45 Tempat Menarik Di Perth | Jom Bercuti Ke Western Australia

Sebut sahaja Australia, apa yang anda bayangkan? Pantai? Kanggaru? Koala?  Di pulau terbesar yang terletak di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi ini anda dapat melihat pelbagai tarikan alam semulajadi yang sangat epik!

Bagaimana pula di Perth, ibu kota Western Australia ini? Jangan anda ingat sebagai sebuah ibu negeri, susah nak cari kawasan menghijau dan laut membiru di sini, sangat banyak sebenarnya tempat menarik di Perth ini.

Bagi anda yang ingin merasai pengalaman 4 musim, Australialah negara terdekat yang boleh anda lawati. Bukan itu sahaja, monumen-monumen bersejarah juga terjaga dengan baik dan banyak yang dijadikan muzium dan diperbaharui kegunaannya. Rugi kalau anda tak gunakan bajet yang ada untuk bercuti ke sini.

Baca: 50 Destinasi Menarik Di Jepun

Lagi sebab kenapa anda patut ke Perth? Dengan adanya syarikat-syarikat penerbangan yang menawarkan pakej tambang murah terus ke Perth dari Malaysia, macam tak patut rasanya kalau anda tak gunakan peluang ini.

Dah, jangan buang masa, jom kita terokai kota Perth! Sebelum ke sana, baca dulu senarai destinasi-destinasi menarik untuk dilawati di Perth, baru senang anda nak buat perancangan aktiviti di sana nanti.

45. Scitech Discovery Centre

Scitech Discovery Centre
Sumber: Butler Family Big Lap

Pusat sains di Australia yang diberi nama Scitech Discovery Centre ini tidaklah besar mana, tapi mudahlah untuk anda melihat anak-anak bebas bergerak menerokai alam sains dalam set-up yang  cukup interaktif dan menyeronokkan.

Cukup padat dengan lebih daripada 160 jenis pameran yang kesemuanya interaktif dan khas untuk kanak-kanak. Memang tak sempatlah kalau satu jam je kat sini. Antara yang terdapat di sini adalah simulasi taufan, permainan atau eksperimen fizik dan kejuruteraan, ruang bacaan, lego, stesen buih, kereta pintar, dan lain-lain lagi.

Alamat: Sutherland Street, West Perth, WA 6005

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 4.00pm) | Sabtu & Ahad (10.00am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa AUD 19 | Kanak-kanak AUD 12 | Kanak-kanak (Bawah 4 Tahun) Percuma


44. Western Australian Maritime Museum

Western Australian Maritime Museum
Sumber: Western Australian Museum

Di pesisiran pantai Lautan Hindi terletaknya sebuah muzium yang besar, Western Australian Maritime Museum. Betapa banyaknya untuk dilihat di muzium ini sehinggakan sedar tak sedar dah 2 jam anda sekeluarga habiskan masa di sini.

Mana tidaknya, pameran-pameran yang ada di sini dibahagikan mengikut zaman dan tema masing-masing yang terdiri daripada zaman peperangan, sejarah penjajahan, transformasi Swan River dari dahulu hingga sekarang, pertahanan tentera laut, industri perikanan dan macam-macam lagilah yang berkaitan dengan lautan di Australia ni.

Cukup komprehensif!  Anda juga boleh masuk ke dalam kapal selam perang yang dipamerkan di sini.

Alamat: Victoria Quay, Fremantle, Western Australia, 6160

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa AUD 15 | Kanak-kanak (5-15 Tahun) Percuma


43. Army Museum of Western Australia

Army Museum of Western Australia
Sumber: Darren Moorhead

Kalau anda berada di Fremantle, anda mesti lawati Army Museum of Western Australia. Dengan bayaran masuk yang tidak begitu mahal, sangat banyak yang dapat anda lihat di sini yang melibatkan ketenteraan di Australia sejak sebelum Persekutuan Australia dibentuk sehingalah masa kini.

Pameran ketentaraan di sini cukup komprehensif dan interaktif dengan informasi dan barangan bersejarah yang melibatkan Australia dengan Peperangan Afrika Selatan, Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Peperangan di Korea, Vietnam dan lain-lain lagi di timur tengah.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Perth

Tour guide di sini juga sangat peramah dan teruja untuk menceritakan kisah-kisah berkaitan tentera dan peperangan kepada anda sekeluarga. Sedar tak sedar, dekat  3 jam juga anda dah habiskan masa di sini.

Alamat: Artillery Barracks Burt Street  Fremantle WA 6160

Waktu Operasi: Isnin & Selasa (Tutup) | Rabu – Ahad (10.30am – 3.00pm)

Bayaran: Dewasa AUD 10 | Kanak-kanak AUD 7 | Warga Emas AUD 7


42. Aviation Heritage Museum

Aviation Heritage Museum
Sumber: Aussie Aircraft Spotters

Terdiri daripada 2 bangunan, muzium ini menempatkan pelbagai jenis pesawat yang digunakan oleh orang awam dan tentera. Yang syoknya, sesetengah kapal yang dipamerkan di Aviation Heritage Museum ini, anda boleh masuki bahagian kokpitnya, bila lagi nak merasa masuk kokpit walaupun statik je.

Bukan itu sahaja yang ada di sini, anda juga dapat melihat pameran lencana, insignia dan pakaian uniform termasuklah 3 pasang daripada tentera udara Jerman. Di samping itu, terdapat juga stesen kawalan trafik udara yang lengkap dengan paparan video dan audio untuk melihat kawasan kawalan. Selalu tengok dalam tv je, kali ni depan mata, mana tak excited!

