14 Tempat Menarik Di Pulau Perhentian | Panduan Bercuti Ke Syurga Laut Biru

Tidak perlulah anda bersusah-payah mencari keindahan di negara lain kerana semua ini sebenarnya dapat dinikmati di negara sendiri. Bukan sedikit, tapi sungguh banyak tarikan yang mendamaikan jiwa ditawarkan di pelbagai pelusuk Semenanjung Malaysia. Dari timur hinggalah ke barat, sungguh banyak lokasi untuk anda sekeluarga ‘recharge’ kembali mental dan tenaga.

Salah satu tarikan indah ini terletak di negeri ‘kepok leko’ yang tak lain tak bukan, Terengganu. Siapa tak pernah dengar tentang Pulau Perhentian? Kalau pernah, bila lagi nak merasai keindahannya sendiri?

Bagi yang tak pernah, percayalah, percutian ke pulau ini akan menjadi salah satu memori yang paling sukar dilupakan seumur hidup anda!

Kecantikan yang menanti di Pulau Perhentian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibayangkan, tapi, dalam artikel ini kami akan sedaya-upaya membantu anda mendapatkan gambaran keindahannya untuk menyerapkan seribu-satu sebab kenapa anda perlu memilih pulau ini sebagai destinasi percutian yang akan datang. Teruskan membaca senarai tempat menarik di Pulau Perhentian ini.

14. Pulau Perhentian Kecil

Tak pasti nak bermalam di Pulau Perhentian Kecil atau Besar? Mungkin penjelasan ni akan membantu anda membuat pilihan.

Kalau Pulau Perhentian Besar dapat memuaskan jiwa anda yang merindukan suasana tenang, Pulau Perhentian Kecil pula lain ceritanya. Pulau ini agak meriah dengan pelancong terutama sekali pada bahagian yang dipanggil Long Beach ataupun Pantai Panjang, tak kisahlah siang atau malam, ada sahaja aktiviti yang berjalan di sini.

Inginkan ketenangan? Jangan risau, ruang untuk anda mendapatkan privasi ada disediakan di Coral Bay yang terletak bertentangan dan tidak sukar untuk diakses.

Sebagai info tambahan, salah satu sebab kenapa Pulau Perhentian Kecil ini lebih menjadi tumpuan adalah kerana terdapat banyak penginapan-penginapan bajet yang tersedia di sini.

Alamat: Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu


13. Teluk Pauh

Teluk Pauh adalah sebuah tarikan alam semula jadi di dalam Pulau Perhentian Besar yang terletak di bahagian barat laut. Kalau anda datang ke sini dari Pantai Panjang (Pulau Perhentian Kecil), anda boleh menggunakan perkhidmatan ‘teksi air’ yang disediakan penduduk setempat. Masa yang diambil untuk sampai ke teluk ini adalah dalam sekitar 10 minit.

Dapatkan Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Perhentian

Sebaik sampai di kawasan Teluk Pauh, anda akan terpesona melihat keindahan melampau yang disajikan di depan mata.

Teluk Pauh ini ibarat sebuah kolam renang semula jadi yang sangat besar, yang menjadikan ianya sejuta kali menyeronokkan adalah kerana kejernihan airnya yang persis kristal. Nak mandi sepuas hati? Inilah lokasinya kerana dasar airnya juga tidak begitu dalam.

Alamat: Daerah Besut, Pulau Perhentian Besar Teluk Pauh 22300, Terengganu


12. Teluk Dalam

Teluk Dalam Perhentian Main Image
Sumber: Mohd Hakimiey

Pada bahagian selatan Pulau Perhentian Besar pula terletaknya tarikan yang tak patut anda lepaskan iaitu Teluk Dalam. Di sepanjang teluk ini juga terdapat banyak penginapan menarik yang ditawarkan.

Sebaik anda sampai ke Teluk Dalam, anda akan dikejutkan dengan betapa panjangnya kawasan pantai ini yang kalau diikutkan, kepanjangannya mengalahkan Pantai ‘Panjang’ yang terletak di Pulau Perhentian Kecil!

