18 Tempat Menarik Di Kuala Selangor (2023) | Jom Bercuti Ke Bandar Indah & Bersejarah

Teringin menikmati suasana yang berbeza daripada yang telah puas dirasai di kota pada cuti akan datang? Apa kata kalau anda sekeluarga ke Kuala Selangor, kedudukannya dari bandar pun tidaklah berapa jauh untuk ditempuhi.

Walaupun bukanlah destinasi percutian yang terkenal di negara ini, kata orang tak kenal, maka tak cinta, sangat sesuai dikenakan dengan daerah ini kerana ia sebenarnya merupakan sebuah permata yang tersorok daripada pandangan ramai.

Tarikan-tarikan yang ditawarkannya boleh terbawa-bawa ke mimpi, dari keindahan cahaya kelip-kelip hinggalah kepada fenomena refleksi pada lautan, banyak lagi tarikan lain yang masih ramai tak tahu wujud di Kuala Selangor.

Nak tahu dimanakah lokasi-lokasi wajib dijejaki di Kuala Selangor ini? Teruskan membaca senarai 18 tempat menarik di Kuala Selangor yang telah kami senaraikan ini.

18. Hussin Fauzi Farm

Hussin Fauzi Farm Kuala Selangor
Sumber: Hussin Fauzi Farm, Mohamad Faisal

Taman haiwan Hussin Fauzi Farm ini terletak di Kampung Bukit Belimbing. Berkonsep sebagai sebuah mini letting zoo, anda boleh berkunjung ke sini bersama keluarga untuk melihat, bermain dan berinteraksi bersama haiwan-haiwan seperti kambing, rusa, arnab dan banyak lagi.

Terdapat juga haiwan-haiwan reptilia yang anda boleh saksikan. Burung-burung liar seperti burung unta dan burung merak juga ada. Ramai penjaga haiwan di sini yang akan memberikan informasi dan demonstrasi tentang haiwan-haiwan di sini.

Baca: 11 Tempat Makan Menarik Di Kuala Selangor

Selain dari beriadah dan berinteraksi bersama haiwan-haiwan, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini seperti menunggang kuda, memanah, memberi makan kepada haiwan (pet feeding) dan juga menangguk ikan. Pastinya ini adalah tempat yang sangat menarik untuk dibawa kanak-kanak terutama ketika musim cuti sekolah.

Alamat: Jalan Batu 45 Teluk Penyamun, Kampung Bukit Belimbing, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi: 10am-6pm (setiap hari)

Harga Tiket: RM7


17. Sasaran Art Park

Sasaran Art Park Kuala Selangor
Sumber: jes s, Ian Ng, TooCheng Loo, susan chow, CS TAN

Sasaran Art Park merupakan sebuah kawasan dan galeri seni yang terletak di Jeram, Kuala Selangor. Di Bawah naungan Sasaran Art Association, Sasaran Art Park ini menjadi tempat di mana para seniman Selangor berkumpul, bergaul dan mempamerkan hasil kerja mereka. Malah, mereka menganjurkan festival seni setiap 3 tahun.

Di sini, anda akan menyaksikan pelbagai hasil seni dari pelbagai medium. Mural, lukisan, arca dan skulptur memang banyak di sini. Malah, bangunan utama dan persekitaran taman seni ini juga penuh dengan warna-warni mural dan hasil seni dari artis-artis dan seniman berlainan. Bagi anda yang sukakan kesenian dan budaya, pastikan anda datang berkunjung ke Sasaran Art Park ini!

Alamat: Jalan Sasaran, Sungai Buloh, 45800 Jeram, Selangor

Waktu Operasi: 6am-12am (setiap hari)


16. Kota Tanjung Keramat

Kota Tanjung Keramat Kuala Selangor
Sumber: Mohamad Khalil Kamarudin, Danial Haziq Asyraf, rohaniah noor, Ahmad Afif Isa, Nazim Kamarudin

Peninggalan sejarah di negara kita memang banyak. Jadi jika anda penggemar sejarah atau berminat tentang kisah zaman dahulu, datanglah ke Kota Tanjung Keramat di Kuala Selangor ini. Dahulunya, Kota Tanjung Keramat ini merupakan sebuah kubu pertahanan Belanda. Kota ini terletak di atas bukit dan terdapat sepohon pokok yang tinggi yang dahulunya digunakan untuk meninjau pihak musuh.

Yang menariknya tentang kota ini ialah ciri-cirinya yang menagmbil pengaruh dari budaya barat. Lengkap dengan meriam dan dibina dari tanah dan batu-batu pejal, memang nampak seperti di luar negara. Malah, dahulu ia juga mendapat jolokan Kota Utrecht, sempena kapal Belanda yang berjaya menumpaskan Raja Haji di Teluk Ketapang. Jom, kita meneroka sambil belajar sejarah!

