30 Tempat Menarik Di Istanbul | Terokai Keindahan Kota Terbesar Di Turki

Kota lama yang menjadi titik pertembungan antara Eropah dan Asia ini adalah sebuah destinasi yang sempurna untuk kaki Instagram, pencinta sejarah, peminat seni Islam atau seni bina bangunan yang mengagumkan.

Terletak di tangga yang ke-9 sebagai destinasi pelancongan terkemuka di dunia pada tahun 2018, mengalahkan Bali dan Osaka, percutian ke Istanbul tidak patut ditangguh-tangguhkan lagi!

Sebelum melawat bandaraya yang kaya dengan sejarahnya ini, anda boleh memaksimakan kepuasan penerokaan kota ini dengan mengetahui sedikit-sebanyak fakta sejarah dan info penting tentang lokasi yang ingin dilawati, barulah dapat feel kan?

Nak tahu di mana tersembunyinya khazanah wajib singgah di Istanbul dan apa kisah di sebaliknya? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Istanbul ini.

30. Isfanbul Theme Park

Isfanbul Theme Park, adalah sebuah tarikan yang dapat memberikan anda sekeluarga keseronokan yang mustahil dapat dilupakan semasa bercuti di Istanbul. Sepanjang lawatan di sini anda boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang ada seperti Bumper Cars, Hero Firemen (taman permainan bomba), Hop Hop Kangaroo (trampoline), Jet Ski, The Magical Room dan sebagainya. Kalau anda nak tahu, di sini jugalah terletaknya roller-coaster ke-4 yang terbesar di dunia.

Dalam banyak-banyak tarikan yang ada, Fatih’s Dream atau dalam bahasa Turkinya “Fatih’in Rüyasi” adalah tarikan yang dikatakan paling best untuk dicuba. Di sini, anda sekeluarga akan menaiki bot yang mana perjalanannya akan membawa anda menempuhi zaman lampau Istanbul pada tahun 1453 ketika peristiwa penawanan ibu kota Empayar Byzantine oleh Empayar Uthmaniyyah. Peristiwa ini dipaparkan melalui teknologi animatronik.

Selain permainan menyeronokkan, di kompleks yang berkeluasan 600.000 meter persegi ini juga anda sekeluarga boleh bershopping. Ya, bukan sekadar taman tema, tapi juga shopping mall yang menawarkan sehingga 200 buah kedai di dalam bangunan 3 tingkat. Tersenarai sebagai salah satu daripada 10 Taman Tema Terbaik di Dunia, tak perlu fikir lama-lama nak pergi atau tak.

Alamat: Yeşilpınar, Şht. Metin Kaya Sk. No: 11/1, 34065 Eyüp/İstanbul, Turkey

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 6.00 pm) | Musim Salji


29. The Grand Bazaar

The Grand Bazaar Istanbul
Sumber: Thomas Ng

Perkara paling menyeronokkan untuk dibuat semasa melancong selain daripada berjalan dan makan adalah bershopping. Apatah lagi kalau dapat bershopping di dalam sebuah tempat yang memiliki keistimewaan tersendiri. Kalau di Istanbul, salah satu tempat menarik di Istanbul untuk membeli-belah adalah The Grand Bazaar.

Yang menariknya tentang pasar ini adalah kerana ianya telah wujud sejak tahun 1461 lagi! Sangatlah tua! Di dalamnya terdapat sehingga 5,000 buah kedai yang menjual bermacam barangan seperti permaidani, perhiasan, rempah-ratus, seramik hasil tangan dan sebagainya!

Bagi pengumpul barang antik, The Grand Bazaar adalah syurga membeli-belah anda!

Alamat: Beyazıt Mh., Kalpakçılar Cd. No:22, 34126 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Hanya Ditutup Pada Hari Ahad & Cuti Umum Turki


28. Menara Galata

Berdiri di puncak Menara Galata yang berketinggian sehingga 219 kaki atau 67 meter ini, anda dapat menyaksikan pemandangan yang luas dari sudut pandangan burung yang terbang sekitar bandaraya tua ini.

Menara Galata atau nama lamanya Menara Kristus ini, pada awal pembinaannya iaitu pada tahun 1348, adalah bangunan yang tertinggi di Istanbul.

