Ramai warga kota yang mendambakan kehidupan yang penuh santai dan kedamaian seperti mana yang dapat dinikmati di kawasan kampung, bayangan ini ibarat sebuah impian kehidupan yang tidak mungkin dapat dikecapi dalam masa terdekat memandangkan banyak lagi yang perlu dikejar.
Tapi siapa kata anda tidak boleh berhenti sebentar untuk mengambil nafas dari kesibukan ini? Tidak perlu melihat terlalu jauh, pekan kecil Temerloh adalah destinasi yang dapat memberikan anda rasa nyaman yang dicari.
Terletak di antara Kuantan dan Kuala Lumpur, pekan ini menawarkan keindahan alam semula jadi hutan simpan, pusat pemuliharaan haiwan terancam dan kawasan perkampungan yang klasik untuk dilawati. Nak tahu di mana? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Temerloh ini.
15. Titik Tengah Semenanjung
Pernahkah anda terfikir di manakah tempat yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia? Kalau anda nak tahu, ia terletak di Temerloh! Sebuah taman telah di bina di Lanchang, Temerloh bagi menandakan koordinat titik tengah Semenanjung Malaysia. Titik ini telah dijumpai dengan kaedah kiraan matematik dengan mencari purata koordinat tanah semenanjung. Di taman ini terbinanya sebuah monumen di koordinat tersebut.
Selain dari penemuan ini, anda juga boleh mengambil masa untuk beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga di sekitar taman ini. Mereka turut menyediakan pelbagai tarikan lain termasuk landskap indah, taman permainan kanak-kanak dan ada juga sebuah mini zoo di hujung taman ini. Antara yang menarik ialah, anda juga boleh mendapat tahu jarak dari titik tengah ini ke negeri-negeri lain.
Alamat: Kampung Woh, 28500 Lanchang, Pahang
Isnin-Khamis | 10am-4pm |
Sabtu-Ahad | 10am-5pm |
Jumaat | Tutup |
Harga Tiket:
Dewasa | RM3 |
Kanak-kanak (3-11 tahun) | RM2 |
OKU | RM1 |
14. Taman Rekreasi Tasik Chatin
Taman Rekreasi Tasik Chatin Mentakab ini merupakan sebuah taman rimba. Bagi anda yang sukakan Alam semulajadi, di sini anda dapat menikmati keindahan hutan yang dikekalkan yang memberikan suasana yang dingin.
Ini kerana hutan yang dikekalkan melindungi anda dari pancaran matahari. Di sini, pengunjung boleh melihat pelbagai habitat haiwan yang dikekalkan seperti habitat ikan air tawar.
Dalam taman ini juga anda dan keluarga dapat meluangkan masa bersama dengan beriadah dan berkelah. Malah, terdapat juga gerai-gerai dan kiosk-kiosk makanan dan minuman untuk anda menjamu selera. Selain itu, kemudahan yang disediakan di sini juga cukup lengkap. Mereka turut menyediakan kemudahan dan kelengkapan untuk aktiviti senaman dan fizikal seperti taman permainan untuk kanak-kanak, kelengkapan bersenam dan banyak lagi. Sangat sesuai untuk anda berkunjung bersama keluarga.
Alamat: Exit 88, 28400 Mentakab, Pahang
13. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan
Terletak di Kuala Gandah, Lanchang adalah tempat perlindungan dan penjagaan gajah, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.
Gajah-gajah yang ditempatkan di sini adalah daripada yang kurang bernasib kerana ditinggalkan daripada gerombolan mereka ataupun gajah liar dan gajah denak yang telah ditangkap dan kemudiannya dilepaskan oleh Taman Negara.
Bagi anda yang tak berani mencari gajah sendiri di dalam hutan, inilah peluangnya untuk memerhati haiwan hutan yang dikatakan bijak ini.
Anda sekeluarga dapat melihat gajah-gajah bergerak bebas di dalam sebuah kawasan berpagar serta menonton dokumentari tentang cara-cara gajah ini diselamatkan untuk dibawa ke habitat yang lebih selamat.
Di dalam kedamaian hutan pusat konservasi ini, anda juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang tersedia untuk para pengunjung seperti melihat persembahan gajah, memberi mereka makan atau sekadar bersantai di dalam taman-taman yang indah di sini.
Alamat: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Jabatan Perhilitan, Kuala Gandah, 28500 Lanchang
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 4.30pm)
12. Deerland Park
Dah puas melihat haiwan kesayangan Thailand? Lepas sahaja melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, anda boleh meneruskan langkah ke Deerland Park untuk melihat haiwan yang terkenal dalam sejarah negeri Melaka pula, si rusa. Di sini, bukan sahaja ada rusa tempatan, tetapi juga spesies-spesies yang didatangkan dari luar negara.
