20 Tempat Menarik Di Sungai Petani | Jom Bercuti Ke Bandar Perindustrian Kedah

Tercari-cari destinasi yang unik untuk percutian akan datang? Mai singgah ke Sungai Petani, Kedah. Masa yang diambil untuk ke negeri di sudut utara Semenanjung Malaysia ini adalah dalam 4 ke 5 jam, sebaik memasuki negeri ini akan dapat melihat keindahan sawah padi yang terbentang luas penuh kehijauan.

Bandar yang terbesar di Kedah ini sedang rancak membangun mengikuti pergerakan era namun dalam masa yang sama masih memelihara tapak-tapak tamadun awal yang pernah wujud beribu tahun yang lalu, menjadikan ia destinasi yang cukup mengujakan untuk dilawati.

Sungai Petani juga boleh dijadikan destinasi untuk ‘dokumentari’ jalan-jalan cari makan anda  dek kerana banyaknya restoran-restoran dan gerai menarik untuk dicuba bagi memuaskan deria rasa. Apa yang anda inginkan? Cendol? Laksa? Nasi kerabu? Nasi kandar? Apa sahaja yang terlintas di fikiran, sebut sahaja, macam-macam juadah ada di sini.

Sememangnya kaya dengan sejarah dan makanan yang mengiurkan, ingin lagi sebab untuk memaksa anda ke sini? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Sungai Petani ini.

20. The Carnivall Waterpark

The Carnivall Waterpark Sungai Petani - Image
Sumber: The Carnivall Waterpark

Nak merasakan percutian yang paling best dalam hidup? Jadikanlah lawatan ke taman tema air sebagai salah satu rancangan percutian anda. Lagi best kalau taman tema yang dilawati itu adalah The Carnivall Waterpark.

Terletak di dalam Cinta Sayang Golf and Country Resort, taman tema yang berkeluasan 7 hektar ini padat dengan pelbagai tarikan menarik seperti 4 Water Coasters, Wall Climbing, Kids Area Play dan Lazy River.

Betapa bestnya taman tema ini dapat dirasakan sebaik anda menjejakkan kaki ke dalamnya dimana anda akan terdengar jeritan keseronokan yang tak putus-putus bukan sahaja kanak-kanak tapi juga orang dewasa yang bermandi-manda di sini.

Dah puas bermain air? Bila dah bersiap dengan penuh gaya, jangan lepaskan peluang untuk menunggang kuda yang juga merupakan salah satu aktiviti yang ditawarkan di sini. Apa salahnya buat lebih daripada 1 aktiviti cool dalam masa seharikan?

Waktu Operasi: Isnin, Selasa, Khamis (11.00am -6.00pm) | Jumaat, Sabtu & Ahad (10.00am – 7.00pm) | Rabu Tutup

Bayaran Masuk:

Isnin – Khamis: Dewasa RM20, Kanak-kanak dll RM18

Jumaat, Sabtu & Ahad: Dewasa RM28, Kanak-kanak dll RM20

Alamat: Persiaran Cinta Sayang, 08000, Sungai Petani, Kedah


Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Sungai Petani

19. Lembah Bujang

Lembah-Bujang-Image
Sumber: Imhadi

Jika anda rasa Bali adalah antara lokasi tertua di Asia Tenggara disebabkan peninggalan banyak tempat penyembahan kunonya, apa kata kalau anda buka mata anda tentang Lembah Bujang.

Salah satu topik yang pernah disentuh sewaktu di sekolah menengah ini menyimpan seribu satu bukti kewujudan tamadun tertua di Asia Tenggara yang dikatakan berkemungkinan telah wujud dari abad pertama Masihi lagi.

‘Bujang’ ini jika dikaji maknanya, selain daripada gadis dan pemuda yang ‘single’, di dalam bahasa Sanskrit ‘bujang’ bermaksud ‘ular,’ ini mungkin disebabkan oleh bentuk Sungai Bujang yang  bengkang-bengkok seperti seekor ular.

