35 Tempat Makan Menarik Di Kuala Terengganu (2023) | Destinasi Paling Best Untuk Foodie

Negeri Terengganu, bukan sahaja kaya dengan budaya, tapi juga dengan pelbagai jenis hidangan yang tersendiri. Dari keropok lekor, nasi dagang, ikan singgang, laksam, sata dan sebagainya, kepelbagaian makanan aslinya ini menjadikan Terengganu unik daripada negeri yang lain. Sungguh banyak masakan tradisional yang tidak lupuk dek zaman yang kesedapannya dapat menambat jiwa sesiapa sahaja yang mencuba.

Walaupun hidangan tradisional adalah daya penarik utamanya, sajian lain seperti masakan barat, Thailand dan lain-lain juga tidak sukar untuk ditemui di negeri ini. Tak percaya? Datang sahaja ke ibu negerinya, Kuala Terengganu, untuk kepuasan sebenar berjalan-jalan cari makan di negeri ini.

Dalam artikel kali ini kami senaraikan 35 tempat makan menarik di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya yang wajib anda singgah semasa berada di sini nanti.


01. Warung Pok Nong (Ikan Celup Tepung-ICT)

Warung Pok Nong (Ikan Celup Tepung ICT) - Gambar Restoran
Sumber: Nizam Mokhtar

Bila sampai di Terengganu, tak sah rasanya kalau tak singgah makan ikan celup tepung (ICT). Kalau lalu di sekitar pantai Terengganu memang tak susah nak jumpa kedai yang jual hidangan ini. Namun begitu, dalam banyak-banyak gerai yang ada, salah satu yang menjadi buah mulut orang ramai adalah ICT di Warung Pok Nong.

Betapa sedapnya kerangupan makanan laut yang diselaputi tepung dan juga sosnya, sampaikan ia turut dilawati orang-orang kenamaan. Ikan yang digunakan juga sungguh segar, jelas terasa kemanisan isinya.

Warung Pok Nong (Ikan Celup Tepung ICT) - Gambar Makanan
Sumber: Warung Pok Nong

Untuk membasahkan tekak, warung ini turut menjual menu seperti ais jagung, air kelapa muda dan juga ais kacang. Memang asyik untuk dinikmati sambil-sambil melihat keindahan pantai.

Lokasinya, adalah di tepian Pantai Mengabang Telipot yang terletak bersebelah Pantai Teluk Ketapang. Bercadang nak datang ke sini? Sekadar peringatan, sekiranya anda datang pada hari Jumaat atau Sabtu, berkemungkinan besar anda perlu beratur panjang. Tapi apa salahnya untuk dapatkan ICT tersedap di dunia ni kan? Harganya pun sangat berpatutan.

Alamat: Jalan Pantai, A1693, T145, Kampung Teliput, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (3.30 pm – 8.00 pm) | Selasa (Tutup)


02. Yogulp Cafe

Yogulp Cafe Kuala Terengganu - Frozen yogurt - Gambar depan kedai
Sumber: @Yogulp.Cafe

Bagi anda yang mencari alternatif sihat untuk dessert kegemaran ramai, aiskrim, boleh cuba frozen yoghurt.

Dekat Kuala Terengganu ni, ada satu jenama frozen yoghurt yang sudah mencuri hati penduduk setempat. Memperkenalkan, Yogulp Cafe. Dengan tema warna ungu dan kuning, keceriaan memang terserlah. Dari jauh anda boleh nampak dah Yogulp Cafe ni.

Yogulp Cafe Kuala Terengganu - Frozen yogurt - gambar dalam kedai
Sumber: @Yogulp.Cafe

Di Kuala Terengganu ada 3 cawangan dah. Jenama tempatan ini memang hebat. Dahla frozen yoghurt dia sedap, mereka sediakan pulak pilihan topping dan sos yang banyak, pilihlah sesuka hati anda.

Yogulp Kuala Terengganu - Gambar Biscoff Yogurt dan Fruit Loops Yogurt
Sumber: Amierul Asyraf, Nurul Athirah

Topping seperti buah-buahan, popcorn l, biskut dan macam-macam lagi boleh disesuaikan dengan sos-sos seperti chocolate, strawberry dan lain-lain. Atau anda boleh cuba mana-mana resepi mereka, yang teristimewa ialah lotus biscoff.

Padanan rasa masam yoghurt dan kemanisan sos biscoff tu memang sedap. Sebab tu la ia menjadi kegemaran ramai. Anda juga boleh memilih antara frozen yoghurt, yoghurt smoothie atau yoghurt drink. Memang puas hati, tak rindu makan aiskrim dah!

Media Sosial: Facebook | Instagram

No. Telefon: 013-655 1566

Email: zedzaed@gmail.com

Alamat Cawangan:

  • Gong Datok (Berhampiran Unisza), LOT 7003-B, Jalan Mengabang Telipod Kg, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu
  • Tok Lam (Berhadapan dataran Shahbandar)
  • Hiliran (Foodcourt sebelah Giant KT)

Waktu Operasi: 11am-10pm

Whatsapp

03. Nasi Dagang Atas Tol

Nasi Dagang Atas Tol - Gambar Restoran Waktu Malam
Sumber: thereal_azri

Nasi Dagang Tepi Kubur Kg Atas Tol adalah port breakfast yang cukup ‘panas’ di Kuala Terengganu. Nasi dagangnya yang berlemak dihidangkan bersama dengan gulai ikan tongkol yang agak manis berserta cili yang pedas. Gabungan yang sukar untuk ditepis sebaik terhidu aromanya.

