Masjid Sultan Idris II, Jalan Sultan Iskandar, 30000 Ipoh
12. Movie Animation Park Studios
Kalau anda tercari-cari Disneyworld di Malaysia, Movie Animation Park Studios adalah salah satu tarikan yang lebih kurang bestnya macam Disneyworld. Jangan pandang rendah, taman animasi ni ada tersangatlah banyak perkara menarik untuk dibuat dan dicuba!
Untuk pengetahuan anda Movie Animation Park Studios ini terbahagi kepada 6 zon dengan tema yang berbeza-beza, 25 tarikan interaktif dan 15 rides yang luar biasa seronok untuk dinaiki!
Secara spesifiknya, antara tarikan yang ada kat sini adalah BoBoiBoy 4D Adventure Theatre, The Smurf Theater, Space X-Plorers, Hyperspin, Space Face, Coral Kingdom dan banyak lagi!
6 Zon Tema yang ada kat sini adalah seperti Animation Square Zone, Dream Zone, Blast Off Zone, Live Action Zone, Lakeside Zone dan Fantasy Forest Zone. Macam-macam ada! Rugi kalau tak datang sekiranya bercuti di Ipoh!
Alamat: 3, Persiaran Meru Raya, 31200 Ipoh, Negeri Perak
Waktu Operasi: Isnin – Khamis Kecuali Rabu (4.00 pm – 12.00 am) | Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah, Cuti Umum (10.00 am – 12.00 am) | Rabu Kecuali Cuti Umum & Cuti Sekolah (Tutup)
11. Masjid India Muslim Ipoh
Masjid India Muslim Ipoh merupakan sebuah masjid yang telah berusia lebih daripada 100 tahun di mana ianya telah dibina pada tahun 1908 oleh Sheikh Adam yang berketurunan Tamil.
Reka bentuk masjid ini dapat dilihat memiliki pengaruh Chitya India dan gaya Moghul dengan seni bina yang tidak ubah seperti bangunan Diwan-i-Khas di Delhi.
Alamat: Jalan Seenivasagam, 30450 Ipoh, Negeri Perak
10. Kledang Saiong
Sekiranya anda ingin ke sebuah kawasan yang dapat memberikan ketenangan yang sebenar, apa kata kalau anda bersama keluarga menuju ke Taman Rimba Kledang Saiong.
Taman Rimba yang berkeluasan 2,188 hektar ini merupakan sebuah tarikan alam semula jadi yang terletak di Meru dengan jarak kurang 15 km dari bandar raya Ipoh.
Tarikan utama di dalam Taman Rimba ini selain daripada udara yang menyegarkan dan pemandangan penuh kehijauan di sekitarnya adalah Taman Nepenthes ataupun taman periuk kera yang menempatkan lebih daripada 70 jenis periuk kera yang berbeza termasuklah 15 spesies periuk kera hibrid.
Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan selain melawat taman periuk kera ini adalah bersantai di ruang lepak yang turut dilengkapi dengan kemudahan BBQ, sekadar merehatkan diri sambil menghirup udara segar dari gazebo indah yang disediakan, ataupun berkhemah. Namun begitu, untuk berkhemah, anda perlu mendapatkan keizinan daripada Pejabat Hutan Daerah dulu.
Taman rimba ini lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk para pelawat seperti tempat meletak kereta, kafeteria, tandas dan papan informasi.
Alamat: Persiaran Meru Utama, Negeri Perak
Waktu Operasi: 6.00 am – 7.00 pm
Bayaran Masuk: Percuma
9. Lata Ulu Chepor
Tak puas dengan tarikan alam semula jadi Taman Rimba, anda boleh meneruskan penerokaan dengan menuju ke Lata Ulu Chepor.
Tarikan ini sebenarnya agak ‘tricky’ untuk ditemui memandangkan ianya sukar untuk dilihat daripada jalan utama, oleh sebab itu, Lata Ulu Chepor ini lebih banyak dilawati oleh masyarakat setempat daripada orang luar.
Sebaik sampai di kawasan air terjunnya, anda pasti akan teruja melihat keindahan aliran airnya yang melalui celahan-celahan batuan besar. Lata Ulu Chepor menawarkan air sungai yang tidak begitu dalam dan sesuai untuk dijadikan tempat bermandi-manda seisi keluarga.
Selain menyegarkan badan, kawasan ini juga sering dijadikan pilihan penggemar fotografi untuk mengabadikan keindahan air sungai dan kawasan sekitarnya yang dikelilingi oleh Hutan Simpan Kledang Saiong.
Dah puas menikmati mandian yang menyegarkan, jangan lepaskan peluang untuk menerokai kawasan Kampung Ulu Chepor yang sungguh mendamaikan. Anda juga boleh singgah ke mana-mana kedai untuk menikmati makanan yang menyelerakan.