Alamat: Air Force Memorial Estate, Bull Creek Drive, Bull Creek, Western Australia, 6149

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 4.00pm)

Bayaran: Dewasa (16 Tahun & Keatas) AUD 15 | Kanak-kanak (4-16 Tahun) AUD 7.50


41. Round House

The Freemantle Round House
Sumber: Mark Naumann

Dibina pada tahun 1830, Round House merupakan bangunan yang pertama dibina di Swan River Colony. Dikatakan bahawa bangunan Freemantle Round House ini merupakan yang tertua sekali di Western Australia.

Pada asalnya bangunan ini digunakan sebagai penjara bagi tahanan-tahanan penduduk asli dan penjajah sehinggalah tahun 1990. Selepas itu, ia dijadikan kuarters bagi ketua konstabel  dan keluarganya.

Namun kini ia dijadikan destinasi pelancongan sebagai penjara pertama yang dibina di Fremantle. Jika anda datang ke sini, anda boleh memasuki terowong yang terletak di bahagian bawah bangunan dan berjalan-jalan di bahagian penjara yang turut lengkap dengan foto-foto lama dan informasi berkaitan penjara di sini.

Kalau dah puas berjalan, anda boleh naik di tingkat atas bangunan untuk menikmati pemandangan indah lautan yang terletak berdekatan dengan Round House sambil menikmati bayu laut. Alang-alang dah sampai ke sini, jangan lepaskan peluang melihat meriam dibunyikan pada setiap pukul 1.00pm.

Alamat: Captains Lane, Fremantle, Western Australia 6160

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.30am – 3.30pm)

Bayaran: Sumbangan Ikhlas


40. Old Mill

The Old Mill Hotel Perth
Sumber: Angie Aw

Mula dibina pada tahun 1835, Old Mill merupakan tempat pemprosesan tepung sehinggalah tahun 1859. Kilang ini kemudiannya telah banyak diubah kegunaannya dari sebuah hotel, kepada tempat tinggal dan bermacam lagi.

Namun pada tahun 1992, Old Mill ini telah dibaikpulih dan diletakkan di bawah penjagaan National Trust. Nak kembali ke masa silam? Jom ke sini!

Alamat: Old Mill, Melville Pl, South Perth WA 6151, Australia

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (10.00am – 4.00pm) | Sabtu & Ahad (1.00pm – 4.00pm) | Cuti Umum (Tutup)

Bayaran: Sumbangan Ikhlas


39. Old Court House

Old Court House Perth
Sumber: The Law Society of Western Australia

Susah nak jumpa muzium undang-undang di dunia ni, Old Court House adalah salah satu daripada muzium unik ini. Dibina pada tahun 1836, bangunan muzium ini memiliki reka bentuk Yunani abad ke -19, sekali pandang jelas terlihat perbezaannya dengan bangunan lain.

Muzium ini memiliki pameran yang cukup interaktif lengkap dengan informasi yang disampaikan melalui audio. Untuk pengetahuan anda, disebabkan ini merupakan antara bangunan yang terawal di bina pada zaman itu, Old Court House bukan sahaja digunakan sebagai mahkamah, tapi juga sebagai pusat untuk pelbagai aktiviti komuniti yang lain seperti keagamaan, pendidikan dan persembahan muzik.

Pada waktu itu, penduduk Australia masih lagi tinggal di dalam pondok-pondok kecil. Bayangkanlah, betapa sibuknya bangunan ini pada suatu ketika dahulu.

Alamat: Stirling Gardens, corner of Barrack Street and St Georges Terrace, Perth

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (10.00am – 4.00pm)

Bayaran: Percuma


38. Margaret River Chocolate Company

Margeret River Chocolate Company
Sumber: Margaret River Chocolate Company

Margaret River Chocolate Company yang terletak di Swan Valley ini merupakan kilang coklat yang terbesar di Australia. Bagi pencinta coklat, jangan lupa datang ke sini kalau dah sampai ke negera mat salleh ni.

Rugi yang teramatlah kalau terlepas peluang ke sini. Nak tahu kenapa? Sebab anda juga dapat merasa dengan percuma coklat-coklat yang dihasilkan di sini, masuk pun percuma tau! Sebagai kilang coklat, terdapat beratus jenis produk yang dihasilkan di sini, jangan salahkan kilang pula kalau anda pulang dengan diabetes, berpada-padalah ya!

Alamat: 5123 West Swan Road, West Swan WA 6055

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Percuma


37. Supreme Court Gardens

Supreme Court Gardens
Sumber: Camila Moreira Portilho

Supreme Court Gardens adalah sebuah taman yang sangat indah, ditumbuhi dengan pelbagai tumbuhan tempatan dan pokok-pokok rendang. Taman ini juga terletak berdekatan dengan sungai yang menambahkan lagi atmosfera tenang untuk anda meluangkan waktu berkualiti bersama keluarga.

Banyak juga kerusi-kerusi yang disediakan untuk anda bersantai sambil menikmati pemandangan. Lagi best kalau anda datang pada musim bunga atau musim luruh, tak terluah dengan kata-kata betapa cantiknya panorama yang disajikan.

Yang membuatkan taman ini lebih unik adalah kerana di dalamnya terdapat sebuah bangunan yang paling tua di Perth iaitu Law Library.

Alamat: Riverside Dr, Perth WA 6000


36. Elizabeth Quay

Elizabeth Quay Perth
Sumber: Polkap Photography

Elizabeth Quay ini sebenarnya masih baru lagi dibuka iaitu pada 29 Januari 2016, tapi punyalah banyak tarikan yang ada di sini seperti taman permainan, BHP Billiton Water Park, gerai-gerai makan dan banyak lagi.

Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Korea Selatan

Antara aktiviti yang boleh dibuat di sini adalah menaiki Segway, feri dan gondola yang disediakan ataupun sekiranya anda tak nak keluarkan duit langsung, anda boleh sahaja berjalan-jalan di sekitar sungai dan menaiki jambatan yang terdapat di sini untuk mengambil gambar kenangan bersama keluarga dengan latar belakang yang sangat cantik.

Alamat: The Esplanade, Perth WA 6000


35. Fremantle Markets

Freemantle Markets
Sumber: Freemantle Markets

Kalau dah sampai ke luar negara tu, mesti nak bawa pulang sesuatu untuk orang tersayang bila balik nanti kan? Jadi, jangan lupa singgah ke Fremantle Markets.

Dekat sini anda boleh jumpa pelbagai barangan dari barang-barang antik, hasil kayu, barangan kulit sehinggalah ke barangan basah untuk dimasak sepanjang percutian anda di Australia ni.

Bukan itu sahaja tarikan Fremantle Markets ni ya, sebenarnya, bangunan pasar ini dibina pada tahun 1897, pada waktu ketika masih ramai orang menggunakan kereta kuda sebagai pengangkutan utama. Masih terasa aura klasik pasar ini bila anda sampai ke sana nanti.

Alamat: Cnr Henderson Street & South Terrace, Fremantle

Waktu Operasi: Jumaat (9.00am – 8.00pm) | Sabtu & Ahad (9.00am – 6.00pm) | Isnin – Khamis (Tutup)


34. Midland Gate Shopping Centre

Midland Gate Shopping Center
Sumber: caputienterprises.com

Terletak hanya 15 km dari timur laut Perth, Midland Gate Shopping Centre adalah salah satu daripada 3 buah pusat membeli-belah di Western Australia yang menempatkan 3 buah kedai serbaneka murah iaitu Big W, Target dan Kmart. Siapa tak suka pergi kedai macam ni?

Selain daripada kedai-kedai yang best ni, kalau anda nak merasa tengok wayang di Australia, anda sekeluarga boleh singgah ke Ace Cinema Complex. Pendek kata, kalau anda sekeluarga mencari tempat untuk membeli-belah barangan yang berkos rendah atau mid-range dan ingin mengisi waktu lapang, inilah lokasinya.

Alamat: 274 Great Eastern Highway,  Midland 6056


33. Lakeside Joondalup Shopping City

Lakeside Joondalup Shopping Centre
Sumber: City of Joondalup

Lakeside Joondalup Shopping City adalah salah satu pusat membeli-belah yang cukup lengkap di Australia ni.

Apa yang anda nak? Dari barangan berjenama terkenal, pasaraya serbaneka Target, hinggalah ke kedai di mana anda boleh membuat teddy bear sendiri, macam-macam ada. Hati-hati juga, anda mungkin boleh sesat dalam mall yang terbesar di Western Australia ni.

Alamat: 420 Joondalup Drive, Joondalup, WA 6027


32. Kings Park

Kings Park Perth
Sumber: Love Australia

Sejukkan mata anda dengan panorama memukau hati bandar Perth dan Swan River dari Kings Park. Kings Park ini bukan taman biasa, boleh dikatakan inilah raja segala taman sebab cukup lengkap dengan pelbagai tarikan menarik yang diidamkan sewaktu bersiar-siar.

Ia juga merupakan taman di dalam kawasan bandar yang terbesar di dunia. Anda boleh menaiki DNA Tower yang terletak di sini untuk menikmati pemandangan sekitar yang sangat mempesonakan.

Bukan sahaja pemandangan yang indah, Kings Park ini turut kaya dengan flora dan fauna termasuklah sebatang pokok yang sudah berusia 750 tahun. Sambil berjalan-jalan di sekitar taman ini juga, anda sekeluarga dapat mendengar bunyi kicipan lebih daripada 70 jenis burung yang terdapat di sini.

Alamat: Fraser Ave, Perth WA 6005


31. Hyde Park

Hyde Park Perth
Sumber: Westaustralien

Hyde Park yang terletak di Perth ini cukup mekar dengan pokok-pokok hijau yang agak tua dan rendang, memang syoklah berjalan-jalan sambil melihat kehijauan di sekitar.

Ada juga yang mengatakan bahawa taman ini merupakan yang terindah di Perth dengan tumbuhan yang berbunga warna-warni, dan kawasan berjalan kaki di sekitar tasik.

Sambil anda dan keluarga berkelah di sekitar tasik di sini, anda boleh melihat kecomelan itik-itik dan burung yang terdapat di sini. Bukan orang dewasa je yang seronok di sini, kanak-kanak pun turut teruja melihat fauna yang ada.

Alamat: Vincent St & William St, Perth WA 6000


30. Avon Valley

Avon Valley Perth
Sumber: Avon Valley WA

Setibanya anda di Avon Valley ini anda akan dapat melihat keindahan kawasan perkampungan yang sangat menenangkan jiwa. Lagi best kalau anda ke sini pada musim bunga, anda dapat melihat pelbagai tumbuhan dan bunga kembang mekar, bolehlah dijadikan latar belakang untuk anda bergambar.

Baca: 50 Tempat Menarik Di Singapore

Banyak juga aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini bersama keluarga untuk melihat pemandangan di sekitar Avon Valley dari sudut yang berbeza seperti menaiki belon udara panas, paragliding dan skydiving.

Kalau dah puas memacu adrenalin, anda juga boleh membawa keluarga melawat galeri-galeri seni, kedai-kedai antik, muzium dan tarikan bersejarah yang banyak terdapat di sini.

