Negeri Cik Siti Wan Kembang ini agak seronok untuk dilawati, lebih-lebih lagi kalau anda sudah sebati dengan suasana kota, mana nak cari keindahan panorama alam semulajadi kalau bukan di kawasan kampung?
Sekiranya anda sekeluarga ke negeri ini, dapatlah merasa suasana kehidupan masyarakat kampung yang agak simple dan agak rapat antara satu sama lain, satu suasana yang menyenangkan.
Kalau anda datang ke Kelantan mesti anda akan tertarik dengan keramahan rakyat negerinya, dialek Kelantan itu sendiri agak sedap didengar di telinga. Nak kenal dengan lebih ramai ‘oghe Kelate’?
Apa kata kalau anda menghabiskan masa percutian anda dengan melawat negeri ini? Boleh tahan banyak juga tempat yang menarik di Kelantan ni. Di sini kami senaraikan 53 tempat menarik di Kelantan yang pasti rugi sekiranya anda tak lawati semasa berada di sini.
53. Street Art, Kota Bharu
Memasuki lorong yang diceriakan dengan Street Art yang terletak di Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu, anda bakal ‘dikejutkan’ dengan betapa kreatifnya mural yang dihasilkan di sini.
Antara tema yang dapat diselami apabila memandang hasil lukisan ini adalah ‘impian’ dan ‘kebahagiaan’. Antara lukisan yang menggambarkan perasaan ini adalah mural belon berwarna-warni yang berterbangan bebas di awan tinggi, motif bunga dan banyak lagi.
Di beberapa sudut juga terdapat lukisan yang menyampaikan mesej berkaitan isu yang berlaku di negara-negara lain. Namun begitu yang paling menarik sekali adalah mural bentangan permaidani di atas lantai lorong Street Art ini. Memang unik dan menarik untuk dijadikan lokasi berfotografi.
Alamat: Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
52. Pasar Terapung Pulau Suri
Tidak perlu ke Thailand, anda boleh merasai pengalaman membeli-belah sambil dikelilingi oleh perairan di Pasar Terapung Pulau Suri yang baru sahaja dibuka pada 17 September 2016.
Untuk menuju ke kawasan pasar terapung ini, bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan bot yang disediakan adalah antara RM3 ke RM10 mengikut jenis bot yang ditawarkan di Jeti Kuala Besar.
Berlokasi di Kampung Pulau Suri, sambil membeli-belah pelbagai juadah tradisional yang diniagakan di atas sampan dan bot, anda turut dapat menikmati panorama indah di sekitar yang sungguh mendamaikan jiwa.
Alamat: Pulau Suri, Tumpat, Kelantan
Waktu Operasi: Sabtu (10.30 am – 12.30 pm)
Bayaran:
- Bot: RM2 Sehala
- Pulau: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM2
51. Min House Camp
Hanyalah beberapa km dari bandar Kota Bharu, Min House Camp menawarkan pengalaman yang mustahil dapat dilenyapkan dari ingatan. Dikelilingi oleh alam semula jadi seperti sungai yang mengalir tenang dan pokok-pokok yang menghijau, suasana di sekitar Min House Camp ini cukup menyegarkan jiwa.
Rimba hijau yang menjadi tapak lokasi Min House Camp ini adalah habitat kepada lebih daripada 40 spesies burung, 20 spesies rama-rama dan banyak lagi spesies haiwan yang lain menjadikan ia antara destinasi yang menarik untuk anda luangkan waktu bagi meneroka kekayaan flora dan faunanya. Bersesuaian dengan atmosfera yang penuh kehijauan, penginapan-penginapan dan kemudahan yang ditawarkan di camp ini juga hampir keseluruhannya adalah berasaskan buluh dan kayu.
Setelah puas beristirahat, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan seperti menyelusuri sungai untuk melihat kelip-kelip, berkayak, mempelajari ilmu pertanian organik, memancing, melawat mini petting zoo dan sebagainya.
Selain ini semua, anda juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti kebudayaan lain seperti kelas pembuatan kraftangn, kelas memasak, permainan tradisional dan juga melihat pertunjukkan wayang kulit dan dikir barat.
Sebelum melabuhkan badan di malam hari, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dan juga keindahan bulan yang cukup memukau pada waktu malam. Nak update status di Insta berkaitan pengembaraan di sini? Jangan risau, guna sahaja wifi percuma yang disediakan.
Lebih sebab kenapa anda patut bercuti di sini kerana ia juga adalah sebuah tarikan yang mesra OKU (sekiranya diperlukan). Banyak fasiliti yang mudah diakses dengan menggunakan kerusi roda.
Alamat: Min House Camp, Lot 1287, Kampung Pulau, 16150 Kota Bharu, Kelantan
Bayaran: Penginapan Bermula Dari RM25 Semalaman | Boleh Rujuk Pakej Yang Ditawarkan Di Link Ini
50. Pantai Nami Bachok (Pantai Senok)
Tak ubah seperti keindahan lanskap di Kepulauan Nami, Korea seperti yang dipaparkan dalam filem terkenal Winter Sonata di mana pokok-pokok tumbuh dengan tinggi dan tersusun, Pantai Senok yang terletak di Kelantan ini diberi gelaran sebagai Pantai Nami Bachok.
Pantai indah ini menawarkan pemandangan unik yang dapat membuatkan anda berasa seolah-olah berada di dalam dunia lain. Pokok-pokok ru yang tersusun indah, ditemani pula dengan angin yang sentiasa bertiupan dari kawasan pantai, ketenteraman yang dapat dinikmati di sini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tak rugi sekiranya anda meluangkan masa untuk melawat Pantai Nami Bacho atau Pantai Senok semasa bercuti di Kota Bharu nanti.
Sekadar perkongsian sebelum anda merancang untuk ke sini, waktu yang terbaik untuk melawat adalah antara bulan April sehingga September untuk mengelakkan hari hujan yang kebiasaannya berlaku antara bulan November hingga Februari.
Alamat: 16020 Kota Bharu, Kelantan
49. Galeri Wau Pak Sapie and Sons
Salah satu pengalaman yang tidak patut dilepaskan adalah untuk mengenali budaya sesebuah destinasi yang dilawati. Untuk tujuan ini, antara aktiviti yang boleh anda rancang untuk lakukan sekiranya bercuti di Kota Bharu adalah melawat Galeri Wau Pak Sapie and Sons. Di sini, anda dapat mengetahui banyak perkara menarik tentang salah satu daripada permainan tradisional yang terkenal di pantai timur iaitu wau bulan.
