Syoknya kalau dapat bercuti ke sebuah destinasi yang meriahkan? Kalau ini yang anda cari, bercutilah ke Kota Bharu, bandar yang terletak di dalam negeri Kelantan ini begitu happening bukan hanya kerana penduduknya yang ramah, tapi juga kerana suasana yang sentiasa hidup dengan aktiviti berjual-beli.
Selain ini semua, Kota Bharu juga adalah bandar yang memiliki paling banyak tarikan terkenal di Kelantan, daripada istana-istana lama, muzium-muzium dalam bangunan klasik, hinggalah kepada kedai-kedai makan yang best, Kota Bharu adalah sebuah destinasi dengan pakej percutian yang lengkap dari A ke Z.
Dalam artikel kali ni, Mai Singgah senaraikan 30 tempat menarik di Kota Bharu yang wajib dilawati semasa bercuti ke sana nanti. Jangan skip! Mesti pergi semuanya!
30. Street Art Kota Bharu
Fenomena Street Art bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, kebanyakan kota di negara ini telah menawarkan street art tersendiri. Bagaimanapun, setiap street art yang dipaparkan di setiap destinasi pastinya istimewa untuk sesuatu tempat itu. Di Kota Bharu, mereka turut menawarkan street art yang mencerminkan budaya dan identiti negeri Kelantan.
Laluan seni yang dijayakan oleh Majlis Pembandaran Kota Bharu ini telah pun wujud sejak tahun 2016 dan merupakan kolaborasi antara Persatuan Seni Lukis Kelantan dan syarikat cat, Jotun. Terdapat 3 tema berbeza di street art ini iaitu Palestin Art Corner, Batik dan Seni dan Budaya. Warna-warni laluan ini menjadikan setiap incinya spot bergambar yang ideal. Jadi, jika anda ke Kota Bharu, pastikan anda mengambil masa untuk singgah ke sini.
Alamat: Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
29. Pantai Nusuk
Jika anda sukakan pantai, pastikan anda singgah ke Pantai Nusuk di Kota Bharu. Buat pengetahuan anda, Pantai ini dulunya sebuah pulau terpencil yang dipenuhi semak samun. Lokasinya yang tersembunyi di Sabak ini menjadikannya seolah-olah pantai rahsia. Sebab itulah namanya pantai Nusuk (sembunyi).
Pantai Nusuk ini kemudian dibersihkan dan dimajukan untuk dijadikan tempat beriadah dan bersama keluarga. Malah, ia sudah pun menjadi spot berkelah yang menjadi kegemaran ramai. Kerana angin bayu laut yang nyaman, pantainya yang bersih, Pantai Nusuk ini kian mendapat perhatian ramai, walaupun ramai yang sebenarnya tersesat apabila datang ke sini buat pertama kali. Jadi jika anda ke sini, jangan segan-segan untuk bertanya orang sekeliling ya.
Alamat: Kampung Sabak, Pengkalan Chempa, 16100 Kota Bharu, Kelantan
28. Muzium Negeri Kelantan
Nak kenal dengan lebih mendalam mengenai kawasan yang dilawati? Aktiviti yang paling tepat untuk anda lakukan bagi tujuan ini adalah dengan melawat muzium negeri tersebut. Jika bercuti di Kelantan, lokasi yang boleh anda tuju adalah tak lain tak bukan Muzium Negeri Kelantan yang terletak di Bandar Kota Bharu.
Ditubuhkan pada tahun 1990, muzium ini terletak di dalam sebuah bangunan yang pada asalnya berfungsi sebagai pejabat Majlis Perbandaran Kota baru. Di dalamnya, anda dapat menyelusuri pembangunan yang telah ditempuhi negeri pantai timur ini dengan teratur dari masa lampau sehinggalah ke zaman moden. Di tingkat atas muzium ini pula anda boleh melihat pameran budaya yang memaparkan koleksi kraf yang digunakan dalam persembahan wayang kulit, tarian mak yong, peralatan muzik tradisional rebana ubi dan sebagainya.
Walaupun menyimpan pelbagai artifak bersejarah, bangunan ini sendiri juga menyimpan nilai antiknya sendiri sehingga diwartakan sebagai salah sebuah struktur yang bersejarah di Kelantan.
Alamat: Darul Naim, Jalan Hospital, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
27. Taman Indera Petra
Setelah puas makan angin di sekitar bandar ini, anda boleh terjun masuk ke dalam kolam dan bermandi-manda dengan sepuas hati untuk menyejukkan badan di Taman Air Splash atau nama lainnya Taman Indera Petra.
