30 Tempat Menarik Di Putrajaya (2023) | Jom Terokai Wilayah Penuh Keajaiban

Putrajaya sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat tempatan kerana diketahui sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia. Namun begitu Putrajaya juga boleh dikatakan sebagai salah satu pusat pelancongan yang menarik untuk dilawati di negara ini. Putrajaya dijadikan sebagai wilayah persekutuan pada akhir tahun 1980-an yang pada mulanya merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

Kemegahan Putrajaya mula dibina pada awal tahun 1995 sebagai sebuah bandar raya terancang bagi menggantikan Kuala Lumpur yang sebelum ini menjadi pusat pentadbiran.

Baca: 74 Destinasi Menarik Di Kuala Lumpur

Pembinaan pusat pentadbiran ini mempunyai falsafah tersendiri yang perlu diterokai dan dijadikan sebagai tempat yang wajib dilawati oleh masyarakat. Selari dengan itu, tulisan ini akan memperkenalkan Putrajaya sebagai sebuah pusat pelancongan yang berfalsafah untuk industri pelancongan negara dengan menerokai beberapa monumen simbolik di sini.

Di bawah kami telah menyusun senarai tempat menarik di Putrajaya untuk memudahkan anda merancang percutian ke sana kelak.

01. Putrajaya Secret Garden

Putrajaya Secret Garden
Sumber: wazari_wazir, Ann Bok, Nimville

Baru sahaja dibuka, taman lampu yang dinamakan sebagai Putrajaya Secret Garden ini bakal menyinari hidup anda dan keluarga di waktu malam. Taman ini terletak di Taman Putra Perdana Presint 1 dan berhadapan dengan Hotel Pulse Grande. Ia juga merupakan garisan penamat buat Putrajaya Steps.

Jika anda sudah mendaki Putrajaya Steps nanti, berehat-rehat lah di taman ini. Namun, buat pengetahuan anda, tarikan utama taman ini terletak pada sebelah malam. Tepat jam 7pm, lampu-lampu LED yang berwarna-warni dan melingkari setiap sudut taman ini dihidupkan.

Lampu-lampu LED yang menghiasi taman ini memang cukup cantik. Juraian-juraian lampu yang jatuh dari pokok-pokok, cebisan-cebisan lampu yang terselit di pokok-pokok bush dan garisan-garisan lampu yang diletak khas di sekitar taman ini membuatkan seluruh Putrajaya Secret Garden ini kelihatan seperti taman dalam filem avatar, Pandora.

Buat anda yang akan ke sini bersama keluarga, kanak-kanak kecil tentu akan kagum dengan skulptur 3D yang diperbuat dengan lampu-lampu LED ini. Ada yang berbentuk dinosaur tau. Taman ini memang cukup cantik dan sesuai dijadikan tempat date night, bergambar bersama rakan-rakan ataupun tempat beriadah malam bersama keluarga.

Alamat: Taman Putra Perdana, Jalan Putra Perdana, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


02. Dataran Putra

Dataran Putra
Sumber: ybi70

Dataran Putra yang terletak di Presint 1 Putrajaya adalah sebuah dataran bulatan yang cukup lapang berlatar belakangkan Masjid Putra. Dari sini, anda dapat menyaksikan lanskap yang menakjubkan bangunan kerajaan serta Jambatan Putra sepuas hati tanpa mengira waktu. Jangan lupa untuk membawa kamera ya?

Selain menjadi lokasi yang terkenal untuk fotografi, pada sekitar pukul 6 petang, dataran ini turut meriah dengan aktiviti lain seperti berbasikal, skating, bermain buih belon dan sebagainya. Setiap pagi Ahad pula terdapat sesi Zumba dan aerobik yang boleh anda turut serta.

Tak kisah untuk berbelanja lebih? Anda boleh menuju ke kawasan jeti untuk mendapatkan perkhidmatan bot yang ditawarkan untuk menyaksikan keindahan sekitar Putrajaya dari tasik.

Alamat: Dataran Putra, Presint 1, 62000 Putrajaya, Selangor

Harga Tiket: Percuma


03. Astaka Morocco

Nikmati keindahan seni bina Morocco atau Maghribi bila menjejakkan kaki ke Astaka Morocco. Di dalam taman ini, terdapat binaan replika istana Morocco yang dihasilkan dengan penuh ketelitian di mana dindingnya dihiasi dengan motif ukiran yang indah termasuklah ayat Al-Quran.

Setiap sudut replika istana ini iaitu pada bahagian dinding, pintu, siling dan tiangnya memiliki ukiran yang cukup halus penghasilannya. Walaupun kawasan ini secara keseluruhannya tidak begitu besar, namun keterujaan melihat hasil ukiran dan gaya seni binanya boleh membuat sesiapa pun terpukau sampai terlupa waktu.

Namun begitu, sekiranya anda ingin berfotografi di sini, anda perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada pengawal keselamatan kerana terdapat caj lebih yang akan dikenakan.

Alamat: Astaka Morocco, Taman Botani Putrajaya, Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (9.00 am – 12.00 pm & 2.00 pm – 5.00 pm) | Jumaat (9.00 am –11.00 pm & 3.00 pm – 5.00 pm) | Selasa (Tutup)

Harga Tiket: Dewasa RM3 | Kanak-Kanak RM1


04. Putrajaya Steps

Putrajaya Steps
Sumber: @shahrillramli

Naiki tangga ikonik baru di Putrajaya, Putrajaya Steps. Tangga ini dibina bersempena 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya dan mengambil inspirasi dari tangga-tangga ikonik dunia seperti The Spanish Steps, Potemkin Stairs dan juga tangga Batu Caves. Tangga ini bermula dari perjalanan pedestrian di Dataran Putra, menembusi Laman Perdana dan menuju ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana sebelum ia berakhir di Hotel Pulse Grande.

Sepanjang tangga ini, mereka menyediakan beberapa fasiliti yang membolehkan para pengunjung beriadah, bersenam dan berehat sambil menikmati pemandangan yang cantik. Anda bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama keluarga, malah dapat melakukan aktiviti sihat bersama mereka.