Kalau anda nak tahu, pemilik galeri ini iaitu Pak Sapie telah diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Wau oleh kerana kepakaran beliau dalam menghasilkan wau tradisional. Pak Sapie telah mempelajari teknik-teknik pembuatan wau tradisional daripada ayah beliau sendiri yang merupakan salah seorang pakar wau di Kota Bharu, Kelantan.
Selain dapat menimba pengetahuan berkaitan wau yang akan dikongsikan sendiri oleh Pak Sapie, anda juga boleh membeli wau yang dipamerkan di galeri.
Alamat: Galeri Wau Pak Sapie, Jalan Pantai Cahaya Bulan, 15350 Kota Bharu, Kelantan
48. Padang Merdeka
Di Kota Bharu, terdapat sebuah lagi tempat bersejarah yang perlu anda kunjungi iaitu Padang Merdeka. Setiap tahun, Padang Merdeka ini akan dihidupkan dengan perbarisan Rejimen Askar Melayu di-Raja bersempena dengan sambutan Hari Keputraan Sultan Kelantan pada 31 Mac. Padang Merdeka ini juga merupakan tempat berlakunya pelbagai detik sejarah. Seperti, penggantungan Tok Janggut Pahlawan Kelantan, yang berusaha keras menentang British, pada tahun 1915. Ia juga merupakan tempat di mana rakyat berkumpul ketika pengumuman kemerdekaan Malaysia berlaku.
Di sini, anda bukan sahaja berkunjung untuk memperingati sejarah dan detik-detik penting untuk Malaysia. Anda juga boleh beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga. Masyarakat tempatan lebih mengenali Padang Merdeka ini sebagai Padang Bank yang pernah menempatkan Istana Kelantan. Kini ia sebuah tugu peringatan peperangan. Jangan lupa datang ke sini, terutamanya jika anda berada di Kelantan sekitar hujung bulan Mac. Bolehlah saksikan perarakan nanti.
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: 9am-6pm (setiap hari, tutup pada hari Jumaat)
47. Pantai Kemayang
Kalau anda berkesempatan untuk ke Bachok, Kelantan, pastikan anda kunjungi Pantai Kemayang, atau lebih dikenali sebagai Kemayang Lagoon oleh orang-orang di sini. Pantai yang merupakan sebuah lagoon ini dikelilingi oleh pemecah ombak buatan dengan batu-batu di susun sehingga ke tengah laut. Anda boleh berjalan sehingga ke hujung dan menikmati angin pantai dan pemandangan yang begitu menakjubkan.
Selain dari pemandangan dan suasana yang cantik, pantai Kemayang ini juga terkenal dengan seleksi makanan dan snek yang dijual di sini. Antara yang menjadi kegemaran ramai mestilah keropok lekor. Dikatakan juga anda perlu mencuba Maggi kari yang berbeza dari yang biasa kita makan. Taman permainan untuk kanak-kanak juga ada di sini. Marilah kunjungi Pantai Kemayang!
Alamat: Kemasin, 16300, Bachok, Kelantan
46. Masjid Sultan Ismail Petra
Masjid terbesar di negeri Kelantan, Masjid Sultan Ismail Petra adalah sebuah masjid indah yang dinamakan sempena nama Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra yang telah merasmikan masjid ini pada tahun 1992.
Masjid dengan gaya seni bina timur tengah ini bercat putih, dan dilengkapi dengan tingkap kaca yang besar pada bahagian atas dinding untuk membenarkan cahaya semula jadi dari luar melimpahi ruang dalam masjid. Limpahan cahaya dari luar ini menaikkan lagi seri keindahan masjid untuk memberikan ketenangan jiwa kepada yang datang bagi mengimarahkan masjid.
Mengenai kemudahan yang disediakan, masjid ini lengkap dengan ruang parking yang luas, ruang solat yang berpendingin hawa dan sebagainya.
Alamat: Jalan Kubang Kerian, 16150, Kota Bharu, Kelantan
45. Camp Site & Recreation Telaga Bijih
Camp Site & Recreation Telaga Bijih adalah sebuah kawasan tanah persendirian yang diusahakan sebagai tarikan ramai untuk berkelah atau berkhemah pada musim cuti.
Tarikan ini lengkap dengan tapat perkhemahan yang luas sehingga mampu memuatkan 500 orang pada satu-satu masa, dewan yang luas (lengkap dengan sistem audio), tandas awam, chalet, dewan memasak, padang arena, kolam mandian dan sebagainya.
Untuk memasuki kawasan rekreasi ini tiada sebarang caj yang dikenakan namun anda hanya perlu membayar RM3 untuk tiket parking dan sekiranya ingin menggunakan kemudahan wakaf yang disediakan untuk bersantai dengan lebih selesa bersama keluarga, caj yang dikenakan hanyalah serendah RM5.
Alamat: 30km dari Bandar Tanah Merah dan 10km dari kawasan Bebas Cukai Bukit Bunga, Kampong Tanah Merah, Kelantan
Bayaran: Parking RM3 | Wakaf RM5
44. Kedai Kopi White House
Dah puas berjalan, tiba-tiba tekak kehausan dan perut menggerodak lapar? Mai legakan tekak dan perut di Kedai Kopi White House. Kedai kopi klasik ini mula ditubuhkan dari sebelum merdeka iaitu dari tahun 1935 lagi! Namun ini bukanlah kawasan asal dari awal pembukaan kedai, kerana ianya telah berpindah ke lokasi sekarang pada tahun 1980. Ingin merasakan suasana klasik yang sebenar semasa bercuti di Kota Bharu, singgah sahaja ke Kedai Kopi White House ini, atmosferanya cukup menarik. Bagi sesiapa yang berjiwa lama tu, anda pasti tak akan dapat melupakan pengalaman bersantapan di sini.
Kalau dah melawat kedai makan tu, mesti nak tahu apa hidangan signaturenya kan? Sebagai kedai kopi, salah satu menu wajib cuba sudah semestinya kopinya sendiri yang dihasilkan dengan menggunakan resepi rahsia turun-temurun. Tak cukup secawan! Selain kopi, anda juga patut mencuba roti bakarnya yang boleh dinikmati sama ada dengan telur separuh masak, butter, kaya atau sebagainya.
Lokasinya, terletak tidak jauh dari Pasar Siti Khadijah dan Istana Jahar. Dah makan nanti barulah seronok nak teruskan penerokaan sekitar bandar yang padat dengan peninggalan lampau dan keindahan lanskapnya ni.
