Khas Buat Ibubapa: 8 Tips Penerbangan Jarak Jauh Bersama Anak Kecil

Apabila tiba musim cuti akhir tahun, kebanyakan ibubapa sibuk untuk merancang percutian bersama keluarga. Namun, memilih destinasi jarak jauh merupakan antara perkara yang perlu dipertimbangkan, terutama buat mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Percutian ke destinasi yang jauh dari negara sendiri sememangnya sangat mengujakan tetapi tempoh penerbangan  menjadikan ianya sesuatu yang berisiko. Antara negara yang sering menjadi pilihan buat percutian keluarga, tak lain tak bukan ialah Jepun dan Australia yang sekurang-kurangnya akan mengambil masa 7 jam untuk sampai.

Kajian yang dilakukan oleh Emirates yang diselaraskan oleh YouGov mendapati kanak-kanak dibawah umur 16 tahun di Singapura hanya mampu bertahan di dalam purata masa 90 minit sahaja sebelum mereka sudah mula berasa bosan.

Naik-Flight-Dengan-Bayi
Sumber: Steven Thompson

Jenis penerbangan jarak jauh seperti ini yang mengambil masa kira-kira 6 hingga 12 jam menyukarkan keadaan ibubapa untuk menanganinya. Bayangkan situasi membawa anak-anak kecil yang tidak mampu untuk bertahan meskipun selama dua jam di dalam penerbangan!

Namun, ibubapa jangan bimbang, sama ada ini merupakan kali pertama anda merancang untuk mengambil penerbangan jarak jauh bersama anak-anak anda ataupun sudah beberapa kali melalui situasi seumpama ini, kami sediakan beberapa tips yang cukup berguna buat rujukan anda:

1. Tempah tiket penerbangan untuk semalaman.

Ini salah satu tips yang cukup berguna terutama buat ibubapa yang sering kesuntukan masa tetapi tetap juga ingin merebut peluang ini untuk mengeratkan hubungan bersama anak-anak. Cara ini dapat menjimatkan lebih banyak waktu malahan membolehkan anda mendapat penginapan semalaman di hotel.

Penerbangan seumpama ini juga baik untuk anak-anak anda. Ini kerana, semasa penerbangan, ada masanya lampu di dalam kapal terbang akan dimalapkan bagi tujuan keselamatan. Keadaan ini cukup selesa bagi anda dan anak-anak untuk beristirehat dan mendapat tidur yang sepatutnya.

2. Sediakan pakaian yang selesa.

Untuk mendapat tidur yang nyenyak, pemilihan pakaian juga amat penting terutamanya di dalam tempat duduk yang ruangnya agak terhad. Anak-anak mungkin tiada masalah untuk mengenakan baju tidur untuk ke lapangan terbang, tetapi bukan anda. Oleh itu, tips kedua ialah untuk membawa set pakaian tidur yang mempunyai fabrik lembut dan sesuai sebagai bekalan di dalam tempoh penerbangan.

Bukan murah untuk menempah penerbangan kelas pertama yang sememangnya menjanjikan keselesaan maksima buat keluarga, tapi sekurang-kurangnya anda sendiri boleh mengolah situasi anda untuk keselesaan bersama anak-anak. 2 in 1! Selesa dan menjimatkan! Itu yang lebih penting!

3. Luangkan lebih banyak masa di lapangan terbang!

Kita sememangnya diminta untuk daftar-masuk sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan. Namun, majoriti daripada kita ambil mudah tentang prosedur ini. Untuk apa berlama-lama di lapangan terbang, bukan? Namun, jangan tidak tahu ye, tips ini sangat berguna terutama buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Anda sangat digalakkan untuk tiba dan “check-in” di kaunter pendaftaran lebih awal. Ini kerana, selepas urusan di kaunter selesai, disinilah terletaknya fasiliti menarik bagi anak-anak anda. Kebanyakan lapangan terbang akan menyediakan ruang permainan yang dilengkapi dengan televisyen memaparkan rancangan kanak-kanak yang menarik dan kemudahan lain seperti ruang selesa bagi bayi yang masih kecil untuk menukar lampin dan menyusu.

Inilah masanya untuk membiarkan anak-anak anda bermain sehingga mereka kepenatan kerana ruangnya menyeronokkan dan selamat. Apabila sudah puas bermain, masa penerbangan akan tentunya akan dihabiskan dengan tidur dan istirehat.

Tips Naik Kapal Terbang Dengan Baby
Sumber: Paul Hanaoka

4. Hiburkan anak-anak anda.

Hiburan seperti lagu, filem dan kartun sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kanak-kanak.

Oleh itu, semasa penerbangan, pastikan anak-anak anda dihiburkan secukupnya bukan sahaja dengan pelbagai jenis rancangan kartun, lagu atau filem sesuai untuk tontonan , tetapi juga dengan aplikasi pembelajaran yang sememangnya mudah didapati. Jangan bimbang, kebanyakan syarikat penerbangan pastinya akan menyediakan hiburan seperti ini bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi untuk tontonan anda sebagai ibubapa juga.

Namun, kalau ini tidak memadai, anda boleh bawa sendiri gadjet yang dilengkapi dengan pelbagai rancangan kegemaran mereka.Jangan lupa untuk sediakan juga ‘headphone’ yang selesa.

5. Pastikan anak-anak anda makan secukupnya!

Bukan sahaja kita sebagai ibu bapa pentingkan aspek pemakanan ketika penerbangan, salah satu cara untuk menggembirakan kanak-kanak sudah tentunya dengan mengisi perut mereka dengan makanan yang menarik tetapi berkhasiat.