Alamat: PPJ-277 Laman Perdana, Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000, Putrajaya


05. Dataran Pahlawan Negara

Dataran Pahlawan Negara
Sumber: Khaidir Zakaria

Dataran Pahlawan Negara ialah sebuah monumen dan tugu peringatan yang terletak di Presint 1, Putrajaya. Kalau anda nak tahu, dataran ini menggantikan tugu negara untuk sambutan Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julia setiap tahun.

Dengan keluasan 12 ekar, dataran ini telah siap dibina pada tahun 2016 lagi. Bila anda ke sini, bolehlah anda memperingati dan belajar tentang sejarah-sejarah para pahlawan yang bertungkus-lumus memperjuangkan negara kita. Terdapat plak-plak yang menceritakan sejarah perjuangan dan peperangan yang telah negara kita lalui. Sambil anda berkunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga, bolehlah sama-sama mempelajari sejarah agar anak-anak kita sentiasa mengingati betapa susahnya kita mendapatkan kemerdekaan. Dengan itu, mereka pasti ingin mengekalkan keharmonian dan memajukan negara.

Alamat: Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


06. Pantai Floria

Pantai Floria
Sumber: pei_tze_3

Tak perlu lagi bersusah-susah untuk ke luar kota untuk menikmati hari minggu di tepi pantai. Datang saja ke Pantai Floria, Putrajaya. Pantai buatan ini berukuran sepanjang 100 meter dan terletak di dalam kawasan Anjung Floria. Dibuka pada 1 Mac yang lalu, pantai ini sudah pun menerima ramai pengunjung, terutama sekali dari golongan berkeluarga, pada hari minggu.

Pantai Floria ini sangat sesuai untuk anda datang berkelah bersama keluarga. Dilengkapi dengan kawasan lapang, air pancuran dan juga tempat duduk bertingkat, cukup selesa untuk para pengunjung. Anda boleh juga melakukan aktiviti lain seperti memancing, berkayak, bermain bot kawalan jauh atau remote-controlled boats dan macam-macam lagi. Ambil masa untuk tenangkan fikirkan, kurangkan tekanan dan beriadah bersama keluarga di Pantai Floria.

Alamat: Pantai Floria, Presint 4, 62000 Putrajaya

Waktu Operasi: 9am-6.30pm (setiap hari, tutup pada hari Isnin)

Harga Tiket: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM1


07. Anjung Floria

Anjung Floria
Sumber: jasonkstan85

Anjung Floria merupakan antara rekaan taman tercantik di Malaysia. Dengan jalanan berbatu, jambatan mini, dan alam semulajadi yang tumbuh mewah bersama bunga-bunga berwarna-warni, taman ini memang cukup indah. Buat pengetahuan anda, setiap tahun Anjung Floria akan mengadakan pelbagai festival bunga di zon-zon yang berbeza termasuk Festival Orkid Antarabangsa.

Di dalam taman ini juga, anda akan berjumpa dengan beberapa zon. Yang utama sekali dikenali sebagai Royal Floria Putrajaya yang merupakan sebuah tempat ala greenhouse yang menempatkan pelbagai tumbuhan menarik dan menjadi venue untuk pelbagai festival bunga.

Sebuah lagi zon ialah Taman Persahabatan China-Malaysia yang merupakan sebuah taman yang direka khas untuk menghargai persahabatan dua hala negara kita dengan negara China. Taman ini direka dan dihias dengan pelbagai arkitektur dan landskap yang berunsurkan budaya Cina. Pantai Floria yang kami kongsikan juga terletak di sini.

Alamat: Jalan Tuanku Abdul Rahman, Presint 4, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Waktu Operasi: 7am-7pm (setiap hari)


08. IOI City Mall Putrajaya

IOI City Mall Putrajaya
Sumber: IOI City Mall

Nak bershopping atau mengisi kelopongan masa dengan aktiviti menyeronokkan? Mai singgah ke IOI City Mall Putrajaya.

Shopping mall yang luas ini bukan sekadar penuh dengan bermacam jenis kedai daripada pelbagai jenama, tapi juga menawarkan bermacam tarikan menarik lain seperti Icescape, Archery Zone, The Symphony Walk, pusat bowling, panggung wayang GSC, taman tema indoor yang penuh dengan pelbagai aktiviti lasak District 21 dan banyak lagi!

Bagi menghilangkan kelaparan yang menguasai diri selepas puas bershopping atau berhibur, anda boleh menuju ke kawasan deretan kedai makan yang cukup panjang, apa yang anda teringin nak makan? Pizza Hut? Subway? McD? Atau macam-macam lagi, boleh rambang mata.

Tempat meletak keretanya? Cukup luas, mudah untuk anda mencari parking tanpa perlu membuang masa yang lama.

Alamat: IOI City Mall, IOI Resort City, 62502 Putrajaya


09. G2G Animal Garden

G2G Animal Garden atau nama panjangnya Goat 2 Go Animal Garden adalah sebuah tarikan yang terletak di Sri Kembangan dan hanyalah dalam sekitar 4 km sahaja dari IOI City Mall. Bolehlah menuju ke sini alang-alang pulang dari IOI nanti.

Lawatan ke taman haiwan ataupun petting zoo ini dapat memberi peluang kepada anda sekeluarga untuk mendekati pelbagai jenis haiwan seperti kambing, burung kasuari, burung kakak tua, kuda padi, arnab dan sebagainya.

Yang bestnya, tidak seperti zoo lain, haiwan yang ada di sini boleh disentuh, mana tak seronoknya kan? Tidak cukup dengan itu, anda turut boleh melihat wajah comel haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat sambil memberi makan. Untuk menambahkan lagi keseronokan, anda boleh juga menaiki anak kuda yang terdapat di sini.