Kawasan teluk yang panjang ini cukup mendamaikan, kat sinilah anda boleh meluangkan masa bersama keluarga sambil berkelah dan menikmati pemandangan dengan tenang. Tapi kebiasaannya, pada waktu tengah hari dan ketika mendekati waktu senja, kawasan teluk ini agak menjadi tumpuan untuk pelbagai aktiviti seperti berkayak, snorkeling, bola tampar dan sebagainya.

Alamat: Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar, Terengganu


11. Pantai Panjang (Long Beach)

Pantai Panjang ataupun Long Beach adalah sebuah lokasi yang menjadi perhatian ramai backpackers dan mat saleh. Bagi anda yang datang bersama anak-anak kecil tu, kawasan pantai ini sebenarnya agak tidak sesuai untuk dilawati.

Aktiviti yang berjalan di tepian Pantai Panjang ini bertambah meriah sebaik tiba waktu malam. Antara benda menarik yang ada di sini adalah pertunjukan api.

Di tepian Long Beach ni juga, kalau anda nak tahu, ada banyak guest house yang sesuai untuk diinapi golongan solo traveller atau yang bercuti dalam bajet. Nak jimat lagi? Set je khemah tepi pantai ni.

Alamat: Long Beach, Pulau Perhentian Kecil, Terengganu


10. Kampung Pasir Hantu

Kampung Pasir Hantu adalah sebuah perkampungan nelayan yang terletak di Pulau Perhentian Kecil. Kat sini, anda boleh melihat kehidupan sehari-hari penduduk tempatan yang hanyalah sebuah komuniti kecil.

Antara yang boleh anda nampak di sini adalah bangunan sekolah, balai polis dan kawasan perumahan. Ya, ia bukanlah seperti yang anda bayangkan dari sebuah perkampungan nelayan di atas pulau kan?

Kalau anda berjalan di sekitar kampung ini pula, dapat dilihat air laut yang jernih bak kristal, tak ada langsung pencemaran yang mengganggu pemandangan mata. Disebabkan kampung ini juga digelar sebagai perkampungan nelayan, banyaklah bot-bot yang terdampar di pesisir pantai dapat dilihat di sini.

Alamat: Kampong Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu


9. Kincir Angin D’Lagoon

wind turbine perhentian Main Image
Sumber: turbinemanlog

Kincir Angin D’Lagoon adalah sebuah tarikan unik yang terletak di bahagian puncak tertinggi di Pulau Perhentian Kecil. Kalau anda berdiri di atas puncak ini, anda dapat menyaksikan pemandangan yang terindah di Pulau Perhentian.

Yang menjadikan ia sebuah lokasi yang wajib dilawati di sini adalah kerana Kincir Angin D’Lagoon adalah seperti ‘dek pemerhatian’ pulau ini. Dari puncak ini anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan penuh 360 darjah sekitar Pulau Perhentian.

Bunyinya macam tinggi sahaja puncaknya, tapi jangan risau, laluan pejalan kaki untuk anda mendaki menuju ke puncak telah disediakan. Masa yang diambil untuk mendaki adalah dalam 20 minit. Pakai kasut yang selesa dan jangan lupa bawa kamera!

Alamat: Kincir Angin D’Lagoon, Pulau Perhentian Kecil, Kuala Besut, Terengganu


8. Pantai Romantik

Inginkan pengalaman yang romantik semasa berada di Pulau Perhentian? Apa kata kalau anda ber’dating’ bersama pasangan di Pantai Romantik, sesuai sekali dengan namanya.

Kalau anda nak romantik secara bersendirian dekat sini pun boleh, kerana di sini anda memanjakan pandangan mata dengan pemandangan yang mampu membuatkan nafas terhenti.

Pantai dengan pasir putih ini dapat memberikan anda ketenangan yang dicari-cari. Dah puas berjalan, anda boleh meneruskan aktiviti di sini dengan ‘menyelami’ keindahan sebenar yang disorokkannya di dalam air laut dengan cara bersnorkeling. Banyak ikan-ikan comel yang menanti  kunjungan anda.

Alamat: Pantai Romantik, Pulau Perhentian, Terengganu


7. Titik Penyu (Turtle Bay)

Terletak tidak jauh dari Teluk Pauh adalah tarikan yang seterusnya, Titik Penyu atau Turtle Bay. Dari namanya sahaja dapat dibayangkan apa yang boleh ditemui di sini.

