19 Tempat Menarik Di Sandakan | Panduan Bercuti Ke Bandaraya Alam Semulajadi

Bandar kedua yang terbesar di Sabah, Sandakan menawarkan banyak tarikan menarik yang mampu membuatkan jiwa travel anda bergetar. Disinilah anda dapat melihat kekayaan flora dan fauna yang eksotik di bumi Borneo yang pastinya akan meninggalkan memori indah buat anda sekeluarga.

Bukan itu sahaja, kota yang pernah mengalami kemusnahan yang dahsyat akibat Perang Dunia Kedua ini juga memiliki banyak peninggalan sejarah yang menarik untuk diselami dan diamati. Dimanakah lokasi-lokasi tempat menarik ini?

Teruskan membaca senarai tempat menarik di Sandakan ini, percayalah tiada satu pun yang boleh anda abaikan, kerana masing-masing memiliki aura yang hebat menggoda anda untuk datang.

19. Kampung Nelayan Sandakan

Kampung Nelayan Sandakan
Sumber: Carole Ferris

Kampung Nelayan yang terletak di Sandakan ini bukanlah perkampungan biasa kerana kedudukannya yang unik iaitu di atas air laut. Anda boleh sampai ke sini dengan menaiki bot yang tak lain tak bukan adalah cara yang paling menarik untuk melihat dengan dekat perkampungan terapung ini. Dikatakan, penduduk di sini berasal dari negara Brunei, menarik juga untuk dikaji sebab kedatangan mereka ke sinikan?

Seperti kampung nelayan yang lain, disinilah anda dapat melihat kehidupan sebenar masyarakat yang menjadikan hasil laut sebagai mata pencarian utama dengan kewujudan bot yang begitu banyak disekitar jeti.

Di sekitar kawasan ini juga anda dapat melihat banyak makanan laut yang dijual murah dan segar. Sesetengah rumah di kawasan perkampungan ini turut mempamerkan produk hasil laut untuk dijual.

Alamat: Kampung Pukat, Sandakan


Baca: 45 Destinasi Terbaik Di Sabah

18. Agnes Newton Keith

Agnes Newton Keith Sandakan
Sumber: Agnes Keith House

Melihat rumah Agnes Newton Keith ini macam tak sangka bahawa ini pada suatu ketika dahulu adalah rumah pasangan mat saleh,  Mr Harry Keith dan isterinya Agnes Newton Keith. Mana tidaknya, reka bentuknya cukup klasik seperti rumah di kampung-kampung Melayu. Rumah yang dicat putih ini telah dibina semula oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1946 setelah dimusnahkan semasa Perang Dunia Ke-2.

Rumah ini kini menyimpan pelbagai artifak peperangan, barangan antik termasuklah info tentang kehidupan Agnes Keith. Siapakah Agnes Keith ini? Beliau adalah seorang penulis yang telah menghasilkan tiga buah buku yang diinspirasikan dari kehidupan di Sabah, salah satunya adalah buku yang bertajuk “Land Below The Wind” yang menjadikan negeri Sabah terkenal sehingga ke peringkat dunia.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga: Warganegara Dewasa RM2 | Warganegara Atas 55 Tahun & Kanak-kanak Bawah 12 Tahun Percuma | Pelancong RM15

Alamat: Agnes Keith House, Jalan Istana, 90709 Sandakan


17. Deramakot Forest Reserve

Deramakot Forest Reserve Sandakan
Sumber: Christian Loader Photography

Deramakot Forest Reserve adalah hutan simpan yang berkeluasan 55,507 hektar. Apa yang istimewanya tentang hutan ini adalah kerana ianya adalah hutan pertama di dunia yang diakui oleh  Forest Stewardship Council sebagai hutan yang dijaga dengan baik.

Ini kerana, aktiviti pembalakan di sekitar hutan ini sentiasa dijalankan mengikut konsep “Reduced Impact Logging” ataupun Pembalakan Kurang Impak (RIL) yang mana, aktiviti pembalakan hanya boleh dilakukan ke atas pokok-pokok yang hanya memberikan kesan minimal kepada tanah dan hutan di sekitar apabila ditebang.

Barulah flora dan fauna terasa disayangi, kan bagus kalau semua hutan diberikan layanan istimewa sebegini.

Harga: Masuk RM15 | Kenderaan RM100 | Kamera RM10

Alamat: Deramakot Forest Reserve, Telupid, Beluran


16. Rainforest Discovery Centre

Rainforest Discovery Centre Sandakan
Sumber: Amazing Borneo

Rainforest Discovery Centre yang terletak di Hutan Simpan Sipilok-Kabili ini adalah habitat kepada haiwan yang disayangi ramai, yang tak lain tak bukan di Borneo ini, Orang Utan.