Taman yang dibuka dari tahun 1996 ini turut menempatkan beberapa jenis haiwan berbeza seperti memerang, burung unta, landak, pelanduk, burung merak, beruang madu dan banyak lagi sehingga boleh dianggap sebagai zoo mini.
Sebaik selesai mendekati semua haiwan yang ada, jangan lepaskan peluang untuk melawat Deerland Naturenya pula kalau anda ingin melihat di depan mata sendiri bermacam jenis herba semula jadi yang memiliki banyak khasiat kesihatan. Antara tanaman herba yang terdapat di sini adalah kacip fatimah, tongkat ali dan pikering.
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya banyak lagi aktiviti menarik yang ditawarkan Deerland Park sekiranya anda ada banyak masa untuk diluangkan, antaranya adalah belajar menyumpit, merentas hutan, night walking, belajar memasak ala hutan dan macam-macam lagi.
Alamat: Deerland Park, 28500 Lanchang, Pahang
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (11.00am – 6.00pm)
11. Taman Tema Air Kubang Gajah
Terfikir-fikir cara untuk memaksimakan keseronokan percutian anda? Rancangan yang pasti memberikan keseronokan luar biasa adalah lawatan ke taman tema air.
Tak kisahlah kanak-kanak atau dewasa, siapa tak excited ternampak kolam renang yang luas dan penuh dengan tarikan yang menyeronokkan?
Taman Tema Air Kubang Gajah ini walaupun tidaklah memiliki tarikan segempak Sunway Pyramid, tapi cukup menyeronokkan. Nak berendam, berenang atau hanya mengapungkan badan sambil menikmati pemandangan awan yang membiru, buatlah apa sahaja yang anda inginkan di dalam kawasan kolam yang luas ini. Harga tiketnya pun tersangatlah murah.
Dah penat berenang, mesti terasa lapar bukan? Kalau anda nak tahu, waterpark ini juga terletak dekat dengan restoran ikan patin yang terkenal di Temerloh. Cuba, jangan tak cuba.
Alamat: Waterpark Kubang Gajah, Taman Awam Kubang Gajah, 28000 Temerloh
Waktu Operasi: Cuti Sekolah, Cuti Umum, Sabtu & Ahad (9.00am – 7.30pm) | Hari Sekolah (2.00pm – 7.30pm) | Rabu Tutup
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-kanak (2 – 12 Tahun) RM8 | Kanak-kanak (1 Tahun 11 Bulan & Kebawah) Percuma | OKU & Warga Emas RM5
10. Gunung Senyum
Bagi anda yang memiliki tenaga dan stamina yang lebih daripada orang lain, apa kata kalau menjadikan eksplorasi Gunung Senyum sebagai salah satu rancangan apabila berada di Temerloh? Di sini anda dapat menerokai lebih daripada 20 buah gua, melihat pokok-pokok herba dan banyak lagi kewujudan flora dan fauna lain.
Berketinggian 1,594 kaki, masa yang diambil untuk mendaki ke puncak adalah dalam sekitar 4 jam dan untuk turun ke kaki gunung pula adalah dalam sekitar 3 jam. Mengah tak mengah kalau tak biasa? Jangan lupa untuk membawa bekalan air dan makanan yang cukup.
Kalau anda nak tahu, hutan lipur di gunung ini turut menyimpan bukti kehidupan masyarakat Zaman Mesolitik. Di samping itu, nama-nama gua di sini juga kedengaran cukup klasik seperti Gua Terang Bulan, Gua Kolam Tujuh dan Gua Silat.
Bukan itu sahaja, sebenarnya gunung dan gua di sini ada kisah menarik mereka yang tersendiri, nak tahu? Jom kaji guna Mr. Google.
Alamat: Felda Jengka 25, Jengka, Pahang
9. Pusat Pemuliharaan Seladang
Ditubuhkan pada tahun 1976, Pusat Pemuliharaan Seladang menempatkan haiwan yang terancam di negara ini di dalam sebuah habitat semula jadi yang berpagar.
Jarang kita dengar pasal seladangkan? Inilah masanya untuk melihat dengan dekat haiwan yang berbadan ‘tegap’ ini. Dikatakan, pusat pemuliharaan ini telah berjaya membiakkan lebih daripada 30 ekor seladang daripada jenis Bos Gaurus Hubbacki yang merupakan jenis seladang yang terbesar di Malaysia.