Sekiranya anda ke sini, dapatlah anda feeling seperti Indiana Jones melihat bukti kerajaan Hindu-Buddha purba berdasarkan daripada peninggalan sekitar 50 buah kuil yang dijumpai. Selain itu, banyak lagi penemuan artifak lain turut dipamerkan seperti tembikar Cina, lembing keagamaan, ukiran batu, manik, seramik Parsi dan tanah liat.

Alamat: 08400 Merbok, Kedah


18. Damai Park Resort

Damai-Park-Resort-Image
Sumber: Damai Park Resort

Damai Park Resort bukanlah sebuah resort biasa, kerana di sini anda sekeluarga dapat merasakan nikmat kehidupan di kampung dengan sepuas hati. Macam mana tu?

Kalau anda nak tahu, selain penginapan, Damai Park Resort turut memiliki dusun buah duriannya sendiri di mana anda boleh menikmati dengan sepuas hati, selama mana perut boleh diisi dengan hanya sekali bayaran. Bagi anda yang gila durian, wajiblah memilih resort ini sebagai pilihan ya?

Bukan itu sahaja, penginapan yang ditawarkan di dalam ketenangan alam semula jadi ini juga agak menarik, bermacam-macam jenis penginapan yang disediakan, tapi kalau nak terasa pengalaman ‘kampung’ sebenar, anda boleh booking Traditional Chaletnya yang cukup comel reka bentuknya dan dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok yang tumbuh rendang.

Teringin mandi di sungai? Anda boleh bermandi-manda di dalam sungai yang terletak hanyalah di depan resort ini. Memang syok!

Harga: Dari RM116+ Semalaman

Alamat: Damai Park Resort, Lot 588, Kampung Bukit Acheh, Jalan Muzium Arkeologi Lembah Bujang, 08400 Merbok, Kedah


17. Hutan Lipur Rekreasi Tupah

Hutan Lipur Rekreasi Tupah - Main Image
Sumber: ChewHow Lim

Terletak di dalam daerah Kuala Muda, Hutan Lipur Rekreasi Tupah adalah hutan dipterokarp yang berada pada ketinggian sekitar 100 ke 200 meter dari paras laut. Hutan ini terletak di sepanjang sungai yang berkepanjangan 2 km.

Untuk pengetahuan anda, Hutan Lipur Rekreasi Tupah ini terkenal dalam kalangan penduduk tempatan untuk bermandi-manda dan berkelah kerana ia lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti surau, gerai makan dan tandas awam. Bagi anda yang ingin menikmati keindahannya tanpa gangguan orang ramai, rancanglah untuk ke sini selain daripada hujung minggu.

Alamat: Hutan Lipur Rekreasi Tupah, Merbok


16. Tapak Arkeologi Sungai Batu

Tapak Arkeologi Sungai Batu - Image
Sumber: Nor Mohamad Samsudin

Kurang 10 km jaraknya daripada Sungai Petani, di dalam sebuah ladang kelapa sawit tersimpannya sebuah lagi tapak yang menjadi bukti kewujudan antara tamadun tertua di negeri Jelapang Padi ini iaitu Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Jika diputarkan masa pada sekitar 600 tahun sebelum Masihi, Tapak Arkeologi Sungai Batu ini agak meriah dengan pelbagai aktiviti perdagangan kerana merupakan kawasan daratan yang terdekat dengan laut.

Apabila digali dan dikaji kawasan sekitar tapak arkeologi ini, Sungai Batu rupa-rupanya meninggalkan lebih daripada 10 binaan jeti, bangunan pentadbiran dan gudang. Di samping itu, para pengkaji turut menemui belasan tapak peleburan besi yang dipercayai telah digunakan secara berterusan buat 2300 tahun lamanya. Wow!

Alamat: Kampung Permatang Samak, 08100 Bedong


15. Gunung Jerai

Gunung- erai Sungai Petani
Sumber: JJCM Kedah

Bagi anda yang kehausan aktiviti lasak, apa kata untuk cuti kali ini anda bersama geng cuba mendaki Gunung Jerai. Untuk mendaki gunung ini, trail dari kaki hingga ke puncaknya ataupun untuk ke kawasan air terjun telah tersedia.