Fungsi bangunan ini berubah dari masa ke masa daripada fungsi asalnya sebagai menara pemerhati tentera. Pada tahun 1717 pula menara ini digunakan sebagai menara pemerhati untuk mengesan sebarang kebakaran. Kini, Menara Galata lengkap dengan kafe, dek pemerhatian, restoran dan kelab malam.

Alamat: Bankalar Caddesi, Karaköy

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 8.30 pm)

Bayaran Masuk: 25 Turkish Lira


27. Gereja Chora (Kariye Müzesi)

Chora membawa maksud “negara” di dalam bahasa Greek. Gereja dengan seni bina yang indah ini terletak betul-betul di luar tembok kota lama Constantinople.

Bangunan Gereja Chora yang pertama telah dibina pada kira-kira abad ke-5 di dalam lokasi yang sama, namun apa yang dapat dilihat sekarang adalah pembinaan semula kali ke-6 bangunan ini.Mesti anda tertanya-tanya, kenapa gereja ini sering dibina semula? Bangunan ini sebenarnya pernah melalui kemusnahan secara menyeluruh pada abad ke-9 sebelum kemudiannya melalui beberapa proses baikpulih pada abad ke-11 dan ke-14.

Bangunan yang pada asalnya sebuah gereja ini, pernah dijadikan masjid sebelum ditukarkan sebagai muzium yang kini mempamerkan mosaik-mosaik antik hasil kesenian zaman Byzantine.

Alamat: Dervişali Mahallesi, Kariye Cami Sk. No:8, 34087 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu

  • Musim Panas (April – Oktober): 9.00 am – 7.00 pm
  • Musim Sejuk (Nov – Mac): 9.00 am – 5.00 pm)

Bayaran Masuk: 15 Turkish Lira


26. Muzium Arkeologi Istanbul

Ditubuhkan pada tahun 1891, Muzium Arkeologi Istanbul adalah muzium yang paling awal dibina di negara Turki.

Untuk pengetahuan anda, kompleks muzium ini terbahagi kepada 3 bahagian muzium berbeza iaitu Muzium Timur Purba, Muzium Arkeologi dan Pavilion Berjubin Sultan Mehmet.

Selain 3 muzium ini, terdapat satu lagi ruang pameran lain yang dinamakan “Istanbul Through the Ages” yang sangat menarik untuk dilihat sekiranya anda ingin memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah Istanbul.

Ingin lebih sebab untuk datang ke sini? Daripada kesemua 1 juta bahan pemeran yang ada di sini, salah satunya adalah keranda Alexander the Great.

Alamat: Cankurtaran Mh., 34122 Fatih/Istanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu

  • Musim Panas (April 15 – Oktober 2): 9.00 am – 7.00 pm
  • Musim Sejuk (Oktober 3 – April 14): 9.00 am – 5.00 pm

Bayaran Masuk: 30 Turkish Lira


25. Panorama 1453 History Museum

The Museum of Innocence Istanbul Image
Sumber: Jeff Hartzog

Terletak di Topkapi Cultural Park, Panorama 1453 History Museum adalah sebuah tarikan yang unik di mana anda dapat menyaksikan lukisan 360 darjah yang memaparkan suasana ketika penaklukan Istanbul pada tahun 1453 oleh tentera Uthmaniyyah.

Lukisan yang berdiameter 38 meter ini menunjukkan lukisan yang agak realistik untuk memberikan anda pengalaman yang “immersive” atau yang mengasyikkan supaya anda dapat tenggelam dalam peristiwa yang bersejarah ini.

Untuk betul-betul menikmati pengalaman semasa melihat lukisan panorama ini, anda boleh mendapatkan audio guide yang disediakan untuk mendengar perkongsian informasi. Muzium yang dibuka pada tahun 2009 ini dikatakan sebagai muzium panorama penuh yang pertama di dunia. Sebelum pulang, anda boleh singgah sebentar ke kedai cenderamata muzium ini.

Selepas melawat muzium ini nanti, anda boleh terus singgah ke tembok Topkapi yang terletak berdekatan untuk melengkapkan penerokaan peristiwa bersejarah tahun 1453 ini. Untuk pengetahuan anda,  tentera Uthmaniyyah telah bergerak masuk ke kota Constantinople melalui tembok Topkapi.