Kesemua haiwan ini diletakkan di dalam 5 kandang yang luas di mana anda boleh mendekati sesetengah seladang yang jinak. Bagi seladang yang ‘moody’ pula, kebiasaannya boleh diredakan dengan batu atau ranting kayu kerana mereka sebenarnya takut kepada 2 benda ini.
Alamat: Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau
8. Pasar Sehari Temerloh
Kalau anda rasa selama ini tak puas dengan pilihan yang ada di pasar yang berdekatan dengan rumah sendiri, mai singgah ke Pasar Sehari Temerloh. Pasar yang dibuka sehari dalam seminggu ini merupakan pasar hari yang terpanjang di negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, Pahang.
Lokasinya adalah di pesisir Jalan Lurah Semantan dan tidak jauh dari Sungai Pahang. Jika anda datang ke sini, boleh rambang biji mata melihat aneka barangan yang dijual di sini daripada makanan yang enak, sayuran dan buah yang segar, hinggalah kepada pakaian.
Peniaga-peniaga di sini juga sangat murah dengan senyuman, yang penting, harga barangan di sini pasti turut membuat anda tersenyum. Murah-murah!
Alamat: Pekan Hari Temerloh, Jalan Lurah Semantan, Temerloh
Waktu Operasi: Ahad (Dari 7.00am)
7. Kampungstay Desa Murni
Terletak hanyalah 15 minit daripada Tol Temerloh di LPT, Kampungstay Desa Murni adalah sebuah penginapan yang sungguh mendamaikan jiwa. Atmosfera kampungnya cukup terasa dengan binaan-binaan yang diperbuat daripada kayu.
Setelah bersantai di dalam bilik yang penuh keselesaan ini, anda boleh merancang untuk menerokai kawasan sekitar kampung dengan menaiki basikal sewa yang disediakan pihak penginapan. Setelah itu, anda juga boleh memenuhkan hari dengan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang ditawarkan seperti mencanting batik dan memancing.
Mengenai fasilitinya pula, Kampungstay Desa Murni lengkap dengan kemudahan wifi, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, khidmat rawatan spa, sauna dan bekam turut ditawarkan. Segala kemudahan ini boleh dinikmati dari harga penginapan yang bermula bawah daripada RM150.
Alamat: Kampungstay Desa Murni, Lot 1674, Jalan Homestay, Desa Murni Sanggang, 28020 Temerloh
Harga: Dari RM140+ Semalaman
6. Dataran Patin
Jangan tak tahu, negeri Pahang sememangnya terkenal dengan hidangan ikan patinnya dan Dataran Patin adalah salah satu daripada restoran yang terkenal di daerah ini. Untuk menuju ke restoran ini, anda akan melalui jambatan gantung yang merentasi sungai, agak adventure juga untuk ke sini rupanya.
Sebaik menghampiri kedai ikan patin ini, anda dapat menghidu aroma ikan patin tempoyak yang menggoda jiwa. Sementara menunggu tempahan anda dihidangkan, anda boleh menikmati pemandangan Sungai Semantan dan Sungai Pahang sepuas hati.
Sebenarnya tersangatlah banyak restoran hidangan ikan patin yang sedapnya bukan kepalang. Tapi rasanya takkan habis sehari nak cerita. Nak tahu? Boleh explore di Pahang nanti ya?
Alamat: Pesisir Sungai Pahang Berhampiran Taman Esplanade (Kampung Bangau Tanjung)
5. Taman Rekreasi Wadi Al- Amin
Bagi anda yang terasa agak malu untuk bercampur lelaki dan wanita di dalam satu kolam renang, apa kata kalau anda memilih Wadi Al-Amin – Kolam Mandi Tahfiz Berhala Gantang sebagai lokasi bermandi-mandi.
Di sini, kolam renang berasingan disediakan untuk muslim dan muslimat, macam ini barulah selesa nak berseronok berenang bermacam gaya bukan? Walaupun begitu, aurat tetap perlu dijaga kerana di sini tak kisahlah sama ada lelaki atau wanita, anda tidak dibenarkan memakai seluar pendek.
Selain kolam renang dewasa, kolam kanak-kanak turut disediakan. Tanpa mengira usia, semua ahli keluarga dapat menikmati keseronokan bermandi-manda di sini. Bukan itu sahaja, di sebelah kolam renang ini juga terdapat kolam yang disediakan khas untuk anda yang ingin cuba memancing ikan.
Dah penat? Makanan dan minuman ada dijual di sini untuk mengisi kembali tenaga anda yang mungkin masih tidak puas berseronok.