Kalau anda nak tahu, pada asalnya Gunung Jerai ini adalah sebuah pulau yang bernama Pulau Serai, namun disebabkan aras laut turun dengan banyak, terbentuklah gunung ini.  Terletak pada ketinggian lebih daripada 1170  meter dari paras laut, sesiapa yang berjaya menaklukinya dapat menikmati pemandangan persis lukisan.

Di puncak gunung ini, anda dapat melihat pemandangan sawah padi Yan, Kedah penuh dengan kehijauan seluas pandangan mata sambil menghirup udara segar.

Alamat: Gunung Jerai, Kuala Muda


Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Kedah

14. Semeling Street Art

Semeling Street Art - Image
Sumber: Faiz Fadziar

Sudah banyak negeri yang ada Street Art, takkanlah Sungai Petani nak ketinggalan pulakan?Semeling Street Art memaparkan hasil karya kreatif yang dilukiskan pada dinding-dinding di belakang deretan kedai di Jalan Raya Semeling.

Dikatakan terdapat dalam sekitar 95 buah mural termasuklah lukisan 3D yang dihasilkan pada banyak kedai-kedai dan rumah yang sudah berusia di kawasan ini.  Street Art di sini telah dihasilkan oleh pelukis yang didatangkan daipada sekitar Kedah, iaitu dari Kulim, Alor Setar dan Sungai Petani.

Antara lukisan yang dapat anda jadikan background posing adalah watak-watak kartun seperti Elmo, Snoopy, Spongebob, Patrick, Doraemon, Avengers dan banyak lagi. Selain itu, turut dihasilkan adalah mural yang menggambarkan kehidupan masyarakat Kedah dan alam semula jadi.

Alamat: 17, Jalan Raya Semeling, Kampung Mata Hari Naik, 08100 Bedong


13. Dataran Zero Kilometer

Dataran Zero Kilometer Main - Image
Sumber: Mohd Izuan

Tercari-cari tempat untuk meluangkan waktu lapang apabila malam menjelma di Sungai Petani? Apa kata kalau anda ke Dataran Zero Kilometer. Anda boleh berbual-bual bersama yang tersayang ataupun berjalan-jalan di sekitar sambil melihat keindahan cahaya lampu LED yang mewarnai bangunan di dataran ini.

Limpahan cahaya LED ini tidak patut dibiarkan begitu sahaja, keluarkan kamera untuk snap gambar sebagai kenangan anda di negeri ini. Berkenaan dengan tempat meletak kereta, ianya turut disediakan dengan caj sekitar RM1.50.

Alamat: Jalan Ibrahim, Sungai Petani 08000


12. KS Coins & Collectibles Antique Shop

KS Coins & Collectibles Antique Shop Main - Image
Sumber: KS Coins

Selalu berangan agar mesin yang mampu merentas masa dapat dicipta supaya anda dapat  merasai era yang telah lama berlalu? Mai singgah ke KS Coins & Collectibles Antique Shop.

Bermacam barangan antik yang termasuklah seramik, duit lama dan lain-lain lagi dipamerkan  dan dijual di kedai ini. Nak duit lebih? Bolehlah anda mencuba nasib untuk menjual barangan antik yang anda miliki kepada pemilik kedai ini. Duit yang dapat, bolehlah digunakan untuk mendapatkan koleksi antik yang lain pula atau untuk enjoy lebih sikit di Sungai Petani ni.

Alamat: Lot 1-21, Tingkat 1, Village Mall, Legenda Heights, 08000 Sungai Petani, Kedah


11. Masjid Sultan Muzaffar Shah

Masjid Sultan Muzaffar Shah Kedah - Main Image
Sumber: KEDAH OHSEM

Masjid Sultan Muzaffar Shah yang terletak di Jalan Sungai Layar ini juga boleh dikatakan sebagai sebuah masjid ‘di dalam taman’ kerana lokasinya yang betul-betul bersebelahan dengan Taman Jubli Perak.

Masjid indah ini terletak cukup dekat dengan kawasan pusat bandar Sungai Petani, memudahkan akses sesiapa yang ingin menunaikan solat 5 waktu. Ia juga cukup terjaga dan bersih membolehkan anda sekeluarga beribadah dengan penuh kekhusyukan. Dah selesai bersolat, barulah jiwa tenang dan berkat perjalanan anda sekeluarga, tak gitu?