Alamat: 1329-L, Jalan Sultanah Zainab, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (8.00 am – 1.00 pm & 5.00 pm – Tengah Malam)
43. Air Terjun Jelawang
Air Terjun Jelawang adalah sebuah kawasan air terjun dengan beberapa tingkat yang merupakan antara kawasan air terjun yang tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara. Sebahagian air terjun ini terlindung daripada pandangan mata melainkan anda mendaki ke atas.
Namun begitu, pendakian boleh menjadi agak licin dan penuh dengan cabaran semak-samun, oleh itu, cara yang terbaik adalah untuk mendapatkan pemandu arah daripada Pejabat Taman. Jangan lupa! Dapatkan permit terlebih dahulu.
Memulakan pendakian, anda perlu menempuh perjalanan dalam sekitar 2 km atau 3 jam sebelum tiba ke Kem Baha. Anda boleh memilih untuk bermalam di sini sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan air terjun ketika matahari mula terbit.
Setibanya di kawasan air terjun, terdapat sebuah jambatan gantung yang boleh anda lalui dan bergambar sepuas hati dengan pemandangan air terjun sebagai latar belakang.
Alamat: Dabong Forest Reserve, Kelantan, 18200, Dabong, Kelantan
Bayaran:
- Masuk: RM2
- Hiking: RM5
42. Masjid Ar-Rahman
Salah satu perkara yang menyeronokkan sewaktu bercuti adalah apabila dapat melihat keindahan seni bina destinasi yang dilawati, terutama sekali bangunan yang dihasilkan dengan penuh ketelitian. Kalau di Kelantan, salah satu bangunan yang terindah untuk disaksikan di depan mata adalah Masjid Ar-Rahman yang terletak di Pulau Gajah.
Masjid yang didirikan di atas tanah wakaf ini adalah sebuah masjid yang dibina dengan menggunakan bahan yang kukuh seperti kayu jati dan cengal dengan gabungan seni bina nusantara Indonesia, Turki, Yemen dan Melayu Kelantan sendiri.
Jika dilihat dengan terperinci, anda dapat melihat ukiran ayat al-Quran pada kayu yang terletak di bahagian atas masjid. Perhiasan dalamannya juga banyak diimport daripada luar negara seperti batang pokok tamar dari Timur Tengah yang menghiasi ruang mimbar.
Tidak cukup dengan kehalusan seni binaan luar dan dalamnya, masjid ini turut dikelilingi oleh tasik indah yang membuatkan ia kelihatan seolah-olah terapung. Untuk menuju ke sini, anda perlu melalui jalan kampung berdekatan dengan kawasan pantai.
Alamat: Kampung Pulau Gajah, Pulau Gajah, 16100 Kota Bharu, Kelantan
41. Bazar Tok Guru
Sebagai negeri yang terkenal dengan perniagaannya ini, sudah semestinya banyak lokasi membeli-belah untuk anda lawati. Tahukah anda, selain Pasar Siti Khadijah, pusat membeli-belah lain yang terkenal dan dikatakan paling luas di Kelantan adalah Bazar Tok Guru?
Di dalam bazar yang dibuka pada tahun 2011 ini anda boleh menemui sehingga lebih daripada 400 buah lot kedai yang menempatkan pelbagai jenis produk yang merambangkan mata kaum wanita seperti kain ela, telekung, baju kurung, tudung dan sebagainya.
Bukan sekadar menawarkan banyak pilihan, bazar ini turut lengkap dengan pelbagai prasarana penting yang menjadikan ianya mesra pengunjung seperti kaunter ATM, lif, medan selera, tempat meletak kereta, perhentian bas / teksi, surau dan kaunter penerangan pelancongan.
Alamat: Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm)
40. Rumah Api Pantai Senok
Ingin menikmati ketenangan yang tidak berbelah bahgi? Datanglah ke Rumah Api Pantai Senok. Dari sini, anda dapat menyaksikan suasana penuh ketenangan lautan biru yang terbentang luas di samping pemandangan nelayan yang pulang dari menangkap ikan.
Panorama ini disempurnakan lagi dengan cahaya indah ketika mentari mula terbenam. Jangan melepaskan peluang untuk merakamkan saat-saat ini melalui lensa kamera anda!
Sambil menikmati ketenangan di sekitar kawasan pantai, anda juga boleh melakukan aktiviti seperti berbbq atau bercamping di tepian pantai ataupun di bawah pokok rhu.
Alamat: 16020 Kota Bharu, Kelantan
39. Zon Bebas Cukai Rantau Panjang
Tiada yang lebih menyeronokkan daripada bershopping dalam harga murah yang bukan kepalang! Di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, anda boleh menemui bermacam barangan seperti pinggan mangkuk, pakaian sukan, aksesori, tudung, toto, kasut, permainan kanak-kanak dan sebagainya.
Disebabkan jualan murah dan barangan yang tak terkira banyaknya ini, Rantau Panjang menjadi antara destinasi yang paling sibuk di Kelantan dengan waktu kemuncak antara 11 pagi ke 4 petang.
Dah puas bershopping, bolehlah singgah ke mana-mana kedai makan yang berselerak di sekitar. Dari masakan tempatan hinggalah Thailand, anda pasti tak akan kecewa.
Alamat: Jalan Hilir Pasar, Kampung Rantau Panjang, 17200, Rantau Panjang, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 8.00 pm)
38. Masjid Kampung Laut
Tercari-cari masjid yang kaya dengan nilai sejarahnya sendiri? Mai singgah ke Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri.
Dibina tanpa menggunakan walau sebatang paku, masjid ini pada asalnya dibina pada sekitar tahun 1730-an oleh sekumpulan mubaligh. Namun begitu, masjid ini telah dialihkan daripada kedudukan asalnya iaitu di Kampung Laut, Tumpat setelah berlakunya banjir besar yang mengakibatkan kerosakan.
Kerosakan ini walau bagaimanapun tidak memberikan kesan kepada struktur asal bangunan yang masih kekal asli. Pada akhir abad ke-19, masjid ini telah diperbesarkan dengan tambahan sebanyak 20 batang tiang untuk mengukuhkan struktur.
Alamat: Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan
37. Pasar Besar Siti Aishah Jelawat
Sekiranya anda makan angin di sekitar Bachok, jangan lupa untuk singgah ke Pasar Besar Siti Aishah Jelawat. Di sini, anda boleh membeli bermacam jenis makanan laut, buah-buahan, sayuran segar dan sebagainya dalam harga yang cukup berpatutan jika dibezakan dengan pasar basah lain di Kelantan.
