29 Tempat Menarik Di Shah Alam (2023) | Destinasi Terbaik Di Ibu Kota Selangor

Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor Darul Ehsan adalah sebuah bandar yang agak pesat membangun sehingga pernah digelar sebagai Bandar Perindustrian, tapi, jika anda menganggap kemajuan sebegini membawa pencemaran, ini adalah sebaliknya sekiranya anda meronda-ronda di Shah Alam.

Di sebalik kepesatan pembangunan di bandar ini, anda dapat merasakan ketenangan dan keindahan pemandangan di sekeliling bandar, boleh dikatakan pembangunan di Shah Alam agak seimbang dari segi material dan alam semulajadi.

Bukan itu sahaja, bandar ini juga memiliki aset yang agak lengkap, banyak sekali tempat yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, nak tahu di mana? Teruskan membaca senarai 29 tempat menarik di Shah Alam.

29. Zipline Shah Alam

Zipline Shah Alam Flying Fox
Sumber: @carlosnavajo83, @HanaHassan, @SolFunk, @Blessing

Jika anda suka aktiviti menaikkan adrenalina dan mengatasi ketakutan di tempat tinggi, datanglah ke Tasik Shah Alam. Di sini anda boleh mencuba aktiviti flying fox yang merentasi Tasik Shah Alam.

Aktiviti flying fox yang diberi nama Shah Alam Zipline ini dibina dan dioperasikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam. Aspek keselamatan pula telah diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jadi anda tak perlu khuatir kerana Zipline mempunyai prosedur keselamatan yang ketat.

Flying fox di Shah Alam Zipline mempunyai kabel sepanjang 240 meter dan pelantar pula setinggi 18 meter! Ia juga merupakan kabel berkembar yang membolehkan anda melakukan sliding bersama rakan atau pasangan. Mencuba aktiviti lasak ini tidak hanya terhad kepada orang dewasa sahaja, kanak-kanak yang mempunyai berat lebih 30 kilogram juga dibenarkan dengan syarat ibubapa perlu menandatangani borang indemniti.

Shah Alam Zipline yang diilhamkan oleh DYMM Raja Muda Selangor, Tengku Amir ini mula dibuka kepada pengunjung pada tahun 2021. Jika anda penduduk Shah Alam, anda akan dapat diskaun sebanyak RM5 dan bagi pelajar pula hanya RM10 sahaja.

Alamat: Persiaran Tasik, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi:

  • Isnin – Jumaat (10am – 6.30pm)
  • Sabtu& Ahad (8.30pm – 6.30pm)

Harga tiket:

  • Dewasa dengan MyKad: RM25
  • Kanak-kanak: RM10
  • Pelajar: RM10
  • Warga Shah Alam: RM20
  • Pelancong: RM40

28. I-City Shah Alam

Kalau anda pernah dengar tentang I-City Shah Alam, mesti anda terbayangkan pokok-pokok berlampu LED kan? Tapi anda tahu tak sebenarnya banyak lagi tarikan lain yang ditawarkan di I-City ni? Bersebelahan dengan pokok-pokok bercahaya ini terdapat Snowalk dengan suhu serendah 5 darjah celcius.

Di dalam kawasan Snowalk ini anda dapat melihat rumah-rumah yang dibuat daripada ais, orang salji, ukiran ais dan bermacam lagi. Kalau anda teringin merasa hidup di dalam salji, inilah tempat yang patut anda pergi.

Baca: 36 Tempat Makan Menarik Di Shah Alam

Keluar sahaja dari taman salji ini, ada banyak lagi tempat untuk berseronok seperti Laser Warzone, Waterworld, Space Mission, Circus Travel, Trick Art Museum dan banyak lagi. Gempak kan? Tunggu apa lagi? Mai lah ke sini!

Alamat: I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.


27. Setia Alam Community Trail Head

Terletak dalam sekitar 18 ke 20 km dari pusat bandar Shah Alam, Setia Alam Community Trail Head adalah sebuah destinasi yang wajib dilawati sekiranya anda ingin lari dari kesibukan kota dan menikmati udara dengan kesegaran yang sebenar.

