Ramai yang pilih bercuti di Port Dickson kerana ia hanya satu jam lebih sahaja masa perjalanan dari Kuala Lumpur. Tambahan pula, pantai pasir putih yang luas dan udara laut yang segar antara sebab kenapa Port Dickson menjadi destinasi utama warga ibu kota bercuti pada hujung minggu. Jika anda sedang merancang percutian ke sana, dibawah tersenarai 34 tempat menarik di Port Dickson untuk anda sekeluarga lawat semasa bercuti nanti.
34. Aurora Park Port Dickson
Aurora Park di Batu 9 merupakan antara tarikan yang baru dibuka di Port Dickson. Mula beroperasi sejak bulan Januari tahun 2022, Aurora Park merupakan sebuah taman hiburan yang menarik buat anda seisi keluarga.
Taman yang luas ini terbahagi kepada 2 bahagian utama iaitu Taman Haiwan dan Taman Lampu LED. Buat pengetahuan anda, Taman haiwan di sini boleh dikunjungi pada waktu siang dan malam manakala Taman Lampu LED pula hanya bermula pada waktu malam.
Taman haiwan di sini menempatkan pelbagai jenis haiwan. Ada haiwan ternakan seperti arnab, kambing, kura-kura dan juga kuda. Mini zoo ini juga merumahkan pelbagai jenis burung seperti burung unta, burung merak, burung kakak tua, ayam dan itik. Bolehlah anda dan keluarga bergaul mesra sambil memberi makan kepada haiwan-haiwan ini.
Taman Lampu LED pula merupakan pameran Lampu LED yang menghiasi landskap di Aurora Park. Lampu-lampu LED ini direka mengikut bentuk pelbagai seperti bangunan ikonik Eiffel Tower, atau sesuatu tempat seperti Gunung Fuji. Lampu-lampu LED ini dihias dengan sangat kreatif.
Ada juga yang menjadi sebahagian dari landskap taman ini. Contohnya, pemandangan lautan bersama kapal, laluan cinta dengan arch berbentuk hati dan banyak lagi. Rekaan lampu LED Dalam bentuk haiwan juga ada seperti harimau, naga dan banyak lagi. Pastikan anda datang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan dapatkan gambar-gambar insta-worthy di sini!
Alamat: Lot 3636, Batu 9, Jalan Pantai, Kampung Sungai Menyala,71050,Port Dickson
Waktu Operasi:
- Pengembaraan Haiwan (10am-6pm)
- Pameran Lampu LED + Pengembaraan Haiwan (7pm-12am)
Harga Tiket:
- Aurora Park (Siang: 10am-4.30pm): Dewasa RM18 | Kanak-kanak RM12
- Pameran Lampu (Malam: 5pm-11pm): Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM18
Sosial Media: Facebook
Baca Review Penuh Disini: Aurora Park Port Dickson
33. Pulau Burung
Dah puas menikmati pemandangan dari Pantai Cahaya Negeri, anda boleh merentasi lautan dengan menggunakan jambatan berkepanjangan sekitar 182 meter yang disediakan untuk ke Pulau Burung. Tapi, ketika waktu air surut, anda boleh sahaja berjalan kaki ke sini tanpa menaiki jambatan.
Apa yang menariknya di Pulau Burung ni? Pulau ini sebenarnya dikategorikan sebagai hutan paya laut dengan beberapa jenis tumbuhan seperti pokok bakau kurap, bakau minyak dan api-api putih. Selain dapat melihat kepelbagaian flora yang ditawarkan di sini, anda juga boleh melontarkan joran dan memancing di perairan sekitarnya.
Alamat: Pulau Burung, 71050, Port Dickson
32. Kompleks Baitul Hilal
Kompleks Baitul hilal merupakan balai cerap yang terletak bersebelahan dengan resort popular bernama Klana Beach Resort.
Pada mulanya ia didirikan sebagai tempat penyelidikan astronomi dan kemudian dibuka kepada orang awam dengan tujuan mempromosi edu tourism di Port Dickson.
Tempat ini menampilkan pameran artifak yang digunakan pengkaji ilmu falak dari zaman dahulu hingga ke zaman moden. Masuk adalah percuma buat tetamu hotel dan bayaran yang kecil dikenakan kepada pelawat lain.