Alamat: Jalan MAEPS 4/1, Fasa 3 Presint 9, 43400 Serdang, Selangor

Waktu Operasi: Isnin, Rabu – Ahad (10.00 am – 6.00 pm)

Harga Tiket: Dewasa RM29 | Kanak-Kanak RM24


10. Icescape Ice Rink @ IOI City Mall

Icescape Ice Rink @ IOI City Mall
Sumber: Toenof Moegan

Tidak perlu bercuti keluar negara dan menanti musim salji, anda boleh menikmati aktiviti meluncur ais di dalam negara dan secara indoor tanpa mengira musim, hujan atau panas. Di sini anda sekeluarga boleh meluncur sepuas hati tanpa had masa dalam harga yang sangat berpatutan.

Bagi yang hanya ingin melihat anak-anak berseronok, terdapat kerusi selesa yang disediakan. Sambil memerhati, anda boleh membawa makanan daripada luar untuk dinikmati. Ya, makanan luar dibenarkan untuk dibawa masuk.

Malas nak bawa makanan sendiri? Di sini turut disediakan vending machine yang diisi dengan aneka snek dan minuman untuk dipilih. Kemudahan lain yang disediakan adalah tandas dan juga locker.

Alamat: Icescape iCE Rink, Level 1, IOI City Mall, Lebuh IRC, IOI Resort City, 62502 Putrajaya

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10.00 am – 10.00 pm), Ice Resurfacing Schedule (2.30 pm, 5.00 pm, 7.30 pm)

Harga Tiket: RM35


11. Taman Ekuestrian Putrajaya

Taman Ekuestrian Putrajaya adalah sebuah kawasan tarikan yang cukup luas dengan lebih daripada 180 buah kandang. Kalau anda dah lama teringin merasa bagaimana perasaannya bila dapat menunggang kuda sendiri seperti dalam filem cowboy, di sinilah lokasi untuk merealisasikannya.

Tak pernah menunggang kuda? Inilah salah satu sebab kenapa anda perlu meluangkan masa di sini. Sebabnya, anda boleh memilih daripada mana-mana pakej yang ditawarkan yang bersesuaian dengan latar belakang anda.

Bagi yang tinggal di Putrajaya atau tidak jauh dari sini, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kelas intensif yang ditawarkan untuk mempelajari teknik sebenar menunggang kuda. Rugi tak belajar perkara sunnah ni.

Selain berpeluang untuk menunggang kuda, aktiviti lain yang ditawarkan adalah Stable Tour di mana anda boleh mempelajari pelbagai perkara berkaitan kuda seperti cara penjagaannya, sikap kuda, cara memandikannya, memberi makan dan banyak lagi! Pendek kata, segala perkara di sebalik tabir ekuestrian ini dapat anda selami.

Alamat: Taman Ekuestrian Putrajaya, Jalan Kandang Kuda, Presint 5, 62200 Putrajaya

Waktu Operasi (Joy Ride & Stable Tour): Selasa – Ahad (8.30 am – 10.30 am & 4.30 pm – 6.30 pm)


12. Taman Putra Perdana Putrajaya

Sebagai bandar pintar dalam taman, tidak peliklah kenapa begitu banyak sekali taman yang ada di sekitar Putrajaya ni. Salah satunya adalah Taman Putra Perdana Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan Pulse Grande Hotel, Presint 1 dan di tengah-tengah bulatan utama Putrajaya.

Di dalam taman ini juga terdapat sebuah mercu tanda berbentuk piramid iaitu Plaza Mercu Tanda yang didirikan untuk merasmikan bandaraya Putrajaya pada tahun 1995. Selain dapat melihat dengan lebih dekat binaan yang ikonik ini, anda juga boleh menggunakan teropong umum yang disediakan untuk melihat keindahan sekitar Putrajaya dengan sepuas hati.

Dah puas meneropong, anda boleh meneruskan perjalanan kaki di sekitar taman dan berhenti seketika di Fragrance Garden untuk menikmati aroma bunga-bungaan seperti bunga Cempaka Telor, bunga Cina dan bunga Melati. Sambil menikmati pemandangan dan udara segar yang ditawarkan di taman ini, anda boleh berehat-rehat di wakaf yang disediakan.

Alamat: Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (7.00 am – 8.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (7.00 am – 10.00 pm)


13. Kompleks Sukan Air Putrajaya

Siapa tak suka bermain air? Di dalam negara yang sentiasa bermusim panas ni, dapat terjun ke dalam kolam adalah satu perkara yang sangat ‘heaven.’ Keseronokan bermain air ni dapat dirasakan lebih-lebih lagi selepas puas makan angin. Untuk mengembalikan kesegaran badan setelah seharian beraktiviti, anda boleh menjejakkan kaki ke Kompleks Sukan Air Putrajaya.

Di dalam kompleks ini, tersedia kolam renang bersaiz olimpik yang pernah menjadi lokasi untuk Sukan SEA. Datang bersama keluarga? Jangan risau, turut disediakan di sini adalah kolam mandian yang sesuai untuk kanak-kanak berumur bawah daripada 10 tahun. Kemudahan lain yang disediakan adalah bilik persalinan, restoran dan tandas.

Yang menariknya, kompleks ini turut menawarkan sesi khas hanya untuk wanita bermandi-manda dalam suasana lebih privasi.

Alamat: Kompleks Sukan Air Presint 6, Presint 6, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Waktu Operasi: Setiap Hari


14. Monumen Millennium

Monumen Millennium adalah monumen kebangsaan kedua yang dibina di Putrajaya selepas Plaza Mercu Tanda. Berketinggian 68 meter, monumen berbentuk seperti peluru berpandu ini berdiri di dalam taman berkeluasan 25 hektar di Presint 2.

Sepertimana di kebanyakan lokasi di sekitar Putrajaya, monumen ini juga merupakan salah satu lokasi yang menarik untuk berfotografi kerana anda dapat menyaksikan kemegahan jambatan Putrajaya serta melihat dengan jelas percikan warna-warni bunga api pada sambutan tertentu.

Di samping itu, anda turut boleh singgah ke Lake Garden Cafe yang terletak di sebelah untuk menghilangkan dahaga dan lapar sambil melihat kecantikan awan di saat matahari mula terbenam. Bila tiba waktu malam pula, cahaya yang terang dapat dilihat dipancarkan pada 360 darjah untuk memberi panduan arah kepada kapal layar.