Di sini, anda boleh mencabar diri untuk mendaki sehingga ke puncak bukit Setia Alam Community Trail Head.

Terdapat banyak pilihan laluan yang boleh digunakan, bergantung kepada tahap stamina anda, anda boleh menjejakkan kaki ke kawasan puncak yang terletak pada ketinggian 210 meter dalam jangka masa 20 ke 35 minit.

Alamat: Setia Eco-park, 40170 Shah Alam, Selangor


26. Kilang Roti Gardenia

Telah menarik sehingga lebih daripada 25,000 pelawat sejak tahun 1991,  Kilang Roti Gardenia membuka pintunya untuk dikunjungi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat bagaimana pelbagai jenis roti yang boleh ditemui di kedai-kedai di seluruh Malaysia ini dihasilkan.

Antara informasi yang dapat anda ketahui sepanjang lawatan di kilang ini adalah tentang bagaimana asal-usulnya gandum yang digunakan dalam pembuatan roti Gardenia, cara roti diadunkan dengan menggunakan teknologi moden dan bagaimana ianya dibakar dengan menggunakan kaedah tradisional.

Anda juga dapat menikmati minuman percuma semasa lawatan untuk menghilangkan dahaga sambil mendengar pelbagai informasi yang dikongsikan dan melihat sekitar kilang. Bayaran masuknya? 100% percuma!

Alamat: Kilang Roti Gardenia, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor.

Waktu Lawatan:

  • Isnin – Jumaat: 9.00 am, 11.00 am, 2.00 pm & 3.00 pm
  • Sabtu: 9.00 am & 10.00 am
  • Jangkamasa lawatan: Dalam sekitar 1 jam setengah.

25. Tugu Peringatan Negeri Selangor

Tugu Peringatan Negeri Selangor
Sumber: Azmi Sharif

Tugu Peringatan Negeri Selangor adalah sebuah monumen yang berdiri dengan teguh di dalam taman berlanskap indah di halaman Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Didirikan pada tahun 1981, seni binaan tugu ini adalah hasil buah fikiran Dato’ Dr Hj Baharuddin bin Abu Kassim.

Tugu yang berketinggian 120 kaki ini telah dibina dengan tujuan untuk menunjukkan penghargaan kepada pejuang-pejuang yang telah mempertaruhkan nyawa demi menjaga kemakmuran Selangor.

Berhampiran dengan tugu ini dapat dilihat nama-nama pahlawan tersebut. Tercari-cari spot bergambar yang menarik? Ini juga adalah salah satu lokasi yang boleh dilawati lebih-lebih lagi kerana adanya kolam air pancut di dalam kawasan yang sama.

Alamat: Tugu Peringatan Negeri Selangor, Persiaran Sultan, Seksyen 5, 40000 Shah Alam, Selangor

Harga Tiket: Percuma


24. Mudtrekkerz Paintball Park

Jom berperang di Mudtrekkerz Paintball Park! Kalau anda nak tahu, lapangan paintball ini adalah destinasi yang agak popular dalam kalangan muda-mudi di Shah Alam.

Apa istimewanya paintball di sini berbanding dengan tempat lain? Untuk pengetahuan anda, di sini, anda boleh memilih daripada 5 buah setting ataupun konsep medan peperangan yang berbeza. Anda boleh memilih sama ada untuk berperang di dalam medan perang berkonsep Speedball, Wild Wild West, Angker Hill, Fox Hole Valley atau Camelot Castle.

Mengenai fasiliti yang disediakan pula, ia lengkap dengan bilik persalinan, restoran tepi kolam, banquet room, tempat meletak kereta yang luas dan banyak lagi.