Nak tahu kenapa banyak penyu di sini? Sebabnya, kawasan dasar laut di sekitar Titik Penyu ini adalah tempat mereka mendapatkan sumber makanan. Cara terbaik untuk melihat penyu-penyu ini adalah dengan bersnorkeling di perairan sekitar.

Walau bagaimanapun, anda kenalah hormat penyu-penyu yang muncul dengan cara tidak mengganggu habitat mereka atau menyentuh mereka yang sedang bergerak bebas di sekitar. Cukuplah sekadar melihat dari jauh. Jangan lupa untuk sediakan kamera anda!

Alamat: Turtle Bay Divers, Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu


6. Pulau Tokong Burung

Nak merasa angin yang lain selepas puas menikmati segala yang ditawarkan Pulau Perhentian? Anda boleh menuju ke Pulau Tokong Burung yang terletak hanyalah dalam sekitar 40 minit dari Pulau Perhentian dengan menaiki bot-bot yang tersedia.

Pulau yang agak kecil merupakan sebuah tempat menarik di Pulau Perhentian yang memiliki permukaan yang berbatu-batuan dan tidak begitu berpasir seperti pulau yang lain.

Untuk menikmati keindahan sebenar yang ditawarkan Pulau Tokong Burung ini anda boleh menaiki batuan besar yang terdapat di sini untuk menikmati pemandangan yang sangat memuaskan deria mata.

Anda juga boleh merancang untuk bersnorkeling di sini, percayalah, apa yang menanti anda di dalam dunia bawah air ini cukup mengujakan, kepelbagaian hidupan marin yang berkeliaran akan membuatkan anda terasa seperti berada di dalam alam mimpi.

Alamat: 40 Minit Dari Pulau Perhentian


5. Tokong Laut

Untuk anda yang sukakan aktiviti menyelam skuba, Tokong Laut adalah lokasi yang pertama sekali patut anda letakkan dalam rancangan aktiviti di Pulau Perhentian. Kalau anda nak tahu, Tokong Laut adalah salah satu lokasi menyelam yang paling famous di pulau ini. Kalau dah terkenal, mesti ada sebabnyakan?

Tak kisahlah berapa kali anda teroka dasar lautnya, sekali atau 100 kali, anda tidak akan pernah puas! Panorama yang terpapar di depan mata cukup memukau jiwa, kepelbagaian hidupan marinnya dari yang bersaiz kecil hinggalah yang besar, semuanya dapat anda dekati. Terasa seperti berada di dalam akuarium!

Kawasan menyelam ini memiliki kedalaman berbeza-beza sehingga mencecah 30 meter. Semakin dalam anda terokai, semakin banyak terumbu karang menarik yang dapat anda temui.

Alamat: Tokong Laut (Temple of the Sea), Pulau Perhentian, Terengganu


4. Terumbu Tiga

Untuk menuju ke sini dari Teluk Pauh ataupun Teluk Dalam mengambil masa dalam sekitar 15 minit perjalanan bot. Nama lain Terumbu Tiga adalah Tiger Rocks. Kawasan menyelam yang best ini terletak di bahagian timur Pulau Perhentian Besar.

Kalau anda memilih lokasi ini untuk menyelam skuba, anda dapat melihat banyak pembentukan batu karang yang berwarna-warni yang terdiri daripada spesies-spesies seperti Ctenocella pectinata, Sinularia sp, Symphyllia recta dan bermacam lagi.

Tak tahu spesies apa semua ni? Tak apa, lepas je anda mula menyelam skuba dan melihat sendiri keindahan batu karang, secara automatik perasaan nak mengenali batu karang secara mendalam akan muncul.

Alamat: Terumbu Tiga, Timur Pulau Perhentian Besar, Terengganu


3. Lata Air Berani

Nak tahu di mana tarikan paling unik di Pulau Perhentian? Jawapannya adalah Lata Air Berani. Untuk pengetahuan anda, keindahan alam semula jadi  yang wujud di sini iaitu kolam kecil yang terbentuk di tepian pantai Pulau Perhentian Besar, adalah sebuah kolam yang airnya tidak pernah kering sama sekali!

Air tawar ‘misteri’ ini menjadi tumpuan ramai orang untuk bermandi-manda sepuas hati kerana kesegaran yang dirasakan bila air yang sejuk bak ais ini terkena pada badan. Rasanya cukup memuaskan!