Alamat: Topkapı Kültür Parkı Merkez Efendi Mahallesi, Istanbul, 34200, Turkey

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 6.00 pm)

Bayaran: 7.5 Turkish Lira


24. Süreyya Opera House

Süreyya Opera House Istanbul Image
Sumber: Icini Gorun

Süreyya Opera House atau turut digelar sebagai Süreyya Cultural Center adalah sebuah dewan opera klasik yang dibina pada tahun 1924. Walaupun tujuan asalnya dibina adalah untuk dijadikan sebagai teater muzik yang pertama di Istanbul, namun disebabkan oleh kekurangan dari segi fasiliti dan peralatan, persembahan opera tidak dapat dijalankan.

Walau bagaimanapun, ia telah digunakan sebagai pawagam pada tahun 1930 selepas sistem bunyi dipasangkan. Bermula dari itu, bangunan ini diberikan nama baru iaitu Süreyya Sineması.

Namun begitu, fungsi asal bangunan ini iaitu sebagai teater opera dapat direalisasikan pada tahun 2007 selepas melalui proses baikpulih. Semenjak dari itu, persembahan opera dan juga ballet diadakan setiap 3 hari dalam seminggu.

Selain persembahan, Opera House ini turut digunakan sebagai lokasi pameran, festival dan sambutan majlis seperti Republic Day Ball. Tertarik untuk datang ke sini? Pastikan anda membuat tempahan awal melalui internet supaya anda tak kecewa pada hari persembahan kerana berkemungkinan besar aktiviti di sini mendapat sambutan yang tinggi.

Alamat: Osmanağa, General Asım Gündüz Cd. No:29, 34714 Kadıköy/İstanbul, Turkey


23. Moda Stage Theatre

Baru sahaja dibuka kembali pada tahun 2013 setelah ditutup pada tahun 2000, Moda Stage Theatre telah dibaikpulih dan diperbaharui dengan pantauan daripada 12 orang pakar yang terlibat dalam dunia teater dan panggung wayang.

Teater ini telah dilengkapkan dengan 3 buah pentas bolehubah yang berteknologi tinggi. Sejak dari itu, pentas ini sering digunakan untuk pelbagai jenis persembahan dari tarian, konsert hinggalah pertunjukkan filem.

Alamat: Osmanağa, Halil Ethem Sokak, General Asım Gündüz Cd., 34714 Kadıköy/İstanbul, Turkey


22. Kadıköy Sineması

Dibuka pada tahun 1967, Kadıköy Sineması adalah antara pawagam yang tertua di Istanbul dan satu-satunya yang masih mengekalkan dekorasi dalaman asal. Apa yang uniknya tentang rekaan dalaman pawagam klasik ini adalah silingnya yang memiliki struktur berjalur yang boleh memukau pandangan mata.

Pawagam ini menjadi lokasi tayangan filem indie di peringkat antarabangsa dan juga tempatan. Vibenya memang lain dari yang lain! Tak rugi kalau anda singgah untuk merasai atmosfera yang luar biasa ni.  Lokasinya adalah di dalam kawasan yang meriah dengan aktiviti membeli-belah di Kadıköy. Dah puas berwindow shopping nanti bolehlah singgah ke sini untuk merehatkan badan.

Alamat: Osmanağa, Bahariye Cad. Kadıköy Pasajı No:25, 34714 Kadıköy/İstanbul – Asya, Turkey


21. Museum of Great Palace Mosaics

Berlokasi di belakang Bazaar Arasta, Museum of Great Palace Mosaics adalah salah satu khazanah tersembunyi yang terdapat di dalam kota lama bersejarah Istanbul dan merupakan sebahagian daripada istana empayar pada suatu ketika dulu.

Muzium mosaik ini walaupun bersaiz kecil, tapi di dalamnya sangat padat dengan pelbagai koleksi mosaik klasik meliputi era Byzantium sehinggalah abad ke-5.

Lukisan-lukisan yang dapat dilihat pada mosaik ini dikatakan menggambarkan kehidupan zaman Roman. Yang menariknya, kebanyakan mosaik ini masih mengekalkan warna-warni asal mereka walaupun telah menempuh pelbagai era berbeza.

Masa yang diperuntukkan untuk habis melihat kesemua koleksi mosaik yang terdapat di sini adalah dalam sekitar 15 ke 30 minit.

