Keindahan pemandangan yang memukau jiwa, kesegaran makanan laut yang menceriakan deria, segalanya dapat anda sekeluarga nikmati di pekan kecil, Lumut ini. Bandar yang memegang identiti sebagai bandar tentera laut ini menyimpan pelbagai tarikan yang mesti anda singgahi walaupun sekali di dalam hidup.
Bandar yang kaya dengan sejarah dan pantai yang indah ini mampu mengukir memori yang sukar dilupakan seisi keluarga. Dimanakah dapat anda mencipta memori ini? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Lumut yang pasti membuat anda teruja.
14. Pantai Teluk Batik
Sekiranya sewaktu bercuti ke Lumut anda tidak singgah ke Pantai Teluk Batik, tersangatlah rugi kerana di sinilah terletaknya sebuah pemandangan indah yang sukar diungkapkan dengan kata.
Pantai yang berpasir putih, dengan air laut yang jernih beserta dengan pukulan ombak yang tenang ini menjadi pilihan ramai orang yang bercuti kerana kesesuaiannya untuk dijadikan tempat bermandi-manda dan bermain sukan air seperti Big Mable dan Banana Boat.
Bukan itu sahaja, jika dilihat di sekitarnya, cukup meriah dengan kehadiran pelbagai jenis kedai makan, anda boleh menikmati makanan di bawah pokok-pokok rhu yang tumbuh mekar di tepi pantai sambil merasai bayu laut yang menyegarkan. Nak ekstra sikit? Kerusi pantai turut disediakan, menanti untuk disewa dengan harga bawah RM5.
Aktiviti lain yang boleh anda lakukan di sini adalah memancing di kawasan berbatu di pantai ini, memang syoklah berbbq kalau anda berjaya menggoda beberapa ekor ikan segar untuk menyinggahi joran anda.
Alamat: Pantai Teluk Batik, 32200 Lumut
13. Jeti Lumut
Jika anda membayangkan keadaan jeti yang klasik, Jeti Lumut bukanlah salah satu darinya. Cukup moden dan cantik sekali struktur terminal jeti ini, fasiliti yang disediakannya juga agak mesra pelancong dengan kehadiran banyak kedai makan dan jualan barangan yang lain.
Untuk mengisi perut sebelum naik kapal di jeti ini, anda tak perlu bersusah-payah mencari kedai makan di tempat lain kerana di sini sahaja banyak pilihan makanan tersedia seperti mee udang yang enaknya bukan kepalang, air kelapa yang segar, cendol dan macam-macam lagi.
Selain itu, jika anda membawa kenderaan sendiri, jeti ini turut menyediakan ruang meletak kereta yang tersusun untuk anda parking dengan penuh ketenangan sebelum menuju ke pulau idaman hati.
Alamat: Jeti Lumut, 32200 Lumut
12. Pusat Ekologi Vale
Pusat Ekologi Vale yang dibuka pada tahun 2015 bertujuan untuk memelihara hutan Teluk Rubiah seluas 715 ekar merangkumi kawasan darat, sungai dan pesisir pantai. Syarikat perlombongan Vale dengan kerjasama Malaysian Nature Society (MNS) dan NGO tempatan menguruskan pusat ekologi ini kerana terdapat banyak khazanah alam yang bernilai di kawasan sini.
Biodiversiti di hutan ini terdiri daripada lebih 100 spesies pokok kayu keras, 125 spesies burung termasuk burung enggang, 28 spesies pepatung, beberapa spesies mamalia kecil termasuk 3 spesies mawas dan 8 jenis batu karang serta beberapa spesies marin. Atas tanggungjawab memelihara khazanah ini, tertubuhlah Pusat Ekologi Vale.
Aktiviti yang boleh anda lakukan di sini ialah berkhemah, menjelajah hutan, birdwatching, mengkaji serangga, memerhati kelip-kelip, melakukan aktiviti ekologi dan memantau air sungai dan pesisir pantai. Pusat ini juga terbahagai kepada 3 laluan iaitu laluan utama yang berjarak 400 meter, laluan air terjun (1400 meter) dan laluan pesisir pantai yang berjarak 2200 meter. Anda juga boleh melakukan day-trip hiking di sini dengan menggunakan laluan-laluan ini. Sepanjang menggunakan laluan air terjun, panorama di sini sangat indah dengan bunyi-bunyi air sungai yang sejuk mengalir serta puncak-puncak bukit yang memiliki pemandangan indah laut Selat Melaka. Sepanjang laluan ini juga anda akan melihat pelbagai jenis flora yang unik serta kelibat beberapa jenis haiwan seperti lotong cengkong (dusty leaf monkey) dan tupai kerawak.