Alamat: Jalan Hijau Serindit U9/68, Syksyen U9, Cahaya SPK, Shah Alam, 40150. Selangor, Malaysia

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00 am – 5.00 pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00 am – 5.00 pm) | Selasa (Tutup)

Harga Tiket:

  • Pakej Base: RM85 / Pax / 100 Pellet
  • Pakej Scavenger: RM95 / Pax / 200 Pellet
  • Pakej Geronimo: RM135 / Pax / 500 Pellet
  • Pakej Gattling Gun: RM195 / Pax / 1000 Pellet

23. Pusat Akuatik Darul Ehsan

Pusat Akuatik Darul Ehsan Shah Alam
Sumber: Apuli Eric Ng

Tak tahu nak ke mana lagi lepas dah puas makan angin? Cara terbaik untuk menamatkan aktiviti seharian adalah dengan bermandi-manda. Kalau di Shah Alam, anda boleh menuju ke Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Pusat akuatik ini menempatkan 2 buah kolam renang tertutup yang bersaiz olimpik serta kolam renang yang sesuai untuk digunakan kanak-kanak. Sebagai kolam indoor, anda boleh menikmati mandian di sini tanpa perlu memikirkan cuaca di luar.

Berkaitan dengan fasiliti yang disediakan, pusat akuatik ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, bilik persalinan pakaian, tandas, bilik mandi, locker, ruang makan, parking, ruang santai terbuka / tertutup, dan lain-lain lagi.

Alamat: Jalan Aerobik 13/43, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor


22. Denai Alam Riding & Recreational Club

Rasai pengalaman menunggang kuda di Denai Alam Riding & Recreational Club (DARC). Fasiliti yang disediakan cukup lengkap untuk memberikan pengalaman yang sempurna kepada para pengunjung.

Anda boleh memilih daripada pakej kelas menunggang kuda yang ditawarkan dalam harga yang sangatlah berpatutan. Jangan terkejut, untuk 6 sesi, harganya hanyalah bermula daripada RM210! Siapa kata menunggang kuda adalah aktiviti yang hanya sesuai untuk mereka yang bergaya hidup mewah?

Selain kandang kuda, banyak lagi kemudahan aktiviti lain yang disediakan seperti gym, kawasan memanah, trek motorcross dan kolam renang. Bawa anak kecil? Mereka boleh berseronok di ladang arnab yang terdapat di sini.

Dah puas beraktiviti? Anda sekeluarga boleh menghilangkan rasa lapar dengan menjejakkan kaki ke  restorannya yang menghidangkan steamboat daripada hasil laut yang segar!

Alamat: No 1, Jalan Elektron U16/100, Seksyen 16, Denai Alam, Denai Alam, 40160, Selangor

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00 am – 5.00 pm) | Isnin (Tutup)

Harga Tiket:

  • Selasa – Jumaat: RM210 / 6 Sesi
  • Sabtu, Ahad: RM240 / 6 Sesi

21. Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Terletak tidak jauh dari Wisma MBSA serta Pusat Informasi Perlancongan adalah sebuah kawasan yang cukup meriah setiap kali tiba sambutan hari kemerdekaan iaitu Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Tak perlu menanti hari merdeka untuk datang ke sini, dataran ini tetap menjadi lokasi pilihan ramai penduduk sekitar untuk beriadah bersama keluarga lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Bagi yang kaki bola, anda boleh menggunakan gelanggang futsal dan padang bola luas yang disediakan.

Setelah beriadah, anda boleh singgah ke banyak lagi kawasan menarik lain di sekitar seperti kedai makan, shopping mall, Muzium Selangor dan Taman Tasik Shah Alam yang tidak kurang cantiknya.

Alamat: Persiaran Bandar Raya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor


20. Pasar Malam Setia Alam

Pasar Malam Setia Alam
Sumber: Fakhrul Radzi

Tak nak keluar banyak bajet untuk makanan tapi nak beli bermacam-macam? Anda pasti tak akan kecewa dengan pilihan yang boleh ditemui di Pasar Malam Setia Alam. Jangan terkejut, pasar malam ini sebenarnya adalah pasar yang terpanjang di Malaysia seperti yang direkodkan di dalam The Malaysia Book of Records.

Para peniaganya juga bukan hanya orang Melayu, tapi daripada pelbagai bangsa. Oleh sebab itu, pelbagai jenis makanan yang boleh anda ditemui, dari masakan Cina, India, Eropah sehinggalah Jepun, macam-macam ada!