Alamat: Torun Sok., Istanbul

Waktu Operasi:

  • Pertengahan April – September: 9.00 am – 7.00 pm
  • Oktober – Pertengahan April: 9.00 am – 5.00 pm

20. Muzium Rahmi M Koc

Muzium Rahmi M Koc ini pasti akan menjadi muzium paling menarik buat mana-mana lelaki. Mana tidaknya, dari kereta-kereta klasik, kapal selam lama hinggalah kepada pesawat tua, segala yang berkaitan dengan pengangkutan dan komunikasi ada di sini!

Muzium ini ditubuhkan oleh Rahmi Koc yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang meminati objek mekanikal dan industrial sejak kecil lagi.

Semasa berada di sini, anda bukan sahaja dapat melihat pelbagai pengangkutan antik dengan dekat, tapi juga berpeluang untuk memasuki kapal selam yang digunakan ketika perang dunia ke-2 yang ada di sini.

Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk memasuki Discovery Sphere yang merupakan planetarium pegun pertama di Istanbul untuk melihat tayangan filem-filem pendidikan.

Alamat: Piri Paşa Mahallesi, Hasköy Cd. No:5, 34445 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (10.00 am – 5.00 pm) | Sabtu – Ahad (10.00 am – 6.00 pm)

Bayaran Masuk: 15 Turkish Lira


19. Gereja Hagia Irene

Gereja Hagia Irene ini merupakan salah satu daripada hanya beberapa buah gereja yang tidak pernah ditukar fungsi sebagai masjid di Istanbul.

Bangunan yang tidak diberikan sebarang sentuhan dekorasi tambahan ini menjadikan ianya sebuah tarikan yang menarik bagi sesiapa yang ingin melihat peninggalan Roman dalam keadaan yang betul-betul asli.

Gereja ini kini dijadikan muzium yang boleh dilawati sesiapa yang ingin melihat seni binanya dengan lebih dekat serta digunakan sebagai lokasi pameran seni untuk festival-festival penting di Istanbul.

Alamat: Cankurtaran Mh., Topkapı Sarayı 1. Avlu, 34122 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa

  • Oktober 3 – April 14 2019: 9.00 am – 4.30 pm
  • April 15 – Oktober 2 2019: 9.00 am – 7.00 pm

18. Little Aya Sofya (Küçük Aya Sofya)

Jangan keliru pula, Little Aya Sofya dan Hagia Sofia adalah dua tarikan berbeza tau! Terletak di dalam daerah Cankurtaran dan Kadırga, bangunan dengan nama Turkinya “Küçük Aya Sofya”, adalah sebuah bangunan yang pada asalnya dibina sebagai sebuah gereja ketika zaman pemerintahan Byzantine Justinian pada tahun 530.

Fungsi gereja ini kemudiannya bertukar sebagai sebuah masjid oleh Bayezid II selepas penaklukan kota Istanbul oleh pihak Uthmaniyyah. Mulai dari ketika itu, bangunan gereja ini diubahsuai dengan pertambahan madrasah.

Alamat: Küçük Ayasofya Mh., Küçük Ayasofya Cami Sk. No:20, 34122 Fatih/İstanbul

Bayaran Masuk: Percuma


17. Muzium Kesenian Turki dan Islamik (Türk ve Islam Eserleri Müzesi)

Turki Uthmaniyyah merupakan sebuah kerajaan yang berpegang teguh kepada Islam sebelum kejatuhannya. Setelah lebih daripada 600 tahun di bawah pemerintahan empayar ini, sudah semestinya budaya Islam terserap dengan meluas di dalam hasil kesenian Turki.

Untuk melihat pengaruh Islam ini, anda boleh melawat ke Muzium Kesenian Turki dan Islamik yang terletak di dalam bangunan yang dahulunya merupakan kediaman kepada Pargalı Ibrahim Pasha, menteri agung ketika zaman pemerintahan Sultan Suleyman.

Di dalamnya terdapat galeri Islamik yang mempamerkan pelbagai karya kaligrafi, karya abstrak, karya lukisan kontemporari, permaidani Turki yang indah dan banyak lagi!