Aktiviti berkhemah disini sering menjadi tumpuan tertutama bagi pelajar sekolah. Untuk menjelajah hutan di sini, anda boleh mendapatkan khidmat pemandu arah sambil diberi penerangan mengenai flora dan fauna yang ada di sini. Keterujaan anda pasti tertumpu kepada kelibat spesies burung enggang yang hinggap di pokok secara berkumpulan. Mana tidaknya, pasti ramai menyangka burung enggang yang ikonik kepada sarawak turut ada di sini. Walau bagaimanapun, spesies enggang di Lumut ini berbeza kerana ia dari jenis indo-malaya peid hornbill dan black hornbill.
Untuk merancang percutian di sini amat mudah. Anda boleh menginap di beberapa resort berdekatan yang berada bersebelahan dengan pusat ekologi ini. Kanak-kanak juga boleh masuk ke pusat ini kerana pendakian dan perjalanan melalui laluan-laluan yang disediakan tidaklah begitu sukar. Malah ini peluang untuk anda mendidik anak-anak akan kepentingan biodiversiti Malaysia.
Lokasi: Persiaran Teluk Batik, Teluk Batik, 32200 Majung, Perak
Waktu Operasi: Isnin – Ahad & Cuti Umum: 8.30am – 6pm
Harga Tiket: Percuma
11. Lumut Waterfront
Sekitar 1 km dari Jeti Lumut adalah sebuah lagi tarikan, Lumut Waterfront yang cukup sesuai untuk dijadikan lokasi berjalan-jalan bersama keluarga sambil menikmati pemandangan air tenang di sepanjang sungai. Anda juga boleh menikmati makanan seperti ais kacang yang terdapat di sini dengan ditemani angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapa tubuh.
Di samping itu, anda boleh juga menyewa basikal ataupun skuter elektrik dalam harga yang berpatutan untuk makan angin di sekitar waterfront dengan cara yang baru. Asyik berjalan kaki je kan? Naiklah skuter atau basikal pula, barulah dapat merasa pengalaman percutian yang berbeza sikit, setuju?
Alamat: Lumut Waterfront, 32200 Lumut
10. Bazaar Lumut
Tidak jauh dari Lumut Waterfront, adalah sebuah tempat bershopping dengan bangunan berwarna merah yang dibuka khas untuk para pelancong yang datang dari jauh kerana di sini anda dapat membeli pelbagai kraftangan, pakaian dan pelbagai hasil laut yang termasuklah ikan bilis bermata biru, hasil laut yang terkenal di Lumut.
Di samping itu, kedai Jeruk Pak Ali pun ada sekiranya anda terliurkan rasa masam manis jeruk buah. Pendek kata, macam-macam ada di sini, mesti kena mai singgah punyalah.
Alamat: Jalan Iskandar Shah, 32200 Lumut
9. Teluk Senangin
Pantai yang ditumbuhi pokok rhu di sekitarnya, Pantai Teluk Senangin adalah sebuah anugerah alam yang mempesonakan dengan pasir halus dan ombak yang tenang, menjadikan ia salah satu pantai pilihan untuk bermandi-manda dan beraktiviti air oleh penduduk setempat.
Selain itu, anda juga boleh merancang menaiki bot untuk menikmati keindahan pantai dalam perspektif yang berbeza sambil disapa angin yang menyegarkan. Kalau anda nak tahu, dari kawasan pantai ini juga anda boleh terlihat Pulau Pangkor yang terletak di tengah-tengah laut.
Yang bestnya, walaupun pantai ini tidak kurang hebat keindahannya, ia agak tenang berbanding Pantai Teluk Batik kerana lebih ramai pengunjung memilih untuk ke sana berbanding Telik Senangin. Nak lebih privasi? Tak perlu lihat tempat lain lagi.
Alamat: Jalan Teluk Senangin, 32200 Lumut
8. Bukit Engku Busu
Inginkan aktiviti yang lebih thrill sewaktu di Lumut? Ini adalah salah satunya, berjungle trekking di Bukit Engku Busu. Bukit yang berketinggian 331.4 meter ataupun 1087 kaki ini adalah puncak yang paling tinggi di bandar Lumut.
