Melaka Bandar bersejarah memang cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan. Ramai yang akan bercuti di sini atau rancang percutian ke sini terutama sekali ketika musim cuti sekolah.
Memang macam-macam tarikan yang ada di Melaka yang cukup family friendly. Jadi, mari kami kongsikan satu tempat yang perlu anda kunjungi ketika bercuti ke Melaka bersama keluarga iaitu Zoo Melaka.
Buat pengetahuan anda, Zoo Melaka ini bukan sekadar taman haiwan. Nak tahu lebih lanjut, Mari kami berikan sedikit informasi.
Lokasi
Zoo Melaka terletak di Ayer Keroh Melaka. Kiranya memang di kawasan utama Melaka dan berdekatan dengan tempat-tempat pelancongan lain. Berkeluasan 54 ekar yang menempatkan lebih 1200 ekor haiwan, termasuk 215 spesis burung.
Zoo ini sebenarnya sudah lama beroperasi. Namun, ia sentiasa dibaik pulih dan ditambah bermacam-macam tarikan. Buat pengetahuan anda, Zoo Melaka juga menawarkan Night Safari. Jadi anda dan keluarga boleh menikmati keadaan zoo ini di waktu malam juga.
Tarikan
Zoo
Zoo Melaka ini memang luas dan besar. Malah, mereka menyediakan perkhidmatan tram untuk memudahkan anda bergerak jika penat. Di sini terdapat pelbagai jenis haiwan yang boleh anda saksikan. Malah, ada beberapa yang hanya ada di Zoo Melaka ini sahaja.
Haiwan-haiwan seperti zirafah, impala dan kuda belang memang terasa seperti anda berada di Afrika. Haiwan-haiwan di sini bebas bergerak di kawasan yang lapang. Dijaga dengan cukup rapi, haiwan-haiwan di sini gemuk-gemuk belaka.
Kompleks Harimau
Zoo Melaka memang cukup handal menjaga haiwan-haiwannya. Malah, mereka turut menjaga dan memelihara harimau. Terdapat 2 hingga 3 spesis harimau yang dijaga dengan jayanya di sini termasuk harimau malaya yang hampir pupus dan harimau Bintang.
Mereka juga ada menjaga seekor harimau putih. Sudah lebih 40 ekor anak harimau dilahirkan dan dijaga di sini. Malah, ada yang telah dihantar ke luar negara seperti harimau bernama Mek yang telah dihantar ke San Diego Zoo.
Tunggang Kuda & Gajah
Bagi golongan yang sudah berkeluarga, tarikan ini mungkin antara yang digemari, terutama sekali oleh anak-anak.
Tarikan ini disediakan pada hujung minggu, anda dan keluarga dapat mencuba menunggang kuda atau gajah dan dibawa berjalan di sekeliling kawasan luas. Memang seronok.
Night Safari
Night Safari yang diinspirasikan dari Zoo Singapura ini menawarkan pengalaman hebat dan keindahan zoo di malam hari. Memang cukup berbaloi sebenarnya untuk cuba kedua-dua pengalaman, siang dan malam. Barulah anda boleh melihat beberapa haiwan dalam elemen tersendiri.
Haiwan seperti harimau adalah nocturnal atau berjaga pada waktu malam. Jadi, di malam harilah anda dapat melihat mereka beraksi. Ekspedisi yang bermula pada 8pm ini hanya ditawarkan pada hari Jumaat, Sabtu dan musim cuti sekolah sahaja.
Dinosaur World
Baru sahaja dibuka pada tahun 2021, Dinosaur World ini merupakan tarikan terkini dari Zoo Melaka ini. Berkeluasan 5 ekar, dunia fantasi dinosaur ini merumahkan sehingga 100 ekor dinosaur animatronic. Ada yang boleh bergerak tau.
Yang paling menarik ialah, dinosaur-dinosaur ini dibina mengikut saiz dan skala sebenar haiwan prasejarah itu. Jadi anda boleh bayangkan sendiri betapa megah dan menggerunkan haiwan-haiwan ini.
Bukan sahaja bergambar, anda dan keluarga juga boleh mempelajari serba sedikit tentang dinosaur-dinosaur ini. Kalau anak anda memang sukakan dinosaur, memang lama sedikitlah di sini.
Kemudahan
Kalau tempat-tempat pelancongan seperti ini tentulah is cukup lengkap dengan kemudahan dan fasiliti. Fasiliti seperti tandas awam, surau, tempat letak kereta dan sebagainya sudah pasti ada.
Baca: Taman Buaya Melaka | Lebih 100 Ekor Buaya Menanti Anda
Mereka turut menawarkan tempat-tempat duduk, gerai-gerai menjual snek, minuman dan makanan, dan juga perkhidmatan tram untuk memudahkan anda bergerak ke suatu bahagian ke bahagian yang lain.
Harga Tiket Zoo Melaka
Harga Tiket Walk-In | Dewasa | Kanak-kanak | Warga Emas |
Zoo Melaka | |||
Warganegara | RM38 | RM31 | RM31 |
Pelancong Asing | RM81 | RM59 | RM81 |
Night Safari | |||
Warganegara | RM38 | RM31 | RM31 |
Pelancong Asing | RM81 | RM59 | RM81 |
Itu dia serba sedikit tentang Zoo Melaka & Night Safari. Memang tidak kurang hebat ya zoo di Malaysia ini. Malah, seperti yang Kami katakan, Zoo Melaka bukan sekadar Taman Haiwan. Jadi pastikan anda berkunjung ke sini beramai-ramai apabila bercuti ke Melaka nanti. Selamat bercuti!
No. Telefon: 06-232 3900
Medial Sosial: Facebook | Instagram | Laman Web
Alamat: Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, 75450 Ayer Keroh, Melaka