Alamat: Kampung Ulu Chepor, 31200 Chemor, Perak
Bayaran Masuk: RM2
8. Bulatan Amanjaya
Untuk pengetahuan anda, Bulatan Amanjaya adalah bulatan yang terbesar di negeri Perak dengan keluasan 7.3 hektar. Kalau anda tertanya-tanya di mana lokasi yang meriah untuk habiskan masa di waktu malam masa bercuti di Ipoh, inilah lokasi yang wajib anda lawati!
Lokasi ini sentiasa meriah walaupun bukan pada hujung minggu. Mesti anda tertanya-tanya apa istimewanya dengan tempat ni?
Untuk pengetahuan anda, Bulatan Amanjaya bukanlah sebuah tempat bersantai biasa sebab di sini terdapat kolam permainan air untuk kanak-kanak, gelanggang luncur untuk sesiapa yang nak bermain skateboard, khidmat sewaan basikal, kereta elektrik, kasut roda dan sebagainya! Manalah tak meriah kalau macam inilah gayanya.
Anda yang datang bersama anak-anak kecil juga tak perlu terlalu risau sebab kawasan ni turut dipantau oleh beberapa pengawal keselamatan serta kamera CCTV.
Alamat: 30200, Bandar Meru Raya, 31200 Ipoh, Perak
7. Tasik Cermin Gunung Rapat
Sekiranya anda seorang yang sukakan sesuatu yang unik dan suka discover tempat baru, anda mesti melawat Tasik Cermin Gunung Rapat. Tasik ini sebenarnya bukanlah sebuah tarikan ‘formal,’ tak ada siapa yang jaga, tiada pintu entrance dengan kaunter tiket atau sebagainya.
Memang betul-betul kena ‘teroka’. Untuk menuju ke kawasan tasik ini anda perlu mencabar diri mencari lokasinya yang sebenar yang agak tersorok.
Setelah sampai ke lokasi, anda perlu melalui sebuah gua yang agak gelap, tapi anda boleh nampak cahaya daripada ruangan hujung gua ini.
Kalau tak yakin, janganlah lalu gua ni seorang diri. Setelah sampai ke penghujung gua, pandangan mata anda akan terpesona dengan serta-merta sebaik melihat keindahan tasik yang terhidang di depan mata.
Jangan lupa untuk mengabadikan keindahan ini di dalam foto sepuas hati!
Alamat: Persiaran Pinggir Rapat 5a, 31350 Ipoh, Negeri Perak
6. Muzium Yasmin Ahmad
Siapa tak kenal dengan pengarah filem terkenal Malaysia, Yasmin Ahmad yang telah menghasilkan antara filem terkenal seperti Mukhsin dan Sepet, ini belum termasuk lagi dengan iklan-iklan yang pernah dihasilkannya yang banyak memberi impak kepada penonton.
Daripada sumbangan-sumbangan kreatif beliau yang banyak menekankan nostalgia kehidupan yang menyentuh jiwa ramai, maka diwujudkan muzium untuk memperingati segala curahan minda kreatif beliau supaya dapat dihayati oleh generasi muda serta menjadi sumber inspirasi bagi para penggiat seni.
Pameran di dalam Muzium Yasmin Ahmad (Musium Kong Heng) / Yasmin at Kong Heng ini, akan sentiasa diperbaharui setiap 6 bulan ke setahun.
Segala yang beliau hasilkan termasuklah filem, sajak, fotografi dan sebagainya dikongsikan di dalam muzium ini. Sememangnya, ia adalah sebuah muzium yang wajib dilawati oleh semua rakyat Malaysia.
Alamat: Lorong Panglima (behind Container Hotel), Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Sabtu & Ahad (10.00 am – 4.00 pm) | Cuti Umum (Tutup)
5. Miniature Wonders Art Gallery
Banyak sekali tarikan unik di Ipoh bukan? Salah satu tarikan yang boleh dikategorikan sebagai lain daripada yang lain di Ipoh ini adalah Miniature Wonders Art Gallery Ipoh.
Dah puas melihat kehidupan moden di kawasan bandar dan dalam negara sendiri, anda boleh masuk ke dalam muzium ini untuk melihat suasana / diorama yang kelihatan agak realistik kehidupan zaman-zaman dinasti di negara China!
Bukan sedikit dioramanya, ada 2 tingkat untuk dilihat diorama-diorama ini yang pasti akan memukau sesiapa sahaja yang melihat memandangkan hasilnya yang sangatlah terperinci daripada kedutan baju hinggalah kepada interaksi atau ekspresi wajah antara patung-patung di dalam setting yang juga dibentuk dengan sempurna.
Memang tak sempat nak lihat semuanya sampai selesai, sebab tu, pemilik muzium ini sendiri menggalakkan dan sering mengingatkan para pelawat untuk merakam video/ foto sewaktu melawat supaya dapat melihat kembali apa yang ada dengan lebih terperinci. Sangat baik kan?
Alamat: 49, Jalan Market, Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 6.00 pm)
Bayaran Masuk: Percuma Tapi Untuk Ke Tingkat Atas Memerlukan Bayaran RM5
4. Masjid Panglima Kinta
Sudah berusia lebih daripada sedekad, Masjid Panglima Kinta merupakan sebuah masjid indah di Ipoh yang memiliki kisahnya tersendiri. Masjid yang tertua dan pertama sekali didirikan di Ipoh ini adalah hasil binaan Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof pada tahun 1898 untuk mengingati pemergian isterinya pada tahun yang sama.