Dah puas membeli, anda boleh memilih mana-mana gerai makan yang menjual aneka juadah menyelerakan untuk menghilangkan lapar dan memuaskan deria rasa.
Alamat: Jelawat, 16070 Bachok, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.30 am – 3.00 pm)
36. Gunung Stong
Gunung Stong adalah sebuah tarikan alam yang menjadi pilihan ramai pencinta aktiviti mendaki kerana cabaran yang ditawarkannya di samping kekayaan flora dan fauna. Bukan itu sahaja, di sini jugalah terletaknya salah sebuah air terjun bertingkat yang terkenal di Kelantan iaitu Air Terjun Jelawang.
Kedudukan puncaknya juga cukup tinggi sehingga mencecah 1422 meter. Mustahil untuk tiba ke kemuncak tanpa rasa lelah, pendaki digalakkan untuk bermalam di Kem Baha yang terletak pada ketinggian 466 meter, dalam sekitar 2 jam perjalanan dari tempat meletak kereta.
Untuk menuju ke puncaknya, masa yang diambil dari Kem Baha adalah dalam sekitar 3 jam. Tiba di kawasan puncak, anda dapat menyaksikan pemandangan laut China Selatan serta kepulan awan yang mendinginkan suasana.
Alamat: Gunung Stong, Dabong, Kelantan
Bayaran:
- Hiking: RM5
- Air Terjun Gunung Jelawang: RM3
- Pondok Campsite: RM10/Pax Semalaman
- Tapak Perkhemahan: RM3/Pax
35. Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor
Tidak cukup lagi bershopping sakan di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang? Jangan risau, tempat shopping di Kelantan ni macam tiada penghujungnya. Lokasi seterusnya untuk anda menipiskan poket adalah di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor.
Di sini, anda boleh membeli pelbagai jenis barangan dalam harga murah seperti periuk belanga, tilam, coklat, pakaian, jersi, handbag replika dan macam-macam lagi.
Jangan lupa survey habis-habisan sebelum membeli, dan semasa membeli, wajib nego! Kalau anda pandai kecek Kelate, bertambah senanglah nak dapat harga murah.
Lokasinya, hanyalah dalam sektiar 6 km dari Pantai Sri Tujoh dan berdekatan dengan sempadan negara Thailand.
Alamat: Tumpat, 16080, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 5.30 pm)
34. Bazar Buluh Kubu
Bazar Buluh Kubu adalah sebuah tarikan membeli-belah yang terletak di dalam sebuah bangunan lama. Nampak tidak bermaya, namun jangan terkejut, pilihan kedai dan barangan di dalamnya cukup melampau banyaknya. Dari jualan kain ela, pakaian siap seperti baju batik dan baju kelawar, kain songket, kraftangan Kelantan dan sebagainya, anda tidak akan kecewa dengan pilihan yang ada.
Untuk menuju ke sini, anda perlu melalui jalan di sebelah Parkson dari arah yang bertentangan dengan Pasar Siti Khadijah dan lalu bangunan yang berbentuk kubah di mana anda dapat melihat kemeriahan suasana berjual-beli bazar ini.
Alamat: Jalan Buluh Kubu, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 9.00 pm)
33. Air Terjun Jeram Linang
Air Terjun Jeram Linang adalah kawasan air terjun yang paling awal dibangunkan oleh kerajaan Negeri Kelantan.
Cukup sempurna untuk dilawati bersama keluarga kerana segala kemudahan sudah disediakan, antaranya adalah surau, ruang rehat, tandas awam, restoran dan tempat meletak kereta. Untuk aktiviti pula, kawasan perkhemahan turut disediakan.
Waktu yang terbaik untuk anda melawati kawasan air terjun ini adalah dari bulan April hingga September ketika cuaca cerah tanpa hujan.
Alamat: Lata Jeram Linang, 16800 Pasir Puteh, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 6.00 pm)
32. Jeram Pasu
Terletak dalam sekitar 16 km dari Bandar Pasir Puteh, Jeram Pasu adalah tarikan alam yang agak terkenal dalam kalangan penduduk setempat kerana keindahannya dan juga kemudahan yang disediakan.
Antara fasiliti yang ada adalah seperti surau, tempat meletak kereta, ruangan rehat, tandas awam, gerai dan restoran untuk menjamu selera serta kolam mandian.
Untuk beraktiviti, anda boleh menggunakan trek hutan yang disediakan. Dah sampai di kawasan air terjun, anda sekeluarga boleh terus terjun ke dalam kolam-kolam buatan atau menaiki gelongsor-gelongsor yang ada untuk menikmati keseronokan luar biasa.
Alamat: Jeram Pasu, 16800, Pasir Puteh, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 6.00 pm)
31. Kolam Air Panas Tok Bok
Nikmati terapi alam semula jadi di Kolam Air Panas Tok Bok yang terletak di Kampung Rengas. Tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran, anda boleh berendam badan di dalam kolam yang disediakan dan membiarkan kulit menyerap segala khasiat yang dimiliki sambil menikmati pemandangan bukit-bukau yang mendamaikan jiwa.
Untuk pengetahuan anda, air kolam air panas ini dapat memberi kebaikan kepada kesihatan kulit dan membantu melancarkan peredaran darah.
Yang menariknya lagi, destinasi ini menawarkan dua buah kolam berbeza yang mengasingkan lelaki dan wanita untuk memberikan keselesaan optimum. Kemudahan lain yang disediakan adalah tempat persalinan pakaian dan juga tandas.
Setelah puas merasai kesegaran air panas, sebelum pulang, anda boleh menikmati makanan yang dijual di gerai kecil yang dibuka di sekitar.
Alamat: Kampung Rengas, Labok, 18500, Machang, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari
Harga Tiket: Percuma (Derma Ikhlas)
30. Muzium Wau
Bila singgah ke Muzium Wau, baru anda tahu sebenarnya wau ini bukan hanya wujud di negeri-negeri pantai timur, tapi hampir seluruh negeri di Malaysia dan masing-masing memiliki keunikan yang tersendiri.
Antara jenis wau yang dapat dilihat dipamerkan di sini adalah Wau Kenyalang (Sarawak), Wau Puyuh (Kelantan), Wau Kikik (Melaka), Wau Seri Bulan (Perak), Wau Helang (Perlis dan Terengganu) dan banyak lagi.
Turut dapat dilihat dipamerkan di sini adalah wau yang didatangkan dari negara lain seperti Kemboja, Jepun dan Thailand. Kalau bernasib baik, anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi pembuatan wau daripada pembuat wau yang mahir.