Alamat: Avon Valley


29. John Forrest National Park

John Forest National Park
Sumber: Real Estate Plus

Seperti biasa, kalau anda teringin melihat kawasan menghijau di waktu yang paling indah, datanglah pada musim luruh.

Di John Forrest National Park anda dapat melihat keindahan air terjun yang dikelilingi bunga-bungaan yang berkembang segar, susah nak jelaskan bagaimana indahnya pemandangan pada musim ini.

Di sekitar taman ini juga anda sekeluarga boleh berkelah di meja-meja yang disediakan, kalau anda bernasib baik, mungkin anda dapat makan bersama kangaru yang terdapat di sini. Inilah peluangnya untuk anda mengusap haiwan comel yang agak mesra dengan manusia.

Alamat: Park Rd, Hovea WA 6056


28. Yanchep National Park

Yanchep National Park
Sumber: Explore Tours Perth

Yanchep National Park ini bukanlah taman negara yang kecil kerana di dalam taman ini terdapat lebih daripada 600 buah gua, tasik-tasik, dan ruang berjalan kaki. Di sini juga terdapat Wildflower Garden yang luas dengan pelbagai jenis tumbuhan dan bunga yang tumbuh meliar.

Kalau dah puas melihat Wildflower Garden anda boleh berjalan di atas laluan papan yang disediakan untuk melihat koala yang terdapat di pokok-pokok sepanjang perjalanan 240 meter ini.

Macam berada di zoo rasanya kalau anda ke sini disebabkan oleh kekayaan flora dan faunanya. Antara haiwan lain yang dapat anda lihat di taman negara ini adalah kanggaru, itik, kura-kura dan lain-lain.

Alamat: Yanchep National Park, Yanchep WA 6035


27. Whiteman Park

Whiteman Park Perth
Sumber: Whiteman Park

Kalau Kings Park adalah taman dalam bandar yang terbesar di Perth, Whiteman Park pula adalah 9 kali ganda lebih besar dari taman itu. Suasana di dalam taman Whiteman Park ini cukup hidup dengan pelbagai aktiviti menarik untuk dibuat bersama keluarga antaranya adalah memberi makan kanggaru, rusa, llamas, kerbau, bergambar dengan koala dan banyak lagilah.

Di dalam taman ini juga terdapat Children’s Forest yang mana anak-anak dapat mempelajari banyak perkara tentang kepentingan dan keindahan flora dan fauna di Western Australia.

Tarikan lain yang terdapat di sini adalah kampung kraftangan, muzium pengangkutan, taman air mini, tour hidupan liar dan banyak lagi. Kalau anda ingin berbbq di taman ini pun boleh kerana kemudahan ini turut disediakan kepada para pelawat. Jangan lepaskan peluang ke Whiteman Park ya!

Alamat: 99a Lord St, Whiteman WA 6068

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm)


26. Perth Zoo

Perth Zoo
Sumber: Perth Zoo

Perth Zoo yang berkeluasan 41 ekar ini telah lama dibuka, sejak 1898 lagi. Oleh sebab itu, tersangatlah banyak haiwan yang dapat dilihat di sini iaitu lebih daripada 1250 ekor haiwan yang terdiri daripada 164 spesies yang berbeza.

Zon di Perth Zoo ini terbahagi kepada 3 bahagian berbeza iaitu Australian Walkabout, African Savannah dan Asian Rainforest serta beberapa pameran mini yang melibatkan burung-burung dari selatan Amerika, kura-kura Galapalagos dan bermacam lagi.

Rasanya makan masa 2 atau 3 jam juga kalau anda nak habis melihat semua haiwan yang terdapat di sini, memang berbaloilah tiket yang dibayar!

Alamat: 20 Labouchere Rd, South Perth, WA 6151

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa AUD 31 | Kanak-kanak (4-15 Tahun) AUD 15 | Warga Emas AUD 24


25. Aquarium of Western Australia

Aquarium Western Australia
Sumber: Aquarium Western Australia

Bukan semua orang berani dan tahu menyelam dalam air untuk melihat panorama dalam dunia laut ini, sebab itulah anda kena bawa keluarga anda melawat Aquarium of Western Australia.

Tak perlu nak ke kelas menyelam, pengalaman di sini terasa seperti berada dalam air laut dalam. Melalui kaca akuarium anda dapat melihat ikan jerung, ikan pari dan banyak lagi hidupan laut yang lain dengan dekat.

Bukan sikit ikan-ikan yang ada di sini sebab anda boleh melihat lebih daripada 4000 kesemuanya yang terdiri daripada 400 spesies yang berbeza. Kalaulah murah, mungkin anda sekeluarga nak datang ke sini hari-hari.

Alamat: 91 Southside Dr, Hillarys WA 6025

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa (16 Tahun Dan Ke Atas) AUD 30 | Kanak-kanak (4-15 Tahun) AUD 18


24. Marmion Marine Park

Marmion Marine Park
Sumber: Lana Rowntree

Berkeluasan 10,500 hektar, Marmion Marine Park adalah taman marin yang bermula dari Trigg Island hinggalah ke Burns Beach.

Di sini anda dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti snorkeling, menyelam skuba mahupun memancing tanpa perlu bergerak jauh dari bandaraya Perth.

Kalau nak lagi syok, anda boleh menyewa bot untuk meneroka pulau-pulau yang terdapat di sekitar perairan dan kawasan terumbu karang yang lebih indah. Anak-anak anda juga mesti seronok melihat ikan lumba-lumba yang berkeliaran di sini.