Bukan setakat makanan, sebagai pasar dengan kepanjangan yang luar biasa, turut terdapat banyak lagi jualan produk lain seperti aksesori, pakaian, kasut, barangan elektronik, mainan dan sebagainya.

Alamat: Jalan Setia Prima A U13/A, Setia Alam, 40170 Shah Alam

Waktu Operasi: Sabtu (6.00 pm – 12.00 am)


19. Taman Rekreasi Alam Megah

Taman Rekreasi Alam Megah adalah sebuah kawasan riadah yang cukup luas untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

Antara aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah berjogging, bermain badminton, bola sepak dan lain-lain lagi. Sementara itu, kanak-kanak pula boleh berseronok di taman permainan yang disediakan.

Sepanjang berada di sini, anda boleh menggunakan pelbagai peralatan senaman yang disediakan, trek jogging, wakaf rehat, parking, restoran dan tandas.

Alamat: Taman Alam Megah, 40400 Shah Alam, Selangor


18. Shah Alam Royal Theater

Shah Alam Royal Theater adalah sebuah bangunan dengan reka bentuk unik yang terletak di sebalik Grand Blue Wave Hotel di Seksyen 14.

Dibina dengan bajet mencecah RM43 juta, teater ini siap didirikan pada tahun 2008 dengan konsep gaya seni bina Melayu-Bugis yang telah diolah untuk kelihatan lebih moden.

Antara kemudahan yang disediakan adalah dewan serbaguna, bilik persidangan, kafeteria, dewan pameran, surau, pentas utama, ruang duduk berkapasiti 800 penonton dan banyak lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk datang ke sini dan bergambar berlatar belakangkan bangunan teater ini kalau tiba di Shah Alam nanti ya?

Alamat: Jalan Persidangan, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor


17. Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam

Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam
Sumber: Badrul Hisham

Rindukan suasana tenang dan udara yang segar di tengah bandar? Apa kata kalau anda luangkan masa lapang yang ada di Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam? Bagi yang mencari ketenangan dalam keadaan yang lebih privasi, inilah pilihan yang tepat berbanding dengan Taman Tasik Shah Alam yang agak popular.

Kebanyakan yang datang untuk beriadah di sini adalah penduduk setempat untuk menikmati kehijauan pemandangan di sekitar. Selain menjadi lokasi untuk berekreasi, taman ini turut menjadi pilihan ramai pasangan baru kahwin untuk mengadakan sesi fotografi.

Baca: 74 Destinasi Terbaik Di Kuala Lumpur Sesuai Untuk Seisi Keluarga

Bercadang untuk berjogging? Laluan yang disediakan agak menarik, di mana terdapat laluan yang perlu didaki dan yang menurun ke bawah, barulah terasa nikmat sebenar berjoggingkan? Di tengah-tengah taman ini juga terdapat sebuah tasik kecil untuk anda menikmati pemandangan sebelum meneruskan senaman.

Mengenai prasarananya, antara kemudahan yang disediakan adalah tandas, taman permainan, pondok rehat dan tempat meletak kereta.

Alamat: Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam, Seksyen 5, 40000 Shah Alam, Selangor


16. Perpustakan Raja Tun Uda

Perpustakaan Raja Tun Uda
Sumber: PPAS.my

Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, Perpustakaan Raja Tun Uda merupakan sebuah perpustakaan awam yang lengkap dengan pelbagai kemudahan hi-tech seperti bilik wifi percuma dengan 100 buah komputer tersedia untuk pengunjung, yang syoknya lagi kalau anda suka menonton filem, anda bukan setakat boleh menikmati filem itu dalam bilik yang disediakan di perpustakaan ini, malahan, anda dapat menontonnya dalam 3D atau 6D!

Selain itu, perpustakaan yang memiliki 6 tingkat ini dapat menampung 400,000 buah buku dan 2500 orang pada satu-satu masa.

Tambahan pula perpustakaan ini lengkap dengan kafeterianya sendiri dimana anda dapat menikmati makanan sambil melihat pemandangan tasik dan masjid yang sangat menyejukkan mata.