Pekena pula dengan teh beng madu (teh ais) ataupun teh yang diberikan nama specialnya Teh Beng Ombak Rindu, dengan buih yang mencurah-curah seperti lava, bertambah naik selera.

Nasi Dagang Tepi Kubur Kg Atas Tol - Gambar Makanan
Sumber: Nasi dagang atas tol

Kalau anda nak tahu, selain di Kampung Atas Tol, mereka turut memiliki cawangan di beberapa kawasan yang lain iaitu Losong, Kubang Badak dan Padang Negara.

Alamat: No. 1318, T101, 20050 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin & Selasa (6.30 am – 11.30 am) | Isnin , Selasa (Tutup)


04. Restoran Mat Binjai

Restoran Mat Binjai - Gambar Restoran
Sumber: Restoran Mat Binjai

Kelaparan yang tak terhingga selepas puas berjalan makan angin? Mai singgah ke Restoran Mat Binjai yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman ni. Di sini, aneka lauk menanti untuk dipilih.

Restoran Mat Binjai - Gambar Makanan
Sumber: Restoran Mat Binjai

Mengentengahkan konsep nasi padang dengan hidangan masakan tradisional Terengganu, anda boleh memilih untuk menikmati nasi putih dengan lauk-pauk seperti ikan gulai lemak, ikan keli sambal dan banyak lagi. Hidangan pelengkap yang lain seperti budu, sambal belacan, ulam-ulaman juga disediakan.

Alamat: 20000, 71, Jalan Sultan Sulaiman, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.00 am ­– 6.00 pm) | Jumaat (Tutup)


05. Restoran Lempeng Rusila

Restoran Lempeng Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: Restoran Lempeng Terengganu (Restoran Lempeng Rusila)

Teringin makan lempeng tradisional? Bolehlah datang makan di Restoran Lempeng Rusila. Lempeng ataupun pancake yang dihasilkan di restoran ini sungguh enak berlemak, memang tak cukup sekeping!

Diperbuat daripada tepung, santan, isi kelapa separa muda, serta perasa  garam dan gula, rasa lempeng ini memang sedap! Kesedapannya makin menjadi-jadi bila dinikmati bersama dengan sambal ikan bilis, mengancam!

Restoran Lempeng Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: Restoran Lempeng Terengganu (Restoran Lempeng Rusila)

Walaupun diberi nama Restoran ‘Lempeng,’ menu yang ditawarkan di kedai ini sebenarnya lebih beraneka daripada tu. Anda juga patut mencuba hidangan terhangat lain yang ada iaitu nasi dagang, ketupat sotong, rojok kateh dan juga nasi minyak.

Selain ini, Restoran Lempeng Rusila turut memiliki tuak ais krim, jangan risau, sebab ini adalah tuak yang halal untuk dinikmati, bukan senang nak jumpa. Anda juga boleh menghilangkan dahaga dengan air kelapa yang segar.

Alamat: 11, Jalan Mawar 3, 21080 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: 10.00 am – 10.00 pm


06. KBB Burger & Steak Terengganu

KBB Burger and Steak - Kuala Terengganu -Gambar Restoran New Image
Sumber: KBBBurgerandSteak

Membawakan makanan western yang istimewa ialah sebuah restoran di Kuala Terengganu iaitu KBB Burger & Steak. Restoran ini memang cukup terkenal kerana penggayaan dan rekaan kedai yang nampak eksklusif, cool dan maskulin. Sangat selesa dan classy, ia sudah menjadi tempat pilihan untuk warga di sini berkumpul dan menikmati masakan western yang juga sangat istimewa.

KBB burger and steak - Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: kbbburgerandsteak

Berteraskan daging lembu, menu di sini mempelbagai daging lembu dan potongan-potongannya dalam pelbagai masakan. Mereka sangat popular dengan daging wagyu yang cukup lazat. Anda juga perlu mencuba beef ribs, beef burger dan yang paling istimewa, butter aged tomahawk. Walaupun harganya juga agak istimewa, butter aged tomahawk mereka sangat sesuai dijadikan hidangan pilihan untuk menyambut sesuatu yang juga istimewa buat anda. Kira, berbaloi la.

Alamat: LOT 4063, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (12pm-11pm) | Jumaat (2.30pm-11pm)


07. Suerasa Nasi Kerabu

Suerasa Nasi Kerabu - Kuala Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: Abdul Hakim Abd Aziz

Di pantai timur, hidangan nasi kerabu adalah makanan wajib untuk semua yang berkunjung ke sini. Di Kuala Terengganu, anda boleh cuba Suerasa Nasi Kerabu yang membawa slogan the best in town. Kira terbaik la kan. Kedainya simple sahaja tetapi kalau anda nak tahu, bukan sahaja selalu penuh, barisan orang untuk tapau juga selalunya panjang.

Suerasa Nasi Kerabu - Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: puppet master, Mohd Sopian Abu, Haiqal Afiq Onn, Mohd Sopian Abu

Nasi kerabu di sini sangat best kerana anda diberi pilihan lauk sampingan yang berbagai. Boleh pilih nasi kerabu ayam bakar, daging bakar, ayam goreng, kambing bakar, nak campur-campur pon boleh. Di sini juga mereka menyediakan nasi minyak dengan pilihan ayam gulai atau ayam goreng. Nak makan masakan panas dan goreng-goreng pon ada. Datanglah beramai-ramai ke Suerasa Nasi Kerabu.