Masjid dengan reka bentuk Mughal dan Neo-klasik ini pada suatu ketika dulu pernah dijadikan sebagai pusat penyebaran agama Islam untuk penduduk di kawasan setempat.
Untuk pengetahuan anda, mimbar masjid ini telah dibina oleh seorang pengukir kayu yang terkenal yang didatangkan dari Seberang Perai, Mohamed Sopian Abdul Wahab pada tahun 1928.
Di sebelah masjid ini terdapat sebuah sekolah pondok yang dibina sebelum Perang Dunia Ke-2 lagi. Manakala di hadapan masjid ini pula terdapat sebuah sekolah Arab yang pertama di Ipoh, Madrasah Kamaliah.
Alamat: Jalan Masjid, Kampung Kuchai, 30300 Ipoh, Negeri Perak
3. Padang Ipoh
Padang Ipoh merupakan sebuah padang besar yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan klasik. Betahun lama yang lalu, padang ini telah digunakan oleh orang-orang Inggeris untuk bermain kriket.
Namun kini, padang ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti rugby, bola sepak berjogging dan termasuklah mereka-mereka yang datang untuk bersantai menikmati pemandangan di sekitar.
Antara bangunan klasik yang dapat dilihat dari padang ini adalah bangunan St Michael Institution yang dibina pada tahun 1912, Masjid India Muslim (1908), bangunan Hong Kong & Shanghai (1931) dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Sultan Yusuf / Jalan S.P. Seenivasagam / Jalan Tun Sambanthan, 30000 Ipoh, Perak
2. Ipoh War Memorial
Ipoh War Memorial dalah sebuah memorial peperangan yang telah dibina untuk memperingati mereka yang terkorban sewaktu Perang Dunia Pertama (1914 – 1918), Perang Dunia Kedua (1939 – 1945), Konfrontasi Indonesia – Malaysia (1962 – 1966) dan pemergian ramai rakyat dan banduan perang dalam pembinaan landasan kereta api maut Burma-Siam (1943 – 1945).
Memorial ini terletak di bahagian kiri berhadapan dengan stesen keretapi Ipoh.
1. Kellie’s Castle
Pernah dengar tentang Kellie’s Castle? Untuk pengetahuan anda, Kellie’s Castle adalah sebuah istana tinggal yang walaupun hanya separa siap tetap terpancar keindahan reka bentuknya, apatah lagi kalau berjaya disiapkan.
Bangunan istana ini mula dibina pada tahun 1910 dengan reka bentuk istana daripada India. Untung menghasilkan istana ini, pemiliknya, Kellie Smith telah mendatangkan tukang-tukang khas daripada Madras.
Apa yang menariknya tentang istana ini adalah kewujudan lorong-lorong bawah tanahnya dan juga fakta yang mengatakan istana ini sepatutnya menjadi bangunan pertama di tanah air yang lengkap dengan lif.
Sekiranya anda melawat istana ini, anda dapat melihat bilik-bilik tidur anak-anak Smith, ruang meletak wine, ruangan laluan lif dan lain-lain.
Alamat: 31000 Batu Gajah, Perak
Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm
Bayaran Masuk: Dewasa RM5
Sekiranya anda tidak kisah tentang bajet, tapi yang penting adalah untuk memberikan pengalaman percutian yang sempurna untuk keluarga, anda boleh meluangkan masa untuk membaca artikel kami yang bertajuk 14 Hotel Menarik di Ipoh.
Walau bagaimanapun, tak semua hotel yang terdapat di Ipoh dapat kami senaraikan di dalam artikel-artikel kami. Sekiranya anda ingin melihat bermacam lagi pilihan penginapan dengan tawaran harga terbaru, layari sahaja booking.com dan anda pasti akan rambang mata.
Bandaraya Ipoh bukan sahaja kaya dengan warisan sejarah yang dipelihara dengan baik, malahan, terdapat juga destinasi-destinasi pelancongan yang menarik yang baru dibuka dan bakal dibuka.
Untuk anda yang menjadikan fotografi sebagai hobi, jangan lupa untuk menjadikan Ipoh sebagai salah satu destinasi anda. Pelbagai lokasi yang menarik boleh dijadikan sebagai subjek ataupun latar belakang foto anda.
Bandaraya yang meriah dengan bermacam tarikan seperti gerai-gerai makan, taman rekreasi, taman hiburan, lokasi-lokasi seni, dan gua-gua yang mengagumkan ini wajib dilawati untuk anda yang mendambakan satu pengembaraan yang menyeronokkan.
Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca senarai tempat menarik di Ipoh ini. Saya berharap, pelbagai aktiviti yang menarik yang boleh anda rancang berdasarkan senarai ini. Apa yang anda tunggu lagi? Mari kita ke Ipoh!