Siapa kata untuk bercuti di luar negara anda perlu memiliki wang yang berkepuk-kepuk? Percutian ke destinasi pelancongan yang bertaraf dunia ini terletak hanyalah bersebelahan dengan Malaysia yang hanya memperuntukkan perbelanjaan yang pasti membuatkan hati lega.
Phuket, pulau yang terbesar di Thailand ini memiliki keluasan sekitar 540 km persegi. Dengan keluasan sebegini, Phuket menyimpan seribu satu tarikan yang seringkali terlepas dari pandangan mata dek kerana keterujaan untuk menerokai segala tarikan yang jelas terpampang di media.
Tarikan-tarikan seperti James Bond Island dan Kepulauan Phi Phi yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood adalah antara lokasi yang tak henti-henti dilawati pengunjung di seluruh dunia. Namun, dengan saiz seluas Singapura, Phuket ternyata menawarkan lebih daripada itu.
Bukan sekadar pantai dan pulau, Phuket sebenarnya destinasi yang unik menggabungkan aura bandar Georgetown di Penang yang meriah dengan bangunan bergaya Eropah serta pasar yang meriah, dan juga aura Bali di Indonesia yang padat dengan tarikan yang telah berusia berabad lamanya.
Cukup lengkap sekali pakej pulau di negara gajah putih ini bukan? Nak tahu dimanakah kesemua tarikan ini? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Phuket ini.
32. Nai Harn Beach
Dikelilingi oleh hutan tropika penuh kehijauan, Nai Harn Beach adalah salah satu daipada pantai cantik di Phuket, Thailand.
Dengan suhu air sederhana dalam sekitar 29 darjah Celsius, membolehkan anda sekeluarga menyegarkan badan di dalam air laut dengan penuh kenikmatan. Anda juga boleh merancang untuk bersnorkeling di sini kerana segala peralatan boleh disewa di kedai-kedai yang terdekat dengan pantai.
Untuk pengetahuan anda, waktu terbaik untuk bermandi-manda di sini adalah dari bulan November sehingga Mei kerana ombaknya yang lebih tenang.
Anda juga boleh mendapatkan khidmat sewaan jetski di pantai ini untuk menikmati angin laut dalam cara yang lebih thrill dengan sepuas hati.
Setelah penat, anda boleh bersantai di tepi pantai untuk menikmati pemandangan langit dan lautan yang membiru. Tak bawa kelengkapan yang cukup? Anda boleh mendapatkan payung dan tikar dari kedai-kedai di sekitar pantai ini.
Alamat: Nai Harn, Rawai, Phuket
31. Karon View Point
Nama tempatan bagi Karon View Point adalah ‘Khao Saam Haad’ yang bermaksud Bukit Tiga Pantai.
Bukit ini dinamakan sedemikian kerana dari puncaknya, anda dapat menikmati pemandangan 3 buah pantai, pantai yang terdekat dan terkecil iaitu Pantai Kata Noi, pantai yang indah Koh Poo dan pantai yang terjauh dari pandangan, Pantai Karon.
Anda dapat menyaksikan pemandangan dari viewpoint ini sambil menikmati snek dan minuman yang boleh didapati di gerai-gerai yang terdapat di sekitar. Di Karon View Point ini juga terdapat sebuah gazebo besar yang lengkap dengan tempat-tempat duduk untuk anda merelakskan badan dan menghirup udara segar.
Alamat: 4233, Tambon Karon, Amphoe Mueang Phuket, Chang Wat Phuket 83100
30. Pantai Karon
Salah satu pantai yang terpanjang di Phuket, Pantai Karon, dikatakan antara salah satu pantai yang paling sesuai untuk dilawati bersama keluarga.
Penuh dengan ketenangan dan cukup bersih, Pantai Karon adalah sebuah tempat menarik di Phuket yang sempurna untuk dijadikan tempat berkelah sambil menikmati pemandangan yang menyejukkan mata.
Di sekitar pantai ini juga terdapat banyak penginapan keluarga yang menarik, restoran-restoran, gerai cenderamata dan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan penting sewaktu bercuti.