Waktu Operasi:
- Solar Observatory: 3.00 pm – 5.00 pm
- Night Sky Observatory: 10.30 pm – 12.00 am
Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-Kanak RM12
Alamat: Lot 4506 Batu 8, Jalan Pantai, 5, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson
31. Rantau Eco Park
Terletak hanyalah dalam sekitar 36 minit dari Port Dickson adalah sebuah kawasan rekreasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga. Destinasi Rantau Eco Park yang terletak di Kampung Kuala Sawah Pasir ini adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang berkeluasan mencecah 100 ekar.
Antara aktiviti yang boleh anda rancang untuk lakukan di sini adalah bermandi-manda di kolam renang yang disediakan atau berkayak. Lokasinya, terletak di dalam kawasan perkampungan yang nyaman.
Bagi anda yang ingin mengelakkan diri dari bertentang mata dengan pelancong lain di sekitar Port Dickson atau inginkan suasana yang lebih privasi bersama keluarga, inilah salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Bayaran yang dikenakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan juga sangat berpatutan.
Jarak Dari Port Dickson: 27.4 KM / 36 Min
Waktu Operasi: Kolam Renang: Setiap Hari (9.00 am – 7.00 pm)
Harga Tiket:
- Kolam Renang: RM5
- Kayak: Single RM10 | Double RM15
Alamat: Rantau Eco Park, Kampung Kuala Sawah Pasir, 70300 Rantau, Negeri Sembilan
30. Uncle Wong Happy Farm
Jika anda peminat sukan extreme atau aktiviti outdoors, and pasti suka mengunjungi Uncle Wong Happy Farm. Mereka merupakan taman aktiviti yang menawarkan aktiviti seperti riding ATV, Pedal Boat dan Kayak. Kalau bersama keluarga atau kawan-kawan mesti seronok.
Uncle Wong Happy Farm ini sangat luas dan menawarkan beberapa route ATV untuk anda pilih mengikut tahap pengalaman anda. Di dalam taman ini terdapat sebuah tasik di mana anda boleh melakukan aktiviti air. Jika anda ingin merasai pengalaman berkayak atau menaiki paddle boat, cubalah di sini. Sesuai untuk melakukan aktiviti team building, Uncle Wong Happy Farm ini juga menyediakan perkhidmatan tapak camping dan BBQ. Seronok kan?
Waktu Operasi: 9am-7pm
Alamat: Lot 11886, Bukit Permata, 71010 Lukut, Negeri Sembilan
29. Ehsan Water Park
Ehsan Waterpark ini merupakan taman tema air terbaru dan terbesar di Port Dickson ini. Baru saja dibuka pada awal 2022 ini, ianya menempatkan beberapa gelongsor air dan mainan yang menjanjikan keseronokan untuk seisi keluarga.
Dikelilingi kehijauan sekitar taman tema ini, anda akan mendapat suasana gabungan thrill dan tranquil. Ia juga menawarkan sebuah pusat convention dan tidak lama lagi apartment untuk penginapan. Tiket juga sangat berpatutan. Anda boleh dapatkan pakej yang mereka sediakan juga. Jom kita ke Ehsan Waterpark.
Waktu Operasi: 10am-6pm (Khamis-Ahad sahaja)
Harga Tiket:
Hari biasa | Dewasa – RM35 Kanak-kanak – RM35 Warga Emas – RM35 |
Hari minggu/Public Holiday/Cuti Sekolah | Dewasa – RM45 Kanak-kanak – RM35 Warga Emas – RM35 |
Alamat: No 1, Batu 13, Jalan Pantai, 71250 Port Dickson, Negeri Sembilan
28. Masjid Sri Sendayan
Dalam keseronokan makan angin tu, jangan lupa untuk menunaikan solat fardhu supaya segalanya berjalan dengan lancar dan jiwa lebih tenang. Untuk tujuan ini, salah satu masjid yang mesti anda singgahi adalah Masjid Sri Sendayan.