Alamat: Sultan Ahmet Mahallesi, Meydanı Sok. No:46, 34122 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 7.00 pm)

Bayaran Masuk: 25 Turkish Lira


16. Masjid Biru (Sultan Ahmet Camii)

Dibina antara tahun 1609 ke 1616, Masjid Biru mendapat namanya daripada dekorasi dalamannya yang menggunakan beribu jubin Iznik.

Keseluruhan pelusuk masjid ini, daripada seni binanya hinggalah kepada sentuhan dalamannya yang memiliki warna yang menyerlah, menjadikan Masjid Biru sebagai salah satu pencapaian tertinggi dalam seni bina Uthmaniyyah.

Masjid ini kini, masih lagi aktif digunakan sebagai tempat beribadah umat Islam. Apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk bersolat di sini!

Alamat: Sultan Ahmet Mahallesi, Atmeydanı Cd. No:7, 34122 Fatih/İstanbul


15. Basilica Cistern (Yerebatan Sarniçi)

Kalau Aya Sofya adalah salah satu keajaiban dunia, Basilica Cistern pula merupakan sebuah tarikan paling mengejutkan di Istanbul. Bangunan luas yang kelihatan tidak ubah seperti sebuah istana bawah tanah ini sebenarnya adalah sebuah  tangki air ketika zaman pemerintahan Byzantine.

Keterujaan melihat ruangan dalaman tangki air lama yang memiliki 336 batang tiang ini disempurnakan lagi dengan bunyi titisan air yang boleh didengari sepanjang perjalanan. Jangan lupa untuk melihat salah satu tiang yang paling terkenal di dalam bangunan ini yang diukir dengan wajah Medusa.

Lebih sebab untuk melawatnya? Kalau anda nak tahu, pada tahun 1963, tangki lama ini pernah dijadikan sebagai lokasi pergambaran filem James Bond bertajuk “From Russia with Love.”

Alamat: Alemdar Mh., Yerebatan Cd. 1/3, 34410 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 7.00 pm)

Bayaran Masuk: 20 Turkish Lira


14. Menara Maiden / Menara Kizkulesi

Kizkulesi Tower Menara Kizkulesi
Sumber: I Love Turkey

Menara Maiden ataupun Menara Kizkulesi ini mendapat namanya daripada sebuah legenda. Al-kisahnya, pada suatu ketika dulu, seorang pemerintah Byzantine telah mendengar ramalan bahawa anak perempuannya akan mati ketika berusia 18 tahun disebabkan oleh patukan ular. Oleh sebab itu, pembesar ini bertindak menempatkan anaknya di dalam menara ini untuk menjauhkannya daripada tanah.

Walau bagaimanapun, anaknya tetap terbunuh disebabkan oleh kehadiran ular di dalam bakul buah yang dibawa kepadanya daripada bandar.

Nak lihat dengan lebih dekat istana dengan kisah legenda tersendiri ini? Datanglah ke sini, harga tiketnya pun cukup murah.

Alamat: Salacak Mahallesi, Üsküdar Salacak Mevkii, 34668 Üsküdar/İstanbul

Waktu Operasi: 9.00 am – 12.00 am

Bayaran Masuk: 5 Turkish Lira


13. Masjid Suleymaniye

Masjid Suleymaniye telah dibina pada tahun 1550 atas arahan Sultan Suleyman dengan gabungan seni bina Byzantine dan Islam. Terletak di atas bukit, masjid ini merupakan salah satu mercu tanda terkenal di Istanbul.

Memasuki ruangan dalam masjid yang telah berusia lebih daripada 450 tahun ini, anda akan terpesona melihat keindahan kubahnya yang memiliki sentuhan rekaan penuh harmoni.

Di bahagian luarnya pula terdapat sebuah taman yang mendamaikan jiwa. Di dalam kawasan taman yang sama juga terletaknya makan Sultan Suleyman dan permaisurinya Haseki Hürrem Sultan.

Alamat: Süleymaniye Mah, Prof. Sıddık Sami Onar Cd. No:1, 34116 Fatih/İstanbul


12. Rüstem Pasa Mosque

Rüstem Pasa Mosque adalah salah satu masjid yang terindah di Istanbul (sebenarnya mustahil nak cari bangunan atau masjid yang tak cantik di kota ni). Dikatakan, Rüstem Pasa Mosque menempatkan antara jubin Iznik yang terindah di seluruh bandar ini.