Alamat: Jalan Sungai Layar, Taman Jubli Perak, 08000 Sungai Petani


Baca: 27 Hotel Istimewa Di Penang

10. Muzium Paya Bakau

Muzium Paya Bakau Semeling
Sumber: izzuddinjanaton.blogspot.com

Tak puas lagi berphotoshoot di sekitar Sungai Petani? Ataupun masih lagi belum puas mengisi dada dengan oksigen yang segar? Teruskan penerokaan anda sekeluarga ke Muzium Paya Bakau yang terletak di Semeling ini.

Di dalam kompleks hutan simpan ini anda dapat melihat bukan sahaja kawasan paya bakau, tetapi juga tempat membakar arang dan lain-lain lagi. Fasiliti lain yang terdapat di sini adalah seperti kaunter penerangan, kedai cenderahati, dewan serbaguna dan banyak lagi. Di bahagian kaunter penerangan muzium ini, anda boleh mendapatkan banyak info berkaitan ekosistem, arkeologi dan banyak lagi.

Alamat: Muzium Paya Bakau, Semeling, Sungai Petani


9. Taman Rekreasi Sungai Petani

Bukit Banyan Sungai Petani
Sumber: Bukit Banyan Homestay

Memang banyak tempat untuk anda sekeluarga jadikan kawasan beriadah di sekitar Sungai Petani ini dan salah satu yang terbaik dan terbaru di sini adalah Taman Rekreasi Sungai Petani.

Terletak di atas bukit, pemandangan yang disajikan dari taman ini boleh membuatkan jiwa anda terpukau. Anda dapat melihat pemandangan 360 darjah sekitar Sungai Petani sepuas hati.

Bermacam aktiviti yang boleh dibuat di sini sambil melihat pemandangan kerana fasilitinya yang boleh dikatakan agak lengkap, menarik dan unik seperti trek basikal, trek jogging, maze play pokok dan lain-lain lagi.

Nak bergambar? Anda boleh beraksi di hadapan dam haji dan chess bersaiz raksasa yang terdapat di sini. Gambar yang terhasil pun memang rare! Dah puas bergambar, dam dan chess ini juga boleh digunakan sebagai peralatan senaman sambil cuba menunjukkan betapa geniusnya anda untuk memenangi permainan papan gergasi ini.

Alamat: Bukit Banyan, Sungai Petani


8. Pantai Merdeka

Pantai Merdeka Sungai Petani Kedah
Sumber: Mahyuddin Gbom

Tak lengkap rasanya percutian kalau tak melawat antara lokasi terbaik untuk menikmati pemandangan mempesonakan langit dan lautan bukan? Kalau di Sungai Petani, Pantai Merdeka adalah tempatnya.

Inginkan pengalaman yang berbeza sewaktu ke pantai? Anda boleh menaiki bot pelancong yang disediakan di sini untuk melihat pemandangan di sekitar pantai dari perspektif yang jauh lebih menarik. Anda juga boleh merancang untuk ke Tanjung Dawai menggunakan bot di sini.

Nak tahu apa lagi aktiviti lain yang cool untuk dilakukan di Pantai Merdeka? Antaranya adalah bermain layang-layang, berkayak, berkhemah, memancing dan banyak lagi.

Dah puas berseronok, anda boleh memilih daripada belasan gerai yang terdapat di sini untuk menikmati pelbagai juadah menyelerakan seperti char kuew teow, cendol, ABC, laici kang, mee ketam, mee udang dan macam-macam lagilah yang agak sinonim untuk dinikmati di tepi pantai. Enaknya terngiang-ngiang di ingatan.

Alamat: Jalan Merbok, Sungai Petani 08000


7. Sungai Merbok

Sungai Merbok - Main Image
Sumber: Discover Kedah

Di utara bandar Sungai Petani terletaknya sebuah sungai yang cukup penting pada suatu ketika dahulu. Berkelebaran sekitar 1 km, Sungai Merbok adalah laluan yang sempurna untuk kapal-kapal besar berlayar menuju ke kawasan hulu.