Walaupun terletak di dalam bandar Kota Bharu, kewujudan kawasan air kolam ini masih tidak diketahui ramai kerana lokasinya yang agak tersorok. Kurang terkenal tidak bermakna ianya tidak menarik, taman air ini lengkap dengan 3 buah kolam renang yang luas yang disediakan bersesuaian dengan keperluan usia pengunjung.
Mengenai kemudahan yang disediakan, Taman Air Splash lengkap dengan fasiliti seperti taman permainan kanak-kanak, surau dan tandas.
Alamat: Taman Indera Petra@Taman Air Splash, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Sesi Pagi (10.00 am – 1.00 pm) | Sesi Petang (2.00 pm – 7.00 pm)
26. Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu
Nak suasana shopping yang unik daripada biasa dan betul-betul terasa aura kampungnya? Selain Pasar Siti Khadijah, anda juga boleh ke Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu yang tidak jauh dari Kota Bharu. Terletak di Cerana Villa Resort, pasar unik ini hanyalah 11 km dari bandar.
Seperti yang boleh diteka dari namanya, pasar ini adalah pasar terapung di mana para peniaga menawarkan produk jualan mereka di atas sampan yang terapung di atas Sungai Pengkalan Datu. Sebagai pembeli anda juga boleh turut sama terapung di atas pelantar terapung yang disediakan untuk kemudahan pengunjung melihat apa yang dijual di atas sampan atau bot.
Pasar yang baru sahaja memulakan operasi pada tahun 2017 ini dibuka pada setiap hari Sabtu dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang.
Alamat: Pasar Terapung, Kota Pengkalan Datu, Cerana Villa Resort, Jalan Raja Sakti
Waktu Operasi: Sabtu (8.00 am – 1.00 pm)
25. Kampung Kraftangan
Umum mengetahui bahawa negeri Kelantan ini cukup kaya dengan seni budayanya. Cara terbaik untuk mendalami keunikan budaya negeri ini adalah dengan melawati Muzium Kraftangan dan Kampung Kraftangan yang terletak di Jalan Merbau.
Di sini, anda dapat melihat demonstrasi bagaimana kain songket dihasilkan, pembuatan wau, melihat ukiran tradisional, cara membuat barangan perak, cuba mencanting batik sendiri dan banyak lagi!
Alamat: Jalan Merbau, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
24. Gelanggang Seni
Selain melawati Muzium Kraftangan, anda juga boleh ke Gelanggang Seni untuk melihat pelbagai persembahan budaya dan mencuba pelbagai aktiviti yang ditawarkan.
Antara aktiviti yang diadakan di sini adalah seperti pertunjukan silat, pertunjukan wayang kulit, permainan gasing, bermain wau dan banyak lagi. Yang bestnya, semua pertunjukan yang dijalankan di sini diadakan secara percuma!
Notis: November-Januari dan Bulan Ramadhan: Tutup
Alamat: Jalan Mahmood, Bandar Kota Bharu, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi:
- Isnin, Rabu, Sabtu: 3.30 pm – 5.30 pm
- Rabu: 9.00 pm – 11.00 pm
23. Menara Rehal
Setibanya ke Kota Bharu siapa pun tak akan terlepas pandang gerbang yang menjadi mercu tanda bandar ni yang juga dipanggil sebagai Menara Rehal (melainkan anda tertidur dalam perjalanan).
Nak jadi bukti anda dah ke Kota Bharu? Inilah salah satu menara yang boleh anda jadikan latar belakang.
Menara yang unik ini turut terletak berdekatan dengan banyak lagi lokasi hotspot pelancong seperti Istana Jahar dan Padang Merdeka.
Alamat: D1, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
22. Pasar Wakaf Che Yeh
Selain Pasar Khadijah, tempat membeli-belah seterusnya yang boleh anda lawati semasa berada di Kota Bharu adalah Pasar Wakaf Che Yeh. Untuk pengetahuan anda, pasar ini adalah pasar malam yang terbesar di bandar ini.
Apa yang anda nak beli? Barangan rumah? Aksesori? Pakaian? Makanan? Anda tak akan kecewa dengan pilihan yang ada di sini tambahan lagi dengan harga yang murah semacam, memang rambang mata!
