Anda rasa kehidupan di kota dah cukup kompleks dengan pelbagai kaum berbeza? Mai singgah ke Sarawak untuk satu ‘kejutan’ budaya yang jauh lebih luar biasa. Bukan hanya didiami pelbagai kaum, tapi juga etnik-etnik berbeza yang cukup menarik untuk dikenali.
Ibu negerinya, Kuching, adalah antara destinasi penting untuk anda lawati bagi mengisi dada dengan pelbagai informasi sebelum membuka langkah kaki ke kawasan sebenar yang menjadi penempatan mereka.
Itu sahajakah sebabnya untuk ke Kuching? Jangan disalah anggap pula, statusnya sebagai ibu negeri juga tidak menjadikan ia ketandusan flora dan fauna, kerana kalau anda nak tahu, di sini jugalah pintu masuk untuk ke pelbagai tarikan alam semula jadi yang terdapat di Sarawak.
Dengan hanya melawat sebahagian daripada kesemua tarikan ini, anda dapat merasakan betapa istimewa dan indahnya ibu negeri Sarawak ini. Nak tahu di mana tersembunyi tempat-tempat menarik di Kuching?
Teruskan scrolling sehingga ke penghujung artikel untuk mengetahui lebih mendalam tentang tempat-tempat hebat di ibu negeri Bumi Kenyalang ini.
52. Borneo Samariang Water Park
Borneo Samariang Water Park adalah tarikan taman tema air yang padu dengan bermacam aktiviti menarik untuk memuaskan gian bermain air tanpa mengira usia. Dari permainan yang mendebarkan hinggalah kepada yang santai.
Antara keseronokan yang menanti anda sekeluarga di sini adalah Family Raft Ride, Sky Drop Ride, 6 Lanes Racer, Crystal Slide, Canopy Slide dan banyak lagi. Bagi anak-anak yang masih kecil dengan ketinggian yang masih belum mencapai sekurang-kurangnya 110 cm, boleh berseronok bermain air di Kids Slides & Pool.
Alamat: Borneo Samariang Water Park, Petra Jaya, Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat (11.00 am – 6.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum & Cuti Sekolah (9.00 am – 6.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM30 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM20
51. Fort Margherita
Bagi yang berpeluang untuk menyelusuri Sungai Sarawak, salah satu pemandangan yang dapat dilihat adalah bangunan Fort Margherita yang terletak di bahagian tebing sungai berhadapan dengan Pekan Kuching.
Kubu ini dikatakan telah dibina pada tahun 1879 dan diberikan nama ‘Margherita’ sempena nama isteri kepada rajah kedua Sarawak, Charles Brooke iaitu Margaret Alice Lili de Windt.
Dibina dengan gaya reka bentuk istana Inggeris Renaissance, bangunan ini didirikan dengan tujuan untuk dijadikan tempat penempatan tentera, penyimpanan senjata, menara kawalan dan penjara.
Bangunan ini kemudiannya digunakan sebagai Muzium Polis sebelum dipulihara sebagai sebuah kubu lama.
Alamat: Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00 am – 4.00 pm) | Sabtu, Ahad (10.00 am – 4.00 pm)
Bayaran Masuk: Percuma
50. The Haunted House Series – TAKUT
Bagi mereka yang gemar menonton filem atau drama seram, kini anda boleh merasai pengalaman sebenar ‘bertemu’ pelbagai jenis hantu di bandar Kuching. The Haunted House Series – TAKUT ialah satu dari tarikan baharu di sini yang merupakan hasil usaha anak tempatan. Rumah hantu moden ini menampilkan pelbagai jenis hantu yang mungkin pernah anda lihat dikaca TV sebelum ini.
Menurut salah seorang pengasas rumah hantu ini, Mohamad Dzaizul Hafiz Alimin, mereka ingin menonjolkan pelbagai jenis hantu dari dalam dan luar negara seperti mumia, badut, vampire dan banyak lagi selain turut mengekalkan hantu tempatan seperti pocong, toyol dan sebagainya. Ruang dalam rumah hantu, penggunaan prop serta watak hantu di sini akan diubah setiap dua minggu supaya pengunjung tidak rasa bosan.
Terletak di Singgahsana Lodge, Tebingan Kuching, rumah hantu ini sering menerima kunjungan orang ramai yang mahu berhibur sambil menguji keberanian. Pengunjung telah mula beratur seawal 5.30 petang sedangkan ia bermula pada jam 6.30 petang.
Bekas hotel lama yang dijadikan rumah hantu ini mampu memuatkan tiga hingga enam orang dalam satu-satu masa, dan ia mengambil masa 15 minit untuk melalui pengalaman yang menakutkan ini.
Lokasi: 5 Lebuh Temple 93100 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi:
- Rabu – Ahad (6.30pm – 12am)
- Isnin – Selasa Tutup
Harga Tiket:
- Dewasa RM18
- Kanak-kanak RM9
49. Muzium Sarawak
Muzium yang tertua di Borneo, Muzium Sarawak adalah sebuah bangunan dengan seni bina Perancis yang telah dibina oleh Charles Brooke pada tahun 1891.
Lawatan ke muzium ini akan membuka mata anda tentang bukan sahaja sejarah negeri Sarawak tetapi juga tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negeri ini.
Antara koleksi yang dipamerkan di sini adalah senjata-senjata yang digunakan masyarakat Sarawak, bot perang orang Iban, seramik asli yang tertua dari Gua Niah, serta banyak lagi barangan dan kepingan seramik yang diperoleh negeri ini hasil perdagangan dari abad ke-11 hingga ke-13 AD.
Bila dah ‘penuh’ ilmu di dada, anda boleh menuju ke tingkat bawah yang menempatkan Muzium Shoppe untuk membeli tanda ingatan sama ada buku, T-shirt dan sebagainya.
Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, Taman Budaya, 93400 Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00 am – 4.45 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00 am – 4.00 pm)
Bayaran Masuk: Percuma
48. The Borneo House Museum
Berkeluasan 12,000 kaki persegi, The Borneo House Museum adalah sebuah muzium pendidikan yang menempatkan pelbagai pameran interaktif 3D. Muzium ini terbahagi kepada 4 zon iaitu Zon Sarawak’s Nature (Alam Semula Jadi Sarawak), Old Sarawak (Sarawak Lama), Sarawak Today (Sarawak Kini) dan Sarawak Iconic Food (Makanan Ikonik Sarawak).
Dengan berlatarbelakangkan lukisan-lukisan mural yang ada, bolehlah anda bergambar sepuas hati sampailah ke penghujung pameran. Sambil-sambil bergambar anda sekeluarga dapat belajar banyak perkara baru berkaitan Sarawak yang menyimpan pelbagai kisahnya yang tersendiri.