Walaupun datang dengan tujuan untuk beribadah, tidak salah untuk anda mengamati keindahan seni bina masjid ini yang sungguh menawan jiwa sehingga mendapat gelaran sebagai Masjid Kerajaan Uthmaniyyah, Taj Mahal dan Masjid Nabawi.
Mana tidaknya, hampir kesemua arkitek dan juga hasil seni yang digunakan dibawa dari luar negara seperti Maghribi, Turki, Mesir, China dan Dubai. Tidak hairanlah kenapa wujud elemen yang unik pada struktur masjid ini.
Mengenai kemudahan yang disediakan, masjid ini lengkap dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah, perpustakaan, bilik kuliah, dewan makan, bangunan pentadbiran dan enam buah kediaman untuk petugas masjid.
Masjid yang juga merupakan yang terbesar di Negeri Sembilan ini dapat memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa. Diwakafkan oleh Tan Sri Abd Rashid Hussain, pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, masjid indah ini siap dibina pada tahun 2015 dengan kos melebihi 100 juta.
Alamat:Â Masjid Sri Sendayan, Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan, 71950 Siliau, Negeri Sembilan
27. Port Dickson Sunset Cruise
Apa lagi yang boleh dibuat untuk memaksimakan keseronokan percutian di Port Dickson selepas puas melawat hampir kesemua tarikan yang ada? Jawapannya adalah dengan mengikuti Port Dickson Sunset Cruise. Dengan bayaran bermula dari hanya RM149 seorang, anda dapat menikmati sebuah pelayaran yang penuh keindahan, tak ubah macam dalam percutian mewah.
Semasa berada di atas kapal layar, anda boleh berendam badan di dalam jakuzi yang disediakan atau menikmati bbq yang sungguh menyelerakan sambil melihat pemandangan matahari terbenam yang memukau jiwa. Apa-apa pun, jangan lupa untuk sentiasa bersedia dengan kamera!
Waktu Operasi: Waktu Pick-Up Adalah Dari 4.30 pm – 5.00 pm | Berdurasi 3 Jam
Harga Tiket: Dewasa RM199 | Kanak-Kanak RM149
Alamat: Kampung Baharu, Teluk Kemang, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
26. Rumah Api Tanjung Tuan
Rumah api Tanjung Tuan atau nama lainnya Cape Rachado Lighthouse, adalah sebuah mercu tanda popular yang sering menjadi tumpuan pelangcong yang datang bercuti ke PD.
Ia dianggap rumah api yang tertua di Negara kita dan dibina pada abad yang ke 16, zaman Portugis memerintah Melaka.
Semenjak itu rumah apa ini diperbaharui beberapa kali oleh Kerajaan British, kali pertama pada tahun 1817, dan bangunan yang boleh dilihat sekarang disiapkan pada tahun 1863.
Tambahan terbaru pada Rumah api tersebut adalah sebuah radar MEASAT yang di bina pada tahun 1990.
Alamat: Cape Rachado, Port Dickson
25. Double Queue Thai Cuisine Port Dickson
Setelah puas makan angin, tibalah waktu untuk mengisi perut yang kelaparan. Sekiranya anda menginginkan hidangan berkualiti yang dapat membuatkan percutian ke Port Dickson sukar dilupakan, salah satu restoran terbaik yang boleh dilawati adalah Double Queue Thai Cuisine Port Dickson.
Antara hidangan yang boleh dicuba di sini adalah seperti tom yam, kailan, ayam pandan dan banyak lagi. Yang bestnya, makanan ini dihidangkan dalam saiz yang terlampau mengenyangkan. Bagi yang betul-betul lapar sebelum ke sini, anda pasti akan puas hati! Yang penting, kualiti makanannya tidak ubah seperti masakan orang Thai sendiri.
Sambil menikmati makanan yang enak anda boleh melihat pemandangan pantai yang mendamaikan jiwa sambil ditemani oleh alunan muzik Thailand.
