Bagaimana anda boleh memulakan persiapan melancong ala minimalis? Di sini, disediakan tips dan trik menarik untuk merancang percutian yang mengujakan tanpa membawa banyak barang dan cara terbaik untuk memilih produk pelancongan serba boleh.

Pasti anda pernah menyaksikan situasi di lapangan terbang di mana kebanyakan mereka yang ingin melancong membawa bersama barangan berlebihan, tidak kiralah sama ada terlebih bagasi, beg membawa cenderamata mahupun barangan ‘shopping’ yang kadang-kala jumlahnya tidak masuk akal? Atau, adakah pelancong seumpama itu merupakan diri anda sendiri?

Cara Travel Minimalist
Sumber: @anete_lusina

Sememangnya betul, apabila kita menyediakan keperluan untuk melancong, terutama orang perempuan, kita akan sentiasa merancang untuk bersedia menghadapi pelbagai jenis situasi.

Kalau boleh, semua perkakas di dalam rumah ingin dibawa bersama. Dari sekecil-kecil benda kepada perkara utama semuanya berlegar-legar di dalam fikiran. Contohnya, bagaimana kalau kita tidak jumpa syampu atau sabun mandi mahupun snek pilihan di negara tersebut? Itu yang akhirnya bagasi kita menjadi terlebih muatan!

Sejujurnya, ketika melancong anda tidak akan pernah lari daripada menghadapi sebarang masalah sama ada kecil mahupun besar. Pasti akan ada benda yang tak kena! Namun, itu semua bukan bermakna percutian yang dirancang tidak sempurna, tetapi pilihan untuk melancong secara minimalis akan menjadikan anda seorang yang jauh lebih tenang menghadapi pelbagai jenis situasi dan anda akan mendapat kebebasan untuk memilih secara tidak terhad.

1. Pemilihan pakaian yang tepat.

Tips pertama ialah memilih tema pilihan pakaian yang sesuai dalam pelbagai jenis situasi, mengikut destinasi yang telah dirancang. Berdasarkan pengalaman sendiri, kebanyakan daripada kita sebenarnya hanya memakai 20% daripada keseluruhan pakaian yang kita ada, jadi untuk melancong adalah lebih baik untuk membawa pakaian yang selesa dan ‘fit in’.

Anda sentiasa boleh basuh pakaian yang dibawa dan ulang untuk memakainya ketika melancong. Dengan cara ini, anda boleh menjadi lebih kreatif di dalam pemilihan ‘OOTD’. Contohnya, seluar hitam atau jeans boleh digayakan dalam apa juga keadaan dan sesuai dengan semua baju samada blaus atau T-shirt. Untuk pemilihan ‘dress’, boleh juga bawa satu atau dua helai. Pastinya anda akan tampak bergaya tetapi ringkas.

2. Memilih barangan melancong pelbagai guna, seperti kasut yang sesuai untuk bersukan dan bersiar-siar.

Terdapat pelbagai cara untuk anda memilih kasut untuk dibawa melancong. Anda boleh memakai kasut yang ‘versatile’ dan sesuai untuk dipadankan ke mana-mana acara atau utamakan keperluan dengan memilih kasut yang mempunyai fungsi yang spesifik.

Bercerita mengenai pengalaman sendiri, maksima dua atau tiga pasang kasut sudah memadai untuk dibawa. Sepasang kasut selesa tetapi ‘versatile’ jenama Birkenstocks, kasut untuk aktiviti riadah dan sukan jenama New Balance, kasut ringkas jenama Flip Flops untuk keperluan pantai dan aktiviti air dan kasut untuk bersiar-siar (flat decent shoes) yang boleh terus dipakai semasa bertolak ke lapangan terbang. Dengan cara ini, anda boleh menjimatkan lebih banyak ruang untuk bagasi anda.

3. Hanya membeli barangan keperluan dan mempunyai pelbagai fungsi sebagai cenderamata.

Untuk melancong secara minimalis, cenderamata adalah barangan yang tidak perlu dibeli terutamanya cenderamata yang hanya sebagai hiasan semata-mata. Pada zaman serba canggih ini, setiap memori boleh diabadikan dengan menggunakan pelbagai jenis gadjet seperti telefon bimbit dan kamera digital apatah lagi dengan adanya aplikasi seperti Google photos atau photo apps.