Alamat: Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 7.00pm) | Sabtu – Ahad (9.30am – 9.00pm)


15. Muzium Sultan Alam Shah

Muzium Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Sumber: Hanah Fouzi

Muzium Sultan Alam Shah ini agak luas dengan hampir 4000 buah artifak dipamerkan di sini. Terdapat lima buah balai pameran yang berbeza iaitu Balai Islam, Balai Sukan, Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Pameran Luar.

Antara kemudahan lain yang disediakan muzium ini adalah dewan, bilik mesyuarat, Makmal Taksedemi dan Repositori, Pusat Sumber serta Auditorium.

Di Balai Sejarah, anda dapat melihat pameran artifak yang dijumpai di kawasan penempatan awal manusia di negeri Selangor dan sejarah pentadbiran Selangor. Jika anda ke Balai Islam pula anda dapat melihat pelbagai artifak dan model yang menarik seperti kitab-kitab lama, bekas wuduk, beduk dan macam-macam lagi.

Banyak yang boleh dipelajari sekiranya anda membawa anak-anak melawat muzium ini. Kemasukan ke muzium ini adalah percuma. Diulangi, PERCUMA.

Alamat: Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 5.30 pm)


14. Laman Seni 7, Shah Alam

Laman Seni 7 Shah Alam
Sumber: Laman Seni

Kalau anda pernah dengar tentang Art of Old Town di Ipoh, di Selangor pula terdapat Laman Seni 7 di mana hasil-hasil seni pelukis jalanan yang telah memenangi Pertandingan Laman Seni 7 Shah Alam dari 4 kategori berbeza iaitu ‘Painting on Site’, ‘Street Furniture’, ‘3D Painting’ dan ‘3D Installation’ dipamerkan.

Karya-karya yang memenangi pertandingan-pertandingan ini diabadikan di Laman Seni 7 ini untuk dilihat oleh orang ramai. Di sebalik setiap hasil seni ini terdapat mesej-mesej penting yang cuba disampaikan, di sini, anda dapat membaca info dari perspektif pengkarya itu sendiri tentang apa yang cuba disampaikan melalui karya mereka.

Kalau anda suka berfotografi, apa kata anda angkut kamera dan lensa-lensa dan lihat sendiri keunikan tarikan ini.

Alamat: Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor


13. Setia City Mall

Kalau anda kaki shopping, apa kata kalau singgah ke pusat membeli-belah Setia City Mall Shah Alam. Lengkap dengan pelbagai jenis jenama besar seperti Kaison, Parkson, H&M dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, anda juga dapat bersantai bersama kawan-kawan di tempat bermain bowling, karaoke dan juga di taman yang terletak berhadapan dengan shopping mall ini.

Tambahan pula, anda juga boleh menikmati pemandangan tasik buatan dan air pancut yang berwarna-warni di taman ini. Untuk yang membawa anak-anak pula, boleh membawa anak bermain di taman permainan yang disediakan. Pendek kata, Setia City Mall ni memang tempat terbaiklah untuk bersantai,  semuanya ada.

Alamat: 59, Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor


12. Uptown Shah Alam Seksyen 24

Mencari tempat menarik di Shah Alam pada waktu malam? Apa kata kalau anda singgah ke Uptown Shah Alam ni untuk mengisi masa lapang. Di sini anda dapat melihat bermacam barangan dijual seperti jam tangan, barangan bundle, topi, hijab, aksesori telefon bimbit, makanan, macam-macam ada.

Anda juga tidak perlu risau jika hujan sebab Uptown ni berbeza dari yang lain, ianya  berbumbung, jadi bolehlah anda bershopping tidak kira keadaan cuaca.

Alamat: Komplex Muhibbah, Persiaran Sultan, Seksyen 24, 40300 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.30pm – 3.00am)


11. Taman Botani Shah Alam

Taman Botani Shah Alam
Sumber: Taman Botani Negara Shah Alam

Apa yang menarik di Taman Botani Shah Alam adalah Rumah Iklim Sederhana Empat Musim yang mana di dalamnya terdapat bunga-bungaan yang ditanam dalam musim tertentu, musim-musim di rumah ini diubah setiap tiga bulan.