Alamat: Marmion WA 6020


23. Adventure World

Adventure World Perth
Sumber: Adventure World – Official Page

Adventure World adalah satu-satunya taman tema yang boleh anda temui di Perth. Walaupun hanya satu, rasanya susah nak mengalahkan Adventure World Perth kalau ada banyak lagi taman tema yang lain.

Dengan lebih daripada 25 tarikan untuk anda cuba, memang rugi kalau anda datang ke sini pada lewat petang takut tak sempat nak rasa kesemuanya, jadi, rancanglah perjalanan anda ke sini di awal pagi.

Baca: 48 Destinasi Menarik Di Bali

Antara tarikan yang ada di sini adalah gelongsor Tornado yang merupakan yang terpanjang dan tercuram di taman tema ini, Kahuna Falls iaitu taman permainan air yang terbesar di Australia dan banyak lagi yang mesti anda sekeluarga rasai. Kalau tak ke Adventure World, apalah makna percutian anda di Australia.

Alamat: 351 Progress Dr, Bibra Lake WA 6163

Waktu Operasi: Berubah-ubah Mengikut Jadual Di Dalam Website Adventure World

Bayaran: (Peak Day) Dewasa AUD 59.50 | Kanak-kanak AUD 49.50 | Warga Emas AUD 20 | (Off-Peak Day) Dewasa AUD 58 | Kanak-kanak AUD 48 | Warga Emas AUD 20


22. The Bell Tower

The Bell Tower
Sumber: Harney Photo

Salah satu tarikan yang unik dan mesti anda lawati di Perth. The Bell Tower bukan sahaja sebuah bangunan tapi ia juga merupakan instrumen muzik yang terbesar di dunia dengan ketinggian 82.5 meter.

Di menara ini terdapat 12 buah loceng yang didatangkan dari sebuah gereja terkenal di London yang dikatakan telah wujud sejak abad ke-14 lagi. Sekiranya anda naik ke dek pemerhatian menara ini, anda dapat melihat pemandangan 360 darjah sekitar Perth dan Swan River.

Alamat: Barrack Square, Riverside Drive, Perth WA 6000

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 4.00pm)

Bayaran: Dewasa AUD 18 | Kanak-kanak (5-14 Tahun) AUD 9 | Warga Emas AUD 16


Art Gallery Western Australia
Sumber: Art Gallery of Western Australia

Dibuka pada tahun 1895, Art Gallery of Western Australia ini menempatkan pelbagai jenis karya seni dari pengkarya bersejarah dan kontemporari bukan sahaja dari Australia malahan dari seluruh dunia.

Antara hasil-hasil seni yang terdapat di sini adalah ukiran-ukiran klasik daripada Henry Moore, karya motif yang dihasilkan Orang Asli di Australia dan lain-lain lagi. Walaupun masuk percuma, karya-karya yang dipamerkan di sini tak ternilai harganya. Tak ada sebab untuk anda tak meluangkan masa mencuci mata melihat karya-karya hebat di muzium ini.

Alamat: Perth Cultural Centre, Perth, Western Australia

Waktu Operasi: Rabu – isnin (10.00am – 5.00pm)

Bayaran: Sumbangan Ikhlas


20. Penguin Island

Penguin Island Perth
Sumber: Memory Capturing Perth Photography

Penguin Island hanyalah 45 minit perjalanan dari Perth. Semasa perjalanan feri untuk ke Penguin Island, anda dapat melihat singa laut dan ikan lumba-lumba yang berkeliaran di sekitar perairan, dari feri lagi anda sekeluarga terhibur dengan fauna hidupan yang terdapat di sini, bagaimana pula di pulau penguin?

Sampai sahaja di Penguin Island anda dapat mendekati penguin-penguin yang tercomel dan terkecil di dunia! Dah puas bermain-main dengan penguin, anda boleh menghabiskan masa di pulau ini dengan aktiviti snorkeling, berenang, berjalan-jalan untuk menikmati flora dan fauna atau bersantai sambil menikmati pemandangan di sekitar pulau yang cukup mengasyikkan.

Alamat: 153 Arcadia Drive (Corner of Penguin Rd), Shoalwater 6169, Western Australia

Waktu Operasi Penguin Island Discovery Centre: Setiap Hari (10.00am- 3.30pm)

Bayaran (Penguin Island Ferry & Discovery Centre): Dewasa AUD 27 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) AUD 20 | Warga Emas AUD 24


19. The Perth Mint

The Perth Mint
Sumber: The Perth Mint

The Perth Mint merupakan tempat penghasilan syiling yang dibuka pada tahun 1899, iaitu dua tahun sebelum Persekutuan Australia terbentuk.

Lawatan anda ke sini tak akan bosan kerana anda dapat melihat demonstrasi proses peleburan emas tradisional dan dapat melihat duit syiling yang terbesar dan yang paling bernilai di dunia, di mana lagi anda dapat melihat semua ini?

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengikuti lawatan berpandu untuk mendapatkan lebih info berkaitan sejarah bangunan ini dan aktiviti di dalamnya.

Sebelum pulang, jangan lupa untuk menempah medallion yang tertulis dengan kata-kata yang anda sukai dengan harga yang bermula dari AUD 17. Bukan senang nak jumpa tempat yang boleh hasilkan sesuatu yang istimewa macam ni!

Alamat: 310 Hay Street, East Perth

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Tour & Gold Pour AUD 19 | Tour, Gold Pour + Devonshire Tea AUD 25


18. Jurien Bay Skydiving

Jurien Bay Sky Diving
Sumber: Jurian Bay Sky Diving

Semua orang ada perasaan untuk mencuba sesuatu yang lasak, cuma berani atau tak je sebenarnya. Bagi anda yang berjiwa lasak dan kental tu, jom ber’skydiving’ di Jurien Bay!