Alamat: Jalan Tanjong Keramat, 45000 Kuala Selangor, Selangor


15. Kelip-Kelip Kg. Kuantan

Kelip-Kelip-Kg-Kuantan-Kuala-Selangor
Sumber: TNB Careline

Ingin merasa hidup di dalam dunia magikal dikelilingi oleh bintang berkerdipan? Anda sekeluarga dapat menikmatinya dengan menaiki bot menyusuri Sungai Selangor. Walaupun bukanlah bintang sebenar tetapi cahaya kecil yang dihasilkan oleh kelip-kelip ini tidak ubah seperti cahaya bintang yang jauh dari mata.

Pengalaman melihat Kelip-Kelip Kg. Kuantan ini sungguh mengujakan tapi tidak bermakna anda boleh bergambar kerana takut nanti menyorok pula si kelip-kelip disebabkan cahaya ‘seram’ flash anda.

Baca: 11 Tempat Makan Menarik Di Kuala Selangor

Nak tahu satu perkara yang menarik tentang kelip-kelip? Sebenarnya, cahaya yang dilihat pada badan kelip-kelip ini terhasil daripada cecair nektar pokok Berembang yang merupakan tempat pembiakan serangga yang mengujakan ini.

Namun sedihnya, kelip-kelip dikatakan makin diancam oleh kepupusan, oleh sebab itu, masyarakat tempatan tidak memasang lampu di kawasan sekitar pembiakannya.

Alamat: Kampung Kuantan, 45000 Batang Berjuntai

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.45pm – 10.30pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM4 | Kanak-kanak & Warga Emas RM2


14. Pantai Remis Sungai Sembilang

Andainya anda merindukan ketenangan, Pantai Remis Sungai Sembilang adalah pengubatnya. Di sini anda boleh bersantai bersama keluarga di bawah pokok-pokok Rhu ataupun pada bangku yang disediakan untuk menikmati pemandangan yang mengujakan cahaya mentari dan air laut yang tenang.

Sambil berehat-rehat di sini, anda boleh merasai makanan yang yang banyak di jual di gerai-gerai yang terdapat di sekitar, contohnya seperti sotong, kerang rebus, ikan bakar, mee jawa dan banyak lagi.

Anak-anak pula boleh menggunakan waktu yang ada dengan bermain layang-layang sepuas hati kerana di sini juga terdapat beberapa peniaga yang menjual layang-layang yang penuh warna-warni.

Mengenai fasiliti di pantai ini pula, Pantai Remis Sungai Sembilang menyediakan kemudahan seperti surau, tempat meletak kereta yang luas, bilik mandi, tandas dan medan selera.

Alamat: Jalan Pantai Remis, Jeram, 45800 Jeram, Selangor


13. Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor adalah sebuah tarikan alam semula jadi paya bakau yang cukup menyeronokkan untuk diteroka. Taman ini menyediakan laluan berkepanjangan 3.6 km untuk anda selusuri sambil menikmati oksigen yang segar.

Bagi peminat aktiviti memerhatikan burung, taman ini turut menyediakan menara tinjau untuk memudahkan anda melakukan aktiviti ini sepuas hati di samping melihat keindahan kawasan paya nipah yang berbentuk seperti hati ini.

Antara spesies burung yang boleh dilihat di sini adalah burung pekaka, ketitir, serandau, helang bahu hitam, burung bakau, dan banyak lagi.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Kuala Selangor

Jenis-jenis burung yang berhijrah ke sini dari luar pada setiap tahun pula adalah warbler, arctic shrike, reat eagle, purple heron dan macam-macam lagi. Dikatakan 50 daripada 150 spesies burung yang terdapat di sini datang daripada kawasan seperti Rusia dan Siberia.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah mengutip siput, melihat monyet, kera dan lotong serta memerhatikan burung-burung yang diancam kepupusan di dalam sangkar besi bersaiz gergasi yang terdapat di sini.

Alamat: Taman Alam Kuala Selangor, Jalan Klinik, Kuala Selangor, 45000


12. Pasar Basah Pasir Penambang

Pasar-Basah-Pasir-Penambang
Sumber: Ridzuan Radzi

Pasar Basah Pasir Penambang, Kuala Selangor adalah pasar yang boleh dikatakan wajib dilawati penduduk kota sekali dalam sebulan untuk memenuhkan peti ais di rumah.