Waktu Operasi: Selasa – Khamis (11.00 am – 5.00 pm) | Isnin, Jumaat, Sabtu, Ahad (11.00 am – 5.00 pm)
Alamat: 4-G-18 Persiaran Waterfront, PD Waterfront, Port Dickson
24. Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Sijang
Sekiranya sewaktu sedang makan angin di sekitar Jalan Pantai PD anda terdengar laungan azan, berkemungkinan besar azan ini dikumandangkan dari Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Sijang. Alang-alang berada di sekitarnya, apa kata ambil peluang ini untuk menunaikan solat di sini?
Untuk pengetahuan anda, masjid dengan gaya seni bina yang kelihatan agak klasik ini telah dibina pada tahun 1973 di atas tapak berkeluasan sekitar 3.5 ekar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.
Pada awal pembinaannya, masjid ini hanya mampu menampung sekitar 500 orang jemaah pada satu-satu masa, namun setelah diubahsuai dan dinaiktaraf, ia mampu memuatkan sehingga 1800 orang jemaah.
Alamat: 1, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
23. Pantai Blue Lagoon
Pantai Blue Lagoon merupakan pantai yang terletak didalam teluk kecil berhampiran dengan Cape Rachado, hanya 18 Kilometer dari Bandar Port Dickson.
Air laut di sini cetek dan tenang kerana pantai ini dilindungi oleh teluk membuat tempat ini sesuai untuk kanak-kanak bermandi laut.
Disamping itu ia terletak berdekatan dengan Hutan Lipur Tanjung Tuan dan pelancong sering dapat melihat hidupan liar seperti tupai, monyet dan burung.
Pada waktu malam pula boleh kelihatan lampu suluhan rumah api Cape Rachado merentas air laut di hadapan anda.
Alamat:Â Batu 10, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson
22. Alive 3D Art Gallery
Antara tarikan yang baru sahaja dibuka dan sering dikongsi di media sosial adalah Alive 3D Art Gallery Port Dickson.
Kalau anda peminat selfie atau suka menangkap gambar menarik semasa bercuti, anda pasti akan jatuh cinta dengan tempat ini.
Terdapat sebanyak 50 lukisan 3D beraneka tema setiap satu menjanjikan ilusi yang berlainan. Antara 5 tema yang anda boleh jumpai di sini adalah aquarium, adventure, animation, seni dan exotic.
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (11am-11pm) | Sabtu-Ahad & Cuti Sekolah (10am-11pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM15
Alamat: No 38-40, Jalan DS 2/1, Bandar Dataran Segar, Lukut, 71010 Port Dickson
21. Pantai Sri Purnama
Pantai terpencil ini tersembunyi dari jalan utama dan tidak ramai mengetahui kewujudanya.
Pada waktu siang suasana pantai agak lengang, tetapi bila waktu malam tiba ramai yang datang sini untuk melihat keindahan pemandangan matahari terbenam.
Jika anda mahu meluangkan masa di pantai yang kurang sibuk jangan lupa untuk singgah sebentar ke Pantai Purnama ini.
Alamat:Â Jalan Pantai, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson
20. Muzium Tentera Port Dickson
Muzium Tentera Port Dickson ini merupakan antara muzium tentera yang terbesar di negara kita dan ia terletak bersebelahan dengan Pusat Latihan Tentera Darat Malaysia.
Muzium ini didirikan untuk memberi peluang kepada orang ramai mempelajari sedikit mengenai sejarah perjuangan angkatan tentera Negara kita.
Disini terdapat 9 galeri berbeza yang membawa anda pulang ke zaman penjajahan Portugis hingga ke zaman penjajahan Jepun. Disamping itu, anda dapat melihat pameran kereta kebal dan jet pejuang di bahagian luar muzium.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30 am – 6.00 pm)
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Muzium Tentera Darat, Kem Si Rusa, Persiaran Pahlawan, 71050 Port Dickson
19. Pantai Bagan Pinang
Jika anda lebih gemarkan pantai yang sunyi untuk melapangkan minda, Pantai Bagan Pinang sesuai untuk anda kerana ia tidak sepopular pantai lain di Port Dickson.
Pantai pasir yang luas, air yang surut serta ombak yang tenang menjadikan Pantai ini tempat terbaik untuk anda lupakan stress di bandar.
Satu ciri unik mengenai pantai ini adalah pokok kayu bakau yang tumbuh secara semulajadi di situ dan pada waktu air surut anda boleh memerhati nelayan tempatan menjari ketam dan kepah.
