Seiring pembangunan negara kita, ramai diantara kita yang dibesarkan di kota. Tidak ramai yang merasai pengalaman membesar di kawasan desa, dan lebih jarang kita dengar yang membesar dalam kawasan ladang.
Kalau anda ingin mengalami dunia si peladang yang sebenar, datanglah ke The Acre by Farm Fresh. Ladang terbaru di Lembah Klang oleh Farm Fresh ini menawarkan pengalaman dan pendidikan tentang penternakan dan pertanian. Jom, lihat apa yang menarik!
Lokasi
The Acre by Farm Fresh ini terletak di Seri Kembangan. Sebuah ladang yang terletak dalam kawasan bandar. Menarik, kan? Farm Fresh telah ditubuhkan sejak tahun 2009 oleh tuan Loi Tuan Ee. Beliau ni memang seorang peminat agrikultur dan bermula dengan mengimport lembu-lembu Holstein Jersey dan membuka sebuah ladang kecil di Johor.
Produk tenusu beliau kian mendapat sambutan dan sudahpun menjadi jenama tempatan yang masyhur. Kemudian, beliau membuka The Acre, sebuah ladang yang sangat cantik yang boleh anda lawati bersama anak-anak. Ladang yang kelihatan seperti lukisan dari buku kanak-kanak ini memang cantik dan terbahagi kepada beberapa bahagian. Mari kita lihat satu persatu.
Baca: Refarm Kampar | Percutian Dalam Suasana Ladang Di Perak
Aktiviti & Tarikan
The Acre by Farm Fresh telah ditubuhkan bersama pihak UPM bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan. Kini, ia dibuka untuk para pengunjung. Apa yang boleh dibuat di sini?
Ladang Lembu
Tentunya tarikan utama di The Acre ini adalah ladang lembu mereka. Lembu-lembu di sini memang sangat banyak dan ada yang dibiarkan bebas di sekitar ladangnya dan ada yang di simpan di dalam bangsal.
Bagi Kami, yang paling menarik ialah alunan lagu jazz yang dimainkan di ladang ini. Ada teori yang mengatakan bahawa ia membantu dalam proses produksi susu berkualiti. Apa pun, ia tetap memberi suasana yang sangat menarik.
Di ladang lembu ini, anda boleh mempelajari tentang penternakan lembu, pemprosesan susu lembu dan juga mencuba sendiri memerah susu dari lembu. Anda juga boleh bergaul mesra bersama lembu-lembu di sini. Bila lagi nak mendekati haiwan penuh berbakti ini, kan?
Petting zoo
Di sini, mereka akan berikan anda pengalaman ladang yang menyeluruh. Jadi, anda bukan sahaja dapat mengenali lembu dengan lebih rapat.
Anda juga akan dapat mendekati beberapa haiwan lain yang mereka sediakan di petting zoo atau zoo mini mereka. Haiwan-haiwan seperti arnab, burung-burung, ayam, kancil dan lain-lain semuanya ada di sini.
Ikan Laga & Ikan Koi
Di The Acre ini terdapat satu bilik khas di mana mereka mempamerkan ikan laga yang berwarna-warni. Bagi peminat ikan laga, tentu menarik sekali bilik ini. Seperti yang kita tahu, ikan laga tidak boleh berkongsi akuarium, jadi mereka diasingkan setiap satu.
Di pameran ini, anda juga boleh mengenali latar belakang dan cara-cara menjaga ikan laga yang betul. Di ladang ini juga terdapat sebuah kolam ikan koi yang mengandungi ikan-ikan koi pelbagai warna. Duduk bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan kolam ikan ini.
Greenhouse
Seperti yang kami katakan, mereka mahu berikan pengalaman ladang yang menyeluruh, jadi di sini mereka turut menyediakan sebuah greenhouse atau rumah hijau tempat mereka bertani. Tumbuh-tumbuhan yang mereka tanam dan semai di sini menghasilkan sayur sayuran yang sihat dan berkualiti.
Anda boleh pelajari cara-cara bertani dengan betul dan mencuba sendiri. Di ladang ini, mereka turut mempraktikkan amalan pertanian sustainable jadi anda boleh la belajar bagaimana menadah hujan, memproses tahi lembu menjadi baja dengan menggunakan cacing dan banyak lagi.
Kebun Bunga
Di sini, mereka turut menanam dan menjual bunga-bunga yang berwarna-warni. Cantik-cantik belaka. Anda boleh membeli dan membawa pulang tumbuhan dan bunga yang telah mereka semai dan jaga atau dapatkan benih bunga-bunga atau apa-apa tumbuhan yang anda gemari dan tanam di rumah anda.
Restoran
Restoran di The Acre ini cukup unik. Menggunakan konsep farm-to-table atau terus dari ladang, restoran mereka menawarkan pilihan makanan masakan Itali dan Asia.
Boleh cuba sendiri pizza mereka yang semakin popular. Anda juga boleh menikmati aneka jenis minuman yang diperbuat dari bahan-bahan semulajadi dan tentunya, susu segar dari ladang mereka.
Kedai Aiskrim
Pastikan anda turut singgah ke kedai Aiskrim mereka bernama Cream Hauz. Aiskrim mereka diperbuat dari susu segar mereka tau.
Ada 2 jenis aiskrim di sini iaitu aiskrim dan yoghurt. Menjelajah ladang besar ini dalam cuaca panas, tentu aiskrimlah nikmat terbesar.
Kedai Serbaneka
Sebelum meluangkan pulang, pastikan anda lawat kedai serbaneka atau pasar kecil mereka iaitu Fresh Picks yang menawarkan aneka jenis bahan makanan. Ada yang mereka tanam di ladang sendiri dan ada bahan segar dari luar. Bolehlah anda rancang nak masak apa setelah pulang nanti.
Menaiki Traktor
Pernahkah anda menaiki traktor? Mesti tidak, kan? Kalau anda nak tahu mereka turut menawarkan pengalaman unik menjelajah dan meneroka ladang ini dengan menaiki traktor. Barulah rasa seperti peladang sebenar.
Harga Tiket & Waktu Operasi The Acre By Farm Fresh
Waktu operasi The Acre adalah seperti berikut:
Isnin | Tutup |
Selasa-Jumaat | 10am-7pm |
Sabtu-Ahad | 10am-10pm |
Buat masa sekarang, tiket yang mereka tawarkan adalah dalam bentuk pre-launch. Jadi, harganya sangat berbaloi. Sekiranya harga mereka berubah selepas pelancaran, kami tentu akan umumkan.
Harga tiket Hari biasa | |
Dewasa (13 tahun ke atas) |
RM10 |
Kanak-kanak (12 tahun ke bawah) |
RM5 |
Kanak-kanak (6 tahun ke bawah) |
Percuma |
Harga tiket Hari cuti | |
Dewasa (13 tahun ke atas) |
RM15 |
Kanak-kanak (12 tahun ke bawah) |
RM10 |
Kanak-kanak (6 tahun ke bawah) |
Percuma |
Baiklah, bagaimana? Sudah bersedia untuk menjadi peladang? Anda bolehlah buat kejutan untuk si kecil nanti ketika melawat ladang The Acre by Farm Fresh ini. Tentu mereka teruja sekali. Bolehlah nyanyi lagu “Old McDonald Had A Farm” beramai-ramai nanti. Jangan lupa untuk dapatkan maklumat lanjut dan promosi terkini di laman media sosial mereka.
Media Sosial: Facebook | Instagram | Laman Web
Alamat: Jalan Maklumat, 43400 Seri Kembangan, Selangor