Alamat: Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Ladang Padang Cicar, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (08:00am-01:00pm) | Sabtu-Ahad (08:00am-02:30pm) | Rabu (Tutup)


08. Kd Fried Chicken

Kd Fried Chicken - Gambar Restoran
Sumber: Abdul Hakim

Kalau anda nak tahu, di Kuala Terengganu ini terdapat sebuah restoran ayam goreng yang istimewa tau. Macam KFC tersendiri. KDFC atau KD Fried Chicken ini terletak di Kampung Duyung Seberang Takir. Restorannya rustic, modern dan cukup menarik. Uniknya restoran ini, ia menonjolkan betapa kreatifnya industri makanan di Kuala Terengganu ini.

Kd Fried Chicken - Gambar Makanan
Sumber: fiezhafiz_

Yang popular di sini tentunya fried chicken atau ayam goreng mereka yang cukup rangup kecemasan, boleh lawan KFC la orang kata. Selain itu, ramai juga yang gemarkan cheezy crispy burger mereka yang merupakan burger dengan Ayam crispy sebagai pattinya.

Bagi kanak-kanak, mereka tentu sukakan crispy chicken tenders. Anda juga boleh mencuba Chicken Mayo Wrap mereka yang sangat memuaskan. Nak rasa sendiri Fried Chicken istimewa Terengganu? Mari ke KDFC!

Alamat: 58, Kampung Duyung Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Isnin-Ahad 11am-7pm | Jumaat (Tutup)


09. Dynar Lekor Buluh Gading

Dynar Lekor Buluh Gading - Gambar Restoran
Sumber: Dynar Lekor Buluh Gading

Dynar Lekor Buluh Gading atau nama lamanya, Keropok BTB (Bukit Tok Beng) adalah lokasi di mana anda boleh menemui pelbagai jenis keropok lekor. Pengusahanya cukup inovatif! Bagi yang suka rasa lemak keju yang mengiurkan, di sinilah anda boleh mendapatkan keropok lekor cheese.

Jenis keropok lekor lain yang ada adalah seperti black pepper poppers, onion cheese poppers, mozzaball dan lain-lain lagi.

Dynar Lekor Buluh Gading - Gambar Makanan
Sumber: Dynar Lekor Buluh Gading

Keropok lekor yang dihasilkan di sini juga sungguh rangup, dengan isi yang tebal, dinikmati bersama dengan sos cili Terengganu yang manis-manis pedas, siapa pun boleh jatuh cinta walau dengan hanya sekali suapan.

Perniagaan yang bermula dengan pendapatan hanya RM20 sehari ini kini semakin berkembang luas di serata Malaysia dek kerana keenakannya yang tidak boleh dinafikan lagi. Tak percaya? Cuba sendiri.

Alamat: Lot 8292 Seberang Takir Darul Iman, Kampung Bukit Tok Beng, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 8.00 pm)


10. Kak Pah Nasi Dagang

Nasi dagang Kak Pah Batu Burok Kuala Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: Nasi dagang Kak Pah Batu Burok

Selain keropok lekor, sajian lain yang cukup terkenal di negeri pantai timur ini adalah nasi dagangnya. Tapi persoalannya di mana kedai nasi dagang paling best di Terengganu ni?

Salah satu lokasi kedai makan yang boleh anda cuba terjah adalah Nasi dagang Kak Pah Batu Burok. Kesedapan sajian nasi dagang di kedai ini dikatakan agak mustahil untuk ditandingi kedai makan lain.

Nasi dagang Kak Pah Batu Burok Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: Nasi dagang Kak Pah Batu Burok

Pernah menerima kunjungan daripada program TV3, Jalan-Jalan Cari Makan, nasi dagang di kedai ini terlampau hangat di pasaran sampaikan tak sampai 3 jam boleh licin semuanya. Tak nak terlepas peluang merasa? Datanglah seawal yang mungkin ya?

Selain nasi dagang, kedai makan ini turut menawarkan menu lain iaitu nasi kuning ikan tongkol, nasi kunyit dan nasi lemak.

Alamat: Jalan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 7.00 pm)


11. Zie’s Corner

Zie’s Corner - Gambar Restoran
Sumber: Zie’s Corner

Nikmati keindahan pemandangan sekitar waterfront sambil merasai keenakan hidangan di Zie’s Corner.

Antara hidangan yang patut dicuba adalah chicken chop, kambing bakar, nasi lemak Terengganu, meatball, chicken parmigiana dan banyak lagi. Untuk minumannya pula, anda boleh mencuba strawberi shake atau vanilla float.

Zie’s Corner - Gambar Makanan
Sumber: Zie’s Corner

Sementara anda sibuk memuaskan lidah dengan rasa sajian di Zie’s Corner, anak-anak pula boleh bermain di taman permainan yang berdekatan sahaja dengan kedai makan ini.

Alamat: No. 1, Waterfront Pulau Kambing, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 1.00 am) | Selasa (Tutup)


12. Air Buah Gelas Besar Terengganu

Air Buah Gelas Besar Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: Ainiey Alias

Air Buah Gelas Besar Terengganu menghidangkan air yang dipanggil orang setempat sebagai air buah ‘pior’ ataupun ‘pure’ dalam bahasa Inggerisnya.

Dengan tawaran pelbagai jenis buah, anda boleh memilih untuk menggabungkan buah ini dengan buah yang lain mengikut selera. Antara gabungan yang menarik untuk dicuba adalah air buah oren + epal, buah belimbing + nanas dan anggur + kurma.

Caj yang dikenakan untuk air buah di sini adalah bergantung kepada saiz gelas iaitu sama ada kecil, sederhana ataupun besar. Kalau anda order saiz gelas yang besar, besarnya bukan biasa-biasa, boleh kenyang hanya dengan melihat saiz gelasnya.