Alamat: Lata Air Berani, Pulau Perhentian Besar, Terengganu


2. Teluk Keke

Kalau anda datang ke Teluk Keke ketika waktu air sedang surut, anda dapat menggunakan lokasi ini untuk bersnorkeling sepuas hati. Tarikan yang terletak di dalam kawasan Pulau Perhentian Besar ini juga selamat untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga yang termasuklah anak-anak kecil. Tambahan lagi, pukulan ombaknya juga agak ‘sopan’.

Bila dah datang bersama keluarga ke sini, jangan lupa untuk cuba menarik hidupan marin ikan-ikan kecil yang berwarna-warni di sini dengan memberi mereka makan cebisan roti.

Seronoknya anak-anak bukan main bila ikan-ikan datang mendekati. Selain ikan yang comel, keindahan batu karang juga dapat dilihat di sekitar perairan Teluk Keke.

Namun ingin diingatkan, kalau anda datang ketika waktu air sedang pasang, air boleh menjadi agak dalam. Nak tahu dalam atau tak, anda boleh perhatikan paras air pada batu karang.

Dah puas melihat keindahan Teluk Keke, anda boleh meneruskan perjalanan ke tarikan yang terletak hanyalah bersebelahan dengan teluk ini iaitu Tanjung Batu Layar dan di sebelah tanjung ini pula terdapat lagi satu kawasan tanjung iaitu Tanjung Batu Lochek yang turut menawarkan kawasan pantai yang menarik untuk dijadikan lokasi bermandi-manda.

Alamat: Teluk Keke, Pulau Perhentian Besar, Besut, Terengganu


1. Pulau Perhentian Besar

Apa yang anda cari sewaktu bercuti di pulau? Semuanya ditawarkan di pulau ini, dari pakej snorkeling  dan menyelam skuba hinggalah kepada perkhidmatan bot untuk anda menikmati pemandangan indah pulau dengan sepuas hati.

Tak kisahlah anda pandai atau tidak untuk menyelam skuba, kena usaha juga untuk pandai menyelam sebab inilah salah satu cara yang paling best untuk menikmati keindahan sebenar Pulau Perhentian.

Lanskap dunia bawah air Pulau Perhentian cukup memukau jiwa. Bayangkanlah, dengan menyelam, anda dapat melihat dengan lebih dekat keindahan batu-batu karang dan habitat marin lain yang penuh warna-warni ibarat sebuah lukisan. Rugi tak cuba!

Mengenai resort -resort yang terdapat di sini pula, kebanyakannya terletak di lokasi yang cukup menarik yang kebiasaannya di tepian pantai. Maksudnya, dengan hanya bersantai di dalam bilik anda dapat merasakan bayu laut yang bertiup tenang dan juga bunyi pukulan ombak yang mendamaikan jiwa.

Alamat: Pulau Perhentian Besar, Besut, Terengganu


Menarik sekali tarikan yang ditawarkan Pulau Perhentian bukan? Bukan sebuah tapi dua buah pulau berada dalam satu kawasan! Ini memperkayakan lagi tarikan yang terdapat di Pulau Perhentian.

Dari pemandangan penuh kehijauan yang membuatkan jiwa berasa tenang hinggalah kepada panorama dunia dasar laut yang memukau pandangan, Pulau Perhentian adalah syurga bagi deria anda yang sudah lama mengimpikan ketenangan.

Rasa tak sabar nak ke sini? Sebelum buat apa-apa, pastikan waktu yang anda rancang untuk ke sini adalah waktu yang sesuai.

Baca: Panduan Destinasi Paling Popular Di Kuala Terengganu

Kalau nak bercuti di kawasan pulau, anda perlu mengambil tahu musimnya terlebih dahulu yang boleh disemak dengan pihak penginapan atau agent percutian. Namun kebiasaannya, Pulau Perhentian akan ditutup dari bulan November sehinggalah ke hujung Februari atau awal Mac.

Bila tarikh “Cuti-Cuti Malaysia” anda dah set, anda boleh terus booking penginapan dengan memilih salah satu daripada yang disenaraikan dalam artikel ini atau layari booking.com untuk melihat lebih banyak pilihan yang lain. Selamat bercuti ke Pulau Perhentian!

4.4/5 - (65 votes)