Alamat: Karon, Mueang Phuket District, Phuket 83100
29. Wat Chalong
Sudah melancong ke luar negara, sepadat mana pun jadual anda, jangan sesekali melepaskan peluang untuk melawat bangunan yang penuh dengan sejarah sesebuah tempat yang dilawati. Kalau di Phuket, lokasinya adalah di Wat Chalong.
Dikatakan sebagai tempat penyembahan Buddha yang paling penting di Phuket, kompleks kuil yang didirikan pada tahun 1837 ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang diberikan sentuhan warna keemasan.
Salah satu bangunan di dalam kompleks ini yang menjadi perhatian ramai adalah Chedi yang berketinggian 60 meter. Bangunan ini dikatakan menjadi tempat penyimpanan sebahagian tulang Buddha yang telah didatangkan dari Sri Lanka pada tahun 1999.
Alamat: Chao Fah Tawan Tok Road, Chalong, Phuket Town, Phuket 83000
Waktu Operasi: 7.00am – 5.00pm
Bayaran Masuk: Percuma
28. Bandar Phuket
Sepertimana bandar yang lain, Bandar Phuket ini padat dengan destinasi yang menarik daripada tempat-tempat untuk mencuci mata dengan pemandangan bangunan peninggalan era yang telah berlalu hinggalah kepada yang mencuci poket seperti di Night Market.
Kalau anda nak tahu, Bandar Phuket ini cukup kaya dengan bangunan lama bereka bentuk Eropah kerana statusnya pada suatu ketika dahulu yang pernah menjadi Pusat Ekonomi Selatan Thailand.
Alamat: Bandar Phuket
27. Tiger Kingdom
Dengan bayaran dari 800 Baht ke 3500 Baht, anda dapat merasai pengalaman yang luar biasa bersama harimau-harimau di Tiger Kingdom. Kenapa luar biasa? Sebabnya, tiada siapa yang berani nak mendekati haiwan liar ini kalau bertembung di luarkan?
Tapi di Tiger Kingdom, anda bukan sahaja dapat melihat harimau dengan dekat, anda juga boleh memasuki sangkarnya untuk menyentuh dan bergambar dengan harimau.
Tak seram ke? Bunyinya memang meremangkan bulu roma, namun sejak awal dibuka, tiada sebarang kes serius yang pernah berlaku.
Disebabkan ramai yang tak berapa berani untuk mendekati harimau dewasa, tarikan utama di sini adalah anak-anak sang harimau. Sekiranya anda merancang untuk melawat si belang ini, waktu yang terbaik adalah sewaktu ia baru dibuka, iaitu pada pukul 9.00am untuk mengelakkan cuaca panas dan keadaan yang padat.
Alamat: 118/88, Moo 7, Kathu, Phuket 83120
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: 800 – 3,500 Baht
26. Pantai Surin
Berpasir putih yang lembut dipijak kaki, Pantai Surin adalah sebuah destinasi yang agak popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan di Thailand.
Airnya yang berwarna biru kehijau-hijauan cukup memukau pandangan. Disebabkan keindahan inilah kawasan di sekitarnya dipenuhi dengan barisan-barisan hotel dan perumahan mewah yang turut menjadikan aura Pantai Surin terasa cukup sofistikated.
Sambil menikmati gaya hidup seperti selebriti di sekitar pantai, anda boleh menikmati makanan dan minuman yang dijual di gerai-gerai di sepanjang pantai.
Sekiranya anda ke sini, anda boleh merancang untuk bersnorkeling di bahagian berbatu sama ada di arah utara atau selatan Pantai Surin.
Alamat: Choeng Thale, Thalang District, Phuket 83110
25. Phuket Elephant Sanctuary
Sekiranya anda pencinta haiwan, lawatan ke Phuket Elephant Sanctuary akan membuatkan hati anda gembira melihat cara haiwan di sini diberikan penjagaan. Untuk pengetahuan anda, gajah-gajah yang ditempatkan di sini adalah gajah yang telah menghadapi kesengsaraan di bawah jagaan entiti lain yang lebih mementingkan keuntungan.