Walaupun kita duduk di negara yang tidak mengalami perubahan musim, sekurang-kurangnya dapatlah anda merasa suasana yang berlainan semasa anda berada di sini. Terasa agak realistik dengan teknik pencahayaan dan wallpaper yang digunakan untuk memberikan efek yang bersesuaian dengan musim tersebut.

Tarikan lain yang terdapat di sini adalah zoo mini, kawasan sawah padi, taman kaktus, taman buah-buahan tropika, taman herba, tasik dan kolam. Antara aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah seperti berbasikal, flying fox, memancing dan paintball.

Alamat: Taman Botani Negara Shah Alam, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam

Waktu Operasi:

  • Taman: Selasa – Ahad (7.30 am – 5.00 pm) | Isnin Kecuali Cuti Umum, Cuti Sekolah (Tutup)
  • Rumah Iklim Sederhana Empat Musim: 7.30 am – 4.30 pm

Harga Tiket Taman Botani:

  • Caj Konservasi: Dewasa RM3 | Kanak-Kanak RM1
  • Harga Tiket Rumah Iklim Empat Musim:
  • Dewasa: Musim Salji RM5 | Musim Lain RM3
  • Kanak-Kanak (6 – 11 Tahun): Musim Salji RM3 | Musim Lain RM1

10. Taman Tema Air Wet World

Tak tahu nak buat apa pada musim cuti sekolah? Jom bawa anak-anak ke taman tema air Wet World Shah Alam di mana anda sekeluarga dapat bermain air sepuas hati.

Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti loker untuk menyimpan barang, tak perlulah anda bersusah hati fikirkan keselamatan barang-barang berharga anda, baru boleh enjoy. Kemudian, kalau dah penat mandi-manda, mesti terasa lapar kan? Ada beberapa pilihan gerai untuk anda membeli makanan di sini.

Kalau anda merancang untuk berjalan ke tempat lain selepas ke taman tema ini, jangan risau pasal rambut basah, pihak wet world turut menyediakan kemudahan alat pengering rambut supaya tak adalah anda pening kepala sebab terpaksa pakai tudung dengan rambut basah bagi yang berhijab.

Walaupun taman tema ini tidak sebesar Sunway Lagoon tapi ia tetap lengkap dengan segala kemudahan yang memastikan masa anda disana seronok dan selesa.

Alamat: Taman Tema Air Wet World, No. 3A, Persiaran Dato’ Menteri, Sek.14, 40000 Shah Alam, Selangor.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu (10.00am – 6.00pm) | Tutup pada hari Rabu kecuali Cuti Sekolah dan Cuti Umum

Harga Tiket: Dewasa (>130 cm) RM37 | Kanak-Kanak (90 – 130 cm) RM32 | Bayi Percuma


9. Taman Tasik Shah Alam

Taman Tasik Shah Alam
Sumber: MBSA

Taman tasik ini dibuka pada tahun 1985 dan direka oleh arkitek lanskap dari Jepun, Fumiaki Takano. Lanskap di taman tasik ini amat menyejukkan mata dan sangat sesuai dijadikan tempat berekreasi sambil bersantai bersama keluarga.

Anda dapat menenangkan fikiran melihat ketenangan air ditemani bunyi burung-burung yang terbang di langit. Siapa sangka di tengah-tengah kota pun terdapat kawasan yang setenang ini.

Tambahan pula, Di dalam taman tasik ini juga terdapatnya taman tema air, restoran terapung dan taman permainan kanak-kanak. Jadi kalau anda tiada apa-apa yang nak dibuat di hujung minggu dan mencari aktiviti percuma untuk dilakukan di Shah Alam, datanglah ke taman tasik ini, banyak yang boleh dibuat.

Alamat: Pesiaran Tasek, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor


8. Dataran Bunga Raya

Dataran Bunga Raya Shah Alam
Sumber: MC Zaheer

Bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia ini sebenarnya terdapat pelbagai warna, bukan warna merah sahaja ya.