Bukan itu sahaja, kawasan sekitar Sungai Merbok ini juga turut meninggalkan jejak era lampau seperti Kota Istana Pulau Tiga, peninggalan kubu tentera British, tapak peninggalan ‘Gok’ pembakar kayu yang pernah suatu ketika dahulu digunakan sebagai tempat membuat batu-bata dan arang.

Alamat: Sungai Merbok


6. Tanjung Dawai

Tanjung Dawai Seafood
Sumber: Zakinah Ibrahim

Tidak jauh dari Pantai Merdeka terletaknya Tanjung Dawai yang merupakan destinasi wajib dilawati bagi anda yang ingin menyegarkan tekak dengan makanan laut atau pelbagai hasil laut yang terbaik.

Antara yang diniagakan di sini adalah ikan bilis, ikan masin, belacan dan macam-macam lagi. Keropok yang dijual di sini juga datang dalam pelbagai perisa seperti ikan, sotong dan udang.

Sudahlah banyak pilihan yang segar, harganya juga jauh lebih murah jika dibandingkan dengan tempat lain kerana terletak berdekatan kawasan pantai yang mana kebanyakan penduduknya bekerja sebagai nelayan. Memang rugi kalau tak bawa balik beberapa plastik ikan kering dan keropok dari sini.

Dah puas bershopping, anda boleh melegakan lapar dan dahaga di kedai makan seafood yang ada di sini. Terasa sensasi kesegaran hasil lautnya di lidah baq hang.

Alamat: Kuala Muda (Utara Muara Sg.Merbok Kedah)


Baca: 21 Hotel Bajet Di Batu Ferringhi Untuk Percutian Pantai Yang Sempurna

5. Jeti Sungai Semeling

Jeti Sungai Semeling - Image
Sumber: Sungai Petani – A Fast Growing City

Jeti Sungai Semeling bukanlah sebuah jeti yang biasa, kerana di kawasan ini terdapat laluan pejalan kaki berkepanjangan 1 km di mana di kiri dan kanannya terhidang pemandangan hutan bakau.

Sambil melihat dengan dekat keindahan alam hijau ini, anda juga dapat mendengar bunyi kicipan burung dan melihat pemandangan matahari terbenam yang cukup mempesonakan.

Tak puas lagi? Apa kata kalau anda mengambil pakej river cruise yang turut disediakan di sini untuk memaksimakan lagi keseronokan anda sekeluarga bersatu dengan alam semula jadi.

Alamat: Kompleks Pelancongan Jeti Semeling, Sungai Merbok, 08000 Sungai Petani


4. Taman Jubli Perak

Taman Jubli Perak - Image
Sumber: Raaga (Malaysia)

Taman Jubli Perak ini telah dibina untuk memperingati sambutan Jubli Perak Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang merupakan Sultan Kedah yang ke-27. Lengkap dengan laluan pejalan kaki, di tengah-tengah taman ini pula terdapat sebuah tasik indah dengan jambatan untuk merentasinya.

Sambil berjalan-jalan di dalam taman indah ini anda dapat melihat kelibat burung-burung eksotik yang terbang bebas di angkasa. Anak-anak pula boleh berseronok di taman permainan yang disediakan.

Taman awam yang dikelilingi oleh pokok-pokok besar ini memiliki atmosfera yang sungguh nyaman untuk anda menenangkan fikiran dan jiwa setelah kepenatan. Antara kemudahan lain yang terdapat di taman indah ini adalah gimnasium rakyat, perpustakaan awam, medan selera dan masjid yang hanyalah bersebelahan dengan taman.

Alamat: Taman Jubli Perak, 08000 Sungai Petani


3. Air Terjun Tupah

Air Terjun Tupah - Image
Sumber: Fuad Rahim Asman

Nak menyejukkan mata melihat keindahan flora dan fauna sambil menghirup udara yang segar? Bawalah keluarga anda berkelah di Air Terjun Tupah. Terletak tidak jauh dari Pekan Semeling, air terjun ini agak mudah untuk dicari kerana ianya cukup terkenal sebagai destinasi riadah pilihan ramai penduduk tempatan terutama pada hujung minggu.