Anda akan dapat mendengar cerita di sebalik setiap gajah yang terdapat di sini yang pasti membuatkan anda berasa geram dan sedih. Di samping itu, anda juga dapat mempelajari lebih banyak info tentang bagaimana untuk mengetahui situasi penderaan gajah berlaku.
Ingin mengajar anak-anak anda tentang kepentingan menyayangi semua ciptaan Tuhan? Rancanglah untuk ke Phuket Elephant Sanctuary di Phuket nanti.
Alamat: Phuket Elephant Sanctuary Co. Ltd, 100, Moo 2, Paklok, Phuket
Waktu Operasi:
- A Morning Program with the Elephants: 9.30am – 1.00pm
- An Afternoon Program with the Elephants: 2.00pm – 5.30pm
- One Day Program – From Land to Water: 9.30am – 5.30pm
24. Monkey Hill
Nama sebenar bagi Monkey Hill adalah Toe Sae Hill. Diberikan nama sedemikian kerana betapa banyaknya kehadiran monyet di bukit ini yang dikatakan mencecah 400 ekor kesemuanya.
Monyet-monyet ini walau bagaimanapun dikatakan tidaklah seagresif yang terdapat di kawasan kuil. Tapi, anda tetap perlu berjaga-jaga dengan mengelakkan diri daripada membawa barangan yang berharga, lagi bagus, jangan bawa apa-apa yang mudah dicapai.
Sewaktu mendaki bukit ini nanti, anda juga akan terlihat papan kenyataan yang memberitahu pelawat supaya tidak memberi makan kepada monyet-monyet di sini.
Sengaja ingin diingatkan, dalam perjalanan di Monkey Hill nanti, anda tidaklah akan bertembung terus dengan geng-geng monyet di sini, kerana haiwan ini hanya dapat dilihat selepas hampir 2 km berjalan kaki. Jadi, jangan give-up pula ya?
Alamat: Monkey Hill, Mueang Phuket, Phuket
Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm
23. Teluk Phang Nga
Berkepanjangan 400 km, Teluk Phang Nga adalah salah satu daripada kawasan teluk yang terindah di Thailand yang menempatkan 100 buah pulau yang kebanyakannya termasuk di dalam The Guinness Book of Records dek kerana keunikan dan keindahannya. Teluk ini terletak di antara pulau Phuket dan Semenanjung Malaysia pada bahagian Selatan Thailand.
Dalam menerokai sekitar teluk ini, anda akan menemui banyak tebing-tebing batu kapur tinggi yang terbentuk indah, gua-gua laut dan pulau-pulau kecil yang termasuklah pulau James Bond, Ko Tapu.
Antara aktviti yang terkenal di sekitar Teluk Phang Nga adalah kayak laut dan perkhemahan di kawasan pantai pulau-pulau yang terdapat di sini.
Sambil melihat keindahan lanskap sekitar teluk, celikkan mata anda dengan habitat fauna yang lebih daripada 200 spesies di sini. Pelbagai jenis ikan dan burung yang dapat disaksikan di sekitar Teluk Phang Nga.
Alamat: Ao Phang Nga National Park
22. Phuket FantaSea
Phuket FantaSea adalah sebuah taman tema kebudayaan yang terletak di bahagian selatan Thailand, Phuket. Taman tema yang berkeluasan 60 ekar ini menampilkan 3 jenis tarikan utama iaitu pertunjukan teater kebudayaan Thai, restoran buffet dengan seni bina bergaya Ayutthaya dan Festival Village shopping street.
Nak tahu fakta menarik tentang Phuket FantaSea? Taman tema ini sebenarnya adalah sebuah taman tema kebudayaan yang pertama di dunia! Tak akan nak lepaskan peluang ke tempat sebegini bukan?
Ingin lebih sebab untuk ke sini? Kalau anda nak tahu, Phuket FantaSea pernah dilawati oleh ahli silap mata yang terkenal di dunia, David Copperfield, diva berkelas dunia, Beyonce, Rihanna dan ramai lagi. Apa lagi? Datang jangan tak datang.