Kaedah ini tentunya membolehkan anda menyimpan kesemua gambar kenangan bersama dengan yang tersayang dan tempat-tempat menarik yang dilawati ketika melancong. Sebagai kenang-kenangan, ketika di Vietnam, kami membeli barangan dan perkakas dapur seperti bekas makanan dan minuman berjenama Tupperwares, senduk kayu unik dan lima set penyepit makanan sebagai kit keperluan dan tentunya mempunyai ciri budaya masyarakat dan simbol negara Vietnam sebagai memori.

Ini sungguh berguna kerana apabila kami pulang, perkakas tersebut masih boleh diguna pakai dan tidak hanya disimpan sebagai koleksi antik semata-mata.

4. Review kembali bagasi anda selepas seminggu.

Ini tips berguna buat mereka yang melancong dalam jangka masa yang lama. Selepas seminggu, adalah baik sekiranya anda mengemas semula bagasi yang telah dipek dan melihat kembali barangan yang dibawa atau dibeli sepanjang tempoh anda di negara orang.

Pasti ada terselit satu atau dua barangan yang akhirnya anda sedar, anda tidak pernah memakainya dan tidak memerlukannya. Jadi, bolehlah anda dermakan saja di hotel penginapan atau pada orang tempatan yang sesuai dan lebih memerlukannya.

5. Jimat ruang bagasi dengan tidak membawa snek lokal.

Sudah tentu kita akan rindu dengan makanan lokal di tempat sendiri setelah sekian lama melancong di negara orang. Pengalaman saya ketika melancong ke Eropah, kami membawa pelbagai jenis snek atau makanan lokal sebagai persediaan. Semua ini atas dasar keraguan yang makanan di sana tentu tidak kena dengan selera kami.

Akhirnya, setelah sekian lama, kami sedar bahawa persoalan seumpama itu boleh diatasi dan bagasi kami tidak dipenuhi lagi dengan snek lokal tetapi kami lebih memilih untuk merasai sendiri pengalaman mencari dan makan makanan tempatan. Ternyata, banyak pilihan yang menyelerakan dan tidak mengecewakan. Anda cuma perlu bijak saja dalam mencari snek yang sesuai dengan selera anda.

6. Set minda sebagai minimalis dan fokus untuk memaksimakan pengalaman melancong.

Dalam cara yang sama mengemas barangan secara berlebihan dan menjadi seorang ‘perfectionist’ dan ‘in control’ membebankan anda, begitu juga dengan ‘over-planning’ atau sikap terlalu bersedia.

Set dalam minda yang setiap yang dirancang pasti akan ada kekurangannya dan penting untuk kita menjadi lebih fleksibel sekiranya keadaan memerlukan terutama ketika dalam waktu bercuti. Bukan untuk menggalakkan anda menjadi seorang yang tidak bertanggungjawab dan ambil mudah, tetapi belajar untuk pandai mengutamakan keperluan mengikut keadaan.

Bersedia sepenuhnya terutama dari segi tiket penerbangan, waktu dan tempat penginapan. Selebihnya, rancang mengikut situasi dan pastinya ini akan menjadikan anda lebih tenang. Apa yang penting, masa berharga yang diluangkan bersama keluarga mahupun diri sendiri. So, enjoy!

7. Fokus dengan jadual lawatan yang telah dibuat.

Melancong secara minimalis juga bermaksud anda perlu meminimakan kehendak lawatan. Sudah tentu melawat negara orang pastinya cukup mengujakan dan kita akan merasa perlu untuk merebut segala peluang yang ada untuk melakukan setiap aktiviti dan berjalan kesemua tempat menarik yang ditawarkan.

Cukup tidak realisitik! Sebaiknya, rancang lawatan anda dengan memfokuskan kepada tempat-tempat yang berdekatan dan tidak memerlukan tempoh perjalanan yang lama. Dengan cara ini, anda akan lebih banyak belajar dan merasai pengalaman secara maksima daripada menghabiskan waktu di dalam bas atau tren untuk sampai ke destinasi.

Diharapkan tips di atas boleh digunakan sebaiknya terutama buat mereka yang menjadikan melancong sebagai hobi. Sememangnya melancong ala minimalis mempunyai banyak kelebihan dan dapat memaksimakan pengalaman percutian anda dan dalam masa yang sama menjimatkan waktu dan wang.

4/5 - (1 vote)