Sekiranya anda berpeluang untuk ke Ulu Yam, Selangor atau berada di sekitar itu secara kebetulan, kami cadangkan anda mengambil masa untuk singgah ke World of Phalaenopsis. Sebuah taman bunga yang cukup menarik. Pasti anda dan keluarga atau teman-teman terpukau.
Terletak di Kampung Sungai Kamin, World of Phalaenopsis ini merupakan sebuah taman atau kebun bunga Orkid. Namun, di sini juga terdapat pelbagai bunga-bunga dan tumbuhan hijau yang lain.
Jika anda peminat bunga atau tumbuhan, di sinilah anda boleh dapatkan yang terbaik. Orkid yang ditumbuhkan di sini datang dalam pelbagai jenis dan warna.
Namun, antara tarikan yang utama di sini ialah sebuah kafe yang terletak di dalam taman bunga ini. Kafe ini seolah-olah tersembunyi dan merupakan kejutan indah buat pengunjung.
Kafe yang dinamakan sebagai Florescence Cafe ini dikelilingi dengan kehijauan dan bersebelahan dengan sebuah tasik. Malah, pada sudut yang berbeza, anda boleh menjamu selera dengan pemandangan indah yang juga berbeza. Terpulanglah kepada anda inginkan pemandangan yang bagaimana.
Kafe ini menawarkan pelbagai hidangan dari makanan snek yang ringkas hingga ke makanan kegemaran Malaysia. Anda boleh menikmati nasi lemak atau mee hoon bersama ayam rendang, hidangan klasik rakyat Malaysia yang tentu digemari.
Makanan yang lebih ringan seperti roti bakar, waffle bersama aiskrim dan seleksi kek yang berbagai boleh juga dinikmati di samping pilihan kopi atau teh anda. Mereka menawarkan pilihan kopi dan teh yang banyak dan boleh dinikmati dalam bentuk panas ataupun sejuk.
Selain dari pemandangan indah, kafe ini turut dihiasi pokok-pokok segar yang menjadikan suasananya cukup nyaman. Jika anda datang secara berkumpulan dan inginkan ruang makan yang lebih private, mereka juga menyediakan ruang khas private dining.
Sebuah pusat agro-tourism yang lengkap dengan kebun tumbuhan, pelajaran menjaga tumbuhan dan Orkid, kedai untuk pembelian tumbuhan dan juga ruang makan dikelilingi keindahan, World of Phalaenopsis ini memang jauh melepasi ekspektasi para pengunjung.
Baca: Refarm Kampar | Percutian Dalam Suasana Ladang Di Perak
Jadi, luangkan masa untuk singgah ke sini. Setelah itu, anda boleh kembali ke Kota Kuala Lumpur atau ambil lagi 50 minit perjalanan untuk sampai ke Genting Highlands.
Media Sosial: Facebook | Instagram | Laman Web
Alamat: Lot 1017, Kampung Sungai Kamin, Ulu Yam, Batang Kali, Selangor
Waktu Operasi: 9am-5pm (setiap hari)