Alamat: 99 Moo 3 Kamala Kathu Phuket 83150
Waktu Operasi: Jumaat -Rabu (5.30am – 11.30pm) | Khamis Tutup
Bayaran Masuk: Dewasa & Kanak-kanak 1800 Bhat
21. Phuket Trickeye Museum
Phuket Trickeye Museum sepertimana 3D muzium yang terdapat di Malaysia, merupakan sebuah muzium yang mengetengahkan teknik kreatif Trompe-l’œil daripada Perancis untuk memanipulasi pandangan mata. Lukisan-lukisan yang dihasilkan di Phuket Trickeye Museum kelihatan cukup realistik yang memberikan ilusi seolah-olah 3D.
Ingin menjadi Spiderman yang mampu bergantung pada siling bangunan, atau seorang yang kononnya ‘berani mati’ di atas jambatan yang patah? Gunakan bakat posing anda sepuas hati di muzium ini. Tak pasti macam mana nak berposing untuk dapatkan foto yang pro? Anda boleh melihat contoh pose yang diletakkan berdekatan lukisan.
Alamat: 130/1 PhangNga Road, Taladyai, Muang, Phuket 83000
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 7.00pm)
Bayaran Masuk (1-Day Ticket): Dewasa (Atas 130 cm) 450 Baht | Kanak-kanak (Bawah 130 cm) 270 Baht
20. Khao Rang (Bukit Rang)
Khao Rang (Bukit Rang) adalah sebuah lokasi pemerhatian yang terkenal di Phuket. Puncak yang berketinggian 500 meter ini menyajikan pemandangan sekitar bandar Phuket sehinggalah ke arah pulau-pulau indah di sekitar Phuket.
Khao Rang bukan sekadar lokasi untuk menikmati pemandangan, puncak berlanskap indah ini turut lengkap dengan taman peramainan kanak-kanak, pusat rekreasi, dan restoran-restoran menarik.
Alamat: Phuket Town, Phuket
19. Phuket Old Town
Tidak ubah seperti Georgetown di Penang, Phuket Old Town penuh dengan kedai-kedai yang terletak di dalam bangunan-bangunan lama yang cukup terserlah usia klasiknya.
Bangunan-bangunan dengan gaya seni bina Sino-Portugis menjadi refleksi kepada kedatangan Eropah pada suatu ketika dahulu kerana kekayaan bijih timah bandar Phuket. Di sini juga anda akan menemui banyak restoran, cafe dan butik.
Selain itu, Phuket Old Town turut menempatkan banyak kuil dan muzium-muzium dengan koleksi yang unik untuk dilihat.
Alamat: Phuket Town, Phuket 83000
18. Gibbon Rehabilitation Project
Memiliki konsep yang sama seperti Phuket Elephant Sanctuary, Gibbon Rehabilitation Project menempatkan haiwan yang kelihatan seperti monyet iaitu ungka yang sebelum ini pernah didera dan/atau diabaikan.
Kesemua haiwan yang dimasukkan di dalam pusat pemuliharaan ini akan ditempatkan di dalam habitat semula jadi mereka.
Lawatan ke sini dapat membuka minda anda sekeluarga tentang bagaimana spesies ungka menjadi kian terancam dan pelbagai kisah yang berkaitan dengan ungka-ungka yang telah diselamatkan di sini.
Jangan lupa untuk memakai kasut yang sesuai untuk mendaki dan berjalan menempuh sungai dan hutan untuk melihat ungka-ungka yang banyak terdapat pada pokok-pokok. Dikatakan buat masa ini terdapat lebih daripada 60 ekor ungka yang dipelihara.
Alamat: Bang Pae Waterfall, Pa Khlock, Talang, Phuket 83110
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecual Sabtu (9.00am – 4.30pm) | Sabtu (9.00am – 3.00pm)
Bayaran Masuk: Percuma (Hanya Bayar Kepada National Park Wildlife and Plant Conservation Department)
17. Prompthep Cape Viewpoint
Prompthep Cape Viewpoint adalah sebuah lagi puncak bukit yang terkenal dalam kalangan jurugambar kerana keindahan lanskap yang seindah lukisan di galeri. Untuk menuju ke bahagian puncaknya, anda perlu berjalan kaki selama 30 minit.