Alamat: Batu 3, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson
18. Kota dan Muzium Lukut
Salah satu tapak bersejarah yang popular di Port Dickson adalah Kota dan Muzium Lukut. Ia merupakan sebuah kubu yang didirikan diatas bukit oleh Raja Jumaat pada tahun 1847.
Muzium ini menjadi rumah kepada artifak dan gambar yang berkaitan dengan sejarah pelombongan biji timah di kawasan lukut.
Terdapat 4 galeri pameran utama iaitu Sejarah, Teknologi, Negeri Sembilan dan Nassau.
Bagus jika anda berminat untuk belajar sedikit tentang sejarah pentadbiran, pertahanan dan system ekonomi yang dilaksanakan di kota lukut pada zaman itu.
Waktu Operasi:Isnin-Ahad (9am-6pm)
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Lot 730, Kota Lukut, 71010 Port Dickson
17. Port Dickson Ostrich Show Farm
Pusat penternakkan Burung Unta atau lebih dikenali sebagai PD Ostrich Farm ini terletak 9 kilometer dari Jalan Pantai Port Dickson.
Di sini anda dapat mempelajari sedikit tentang burung gergasi ini sambil berinteraksi dengan haiwan tersebut.
Antara haiwan lain yang menjadikan tempat ini rumah adalah keldai, kambing, arnab dan angsa. Kanak-kanak diberi peluang untuk menyemtuh dan memberi makanan kepada haiwan kecil ini.
Untuk aktiviti pula, dengan bayaran yang kecil, tetamu dapat menunggang Burung Unta, menaiki ATV, atau bermain Paintball.
Waktu Operasi:Setiap Hari (9.30 am – 6.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM15 | Kanak-kanak RM10
Alamat:Lot 1419, Jalan Kemang 13, Batu 9 Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson
16. Pantai Saujana
Pantai Saujana ini satu tempat berkelah tepi pantai yang sangat popular di Port Dickson. Terletak di batu 4, pantai ini terkenal dengan pantai yang luas dan pasirnya yang halus.
Walaupun kemudahan di sini kurang jika dibandingkan dengan Pantai Teluk Kemang, tetapi ia lebih sesuai untuk mereka yang berniat untuk memasang kemah di tepi pantai sambil berpiknik bersama keluarga.
Pantai ini juga sesuai untuk pasangan yang mahu berjalan-jalan romantis sepanjang pantai.
Alamat: Jalan Pantai, Batu 4, Pantai Saujana, 71050 Port Dickson
15. Rumah Terbalik Port Dickson
Mungkin anda sedar Port Dickson memang banyak rumah bertema ilusi dan yang ini pula membuat anda rasa bagaimana kalau hidup didalam dunia terbalik.
Rumah Terbalik Port Dickon merupakan sebuah rumah kedai yang diubah suai menjadi tarikan pelancong dan menjanjikan suata pengalaman bergambar yang berbeza.
Disini anda boleh menjumpai semua bilik yang ada di rumah biasa, bezanya semua bilik terbalik seolah-olah anda berjalan di atas bumbung.
Waktu Operasi:Setiap Hari (10.00 am–8.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa (13 Tahun & Ke Atas)
Harga Tiket: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM15
Alamat: No 15, Jalan Coral Walk, Batu 9, Jalan Pantai, Teluk Kemang, Batu 9, 71050 Port Dickson
14. Hutan Simpan Sungai Menyala
Walaupun Port Dickson ini lebih dikenali oleh pantainya, ia juga mempunyai hutan simpan yang indah yang menanti sesiapa yang sudi menerokainya.
Hutan Simpan Sungai Menyala mempunyai keluasan 1208 hektar dan boleh dijumpai 12 Kilometer dari pusat Bandar Port Dickson.
Disini anda berpeluang untuk menerokai hutan dan melihat hidupan liar seperti burung helang dan pokok jelutong gergasi.
Alamat: Taman Kota Indah, 71250 Pasir Panjang, Negeri Sembilan
13. Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas
Sebelum ia menjadi destinasi pelancongan yang popular, Pengkalan Kempas merupakan sebuah pelabuhan kecil.