Air Buah Gelas Besar Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: Air Buah Gelas Besar Terengganu

Tak akanlah datang nak minum je kan, alang-alang dah sampai kedai, mestilah nak menghilangkan rasa lapar juga kan? Jangan risau, sebab kedai ini turut menyediakan menu lain seperti nasi minyak, nasi dagang, roti canai, keropok lekor dan sebagainya. Jangan terkejut, sate pun ada tau!

Alamat: Jln Tengku Ampuan Bariah, Taman Samudera, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 1.00 am) | Selasa (Tutup)


13. Kedai Kuih Gong Kapas

Kedai Kuih Gong Kapas - Gambar Restoran
Sumber: Gerai Kuih Gong Kapas Terengganu GKGK

Tercari-cari hidangan untuk dinikmati semasa minum petang sambil bersantai melihat keindahan perkampungan Terengganu atau pemandangan pantai? Singgah terlebih dahulu ke Kedai Kuih Gong Kapas.

Setibanya di sini, anda bakal terkejut melihat pilihan kuih-muih tradisional Melayu yang ada, terlampau banyak! Memang sesuai sangatlah diberikan nama ‘Kedai Kuih.’ Rasa setiap kuih yang dijual juga sungguh asli kesedapannya, betul-betul ‘rasa asli Terengganu.’

Kedai Kuih Gong Kapas - Gambar Makanan
Sumber: Gerai Kuih Gong Kapas Terengganu GKGK

Kek lapis, nona manis, kuih gulung, apam dan macam-macam lagi, semuanya ada di sini. Melihatkan betapa banyaknya pilihan yang ada, kemungkinan besar anda perlu datang 5 ke 6 kali untuk mencuba semua pilihan yang ada.

Alamat: Jalan Panji Alam, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Hari Minggu (9.00 am – 6.00 pm) | Hujung Minggu (12.00 pm – 6.00 pm)


14. NR Café

NR Café KualaTerengganu - Gambar Restoran
Sumber: NR Café

Rasai pengalaman makan di dalam suasana semula jadi, dikelilingi oleh kayu dan dedaun hijau di NR Café. Sambil menikmati hidangan, bolehlah anda mencuci mata melihat keindahan dekorasi berkonsep rimbanya yang mendatangkan ketenangan jiwa.

Mengenai masakannya, antara hidangan yang disediakan di sini adalah masakan-masakan bergaya western, Thailand, menu yang berasaskan herba dan banyak lagi.

“Ok, tapi sajian apa yang best sangat kat sini?”

Macam-macam menu yang rasanya sungguh menakjubkan untuk dicuba, contohnya adalah tom yam kelapa mudanya yang disajikan di dalam kelapa (aromanya boleh menggugat jiwa), ikan bakar berempah, ketam bakar, sup belut herba, sotong bakar berempah, chicken chop dengan kuah yang menyelerakan dan banyak lagi.

NR Café 101 - Gambar Makanan
Sumber: NR Café

Air yang patut ditempah pula adalah air coconut shake. Kalau anda nak tahu, ada pelanggan yang mengatakan coconut shake yang ditawarkan di kedai ini semacam sedapnya.

Alamat: Lot 24354, Jalan Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Cawangan Lain: Pantai Pangkalan Maras, Kuala Terengganu & NR D’Nyatuh di Setiu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Khamis & Jumaat (4.30 pm – 12.30 pm)  | Khamis, Jumaat (4.30 pm – 1.00 am)


15. Restoran Plan A

Restoran Plan A - Gambar Restoran
Sumber: Restoran Plan A

Restoran Plan A adalah sebuah tempat makan yang santai dan selesa untuk dijadikan lokasi menjamu selera bersama keluarga.

Lengkap dengan aircond, memang syoklah lepak sini lepas dah kepenatan melawat segala macam tempat menarik yang ada di Kuala Terengganu ni.

Restoran Plan A1 - Gambar Makanan
Sumber: Restoran Plan A

Sebaik duduk di meja makan, anda akan mendapat buku menu yang bila dibelek-belek, penuh dengan bermacam pilihan makanan.

Antara hidangan yang ada adalah seperti tom yam, wanton sup, aneka masakan barat dan lain-lain lagi. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan.

Sambil menunggu juadah tiba di meja, anda boleh melayari internet dengan menggunakan kemudahan wifi percuma yang disediakan.

Alamat: 47, 49 & 51, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (11.45 am – 1.00 am)


16. Mok Ngoh Nasi Dagang

Nasi Dagang Mak Ngah - Gambar Restoran
Sumber: Nasi Dagang Mak Ngah

Mok Ngoh Nasi Dagang adalah kedai makan yang tak kurang menariknya di Kuala Terengganu ini bagi sesiapa yang ingin mencuba nasi dagang yang asli rasanya. Kesedapannya makin menjadi-jadi bila dinikmati di saat masih panas bersama dengan gulai ikan tongkol dan cili.

Waktu kedai ini dibuka adalah dari awal pagi hinggalah tengahari. Namun begitu, kalau tak nak terlepas peluang makan nasi dagangnya, datanglah secepat yang mungkin ya?

Nasi Dagang Mak Ngah -Gambar Makanan
Sumber: Nasi Dagang Mak Ngah

Kalau tak sempat merasa nasi dagangnya, hidangan lain yang tak kurang menarik untuk dicuba adalah mihun goreng, keropok lekor dan kuih ondeh-ondeh.