Mengah juga bunyinya kan? Tapi percayalah, selepas melihat pemandangan matahari terbenam atau menaik di sini, kepenatan yang dirasai hilang serta-merta.
Selain pemandangan yang indah, Prompthep Cape Viewpoint turut lengkap dengan kedai-kedai cenderamata, kedai serbaneka dan tandas. Bagi anda yang memandu, tempat meletak kereta turut disediakan.
Alamat: Rawai, Mueang Phuket District, Phuket
16. Kepulauan Similan
Macam kenal sahaja bunyinya, Pulau ‘Similan’ ini sebenarnya dinamakan di dalam bahasa melayu sendiri iaitu nombor sembilan kerana terdiri daripada 9 buah pulau yang bermula daripada bahagian utara hingga ke selatan iaitu:
Koh Ba Ngu (No. 9), Similan (No. 8), Payu (No. 7), Miang (No. 4, No. 5, No. 6), Payan (No. 3), Payang (No. 2) dan Hu Yong (No. 1).
Gugusan Kepulauan Similan sememangnya wajib dilawati sekiranya anda berpeluang kerana ia merupakan antara kumpulan pulau yang terkenal di Laut Andaman sebagai 10 daripada destinasi menyelam yang paling menarik di dunia.
Untuk anda yang bercadang ke sini, Kepulauan Similan hanya dibuka kepada orang awam dari 15 Oktober hingga 15 Mei.
Alamat: Lam Kaen, Thai Mueang District, Phang-nga
Waktu Dibuka: 15 Oktober – 15 Mei (Bergantung Kepada Perubahan Dari Tahun Ke Tahun)
15. Kepulauan Phi Phi
Kepulauan Phi Phi adalah antara pulau yang terindah di Asia Tenggara sehinggakan pulau yang terbesar di dalam kepulauan ini, Ko Phi Phi Lee, dijadikan lokasi penggambaran filem Hollywood lakonan Leonardo DiCaprio bertajuk The Beach.
Antara keindahan yang menanti anda sekeluarga di sini adalah pembentukan pantai-pantai tropika dan batu-batu yang sungguh mempesonakan. Di samping itu, air yang berwarna hijau kebiruan ditambah lagi dengan hidupan marin yang penuh warna-warni turut menyejukkan mata.
Masa yang diambil untuk ke Kepulauan Phi Phi ini dari Phuket adalah dalam 45 minit dengan bot laju dan 90 minit menggunakan feri.
Alamat: Phi Phi Island, Ao Nang, Amphoe Muang, Krabi 81000
14. Ko Racha Yai (Kepulauan Raya)
Terletak 12 km dari selatan Thailand, Ko Racha Yai dikelilingi oleh air laut yang tidak terungkap keindahannya. Air yang jernih di pulau ini menjadikan ia sebagai salah satu lokasi yang menggoda jiwa ramai kaki selam dan snorkeling untuk meneroka panorama di dalam airnya.
Untuk menuju ke sini, anda boleh mendapatkan khidmat perahu panjang ataupun bot laju yang akan hanya mengambil masa dari 45 minit ke 1 jam lebih untuk menuju ke kawasan pulau.
Jika anda bercadang untuk ke sini, seeloknya adalah pada awal pagi kerana bilangan payung dan tikar yang disediakan adalah terhad.
Alamat: Ko Racha Yai, Rawai, Phuket
13. Koh Panyi
Perkampungan yang lain daripada yang lain ini, Koh Panyi, adalah sebuah kampung kecil yang dibina di atas air. Dengan populasi kurang daripada 1500 orang, pulau ini mengamalkan gaya hidup yang cukup simple untuk disaksikan.
Macam mana boleh terbinanya kawasan perkampungan terapung ni ya? Teringin tak nak tahu? Untuk pengetahuan anda, Koh Panyi ini telah dibuka oleh Toh Baboo dan dua lagi keluarga yang lain yang datang dari Indonesia.
Mereka berjanji sesama sendiri sekiranya menjumpai kawasan yang dipenuhi dengan ikan dan sesuai untuk didirikan perkampungan, akan memberikan isyarat kepada yang lain untuk datang dan tinggal di kawasan yang sama. Dari situlah wujudnya perkampungan terapung ini.