Anda akan berjalan melalui canopy walk yang disediakan untuk menyelami flora dan fauna yang terbentang luas di kiri dan kanan sambil ditemani bunyi kicauan burung yang terbang penuh keriangan di sekitar hutan.

Jangan lupa untuk bawa teropong, mana tahu, kalau-kalau terlihat haiwan eksotik di kejauhan. Alang-alang sudah ke sini, rancanglah untuk melawat Santuari Orang Utan Sepilok yang terletak hanyalah bersebelahan dengan Rainforest Discovery Centre ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM7, Pelancong: RM15 | Kanak-kanak MyKad: RM3, Pelancong: RM7 | Bawah 5 Tahun Percuma

Alamat: Sepilok, 90715 Sandakan


15. Gua Gomantong

Gua Gomatong Sandakan
Sumber: Xcalibrephoto

Tak sah rasanya kalau tak melawat apa sahaja yang memiliki status sebagai yang ‘paling’ bila melawat sesebuah destinasi kan? Kalau anda nak tahu, Gua Gomantong ini adalah gua batu kapur yang paling besar di negeri Sabah. Gua batu kapur ini memiliki bukan satu tapi 27 buah gua kecil yang telah beratus tahun menjadi tempat persarangan burung layang-layang.

Kalau sudah namanya gua, anda juga boleh menjangkakan kehadiran banyak burung kelawar yang pelbagai jenis seperti Fawn Leaf-Nose dan Philippine Forest Horseshoe, maka bersedialah dengan topeng muka untuk menapis bau najis kelawar yang agak menusuk hidung ya? Sekiranya anda merancang untuk ke sini, waktu yang terbaik adalah antara bulan Februari ke bulan Ogos untuk melihat sarang burung layang-layang.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | 18 Tahun & Kebawah MyKad: RM2, Pelancong: RM15

Alamat: Gua Gomantong, 90000 Kinabatangan


14. Borneo Sun Bear Conservation Centre

Borneo Sun Bear Conservation Centre Sandakan
Sumber: Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC)

Lokasi Borneo Sun Bear Conservation Centre ini hanyalah beberapa minit sahaja dari Santuari Orang Utan.

Seperti namanya, di sini anda dapat melihat di depan mata spesies beruang yang terkecil di dunia yang terancam kewujudannya akibat pemburuan dan pembalakan haram, Sun Bear ataupun Beruang Madu.

Disebabkan betapa terancamnya spesies ini, pusat pemuliharaan ini ditubuhkan, bayangkanlah jika haiwan secomel ini dibiarkan pupus, sedih bukan?

Untuk melihat beruang ini, anda sekeluarga perlu berjalan di atas dek pemerhatian yang disediakan. Janganlah terlalu excited sangat semasa berada di sini kerana beruang madu ini teramatlah sensitif dengan bunyi bising. Kalau dah bising, apa pun tak dapat dilihat.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 3.30pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM30 | 12 – 17 Tahun MyKad: RM2, Pelancong: RM5 | Bawah 12 Tahun Percuma

Alamat: Bornean Sun Bear Conservation Centre, PPM 219, Elopura, 90000 Sandakan


13. Sandakan Memorial Park

Sandakan Memorial Park Sandakan
Sumber: HockSong Lim

Pada tahun 1945, tapak Sandakan Memorial Park ataupun Taman Peringatan Sandakan ini pernah menjadi saksi kepada kekejaman tentera Jepun yang telah menjadikan sebilangan besar askar Australia dan British sebagai tawanan perang.

Bukan seorang dua yang terbunuh sewaktu menjadi tawanan, tetapi lebih daripada 2400 orang terkorban dan yang terselamat hanyalah 6 orang tawanan yang berjaya melarikan diri. Bayangkanlah situasi di Sandakan pada waktu itu.

Kini, untuk memperingati mereka yang telah terbunuh, memorial ini ditubuhkan. Anda juga dapat melawat sebuah muzium kecil yang ada di sini untuk mendalami lebih banyak lagi tentang sejarah Sandakan yang penuh dengan peristiwa hitam.

Alamat: Sandakan Memorial Park, Mile 8, Jalan Labuk Utara, Taman Rimba, 90702 Sandakan, Sabah


Lihat Tawaran Hotel Terbaik Di Sandakan

12. Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary

Labuk Bay Proboscia Monkey Santuary
Sumber: Alina Thien

Apa pula Proboscis Monkey ini? Kalau anda nak tahu, nama lain bagi monyet ini adalah Monyet Belanda iaitu spesies monyet yang berhidung besar dan panjang.