Walaupun destinasi ini jarang terlintas minda semasa memikirkan percutian ke Port Dickson, Kompleks ini menyimpan tinggalan sejarah kesultanan melayu Melaka yang agak menarik.
Kompleks sejarah ini juga mempunyai bilangan batu hidup atau Megalith yang terbanyak di Negara kita.
Batu ini dikenali sebagai batu bersurat dan 3 batu paling popular disini adalah Batu Sudu, Batu Pedang dan Batu Kemudi.
Alamat: Jalan Port Dickson, Pengkalan Kempas, 71150 Linggi, Negeri Sembilan
12. Taman Tema Wild West Cowboy
Antara tarikan yang baru sahaja dibina di Port Dickson adalah Taman Tema Wild West Cowboy. Terdapat 4 tayangan 5D berbeza dan setiap satu mengambil masa selama 7 minit untuk habis.
Di sini juga terdapat 4 Escape Room dimana anda diberi masa yang singkat untuk menyelesai teka-teki untuk bebas dari bilik tersebut.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (12.00 pm – 10.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum, Cuti Sekolah (10.00 am – 10.00 pm) | Selasa (Tutup)
Harga Tiket: Dewasa RM38 | Kanak-kanak RM28 | Bawah 90cm masuk percuma
Alamat: 59-64, Jalan DS 2/7, Bandar Dataran Segar, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan
11. Pusat Ikan Hiasan Teluk Kemang
Kepada pencinta akuarium dan ikan hiasan sila bergembira, Pusat Ikan Hiasan Teluk Kemang menampilkan pameran ikan laut tempatan yang exotik.
Tidak ramai tahu tentang Pusat Ikan yang di urus oleh Jabatan Perikanan Port Dickson ini. Ia merupakan sebuah tempat tertutup penuh dengan akuarium yang mempamerkan berbagai jenis hidupan laut yang menarik.
Bukan sahaja untuk dilihat tetapi ada beberapa jenis ikan yang anda diberi peluang untuk sentuh, menjadikan tempat ini sesuai untuk semua peringkat umur.
Yang minat memancing atau mahu belajar sedikit tentang kehidupan bawah laut jangan lupa untuk menuju ke desinasi ini.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00 am – 4.30 pm) | Jumaat (9.00 am – 12.00 pm & 2.45 pm – 4.30 pm)
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Batu 7, Jln Pantai, Teluk Kemang, 71050 Port Dickson
10. Extreme Park PD
Extreme Park PD adalah lokasi yang perlu anda jejaki sekiranya ingin mencuba pelbagai aktiviti outdoor yang best untuk dilakukan bersama keluarga. Antara aktiviti yang ditawarkan adalah ATV fun ride, paintball war game, memanah, go-kart dan bermacam-macam lagi.
Sambil berseronok bermain dengan bermacam permainan yang ada, anda boleh menikmati udara segar dan suasana penuh kehijauan kawasan di sekitarnya. Memang bestlah!
Kedudukannya, terletak berdekatan dengan banyak tarikan menarik di sekitar Port Dickson. Jadi, bila dah puas berseronok di sini, bolehlah terus explore kawasan lain pula.
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00 am – 6.00 pm) | Jumaat (10.00 am – 7.00 pm) | Sabtu & Ahad (10.00 am – 10.00 pm)
Bayaran Masuk: ATV Ride RM30 Per Trip
Alamat: Taman Pantai Port Dickson, 71250 Port Dickson
9. Pantai Tanjung Gemok
Pantai Tanjung Gemok adalah sebuah kawasan pantai indah yang menyajikan pemandangan indah Laut Selat Melaka yang terbentang luas. Memang di Port Dickson ni ada banyak lagi pantai-pantai lain, tapi sekiranya anda inginkan lebih privasi dan ketenangan, bolehlah luangkan masa di Pantai Tanjung Gemok.
Selain lebih tenang jika dibezakan dengan Pantai Teluk Kemang, di sekitar pantai ini juga terdapat banyak penginapan menarik seperti Glory Beach Resort & Paradise Soa Hotel, Lexis Port Dickson dan Crystal Executive Water Chalet.