Alamat: Jalan Kuala Krai, Wakaf Che Yeh, 15100 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (7.00 pm – 2.00 am)
21. Bazaar Tok Guru
Ada banyak lagi bajet nak bershopping? Mai singgah pula ke Bazaar Tok Guru! Sedar tak sedar boleh berjam-jam habis kat sini lebih-lebih lagi buat kaum wanita. Dari shawl, tudung bawal, batik, blouse, telekung hinggalah jubah dan segala macam ‘cinta hati’ wanita, semuanya ada di bazaar ini.
Nak seronok lagi? Mantapkan skill tawar-menawar anda, lagi murah anda dapat, lagi banyak boleh shopping! Ada banyak tau kedai nak singgah, lebih dari 600 buah semuanya!
Alamat: Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm)
20. Pantai Cahaya Bulan
Penat berjalan dan berlanggar bahu dengan orang ramai, tibalah masa untuk merehatkan badan sambil menikmati pemandangan yang mendamaikan. Lokasinya adalah di Pantai Cahaya Bulan atau juga turut dikenali dengan nama ringkasnya, PCB.
Selain menikmati pemandangan laut China Selatan dan bayu yang menyegarkan, anda boleh juga menikmati makanan di banyak kedai-kedai makan yang terdapat di sekitarnya.
Nak idea best? Apa kata anda takeaway makanan laut celup tepung beserta air kelapa untuk dinikmati sambil berkelah tepi pantai? Nikmatnya lain macam! Lokasinya? Hanyalah 10 minit sahaja dari pusat bandar Kota Bharu
Alamat: Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan
19. Muzium Islam
Sebagai negeri yang digelar sebagai Serambi Mekah, cukup banyak al-kisah berkaitan Islam yang ingin dikongsikan dengan masyarakat. Oleh tujuan itu, wujudlah Muzium Islam.
Terletak di dalam bangunan yang dibina menggunakan kayu cengal, bangunan ini pernah digunakan pada tahun 1902 sebagai kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan.
Bangunan ini kini dijadikan sebagai muzium yang mempamerkan pelbagai info berkaitan tokoh agama Islam yang telah banyak menyumbang kepada agama Islam di Kelantan sehinggalah masa kini.
Selain ini semua, tarikan yang paling terkenal di sini adalah replika mumia firauannya yang lengkap dengan keranda pada tingkat kedua bangunan muzium. Bahan pameran lain yang ada di sini adalah terdiri daripada artifak dan manuskrip bercirikan Islam.
Alamat: Jalan Masjid, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 4.45 pm) Kecuali Jumaat
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
18. Muzium Perang (Bank Kerapu)
Muzium Perang ataupun Memorial Perang Dunia Kedua ini adalah sebuah muzium yang mempamerkan pelbagai peninggalan zaman peperangan dunia kedua yang terdiri daripada foto-foto, artifak dan artikel. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 1000 artifak peninggalan jajahan Jepun yang dapat anda saksikan dengan dekat.
Kalau anda nak tahu, muzium ini turut dipanggil sebagai Bank Kerapu kerana bangunan yang sama pernah digunakan sebagai bank iaitu dari tahun 1912 hinggalah 1992.
Perkataan ‘kerapu’ pula adalah disebabkan oleh permukaan dinding bangunan ini yang menggunakan simen berkerutu.
Setelah melihat pelbagai pameran di dalam muzium, anda boleh menuju ke kawasan taman di luar muzium untuk melihat kenderaan-kenderaan yang pernah digunakan sewaktu peperangan.
Alamat: Jalan Pejabat Pos Lama, 15300, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
17. Muzium Adat-Istiadat Istana Jahar
Muzium Adat-Istiadat ataupun Istana Jahar ini adalah sebuah bangunan yang telah dibina pada abad ke-19 iaitu pada tahun 1855 oleh Sultan Muhamma II untuk diberikan kepada cucundanya, Long Kundur Bendahara.
Istana ini telah dibina daripada hasil tangan tukang-tukang kayu yang mahir dari seluruh Kelantan pada ketika itu.
Buat bertahun lamanya istana ini menjadi tempat bersemayam sultan-sultan negeri Kelantan sehinggalah ia dijadikan Muzium Adat Istiadat pada tahun 1992.
Di dalam muzium ini, anda sekeluarga dapat melihat pelbagai peralatan khas yang digunakan sewaktu upacara kerajaan seperti tempayan, tembaga dan sebagainya.
Anda juga dapat melihat ruang pelamin diraja, kamar tidur, perahu diraja, kenderaan diraja, senjata-senjata lama dan banyak lagi!