Kalau anda baca senarai harga untuk skydiving di sini, anda mungkin rasa harganya terlalu mahal, tapi percayalah, pengalaman yang dapat anda rasai apabila berada di udara ibarat burung yang terbang bebas dengan pemandangan lautan biru yang mengujakan, anda sanggup bayar walaupun beribu.

Sungguh tak ternilai memori yang tercipta di sini. Debaran yang dirasakan sekejap je, bila payung terjun anda terbuka,  perasaan terawang-terawangnya memang indah! Anda juga akan mendapat foto-foto dan video HD yang diedit secara profesional selepas skydiving, cool tak cool.

Alamat:  300 Wellington St, Perth WA 6000

Bayaran: 8000 Kaki AUD 300 | 10,000 Kaki AUD 350 | 14,000 Kaki AUD 450


17. Kailis Fish Market Cafe

Kailis Fish Market Cafe
Sumber: Leah-Mae Catalan-Maitim

Kailis Fish Market Cafe menawarkan fish and chips yang memang mmmph! Pernah memenangi anugerah untuk resepi fish and chipsnya yang hebat yang juga merupakan resepi turun-temurun sejak 1928 ini!

Kalau dah sampai di cafe ni nanti, cepat-cepat cari tempat kosong di bahagian dengan pemandangan kawasan pelabuhan. Tiada yang lagi sempurna selain daripada dapat menikmati makanan yang lazat sambil disajikan dengan pemandangan yang menyejukkan mata.

Alamat: 46 Mews Rd, Fremantle, Western Australia 6160

Waktu Operasi: isnin – Jumaat (8.00am – 8.30pm) | Sabtu & Ahad (8.00am – 9.00pm)


16. Lancelin Sand Dunes

Lancelin Sand Dunes
Sumber: astrordinaryimaging.com

Nak buat aktiviti lasak tapi badan tak cukup fit? Di sinilah anda dapat berseronok dengan aktiviti sandboarding tanpa menggunakan banyak tenaga, tapi nak lagi best, terpaksalah anda keluarkan tenaga lebih sikit untuk ke kawasan pasir yang lebih tinggi, kemudian berdiri di atas papan luncur ini dan meluncurlah anda sepuasnya di kawasan padang pasir ni.

Lebih kurang je seperti snowboard cuma sandboard ini boleh dikatakan versi hipster untuk aktiviti meluncur. Kalau anda tak ada board sendiri, anda boleh menyewa board dengan harga AUD 10 untuk 2 jam, 2 jam pun dah cukuplah kan? Anda juga boleh menyewa basikal dengan harga AUD 50 untuk 30 minit. Apa-apa pun, jangan lupa untuk memakai pelindung mata dan sunblock!

Alamat: Beacon Rd, Lancelin WA 6044


15. South Perth Esplanade

South Perth Esplanade
Sumber: Edilson Souza Bispo

Pemandangan sungai dan bandar Perth dapat dilihat dengan indah dari South Perth Esplanade. Nak tahu bila pemandangan dari sini paling indah sekali?

Cuba datang pada waktu malam, cahaya lampu dari kawasan bandar dengan pantulan cahaya dari air sungai sungguh mempesonakan, macam dalam gambar profesional.

Tapi sebenarnya tak kisahlah bila pun anda datang ke sini, pemandangannya tidak pernah mengecewakan. Matahari naik dan terbenam juga antara waktu yang tip-top sekiranya anda merancang ke sini.

Jangan terkejut kalau tiba-tiba ternampak ikan lumba-lumba atau angsa berwarna hitam di sekitar sungai ini. Bertambah seronok anak-anak anda bila dapat melihat kelibat haiwan-haiwan comel ini.

Alamat: Mend St/South Perth Esplanade | Near Mends St Jetty, South Perth, Western Australia 6151


14. Perth Hills

Perth Hills
Sumber;: Experience Perth Hills

Perth Hillls menawarkan pemandangan indah kawasan perkampungan yang hanya terletak 45 minit dari bahagian timur Perth.

Antara aktiviti menarik yang boleh dibuat di sini untuk memori indah bersama keluarga adalah berkelah atau berbbq di Lake Leschenaultia, melawati taman-taman negara yang indah yang terdapat di sini, membawa keluarga anda ke Araluen Botanic Park, memetik buah di kebun epal dan banyak lagi aktiviti yang dapat menyatukan anda sekeluarga dengan alam semulajadi.

Alamat: Perth Hills, Western Australia


13. Rottnest Island

Rottnest Island
Sumber: Live In Australia

Pulau yang berkeluasan 19 km kaki persegi ini, Rottnest Island hanya memiliki populasi sekitar 100 orang sahaja, tapi pelancong yang datang ke sini bukan sikit, dianggarkan sekitar 500,000 orang dalam setahun.

Nak tahu kenapa ramai orang begitu tertarik untuk ke sini? Ini kerana pemandangan di sekitar pulau ini tersangatlah indah ibarat sebuah lukisan.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini adalah snorkeling di  Little Salmon Bay dan Parker Point yang kaya dengan hidupan laut yang penuh warna-warni, bersiar-siar menikmati keindahan flora dan fauna, menaiki rumah api Wadjemup Lighthouse untuk melihat panorama indah di sekitar pulau yang seluas pemandangan dan banyak lagi.

Setiap saat anda di Rottnest Island pasti akan terisi dengan memori indah tak terkata, ada sahaja aktiviti untuk dibuat.