Bagi pencinta fotografi, percayalah, anda akan terpana melihat keindahan air terjun ini yang cukup memukau, menggoda anda  untuk mencuba sedaya upaya mengabadikannya di dalam foto.

Alamat: Air Terjun Tupah, Hutan Lipur Tupah, Kedah


2. Chalet Terapung  Segantang Garam

Chalet Terapung Segantang Garam - Image
Sumber: Sungai Petani – A Fast Growing City

Tergoda sudah dengan keunikan yang ditawarkan Sungai Petani? Kalau anda merancang untuk ke sini pada percutian akan datang, Chalet Terapung  Segantang Garam adalah salah satu pilihan penginapan yang boleh dipertimbangkan.

Menawarkan tujuh buah chalet yang terapung di atas permukaan Sungai Merbok, Chalet Terapung  Segantang Garam menyediakan dua buah chalet yang lengkap dengan penghawa dingin, chalet VIP, chalet berkembar dan bilik penginapan berasingan. Pilihlah yang mana yang sesuai dengan keperluan penginapan anda.

Antara aktiviti menarik yang boleh anda rancang untuk lakukan sekiranya memilih untuk menginap di sini adalah memancing di pelantar yang disediakan, melawat pulau-pulau berhampiran, melihat keindahan hutan paya bakau ataupun melawat banyak lokasi menarik terdekat seperti muzium arkeologi dan lain-lain lagi.

Alamat: Chalet Terapung Segantang Garam,PPK Merbok


1. Menara Jam Besar Sungai Petani

Menara Jam Besar Sungai Petani
Sumber: Hotel Seri Malaysia Sungai Petani

Didirikan pada tahun 1934, Menara Jam Besar Sungai Petani ini merupakan hadiah daripada seorang tauke Cina, Lim Lean Teng kepada penduduk kawasan ini untuk meraikan sambutan Jubli Perak King George V dan Queen Mary. Yang menariknya, jam gergasi antik ini masih lagi berfungsi dan berbunyi.

Pada waktu malam, jam ini akan dilimpahi dengan cahaya lampu yang indah, menjadikan ia sempurna sebagai latar belakang gambar instagram anda.

Alamat: 916, Jalan Ibrahim, Sungai Petani, 08000 Sungai Petani


Inilah antara tempat menarik di Sungai Petani yang boleh anda lawati dan penginapan yang boleh dicuba sekiranya anda sekeluarga ingin menghabiskan percutian di bandar meriah ini.

Jika anda sedang merancang percutian ke Sungai Petani dan masih belum menjumpai penginapan yang sesuai, anda boleh mendapatkan tawaran hotel terkini dengan harga yang berpatutan di laman web Booking.com.

Semua ini masih tidak cukup untuk menghilangkan dahaga kembara anda? Anda boleh membuka langkah lebih luas ke seluruh Kedah dengan membaca artikel kami bertajuk 50 Tempat Menarik di Kedah.

Sekiranya anda ingin menikmati percutian di kawasan pulau yang terletak tidak jauh dari Kedah, mai singgah baca artikel kami tentang 33 Tempat Menarik di Penang.

Nak melihat pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan dari kawasan pantai? Anda boleh membaca artikel kami berkaitan tempat menarik di Langkawi yang kaya dengan bukan sahaja pantai, tetapi juga pulau dan banyak lagi tarikan alam semula jadi yang lain.

Baca: 19 Hotel Murah Di Penang Sesuai Untuk Bajet Traveller

Setelah puas mengkaji tentang bandar bersejarah ini bertambah excitedlah anda sekeluarga untuk ke sini bukan? Bandar ini bukan sahaja menggembirakan hati para arkeologi tetapi juga pencinta alam semula jadi dan anda yang tak pernah kekenyangan.

Jangan tak tahu, di bandar ini sahaja ada belasan restoran nasi kandar terkenal untuk dipilih. Nak tunggu lagi? Kemas pakaian anda sekarang dan mulakan penerokaan di bandar unik ini secepat yang mungkin! Selamat bercuti ke Sungai Petani!



Related Posts