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
16. Masjid Muhammadi
Dibina pada tahun 1867 ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad II, Masjid Muhammadi yang pada asalnya adalah sebuah struktur kayu telah diubahsuai kepada batu pada tahun 1922.
Masjid ini memiliki reka bentuk pengaruh daripada kolonial Inggeris dengan penggunaan batu marmar pada ruangan solat. Dinding masjid ini pula dihiasai dengan ukiran kalimah al-Quran.
Bukan sahaja bernilai antik dan berseni bina indah, masjid ini juga ada keunikannya yang tersendiri kerana ia turut memiliki menara jam.
Alamat: Jalan Sultanah Zainab, 15000, Kota Bharu, Kelantan
15. Masjid Kampung Laut
Ini adalah salah sebuah tarikan bersejarah yang paling ‘epik’ di Kota Bharu. Eh! Bukan di Kota Bharu je, tarikan ini sebenarnya paling dahsyat di Asia Tenggara! Sebab masjid ini sebenarnya adalah masjid yang tertua di rantau ini!
Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri ini adalah sebuah masjid lama yang telah dibina pada kurun ke-18 tanpa menggunakan walau sebatang paku!
Nak tahu bagaimana kisah ia boleh terbina? Al-kisahnya, pada suatu ketika dulu terdapat sekumpulan mubaligh yang telah berlayar ke sepanjang Kepulauan Melayu untuk menyebarkan agama Islam, malangnya, semasa dalam perjalanan, perahu mereka telah terbocor.
Dalam keadaan ini mereka berjanji untuk membina sebuah masjid sekiranya berjaya sampai ke kawasan pantai dengan selamat. Mereka akhirnya dapat mendarat di Kampung Laut dengan selamat dan terbinalah masjid ini di tepi Sungai Kelantan.
Masjid ini telah dialihkan dari lokasi asalnya ke lokasi sekarang di Nilam Puri untuk mengelakkan banjir yang sering terjadi di tepi sungai. Setelah dipindahkan, ianya turut diperbaiki dan dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air.
Alamat: Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan
14. Masjid Langgar
Pada asalnya dibina sebagai sebuah madrasah pada tahun 1871, bangunan yang kini dijadikan masjid dengan nama Masjid Langgar ini memiliki ciri binaan yang unik daripada masjid lain.
Dengan konsep seni bina istana zaman pemerintahan kesultanan Melayu lama, masjid ini memiliki bumbung yang dipanggil ‘adik-beradik’ tiga tingkat yang tidak bersentuhan antara satu sama lain.
Tujuan ianya dibina dengan sedemikian rupa adalah untuk memberi ruang pengaliran udara dan pencahayaan semula jadi. Pada bahagian dinding masjid ini pula terdapat ukiran ayat suci al-Quran.
Alamat: Jalan Langgar, Kampung Langgar, 15200 Kota Bharu, Kelantan
13. Masjid Sultan Ismail Petra
Dah bersolat di masjid-masjid yang klasik, apa kata kalau anda cuba mencari kekhusyukan solat di masjid moden pula iaitu Masjid Sultan Ismail Petra pula. Terletak hanyalah 5 km dari bandar Kota Bharu, masjid ini dikatakan sebagai masjid yang terbesar di negeri Kelantan.
Masjid dengan seni bina seperti masjid-masjid di negara timur tengah ini telah dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada tahun 1992.
Masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Banggol ini juga sangat aktif dengan pelbagai majlis agama. Kalau ada masa, apa salahnya join sekali.
Alamat: Masjid Sultan Ismail Petra, Daerah Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu
12. Restoran Nasi Ulam Cikgu
Dah penat berjalan, mesti wajiblah rasa lapar kan? Disebabkan bukan selalu nak dapat sampai ke Kota Bharu ni, gunakanlah setiap masa anda berada di sini untuk mencuba apa sahaja yang ‘paling best’ yang ada di negeri yang dilawati. Ini termasuklah ‘aktiviti makan-makan’.
Untuk mengisi perut yang lapar, salah satu kedai paling terkenal di sekitar Kota Bharu ni adalah Restoran Nasi Ulam Cikgu.
Antara makanan wajib cuba di sini adalah ayam percik, ikan keli, ayam goreng, sambal, budu dan ulamnya.
Memang kedengaran macam lauk-pauk yang cliche, tapi kesegarannya tu yang membezakan kedai makan ni dengan tempat lain. Nak lagi syok? Lengkapkan menu anda dengan air bandung bersama biji selasih, memang terliuq!