Alamat: Rottnest Island, Western Australia 6161


12. Cottesloe Beach

Cottesloe Beach
Sumber: Perth Life

Pantai ini merupakan antara tempat bermandi-manda, bersnorkeling dan meluncur ombak yang terkenal di Perth. Bukan itu sahaja, sekiranya anda datang ke pantai ini pada bulan Mac, anda dapat melihat pameran percuma Sculpture by the Sea.

Selain itu, di bawah pokok-pokok Norfolk Pine yang terdapat di pesisiran pantai ini pula boleh menjadi port yang best untuk anda berkelah bersama keluarga sambil melihat pemandangan indah lautan Hindi.

Alamat: Cottesloe, Western Australia 6011


11. Araluen Botanic Park

Araluen Botanic Park
Sumber: Araluen Botanic Park

Di Araluen Botanic Park, anda sekeluarga bukan sahaja dapat melihat pelbagai spesies flora daripada Australia, malahan dari seluruh dunia, apa sahaja yang sesuai dengan tanah dan cuaca di sini, termasuklah bunga ros dan camellia.

Dengan adanya flora yang tumbuh segar, mestilah lengkap dengan faunanya juga, di sini anda dapat melihat pelbagai jenis burung, reptilia, kanggaru dan lain-lain lagi berkeliaran di sekitar taman. Tak perlu ke zoo atau ke hutan, macam-macam dapat dilihat di Araluen Botanic Park ini.

Alamat: 362 Croyden Road, Roleystone WA 6111

Waktu Operasi (Waktu Operasi Adalah Mengikut Musim + Dibuka Setiap Hari): 1 Ogos – 30 April (9.00 am – 6.00pm) | 1 Mei – 31 Julai (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa AUD 10 | Kanak-kanak (6 – 15 Tahun) AUD 5 | Warga Emas AUD 8


10. Insan’s Cafe

Insans Cafe Perth
Sumber: Insan’s Café

Tak perlu pening kepala mana nak makan kalau berada di Perth nanti. Terletak di tengah-tengah kota yang sibuk di Perth, anda singgah sahaja ke Insan’s Cafe kalau rindukan masakan Malaysia yang asli, malahan mungkin ada juga yang lagi sedap daripada yang pernah anda makan sewaktu di Malaysia!

Antara masakan yang terdapat di sini adalah rendang, kari daging, mee kari, mee goreng, dan banyak lagilah masakan Malaysia yang anda bayang-bayangkan.

Layanan pantas, kuantiti makanan cukup mengenyangkan, rindu kepada negara sendiri pun terubat, apa lagi, jangan lupa datang ke Insan’s Cafe di Perth nanti!

Alamat: 113-115 Murray St, Perth, Western Australia 6000


9. The Pinnacles

The Pinnacles Perth
Sumber: Kartika Malini

Sekitar 3 jam perjalanan dari bandar Perth, anda akan sampai ke kawasan padang pasir The Pinnacles yang mana terdapat banyak batuan besar yang unik untuk anda jadikan subjek atau latar belakang foto. Kalau anda bernasib baik, mungkin anda dapat bertembung dengan kanggaru yang menjadikan kawasan ini habitat mereka.

Sekiranya anda ke sini pada musim panas, lebih baik untuk anda datang pada awal pagi atau lewat petang untuk mengelakkan sinaran mentari yang terik. Tapi musim yang paling best untuk ke sini adalah antara bulan Ogos ke Oktober iaitu pada musim bunga untuk melihat tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini hidup mekar.

Nasihat untuk anda sebelum ke sini, jangan lupa juga untuk membawa air minuman yang secukupnya kerana tiada air yang disediakan di sini, nanti kehausan di padang pasir siapa nak tolong?

Alamat: Pinnacles Drive, Cervantes WA 6511


8. The Lobster Shack

The Lobster Shack
Sumber: Lobster Shack Cervantes

Agak-agak apa yang patut anda makan kalau sampai di restoran The Lobster Shack ni? Walaupun terdapat banyak lagi hidangan lain di dalam menu seperti fish and chips, ikan grill, burger seafood dan salad, memang peliklah kalau anda tak cuba masakan lobster ataupun udang karanya yang terkenal ni.

Udang kara yang dihidangkan juga sangat segar dan ‘juicy’, mesti puas hati punyalah walaupun bayar mahal-mahal. Rasanya, tak ada tempat lain yang udang karanya lebih fresh daripada di sini!

Kalau ada masa lagi, anda sekeluarga boleh melawat kilang udang kara di sini untuk tahu lebih mendalam bagaimana ia disediakan untuk dieksport dan untuk penghantaran ke kawasan lain.

Alamat: 11 Madrid St, Cervantes WA 6511

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)


7. Scarborough Beach

Scarborough Beach Perth
Sumber: DG Imagery

Macam susah nak percaya yang Scarborough Beach ini adalah kawasan pantai yang terkenal dan dilawati ramai orang oleh kerana tahap kebersihan kawasan persekitaran pantai ini yang sangat bersih.

Di kawasan tanah lapang dilindungi pokok rendang berdekatan pesisir pantai ini, anda sekeluarga boleh berkelah sambil menikmati bayu laut.

Untuk pengetahuan anda juga, berdekatan dengan pantai ini terdapat sebuah gym, kalau anda rasa nak bersenam sambil menikmati pemandangan pantai yang indah ini, jangan lupa untuk ke sini.

Alamat: Coast End of Scarborough Beach Rd/The Esplanade, Scarborough, Stirling, Western Australia 6019


6. Perth Concert Hall

Perth Concert Hall
Sumber: Perth Concert Hall

Terletak berdekatan dengan Supreme Court Gardens dan Government House, Perth Concert Hall merupakan dewan di mana banyak acara dan persembahan telah diadakan. Concert Hall ini dikatakan memiliki sistem bunyi yang terbaik di Australia.