Alamat: No.1, Jalan Batu 6-7, Jalan Penrissen, 93250 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm)
Bayaran: Dewasa RM19 | Kanak-Kanak (3 – 12 Tahun), Warga Emas RM15 | Kanak-Kanak (Bawah 3 Tahun) Percuma
47. Permata Pugu Camping Site
Nikmati pemandangan yang mempesonakan sebaik tiba waktu malam di mana bintang bertaburan dengan banyaknya dan tidak malu menyerlahkan diri di sekitar permukaan langit semasa bermalam di Permata Pugu Camping Site. Bila terjaga dari tidur yang lena pula, anda bakal disambut oleh pemandangan matahari terbit yang mustahil dapat dilupakan.
Mengenai penginapannya, pihak Permata Pugu Camping Site menyediakan beberapa buah khemah yang dapat memuatkan dari 4 ke 10 orang penginap. Harga bergantung kepada saiz khemah dan kemudahan yang disediakan, ada khemah yang lengkap dengan penyejuk udara dan tandas peribadi untuk keselesaan yang optimum.
Selain menggunakan penginapan yang ditawarkan, anda juga boleh memilih untuk menyewa tapak khemah yang disediakan dengan caj yang rendah. Datang untuk meniaga? Anda boleh menyewa tapak dengan caj hanya RM15/tapak/hari.
Alamat: Jalan Masjid, Kampung Pugu, Sematan, 94500 Lundu, Sarawak
Bayaran:
- Lawatan Harian: Masuk RM1 | Kanak-Kanak (12 Tahun Ke Bawah) Percuma
- Penginapan: Dari RM50 Semalaman | Sewa Tapak Khemah RM35
46. The Kalimantan View Point
Ingin menyaksikan antara pemandangan yang terindah semasa bercuti di Sarawak? Tiada lokasi yang lebih tepat daripada Kalimantan View Point. Untuk menuju ke sini sekiranya anda datang dari Bandar Kuching, masa yang diambil hanyalah dalam sekitar 40 minit sahaja sebelum tiba ke pintu masuk yang terletak di kaki bukit.
Dari situ, anda perlu meneruskan pemanduan sehingga ke puncak bukit di mana terletaknya Borneo Highlands Resort. Dalam perjalanan naik ke puncak, anda bakal dipersembahkan dengan pemandangan yang sungguh mendamaikan jiwa tak ubah seperti berada di Cameron Highlands.
Tiba sahaja di Borneo Highland Resort, anda boleh mendapatkan khidmat pengangkutan tram untuk ke Kalimantan View Point. Nak kuruskan berat badan lepas makan macam-macam? Boleh sahaja memilih untuk mendaki dengan berjalan kaki, 5 minit je dah sampai.
Setibanya di Kalimantan View Point, anda dapat menyaksikan pemandangan yang memukau sepuas hati. Dah puas melihat pemandangan yang seluas pandangan mata, anda boleh merancang untuk melakukan banyak lagi aktiviti lain seperti menunggang kuda, berbasikal, golfing atau berjungle trekking.
Fakta menarik: Sekiranya anda menapakkan kaki melepasi papan tanda yang turut bertindak sebagai penghadang di Kalimantan View Point ini, anda telah pun memasuki Kalimantan, Indonesia tanpa passport!
Alamat: Kalimantan View Point, 94700 Siburan, Sarawak
45. Taman Negara Bako
Taman Negara Bako adalah taman negara yang terkecil di Asia Tenggara, walaupun kecil, sebenarnya ia adalah taman negara yang tertua yang terdapat di Sarawak. Disebabkan usianya ini, hampir semua spesies tumbuhan di sekitar Borneo terdapat di dalamnya, kecil-kecil cili padi gamaknya.
Bukan sahaja kaya dengan tarikan flora, ia juga menjadi habitat bagi banyak lagi hidupan liar yang lain seperti 150 spesies burung, monyet Belanda (proboscis) dan banyak lagi!
Tak cukup dengan itu, di dalam taman negara yang sama, anda dapat menikmati banyak lagi tarikan alam semula jadi yang lain seperti bukit-bukau, air terjun, paya bakau dan pantai.
Secara totalnya, terdapat 16 buah denai yang disediakan untuk anda tempuhi. Pilihan ada di dalam tangan anda, nak yang penuh dengan cabaran atau jalan shortcut? Apa-apa pun, pakailah pakaian yang sesuai untuk berjungle trekking dan hiking ya?
Alamat: Taman Negara Bako, Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 5.00pm) | Sabtu & Ahad Tutup
Bayaran: Tambang Bot RM30 | Tiket Masuk RM10
44. Kuching Old Courthouse
Kuching Old Courthouse adalah sebuah bangunan dengan gaya seni bina elegan yang telah dibina pada abad ke-19. Keindahan seni binanya menjadikan ia lokasi yang menarik untuk sebarang majlis. Salah satu majlis atau festival yang pernah diadakan di sini adalah Asean International Film Festival & Awards.
Selain sering digunakan sebagai tapak anjuran majlis, ia juga menempatkan kafe, pusat informasi pelancongan dan muzium.
Alamat: 7, Jalan Barrack, 93000 Kuching, Sarawak
43. Taman Negara Kubah
Anda sukakan warna-warni? Jangan lepaskan peluang untuk melawat Taman Negara Kubah. Kalau anda nak tahu, taman negara ini menempatkan bermacam spesies tumbuhan hutan yang termasuklah pelbagai jenis bunga orkid yang sukar untuk ditemui di tempat lain.
Sekiranya anda bercadang untuk meneroka taman negara ini, terdapat 5 buah laluan yang disediakan iaitu Laluan Palmetum, Laluan Air Terjun, Laluan Rayu, Laluan Selang dan Laluan Belian.
Selain aneka bunga orkidnya, bonus point kenapa anda perlu melawati taman negara ini adalah kerana ia pernah menjadi lokasi penggambaran bukan 1 tapi 2 buah filem Hollywood iaitu The Sleeping Dictionary lakonan Jessica Alba dan Farewell to the King lakonan Nick Norte.
Di samping itu, untuk pengetahuan anda, taman negara ini juga pernah disebut di dalam buku hasil penulisan ahli botani terkenal, Odoardo Beccari yang bertajuk The Great Forest of Borneo sebagai taman negara yang memiliki tanaman palma yang terbaik di dunia. Bukan main hebat lagi Taman Negara Kubah ni kan?
Alamat: Jalan Lundu-Sampadi, Kuching
42. Fairy Cave / Gua Pari Pari
Terletak hanyalah dalam sekitar 1 jam perjalanan dari Bandar Kuching adalah sebuah keindahan alam semula jadi yang cukup menarik untuk diteroka iaitu Gua Pari Pari, sebuah gua batu kapur besar yang telah wujud sejak lebih daripada 100,000 tahun lagi.