Alamat: Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, 15100 Kota Bharu, Kelantan
11. Istana Balai Besar
Pada suatu ketika dahulu, Kelantan sebenarnya memiliki pusat pentadbiran di kawasan lain iaitu di Kota Saba. Namun, pada tahun 1844, ianya telah dipindahkan ke Kota Bharu. Semasa pemindahan ini, Sultan Kelantan pada ketika itu iaitu Sultan Muhammad II telah mengarahkan pembinaan Istana Balai Besar untuk dijadikan tempat baginda bersemayam.
Istana yang telah terbina ini telah dijadikan tempat bersemayam beberapa Sultan lain sehinggalah zaman Sultan Muhammad IV (1900 – 1920).
Istana ini kini digunakan sebagai tempat untuk diadakan majlis-majlis rasmi kerajaan. Namun begitu, para pelancong tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan istana ni, tapi tak salah untuk anda melihat keindahan seni binanya daripada kawasan pintu gebang istana.
Alamat: Jalan Tengku Seri Akar, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
10. Padang Merdeka
Terletak tidak jauh dari Menara Rehal yang megah berdiri, Padang Merdeka adalah sebuah kawasan lapang yang seringkali digunakan sebagai tapak untuk pelbagai acara rasmi.
Selain itu, di padang ini turut terdapat tugu memorial perang iaitu Kota Bharu Cenotaph yang telah dibina oleh pihak British ketika perang dunia pertama dan tiang bendera Kelantan.
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
9. Menara Jam Tambatan Raja
Menara Jam Tambatan Raja adalah sebuah menara yang terletak bersebelahan dengan tambatan diraja.
Berada di pusat bandar Kota Bharu, menara jam ini adalah salah satu mercu tanda terbaru bandar ini. Berketinggian 150 kaki, menara ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2011.
Anda boleh menaiki menara ini untuk menikmati pemandangan seluas pandangan mata termasuklah Sungai Kelantan dan sekitar bandar Kota Bharu.
Alamat: Jalan Sultan, 15400, Kota Bharu, Kelantan
8. Bank Pitis
Banyak juga bank klasik dekat Kelantan ni kan? Selain Bank Kerapu, di dalam bandar yang sama turut terdapat bank bersejarah lain iaitu Bank Pitis.
Bezanya dengan Bank Kerapu adalah kerana ianya terbina jauh lebih awal iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad III (1889 – 1890) dan digunakan sebagai bank oleh Sultan Muhammad IV.
Bangunan kecil empat segi sama dengan saiz 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi ini terletak bersebelahan dengan laluan masuk untuk ke Istana Balai Besar.
Alamat: Jalan Istana, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
7. Warung Pak Mat Pulau Pisang
Perut dah mula menggerodak? Kedai makan seterusnya yang mesti anda singgah di Kota Bharu ni adalah Warung Pak Mat Pulau Pisang.
‘Signature dish’ yang wajib dicuba bila dah sampai ke kedai ni adalah sup kepala ikannya yang memang kaw, dapat anda rasakan cebisan daging yang enak dalam supnya, bukan biasa-biasa, sup ini sebenarnya dimasak menggunakan resepi keluarga turun-temurun.
Minuman yang paling power di kedai ni pula adalah teh tarik madu yang dicampur dengan madu asli. Semacam betul sedapnya! Lokasi? Terletak berdekatan dengan Pantai Cahaya Bulan.
Alamat: Jalan Kuala Besar, 15350 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (7.30 am – 5.30 pm) | Selasa (7.30 am – 4.30 pm)
6. Bazar Buluh Kubu
Bila perut dah kenyang, bertambahlah semangat nak bershopping. Untuk melepaskan gian berbelanja, anda boleh singgah ke Bazar Buluh Kubu yang merupakan sebuah kompleks beli-belah 3 tingkat.
Di sini terdapat bermacam jualan barangan kraf seperti wau yang berwarna-warni, beg tangan, barangan perak yang cantik, replika alat muzik mini, kasut buatan tangan, batik, songket dan macam-macam lagilah!
Seperti biasa, perkara yang mesti anda buat semasa bershopping di sekitar Kelantan ni adalah bertawar-menawar untuk mendapatkan harga terbaik. Siapa tak suka kalau dapat shopping dalam harga diskaun ye tak?
Alamat: Jalan Buluh Kubu, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 9.00 pm)
5. Kopitiam Kita
Memang banyak kedai makan best di sekitar Kota Bharu ni. Kedai makan seterusnya yang Mai Singgah cadangkan untuk anda cuba adalah Kopitiam Kita.