Memang betul Masjid Biru juga menggunakan jubin yang sama, tapi hanya di masjid Rüstem Pasa anda dapat melihat contoh terbaik jubin ini yang dihasilkan dengan penuh kehalusan menggunakan tangan dengan menggabungkan warna-warna seperti biru, merah dan hijau.

Alamat: Rüstem Paşa Mahallesi, Hasırcılar Cd. No:62, 34116 Fatih/İstanbul


11. Istana Topkapi

Istana Topkapi Palace
Sumber: Kevin Keenoo

Istana Topkapi adalah sebuah istana lama yang dibina oleh Sultan Mehmet pada abad ke-15 untuk tujuan pemerintahan yang digunakan sehinggalah abad ke-19.

Antara tarikan utama di istana ini adalah ruangan yang dipanggil Harem. Seterusnya adalah “Second Court” di mana anda boleh berjalan di sepanjang dapur istana yang luas dan melihat hiasan dalaman “The Imperial Council Chamber” yang sangat mengujakan.

Ruang yang seterusnya iaitu “Third Court” menempatkan bilik-bilik peribadi Sultan. Di sini juga terdapat  koleksi relik Nabi Muhammad saw seperti jubah dan pedang baginda di dalam “Sacred Safekeeping Room.” Ruangan lain yang terdapat di “Third Court” adalah “Imperial Treasury” yang mana anda akan disambut dengan gemerlapan objek-objek emas dan permata yang pasti akan membuat mata anda kesilauan.

Alamat: Cankurtaran Mh., 34122 Fatih/Istanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali selasa

  • Musim Sejuk: 9.00 am – 4.45 pm
  • Musim Panas: 9.00 am – 6.45 pm

Bayaran Masuk Muzium: 60 Turkish Lira


Baca: 45 DESTINASI MENARIK DI LONDON

10. Istana Dolmabahce

Istana Dolmabahce adalah sebuah bangunan megah yang berkepanjangan 600 meter. Istana yang siap dibina pada tahun 1856 ini mengambil masa sehingga 13 tahun untuk siap sepenuhnya. Bayangkanlah betapa besarnya istana ini sehinggakan pembinaannya telah hampir menjadikan Turki sebuah negara bankrap.

Selain pembinaan yang penuh dengan kontroversi, istana yang sama juga merupakan tempat di mana pengasas Republik Turki, Mustafa Kemal Atatürk menghembuskan nafas terakhirnya, dan jam yang terdapat di dalam istana ini dikekalkan pada detik yang sama dengan kematiannya iaitu pada pukul 9.05 am pada 10 November, 1938.

Alamat: Vişnezade Mahallesi, Dolmabahçe Cd., 34357 Beşiktaş/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin & Khamis (9.00 am – 5.00 pm)

Bayaran Masuk: 40 Turkish Lira


9. Bazaar Rempah (Spice Bazaar)

Kalau Grand Bazaar adalah pasar yang terbesar di Istanbul, Bazaar Rempah pula adalah pasar yang paling meriah dengan warna-warni! Bukan sahaja berwarna-warni, bazaar ni juga sangat klasik kerana telah dibina dari tahun 1664 lagi!

Selain dapat merasa pengalaman bershopping di dalam pasar yang tua, anda juga boleh mencuba secara free kebanyakan makanan yang diniagakan di sini. Memang syoklah!

Apa sahaja rempah yang anda bayangkan, semuanya ada di sini! Tapi lagi baik sekiranya anda fokus kepada jenis rempah yang sememangnya berasal daripada negara Turki sendiri, antaranya adalah rempah Sumac, Pul Biber, Nar Ekşisi, Çörek otu dan Turkish Saffron. Barulah dapat betul-betul merasa dunia Turki!

Alamat: Rüstem Paşa Mahallesi, Erzak Ambarı Sok. No:92, 34116 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 7.00 pm)

Bayaran Masuk: Turkish Lira


8. Miniaturk

Miniaturk Istanbul
Sumber: Sara Dira

Mula dibuka pada bulan Mei, 2003, Miniaturk adalah sebuah tarikan unik yang berkeluasan 650 kaki persegi menjadikan ianya sebuah taman tema dengan ruang pameran model-model bangunan mini yang terbesar di dunia.