Nak lagi syok? Anda boleh membawa anak-anak melawat pusat penjagaan penyu yang ada di sini sekiranya menginap di Glory Beach Resort. Pengalaman yang lain dari yang lain ini bakal menjadi memori yang kekal dalam ingatan seluruh ahli keluarga.
Alamat: Jalan Baharu, Kampung Bahasa Kapor, Port Dickson
8. Pantai Cahaya Negeri
Sebagai pantai yang agak terkenal di Port Dickson, ia adalah sebuah destinasi yang cukup mesra pelancong dengan kewujudan pelbagai kemudahan seperti pondok untuk anda berehat-rehat menikmati bayu laut, tempat meletak kerata dan kawasan yang sesuai untuk anda memasang khemah.
Selain terkenal sebagai tempat berkelah, berkhemah dan bersantai bersama keluarga, ada juga yang datang untuk memancing ikan. Kalau anda ada banyak masa untuk diluangkan, angkut sekali joran anda sebelum ke sini. Mana tahu kalau dapat ikankan? Bolehlah berbbq terus di tepi pantai ni.
Untuk pengetahuan anda juga, di Pantai Cahaya Negeri terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan pengunjung dengan Pulau Burung. Nak tahu apa yang menariknya dekat Pulau Burung ni? Baca point yang seterusnya.
Alamat: Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson
7. Bukit Batu Putih
Nak uji stamina badan dan mengeluarkan peluh? Mai daki Bukit Batu Putih. Tarikan yang terletak di Tanjung Tuan ini merupakan salah sebuah destinasi yang popular dalam kalangan hikers kerana keindahan yang disajikan dari puncak bukitnya yang dapat menggetarkan jiwa iaitu lautan yang luas dan kebiruan.
Untuk menuju ke puncak Bukit Batu Putih, masa yang diambil hanyalah dalam sekitar 20 ke 40 minit bergantung kepada stamina anda dengan titik permulaan dari pintu masuk Rumah Api Tanjung Tuan. Berdekatan dengan puncak ini, anda boleh menemui trek ke bawah yang akan membawa anda menuju ke kawasan pantai di sebalik hutan rekreasi.
Alamat: Puncak Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan
6. Hutan Lipur Pasir Panjang
Hutan Lipur Pasir Panjang adalah sebuah tarikan yang menarik untuk dilawati. Jangan terkejut, di sebalik keindahan flora dan fauna Hutan Lipur Pasir Panjang ini rupa-rupanya terdapat kawasan pantai yang akan membuatkan jiwa anda teruja. Sambil berjalan-jalan memijak pasir yang lembut, anda boleh menikmati bayu laut yang sungguh menyenangkan.
Selain menikmati pemandangan dan udara yang segar, anda juga boleh berkelah atau berbbq bersama keluarga.
Lokasinya, agak jauh dari tarikan-tarikan yang ada di Port Dickson, tapi kalau anda tak kisah untuk menjelajah jauh segenap ceruk penjuru PD, boleh teroka hutan lipur ini.
Waktu Operasi: 7.00 am – 6.00 pm
Alamat:Taman Kota Indah, 71250 Pasir Panjang, Negeri Sembilan
5. King’s Char Kuey Teow
Ada sesiapa yang tak suka Char Kuey Teow? Dari tak suka boleh jatuh cinta dengan menu ni kalau cuba untuk menikmatinya di King’s Char Kuey Teow. Yang syoknya, char kuey teow di kedai ni turut dihidangkan dengan kombinasi unik seperti dengan daging kambing dan sotong bbq. Selain char kuey teow, makanan lain yang boleh dicuba adalah meatball, chicken chop dan lain-lain lagi.
Kalau anda nak datang ke sini, datanglah seawal yang mungkin sebab tempat meletak keretanya agak terhad, namun jangan risau, mejanya cukup banyak.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (4.30 pm – 2.00 am) | Sabtu & Ahad (11.00 am – 2.00 am)
Alamat: King’s Char Kuey Teow, 402, Si Rusa, 4, Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan
4. Kafe Kampung Kaw
Untuk makanan yang enak dengan khidmat pelanggan yang wow, singgahlah ke Kafe Kampung Kaw. Ya, layanan mereka memang tip-top. Konsep kedai ini juga sungguh menyamankan, anda dapat menikmati hidangan yang enak sambil merasai angin yang bertiupan.