Alamat: C-140, Jalan Sk Chendering, Kampung Bukit, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 12.00 pm)


17. Singgang Budu

Restoran Singgang Budu
Sumber: Singgang Budu

Mai singgah makan masakan tradisional Terengganu atau masakan kampung di Singgang Budu. Berdasarkan namanya, memang sesuai sangat dengan hidangan yang ada.

Bermacam jenis lauk-pauk yang boleh dipilih untuk dimakan bersama dengan nasi putih, antaranya adalah ayam kampung goreng, ikan singgang, ikan panggang, ikan goreng, lidah lembu goreng dan sebagainya. Jangan lupa untuk makan nasi campur ini dengan sambal, budu atau tempoyak yang disediakan, barulah betul-betul terasa nikmatnya.

Singgang Budu - Gambar Makanan
Sumber: Haji D

Selain itu, kedai Singgang Budu turut memiliki menu ayam gepuk (ayam yang diperap dengan rempah) dan laksa singgang.

Alamat: Jalan Engku Sar, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (11.00 am – 12.00 am) | Rabu (Tutup)


18. Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar

Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar - Gambar Restoran
Sumber: Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar

Bila sampai je di Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar, anda akan terlihat bermacam pilihan masakan ikan bakar untuk dipilih. Dalam banyak-banyak hidangan yang ada, yang mesti anda cuba adalah ikan bakar cencaru yang dimasak dengan sempurna bersama dengan sambal yang pekat.

Hidangan lain yang tak kurang sedapnya adalah sup daging, lauk ikan keli, ayam goreng dan macam-macam lagi.

Kalau nak cuba semua yang sedap-sedap di kedai ni, disarankan untuk datang sebelum jam 2 petang supaya tak kecewa melihat banyak lauk dah mula licin.

Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar - Gambar Makanan
Sumber: Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar

Menambahkan lagi syoknya makan di sini adalah kerana layanan tuan kedainya yang sangat menyejukkan hati dan cukup tak berkira.

Percayalah, anda akan terkejut dengan jumlah caj yang dikenakan, terlampau murah! Sekali datang pasti tergoda untuk datang makan setiap hari.

Alamat: 20400 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (12.00 pm – 9.00 pm)


19. Fauzi Nasi Kerabu

Fauzi Nasi Kerabu - Gambar Restoran
Sumber: Fauzi Nasi Kerabu

Selain nasi dagang,  Terengganu juga terkenal dengan hidangan nasi kerabunya. Port makan nasi kerabu terbaik yang ada di Terengganu ni adalah Fauzi Nasi Kerabu yang terletak di Kampung Kolam.

Daging bakar, daging kambing bakar dan ayam bakar yang dijadikan lauk untuk nasi kerabu ini dikatakan sangat empuk, diperap sempurna, sedapnya boleh terbawa ke mimpi. Sambalnya juga cukup enak.

Fauzi Nasi Kerabu - Gambar Makanan
Sumber: Fauzi Nasi Kerabu

Sudahlah sedap, saiz hidangannya juga mengenyangkan. Datanglah dengan perut kosong untuk betul-betul merasai nikmat makan di sini.

Selain nasi kerabu, mereka turut menawarkan hidangan lain seperti nasi minyak dan nasi lemak yang boleh dimakan bersama dengan lauk seperti nasi kerabu tadi. Jangan lupa untuk cuba sekali Teh Beng Jabok, rasanya mantap!

Alamat: Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Kolam, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (6.30 am – 12.30 pm) | Rabu (Tutup)


20. Oliva Café

Oliva Café Kuala Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: Oliva Café

Tiada siapa dapat menyangka bahawa kedai makan indoor dengan set-up yang santai hanya menggunakan kerusi dan meja kayu ini, Oliva Café, sebenarnya menawarkan hidangan yang boleh dikatakan bertaraf 5 bintang!

Ramai yang memuji keenakan masakan yang disediakan, cukup sedap, tapi dalam masa yang sama tidak membebankan poket, sangat berpatutan.

Antara hidangan yang enak untuk dimakan di saat perut kelaparan adalah beef burger, fish and chips, crab spaghetti, steak, pasta, chicken parmagiana dan sebagainya.

Oliva Café Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: Oliva Café

Anda juga tak patut melepaskan peluang untuk merasa kambing bakarnya yang dibakar sehingga 6 jam untuk mendapatkan hasil yang superb, crunchy di luar dan juicy di dalam. Dihidangkan pula dengan sos istimewa, sekali rasa, terus jatuh cinta.

Alamat: 1102-d, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Ladang Padang Cicar, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (5.00 pm – 12.00 am) | Isnin (Tutup)


21. Hot Hot Roti Canai

Kedai Roti Canai Hot-Hot - Kuala Terengganu
Sumber: Chiat Wee

Tiba-tiba rasa rindu nak makan roti canai mamak? Senang ke nak cari dekat Kuala Terengganu ni?  Jangan risau, ada je, dan lokasinya adalah di Kampung Teluk Ketapang.

Kedai yang diberi nama Hot Hot Roti Canai ini adalah salah satu kedai makan yang terkenal di Terengganu dek kerana hidangan pelbagai jenis masakan Indianya yang sedap-sedap belaka. Memang asli rasa hidangannya! Kuah kari dan kuah dhal yang disediakan juga sangat sedap.

Kedai Roti Canai Hot-Hot Terengganu Gambar Makanan
Sumber: Kedai Roti Canai Hot Hot

Selain roti canai, masakan lain yang tak kurang sedapnya adalah mee kari, murtabak kambung, tosei, cappati, mee goreng mamak dan banyak lagi. Karipapnya juga adalah salah satu menu signature yang mesti dicuba. Yang penting, harganya tidak membuat anda masam mencuka, sangat berpatutan.