Semasa berada di Miniaturk, anda dapat melihat lebih daripada 100 model bangunan ikonik dan 45 daripadanya adalah mercu tanda yang terkenal di Istanbul.

Sambil berjalan melihat bangunan mini di dalam taman ini anda juga boleh memasukkan tiket di dalam mesin-mesin yang disediakan di seluruh kawasan Miniaturk untuk mendengar informasi berkaitan model yang dilihat dalam bahasa Inggeris atau Turki.

Alamat: Örnektepe Mahallesi, İmrahor Cd. 7/1, 34445 Beyoğlu/İstanbul

Waktu Operasi:

  • Musim Panas: 9.00 am – 7.00 pm
  • Musim Sejuk: 9.00 am – 5.30 pm

Bayaran Masuk: 15 Turkish Lira


7. Hippodrome

Nak tahu salah satu lokasi paling purba di Istanbul ni? Jawapannya adalah Hippodrome. Hippodrome telah mula dibina oleh Septimius Severus pada tahun 203 Masihi dan disiapkan pada tahun 330 Masihi oleh Constantine the Great.

Kawasan ini pada ketika itu telah dijadikan sebagai pusat sosial masyarakat awam Byzantine dan lokasi untuk pelbagai pertarungan dan permainan.

Kini, tidak begitu banyak sisa Hippodrome yang tinggal, melainkan tembok-tembok galeri di bahagian selatan. Di bahagian tamannya pula (At Meydani) terdapat beberapa buah monumen. Manakala di bahagian barat lautnya pula terdapat sebuah pancuran air yang telah dihadiahkan oleh pembesar Jerman William II pada tahun 1898 kepada sultan Uthmaniyyah.

Alamat: Binbirdirek Mh., Sultan Ahmet Parkı No:2, 34122 Fatih/İstanbul


6. Kubu Yedikule (Yedikule Hisari)

Yedikule Hisari
Sumber: Ollios / CC BY-SA 3.0

Kubu Yedikule telah dibina pada abad ke-5 oleh pembesar Theodosius II sebagai kubu pertahanan di bahagian selatan Constantinople.

Setelah ditakluk oleh tentera Uthmaniyyah, tembok ini dijadikan sebagai kubu pertahanan mereka dan seterusnya sebagai penjara dan tempat hukuman dijalankan.

Sekiranya ke sini, anda dapat naik sehingga ke puncak kawasan ini untuk menyaksikan pemandangan yang menggetarkan jiwa sekitar lautan Marmara.

Alamat: Yedikule Mahallesi, Yedikule Meydanı Sk. No:9, 34107 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.30 pm


5. Muzium Karpet

Muzium Karpet Istanbul
Sumber: Carlo Kocman

Jangan tak tahu, Turki cukup terkenal dengan penghasilan karpetnya yang penuh kesenian tersendiri. Tak terbeli banyaknya karpet menarik terpampang di depan mata.

Untuk melihat dengan lebih dekat kehalusan seni permaidani yang dihasilkan di negara ini dari zaman ke zaman, singgahlah ke Muzium Karpet. Di dalamnya anda dapat melihat lebih daripada 800 karpet dari abad ke-14 hinggalah abad ke-20 di dalam 3 bahagian pameran yang berbeza.

Salah satu karpet yang dipamerkan di sini adalah karpet daripada Masjid Biru ketika abad ke-19.

Alamat: Sultanahmet Cami Hünkar Kasrı 34122 Fatih, İstanbul

Bayaran Masuk: 10 Turkish Lira


4. Masjid Fatih

Masjid Fatih adalah sebuah lagi masjid indah yang telah dibina oleh Sultan Mehmet setelah berjaya mengakhiri era Byzantine.

Istana yang dibina di atas bukit ini memiliki beberapa buah kubah dan minaret yang mencecah awan, ketinggian yang sesuai dengan statusnya sebagai masjid diraja pertama yang dibina di Istanbul.

Istana ini pada asalnya memiliki banyak ruangan berbeza seperti madrasah, dorm untuk penuntut ilmu, perpustakaan, pusat penjagaan, hospital, pasar, hamam dan makam. Namun, selepas melalui kebakaran yang besar, gempa bumi dan pembinaan jalan raya, yang tinggal hingga kini hanyalah ruang madrasah, perpustakaan, pusat penjagaan dan makam.