Di sinilah anda dapat membeli dengan sebanyak mana pelbagai hasil laut yang segarnya bukan kepalang, dan murahnya juga bukan main.

Alang-alang dah datang ke sini dari jauh, bawalah cooler box yang besar untuk memuatkan semua yang dibeli. Teringin nak buat sup ketam atau sambal udang yang cukup terasa kesegarannya, inilah lokasi untuk anda mendapatkan hasil-hasil yang baru keluar dari laut.

Alamat: Pasir Penambang, Kuala Selangor


11. Batu Hampar

Batu Hampar Image
Sumber: Arif Sukor

Salah satu tarikan yang ada di Bukit Melawati ini adalah Batu Hampar yang terletak pada bahagian pintu masuk Kota Melawati.

Al-kisahnya, pada suatu ketika dahulu, Sultan Selangor telah menggunakan batu ini sebagai tempat untuk menjatuhkan hukuman pancung kepada pesalah. Meremang pula bulu roma mendengarnya.

Tapi ada yang mengatakan perkara ini adalah tidak benar kerana batu ini dipercayai hanyalah digunakan sekali untuk tujuan ini iaitu ketika menjatuhkan hukuman kepada seorang gadis istana yang dikatakan telah melakukan perbuatan yang tidak elok.

Walaupun diulit dengan perkara yang menggerunkan, kawasan sekitar Batu Hampar ini kelihatan cukup unik dan menarik hati ramai pasangan untuk mengambil gambar pra-perkahwinan.

Alamat: Pintu Masuk Kota Melawati


10. Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor

Bukan sedikit ikan yang ada di Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor ini, kerana jika dikira satu-persatu ada lebih daripada 1500 ekor ikan kesemuanya yang terdiri lebih daripada 60 spesies.

Antara jenis ikan yang dapat ditemui di sini adalah ikan keli, ikan belida, ikan kelah, ikan toman, ikan lampan, ikan kelisa dan banyak lagi. Di samping ini semua, anda sekeluarga juga dapat mengetahui pelbagai info menarik yang lain berkaitan ikan air tawar dan sejarahnya.

Baca: 12 Resort Di Melaka Yang Menarik Untuk Percutian Keluarga Istimewa

Turut dipamerkan di sini adalah pelbagai peralatan menangkap ikan yang digunakan para nelayan seperti raga batang, bubu daun, bubu saadah, raga tok dan lain-lain lagi. Taman yang berkeluasan 5 ekar ini terletak hanyalah 5 minit dari Bukit Melawati dengan menaiki trem yang disediakan.

Alamat: Majlis Daerah Kuala Selangor, Jalan Semarak

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM2.10 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) RM1.10


9. Sky Mirror

Sky Mirror Tour Kuala Selangor
Sumber: Anasrul Baka

Inginkan sebuah pengalaman yang keunikannya boleh dimasukkan dalam rancangan ‘Ripley’s Believe It or Not!?’ Rancanglah bersama keluarga atau rakan sekepala anda untuk ke Sky Mirror Malaysia.

Sky Mirror yang turut digelar sebagai Salar De Uyuni Malaysia ini merupakan lokasi untuk anda berfotografi sepuas hati yang paling best. Pasti anda tertanya-tanya apa sebenarnya Sky Mirror ini?

Ia sebenarnya sebuah fenomena unik yang hanya berlaku pada waktu air surut dan ketika air tenang dari pukulan ombak, di mana pada waktu ini anda boleh berjalan di ‘atas’ air yang menghasilkan refleksi seolah-olah cermin.

Namun begitu, fenomena ini hanya berlaku 6 hari pada setiap bulan berdasarkan kalendar lunar Cina iaitu pada hari pertama, ke-2, ke-14, ke-15, ke-16 dan juga ke-30.

Dan ia juga kebiasaannya berlaku hanyalah sekejap dalam sekitar pukul 10.30 ke 11.00 pagi ketika mana air laut surut. Untuk menuju ke sini, anda perlu menaiki bot dari Jeti Sasaran yang hanya mengambil masa dalam 30 minit.

Alamat: Pantai Sasaran

Waktu Operasi: 6 Hari Pada Setiap Bulan Dalam Kalendar Cina (pada hari ke-1, 2, 14, 15, 16 dan 30)

Bayaran Sky Mirror Malaysia Tour: Dewasa RM150 | Kanak-kanak RM130


8. ‘Eagle Feeding’ di Pasir Penambang

Apa lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan sambil menaiki bot di Kuala Selangor ya? Jawapannya adalah aktiviti ’Eagle Feeding’ di Pasir Penambang. Di sini anda boleh membeli tiket yang dijual di jeti untuk menaiki bot menuju ke kawasan yang menjadi tempat burung helang berterbangan dengan riang di tengah sungai.