Alamat: Jalan Tengku Ampuan Bariah, Kampung Teluk Ketapang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (7.00 am – 11.00 pm) | Rabu (Tutup)


22. Seafood Kuala Ibai Bawah Jambatan

Seafood Kuala Ibai Bawah Jambatan - Gambar Makanan
Sumber: Medan Ikan Bakar Kuala Ibai Bawah Jambatan

Bukan main lagi panjangnya nama kedai makan yang seterusnya ni, Seafood Kuala Ibai Bawah Jambatan. Kedai makan yang sememangnya terletak di bawah jambatan Kuala Ibai Terengganu ini adalah salah satu lokasi yang boleh dikatakan menarik untuk dilawati bukan sekadar untuk mencuba masakannya tapi juga kerana suasananya.

Sambil merasai kesedapan masakan panasnya, anda boleh menyaksikan keindahan sekitar sungai yang sungguh mendamaikan jiwa dengan kehadiran sampan dan para pencari ketam. Memang menarik!

Seafood Kuala Ibai Bawah Jambatan - Gambar Restoran
Sumber: Medan Ikan Bakar Kuala Ibai Bawah Jambatan

Pemandangan dah cukup best, tapi macam mana pula dengan makanannya? Jawapannya adalah tidak mengecewakan sama sekali. Bermacam jenis pilihan masakan seafood ada di sini, antaranya adalah ikan, kerang, ketam dan sotong, sungguh enak untuk dimasak celup tepung.

Alamat: Bawah jambatan (Kuala Ibai), 20400 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (5.30 pm – 1.30 am)


23. Qawa Coffee

QAWA Coffee & Sandwich - Gambar Restoran
Sumber: QAWA Coffee & Sandwich

Cari Starbucks tak jumpa-jumpa? Tak apa, anda boleh singgah ke ‘Starbucks’ milik usahawan lokal yang diberi nama Qawa Coffee.

Port kafe berkonsep hipster ini terletak di dalam binaan kontena yang bercat merah. Kalau lepak waktu malam di sini,  dapatlah anda melihat lampu fairy lights dinyalakan yang menaikkan lagi seri kafe ini, vibenya dapat mencuri hati sesiapa sahaja.

Apa menu yang ada? Untuk pengetahuan anda, bukan sedikit pilihan yang ditawarkan, memang banyak! Kopinya sahaja sudah mencecah lebih daripada 60 jenis.

QAWA Coffee & Sandwich - Gambar Makanan
Sumber: QAWA Coffee & Sandwich

Selain kopi yang dibuat dengan kaw-kaw, mereka turut menawarkan dessert dan makanan mengenyangkan yang lain seperti aneka kek dan sandwich. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba New York cheesecakenya, sedap!

Alamat: 1482, Jln Budiman, Kampung Mengabang Tengah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (12.00 pm – 12.30 am) | Jumaat (5.00 pm – 2.00 am) | Tutup Sementara Solat Maghrib (7.00 pm – 8.00 pm)


24. Rahsia Kitchen

Rahsia Kitchen KT - Gambar Restoran
Sumber: Rahsia Kitchen

Rahsia Kitchen adalah sebuah restoran yang cukup selesa untuk dijadikan lokasi bersantapan bersama keluarga.

Bab kebersihannya? Tak boleh dipertikaikan, ramai pelanggan yang pernah singgah ke sini memuji tahap kebersihannya yang memang tip-top, anda juga boleh melihat ruangan dapurnya melalui dinding kaca restoran ini. Setiap proses penyediaan hidangan dapat dilihat dari ruang makan, tak ada apa untuk diragui.

Apa yang sedap untuk dicuba? Ada banyak hidangan barat yang menjadi kegemaran ramai, antaranya adalah chicken grill, sirloin steak, butter chicken dan banyak lagi.

Rahsia Kitchen KT - Gambar Makanan
Sumber: Rahsia Kitchen

Rancang nak makan dekat sini? Waktu terbaik untuk datang adalah dalam sekitar 8 malam atau selepas 9 malam untuk mengelakkan pertembungan dengan ramai pelanggan lain.

Alamat: 1436, Jln Budiman, Kampung Mengabang Tengah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (5.00 pm – 11.00 pm) | Jumaat (Tutup) | Tutup Sementara Solat Maghrib (7.14 pm – 8.15 pm)


25. Warung Aziz Satar 2 Teluk Mak Nik

Warung Aziz Satar 2 Teluk Mak Nik - Gambar Depan Kedai
Sumber: Farah Amalina

Warung Aziz Satar 2 Kuala Kemaman adalah sebuah warung yang bukan calang-calang. Ada yang sanggup beratur panjang untuk menikmati otak-otak dan satar yang disediakan di kedai ni.

Mesti anda nak tahukan apa yang special sangat dengan hidangan di warung ni kalau dibezakan dengan kedai makan lain? Kalau anda nak tahu, hidangan utama mereka iaitu satar dan otak-otak memiliki tekstur yang sungguh empuk dengan rasa manis yang sangat memuaskan deria rasa.

Gambar Hidangan Di Warung Aziz Satar 2
Sumber: Paul Leow, TK Y, Md Kush, abdul quddoos

Selain ini, mereka turut menawarkan menu lain seperti ikan celup tepung, keropok lekor dan udang masak tepung yang rangup.

Lokasinya, terletak berdekatan dengan Pantai Teluk Manik. Bolehlah anda singgah beli makanan di sini sebelum berkelah di pantai.