Alamat: Ko Panyi Subdistrict, Krabi Town
12. James Bond Island
Memang banyak pulau yang bertaraf Hollywood di Thailand ini. Satu lagi tarikan alam semula jadi tropika yang menjadi idaman ramai warga dunia adalah James Bond Island yang terletak di dalam Teluk Phang Nga.
Dalam 40 meter dari James Bond Island atau nama asalnya Khao Ping Kan Island ini terdapat sebuah pulau kecil yang digelar Ko Tapu yang terpacak tidak ubah seperti sebatang jarum di tengah-tengah lautan.
Kedua-dua pulau ini mula terkenal selepas dijadikan lokasi penggambaran filem James Bond, The Man with the Golden Gun pada tahun 1974.
Alamat: Ao Phang Nga National Park
11. Samet Nangshe Viewpoint
Untuk menuju ke puncak Samet Nangshe Viewpoint anda perlu mendaki sekitar 300 ke 500 meter sebelum sampai. Memang memenatkan, tapi kalau anda rasa nak kekal cun walaupun dah sampai di kawasan viewpoint nanti atau tidak mahu membuang masa, anda boleh menyewa trak pick-up 4WD dengan caj hanyalah sebanyak 60 Baht.
Setibanya di sini, anda boleh merancang untuk menyewa khemah yang disediakan sekiranya ingin menikmati pemandangan matahari naik yang terindah di dalam hidup sebaik terjaga dari tidur.
Semua ini dapat dinikmati dalam penuh privasi kerana walaupun ianya destinasi yang menawarkan pemandangan indah bak lukisan, ia bukanlah lokasi hotspot para pelancong sepertimana kawasan lain di Phuket.
Alamat: Khlong Khian, Takua Thung District, Phang-nga 82130
Bayaran: Masuk 30 Baht | 4WD Pick-up 60 Baht
10. Phuket Weekend Night Market
Phuket Weekend Night Market ataupun lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Naka Market adalah sebuah pasar malam yang terletak di sepanjang Chao Fa West Road.
Bagi anda yang kaki bershopping tapi gemar berbajet, inilah syurga yang dicari. Cukup banyak barangan-barangan terpakai dijual di dalam pasar ini.
Bukan itu sahaja, barangan lain yang boleh dijumpai disini juga adalah seperti cenderamata, beg, perhiasan, barangan elektronik dan macam-macam lagi, sampai berpinar mata dibuatnya.
Alamat: Chao Fa West Road, Phuket Town
Waktu Operasi: Sabtu & Ahad (4.00pm – 9.00pm)
9. Khao Sok National Park
Berlokasi strategik iaitu di tengah-tengah destinasi-destinasi hebat di Selatan Thailand seperti Phuket, Khao Lak, Krabi dan Koh Samui, Khao Sok National Park adalah sebuah hutan hujan yang menghijau sepanjang tahun yang tertua di dunia.
Anugerah alam di sekitar taman negara ini cukup banyak daripada tasik-tasik yang indah, bukit-bukau batu kapur yang tinggi, gua-gua yang menarik untuk diteroka dan banyak lagi.
Kekayaan fauna dan flora yang tak terkira di taman negara ini membuatkan ia wajib dijejaki oleh pencinta alam walau sekali di dalam hidup.
Faunanya, terdapat lebih daripada 300 spesies burung untuk diperhatikan dan lebih daripada 40 haiwan mamalia yang berkeliaran di sekitar.
Alamat: Khlong Sok, Phanom District, Surat Thani 84250
Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm | Untuk Lawatan Waktu Malam Memerlukan Pemandu Pelancong
Bayaran: Dewasa 300 Baht | Kanak-kanak 150 Baht | Tour 6000 Baht – 25790 Baht
8. Pulau Raya & Coral
Pulau Raya & Coral adalah 2 buah pulau terindah yang terletak di Lautan Andaman. Pulau-pulau ini merupakan pulau tropika yang dapat memberikan jiwa anda ketenangan yang diimpikan sebaik anda menjejakkan kaki di atas pasir yang putih bersih dan berendam di dalam airnya yang jernih.