Alamat: : Kolam Al Wadi ( Maahad tahfiz ), Kampung Berhala Gantang Temerloh, 28000
Waktu Operasi: Isnin Tutup (Kecuali Cuti Sekolah/ Cuti Umum) | Selasa – Jumaat (3.00pm – 6.30pm) | Sabtu & Ahad, Cuti Umum (9.00am – 6.30pm) | Cuti Sekolah (10.00am – 6.30pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3
4. Air Terjun Lata Bujang
Selain mendaki Gunung Senyum, ini adalah satu lagi aktiviti lasak yang boleh anda rancang untuk lakukan di Pahang iaitu pendakian untuk menuju ke Air Terjun Lata Bujang.
Nak menuju ke sini anda perlu melalui trek-trek yang mencabar, daripada kawasan yang terlalu curam, yang licin hinggalah kepada laluan-laluan yang dihalangi pokok tumbang. Memang ekstrem juga kalau tak biasa.
Dalam sekitar 2 jam kemudian (masa yang diambil mengikut kemampuan anda) anda akan sampai ke kawasan perkhemahan Lata Bujang sebelum meneruskan perjalanan kurang 1 jam untuk ke kawasan air terjun 4 tingkat.
Walaupun perjalanannya cukup memenatkan, tapi kepuasan yang dapat dinikmati setelah melihat keindahan air terjun ini boleh menghilangkan kepenatan.
Alamat: Air Terjun Lata Bujang, Krau
3. Perkampungan Orang Asli Che’ Wong
Sekali-sekala bercuti, apa salahnya membuka mata melihat kehidupan manusia yang berbeza daripada yang biasa kita tempuhi. Anak-anak juga dapat belajar sesuatu yang baru yang akan membuka minda mereka, macam bagus je bunyinyakan?
Tak perlu ke Sabah atau Sarawak untuk melihat semua ini kerana di Pahang juga anda boleh menemui masyarakat yang jauh dari kemodenan, iaitu di Perkampungan Orang Asli Che’ Wong.
Perkampungan yang terletak di dalam hutan ini memaparkan kehidupan yang berbeza daripada di kota, di mana penduduk di sini hidup bersatu dengan alam semula jadi. Mereka masih meneruskan kehidupan setiap hari dengan menangkap haiwan di dalam hutan dan mencari buah-buahan atau sayuran sendiri untuk mengisi rasa lapar.
Mengenai lokasinya, tidak jauh daripada perkampungan ini adalah pusat konservasi gajah yang diuruskan oleh PERHILITAN.
Alamat: Perkampungan Orang Asli Che’ Wong, Kuala Gandah
2. Krau Wildlife Reserve
Krau Wildlife Reserve merupakan rezab hidupan liar yang terbesar di bahagian Semenanjung Malaysia dengan keluasan 60 349 hektar. Rezab ini telah ditubuhkan sejak zaman pemerintahan Britisih lagi.
Di sini juga ditempatkan sebuah pusat penyelidikan yang terkenal di seluruh dunia dalam pengkajian tentang burung dan kelawar. Selain itu, Krau Wildlife Reserve juga menempatkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan.
Alamat: Bukit Rengit, 28500, Lanchang, Pahang
1. Esplanade Temerloh
Bermacam tarikan yang ada di pesisir Sungai Pahang ni, selain Dataran Patin, tarikan lain yang terletak di kawasan yang sama adalah Esplanade Temerloh (WaterFront). Di sini anda boleh menaiki bot yang disediakan untuk merasai angin sepoi-sepoi bahasa di Sungai Pahang ataupun sekadar bersantai di tepian sungai.
Baru-baru ini, dikatakan Esplanade Temerloh akan dinaik taraf di mana pemasangan pelindung tebing dan laluan pejalan kaki akan dibuat. Semua ini dijangka akan siap pada tahun depan.
Alamat: Pesisir Sungai Pahang Berhampiran Dataran Patin
Jelas terpancar suasana kampung dan kedamaian yang ditawarkan Temerloh. Pekan ini sememangnya padat dengan tarikan alam semula jadi yang meminta diterokai dan keenakan masakan tempoyak yang wajib dinikmati.
Tidak disangkal lagi, Temerloh adalah sebuah destinasi percutian yang dapat memberikan ketenangan penuh santai yang dicari-cari penduduk kota.
Baca: 18 Hotel Bajet Di Kuantan Sesuai Untuk Bajet Traveller
Dapat tak anda rasa jiwa meronta untuk ke Temerloh setelah membaca artikel tempat menarik di Temerloh ini? Kemas pakaian dan campakkan bagpack anda ke dalam kereta untuk sebuah eksplorasi pekan kecil yang pasti menyeronokkan! Selamat bercuti ke Temerloh!