Alamat: Simpang Pantai Mak Nik, Jalan Geliga Pantai 1, Geliga, 24000 Chukai, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 7.30 pm)

*Jarak Dari Kuala Terengganu: 2 Jam | 176 KM


26. Star Anise Café

Star Anise Café - Gambar Restoran
Sumber: Star Anise Café

Terletak di sudut yang klasik Kuala Terengganu iaitu di Chinatown, Star Anise Café adalah port makan yang selesa, lengkap dengan penyejuk udara. Memang sesuai untuk dijadikan lokasi berjumpa dengan kawan lama atau untuk menyiapkan urusan kerja.

Bagi yang datang ke Kuala Terengganu semata-mata untuk makan angin tu, lepas dah kepenatan berjalan di sekitar Chinatown, anda boleh singgah ke sini seketika untuk melegakan badan.

Star Anise Café - Gambar Makanan
Sumber: Star Anise Café

Bagi mengembalikan tenaga badan, anda boleh mencuba pelbagai jenis kopi yang terdapat di sini seperti mocha, latte, espresso, americano, hot chocolate dan lain-lain lagi.

Lattenya lengkap dengan latte art yang kreatif, wajib anda singgah kalau nak upload foto baru dalam Insta tu. Selain kopi yang sedap, Star Anise Café turut menawarkan pelbagai pilihan kek dan pastries.

Alamat: 82, Jalan Kampung Cina, Kampung Banggul, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Ahad (12.00 pm – 12.00 am)


27. Gossip Kitchen

Gossip Kitchen - Gambar Restoran
Sumbar: Gossip Kitchen

Lapar yang tak terkira? Singgah sahaja ke Gossip Kitchen, tak sempat nak habis bergosip, makanan dah sampai ke meja. Layanannya cukup pantas!

Bukan sahaja pantas, sedap lagi tu. Semua hidangannya dimasak sempurna dan secukup rasa.

Gossip Kitchen - Gambar Makanan
Sumbar: Gossip Kitchen

Seperti biasa, setiap restoran mesti ada hidangan terhangatnya kan? Antara sajian yang mendapat pujian ramai di sini adalah seafood carbonara, grilled Australian lamb cutlet, nasi goreng paprik seafood dan baked cheese bolognese. Saiz hidangannya juga cukup besar dan mengenyangkan.

Alamat:  Lot 2188 Tingkat Bawah, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Sabtu (12.00 pm – 10.45 pm) | Sabtu (Tutup)


28. The Syrup VS Soda

The Syrup VS Soda - Gambar Restoran
Sumber: The Syrup VS Soda

Kedai makan dengan nama yang lain daripada yang lain ini, The Syrup VS Soda adalah sebuah lokasi menjamu selera yang bakal membuatkan anda sekeluarga kekenyangan sampai tak mampu berjalan, saiz hidangannya agak besar, tapi yang peliknya, harganya boleh dikatakan agak murah.

Dah sampai di kedai ni nanti, jangan lepaskan peluang untuk mencuba burgernya. Ini kerana, daging yang digunakan bukanlah daging kilang biasa, tapi adalah daging yang dihasilkan sendiri. Unik dan sungguh menyelerakan.

The Syrup VS Soda - Gambar Makanan
Sumber: The Syrup VS Soda

Selain burger, hidangan lain yang ada adalah seperti nasi goreng kambing, chimichurri chicken salad, chicken grill, carbonara beef, nasi goreng kerang, nasi goreng kam heong, nasi goreng tom yam dan macam-macam lagi.

Nak makan dalam suasana yang tenang daripada orang ramai? Waktu yang dicadangkan adalah dalam pukul 10 malam dan ke atas.

Alamat: The Syrup VS Soda, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (5.00 pm – 12.00 am) | Jumaat (Tutup) | Tutup Sementara Solat Maghrib (7.00 pm – 8.00 pm)


29. Simpang Corner

Simpang Corner Kuala Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: simpunk corner

Kafe dengan aura hipster, Simpang Corner, adalah sebuah kedai makan menarik yang menghidangkan pelbagai jenis menu tempatan dan juga barat.

Hidangan yang boleh dicuba sekiranya singgah ke kafe ini adalah char kuey teow, spaghetti carbonara, steak, burger dan lain-lain lagi. Harga? Cukup berpatutan, dan saiz hidangannya juga mengenyangkan. Yang penting, rasanya sungguh enak. Apa lagi yang tak cukup?

Simpang Corner Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: simpunk corner

Kalau bernasib baik, anda dapat makan sambil menyaksikan persembahan muzik live yang selalu diadakan di kafe ini pada waktu malam.

Alamat: Jalan Lapangan Terbang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 pm – 2.00 am)


30. Haji Pok Long ICT

Haji Pok Long ICT - Gambar Restoran
Sumber: ICT Haji Pok Long Seafood

“Jom makang ikang celuk tepung di Haji Pok Long ICT!” Sedapnya celup tepung di sini sampaikan gerainya selalu penuh dengan pelanggan. Sotong, ketam, udang dan ikan, semuanya ada untuk dipilih. Dihidang rangup bersama dengan sos cili istimewa, aroma yang menerpa sungguh menggoda jiwa.

Sebagai pencuci mulut, kedai ini turut menyediakan ais kacang jagung yang tak kurang sedapnya. Minuman yang sesuai untuk dinikmati sambil makan celup tepung ni pula sudah semestinya, air kelapa yang menyegarkan.