Kalau anda nak merasa sendiri bagaimana asyiknya menikmati persembahan di sini, anda mesti peka dengan acara-acara yang dilangsungkan di sini dengan melayari laman web mereka.

Alamat: 5 St Georges Terrace, Perth WA 6000


5. Fremantle Prison

Freemantle Prison
Sumber: Fremantle Prison

Fremantle Prison menempatkan sekitar 15,000 koleksi yang berkaitan dengan Fremantle Prison yang menceritakan sejarahnya serta pengalaman pekerja dan banduan-banduan yang pernah berada di sini.

Satu muzium yang cukup lengkap, Fremantle Prison bukan sahaja menyimpan barangan artifak, malahan juga transkrip temubual dengan orang-orang yang pernah terlibat dengan Fremantle Prison. Anda juga boleh mendengar rakaman suara banduaan, staf dan ramai lagi di Battye Library Oral History Collection.

Baca: 37 Tempat Menarik Di Bangkok

Kalau anda ke sini, anda boleh membayar untuk pakej tour yang best di sini sama ada Prison Day Tour, Tunnels Tour ataupun Torchlight Tour. Kalau anda memilih Prison Day Tour anda dapat melawat kawasan penjara sambil mengetahui lebih banyak tentang kehidupan banduan, kisah-kisah mereka yang cuba melepaskan diri dan macam-macam lagi kisah yang menarik hati.

Untuk Tunnels Tour pula anda akan memasuki terowong bawah tanah yang terletak 20 meter dari bawah penjara dengan berjalan kaki atau menaiki bot. Torchlight Tour pula akan membawa anda menerokai kisah seram di sebalik penjara ini, yang mana yang anda berani nak cuba?

Alamat: 1 The Terrace, Fremantle WA 6160

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)


4. Fishing Boat Harbour

Fishing Boat Harbour
Sumber: Fremantle story

Kawasan perikanan ini telah wujud sejak tahun 1919 lagi. Pemandangan di sekitar Fishing Boat Harbour ini cukup menyegarkan pandangan mata. Untuk menikmati pemandangan indah di sini, anda boleh menaiki bot atau feri yang disediakan ataupun berjalan-jalan di ruang berjalan kaki di atas papan kayu yang terdapat di sini.

Kalau dah puas menikmati keindahan panorama, jangan lupa  untuk ke The Western Australian Maritime Museum Shipwreck Galleries yang juga terletak di sini. Rugi kalau tak pergi!

Alamat: Fishing Boat Harbour, Western Australia


3. Fraser Avenue Lookout

Fraser Avenue Lookout
Sumber: The Muscle Society

Terletak di Kings Park, di kawasan pemerhatian Fraser Avenue Lookout anda dapat melihat pemandangan indah kota metropolitan Perth, tak kisahlah anda nak datang siang atau malam, pemandangan dari sini sukar untuk dilupakan keindahannya.

Bukan senang tau nak dapatkan pemandangan seindah dan seluas yang dapat dilihat dari Fraser Avenue Lookout ini!

Alamat: Fraser Ave, Western Australia 6005


2. Fremantle Arts Centre

Freemantle Arts Centre
Sumber: Fremantle Arts Centre

Banyak juga bangunan bersejarah yang terdapat di Perth kan? Untuk pengetahuan anda, Fremantle Arts Centre adalah salah satu daripadanya.

Bangunan yang dibina pada tahun 1861 ini pada awalnya digunakan sebagai hospital psikiatri dan kini seperti namanya, Fremantle Arts Centre, ia merupakan pusat seni yang sangat aktif dengan pelbagai akiviti dan kelas seni yang menarik.

Antara kelas-kelas yang ditawarkan di sini adalah kelas melukis lanskap, kelas membuat barangan kemas, kelas tanah liat, seramik dan macam-macam lagi. Apa salahnya belajar sesuatu yang baru semasa cuti ni?

Alamat: 1 Finnerty Street, Fremantle, Western Australia

Waktu Operasi (Galeri): Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)

Bayaran: Percuma


1. Hillarys Boat Harbour

Hillarys Boat Harbour
Sumber: The West Australian

Hillarys Boat Harbour adalah lokasi pilihan ramai orang untuk beraktiviti bersama keluarga. Di sinilah juga terletaknya AQWA ataupun The Aquarium of Western Australia yang menempatkan pelbagai hidupan laut yang terdapat di lautan Western Australia.

Antara tarikan lain yang terdapat di Hillarys Boat Harbour adalah penerbangan helicopter,  menaiki kapal layar atau bot, memancing, bermain gelongsor air, menyelam skuba dan banyak lagi! Tak kisahlah berapa pun usia anda, ada sahaja aktiviti yang sesuai untuk dibuat di sini.

Alamat: 5/86 Southside Dr, Hillarys WA 6025


Sekarang baru anda tahu kenapa ramai orang ke Perth apabila tiba sahaja musim percutian. Banyak lagi sebenarnya tempat menarik di Perth yang tak disenaraikan di dalam artikel ini, kalau anda nak tahu apa lagi yang ada di sini, apa kata kalau anda terokai sendiri kota ini bersama keluarga, barulah thrill!

Sebelum anda ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mendapat penginapan dengan potongan harga yang hebat, barulah seronok nak buat banyak aktiviti lain di sini yang entah bila akan habis!

Baca: 45 Destinasi Terbaik Di London

Akhir kata, terima kasih kerana membaca sehingga ke penghujung artikel. Semoga anda sekeluarga dapat mencipta memori indah di Perth, Australia!

4.4/5 - (15 votes)