Untuk menuju ke gua ini, terdapat tangga yang disediakan bagi memudahkan akses. Tangga turut disediakan di dalam gua ini untuk membolehkan anda meneroka lebih dalam. Tapi jangan lupa untuk memakai kasut yang bergrip kuat kerana laluan boleh menjadi agak curam. Kelengkapan lain yang cukup penting adalah lampu suluh kerana semakin dalam gua diteroka, keadaan akan menjadi semakin gelap.
Kehausan selepas pengembaraan? Di bahagian pintu masuk kawasan gua, terdapat jualan air untuk menghilangkan kekeringan tekak.
Alamat: Gua Pari Pari / Fairy Cave, Bau, Sarawak
Waktu Operasi: 8.30 am – 4.00 pm
Bayaran Masuk: RM1
41. Gua Angin / Wind Cave
Dah puas meneroka Gua Pari Pari, jangan lepaskan peluang untuk menuju ke gua seterusnya yang juga terkenal di Kuching, iaitu Gua Angin. Jarak antara kedua-dua buah gua ini hanyalah 5 km sahaja.
Salah satu sebab untuk anda datang ke sini adalah kerana betapa mudahnya gua ini dapat diakses dari tempat meletak kereta kerana terdapat platform kayu yang disediakan sehingga ke pintu masuk gua dengan perjalanan kaki hanya sekitar 2 ke 3 minit.
Sampai sahaja di Gua Angin, anda terus dapat meneka kenapa ianya dinamakan sedemikian rupa. Dapat dirasai tiupan angin yang melalui ruang-ruang yang terdapat pada gua ini.
Jangan lupa untuk memakai pakaian yang sesuai sebelum ke sini terutama sekali topi untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa tahi daripada kelawar yang berterbangan di sekitar.
Alamat: Gua Angin / Wind Cave, Bau, Sarawak
Waktu Operasi: 8.30 am – 4.00 pm
Bayaran Masuk: RM1
40. Masjid Negeri Sarawak
Masjid Negeri Sarawak atau juga turut dikenali sebagai Masjid Negeri Petra Jaya adalah sebuah struktur indah dengan dekorasi penuh ketelitian luar dan dalam. Cukup menarik untuk dilawati dan disaksikan sendiri.
Tempat meletak keretanya cukup luas memandangkan masjid ini mampu menampung jemaah mencecah 14,000 orang pada satu-satu masa.
Alamat: Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
39. Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh
Apabila bercuti di sesebuah negara atau negeri, pasti ramai yang akan tertarik untuk mengetahui budaya sebenar atau keunikan yang ditawarkannya. Kalau di Sarawak, perkara paling unik adalah seni bina rumah tradisional salah satu etnik di negeri ini iaitu etnik Bidayuh yang tinggal di dalam rumah panjang.
Lokasi di mana anda boleh menyaksikan dengan dekat binaan yang unik ini adalah di Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh yang terletak di Padawan, Kuching. Setibanya di sini, kedatangan anda akan diraikan dengan tarian sambutan tetamu. Cukup meriah!
Selain itu, anda turut boleh mempelajari pelbagai perkara berkaitan kehidupan tradisional mereka sepeti cara untuk hidup di dalam hutan, cara mengenal herba dan penggunaannya, cara menggunakan sumpit, cara untuk memasak masakan tradisional menggunakan buluh, belajar menganyam dan sebagainya.
Alamat: Kampung Annah Rais, Padawan, Kuching, Sarawak
Bayaran Masuk: Dari RM198 (Pakej 2H1M)
38. Kompleks Kubah Ria
Menjadi lokasi berpusatnya 1400 peniaga, Kompleks Kubah Ria atau Medan Niaga Satok adalah pasar yang terbesar di Kuching. Pasar yang terletak di dalam struktur yang masih baru ini sebenarnya menggantikan Pasar Ahad Satok yang lama.
Terdapat 5 bahagian berbeza, iaitu pasar tani, pasar basah, pasar kering, plaza dan kafeteria. Perut menggerodak setelah puas makan angin di sekitar Kuching?
Datang sahaja ke sini! Anda pasti tak akan kecewa dengan pilihan yang ada, terutama sekali bagi anda yang ingin mencuba masakan terkenal negeri ini seperti nasi ayam penyet, mee kolok dan banyak lagi.
Alamat: Q309, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 10.00 pm)
37. Pasar Serikin
Bukanlah terletak di Kuching, namun bagi anda yang tidak kisah untuk meneroka sedikit jauh iaitu dalam sekitar 1 jam dari Kuching sambil menikmati pemandangan sepanjang perjalanan, anda bolehlah singgah ke Pasar Serikin.
Berbaloi ke datang jauh-jauh untuk ke sini? Kalau anda nak tahu, pasar ini boleh dikatakan sebagai antara hotspot yang sering menjadi pilihan ramai pelancong untuk mendapatkan hasil kraftangan tradisional dalam harga yang sangat berpatutan daripada tempat lain.
Antara yang boleh ditemui di sini adalah hasil anyaman tikar, rotan, bubu dan sebagainya. Lapar? Makanan tradisional Sarawak pun ada dijual.
Di pasar ini juga, anda berpeluang untuk melihat keharmonian kehidupan pelbagai etnik di Sarawak memandangkan peniaga di sini adalah daripada etnik yang berbeza.
Alamat: Pasar Serikin, Serikin, Bau, Sarawak
Waktu Operasi: Sabtu (6.00 am – 6.00 pm) | Ahad (6.00 am – 2.00 pm)
36. Sarawak River Cruise
Nikmati keindahan yang mustahil dapat dinikmati di daratan dan hanya boleh disaksikan sekiranya anda menyelusuri Sungai Sarawak dengan Sarawak River Cruise. Sama ada untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam (Sunset Cruise) atau melihat tarikan-tarikan di sekitar Kuching (Sighseeing Cruise), bayaran yang dikenakan sangat berpatutan.
Untuk perjalanan Sighseeing Cruise, kapal akan bertolak pada pukul 3 petang (hujung minggu) dengan perjalanan yang memakan masa selama 1 jam bagi menyaksikan panorama 360 darjah melalui kawasan sungai yang dikelilingi oleh mercu tanda di Bandaraya Kuching.
Bagi pakej Sunset Cruise pula, perjalanan ini ditawarkan setiap hari bermula dari pukul 5.30 petang. Anda dapat menikmati pemandangan dari Sky Deck kapal sambil menikmati jus yang disediakan.
Website: sarawakrivercruise.com
Alamat: Kuching Waterfront, Kuching, Sarawak
Waktu Operasi:
- Signature Sunset Cruise: 5.30 pm – 7.00 pm
- Sightseeing Cruise: Sabtu, Ahad Bergantung Pada Ketersediaan (Bertolak Pada 3.00 pm)
Bayaran Masuk:
- Signature Sunset Cruise: Dewasa RM65 | Kanak-Kanak RM32
- Sightseeing Cruise: Dewasa RM50 | Kanak-Kanak RM30
35. Uptown Kuching
Uptown Kuching adalah salah satu destinasi yang boleh anda lawati untuk berjalan-jalan cari makan semasa berada di bandaraya ini.