Untuk melihat keletah monyet unik yang hanya wujud di sekitar Borneo ini, mai singgah ke Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary. Santuari ini terletak tidak jauh dari Kampung Semawang, di tengah-tengah kawasan hutan bakau di Labuk Bay, Sandakan.

Sampai sahaja ke sini, anda perlu menaiki platform pemerhatian yang disediakan untuk mendekati haiwan eksotik ini, jangan risau, monyet ini bukanlah daripada spesies yang agresif. Jangan lupa untuk bawa kamera!

Waktu Operasi (Jadual Waktu Pemerhatian): Platform A (9.30am – 2.00pm) | Platform B (11.30am – 4.30pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM60 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | Kamera RM10

Alamat: Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Yet Hing Oil Palm Estate, Off Jalan Labuk, Sandakan


11. Pasar Umum Sandakan

Pasar Umum Sandakan
Sumber: Siang Siang

Tak akanlah tak shopping barangan yang terkenal di negeri yang sudah penat dilawati dari jauhkan? Bila dengar Sabah sahaja, pastinya bercahaya mata para wanita yang mengidamkan barangan kemas diperbuat daripada mutiara. Bukan hanya mutiara, lain-lain yang terkenal di negeri ini juga adalah seperti produk kristal dan sudah semestinya hasil laut yang segar.

Di manakah lokasinya untuk melihat dan membeli-belah semua ini? Jawapannya adalah di Pasar Umum Sandakan. Pasar ini bukanlah seperti pasar biasa yang terletak di tepian jalan, tapi merupakan pasar di dalam bangunan 3 tingkat.

Macam-macam boleh dijumpai di sini contohnya sayur-sayuran, hasil laut dan buah-buahan yang segar di tingkat 1, dan barangan yang merambangkan mata wanita di tingkat 2. Kalau anda nak merasa makanan tradisi orang Sabah, pasar inilah salah satu lokasi yang pasti tidak akan mengecewakan anda.

Waktu Operasi: Setiap Hari (3.00am – 7.30pm)

Alamat: Jalan Pryer, Pusat Bandar Sandakan, 90000 Sandakan


10. Sandakan Crocodile Farm

Sandakan Crocodile Farm
Sumber: Yahya Padis Mapag

Sandakan Crocodile Farm ini terletak sekitar satu setengah jam dari bandar Sandakan. Jauh juga ya? Tapi percayalah, lawatan anda ke taman buaya ini terasa amat berbaloi kerana ia merupakan taman buaya yang terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 3000 ekor buaya di dalamnya.

Selain buaya, di sini juga terdapat taman kanak dan sebuah zoo mini yang menempatkan ikan Amazon bersaiz besar. Apa lagi yang menarik? Kalau anda datang pada hari Ahad ataupun cuti umum, anda bukan sahaja dapat melihat pertunjukan buaya, tapi juga pertunjukan haiwan menggerunkan yang lain iaitu ular. Barulah thrill!

Waktu Pertunjukan di Sandakan Crocodile Farm: 

Pertunjukan Buaya: Isnin – Jumaat (11:45am & 4.00pm)

Pertunjukan Buaya & Ular: Ahad & Cuti Umum (11.00am, 2.00pm & 4.00pm)

Waktu Diberi Makan: 9.00am – 4.30pm

Alamat: Sandakan Crocodile Farm, Batu 8, Jalan Labuk, Sandakan


9. Pulau Berhala

Pulau Berhala Sandakan
Sumber: Faisal Jamil

Pulau yang terletak berhadapn dengan perkampungan Sim-Sim, Pulau Berhala ini memiliki dua buah bukit batu pasir yang bercantum dengan satu sama lain pada ketinggian 600 kaki dari aras laut.

Disebabkan kehadiran batu kapur ini, anda boleh menemui gua yang memukau dan unik untuk diterokai. Jika anda naik ke puncak bukit ini pula, terdapat rumah api, manakala, sudut curam bukit ini diselubungi oleh hutan simpan dengan tumbuhan pinggir laut yang menjadi tarikan para pengkaji botani.

Jangan menganggap anda seorang sahaja yang berada di pulau ini seperti di dalam filem Cast Away, kerana di sebelah barat pulau ini terdapat sebuah kampung di tepian pantai indah yang sering dijadikan tempat perkelahan.