Alamat: Pantai Sri Tujoh, 16200, Tumpat, Kelantan
Waktu Operasi: Sabtu – Rabu (8.30 am – 4.45 pm) | Khamis (8.30 am – 3.30 pm) | Jumaat (Tutup)
Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
29. Taman Perbandaran Tengku Anis
Taman Perbandaran Tengku Anis adalah sebuah tarikan yang terletak hanya 3 km dari bandar Kota Bharu dan berhadapan dengan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKKN.
Taman indah ini telah dibina sebagai tanda penghargaan kepada isteri kepada Sultan Ismail Petra (KDYMM Sultan Kelantan ke-28) iaitu Tengku Anis yang telah banyak melakukan kerja amal demi kebajikan rakyat jelata negeri Kelantan.
Antara fasiliti yang terdapat di dalam taman ini adalah trek jogging, taman permainan kanak-kanak, peralatan senaman, gelanggang sepak takraw, gelanggang bola tampar dan menara tinjau.
Sudah puas berjalan di sekitar taman, anda sekeluarga juga boleh berseronok di dalam taman tema airnya yang hanya mengenakan caj sebanyak RM1.
Alamat: Taman Perbandaran Tengku Anis, 15400 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00 am – 7.00 pm)
Harga Tiket: Taman Tema Air – RM1
28. Jeram Mak Nenek / Jeram Mengaji
Jeram Mak Nenek atau nama lainnya Jeram Mengaji adalah sebuah tarikan yang menjadi pilihan ramai penduduk setempat untuk meluangkan hujung minggu dengan aktiviti perkelahan atau mandi-manda.
Sebab lain yang menjadikan jeram ini popular adalah kerana kedalaman airnya yang selamat untuk digunakan kanak-kanak. Kalau bernasib baik, anda mungkin dapat berenang bersama-sama ikan yang ada di dalam sungai.
Sebagai tarikan yang terkenal, pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pengunjung seperti tempat duduk, tapak perkhemahan dan banyak lagi.
Alamat: Selising, Pasir Puteh, 16800, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 6.00 pm)
27. Sungai Kenerong Dabong
Sungai Kenerong Dabong adalah sebuah tarikan yang sungguh nyaman ditambah lagi dengan kedudukannya yang berdekatan dengan pusat tahfiz iaitu Madrasah Tarbiah al-Aulad, mana tak sejuknya kan?
Sambil merasai suasana nyaman di kawasan air sungai yang jernih, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti water tubing, berakit atau berkayak.
Jika sehari masih tidak cukup untuk menghirup oksigen segar di sini, anda boleh bermalam di tapak perkhemahan yang disediakan. Bukan sekadar sebatang sungai, cukup banyak tarikan lain yang boleh anda terokai seperti pendakian sehingga ke puncak Gunung Stong, memasuki kawasan gua-gua yang terdapat di sini dan banyak lagi.
Alamat: Kampung Jelawang, 18200, Dabong, Kelantan
26. Pantai Melawi
Pantai Melawi adalah salah satu destinasi di mana anda dapat menikmati panorama terindah di saat matahari terbenam di Bachok. Bukan itu sahaja, anda turut dapat menyaksikan keindahan ini dalam suasana penuh ketenangan memandangkan ianya agak kurang dijejaki orang ramai.
Setelah puas menikmati kedamaian di kawasan pantai, anda boleh makan angin di kawasan perkampungan di sekitarnya yang juga aman dari kehadiran pengunjung.
Lokasinya, terletak berdekatan dengan Tok Bali dan hanyalah dalam sekitar 45 minit pemanduan dari Kota Bharu.
Alamat: Pantai Melawi, Bachok, Kelantan
25. Gua Ikan (Kompleks Gua)
Gua Ikan adalah nama kepada salah satu gua yang terdapat di kompleks gua Bukit Batu Kapur. Gua ini dikatakan mendapat namanya disebabkan oleh kehadiran ikan di dalam air yang mengalir di dalam gua. Namun, ada juga teori lain yang mengatakan nama gua tersebut adalah disebabkan oleh bentuk bukit ini sendiri yang kelihatan seakan-akan seekor ikan.
Untuk meneroka gua-gua yang terdapat di sini, anda dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat pemandu arah yang ditawarkan di sini atau mungkin juga daripada Gunung Stong.
Alamat: Kuala Gris, 18200, Dabong, Kelantan
24. Taman Air Splash
Taman Air Splash terletak di dalam lokasi yang agak tersembunyi dari pandangan ramai walaupun berada di dalam bandar Kota Bharu, menjadikan ianya sebuah ‘hidden germ’ atau permata tersembunyi di Kelantan.
Di dalam taman air ini terdapat 3 buah kolam yang berbeza tahap kedalamannya untuk memberi keselesaan kepada semua pengunjung yang datang dalam pelbagai peringkat usia.
Sudah puas bermandi-manda, pasti rasa lapar punyakan? Untuk menghilangkan kelaparan, ada banyak pilihan makanan yang boleh anda dapati dari medan selera taman air ini.
Kemudahan lain yang disediakan adalah tandas awam, surau, taman permainan kanak-kanak dan juga tempat meletak kereta.
Alamat: Jalan Kuala Krai, 15000, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 7.00 pm) | Tutup Sementara (1.00 pm – 2.00 pm)
Harga Tiket: Ibu Bapa / Penjaga RM3 | Kanak-Kanak (6 Tahun & Kebawah) RM5 | Kanak-Kanak (7 – 12 Tahun) RM6 | Kanak-Kanak (12 Tahun & Keatas) RM7
23. Masjid Brunei (Masjid Terapung Pasir Mas)
Masjid Brunei yang turut digelar sebagai Masjid Terapung Pasir Mas adalah sebuah masjid yang dibina pada tahun 1970-an sebagai lambang persahabatan antara bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamed bin Nasir dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada ketika itu.
Terletak di tepian Tasik Danau Tok Uban, pemandangan yang dapat disaksikan setibanya anda di sekitar kawasan masjid ini sungguh mempesonakan. Keserian masjid ini ditambah lagi dengan seni binanya yang begitu indah dengan ilham daripada Asia Barat dan Melayu Brunei klasik serta warnanya yang putih bersih.
Alamat: Jalan Kampung Rong Chenok, Danau Tok Uban, 17040, Pasir Mas, Kelantan
22. Pasar Tani Terapung Pengkalan Datu
Ya, bukan satu tapi ada dua buah pasar terapung di Kelantan, masih terfikir-fikir lagi nak bercuti ke Kelantan atau tidak? Pasar terapung seterusnya ini adalah Pasar Tani Terapung Pengkalan Datu.