Kelaparan anda akan terubat sebaik memandang dan terhidu bau aneka makanan yang dijual seperti burger, mihun goreng, chicken pop, laksa Sarawak dan banyak lagi yang mampu menggoda jiwa. Bukan sahaja syurga makanan kerana pakaian, minyak wangi, cenderahati dan banyak lagi turut boleh ditemui di sini.
Inginkan suasana yang lebih tenang semasa bershopping? Datanglah seawal yang mungkin, terbaik adalah sekitar sebelum 7 petang.
Alamat: Civic Centre Carpark, 93000 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Jumaat – Sabtu (6.00 pm – 1.00 am)
34. Reservoir Park Kuching
Tidak mustahil untuk menikmati atmosfera persis di dalam hutan di tengah-tengah kota Kuching kerana ianya dapat dinikmati di Reservoir Park Kuching.
Hanya ditemani kehijauan serta bunyi kicipan burung dan air yang mengalir, taman ini cukup sesuai untuk anda yang ingin menyelamatkan diri dari hiruk-pikuk kota dan pencemaran.
Bagi anda yang suka berfotografi juga pasti tidak akan henti-henti menekan butang kamera kerana boleh dikatakan setiap sudut taman ini cukup indah untuk diabadikan di dalam foto, dari jambatan China yang dikelilingi air kolam, air pancuran, tanaman pokok-pokok bunga di sekitar dan bermacam lagi keindahan flora yang lain, menjadikan taman ini salah satu lokasi wajib dilawati sekiranya bercuti di Kuching.
Alamat: Taman Budaya, 93000 Kuching, Sarawak
33. Gunung Santubong / Taman Negara Santubong
Alang-alang dah sampai ke Sarawak, apa kata kalau anda sempurnakan percutian dengan aktiviti penuh cabaran iaitu mendaki ke puncak Gunung Santubong. Dengan ketinggian mencecah 810 meter dari paras laut, menawan gunung ini adalah salah satu aktiviti lasak yang terkenal di Sarawak.
Untuk menyahut cabaran ini, anda boleh memilih daripada 4 laluan yang ada iaitu daripada Bukit Puteri, Green Paradise Cafe, laluan sebelum Perkampungan Budaya Sarawak atau dari tapak aktiviti Permai Rainforest Resort. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak adalah dalam sekitar 3 ke 4 jam bergantung kepada stamina dan laluan yang digunakan.
Daripada keempat-empat pilihan ini, trek yang terkenal dalam kalangan pendaki adalah Bukit Puteri kerana perjalanan yang lebih mudah dan pendek iaitu dalam sekitar 6.7 km. Jangan lupa untuk mendapatkan perkhidmatan jurupandu bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini.
Alamat: Taman Negara Santubong, Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: 8.00 am – 5.00 pm
Bayaran Masuk: RM8
32. Rumah Terbalik Kuching (Upside Down House Kuching)
Dah bosan melihat dunia yang terlampau normal? Jom rasai pengalaman yang tidak masuk dek akal di Rumah Terbalik Kuching di mana segalanya terbalik daripada kedudukan yang sepatutnya.
Mungkin tidak terlalu pelik kalau anda pernah menjadi angkasawan, tapi inilah peluang untuk anda bergambar seolah-olah mampu mengangkat barangan yang berat atau terbang di siling.
Alamat: No. 281-1-1, Lot 281, Jalan Borneo, Off Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30 am – 6.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.30 am – 7.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM15 | Kanak-Kanak RM10
31. Jambatan Darul Hana
Selain mengikuti cruise, satu lagi cara untuk anda menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang terindah di Sarawak adalah dengan melawat Jambatan Darul Hana.
Bila tiba waktu malam pula, kawasan di sekitar akan dilimpahi cahaya warna-warni yang memukau pandangan. Tak cukup lagi? Dengan bayaran hanya RM1 anda boleh menaiki feri yang ditawarkan di sini untuk menyaksikan keindahan dari kawasan sungai.
Di samping itu, di sekitar Jambatan Darul Hana juga terdapat pertunjukan pancuran air muzikal yang berdurasi 15 minit pada setiap pukul 8.30 malam dan 10 malam.
Alamat: Jambatan Darul Hana, Kuching, Sarawak
30. Sarawak Regatta
Hadiah kemenangan yang bukan main besar, Sarawak Regatta adalah sebuah acara perlumbaan bot 14 kategori, dengan 24 buah perlumbaan secara keseluruhannya yang menawarkan habuan mencecah sehingga RM240,000 dan cash sehingga RM10,000 (untuk acara tahun 2019).
Cukup ramai yang mengambil bahagian, termasuklah daripada agensi kerajaan, sektor swasta, penduduk kampung dan penyertaan dari negara luar seperti Brunei dan Indonesia.
Selain perlumbaan bot, program lain yang turut diadakan adalah Brooke Swim, tarik tali dan menangkap itik. Bagi para pengunjung pula, selain dapat merasai kesengitan pertandingan, anda turut boleh melihat jualan serta pameran pelbagai barangan tradisional. Lapar? Jualan makanan juga tidak kurang banyaknya.
Kalau anda nak tahu, tradisi ini telah dimulakan dari tahun 1872 lagi iaitu ketika era James Brooke dengan tujuan untuk mengelakkan peperangan antara kaum atau etnik melalui persaingan yang lebih sihat.
Alamat: Kuching Waterfront, Jalan Main Bazaar, Kuching
Waktu Operasi: Acara Tahunan
Sarawak Regatta 2019: 1 Nov 2019 (9.00 am) – 3 Nov 2019
29. Matang Family Park
Matang Family Park adalah sebuah kawasan taman flora dengan aliran air sungai yang segar dari pergunungan. Terletak hanyalah 22 km dari Kuching, taman ini adalah sebuah hutan hujan tropika yang berkeluasan mencecah 87.50 ekar.
Untuk mengakses kawasan air terjunnya dari tempat meletak kereta juga cukup mudah, menjadikan ianya lokasi yang sesuai dilawati bagi anda yang datang bersama keluarga.
Di samping itu, Matang Family Park turut lengkap dengan prasarana seperti platform berjalan kaki, pondok rehat, jambatan gantung, bbq pit, menara pemerhatian, bilik mandi dan bilik persalinan.
Alamat: Jalan Matang, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 5.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM4 | Kanak-Kanak 12 Tahun & Kebawah RM2 | Bawah 6 Tahun Percuma | Sewa BBQ RM5
28. Pasar Malam Metro City
Jom kelilingi diri dengan belia yang berjiwa keusahawanan di Pasar Malam Metro City. Kawasan pasar yang diwujudkan dengan tujuan untuk menambah pendapatan muda-mudi di sekitar Petra Jaya ini cukup meriah dengan jualan aneka makanan dan barangan yang boleh merambangkan mata.