Alamat: Lebuh Ehsan, Presint 2, 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


15. Dataran Gemilang

Dataran Gemilang
Sumber: Ahmad al-Hady bin Abdul Razak

Dataran Gemilang adalah sebuah plaza berbentuk bulat yang terletak di bahagian hujung selatan Persiaran Perdana. Di dalam dataran ini, terdapat laluan pejalan kaki yang boleh digunakan untuk menuju ke Waterfront Promenades. Sambil berjalan, anda boleh melihat panorama di sekeliling yang menyajikan bangunan gah di sekitar Putrajaya.

Ingin berseronok? Anda boleh menuju ke kawasan kolam renang yang disediakan. Datang bersama keluarga? Jangan risau, kerana kolam ini juga sesuai untuk digunakan kanak-kanak.

Alamat: Lingkaran Gemilang Dua, Presint 4, 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


16. Masjid Putra

Masjid Putrajaya
Sumber: taicho_0220

Masjid Putrajaya merupakan binaan keagamaan yang tersergam indah dengan seni bina unik dan pastinya dapat menarik perhatian pengunjung beragama Islam malah pengunjung yang bukan Islam juga pasti terpikat untuk mengenali dan melihat secara dekat struktur bangunan tersebut.

Reka bentuk yang diilhamkan daripada pelbagai masjid dari luar negara termasuklah dari Iraq dan Morocco ini pastinya memberi kelainan berbanding masjid lain di Malaysia.

Ruang solat yang selesa juga dapat menampung jemaah seramai 15000 orang pada satu-satu masa ini terbahagi kepada dua tingkat iaitu ruang bawah untuk kegunaan jemaah lelaki manakala bahagian atas untuk jemaah wanita. Di samping, kedudukan masjid ini yang strategik berdekatan dengan tasik memberikan sentuhan unsur alam yang menyamankan dan pastinya memberi ketenangan kepada pengunjung yang berhasrat untuk bercuti di Putrajaya.

Masjid Putrajaya juga mempunyai laluan pejalan kaki yang direka khas bagi memudahkan pegawai kerajaan untuk ke masjid. Laluan ini juga hanya dibuka ketika solat Jumaat sahaja. Justeru, istilah “masjid” sendiri sangat berkait rapat dengan nilai keagamaan yang pastinya membawa pengunjung untuk menikmati percutian yang penuh dengan kerohanian.

Reka bentuk masjid Putrajaya mempunyai laluan pejalan kaki yang berhubungan dengan bangunan sekitarnya mempunyai falsafah tersendiri bahawa keagamaan seharusnya tidak diasingkan dengan aktiviti harian mahupun pentadbiran.

Sebuah lagi Masjid yang terdapat di Putrajaya iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi. Keunikan masjid ini dibina menggunakan 6000 tan keluli mampu menempatkan seramai 24000 jemaah pada satu masa dan merupakan sekali ganda keluasan berbanding Masjid Putrajaya yang berada lebih kurang 2km daripadanya.

Reka bentuk yang menarik pasti memberi penghayatan berbeza berbanding masjid-masjid yang ada di seluruh Malaysia. Masjid Besi ini tidak menggunakan sistem kipas kekal namun sebaliknya menggunakan pengudaraan gas penyejuk GDC. Ukiran seni tulisan khat banyak terdapat di masjid ini menaikkan lagi seri keindahannya. Justeru, pengunjung amat dialu-alukan untuk beriadah di masjid yang menjadi kebanggaan penduduk Putrajaya ini.

Alamat: Persiaran Persekutuan, Presint 1, 62502 Putrajaya


17. Taman Botani Putrajaya

Taman Botani Putrajaya merupakan tempat yang perlu dikunjungi apabila melancong ke Putrajaya. Keunikan taman ini telah diakui dunia apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada empat puluh buah taman yang tercantik di Asia.

Taman ini menempatkan tiga belas taman tema dan mempunyai lebih 700 jenis tumbuhan daripada pelbagai benua di dunia. Taman Botani Putrajaya menyediakan pilihan kepada pengunjung untuk menikmati keindahan dengan menelusuri laluan pejalan kaki atau menunggang basikal sewa yang tersedia.

Kemudahan ini pastinya menjamin keselesaan pengunjung semasa menikmati keindahan tumbuhan serta memberi peluang kepada pengunjung untuk mempelajari pelbagai jenis tumbuhan yang pastinya mempunyai khasiat tersendiri.

Melalui kewujudan taman Botani Putrajaya ini pastinya akan memberi input baharu kepada pengunjung tentang kelebihan herba tempatan. Khasiat tumbuhan ini telah diguna pakai semenjak zaman dahulu lagi sebelum adanya perubatan moden untuk merawat pelbagai penyakit yang pasti juga mempamerkan tumbuhan yang belum dikenali masyarakat.

Justeru, lawatan ke taman Botani Putrajaya ini pastinya menjadi lawatan yang penuh berilmu dan sepatutnya tidak dilepaskan oleh pengunjung untuk melihat sendiri taman Botani Putrajaya.

Nilai ilmu yang terdapat di taman Botani Putrajaya ini sangat tinggi dan tidak sepatutnya pengunjung melepaskan peluang dalam memahami falsafah yang wujud di taman ini. Ilmu alam yang dimiliki masyarakat telah dikumpulkan untuk tatapan pengunjung dan memahami keperluannya dalam kehidupan.

Alamat: Lebuh Perdana Barat, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


18. Taman Wetland Putrajaya

Taman Wetland Putrajaya
Sumber:

Taman Wetland Putrajaya menjanjikan keindahan alam yang sukar untuk dinikmati sekiranya berada di sesebuah kota raya kecuali di Putrajaya. Keindahan taman ini menyaksikan gabungan unsur alam semula jadi dengan struktur binaan manusia yang saling melengkapi dan memberi ketenangan serta penghayatan sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Pelbagai hidupan akuatik terdapat di taman Wetland Putrajaya menyemarakkan lagi keindahan alam dan membuktikan bahawa persekitaran taman yang terjamin kebersihannya serta ekosistem kehidupan yang sihat.

