Saat-saat istimewa selalunya memerlukan latar Belakang pemandangan yang juga istimewa. Pemandangan yang cantik selalunya akan membawa ketenangan jiwa.
Tak kira jika pemandangan itu berunsurkan alam semulajadi ataupun kesibukan dan cahaya lampu kotaraya. Apabila pemandangan kita luas, jiwa kita serta merta tenang.
Bagi anda yang terasa tertekan dengan kehidupan harian dan kesibukan ibu kota, terdapat satu spot yang boleh kami cadangkan untuk lepaskan tekanan itu, View Point Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Tempat riadah dan berkelah yang semakin popular ini memberikan anda pemandangan panoramik Bandaraya Kuala Lumpur dari Bukit Antarabangsa, Ampang.
Tempat ini juga menjadi destinasi tumpuan sahabat cycling kerana jalan yang berbukit memberi mereka sediit cabaran dan kerana kereta tidak dibenarkan mengguna jalan ini, ia juga lebih selamat untuk berbasikal berbanding jalan raya biasa.
Pemandangan di sini memang sangat menakjubkan tak kira pada waktu siang ataupun malam. Namun, tentunya pada waktu malam, lampu-lampu sekitar kota digandingkan dengan kedinginan awan malam mampu membuatkan kita semua terpesona.
Malah, dari Bukit Antarabangsa ini, anda boleh melihat sejauh Genting Highlands jika tidak terselindung di balik awan. Lampu-lampu dari KLCC juga terkelip-kelip dan nampak terang dari sini.
Untuk ke sini, anda boleh mengikut Jalan Bukit Antarabangsa melepasi Masjid Bukit Antarabangsa. Atau klik di sini untuk ke sana menggunakan waze. Jadi, untuk anda yang sedang merancang detail istimewa atau ingin bersantai melepaskan tekanan, datanglah ke Bukit Antarabangsa View Point, Kuala Lumpur.