Anda dapat melihat burung-burung ini menyentap makan yang terdapat di dalam sungai. Yang pastinya, pengalaman ini sukar untuk dilupakan, bila lagi nak tengok burung helang secara dekatkan?

Jangan lupa untuk membawa kamera dan merakam aksi yang rare untuk ditemui di tempat lain ni. Mana tahu, kalau terlampau cun gambar yang diambil bolehlah diletakkan di dalam frame sebagai peringatan yang anda sebenarnya ada bakat fotografi.

Alamat: No 1. Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor.

Waktu Operasi: 4.00pm – 6.30pm

Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM15


7. Tangga Seratus

Mesti anda dapat teka kenapa dinamakan sebagai Tangga Seratus kan? Ya, sebabnya adalah kerana bilangan anak tangganya dengan jumlah yang sama. Tangga daripada batu granit ini perlu anda lalui untuk mendaki Bukit Melawati dan terus menuju ke pintu kota istana Melawati.

Pada era yang lampau, bahagian bawah tangga ini menempatkan Pangkalan Batu Buruk yang merupakan tempat pelabuhan kapal, sampan dan perahu.

Alamat: Bukit Malawati


6. Bukit Belanda

Juga pernah dikenali sebagai Kota Utrecht pada zaman penjajahan Belanda, Bukit Belanda diberikan nama sedemikian pada ketika itu sempena nama bahtera Belanda yang digunakan oleh Van Brac, ketua Syarikat Hindia Timur Belanda yang telah berjaya menjatuhkan Raja Hadi di Teluk Ketapang.

Baca: Senarai Destinasi Paling Popular Di Selangor

Bukit yang berketinggian 420 meter ini telah dijadikan sebagai Kubu Pertahanan yang pertama sewaktu penjajahan mereka. Di bukit ini juga terdapat sebatang pokok yang besar yang telah digunakan oleh pihak Belanda sebagai menara tinjau untuk mengesan sebarang pergerakan musuh.

Alamat: Bukit Tanjung Keramat


5. Meriam Penggawa

Meriam Penggawa merupakan sebuah meriam yang berkepanjangan 5 1/2 kaki dengan garis muncung 7 inci.  Meriam ini dikatakan cukup istimewa daripada yang lain dan diperbuat daripada besi kuning.

Nama asal meriam ini adalah Petoi Boga yang bermaksud Puteri Putih. Dibezakan dengan meriam lain, meriam ini terletak di dalam sebuah tempat khas yang kelihatan seperti mimbar masjid dan dilindungi oleh kain berwarna kuning.

Al-kisahnya, meriam ini telah ditemui di pinggiran Sungai Buluh pada 23 September 1966 dan kini ditempatkan di dalam kawasan persemadian 3 orang Sultan Selangor.

Alamat: Bukit Selangor


4. Muzium Daerah Kuala Selangor

Muzium Daerah Kuala Selangor Image
Sumber: Nooraini Ali

Terletak dalam hanya 53 km dari bandaraya Shah Alam, Muzium Daerah Kuala Selangor adalah sebuah lagi lokasi yang menarik dilawati untuk membongkar dengan lebih mendalam mengenai sejarah Kuala Selangor. Bangunan muzium ini pada asalnya merupakan kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Muzium ini memiliki ruang pameran yang terbahagi kepada 7 seksyen yang berbeza yang menyampaikan info mengikut kronologi sejarah Kuala Selangor. Kesemua seksyen ini menerangkan fakta yang berbeza seperti:

  • Seksyen 1: Penerangan mengenai daerah-daerah serta kepelbagaian etnik yang ada di Selangor.
  • Seksyen 2: Asal-usul negeri Selangor dan info mengenai penduduk awal negeri ini.
  • Seksyen 3: Perkembangan Selangor.
  • Seksyen 4: Sejarah pengasasan Kesultanan Selangor dan salasilah keturunan Sultan.
  • Seksyen 5: Pameran koleksi peralatan pembesar istana serta info mengenai dua daerah tertua di Kuala Selangor.
  • Seksyen 6: Sejarah Kuala Selangor sebagai kota pertahanan.
  • Seksyen 7: Peninggalan sejarah yang terdapat di Bukit Melawati.

Pameran di muzium ini cukup interaktif dan menarik untuk dilihat kerana menggabungkan teknik-teknik yang berbeza seperti info kiosk, audio visual dan diorama.