Bercakap tentang makanan, antara yang boleh anda cuba kalau datang ke sini adalah kopi Vietnam, teh tarik kaw, burger, goreng pisang cheese, kek cheese dan macam-macam lagi yang mengiurkan.
Sambil melihat barangan jualan, anda juga akan dapat menyaksikan bermacam persembahan jalanan di sekitar pasar. Memang happening!
Alamat: Pasar Malam Metro City, Kampung Won, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Rabu, Khamis (6.30 pm – 12.00 am) | Jumaat, Sabtu (6.30 pm – 1.00 am)
27. Masjid Darul Hana
Masjid Darul Hana adalah sebuah masjid yang istimewa kerana ianya dikatakan masjid pertama di Kuching yang memiliki ruang legar indah yang dibina khas untuk majlis akad nikah.
Masjid yang dibina dengan nilai RM28 juta ini secara keseluruhannya memiliki gaya seni bina yang moden dengan dekorasi dalaman mewah yang dapat membuatkan anda berasa seolah-olah berada di dalam sebuah rumah agam yang dihias indah.
Alamat: Kampung Panglima Seman, 93050 Kuching, Sarawak
26. Bukit Gondol Kampung Pugu
Selain aktiviti mendaki gunung, bagi anda yang masih berjinak-jinak dalam dunia pendakian atau teringin menikmati keindahan dari tempat tinggi tanpa perlu menempuh perjalanan yang sukar, bolehlah jadikan Bukit Gondol Kampung Pugu sebagai destinasi lawatan yang seterusnya.
Di samping menjanjikan pemandangan yang indah dari kawasan puncak, perjalanan yang perlu ditempuhi sebelum tiba di bukit ini juga cukup menarik kerana anda perlu melalui kawasan pantai yang menghamparkan pemandangan yang sungguh mendamaikan jiwa.
Setibanya di kawasan bukit, jangka masa yang diambil untuk mendaki hanyalah dalam sekitar 5 minit. Namun begitu, elakkan daripada datang pada waktu tengahari supaya tidak terseksa dengan pancaran matahari yang terik.
Alamat: Kampung Pugu, Lundu, Kuching, Sarawak
25. Pantai Puteri
Tidak jauh dari bandaraya Kuching adalah sebuah destinasi yang mampu membuatkan sesiapa pun jatuh hati dengan keindahannya, Pantai Puteri, yang sentiasa mengalunkan bunyi ombak yang menyegarkan halwa telinga.
Pantai ini cukup menarik untuk dilawati bagi menghilangkan semua masalah yang terbuku di dada walau sementara. Suasananya cukup mendamaikan dengan pemandangan ombak berhempasan dan pasir yang lembut dipijak.
Alamat: Pantai Puteri, Santubong, Kuching
24. Kampung Skuduk / Kampung Chupak
Kaki fotografi? Sangat rugi kalau anda tidak menjejakkan kaki ke Kampung Skuduk / Kampung Chupak. Jaraknya dengan Bandaraya Kuching hanyalah sekitar 45 minit.
Walaupun tidak sepopular destinasi tarikan lain di sekitar Kuching, Kampung Skuduk / Kampung Chupak sebenarnya tidak kurang hebat penangannya daripada yang lain. Keindahan dan ketenangan yang dapat anda nikmati sebaik tiba di kawasan perkampungan ini mustahil dapat dilupakan.
Pemandangan sawah padi berlatar belakangkan gunung-ganang yang dilitupi kabus, inilah yang dapat anda nikmati di kampung ini.
Selain membentangkan pemandangan indah, di sini turut terdapat tarikan lain iaitu Gua Raya yang boleh diteroka dengan menggunakan platform kayu yang disediakan.
Alamat: Kampung Chupak, Serian, Sarawak
23. Kampung Melayu / Kampung Boyan
Selain terkenal dengan kepelbagaian etniknya, Sarawak juga tidak kurang dengan komuniti Melayu yang menjadikan beberapa kawasan di sekitar Kuching sebagai perkampungan mereka. Kebiasaannya, kampung ini terletak di sekitar Sungai Melaka.
Salah satu perkampungan Melayu yang utama adalah Kampung Boyan. Untuk menuju ke sini, anda boleh menaiki teksi ataupun bot penambang dengan bayaran hanyalah RM1.
Jangan lupa untuk singgah ke kedai jualan kek lapis yang terdapat banyak di sekitar kampung ini. Apalah gunanya bercuti ke Sarawak kalau tak bawa balik kek lapiskan?
Alamat: Kampung Boyan, 93050 Kuching
22. Taman Negara Talang-Satang
Taman Negara Talang-Satang adalah tarikan alam semula jadi yang meliputi keluasan mencecah 19,414 hektar.
Antara kawasan pulau yang termasuk di dalam taman negara ini adalah Pulau Talang-Talang Besar dan Pulau Talang-Talang Kecil (di sekitar Sematan), dan Pulau Satang Besar serta Pulau Satang Kecil (di sekitar Santubong).
Di sekitar pulau-pulau kecil ini terdapat terdapat terumbu karang yang menjadi tempat perlindungan penyu-penyu. Teringin melihat suasana ketika penyu bertelur di sekitar pantai? Rancanglah lawatan anda ke sini antara bulan Mei-September.
Lebih baik sekiranya anda menghubungi pihak pemuliharaan terlebih dahulu sebelum melanjutkan perjalanan ke sini.
Alamat: Taman Negara Talang-Satang, Sarawak
Waktu Operasi: 8.00 am – 5.00 pm
21. Astana Kuching Sarawak
Terletak berhadapan dengan Kuching Waterfront adalah sebuah lagi struktur peninggalan lama, Astana Kuching Sarawak yang telah dibina pada abad ke-19 oleh Charles Brooke sebagai hadiah perkahwinan kepada isterinya.
Untuk pengetahuan anda, struktur ini adalah binaan kediaman yang ke-3 dan juga terakhir yang dibina oleh Raja Putih Sarawak sebelum pencerobohan Jepun pada tahun 1941.
Kini, Astana Kuching merupakan kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang tidak dibuka kepada pengunjung. Namun, ketika sambutan Hari Raya, pintu pagar bangunan ini akan dibuka untuk majlis rumah terbuka.
Alamat: Jalan Astana Lot, Kampung Istana, 93050 Kuching, Sarawak
Bayaran Masuk: RM2
20. Bangunan Steamship Sarawak
Struktur yang seterusnya ini adalah sebuah bangunan lama yang telah dibina pada tahun 1930-an, Bangunan Steamship Sarawak yang merupakan milik sebuah syarikat steamship yang telah wujud sejak tahun 1875 lagi.