Haji Pok Long ICT - Gambar Makanan
Sumber: ICT Haji Pok Long Seafood

Bawa anak kecil? Mereka boleh bermain di taman permainan mini yang disediakan sementara anda menikmati makanan dalam penuh keasyikan.

Alamat: Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (2.14 pm – 7.30 pm)


31. Nasi Kerabu Warisan Nusantara

Nasi Kerabu Ayam Bakar Warisan Nusantara - Gambar Restoran
Sumber: Nasi Kerabu Ayam Bakar Warisan Nusantara

Nak makan nasi kerabu yang betul-betul asli rasanya? Nasi Kerabu Warisan Nusantara adalah kedai yang dicari. Harganya juga sungguh berpatutan.

Nasi Kerabu Ayam Bakar Warisan Nusantara - Gambar Makanan
Sumber: Nasi Kerabu Ayam Bakar Warisan Nusantara

Bayangkan makan nasi kerabu daging bakar ataupun ayam bakar yang beraroma menggoda bersama dengan lada solok, sedapnya tak terkata. Berhati-hati bila makan dengan sambal lada keringnya, sebab tahap kepedasannya bukan main-main!

Alamat: Jalan Ibrahim, Kampung Bukit Besar, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: 7.30 am – 12.30 pm


32. D’Tunggal Seafood

D'Tunggal Seafood - Gambar Restoran
Sumber: D’Tunggal Seafood

Kedai makan yang luas, dengan menu yang pelbagai, D’Tunggal Seafood adalah spot makan yang cukup sesuai untuk disinggahi bersama keluarga. Di kedai ini, anda boleh menikmati masakan Thai dengan rasa yang asli.

Antara hidangan yang terkenal di restoran ini adalah tom yam yang dihidangkan dalam tempurung kelapa, ikan siakap masak steam, sotong masak telur, ikan bakar berempah dan banyak lagi.

D'Tunggal Seafood Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: D’Tunggal Seafood

Minuman yang boleh ditempah untuk melengkapkan hidangan adalah teh beng. Gabungan yang mantap!

Alamat: Lot 17608 Taman Semarak Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: 3.00 pm – 1.30 am


33. D’Ganu Cafe Steamboat

D’Ganu Cafe Steamboat - Gambar Restoran
Sumber: Sol Funk

Berhampiran dengan muara sungai di Pulau Duyung Kecil, D’Ganu Café Steamboat adalah kedai makan yang beratmosfera romantik.

Dari sini anda dapat menyaksikan bukan sahaja pemandangan sungai, tapi juga bandar Kuala Terengganu sambil merasai tiupan bayu laut yang menyegarkan.

D’Ganu Cafe Steamboat - Gambar Makanan
Sumber: Sol Funk

Mengenai makanan yang dihidangkan, sajian yang mereka tawarkan adalah aneka masakan laut, masakan barat dan juga tempatan.

Tidak hanya menyediakan masakan panas, seperti nama kafenya ‘D’Ganu Café Steamboat,’ anda boleh juga menikmati steamboat bersama dengan kuah tom yam serta sos yang enak.

Alamat: GM1 & GM2, Food Court, Pulau Duyung Kecil, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Ahad  (5.00 pm – 12.00 am) | Khamis, Jumaat, Sabtu (4.45 pm – 12.30 am) | Selasa (Tutup)


34. Restoran Asia Signature

Restoran ASIA Signature - Gambar Restoran
Sumber: Restoran ASIA Signature

Untuk suasana restoran yang lebih eksklusif dan penuh dengan keselesaan, anda boleh membawa keluarga menikmati hidangan di Restoran Asia Signature.

Restoran ASIA Signature - Gambar Makanan
Sumber: Restoran ASIA Signature

Berkenaan dengan menu yang disediakan, cukup banyak, anda pasti rambang mata melihat pilihan yang ada. Antara menunya adalah seperti kari ayam, butter chicken, ikan masak masam manis, asam laksa, keropok steam dan banyak lagi.

Alamat: 134, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (11.45 am – 1.00 am)


35. Aidilsroti

Adils Roti Kuala Terengganu - Gambar Restoran
Sumber: Aidilsroti

Tak perlu pening kepala fikir nak makan di mana untuk sarapan pagi, singgah sahaja ke Aidilsroti yang terletak di medan selera bawah jambatan Sultan Mahmud.

Antara hidangan ‘panas’ dalam kalangan pelanggan di sini adalah roti kebab, roti goyang gedik, roti shawarma, roti gulung, roti pisang dan roti tisu. Selain makanan berasaskan roti, di medan selera ini turut terdapat kambing bakar.

Untuk minumannya pula, banyak minuman special yang boleh dipilih antaranya adalah teh buih leleh dan green tea.

Adils Roti Kuala Terengganu - Gambar Makanan
Sumber: Aidilsroti

Nak cuba makanan yang sedap-sedap? Datanglah seawal yang mungkin sebab kalau terlambat, agak banyak makanan di sini yang dah licin diambil orang.

Alamat: Kios No3 Medan Selera MBKT Bawah Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Hiliran, Jalan, Kampung Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (7.30 am – 12.30 pm) | Rabu (Tutup)


Inilah antara tempat makan menarik untuk disinggahi bila bercuti di Kuala Terengganu nanti. Ya, bukan sekadar keropok lekor, sememangnya macam-macam ada di bandar ini yang menjadikan ianya salah satu destinasi yang penting untuk dimasukkan dalam bucket list.

Dah tahu di mana lokasi tempat makan viral ni, tunggu apa lagi? Mai datang bercuti ke Kuala Terengganu cepat! Selamat bercuti dan selamat menjamu selera!

4.6/5 - (5 votes)