Antara hidangan best yang boleh anda cuba adalah nasi lemaknya yang kesedapannya dapat dirasai dari nasi hinggalah ke sambal yang dihidangkan. Dengan nasi lemak ni, anda boleh menikmatinya bersama kambing panggang.
Selain itu, kuih gemoknya juga cukup enak. Sambil menikmati makanan yang menjilat jari ini, anda boleh melengkapkan lagi hidangan dengan teh tarik mereka yang juga sangat kaw. Nak dipendekkan cerita segala makanan di Kafe Kampung Kaw memang kaw habis!
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (7.30 am – 2.30 pm) | Jumaat (Tutup)
Alamat: PT3038, Jalan Haji Sirat, Kampung Baru, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan
3. Mient’s Burger
Dah puas makan KFC atau restoran fast food antarabangsa? Jom cuba pula restoran makanan segera milik bumiputera Mient’s Burger yang terletak di Kampung Bahasa Kapor. Bagi yang menyukai burger gaya Ramly atau makanan street food Malaysia, ini pasti menjadi kegemaran dengan hanya sekali cuba.
Ruang makan yang disediakan pihak restoran cukup luas menjadikan ianya restoran yang selesa untuk dilawati bersama keluarga. Layanannya juga cukup pantas, bersesuaian dengan statusnya sebagai restoran makanan segera. Berkenaan dengan harga, cukup berpatutan, sesuai dengan tahap keselesaan kedai makan. Jangan lupa untuk cuba air float atau soda herbnya, sangat enak!
Waktu Operasi: 3.30 pm – 1.00 am
Alamat: 258, Kilometer 1, Jalan Pantai, Kampung Bahasa Kapor, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan.
2. Pantai Teluk Kemang
Pantai Teluk Kemang merupakan pantai paling besar dan paling popular di Port Dickson.
Banyak penginapan popular seperti resort, hotel dan apartment tersusun sepanjang pantai ini, menjadikanya sasaran pelancong yang mencari penginapan semasa berada di di sini.
Kepada penggemar sukan air, Pantai Teluk Kemang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Jet Ski, Banana Boat dan macam-macam lagi.
Alamat:Â Pantai Teluk Kemang, 71050 Port Dickson
1. PD Water Front
Kalau anda mencari lokasi untuk bersantai yang paling dekat dengan Bandar Port Dickson, PD Water Front adalah jawapanya.
PD Water Front antara tempat yang baru dibina dan ia mempunyai satu laluan berjalan kaki panjang betul-betul bersebelahan dengan pantai.
Dikawasan ini juga anda akan menjumpai banyak kedai makan dan penginapan moden, menjadikan tempat ini ideal untuk mereka yang mencari tempat penginapan yang dekat dengan bandar Port Dickson.
Kalau anda datang ke Port Dickson untuk sehari sahaja, jangan terlepas untuk berjalan disini sambil menikmati udara laut yang segar sebelum pulang ke Ibu Kota.
Alamat: PD Waterfront, Persiaran Waterfront, Kampung Bahasa Kapor, 71000 Port Dickson
Untuk memberi anda sedikit gambaran pilihan penginapan yang ada di sini, kami telah menyediakan dua panduan untuk memudahkan mereka yang sedang dalam proses memilih tempat penginapan semasa bercuti ke Port Dickson nanti.
Jika anda mencari hotel yang memberi nilai terbaik untuk wang anda sila baca entri di mana kami menyenaraikan 25 hotel murah di Port Dickson.
Kami juga telah menulis entri yang menyenaraikan hotel paling menarik di Port Dickson jika anda mencari pengalaman bercuti yang luar biasa.
Jika anda mahu melihat pilihan penginapan yang tawarkan di Port Dickson atau mahu menyemak harga bilik terkini anda boleh terus melawat laman web booking.com.
Tidak kira apa pun pilihanya, harap anda pulang dengan kenangan manis bercuti bersama keluarga.