Pada awalnya, bangunan ini digunakan sebagai pejabat dan gudang, namun kini, setelah dibaikpulih ianya telah digunakan sebagai bangunan jualan di mana anda boleh menemui kedai serbaneka, cenderamata, kraftangan dan kedai makan.
Alamat: No. 52, P.O. Box 131, Jalan Main Bazaar, Kuching
19. Square Tower
Juga dapat dilihat dari sekitar Sungai Sarawak adalah Square Tower. Bangunan ini pada asalnya dibina untuk dijadikan penjara pada tahun 1879 sebelum dijadikan kubu.
Selain pernah digunakan untuk tujuan serius seperti yang dikatakan tadi, menara berbentuk segi empat ini juga pernah digunakan oleh Brooke sebagai dewan tari-menari.
Kini, ianya berfungsi sebagai sebuah restoran yang menghidangkan makanan barat. Kalau tak kisah untuk berbelanja lebih, datanglah untuk menikmati hidangan di sini. Bila lagi nak rasa pengalaman makan dalam bangunan klasik kan?
Alamat: Jalan Main Bazaar, 93000 Kuching, Sarawak
18. Masjid India Bandar Kuching
Masjid India Bandar Kuching ataupun Masjid Terapung Kuching ini adalah sebuah tarikan baru di bandaraya ini.
Dibina dengan kos mencecah RM21 juta, masjid ini didirikan di atas tapak yang asalnya hanyalah sebuah pondok kecil dibina oleh India Muslim untuk beribadah semasa berniaga di kawasan sekitar.
Terletak di tebing Sungai Sarawak, keindahan masjid yang kelihatan seolah-olah terapung di atas air ini wajib disaksikan sendiri.
Alamat: Gambir Street, 93000 Kuching, Sarawak
17. Tasik Biru
Tasik Biru, pada asalnya adalah sebuah tapak perlombongan emas. Dikatakan pada ketika itu, kawasan tasik ini memiliki emas yang terindah dan yang paling berkualiti di dunia.
Namun begitu, kerja-kerja perlombongan ini terpaksa dihentikan kerana menyebabkan masalah pemendapan di kawasan sekitar. Kini, ia adalah sebuah taman rekreasi yang indah untuk dilawati bersama keluarga. Lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti tandas, kedai makan dan banyak lagi.
Alamat: Tasik Biru, Bau, Kuching
16. Masjid Bandaraya Kuching (Masjid Negeri Lama)
Sudah berjalan kesana-kemari, nak menambahkan berkat perjalanan, jangan lupa untuk singgah ke Masjid Bandaraya Kuching ataupun masjid lama negeri ini.
Lamanya bukan kepalang sebab ia merupakan masjid yang pertama di Bandar Kuching yang dibina oleh pemimpin yang dihormati di Sarawak pada ketika itu, Datu Patinggi Ali pada tahun 1847.
Masjid klasik ini pada asalnya dibina menggunakan kayu dimana atapnya terdiri daripada kayu bulian dan dindingnya pula daripada papan. Bangunan lama ini kemudiannya diperbaharui pada tahun 1968 menjadi struktur yang lebih kukuh yang lengkap dengan kubah yang bewarna keemasan.
Untuk pengetahuan anda, masjid ini mampu menampung sehingga 4000 orang jemaah pada satu-satu masa.
Alamat: 332, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No3, 93400 Kuching
15. Tugu Kuching
Tak sah kalau tak bergambar dengan lambang yang terpenting di Kuching kalau dah melancong ke sini. Mercu tanda ini tak lain tak bukan adalah Tugu Kuching yang megah berdiri di hadapan hotel-hotel dan pusat membeli-belah bandaraya ini.
Tugu yang berada di dalam roundabout ini dijaga dengan baik oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara yang sentiasa memastikan agar warna tugu ini tidak pudar. Maka, bagi anda yang nak bergambar di sini tak perlulah risau ya? Warnanya tetap vibrant bila-bila masa sahaja anda bercadang untuk berposing di sini.
Alamat: Jalan Tunku Abdul Rahman, 93100 Kuching
14. Muzium Kucing
Ke mana nak pergi tanpa perlu keluarkan bajet di Kuching ni tapi dalam masa yang sama best bukan main? Jawapannya adalah Muzium Kucing! Jangan main-main, muzium yang juga terletak di ‘Kuching’ ini adalah muzium kucing yang pertama yang terdapat di dunia.
Muzium yang terletak di dalam bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara di atas Bukit Siol ini menempatkan lebih daripada 3000 pameran yang menarik hati.
Berkeluasan lebih daripada 1000 meter persegi, muzium ini memiliki 4 buah galeri yang didalamnya terdapat lebih daripada 50 pameran berbeza seperti jenis-jenis kucing, kucing pada zaman pertengahan, koleksi Garfield, koleksi buku kucing, koleksi Hello Kitty, info tentang kucing pada zaman purba Mesir dan banyak lagi.
Tak ada apa lagi yang perlu anda Google tentang kucing sebaik melawat muzium ini. Nak jadi pakar kucing? Jom ke sini!
Alamat: Bangunan DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang, Petra Jaya, 93050 Kuching
Waktu Operasi:Â Setiap Hari Kecuali Cuti Umum (9.00am – 5.00pm)
13. Taman Sahabat Kuching Sarawak
Taman Sahabat Kuching Sarawak adalah sebuah taman rekreasi yang dibina pada tahun 2005 hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China untuk memperingati hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah pun mencapai ulang tahun ke-30.
Taman indah yang terletak di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu taman Malaysia dan taman China.
Di dalam kawasan Malaysia, anda sekeluarga dapat melihat Sarawak Fountain yang mana berdirinya sebuah monumen yang menjadi simbol kepada kepelbagaian etnik di Sarawak, di hadapannya pula terdapat Malaysia Murals yang memaparkan 14 buah dinding (14 buah negeri di Malaysia).
Di dalam taman China pula, terdapat jambatan zig-zag, perigi permintaan (wishing well), pondok rehat berinspirasikan Kunming dan Beijing, sebuah tugu yang berketinggian 20 kaki Laksamana Cheng Ho dan banyak lagi.
Berjalan-jalan di sini, anda sekeluarga juga dapat menyejukkan mata melihat kelibat-kelibat ikan koi yang berenang dengan penuh keseronokan di dalam kolam-kolam yang ada di sini.
Nak tenangkan fikiran dari kacau-bilau di bandar? Tariklah nafas lega sebentar di dalam taman yang mendamaikan ini.
Alamat: Tabuan Heights, 93350 Kuching
Bayaran Masuk: Percuma
12. Taman Negara Gunung Gading
Dah selalu melihat bunga Rafflesia dalam brochure pelancongan atau National Geographic, bila lagi nak melihatnya di depan mata? Anda boleh merasai pengalaman ini sendiri dengan menjejakkan kaki di Taman Negara Gunung Gading.
Kalau anda nak tahu, taman negara ini adalah tempat di mana pemuliharaan bunga terbesar di dunia ini dilakukan.