Disebabkan kejernihan airnya juga, anda boleh merancang untuk bersnorkeling bagi menikmati warna-warni kehidupan marin yang wujud di dalam perairan pulau.
Untuk menuju ke pulau-pulau ini, masa yang diambil hanyalah dalam sekitar 30 minit dari Phuket.
Alamat: 12 km dari Selatan Thailand (Phuket)
7. Phuket Mining Museum
Terletak di dalam bangunan berwarna pink dengan seni bina yang menggamit pandangan Sino-Portugis awal abad ke-19, Phuket Mining Museum adalah salah satu muzium yang menarik untuk dilawati di Phuket. Kelihatan cukup klasik sekali reka bentuknya, namun sebenarnya muzium ini masih agak baru, dibuka pada tahun 2008.
Di dalamnya terdapat beberapa buah bilik pameran yang berbeza yang menunjukkan perkembangan industri dari masa ke masa. Sebenarnya agak dramatik juga pameran di muzium ini, kerana ianya dimulakan dengan waktu pembentukan bumi dan matahari, jauh betul perginyakan?
Setelah meneroka alam semesta, anda akan dibawa ke sebuah terowong yang dipenuhi dengan illustrasi zaman purba dan patung orang zaman batu.
Bilik pameran yang seterusnya pula, dan yang paling penting sekali di sini adalah diorama kawasan perlombongan dan operasinya. Diorama yang dipamerkan cukup teliti sehingga menampakkan titisan peluh patung-patung manusia bersaiz mini ini.
Bilik pameran lain yang terdapat di sini adalah bilik budaya pendatang dari China, teknik perlombongan, artifak lama dan lain-lain lagi.
Alamat: Moo 5, Kathu-Na Koh Road (Route 3013), Kathu
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (8.00am – 4.00pm) | Ahad Tutup
Bayaran Masuk: Dewasa 100 Baht | Kanak-kanak 50 Baht
6. Phuket Seashell Museum
Sering terpesona dengan kecantikan kerang-kerang yang dijumpai di tepi pantai? Jom puaskan mata anda dengan melawat Phuket Seashell Museum. Di sini anda dapat melihat antara kerang yang memiliki kecantikan tersendiri dan berharga yang datang dari seluruh pelusuk dunia.
Bukan itu sahaja, Phuket Seashell Museum turut mempamerkan kerang yang unik termasuklah mutiara emas yang terbesar di dunia (140 karat). Batu-batuan yang memiliki fosil kerang juga turut boleh disaksikan di muzium ini. Memang kenyang minda biologi anda kalau ke sini.
Alamat: 12/2 Moo 2, Viset Road, Rawai, Phuket 83130
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)
5. Freedom Beach, Ao Sane Beach
Freedom Beach adalah salah satu daripada pantai yang terindah berpasir putih dan air laut yang kejernihannya memuaskan deria mata.
Pantai ini walaupun terletak hampir dengan pantai yang tersibuk di Phuket iaitu Patong Beach, Freedom Beach ini secara ajaibnya cukup tenang persis namanya sebagai pantai yang dapat memberikan jiwa anda kemerdekaan dari kesibukan tarikan yang lain.
Untuk menuju ke sini, anda perlu menaiki bot panjang yang tersedia hanya dari bulan Disember ke Jun ketika musim cuti. Dalam perjalanan ke sini, anda akan melepasi beberapa buah pantai yang lain yang lebih sibuk seperti Pantai Merlin, Pantai Paradise dan Pantai Tri Trang.
Alamat: Nai Harn, Rawai, Phuket
4. Ton Ao Yon Waterfall
Jika anda berjiwa ekstrem, apa kata kalau anda membuka langkah kaki untuk menuju ke Ton Ao Yon Waterfall? Air terjun yang terletak di dalam hutan tebal ini perlu diakses dengan melalui kawasan-kawasan berbatu yang memerlukan anda memiliki pandangan mata yang teliti untuk mengelakkan sebarang kemalangan.