Kedai sarapan pagi ini menghidangkan bermacam juadah terkenal negeri Cik Siti Wan Kembang seperti nasi kerabu, nasi tumpang, nasi air dingin dan bermacam lagilah! Tapi yang paling legend sekali adalah Roti Titabnya.
Roti Titab ini adalah sejenis roti bakar dengan telur separuh masak di tengahnya yang dicalitkan dengan kaya buatan sendiri di setiap penjuru. Keenakannya buat anda nak order banyak kali!
Alamat: Jalan Sri Cemerlang, Taman Desa Jasa, 15400 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: 6.00 am – 2.00 pm
4. Kedai Nasi Kak Wok
Inilah dia kedai yang sudah turun-temurun mahsyur di Kota Bharu, Kedai Nasi Kak Wok. Menu yang dihidangkan kedengaran macam biasa, iaitu nasi dengan lauk ayam gulai ataupun ayam goreng, tapi rasanya? Tak akan dapat dilupakan seumur hidup, terlampau enak!
Alamat: Jalan Tengku Mohd Maasum, Bandar Kota Bharu, 15150 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: 8.00 am – 3.00 pm
3. Muzium Diraja Istana Batu
Dah puas makan, singgahlah ke Muzium Diraja Istana Batu. Muzium ini terletak di dalam sebuah istana lama (Istana Batu) yang telah dibina pada tahun 1939 ketika zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni almarhum Sultan Muhammad Ke-IV.
Ianya dibina untuk dijadikan hadiah perkahwinan kepada Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Zainab II. Mulai tahun 1991, bangunan ini telah dijadikan sebagai Muzium Diraja yang memaparkan bermacam barangan milik Sultan Kelantan sejak dahulukala yang terdiri daripada pakaian, artifak, perabot, foto dan sebagainya.
Alamat: Jalan Tengku Puteri, 15300, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
2. Kelantan River Cruise
Inginkan pengalaman yang berbeza semasa bercuti di Kota Bharu selain makan angin di kawasan darat? Apa kata kalau anda sekeluarga melakukan aktiviti Kelantan River Cruise. Dengan bayaran yang sungguh berpatutan, anda dapat menyelusuri Sungai Kelantan sehinggalah ke Pulau Suri.
Di pulau ini anda boleh menikmati air kelapa, mencuba kuih-muih tradisional dan macam-macam lagi. Bila dah kenyang, anda boleh meneruskan aktiviti seharian dengan memancing ikan atau melihat bagaimana penduduk setempat membaiki bot atau kapal mereka.
Alamat: Jalan Kuala Besar, 15350 Kota Bharu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 6.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM20 | Kanak-Kanak RM10
1. Pasar Siti Khadijah
Kalau bercuti ke Kelantan tapi tak singgah ke Pasar Siti Khadijahnya, anda kena tanya diri sendiri, “Betul ke tengah bercuti di Kelantan?” Sebab ini adalah lokasi wajib singgah kalau bercuti ke Kelantan.
Kompleks perniagaan 4 tingkat ini diberikan nama sempena isteri Rasulullah S.A.W yang juga merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya sesuai dengan peniaga-peniaga di sini yang terdiri daripada kaum wanita.
Antara barangan yang diniagakan di sini adalah tudung, batik, pakaian, kain dan banyak lagi dalam harga yang tak membuatkan anda berfikir 2-3 kali untuk beli.
Hasil-hasil segar seperti sayur, buah dan daging-daging juga sangat banyak di dalam pasar ni. Kalau anda nak bershopping dengan lebih tenang, datanglah seawal yang mungkin, seelok-eloknya sebelum waktu tengahari.
Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 6.00 pm)
Lain macam betul menariknya Kota Bharu ni kan? Kekayaan seni budaya, kedai makan yang menggegarkan deria rasa, tempat bershopping yang entah bila dapat habis dilawati, Kota Bharu adalah sebuah destinasi percutian yang cukup istimewa.
Baca: 25 Hotel Murah Di Kota Bharu Yang Terbaik Untuk Bajet Traveller
Sebelum ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mencari tempat penginapan best yang terdapat di sekitarnya.
Dah rancang nak ke mana? Hotel pun dah booking? Sekarang dah boleh mula save budget supaya dapat bershopping sakan dekat negari Cik Siti Wan Kembang ni. Selamat bercuti ke Kota Bharu!