Dapat dikatakan taman Wetland Putrajaya merupakan syurga pelbagai spesies burung air serta ikan yang perlu dipelajari oleh setiap pengunjung. Kehadiran burung-burung tersebut pasti akan menarik minat kanak-kanak yang pastinya belum pernah melihat kehidupan tersebut di persekitaran semula jadi. Justeru, pengunjung seharusnya tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri kehidupan semula jadi walaupun tidak berpeluang pergi taman negara di kawasan luar bandar.

Lokasi pelancongan taman Wetland Putrajaya ini mempunyai ini nilai falsafah tersendiri yang menuntut supaya dihayati oleh pengunjung sebagai suatu organisasi yang saling memerlukan antara manusia dengan hidupan semula jadi.

Alamat: Taman Wetland Putrajaya, Presint 13, 62000 Putrajaya

Waktu Operasi:

  • Taman Wetland: Setiap Hari (7.00 am – 7.00 pm)
  • Jadual Perjalanan Tram: Sesi Pagi (9.30 am & 11.30 am) | Sesi Petang (3.00 pm & 4.00. pm)

Masuk: Percuma

Tram: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM4

Sewa Basikal:

  • Hari Bekerja: Single RM8 / Jam | Single + Baby Carrier RM9 / Jam
  • Sabtu, Ahad, Cuti Umum, Cuti Sekolah: Single RM10 / Jam | Single + Baby Carrier RM12 / Jam

Lawatan Berpandu: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM3


19. Skyrides Festivals Park

Satu lagi lokasi menarik di Putrajaya perlu dikunjungi iaitu Skyrides Festivals Park yang pastinya mempunyai kelebihan tersendiri jika dibandingkan dengan My Balloon Adventure Putrajaya. Pengunjung berpeluang untuk menyaksikan keindahan panorama Putrajaya daripada aras ketinggian 150 meter dengan menaiki Skyride Balloon.

Pengunjung tidak perlu risau akan perasaan gayat seperti terbang menaiki belon udara panas di My Balloon Adventure kerana Skyride Balloon ini disambungkan menggunakan tali pada permukaan bumi dan terhad pada ketinggian tersebut sahaja. Di samping itu, lokasi ini juga menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melakukan aksi seperti dalam program realiti television iaitu “America Ninja Warrior” apabila berada di Sky Warrior Putrajaya.

Pengunjung mampu menguji kekuatan diri dengan berlari di atas laluan sukar, bergayut atau melompat melepasi cabaran akan menimbulkan perasaan keterujaan dan bersemangat untuk melepasi setiap halangan.

Lokasi ini menawarkan kelainan yang tidak terdapat di mana-mana lokasi pelancongan di Malaysia. Selain itu, Skyride Festivals Park juga menawarkan aktiviti Sky Kid iaitu belon air kepada pengunjung cilik. Pengalaman ini pasti akan menggembirakan mereka apabila berada di dalam belon tersebut sambil bermain air di kolam yang tersedia.

Skyride Festivals Park juga telah menyediakan Sky Gallery bagi pengunjung yang berhajat untuk membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan ataupun sebagai hadiah kepada sanak saudara yang belum lagi berpeluang untuk datang ke taman festival ini.

Pengunjung juga tidak akan dikenakan apa-apa bayaran jika hanya ingin melihat taman festival ini dan pastinya merupakan peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan untuk datang ke Skyride Festivals Park Putrajaya.

Alamat: Jalan P2m, Presint 2, 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (10.00 am – 10.00 pm) | Jumaat – Sabtu (10.00 am – 12.00 am)


20. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
Sumber: PICC

Seterusnya, lokasi menarik yang anda dapat lawati ketika berada di Putrajaya ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang terletak di atas bulatan besar di Putrajaya.

Bangunan ini sangat menarik dengan reka bentuk moden dan kecanggihan teknologi ini pasti menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kepada pengunjung yang belum pernah melihat sendiri bangunan ini secara dekat pastinya tidak akan melepaskan peluang jika berada di Putrajaya.

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ini sering kali menjadi pilihan penganjuran program-program antarabangsa seperti persidangan pertubuhan persidangan Islam (OIC), Pertandingan Bunga Api Antarabangsa (MIFC), persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam dan banyak lagi.

Lokasi yang strategik di atas bukit memberi sudut pemandangan indah telah menjadikan bangunan ini sebagai lokasi penggambaran filem dan juga iklan komersial. Kemudahan dewan, bilik mesyuarat, restoran, surau dan pelbagai lagi pastinya memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang ke sini.

Alamat: Presint 5, 62000, Putrajaya


21. District 21

District 21
Sumber: District 21

Bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti pengembaraan mencabar, District 21 pasti tidak akan menghampakan anda, dengan 11 daya tarikan utama yang tersedia. Taman tema ini mempunyai keluasan sehingga 70,000 kaki persegi dan terletak di atrium berhawa dingin IOI City Mall Putrajaya yang sudah semestinya membuatkan anda merasa lebih selesa tanpa perlu berpanas terik matahari. Ianya merupakan satu-satunya taman tema pertama di Malaysia yang berkonsepkan pengembaraan dan sudah semestinya akan menarik hati pengunjung.

District 21 menyediakan 11 tarikan kepada pengunjung. Pertama, Power Station tersedia kepada pengunjung yang sukakan cabaran dan meminati aktiviti wall atau rock climbing pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba.

Pelbagai jenis reka bentuk wall climbing disediakan kepada pengunjung pasti memberi cabaran untuk menawan tembok tersebut. Seterusnya, Roller Glider menjanjikan pengalaman berbeza. Di bahagian Roller Glider pengunjung boleh merasai perasaan seolah-olah terbang bebas di udara.