Kalau anda nak lihat sendiri bunga raya yang pelbagai warna ini, anda boleh datang ke Dataran Bunga Raya yang terletak di bahagian timur Taman Tasik Shah Alam. Contoh-contoh warna bunga raya yang terdapat di sini adalah merah jambu, putih dan pic. Lokasi yang sesuai untuk anda yang nak bermikro fotografi.

Alamat:  Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.


7. Kompleks Taman Seni Islam

Kompleks Taman Seni Islam
Sumber: dhiyaalfidaie

Di dalam Kompleks ini anda dapat melihat beberapa galeri berbeza seperti Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, Bahagian Penyalinan Mushaf Al Quran, Rekaan, Pewarnaan, Grafik dan Penerapan Emas.

Baca: 63 Destinasi Menarik Di Selangor

Yang paling menarik perhatian di Kompleks ini adalah manuskrip asli Al-Quran yang dianggarkan berharga RM20 juta. Satu perasaan yang amat menakjubkan apabila dapat melihat Quran ini di depan mata.

Kompleks ini juga merupakan tempat penghasilan hasil seni islamik. Yayasan Restu, merupakan organisasi yang bertanggungjawab menghasilkan Quran tulisan tangan yang pertama di Malaysia. Yang menarik lagi, dari Kompleks ini anda dapat menikmati panorama indah Masjid Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam.

Alamat: 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30am – 5.30pm)


6. Laman Budaya, Galeri Shah Alam

Laman Budaya Galeri Shah Alam
Sumber: Hikmah Melayu

Laman Budaya merupakan pusat kebudayaan di mana terdapat teater, Galeri Shah Alam, muzium dan lain-lain. Bertempat di Taman Tasik Shah Alam, di Laman Budaya menjadi hab dimana karya tempatan dipamerkan seperti persembahan, pertandingan, pameran dan majlis diadakan.

Kalau anda seorang pencinta seni, tiada alasan untuk anda tidak melawat galeri seni ini. Mungkin anda boleh mendapatkan inspirasi untuk karya anda sendiri?

Alamat: Laman Budaya Shah Alam, Persiaran Tasik, 40000 Shah Alam.

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00am – 6.00pm)


5. Litar Go Kart

Litar Go Kart Shah Alam
Sumber: Anthony Teyo

Suka berlumba tapi takut kena saman? Datanglah ke litar ini untuk melepaskan gian anda dengan cara yang ‘halal’. Litar Go Kart ini dibuka setiap hari, anda boleh menyewa Go Kart dan memandu dalam litar yang memiliki 15 selekoh yang agak mencabar. Untuk anda yang baru ingin mencuba, jangan risau kerana jurulatih turut disediakan.

Alamat:  Level 1, Quadrant C, Shah Alam Stadium, Section 13, 40000 Shah Alam

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00 am – 7.00 pm) | Sabtu – Ahad (9.00 am – 7.00 pm)

Harga Tiket:

  • Double Seater Kart: RM50 / Kart / Sesi
  • Cadet Kart: RM40 / Kart / Sesi
  • Regular Kart: RM40 / Kart / Sesi
  • Pro Kart: RM80 / Kart / Sesi
  • 125cc Kart: RM120 / Kart / Sesi
  • *Setiap Sesi Berdurasi 10 Minit

4. Shah Alam Extreme Park

Seperti namanya, ini adalah tempat yang sesuai untuk anda beraktiviti lasak seperti bermain basikal BMX, skateboard, wall climbing, futsal dan paintball. Memang syok untuk bersantai dengan kawan-kawan yang satu kepala sambil beraktiviti di sini.

Alamat: Jalan Lompat Pagar 13/37, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00am – 11.00pm) | Sabtu – Ahad (9.00am – 11.00pm)


3. Skytrex Shah Alam

Lagi satu tempat di mana anda dapat memburu adrenalin anda adalah Skytrex Shah Alam. Terletak di Taman Pertanian Malaysia, anda dapat melakukan aktiviti ekstrem dengan udara segar kerana dikelilingi pokok-pokok hijau.