Pada mulanya, projek ini dilaksanakan secara tertutup oleh Jabatan Taman Negara, namun kemudiannya ia dibuka supaya orang ramai dapat melihat khazanah alam ini dengan lebih dekat. Pihak berkuasa masih memantau aktiviti ini untuk memastikan tiada sebarang kerosakan berlaku sewaktu lawatan orang ramai.
Macam mana? Excited tak nak tengok bunga Rafflesia ni? Sebelum anda ke sini, anda perlu tahu bahawa bunga ini mengambil masa dalam 8 ke 9 bulan untuk mencapai kematangan dan hanyalah berbunga penuh untuk 4 ke 5 hari sebelum mati, jadi anda perlulah bertanya dengan pihak taman negara ini terlebih dahulu tentang waktu yang terbaik untuk melawat bagi mengelakkan kekecewaan ya?
Alamat: Taman Negara Gunung Gading, 94500 Lundu
Waktu Operasi:Â 8.00am – 5.00pm
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM3 | Kanak-Kanak Bawah 6 Tahun Percuma | OKU RM5
11. Hutan Simpan Semenggoh
Sudah melihat orkid, rafflesia dan monyet Belanda, apa lagi yang belum dibuat di tanah Borneo ini? Apa lagi kalau bukan melihat haiwan terkenal di Borneo ini iaitu orang utan!
Terletak hanyalah 30 minit pemanduan dari pusat bandar Kuching, Hutan Simpan Semenggoh merupakan tempat di mana orang-orang utan dididik oleh renjer-renjer hutan supaya pandai ‘membawa diri’ apabila dilepaskan di dalam hutan.
Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang dibina pada tahun 1920 ini bukan sahaja menjadi tempat rawatan untuk orang utan, tapi juga kepada lebih daripada 1,000 ekor haiwan liar yang lain.
Waktu yang paling menarik untuk ke sini adalah sewaktu orang-orang utan diberi makan iaitu pada sekitar pukul 9.00am ke 10.00am dan 3.00pm ke 3.30pm.
Jangan terkejut pula kalau anda terdengar penjaga-penjaga di sini memanggil nama manusia seperti Salina untuk turun dari pokok yang tinggi bila waktu makan tiba. Sebabnya, orang utan di sini diberikan nama seperti manusia. Specialkan layanan untuk haiwan dekat sini?
Alamat: Jalan Puncak Borneo, 93250 Kuching
- Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum Tutup
- Waktu Orang Utan Diberi Makan: 9.00 am – 10.00 am & 3.00 pm – 4.00 pm
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Bawah 18 Tahun RM2 | Kanak-Kanak Bawah 6 Tahun Percuma | OKU & Warga Emas RM3
10. Kuching Wetlands National Park
Terletak hanyalah dalam 5 km dari Pantai Damai, Kuching Wetlands National Park merupakan sebuah taman negara yang berkeluasan 6610 hektar yang hampir keseluruhannya terdiri daripada hutan paya air masin.
Cara yang paling best untuk menerokai taman negara ini adalah dengan menyelusuri sungai menggunakan bot sewa yang disediakan. Anda dapat melihat pemandangan kawasan perkampungan Melayu serta banyak hidupan fauna lain yang selalu dilihat di dalam kaca tv secara live.
Alamat: Petra Jaya, 93050 Kuching
9. Kuching Civic Centre
Tak sempat untuk melawati semua tarikan yang ada di negeri ini? Nak pendekkan jalan cerita, anda bolehlah melawat Kuching Civic Centre.
Walaupun tak dapat melawat kesemua tempat best di sini, sekurang-kurangnya dapatlah anda melihat dari jauh tempat-tempat seperti Gunung Santubung, Gunung Serapi dan banyak lagi di sekitar Kuching ini secara 360 darjah.
Kalau cuaca baik dan pandangan mata 20/20, pemandangan anda boleh menjangkau sehingga ke kawasan pergunungan Kalimantan.
Yang menariknya lagi, million dollar view ini boleh anda nikmati dalam harga hanya RM2. Macam tak ada sebab untuk tak pergi bukan?
Alamat: Jalan Taman Budaya, Kuching
Bayaran Masuk: RM2
8. Pantai Damai
Bercadang untuk berkelah sewaktu berada di Kuching? Anda boleh memilih Pantai Damai sebagai lokasi untuk anda menebarkan tikar berkelah.
Sambil menikmati juadah yang dibawa, anda dapat menyejukkan mata dengan pemandangan indah pantai ini yang cukup terjaga kebersihannya serta hutan hujan tropika yang mengelilingi Gunung Santubong.
Setelah puas melegakan paru-paru dengan udara yang segar, anda boleh meneruskan langkah ke Kampung Kebudayaan Sarawak yang terletak hanyalah 10 minit perjalanan dari sini.
Alamat: Teluk Bandung Santubong, 93756 Kuching
7. Kampung Kebudayaan Sarawak (Muzium Kebudayaan Sarawak)
Kampung Kebudayaan Sarawak ataupun Muzium Kebudayaan Sarawak adalah antara sebuah tarikan yang wajib dilawati di negeri ini.
Terletak di dalam kawasan berkeluasan 17 ekar di kaki Gunung Santubong, muzium ini bukanlah sebuah muzium biasa. Kenapa? Kerana ia merupakan muzium hidup, sesuai dengan namanya, tidak ubah seperti kawasan kampung yang sebenar.
Di sini anda dapat melihat secara realistik rumah-rumah unik etnik-etnik dan masyarakat yang terdapat di Sarawak seperti rumah tinggi Melanau, rumah menyuarat kaum Bidayuh, tempat simpan senjata dan banyak lagi. Kalau bernasib baik, anda juga dapat melihat perlangsungan perkahwinan sebenar orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan masyarakat Melayu sendiri.
Di dalam rumah-rumah ini juga terdapat kakitangan yang menunjukkan aktiviti seharian mereka sebagai etnik tertentu, lengkap dengan pakaian tradisional.
Alamat: Kampung Budaya Sarawak, 93010 Kuching
- Waktu Operasi: Bergantung Kepada Aktiviti
- Waktu Persembahan: Setiap Hari (11.30 am & 4.00 pm)
Bayaran Masuk (Online): Dewasa RM50 | Kanak-kanak RM25
6. Taman Buaya Jong
Anda seorang yang berjiwa berani? Jangan lupa untuk singgah ke taman buaya yang terbesar di Malaysia iaitu Taman Buaya Jong. Taman buaya ini menempatkan lebih daripada seribu ekor buaya yang mana kesemuanya setia menanti kedatangan anda di sebalik sangkar yang menjadi habitat mereka.