Go Pedal pula lebih sesuai bagi kanak-kanak yang ingin merasai peluang untuk memandu sendiri kereta mainan dan pasti kanak-kanak akan bergembira dengan pengalaman baharu yang dimiliki. Seterusnya, Pump Track yang ditawarkan kepada pengunjung yang meminati aktiviti berbasikal lasak.

Laluan beralun direka khas dengan benggolan yang membolehkan anda menunggang berterusan tanpa perlu mengayuh. Pengunjung boleh memilih untuk menunggang basikal, skuter atau skateboard dengan peralatan keselamatan seperti topi keledar, siku dan alas lutut untuk keselamatan turut disediakan kepada pengunjung.

Low Ropes pula bagi pengunjung cilik yang ingin merasai cabaran seperti di Sky Trail tetapi dalam versi mini, Low Ropes direka khas dengan sistem keseimbangan bagi membolehkan kanak-kanak menghabiskan 7 bahagian tanpa perlu bergantung kepada sistem keselamatan yang disediakan.

Trampoline/Launch Pad direka dengan keluasan yang besar seolah-olah padang amat sesuai untuk semua peringkat umur, bermain hanya untuk menambahkan keseronokan dengan anak-anak sambil berlatih fizikal untuk pengembaraan seterusnya. Satu lagi peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan iaitu The Maze.

Bagi peminat filem “Maze Runner” jika ingin merasai perasaan keterujaan dan cabaran jangan lepaskan peluang untuk ke The Maze. Direka dengan ketinggian lebih daripada 10 meter, terdapat terowong, sangkar dan cabaran di setiap laluan yang sukar, amat menguji tahap kesabaran dan kecekalan pengunjung.

Keseluruhan Maze ini direka secara tertutup tanpa perlu menggunakan jaring keselamatan. The Maze versi mini lengkap dengan gelongsor juga disediakan untuk anak-anak yang ingin merasai cabarannya.

Seterusnya, Free Fall, ingin merasai pengalaman gentar melakukan penerjunan payung udara dalam kapal terbang Free Fall tidak akan menghampakan anda. Perasaan cemas tanpa perlu mempertaruhkan nyawa pasti akan dirasai di sini.

Sky Trail pula yang disediakan di District 21 ini merupakan cabaran tali yang terbesar di Malaysia, menawarkan 23 elemen berbeza di setiap laluan untuk pengunjung memilih tahap halangan yang disediakan.

Tubby Ride pasti menimbulkan keseronokan ketika menggelongsor menggunakan pelampung. Dengan permukaan gelongsor istimewa di Tubby Ride’s ini pengunjung akan dapat merasai perasaan yang sama berada di kawasan lunjur salji seperti di luar negara.

Carousel pula dibina adalah untuk pengunjung cilik, District 21 tidak menghampakan anak anda dengan menyediakan Carousel 24 kerusi dengan pelbagai jenis haiwan, bukan sahaja kuda, tetapi harimau, burung unta, badak sumbu dan banyak lagi.

Pengalaman berada di District 21 ini tidak sepatutnya dilepaskan jika berkunjung ke Putrajaya. Lokasi ini disediakan juga dengan harga yang berpatutan hanya RM 58.00 seorang pada hari Isnin hingga Jumaat, RM75.00 pada hari Sabtu dan ahad, cuti sekolah serta cuti umum bermula 12 tengah hari sehingga 8 malam dan hari Sabtu dan ahad, cuti sekolah serta cuti umum pula bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Alamat: 6, Tingkat 1, IOI City Mall, 62502 Putrajaya

Harga Tiket: Hujung Minggu RM70 | Hari Minggu RM60


22. Jambatan Seri Wawasan

Jambatan Seri Wawasan
Sumber: iiiimad

Jambatan Seri Wawasan atau dikenali juga sebagai Jambatan Putrajaya turut menjadi satu daya tarikan pelancong untuk datang ke Putrajaya. Keunikan reka bentuknya seakan membawa para pengunjung merasai suasana yang berbeza di negara ini kerana jambatan tersebut merupakan satu-satu jambatan yang di reka sebegitu di negara ini.

Jambatan Seri Wawasan yang berkepanjangan 430 meter ini bertambah serinya apabila dilawati pada sebelah malam dengan terpamer pancaran cahaya berwarna yang telah menaikkan lagi keindahan binaan tersebut.

Lokasi ini tidak hanya diminati kerana keindahannya namun juga disebabkan oleh latar suasananya yang turut menghiasi babak dalam filem tempatan yang seterusnya menarik minat pengunjung untuk menyaksikan sendiri keunikan jambatan Seri Wawasan.

Destinasi pelancongan ini harus ditanggapi sebagai sebuah lokasi yang berfalsafah jika dinilai secara maknawi bahawa jambatan merupakan sebuah perhubungan yang menyatukan antara dua kawasan daratan.

Dan ini diterjemahkan kepada jambatan Seri Wawasan yang dibina dengan penuh kecantikan dan kesenian menunjukkan hubungan terjalin antara manusia penuh dengan keindahan.

Alamat: Lebuh Wawasan, Presint 2, 62100 Putrajaya


23. Tasik Putrajaya

Tasik Putrajaya
Sumber: nkay.75

Pemandangan yang mengasyikkan apabila berada di tasik Putrajaya dengan keindahan alam cipta Ilahi dan pastinya akan menjemput ketenangan serta memujuk hati setiap pengunjung di tasik tersebut.

Kebersihan tasik Putrajaya yang berkeluasan 650 hektar ini pastinya akan memukau pandangan pengunjung yang juga merupakan tasik buatan manusia. Tasik ini menjadi landskap bandar dalam taman dengan menjanjikan ketenangan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti memancing dan sukan air.

Tasik ini mula dibina pada tahun 1998 dan siap sepenuhnya pada tahun 2002 apabila dua buah sungai yang diempang iaitu Sungai Chuau dan Sungai Bisa telah membentuk sebuah tasik.

Dengan kewujudan tasik ini pastinya akan memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri keseronokan beriadah di tasik Putrajaya sebagai sebuah tasik yang berada di pusat pentadbiran negara.