Untuk sampai ke puncak bukit ini, anda boleh melalui trek yang telah disediakan yang berkepanjangan sekitar 1 km.
1 km je? Jangan main-main, 1 km ini mungkin km yang paling mencabar dalam hidup anda, treknya cukup curam dipenuhi pula dengan akar-akar pokok yang meliar. Penat menempuh cabaran ini akan terbayar apabila anda sampai di puncaknya yang menyajikan pemandangan sekitar bandar Lumut.
Apa-apa pun, sebelum mendaki bukit ini, mai dengar kisah di sebalik nama yang diberikan kepadanya. Mengikut kisah lama, nama bukit ini diberikan bersempena dengan nama Raja Engku Busu yang datang dari Selangor setelah dijemput oleh Sultan Perak pada sekitar 1840-an untuk menghapuskan lanun yang menjadikan kawasan sekitar sebagai tempat penyembunyian mereka.
Namun begitu, misi tersebut gagal dan Raja Engku Busu pula terkorban. Demikianlah kisah bagaimana bukit ini mendapat namanya. Bila dah tahu kisah di sebaliknya, barulah best nak mendakikan?
Alamat: Bukit Ungku Busu, 32200 Lumut
7. Taman Paya Bakau
Taman Paya Bakau yang terletak kurang daripada 10 minit pemanduan dari Bandar Lumut ini adalah sebuah tarikan semula jadi yang dilengkapi dengan laluan pejalan kaki berkepanjangan 366 meter dan lebar seluas 6 kaki.
Anda sekeluarga dapat melihat pelbagai jenis hidupan flora dan fauna sambil menghirup udara segar.
Setelah penat, anda boleh terus merehatkan diri di pondok-pondok yang disediakan di hujung laluan. Oh! Jangan lupa untuk membawa joran! Kerana anda boleh memancing ikan di sini.
Alamat: Desa Manjung Raya, 32200 Lumut (Di Antara Jalan Ipoh – Lumut)
6. Rockbund Fishing
Rockbund Fishing adalah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga. Seperti namanya, tak sah jika datang ke sini tanpa membawa peralatan memancing. Di samping itu, sekitar Rockbund Fishing ini juga lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti surau, kedai makan, dewan dan bermacam lagi.
Untuk penginapan, Rockbund Fishing Chalet adalah sebuah penginapan unik dan indah yang patut dipertimbangkan. Chalet-chalet comel dengan pelbagai warna ceria ini terletak bersebelahan dengan air laut yang indah.
Apa lagi cara terbaik untuk meluangkan waktu cuti anda bersama keluarga selain menikmati bunyi ombak selama yang mungkin dengan menginap di tepi laut bukan? Sebuah pengalaman percutian yang pasti memuaskan hati.
Alamat: Marina Island, Jalan Utama Marina Island, 32200
Harga Penginapan: Dari RM352+ Semalaman
5. Kota Belanda
Kota Belanda yang terletak di Pulau Pangkor ini adalah sebuah peninggalan sejarah yang wajib dilihat. Di sini anda dapat melihat sisa peninggalan sebuah struktur yang dibina sekitar tahun 1670 untuk tujuan penyimpanan bijih timah yang dikumpulkan dari sekitar negeri Perak.
Namun begitu, pada tahun 1690, rakyat tempatan yang tidak menyukai cara Belanda mendapatkan bijih timah telah memusnahkan kota ini di bawah pimpinan Panglima Kulup sehingga ramai orang Belanda terbunuh.
Namun tidak lama kemudian, iaitu sekitar tahun 1749, pihak Belanda mula membaik pulih serta melindunginya dengan menempatkan ramai pengawal. Degil juga Belanda ya? Walau bagaimanapun, selepas tahun 1779, Belanda mula mengabaikan kota ini untuk menumpukan perdagangan yang sedang rancak di Maluku, Indonesia.
Setelah puas mengamati sisa kota ini, anda juga boleh melawat kawasan Batu Bersurat yang hanyalah sekitar 100 meter dari Kota Belanda.
Alamat: Kota Belanda, 32300 Pulau Pangkor
4. Pulau Marina
Pulau Marina bukanlah pulau yang biasa kerana ia adalah satu-satunya pulau buatan manusia yang terdapat di Malaysia. Pantai yang terletak bertentangan dengan Pulau Pangkor ini boleh diakses secara terus dari Pulau Pangkor dengan memandu melalui jambatan yang menghubungkan kedua buah pulau indah ini.