Di sini, anda dapat menemui pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan dan makanan moden lain dalam harga berpatutan.
Sambil itu, anda turut dapat menikmati pemandangan mengasyikkan yang terbentang di depan mata iaitu sungai yang mengalir tenang serta suasana unik pasar terapung yang cukup menarik untuk dijadikan subjek foto.
Alamat: Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa, 16150, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Â Sabtu (8.00 am – 2.00 pm)
21. Menara Jam Tambatan Diraja
Menara Jam Tambatan Diraja adalah sebuah tarikan berketinggian 150 kaki yang dibuka kepada orang awam untuk menyaksikan pemandangan tanpa batasan di sekitar bandar Kota Bharu serta Sungai Kelantan.
Lokasinya, terletak berdakatan dengan Padang Merdeka yang boleh anda singgahi selepas puas menikmati pemandangan untuk berekreasi bersama keluarga.
Alamat: Jalan Sultan, 15400, Kota Bharu, Bandar Kota Bharu, 15000, Kelantan
Waktu Operasi: Â Ahad – Khamis (8.00 am – 12.00 pm & 2.00 pm – 5.00 pm) | Jumaat & Sabtu (8.00 am – 12.00 pm & 2.30 pm – 5.00 pm)
Harga Tiket: Dewasa RM1 | Kanak-Kanak RM0.50
20. Jambatan Keretapi Guillemard
Jambatan yang diperbuat daripada besi, Jambatan Keretapi Guillemard adalah sebuah jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia.
Dibina pada tahun 1920 dan siap pada bulan Julai 1924, jambatan ini merentasi Sungai Kelantan iaitu dari Paloh Rawa, Machang sehinggalah ke Kursial di Tanah Merah.
Jambatan yang berkepanjangan 609.6 meter ini pernah hancur diletupkan oleh tentera British untuk menghalang kemaraan tentera Jepun. Namun, sebaik tamat Perang Dunia Kedua, jambatan ini diperbaiki dan dibuka semula pada tahun 1948.
Kenapa anda perlu datang ke sini?
Bukan hanya kerana statusnya sebagai jambatan keretapi terpanjang di Malaysia, tapi juga kerana warna hitam jambatan ini yang membangkitkan aura klasik, cukup menarik untuk dijadikan subjek atau latar belakang foto anda.
Alamat: Jalan Kampung Kursial, 17500, Tanah Merah, Kelantan
19. Pantai Irama
Pantai ini dianggap sebagai pantai yang tercantik di Kelantan kerana keindahan air lautnya yang jernih kebiruan. Diberikan nama Pantai Irama kerana bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa yang dihasilkan pantai ini.
Untuk pengetahuan anda, pantai ini selalu dijadikan tempat keramaian untuk penduduk tempatan. Anda boleh bermain sukan air atau mengajak keluarga anda beramai-ramai untuk membuat bbq di sini.
Anda juga boleh singgah ke KFC yang terletak betul-betul di tepi Pantai Irama ini. Setiap malam Jumaat pula terdapat pasar malam yang terletak di depan masjid berdekatan pantai untuk membeli makanan masyarakat tempatan ataupun kudapan untuk dimakan sambil menikmati pemandangan pantai.
Alamat: Bachok, 16300, Kelantan
18. Wakaf Che Yeh
Ada dua konsep perniagaan di Wakaf Che Yah ni, pada waktu siang Wakaf Che Yah adalah pasar borong yang menawarkan pelbagai barangan asas dan basah, bila menjelang malam pula, ia menjadi pasar malam yang penuh dengan pelbagai jenis barangan terutama sekali pakaian seperti kain pasang dan tudung.
Barangan-barangan lain yang dijual di sini adalah seperti jersi bola sepak, jam tangan replika, tuala, kasut bundle, toto dan banyak lagi. Hati-hati kalau datang ke sini, sedar tak sedar, boleh licin duit poket.
Alamat: Wakaf Che Yeh, 15150 Kota Bharu, Kelantan
17. Pantai Cahaya Bulan
Sebuah lokasi pelancongan yang perlu dilawati sekiranya ke Kelantan. Sangat seronok untuk bersiar-siar bersama keluaga di waktu petang sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Lagi syok kalau anda melepak di pantai sambil menikmati jagung rebus yang banyak dijual sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke pantai ini. Dah puas makan jagung, boleh rasa ‘colek’ atau air kelapa yang dijual di tepi pantai pula, baru terasa nikmat bersantai di tepi Pantai Cahaya Bulan yang indah ni.
Anak-anak juga boleh bermain layang-layang yang turut dijual di sini. Kemudahan seperti surau dan tandas awam tersedia untuk orang kegunaan orang ramai.
Alamat: Banggol, 15350 Kota Bharu, Kelantan
16. Muzium Adat Istiadat
Kalau teringin nak berkahwin dengan orang Kelantan, apa kata anda singgah ke sini dulu, sekurang-kurangnya dapatlah anda tahu sedikit sebanyak tentang adat dan sejarah masyarakat Kelantan, baru sejuk hati ibu dan ayah mertua, tak gitu?
Muzium Adat Istiadat ini terletak di Istana Jahar yang siap dibina pada tahun 1887, ia juga merupakan tempat bersemayamnya Al-Marhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad ke IV (1920 – 1944).
Di sini anda dapat melihat pameran adat DiRaja seperti adat pijak tanah, pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Kalau anda berjalan sehingga ke bahagian belakang istana pula terdapat Balai Senjata yang mana anda dapat melihat senjata-senjata lama yang digunakan di Negeri Kelantan macam kelewang, badik, keris dan lembing.
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
15. Pantai Bisikan Bayu
Nama lain bagi pantai ini ialah Pantai Dalam Rhu, jarak antara pantai ini dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu adalah dalam 50 km. Di sepanjang pantai ini terdapat pohon cemara yang apabila ditiup bayu pantai menghasilkan bunyi yang menenangkan perasaan.
Memang syok untuk anda menikmatinya sendiri sambil minum air kelapa, nak berkelah atau berkhemah, buatlah yang mana anda suka, yang penting anda dan keluarga dapat berseronok.
Untuk beraktiviti pula, kalau anda sukakan aktiviti ekstrem, pada musim-musim tertentu seperti musim Monsun Utara-Timur pada bulan November-April, anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti meluncur angin.
Alamat: Pasir Putih, Kelantan, 16800, Pasir Puteh, Kelantan
14. Muzium Negeri Kelantan
Bangunan muzium ini pada asalnya adalah pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu, namun pada 6 Ogos 1990, bangunan ini telah dirasmikan sebagai Muzium Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.