Keindahan tasik Putrajaya ini pastinya mampu menarik minat pengunjung untuk datang bersama keluarga kerana lokasi yang menjanjikan ketenangan dengan pokok-pokok menghiasi tasik buatan manusia ini.

Tasik Putrajaya atau juga dikenali sebagai “Bandar dalam Taman” perlu diterokai sendiri dan dihayati sebagai sebuah destinasi pelancongan berfalsafah dengan mengilhamkan pemandangan alam semula jadi yang perlu dijaga dan dipertanggungjawabkan.


24. Cruise Tasik Putrajaya

Cruise Tasik Putrajaya
Sumber: rodiahamir

Sebuah lagi lokasi tarikan pelancong di Putrajaya iaitu Cruise Tasik Putrajaya. Sebut sahaja perkataan “Cruise” pastinya akan terbayang sebuah kapal mewah yang sedang membelah samudera membawa penumpang bercuti dengan penuh kemewahan.

Kebanggaan pasti terasa apabila turut bersama dalam pelayaran tersebut sebagai percutian idaman semua. Namun “cruise” yang terdapat di tasik Putrajaya ini pasti menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung. Cruise yang dimaksudkan di sini adalah perahu tradisional diperbuat khas dari kampung Duyung, Terengganu.

Dengan seni ukir Melayu yang terdapat pada bumbung dan bentuk perahu itu sendiri mempamerkan keunikan yang hanya dapat dirasai di Cruise Tasik Putrajaya. Pengunjung yang belum pernah menaik perahu tradisional Melayu boleh datang ke lokasi ini yang menawarkan pemandangan indah semasa menaiki perahu tersebut.

Baca: 73 DESTINASI MENARIK DI SELANGOR

Cruise Tasik Putrajaya akan membawa anda menikmati pemandangan menarik daripada sudut pandang tasik iaitu masjid Putrajaya, Istana Darul Ehsan Palace, Jambatan Wawasan, Monumen Millennium Monument, Istana Kehakiman dan Jambatan Putera. Selain dibawa bersiar-siar menaiki perahu pengunjung juga dapat menikmati keenakan makanan yang disediakan.

Pakej makan di atas Cruise Tasik Putrajaya disediakan kepada pengunjung di waktu tengah hari dan malam serta amat bersesuaian kepada pengunjung yang ingin meraikan detik istimewa bersama pasangan mahupun ahli keluarga.

Alamat: Jeti Putra, Jambatan Putra, Presint 1, 62000 Putrajaya

Harga Tiket: Dewasa RM30 | Kanak-kanak RM20


25. Flyboard Malaysia

Flyboard Putrajaya
Sumber: Flyboard Malaysia

Pengalaman berharga juga ditawarkan dengan nilai yang berharga. Ungkapan ini difikirkan sesuai untuk menggambarkan dengan apa yang telah ditawarkan di Flyboard Putrajaya. Flyboard merupakan teknologi daripada Perancis yang dicipta pada tahun 2011 membolehkan pengunjung merasai terbang di permukaan udara menggunakan sejenis alat jetpack yang disambungkan kepada jet ski.

Bagi memastikan pengunjung dapat merasai pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan apabila menaiki Flyboard pengunjung perlu menempah tiket lebih awal secara dalam talian sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh slot.

Pengunjung perlu merebut peluang kerana dalam satu hari hanya 8 slot sahaja dibuka dengan maksimum 3 orang pengunjung. Bagi pengunjung yang pertama kali ingin mencuba Flyboard perlu melepasi latihan keselamatan bersama jurulatih terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kecelakaan yang tidak diingini. Had minimum umur 15 tahun ke atas dan bagi pengunjung cilik yang berumur bawah 18 tahun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga untuk menaiki Flyboard.

Pakej yang ditawarkan untuk perhidmatan ini berharga daripada RM300 sehingga RM800 mengikut tawaran pakej yang disediakan, walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi tetapi pengalaman keseronokan yang dijanjikan tidak akan menghampakan anda.

Alamat: Putrajaya Maritime Centre, Presint 5, 62200 Putrajaya

Harga Tiket: Single Flight Package RM370


26. Alamanda Putrajaya

Alamanda Putrajaya
Sumber: Alamanda Shopping Centre

Percutian anda ke Putrajaya menjadi tidak sah jika tidak berkunjung ke Alamanda Putrajaya yang terletak di Presint 1. Alamanda Putrajaya merupakan pusat membeli-belah yang menawarkan kepada pengunjung pelbagai barangan idaman serta perkhidmatan hiburan seperti pusat bowling dan pawagam.

Pengunjung yang datang bersama keluarga pasti tidak mahu terlepas peluang untuk bersuka ria dan melakar detik-detik bahagia dengan membeli sambil berhibur di Alamanda Putrajaya.

Pengunjung juga tidak perlu ke lokasi lain jika mahu menikmati makanan kerana di sini juga telah disediakan medan selera yang sangat eksklusif sambil menghayati keindahan alam semula jadi. Justeru, boleh dikatakan bahawa Alamanda Putrajaya merupakan lokasi pilihan keluarga untuk bercuti kerana tawaran hebat dan kemudahan yang disediakan di sini pasti menggembirakan hati pengunjung.

Alamat: Jalan Alamanda Precinct 1, 62000 Putrajaya


27. Taman Saujana Hijau Putrajaya

Taman Saujana Hijau Putrajaya
Sumber: Maisinggah.com

Taman Saujana Hijau Putrajaya pastinya memukau para pengunjung apabila tiba di lokasi ini. Keunikan taman ini sebagai lokasi pemuliharaan flora dan fauna yang menampilkan tiga konsep yang berbeza untuk dinikmati pengunjung iaitu konsep European Garden, Oriental Garden dan English Garden. Ketiga-tiga konsep ini ditampilkan di kawasan yang berkeluasan 40 hektar.