Sampai sahaja di Pulau Marina, anda pasti akan teruja melihat betapa kukuh dan luas sekali pulau buatan ini. Pulau yang berkeluasan 316.9 hektar ini mampu menampung pelbagai infrastruktur dan tarikan hebat untuk para pelancong.
Ingin lihat di depan mata sendiri pulau yang berbeza daripada yang lain di Malaysia ini? Jadikanlah ia salah satu destinasi sekiranya berada di Lumut ya?
Alamat: Marina Island, 32200, Perak
3. Frenzy Waterpark
Frenzy Waterpark adalah salah satu tarikan hebat sekiranya anda singgah ke Pulau Marina. Taman tema air yang terletak di Marina Island Pangkor Resort & Hotel ini menyediakan permainan membasahkan badan yang serius best!
Kalau anda ke sini, anda akan perasan cabaran-cabaran atau permainan yang terdapat di sini persis di dalam rancangan Wipeout di saluran AXN. Nak betul-betul tingkatkan stamina? Di sinilah lokasinya. Mendebarkan namun dalam masa yang sama cukup menyeronokkan. Memang rugi kalau tak cuba.
Alamat: Frenzy Water Park Marina Island, Jalan Utama Marina Island, 32200
Bayaran Masuk: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM15
2. Pulau Pangkor
Pulau Pangkor yang boleh diakses dari Jeti Lumut ini menempatkan banyak khazanah alam yang dapat mengujakan anda sekeluarga. Pantai-pantai di sini yang cukup terjaga, berpasir putih bersih dapat memukau sesiapa sahaja yang memandang.
Setelah puas menikmati pemandangan sekitar Pulau Pangkor, anda boleh melawat kawasan perkampungan di sekitarnya dengan menyewa motosikal ataupun basikal untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan kampung yang penuh harmoni. Di sekitar bandarnya pula anda boleh mendapatkan pelbagai jenis buah tangan untuk dibawa pulang.
Apa pun perancangan anda setelah tiba di Pulau Pangkor, jangan lupa sama sekali untuk mencuba ikan bakar di warung tepi pantainya. Makanlah sambil menikmati pemandangan matahari terbenam, cukup mengasyikkan.
Alamat: Pulau Pangkor, Perak
1. Swiss-Garden Beach Resort, Damai Laut
Resort boleh menjadi salah satu destinasi di Lumut? Biar betul? Kalau tak percaya, singgah dulu ke Swiss-Garden Beach Resort di Jalan Damai Laut, untuk melihat sendiri kenapa resort ini patut disinggahi.
Keindahan lanskapnya membuatkan jiwa teruja bukan kepalang. Menyajikan pemandangan air laut yang tenang, di samping air terjun buatan dengan bunyi air mengalir yang cukup menyegarkan, kolam ikan koi dan banyak lagi.
Sekiranya anda bercadang untuk menginap di resort indah ini, kemudahan lain yang turut disediakan adalah seperti kolam renang yang luas dan lengkap dengan kerusi rehat, bilik sauna, pusat kecergasan, bilik karaoke dan lain-lain.
Anda juga boleh mengatur dengan pihak resort untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti menaiki Banana Boat, ATV, memanah dan sebagainya. Sure ‘hidup’ punyalah percutian anda di sini!
Alamat: Persiaran Swiss-Garden, Jalan Damai Laut, Off Jalan Teluk Senangin, 32200 Lumut
Banyak sekali tempat menarik di Lumut ini, dari pantai-pantai yang memukau mata dan jiwa, tempat memancing yang menarik, bukit yang menguji stamina hinggalah ke taman tema air yang mendebarkan jantung. Segalanya ada di sini menanti untuk anda terokai.
Baca: 20 Hotel Murah Di Lumut
Tempat-tempat penginapannya juga tak kurang hebatnya, kaya dengan keistimewaannya yang tersendiri. Cukup banyak sebab untuk anda menjadikan Lumut sebagai destinasi percutian bersama keluarga pada musim cuti akan datang.
Rancanglah perjalanan anda dari sekarang supaya dapat menikmati keseronokan di Lumut secara 100%! Selamat bercuti ke Lumut!