Kalau mereka sibuk mengunyah apatah lagi ketika sedang leka menonton rancangan kegemaran mereka, tentunya mereka tidak akan menggangu ketenteram anda dan juga penumpang yang lain.

Anda boleh menempah hidangan bersesuaian untuk kanak-kanak semasa membeli tiket penerbangan. Syarikat penerbangan sememangnya mengambil berat aspek ini dengan menyediakan kepada ibu bapa pilihan hidangan kanak-kanak yang digubah kepada set corak kartun kegemaran menggunanakan warna yang cukup menarik. Malah, ada sesetengahnya menawarkan snek hidangan sampingan selain makanan utama. Jadi, jangan lupa terokai pilihan dan servis yang ditawarkan!

6. Pek permainan kegemaran anak anda.

Kebanyakan penerbangan turut menyediakan pelbagai jenis permainan dan aktiviti bagi kanak-kanak berumur 12 kebawah. Contohnya, di semua penerbangan Emirates, kanak-kanak di bawah umur 2 tahun boleh mendapatkan permainan dalam pelbagai bentuk untuk menemani mereka. Buat yang lain, ibu bapa boleh minta untuk mendapatkan “Lonely Planet’ kit yang dilengkapi pelbagai buku pembelajaran dan aktiviti kraf bagi mengisi masa mereka. Namun, persediaan ibu bapa juga penting.

Sekiranya kemudahan seperti ini tidak ditawarkan oleh syarikat penerbangan, pek permainan kegemaran dan gadjet yang pelbagai buat hiburan anak-anak anda semasa penerbangan. Kanak-kanak kebiasaannya cepat bosan bukan? Jadi elok kalau kita mengambil inisiatif yang lebih supaya keselesaan mereka dan penumpang lain juga terjamin.

Tips lain buat ibu bapa yang sering melakukan penerbangan jarak jauh bersama anak-anak ialah untuk mendapatkan tempat tidur mudah alih sesuai untuk dibawa sewaktu penerbangan. Banyak boleh didapati sama ada secara online atau di kedai fizikal di lapangan terbang. Ini merupakan salah satu cara untuk membolehkan anak anda duduk ataupun tidur dalam keadaan yang lebih selesa dan tenang jadi mereka tidak akan meragam. Namun jangan lupa untuk periksa dengan syarikat penerbangan sama ada alatan ini adalah dibenarkan atau tidak.

7. Ambil masa untuk berjalan di dalam kapal terbang.

Bunyinya seperti pelik tetapi ini merupakan salah satu tips yang cukup berguna untuk anda mengisi masa anak-anak sewaktu penerbangan. Kanak-kanak sememangnya sukar untuk duduk dan fokus di kedudukan yang sama dalam jangka masa yang panjang. Usahkan mereka, orang dewasa juga tentu merasa bosan dan letih bukan? Oleh itu, apa kata bawa bersama anak anda ke tandas pada waktu berkala.

Ini dapat dijadikan alasan untuk anda bergerak sebentar dan dalam masa yang sama memastikan anak anda tidak sering bising untuk ke tandas. Namun, carilah masa yang sesuai, contohnya setelah hidangan siap disediakan bagi semua penumpang untuk tidak menganggu pramugari yang bertugas. Sekiranya tandas penuh, ambil masa untuk berjalan di sekeliling kapal terbang sebentar untuk bukan sahaja bagi regangan badan tetapi juga untuk memastikan anak anda berasa selesa dan gembira.

8. Pilih syarikat penerbangan yang “mesra kanak-kanak”

Tips terakhir ialah untuk menjadikan syarikat penerbangan yang “mesra kanak-kanak” atau dalam erti kata lain menawarkan servis khas buat kemudahan anda dan anak-anak anda sebagai pilihan utama ketika menempah tiket penerbangan jarak jauh. Setiap syarikat mempunyai polisi yang berbeza buat kanak-kanak dari segi diskaun harga, servis dan sebagainya.

Contohnya, Emirates setakat ini merupakan syarikat penerbangan yang paling disyorkan kerana servis mereka termasuk menyediakan lebih 150 rancangan hiburan menarik khusus buat kanak-kanak, dilengkapi dengan pelbagai pilihan snek buat menemani mereka sepanjang tontonan.

Malah, terdapat juga permainan dan aktiviti kit yang mementingkan aspek belajar sambil berhibur. Bukan itu sahaja, Emirates menawarkan keutamaan penerbangan kepada ibu bapa yang melancong bersama anak-anak kecil dan bagi mereka yang membawa bayi, akan mendapat tawaran 10kg percuma bagasi tambahan. Tiba sahaja di Dubai misalnya, ibu bapa akan disediakan “strollers” bagi memudahkan mereka untuk menyelesaikan urusan seterusnya di lapangan terbang.

Baca: Merancang Percutian Secara Solo: Tips Istimewa Buat Traveller Wanita

Diharapkan dengan tips yang dikongsi dapat memudahkan urusan ibubapa untuk melancong bersama anak-anak terutama yang masih kecil. Apa yang lebih penting ialah dengan mengikuti tips yang disediakan, penerbangan jarak jauh anda bersama anak-anak bertambah selesa dan bukan penghalang kepada keseronokan sebenar apabila sampai ke destinasi yang hendak dituju. Selamat melancong!

5/5 - (1 vote)