European Garden menyajikan pemandangan di kawasan tanah tinggi yang membolehkan pengunjung menikmati panoramik Putrajaya sejurus tiba di lokasi ini. Suasana direka khusus bercirikan Eropah pasti menaikkan perasaan gembira para pengunjung setibanya di taman ini yang pastinya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Manakala pengunjung akan dinanti dengan sebuah pavilion bercirikan binaan tradisional negara China apabila tiba di Oriental Garden.

Reka bentuk pintu gerbang, dataran serta seni ukir yang terdapat di lokasi ini pastinya menjanjikan perasaan berbeza sepertinya berada di China. Kesinambungan unsur alam seperti tumbuhan berbunga dan kolam ikan yang dihiasi kerikil kecil dapat menyemarakkan lagi perasaan damai dan tenang kepada pengunjung.

Keindahan yang terdapat di English Garden juga pasti akan meninggalkan memori bermakna kepada pengunjung apabila suasana seakan sudah berada Eropah. Pengunjung bertuah juga berkesempatan merakam detik-detik indah flora dan fauna apabila berada ketika di waktu pagi dan petang.

Alamat: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya


28. My Balloon Adventure

Satu lagi lokasi yang tidak sepatutnya dilepaskan jika anda berkunjung ke Putrajaya iaitu My Balloon Adventure pastinya akan memberi pengalaman yang luar biasa. Melihat pemandangan Putrajaya daripada sudut pandangan atas pasti menawarkan perasaan berbeza dan akan melakar kenangan indah kepada pengunjung.

Harganya yang sedikit tinggi pasti akan berbaloi kerana pengalaman yang bakal dimiliki pengunjung ini setanding dengan apa yang ditawarkan.

My Balloon Adventure Putrajaya ini menyajikan peluang kepada pengunjung yang hanya boleh dirasai di luar negara sahaja namun dengan adanya My Balloon Adventure Putrajaya ini pastinya pengunjung tidak perlu lagi ke luar negara semata-mata untuk merasai terbang menggunakan belon panas.

Kepakaran juru pandu belon panas ini juga tidak perlu diragui dan pastinya memiliki kebolehan sama seperti yang terdapat di Eropah atau di Istanbul. Harga yang bermula RM850 seorang ini pastinya berbaloi dengan pengalaman yang sukar diperoleh di Malaysia selain di Putrajaya. Pengunjung diharap tidak akan melepaskan peluang jika bercuti di Putrajaya.

Alamat: Putrajaya Precinct 2, di depan Skyride Festival Park


29. Taman Cabaran Putrajaya

Taman Cabaran Putrajaya
Sumber: Chun Yu Chung

Taman Cabaran Putrajaya pasti menguji kekentalan stamina pengunjung. Mendengar sahaja nama lokasi ini sudah pun merasai cabaran yang ditawarkan kepada pengunjungnya. Namun kesukarannya pasti tidak akan diketahui jika tidak datang sendiri ke taman ini yang terletak di Presint 5 Putrajaya. Oleh itu, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang ini untuk beraksi dan menguji kemampuan diri menggunakan kemudahan yang tersedia.

Putrajaya Challenge Park menawarkan kepada pengunjung untuk menguji kebolehan diri dengan memanjat Wall Climb. Bayaran serendah RM6 seorang bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak yang ini pasti berbaloi.

Keselamatan di Taman Cabaran Putrajaya ini juga tidak perlu diragukan kerana terdapat peralatan keselamatan yang boleh disewa dengan harga yang berpatutan seperti kasut, tali, beg dan peralatan memanjat yang lain kepada pengunjung. Bagi yang meminati sukan berbasikal pula anda pasti akan teruja dengan apabila Taman Cabaran Putrajaya turut menawarkan Mountain Bike Trail.

Laluan penuh cabaran ini pasti menjelmakan keterujaan pengunjung dan mampu memupuk minat kepada yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini. Satu lagi sukan yang sangat diminati generasi muda iaitu Skate Board. Penggemar sukan ini sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk beraksi di Taman Cabaran Putrajaya apabila lokasi ini menawarkan gelanggang Skate Board yang jarang diperoleh di tempat lain.

Alamat: Jalan P5, Presint 5, 62200 Putrajaya

Harga Tiket: Dewasa RM6 | Kanak-kanak RM3


30. Perdana Putra

Perdana Putra - Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia
Sumber: Trebz

Perdana Putera merupakan bangunan Jabatan Perdana Menteri yang bertempat di Presint 1, Putrajaya. Keunikan reka bentuk yang bercirikan seni bina Islam dengan menampilkan kubah berwarna hijau sebagai lambang kebesaran Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Bangunan ikonik ini dibina berhampiran dengan masjid Putrajaya dan Dataran Putrajaya pastinya mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai bangunan rasmi individu nombor satu di Malaysia. Kemegahan bangunan ini dapat dilawati oleh orang awam apabila bangunan ini dibuka bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Sehubungan itu, Seri Perdana juga merupakan bangunan kediaman rasmi Perdana Menteri yang mempunyai reka bentuk seakan Perdana Putera. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1999 menjadi kediaman rasmi ketika ini Tun Mahathir Mohamad dan kini didiami oleh Yang Amat Berhormat Dato Sri Najib Tun Razak. Keunikan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia ini menunjukkan kewibawaan kerajaan menjadikan kediaman tersebut sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di Putrajaya

Alamat: Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya


Rumusan yang dapat kami katakan bahawa percutian anda yang lebih bermakna jika anda memilih untuk berada di Putrajaya. Keseronokan di samping menimba ilmu dan pengalaman baharu pastinya akan tercapai dengan melawati tempat menarik di Putrajaya yang kami ilhamkan sebagai “Percutian berfalsafah bersama keluarga” di Putrajaya.

Baca: 7 Hotel Bajet Di Putrajaya

Pengurusan kewangan anda juga pasti lebih terjamin dengan kadar perbelanjaan untuk menikmati keseronokan di Putrajaya adalah sangat berpatutan. Sehubungan itu, kami mengucapkan selamat menikmati pengalaman berharga di Putrajaya bersama keluarga tersayang dan terima kasih kerana melawat laman web kami.

4.4/5 - (61 votes)