Untuk pengetahuan anda, di masjid ini jugalah letaknya makam Sultan Mehmet.

Alamat: Ali Kuşçu Mahallesi, Hattat Nafiz Cd No:6, 34083 Fatih/İstanbul, Turkey


3. Istanbul Modern

Bukan segalanya di Istanbul ini adalah bekas peninggalan lama. Sekiranya anda singgah ke Istanbul Modern, anda dapat melihat pameran seni yang sentiasa up-to-date.

Dibuka pada tahun 2004, muzium ini adalah muzium peribadi Turki yang pertama yang mempamerkan karya seni moden dan kontemporari. Muzium ini turut menganjurkan pameran fotografi, festival filem dan banyak lagi pameran-pameran sementara lain.

Bagi yang suka menonton movie, anda boleh melihat pelbagai pertunjukan filem di bahagian Istanbul Modern Cinema.

Alamat: Asmalımescit Mahallesi, Meşrutiyet Caddesi No:99, 34430 Beyoğlu/İstanbul

Waktu Operasi: Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu (10.00 am – 6.00 pm) | Khamis (10.00 am – 8.00 pm) | Ahad (11.00 am – 6.00 pm) | Isnin (Tutup)

Bayaran Masuk: 60 Turkish Lira


2. Pera Museum

Nak lihat hasil seni yang bukan sahaja dari zaman moden, tapi juga yang sudah mencecah ratusan tahun? Buka langkah kaki anda ke Pera Museum, anda pasti akan berpuas hati dengan koleksi yang dipamerkan di sini!

Selain menempatkan pameran sementara karya daripada beberapa nama terbesar di dunia, muzium ini turut memiliki 3 bahagian pameran kekal iaitu bahagian “Orientalist Paintings” yang menunjukkan hasil karya artis Eropah yang mendapat inspirasi daripada budaya Uthmaniyyah; “Anatolian Weight and Measures” yang mempamerkan bermacam peralatan mengukur daripada Central Anatolia; dan terakhir sekali adalah bahagian “Kütahya Tiles and Ceramics” yang menempatkan antara karya agung seramik dan jubin daripada Kütahya.

Alamat: Asmalı Mescit Mahallesi, Meşrutiyet Cd. No:65, 34430 Beyoğlu/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (10.00 am -7.00 pm)

Bayaran Masuk: 20 Turkish Lira


1. Aya Sofya / Hagia Sophia

Hagia Sophia Istanbul
Sumber: Fedexultra

Aya Sofya ataupun Hagia Sophia telah dibina sebagai lambang kemegahan empayar Byzantine Justinian pada tahun 536 SM.

Selepas penaklukan Uthmaniyyah ke atas kota Constantinople, bangunan yang pada asalnya gereja ini telah ditukarkan sebagai masjid pada sekitar tahun 1500. Dari ketika itu, terbinalah minaret dan juga madrasah.

Kini ruangan madrasah ini telah dijadikan sebagai kedai-kedai buku terguna. Manakala bangunan Aya Sofya ini sendiri telah dijadikan sebagai muzium.

Dianggap sebagai salah satu  daripada keajaiban dunia, Aya Sofya telah dibina dengan menggunakan 11,000 tenaga kerja. Setelah siap, ianya dikenali sebagai bangunan gereja Kristian yang terbesar di dunia buat beribu tahun lamanya.

Alamat: Sultan Ahmet Mahallesi, Ayasofya Meydanı, 34122 Fatih/İstanbul

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 7.00 pm)

Bayaran Masuk: 40 Turkish Lira


Penuh warna-warni dengan keunikan yang bukan ‘dibuat-buat,’ segalanya yang ada di kota ini adalah hasil daripada pertembungan dari era ke era dan kerana lokasinya yang menjadi titik bertemunya sempadan Eropah dan Asia. Istanbul, sebuah destinasi yang patut diletakkan di dalam senarai teratas percutian anda!

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Istanbul

Sebelum ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk melihat senarai pilihan penginapan yang ditawarkan di sekitarnya dalam tawaran harga yang terbaru.

Jangan lupa, bawa pakaian terbaik yang ada dan mantapkan skill fotografi atau posing sebelum datang! Selamat bercuti ke kota yang mesra Instagram, kota Istanbul!

4.3/5 - (23 votes)