Antara aktiviti yang menanti anda di sini adalah flying fox, meluncur, bergayut dan macam-macam lagi dari pokok ke pokok, sebab itulah ia digelar SKY trekking. Syok apa dapat jadi tarzan sehari?

Skytrex Adventure ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan digalakkan untuk anda membuat tempahan online. Aktiviti di sini sesuai untuk yang memiliki stamina yang tinggi ya, kalau tak, tak larat pula anda nak rasai semua cabaran-cabaran di sini, rugi je kan?

Apa-apa pun, kalau dapat mencuba sekali dalam seumur hidup beraktiviti lasak sebegini memang akan menjadi pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Alamat: Jalan Liku 8/1, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi:

  • Selasa – Jumaat: Sesi Terawal (Bermula Pukul 9.00 am) |
  • Sesi Terakhir (Bermula Pukul 2.00 pm)
  • Sabtu, Ahad, Cuti Umum: Sesi Terawal (Bermula Pukul 8.30 am) | Sesi Terakhir (Bermula Pukul 3.00 pm)

Harga Tiket:

  • Little Adventure (Beginner): Walk In RM50 / Online RM45
  • Big Thrill (Intermediate): Walk In RM60 / Online RM55
  • Extreme Challenge (Advanced): Walk In RM70 / Online RM65

2. Stadium Shah Alam

Stadium yang telah lama menjadi mercu tanda penting di Shah Alam ini digunakan sebagai tempat perlawanan bola sepak dan menjadi tuan rumah untuk Selangor FA.

Stadium ini dapat menampung penonton seramai 80,372 orang. Kalau anda bukanlah peminat fanatik bola sepak, berdekatan dengan stadium ini terdapat litar Go Kart yang terkenal di Shah Alam.

Alamat: Stadium Shah Alam Seksyen 13, Selangor, 40100 Shah Alam


1. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Sumber: Wikiwand

Masjid yang dirasmikan pada tahun 1988 ini adalah masjid yang kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia.

Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Biru kerana kubahnya yang berwarna biru. Senibina masjid ini adalah hasil kombinasi senibina tradisional Islam dari Barat, India, Asia Barat dan Melayu.

Ia juga pernah memegang rekod sebagai masjid yang memiliki menara yang tertinggi di dunia sehingga dimasukkan di dalam Guinness World Records, namun pada tahun 1993, masjid yang memiliki menara tertinggi adalah Masjid Hassan II di Casablanca, Morocco.

Sultan Salahuddin, Sultan Selangor pada masa itu menyumbangkan jam antik yang berusia 600 tahun dan 4 buah lampu chandelier yang berharga lebih daripada 2 juta.

Rasanya kisah tentang masjid ini sudah cukup menarik perhatian anda untuk datang ke sini dan menyaksikan sendiri keindahannya dengan lebih dekat lagi.

Alamat: Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor


Terbukti sudah yang Shah Alam ini adalah sebuah bandar yang sempurna dengan pelbagai jenis tarikan. Tak kira siang ataupun malam, tempat santai mahupun aktiviti ekstrem semuanya ada di sini.

Sesuai untuk anda datang bercuti bersama keluarga dan kawan-kawan. Jadi tak perlu fikir lama-lama ke mana nak pergi pada hari cuti, datang je ke Shah Alam, sure puas hati!

Baca: 34 Hotel Bajet Di Shah Alam | Menarik & Selesa

Kalau anda datang dari jauh mesti anda perlukan tempat penginapankan? Untuk itu anda boleh singgah ke laman web Booking.com untuk mendapatkan tempat penginapan dengan harga yang tak disangka-sangka sebab terlalu murah kalau nak dibandingkan dengan tempat lain.

Sekian sahaja penulisan kali ini, terima kasih kerana telah meluangkan masa anda untuk membaca sehingga ke penghujung artikel. Semoga senarai tempat-tempat menarik ini dapat membantu anda membuat perancangan ke mana nak pergi kalau anda datang ke Shah Alam. Datang tau, jangan tak datang!

4.6/5 - (32 votes)