Bahagian dalam muzium ini telah disusun atur yang mana bahagian pertama menunjukkan sejarah negeri Kelantan dari zaman dahulu sehingga ke zaman moden. Di bahagian yang seterusnya pula yang terletak di tingkat atas terdapat pameran seni budaya Kelantan seperti makyong, wayang kulit, rebana ubi dan lain-lain.
Alamat: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Jalan Hospital, 15000, Kota Bharu, Kelantan
Bayaran Masuk: Dewasa RM5.00 | Kanak-kanak RM3.00
13. Pantai Sri Tujuh
Dinamakan Sri Tujuh kerana pantai ini memiliki 7 buah teluk. Terletak berdekatan dengan Stesen Keretapi Tumpat, sekiranya anda datang dari Kuala Lumpur, anda boleh menaiki kereta api dengan bayaran sebanyak RM32.
Setibanya di sini nanti anda boleh menginap di resort terapung, Resort Sri Tujuh yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tempat bermain futsal, golf dan kolam mandi. Sebenarnya lebih baik mandi di kolam yang disediakan resort kerana ombak pantai ini agak kuat.
Antara aktiviti lain yang anda boleh lakukan sewaktu di pantai ini adalah seperti memancing ikan dan berkhemah.Kalau anda nak bersantai di gerai-gerai makanan di tepi pantai ini pun seronok juga sambil bertemankan bayu laut dan pemandangan indah.
Alamat: Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan
12. Muzium Diraja Istana Batu
Dibina pada tahun 1939 oleh Sultan Ismail I untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya Yahya Petra sempena perkahwinannya dengan Raja Perempuan Zainab II. Digunakan sebagai tempat bersemayan Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960.
Muzium Diraja Istana Batu ini merupakan destinasi yang perlu dilawati untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang keluarga DiRaja negeri Kelantan dan bagaimana suasana di dalam istana yang pernah menjadi tempat kediaman kerabat DiRaja pada zaman dahulu.
Terletak tidak jauh dari muzium ini adalah Masjid Muhammadi Masjid Negeri dan Istana Balai Besar Kampung Kraftangan.
Alamat: Jalan Tengku Puteri, 15300, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat 8.30am – 4.45pm
Bayaran Masuk: Kanak-kanak RM0.50 | Dewasa RM1.00 | Pelancong Asing RM2.00
11. Pantai Tok Bali
Asal-usul nama Tok Bali ini memiliki kisah di sebaliknya, sahih atau tidak, tak dapat dipastikan, tapi mengikut kepercayaan ramai masyarakat setempat, nama Tok Bali ini berasal daripada nama seorang nelayan dari Bali yang terdampar di pesisiran pantai ini pada suatu ketika dahulu kerana perahunya karam. Nelayan itu tinggal di sini buat beberapa tahun sebelum pulang ke negeri asalnya.
Sekiranya anda datang ke destinasi menarik ini dari Kota Bharu, masa yang diambil adalah sekitar 45 minit. Pantai ini merupakan tempat di mana para nelayan menurunkan ikan, sotong dan udang yang segar hasil tangkapan mereka.
Untuk anda yang suka memancing, apa kata kalau anda menyewa bot persendirian sekiranya datang ke sini, dapatlah anda rasa pengalaman memancing di tengah laut. Kalau tak berani nak ke tengah laut, berkelah di tepi pantai pun sudah memadai untuk menikmati keindahan pantai ini.
Alamat: Tok Bali, 16700, Pasir Puteh, Kelantan
10. Muzium Perang Bank Kerapu
Dibina pada tahun 1912 dan menjadi bangunan memorial mulai tahun 1992. Bangunan memorial ini dipenuhi dengan artifak dan gambar-gambar untuk memperingati Peperangan Dunia Kedua yang mana peperangan ini telah memberi kesan yang besar kepada negeri Kelantan kerana di sinilah bermulanya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu iaitu pada 8 Disember 1941 di Kuala Pak Amat Kota Bharu.
Pada asalnya, bangunan ini digunakan sebagai bank perdagangan dan digelar Kerapu disebabkan keadaan dindingnya yang menggerutu. Namun, semasa kedatangan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945 bangunan ini menjadi ibu pejabat kempetai Jepun dan selepas peperangan bangunan ini diubah menjadi bank semula.
Alamat: Jalan Pejabat Pos Lama, 15300, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm)
Bayaran Masuk: Warganegara RM1.00 | Bukan Warganegara RM2.00
9. Gelanggang Seni
Terdapat pelbagai aktiviti budaya yangdipamerkan di Gelanggang ini seperti wayang kulit, pembuatan wau, silat, permainan gasing, Rebana dan lain-lain lagi.
Apalah gunanya kalau datang bercuti ke Kelantan tanpa melihat sendiri kekayaan budaya tradisional Kelantan ni. Kalau anda nak tahu lebih lanjut lagi tentang butir-butir aktiviti yang dijalankan di Gelanggang Seni, anda boleh mendapatkan maklumat dari pusat pelancongan.
Alamat: Jalan Mahmood, 15200, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Persembahan: Sabtu & Isnin (3.30 pm – 5.30 pm) | Rabu (3.30 pm – 5.30 pm & 9.00 pm – 11.00 pm)
8. Muzium Islam
Muzium yang berbentuk seperti masjid ini terletak di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu, muzium ini juga berdekatan dengan lokasi bersejarah iaitu Bank Kerapu. Anda boleh membawa anak-anak ke sini untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang asal-usul agama Islam di tanah Kelantan.
Terdapat banyak dokumen-dokumen dan artifak-artifak yang bersejarah yang menjadi bukti pengaruh agama Islam sehinggakan Kelantan mendapat gelaran sebagai Serambi Mekah. Di muzium ini anda dapat melihat pameran tentang tokoh-tokoh agama Islam, mufti-mufti negeri ini, seni-seni Islam dan lain-lain lagi.
Alamat: Jalan Masjid, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm)
7. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail
Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Beijing kerana senibinanya yang menyerupai masjid bersejarah, Masjid Niujie yang terletak di Beijing, China yang berusia lebih daripada 1000 tahun. Bumbung masjid ini berbentuk melengkung dan menaranya pula seperti memiliki serban yang dililit dengan unik.
Dibina pada tahun 2005 dan dirasmikan pada tahun 2009. Mempunyai dua tingkat dengan tingkat yang pertama untuk kegunaan awam seperti dewan makan, klinik, dewan serbaguna dan perpustakaan masjid. Tingkat yang kedua pula adalah ruangan sembahyang.