Anda juga boleh melihat aksi buaya-buaya ini menyambar bangkai ayam yang digantungkan pada tali rentang pada waktu makan mereka iaitu setiap pukul 11.00am dan 3.00pm.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh melawat Muzium Buaya yang turut menempatkan tulang buaya bernama Bujang Senang yang merupakan antara buaya paling kejam di Sarawak.
Andai kata sebaik membayar tiket tiba-tiba terasa meremang bulu roma dan tak jadi nak tengok buaya, anda boleh melihat banyak lagi haiwan lain yang turut terdapat di sini seperti biawak monitor, monyet, musang, beruang madu, burung merak dan lain-lain lagi. Taman buaya yang bukanlah sekadar buaya.
Alamat: Siburan, 29Km Kuching-Serian Road, 93250 Kuching
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Waktu Buaya Diberi Makan (11.00am – 3.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM24 | Kanak-kanak RM12
5. Taman Orkid Kuching
Suka bunga orkid tapi tidak memiliki stamina yang tinggi untuk berjungle trekking di Taman Negara Kubah yang dikatakan kaya dengan pelbagai spesies orkid? Jalan mudahnya adalah dengan melawati Taman Orkid Kuching.
Bukan sikit variasi orkid yang ada dalam taman ini, kerana kalau dikira, terdapat lebih daripada 80,000 orkid kesemuanya di atas tanah yang berkeluasan 15 ekar ini.
Walaupun tidak perlu menerokai hutan, untuk sampai ke taman orkid ini anda perlu menyeberangi Sungai Sarawak menuju ke Jeti Pangkalan Sapi. Dari jeti ini, anda perlu berjalan kaki hanya 5 minit untuk sampai ke pintu masuk Taman Orkid.
Sebagai peringatan, orkid adalah sejenis tumbuhan yang berbunga mengikut musim, maka kajilah terlebih dahulu musim-musimnya sebelum ke sini ya? Di samping itu, kawasan taman ini kurang teduhan dari panahan mentari, kalau tak nak mekap cair atau muka berpeluh semasa berposing untuk gambar, datanglah ke sini seawal yang mungkin.
Alamat: Taman Orchid, 96000 Kuching
Waktu Operasi: Isnin Tutup | Selasa – Ahad (9.30am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: Percuma
4. Muzium Sejarah Cina Sarawak
Dirasmikan pada tahun 1993 sebagai Muzium Sejarah Cina Sarawak, bangunan muzium ini sebenarnya meyimpan memori yang jauh lebih lama daripada itu. Struktur muzium ini telah dibina pada tahun 1912, sejak dari itu sehinggalah tahun 1921, bangunan ini digunakan sebagai mahkamah oleh masyarakat Cina.
Kini, muzium ini meyimpan pelbagai bukti berkaitan sejarah masyarakat Cina sejak zaman pemerintahan Raja Putih. Barangan pameran yang dapat dilihat di sini adalah seperti peralatan muzik, barangan seramik, dan banyak lagi.
Di samping itu, anda juga dapat mengetahui lebih mendalam berkenaan kepelbagaian etnik Cina yang wujud serta info-info berkaitan yang lain.
Alamat: Jalan Main Bazar, 93100 Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm) | Hari Pertama Cuti Umum, Ulang Tahun T.Y.T, Hari Pekerja & Hari Malaysia Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
3. Muzium Tekstil
Bangunan dengan seni bina Renaissance Inggeris ini pada asalnya merupakan Pusat Perubatan sebaik selesai pembinaannya pada tahun 1907. Kemudiannya, bangunan ini diambil alih untuk dijadikan Jabatan Pendidikan.
Namun sejak Ogos 2000, bangunan ini telah dijadikan sebagai Muzium Tekstil yang mempamerkan kepelbagaian busana tradisional dan tekstil hasil tenunan etnik-etnik yang terdapat di Sarawak. Bukan sekadar pameran yang biasa, anda juga dapat melihat bagaimana tekstil ini dihasilkan dari benang hinggalah ia siap sebagai sehelai kain.
Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm)
Bayaran Masuk: Percuma
2. Islamic Heritage Museum
Islamic Heritage Museum merupakan sebuah tempat menarik di Kuching yang memaparkan kekayaan khazanah sejarah dan budaya masyarakat Islam di Nusantara. Muzium ini turut menyampaikan info tentang hubungan antara perkembangan Islam di pelusuk ini dengan kawasan lain di dunia.
Bermacam informasi yang dapat anda ketahui dengan melihat 7 seksyen pamerannya antaranya adalah tentang sejarah Islam di Sarawak, senibina Islam, perkembangan ilmu pengetahuan dalam dunia Islam, kostum muzik, senjata dan banyak lagi.
Alamat: Jalan P. Ramlee, 93400 Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm)
1. Kuching Waterfront
Nak tahu di mana tempat paling happening di Kuching? Lokasinya adalah di Kuching Waterfront. Terletak pada sepanjang 1 km di tepian Sungai Sarawak, pelbagai tarikan yang menarik untuk dilawati di Kuching terletak di sini, antaranya adalah tokong Cina yang tertua iaitu Tokong Tua Pek Kong serta monumen Charles Brooke.
Apa lagi istimewanya di Kuching Waterfront ini? Sekiranya anda ke sini pada waktu siang, anda dapat menikmati pemandangan yang memukau jiwa Kubu Margherita, Astana dan perkampungan Melayu yang terletak di seberang sungai.
Untuk menikmati pemandangan di sekitar dengan lebih ‘dramatik’ lagi, anda boleh menaiki bot Penambang dari jeti ke jeti. Sebelum pulang, jangan lupa untuk membeli cenderamata yang banyak dijual di sekitar Waterfront.
Alamat: Main Bazaar, 93000 Kuching
Taman-taman negara yang mendamaikan, muzium yang padat dengan informasi dan tugu-tugu yang unik, ini hanyalah sedikit cebisan daripada semua tarikan yang ditawarkan oleh bandaraya ini. Percayalah, semakin banyak anda teroka, semakin mendalam rasa cinta anda kepada negeri yang dinamakan sempena nama haiwan comel ini.
Bagi anda yang ingin mengembara lebih luas di tanah Borneo ini, anda boleh membaca artikel kami bertajuk 23 Tempat Menarik Di Sarawak.
Baca: 23 Hotel Murah Di Kuching Yang Sesuai Untuk Bajet Traveller
Sudah kenyang merasai masakan pelbagai etnik di Sarawak? Jom cuci mata dengan keindahan satu lagi negeri dalam Malaysia yang terletak di Kepulauan Borneo iaitu Sabah, nak tahu di mana tempat-tempat menarik dalam negeri ini? Mai singgah baca artikel kami bertajuk 67 Tempat Menarik di Sabah.
Puaskanlah jiwa kembara anda dengan menuju ke Kepulauan Borneo, percayalah, tiada tempat permulaan yang lebih menyeronokkan daripada di kotaraya yang happening ini sebelum ke destinasi lain. Semoga berseronok di bandaraya Kuching!