Memang mencabar, namun apabila sampai sahaja di kawasan air terjun ini, anda akan merasakan segala jerih-perih perjalanan terbayar kerana keindahan lanskapnya yang menyerupai lukisan profesional.
Anda juga boleh bermandi-manda di dalam beberapa buah kolam semula jadi yang terbentuk di sini sambil menikmati udara segar dan pemandangan penuh kehijauan di sekitar.
Alamat: Berdekatan Cape Panwa (Ao Yon Noi)
3. Phuket Walking Street
Phuket Walking Street atau nama lainnya Lardyai yang membawa maksud pasar besar di dalam dialek Selatan Thailand adalah pasar yang sangat berbeza daripada yang lain. Berjalan di sepanjang Phuket Walking Street ini membuatkan anda terasa seperti berada di ‘street art’ yang penuh dengan kemeriahan.
Pasar yang dimulakan pada tahun 2013 ini terletak di Thalang Road, iaitu di tengah-tengah bandaraya yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan bersejarah bereka bentuk Sino-Portugis.
Dari gerai-gerai yang menjual pelbagai kraftangan kreatif, kedai mainan, butik pakaian hinggalah kepada tempat bermain trampolin percuma, macam berada di sarkas pula rasanya. Bukan itu sahaja, bab makanan memang tak perlu risau, macam-macam tersedia untuk mengisi perut yang kosong sambil menghiburkan mata dengan keunikan pasar ini.
Alamat: Thalang Road, Phuket Old Town
Waktu Operasi: Ahad (4.00pm – 10.00pm)
2. Koh Bon
Koh Bon adalah pulau yang terletak hanyalah sekitar 2 km dari Rawai. Pulau dengan kepanjangan 1.2 km dan kelebaran 500 meter ini cukup kecil, tapi, kekayaan faunanya bukan main hebat lagi.
Pulau yang dilitupi oleh pokok-pokok yang menghijau ini menawarkan kawasan pantai dengan air yang jernih berwarna hijau kebiruan. Air yang jernih di kawasan pulau? Sudah semestinya aktiviti yang tak patut dilepaskan di sini adalah bersnorkeling.
Alamat: Rawai, Mueang Phuket District, 83100
1. Kata Noi Beach
Kata Noi Beach adalah sebuah pantai berpasir halus yang cukup menggoda. Airnya yang jernih kebiruan menambahkan lagi pesona pandangan. Yang menariknya lagi, Kata Noi Beach juga agak privasi jika dibezakan dengan pantai-pantai lain di sekitar Phuket kerana lokasinya yang agak tersorok dan jauh dari pusat bandar Phuket, menjadikan atmosfera sekitarnya terasa lebih santai.
Waktu yang terbaik untuk ke pantai ini adalah dari bulan Disember hingga April kerana airnya lebih tenang untuk anda sekeluarga bermandi-manda. Manakala dari bulan Mei hingga Oktober pula, ombak besar mula menerpa menjadikan ia lebih sesuai untuk aktiviti surfing.
Alamat: Karon, Mueang Phuket District, Phuket 83100
Daripada senarai tempat menarik di Phuket ini dapat disimpulkan bahawa Phuket adalah sebuah destinasi percutian yang sangat luar biasa!
Daripada pulau dan pantai dengan pemandangan yang mampu membuat jiwa anda terbang ke angkasa hinggalah kepada pasar yang tidak ubah seperti syurga Etsy, memilih untuk bercuti ke Phuket adalah satu idea percutian yang terbaik.
Kalau anda rasa 32 buah lokasi hebat ini dah cukup untuk memanggil anda sekeluarga ke sana, bagaimana pula kalau kami katakan sebenarnya banyak lagi tarikan lain yang tidak tersenarai di dalam artikel ini? Nak tahu di mana? Mulakan eksplorasi anda di bandar ini secepat mungkin.
Tapi sebelum itu, jangan lupa untuk membuat tempahan penginapan di booking.com untuk mendapatkan tawaran harga yang terbaru.
Dah tahu ke mana nak pergi dan penginapan juga sudah dicari, galas beg anda dan mulakan langkah kaki untuk sebuah percutian yang pasti sukar dilupakan. Selamat bercuti di Phuket Thailand!