Anda rasa pulau ini senaif yang didengari? Sebenarnya disebalik keindahannya Pulau Berhala menyimpan misteri dan sejarah yang menarik untuk didengar. Nak tahu? On kan mood Sherlock Holmes anda.

Alamat: Pulau Bahala, Sabah


Baca: 23 Destinasi Istimewa Di Sarawak

8. Sungai Kinabatangan

Sungai Kinabatangan Sandakan
Sumber: Mohd Fazlin Effendy Ooi

Sungai Kinabatangan ini agak luar biasa panjangnya, berukuran 560 km, menjadikan ia sungai yang terpanjang di negeri Sabah. Anda sekeluarga dapat menikmati pelayaran yang seluas pemandangan, dan membuka mata anda tentang geografi sekitar Sabah yang menarik untuk diamati.

Rasanya, menyelusuri Sungai Kinabatangan ini adalah satu aktiviti yang wajib dilakukan untuk sebuah kepuasan percutian yang sebenar.

Di sepanjang perjalanan, anda akan disajikan dengan pemandangan ladang kelapa sawit, kawasan perkampungan dan bandar-bandar kecil sekitar Sabah. Bukan itu sahaja, pada waktu inilah anda boleh melihat kekayaan fauna yang ditawarkan muka bumi Borneo seperti orang utan, ungka, monyet, dan banyak lagi.

Kalau bernasib baik, mungkin juga gajah-gajah besar yang digelar Borneo Pygmy Elephants akan menunjukkan diri.

Alamat: Sungai Kinabatangan, Sabah


7. Pulau Lankayan

Pulau-Lankayan-Sandakan
Sumber: GMC Travel & Tours Sdn Bhd

Pulau Lankayan adalah sebuah pulau yang cukup istimewa, istimewanya luar biasa kerana ia menawarkan lebih daripada 30 lokasi yang best untuk aktiviti menyelam yang kebanyakannya boleh diakses dengan menaiki bot beberapa minit dari jeti pulau.

Yang menariknya, ada juga kawasan menyelam yang memiliki bangkai kapal untuk diterokai. Memang menarik, tapi anda dah ada skills menyelam? Kalau tak ada lagi, apa kata kalau mula belajar dari sekarang, barulah dapat menikmati travel dengan keseronokan yang maksimum.

Sebab lain kenapa anda mesti menyelam skuba di sini adalah kerana kekayaan faunanya yang memang wow! Antara hidupan laut yang dapat dilihat adalah ikan anemone, ikan kerapu, blue ribbon eel, juvenile cat fish dan bermacam-macam lagi. Semua ini dapat dinikmati secara HD di dalam air yang cukup jernih.

Alamat: Pulau Lankayan, Sabah


6. Pulau Selingan

Pulau Selingan Sandakan
Sumber: Vestpounds Tours

Juga sebahagian daripada Taman Laut Pulau Penyu, Pulau Selingan menempatkan sebuah pusat penjagaan dan penetasaan telur penyu yang pertama dibina di Malaysia iaitu pada 1 Ogos 1996.

Jenis penyu yang mendarat di sini adalah Penyu Karah dan Penyu Hijau yang selalunya datang mendarat ketika malam menjelma untuk bertelur.

Namun begitu, anda tidak dibenarkan berada di kawasan pantai ketika ini untuk mengelakkan penyu daripada berasa terganggu, namun sebenarnya renjer atau pihak pengurusan tetap bagi peluang untuk anda melihat penyu pada waktu ini dengan pengawasan mereka.

Harga: Dewasa MyKad: RM30, Pelancong: RM60 | Kanak-kanak MyKad: RM20, Pelancong: RM30 | Kamera (Tanpa Flash) RM10

Alamat: Pulau Selingan, Sabah


5. Masjid Jamek Sandakan

Masjid Jamek Sandakan
Sumber: Uwe Aranas / CC By 3.0

Masjid Jamek Sandakan ataupun Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri adalah sebuah masjid yang sudah pun berusia lebih daripada 130 tahun. Masjid tua yang dibina sekitar tahun 1880-an ini merupakan masjid yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu agama Islam ketika zaman pemerintahan British di Borneo Utara.

Masjid yang terletak di lereng bukit ini dikatakan telah diasaskan oleh pedagang dan pendakwah yang datang dari Yemen menggunakan hasil sumbangan penduduk setempat, namun ada juga yang mengatakan ianya telah dibina oleh seorang penduduk Sandakan berketurunan India Muslim.

Disebabkan usia masjid ini yang telah terlalu tua, sudah semestinya ia pernah melalui peristiwa yang menarik. Salah satunya adalah kerana ia pernah dijadikan tempat perlindungan beberapa tentera Jepun dan penduduk ketika Perang Dunia Kedua.