Alamat: Kuala Selangor District Historical Museum, No 1, Puncak Bukit Malawati, 45000 Kuala Selangor


3. Firefly Park Resort

Selain di Kampung Kuantan, anda sekeluarga juga dapat menikmati pemandangan penuh magikal kelip-kelip di Bukit Belimbing. Aktiviti yang ditawarkan Firefly Park Resort Kampung Bukit Belimbing ini cukup menarik untuk dicuba.

Sepertimana di Kampung Kuantan, anda akan menaiki bot yang akan menyelusuri sepanjang Sungai Selangor untuk melihat kelibat gerombolan kelip-kelip yang banyak terdapat di sekitar pohon-pohon Berembang di tepian sungai.

Kebiasaannya, kelip-kelip akan mula menunjukkan diri  sekitar 1 jam selepas matahari terbenam. Cahaya yang dihasilkan cukup terang pada sekitar 2 ke 3 jam terawal dan semakin berkurang apabila menghampiri waktu subuh.

Alamat: Jalan Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, 45000 Kuala Selangor

Waktu Operasi: Firefly: Setiap Hari (7.45pm – 10.30pm) | Resort: Setiap Hari (8.00am – 10.30pm)

Bayaran Masuk:Dewasa RM16 | Kanak-kanak RM9


2. Rumah Api Kuala Selangor

Rumah Api Kuala Selangor merupakan sebuah menara yang berketinggian 83 meter yang terletak pada puncak bukit yang berketinggian 27 meter dari paras laut. Rumah Api Kuala Selangor ini telah dibina oleh pihak penjajah British pada tahun 1907 dan mula berfungsi pada tahun 1910.

Untuk pengetahuan anda, rumah api ini pada awalnya diberikan nama sebagai Rumah Api Altingsburg iaitu sempena nama gabenor Belanda yang menguruskan hal ehwal sekitar kawasan ini.

Rumah api ini pada ketika itu berfungsi untuk memberi isyarat kepada kapal yang melalui muara sungai agar mengawasi pergerakan mereka daripada kapal lain yang keluar.

Alamat: Bukit Melawati


1. Bukit Melawati

Bagi para peminat sejarah, Bukit Melawati merupakan syurga yang dicari kalau berada di Kuala Selangor. Kalau anda nak tahu, pada suatu ketika dahulu, bukit ini pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan dan benteng terawal Sultan Selangor daripada serangan musuh.

Selain melihat pelbagai peninggalan sejarah, dari bukit ini juga anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan hampir keseluruhan Kuala Selangor. Nak lihat pemandangan lebih mengujakan? Datanglah ke sini pada waktu matahari terbenam.

Apabila berada di bukit ini, anda turut dapat melihat banyak pokok-pokok yang dipercayai telah berusia lebih daripada seribu tahun. Berdasarkan cerita yang pernah disampaikan, keturunan Sultan Selangor pada zaman dahulu kala ada menyembunyikan harta di bawah pohon-pohon ini.

Macam nak gali pula rasanyakan. Mengenai kemudahan yang disediakan di sini pula adalah tempat meletak kereta, ruang untuk bersantai, tandas awam dan perkhidmatan trem (pada hujung minggu dan cuti am sahaja).

Alamat: Bukit Malawati, 45000 Kuala Selangor

Waktu Operasi: Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM3 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) RM2


Percutian ke Kuala Selangor dapat memberikan anda sekeluarga bukan sahaja kepuasan deria rasa dek kerana kesegaran makanan lautnya tetapi juga pengalaman merentas masa di tapak-tapak peninggalan pentadbiran dan kubu lama.

Bukan itu sahaja, anda juga dapat menyelami alam flora dan fauna yang indah umpama mimpi di kawasan-kawasan yang memperlihatkan cahaya kelip-kelip. Jelas sekali, Kuala Selangor adalah sebuah destinasi yang cukup istimewa.

Baca: Panduan Destinasi Pelancongan Menarik Di Kuala Lumpur

Setelah puas berjalan di sekitar daerah ini, anda mungkin ingin meneruskan lagi percutian di kawasan lain, kalau ada masa, apa kata sekiranya anda melawat bandaraya Shah Alam pula?

Sebagai ibu negeri Selangor, bandar ini menawarkan segala bentuk keseronokan yang dibayangkan. Nak tahu di mana? anda boleh membaca artikel kami bertajuk 29 Tempat Menarik di Shah Alam untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Memang banyak tarikan yang terdapat di negeri ini, diharapkan senarai tempat menarik di Kuala Selangor ini dapat membantu anda membuat perancangan percutian yang paling best dalam hidup anda sekeluarga! Selamat bercuti ke Kuala Selangor!

4.4/5 - (84 votes)