Alamat: Jalan Kampung Rantau Panjang, 17200 Rantau Panjang, Kelantan
6. Masjid Muhammadi
Masjid yang begitu penting di Kelantan ini telah dibina pada tahun 1867 dengan hanya menggunakan kayu-kayu yang terbaik namun diubah kepada konkrit pada tahun 1922.
Masjid Muhammadi ini dapat menampung 2400 orang jemaah pada satu-satu masa. Dianggap sebagai masjid yang memainkan peranan yang sangat penting kerana di sinilah tempat di mana ramai ulama-ulama besar Kelantan pernah mengajar seperti Haji Wan Ali Kutan, Tuan Taba dan Tok Kenali.
Kerana kemahsyuran masjid ini sebagai tempat penyebaran ilmu agama di Nusantara, Kelantan mula terkenal sebagai Serambi Mekah.
Alamat: Jalan Sultanah Zainab, 15000, Kota Bharu, Kelantan
5. Kota Sultan Ismail Petra
Kota ini adalah tempat tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan. Kalau tak ke sini, tak lengkaplah perjalanan anda di Kelantan, sebabnya, di sinilah terletaknya banyak sekali monumen-monumen yang bersejarah seperti Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar. Anda boleh berjalan kaki di sekitar kota ini untuk melawat kesemua lokasi-lokasi bersejarah di sini.
Sebaik anda masuk ke Kota Sultan Ismail Petra, anda akan disambut oleh Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal yang menjadi lambang kemegahan ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Terdapat banyak lokasi menarik untuk dilawati di sekitar Menara ini antaranya Padang Merdeka, Istana Balai Besar dan Bank Pitis.
Lokasi lain yang patut anda sekeluarga lawati juga kalau ke kota ini adalah seperti Muzium DiRaja, Masjid Muhammadi dan Kampung Kraftangan.
Alamat: D1, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
4. Muzium Kraftangan
Terletak di pusat bandar Kota Bharu, kalau anda datang melancong ke negeri ini, memang wajib untuk anda singgah ke muzium ini kerana di sini anda dapat melihat pelbagai jenis hasil tangan kreatif dan barangan tradisional Kelantan.
Barangan-barangan ini boleh dijadikan hiasan di rumah anda kalau anda ingin mewujudkan suasana klasik di mana-mana sudut rumah dengan barangan seperti songket, ukiran kayu, buluh, raga, anyaman rotan dan bermacam lagi jenis cenderamata.
Alamat: Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, Off Jalan Belakang Istana, Kelantan, 15000 Kota Bharu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00 am – 5.00 pm) | Jumaat (Tutup)
Harga Tiket: Mencanting Batik RM10
3. Lata Beringin
Sebuah air terjun yang sangat indah di Kelantan dengan ketinggian sebanyak 120 meter, ia merupakan salah satu daripada air terjun yang tertinggi di Kelantan.
Antara aktiviti yang boleh anda sekeluarga lakukan sekiranya datang ke sini adalah seperti jungle trekking, berkhemah, memancing dan berkelah. Kalau anda yang sukakan fotografi juga, disyorkan untuk anda melawat air terjun ini kerana pemandangannya yang sangat menyejukkan mata.
Alamat: Sungai Pas, Kuala Krai
2. Taman Negara Kuala Koh
Taman Negara Kuala Koh ini adalah yang terbesar di Malaysia dan meliputi 3 negeri, Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan keluasan sebanyak 4343 kaki persegi.
Hutan hujan tropika yang berusia lebih kurang 130 juta tahun ini dapat memberikan pengalaman penerokaan yang sebenar. Di sini anda mungkin dapat menemui haiwan-haiwan liar dan sekiranya anda bernasib baik, mungkin anda dapat melihat gajah yang berada di dalam hutan ini.
Antara aktiviti lain selain jungle trekking, anda boleh berakit ataupun memancing ikan di sungai yang tenang di hutan ini. Waktu yang terbaik untuk melawat Taman Negara ini adalah pada bulan April sehingga Oktober.
Alamat: Kuala Koh, 18300, Gua Musang, Kelantan, Malaysia
1. Pasar Siti Khadijah
Siapa tak kenal pasar yang mahsyur di Kelantan ni, di sinilah syurga membeli-belah untuk wanita. Bermacam-macam benda yang dijual di Pasar Siti Khadijah ini, dari barangan kraftangan, pakaian, barang kemas, alat solek, barang sulaman, permainan dan macam-macam lagi, bukan setakat barangan, malahan makanan pun pelbagai jenis seperti kuih-muih Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah ratus dan lain-lain.
Kalau nak membeli-belah di sini, anda akan mendapat harga yang special kalau membeli secara borong, bolehlah beli untuk saudara-mara atau geng-geng pejabat, kalau nak murah lagi, anda boleh cuba untuk bertawar-menawar dengan peniaga.
Kalau dah penat mencuci mata melihat barang-barang di pasar ni, anda boleh menjamu selera di medan selera yang terdapat di tingkat satu bangunan ini. Boleh rambang mata anda melihat kepelbagaian jenis makanan yang terdapat di sini seperti laksam Kelantan, mee celup, nasi atau mee sup perut, pergh semua sedap-sedap, mesti puas punyalah!
Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap hari (7.00am – 6.00pm)
Kalau anda masih terfikir-fikir ke mana nak pergi pada musim cuti sekolah nanti, apa kata kalau ke Kelantan?
Negeri yang terletak di pantai timur ini ternyata banyak tarikannya seperti tempat untuk bershopping dengan pasar-pasarnya yang terkenal dan meriah, tempat menenangkan fikiran di pantai dan hutan yang terjaga dengan baik, pusat-pusat kesenian yang mana anda sekeluarga dapat mempelajari dan melihat sendiri budaya tradisional masyarakat Kelantan dan tempat-tempat bersejarah.
Mesti anak-anak anda seronok dengan bermacam tarikan yang ditawarkan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Apa-apa pun jangan lupa untuk melawat booking.com kalau anda nak bercuti ke Kelantan, sebab di laman web ini anda akan mendapat tawaran harga tempat penginapan dengan harga yang terbaik! Bajet yang selebihnya boleh digunakan untuk menikmati percutian anda sekeluarga di sini nanti.
Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca artikel ini, diharapkan senarai tempat-tempat menarik di Kelantan ini dapat membantu anda merancang perjalanan anda di sana nanti. Semoga percutian anda di Kelantan nanti menjadi memori yang terindah untuk anda sekeluarga.