Alamat: Lebuh Empat, Pusat Bandar Sandakan, 90000 Sandakan


4. Sandakan Liberation Monument

Sandakan Liberation Monument
Sumber: Traces Of War

Terletak di hadapan High Court Sandakan, Sandakan Liberation Monument adalah sebuah monumen unik yang dibina untuk memperingati tentera bersekutu yang terkorban di Borneo Utara sewaktu menentang askar Jepun, sebuah pengorbanan yang membawa kepada pengakhiran Perang Dunia Kedua.

Tugu yang berbentuk senapang rifle dengan topi di hujungnya ini menunjukkan tradisi yang diamalkan tentera bagi melambangkan tempat dimana pejuang telah gugur.

Alamat: Sandakan Liberation Monument (Hadapan High Court Sandakan)


3. Scout Nature Park

scout nature park sandakan
Sumber: CEphoto, Uwe Aranas / CC By 3.0

Scout Nature Park adalah sebuah taman ahli pengakap yang mempunyai lanskap alam semula jadi indah untuk dinikmati. Jangan risau, anda yang tidak berpakaian pengakap pun boleh menjadikan taman ini sebagai tempat bersantai bersama keluarga. Selain melihat pemandangan hijau di sekitar, anda juga dapat mempelajari banyak tentang Persatuan Pengakap di Daerah Sandakan.

Alamat: Jalan Borehole 4, 90000 Sandakan


Baca: 25 Destinasi Luarbiasa Di Brunei

2. Bulatan Buaya

Bulatan Buaya Sandakan
Sumber: Car Rental Tawau

Secara keseluruhannya, Sabah sebenarnya banyak memiliki tugu yang unik yang sememangnya menarik untuk dijadikan latar belakang foto percutian. Salah satu tugu ini adalah yang terletak di Jalan Lubuk di mana terdapat sebuah bulatan yang ditengahnya berdiri dengan tegak tugu seekor buaya.

Muncung buaya ini dikatakan menghala ke arah Sandakan Crocodile Farm yang terletak tidak jauh dari sini. Apa lagi? Nampak sahaja Bulatan Buaya ini, teruslah singgah ke taman buaya yang terbesar di Malaysia ini ya. Sebelum itu jangan lupa untuk berselfie di depan tugu buaya berdiri ini.

Alamat : Bandar Labuk Jaya, Batu 7, Sandakan


1. Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre

Sepilok Orangutan Rehabilitation Centre Sandakan
Sumber: Razvan Negoita

Haiwan terpelihara Orang Utan ataupun nama lainnya Wild Red Apes dapat dilihat dalam habitat semula jadinya sekiranya anda sekeluarga melawat Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre.

Saat tiba di sini, anda akan melalui laluan kayu yang akan membawa kaki anda menuju ke arah galeri dan platform tempat memberi Orang Utan makanan. Disarankan untuk anda datang sekitar 30 minit awal sebelum waktu haiwan ini diberi makan kerana sekiranya anda terlewat, kemungkinan pekerja di pusat ini tidak akan membenarkan anda masuk, kan dah sedih?

Info lain yang perlu anda tahu adalah Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre turut menyediakan tempat solat, kedai cenderamata, pusat informasi yang memaparkan video 6 kali sehari, kafe dan tandas yang bersih.

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 12.00pm & 2.00pm – 4.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.00am & 2.00pm – 4.00pm) | Waktu Orang Utan Diberi Makanan (10.00am – 3.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | 18 Tahun & Kebawah MyKad: RM2, Pelancong: RM15 | Kamera RM10

Alamat: Sabah Wildlife Department, W.D.T. 200, Sandakan, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan


Inilah dia antaranya tempat menarik di Sandakan yang anda boleh lawati, sebuah daerah dalam negeri Sabah yang kaya dengan fauna dan flora yang terjaga indah serta peristiwa sejarah yang mustahil dilupakan. Ingin lebih sebab untuk melawat Negeri Bawah Bayu ini?

Apa kata kalau anda menjenguk sejenak artikel kami berkaitan tempat menarik di Sabah untuk melihat senarai destinasi hebat yang tak terkira banyaknya. Namun, sekiranya anda inginkan percutian dalam kedinginan setelah berhari-hari melalui kepanasan kota, jom baca artikel kami tentang tempat menarik di Kundasang.

Sudah merancang ke mana nak pergi? Jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mencari penginapan hebat dalam harga yang menceriakan minda bajet anda.

Selamat bercuti ke Sandakan Sabah!



Related Posts