Terengganu, adalah salah satu negeri yang paling wajib dilawati di Malaysia. Kekayaannya dengan pulau-pulau tropika indah yang dikelilingi oleh perairan yang jernih, pantai-pantai yang berpasir halus, hutan yang masih terpelihara flora dan faunanya di samping memiliki antara bangunan yang terindah di Malaysia, tiada sebab untuk tidak menjadikan negeri ini sebagai destinasi paling utama untuk dituju bila tiba musim cuti.
Bukan itu sahaja, aneka makanan tradisional Terengganu yang boleh anda temui sepanjang perjalanan juga bakal memberatkan lagi langkah kaki anda sekeluarga daripada pulang ke negeri sendiri.
Cukup banyak sebab untuk anda ke Terengganu, tapi kalau anda masih lagi tak percaya, Mai singgah cabar anda untuk membaca artikel tempat menarik di Terengganu ini tanpa rasa tergoda untuk bercuti ke negeri luarbiasa ini.
53. Pulau Lang Tengah
Pulau Lang Tengah ini agak kurang terkenal jika dibandingkan dengan 2 buah pulau yang menjadi ‘pengapitnya’ iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang.
Tapi sebenarnya panorama yang dipersembahkan di pulau ini tidak kurang hebatnya dengan pulau-pulau lain. Pemandangan di sekitar perairannya memiliki keindahan bertaraf dunia di mana hidupan marinnya cukup menarik untuk diteroka untuk anda yang pandai menyelam skuba atau bersnorkeling.
Untuk menuju ke sini, anda boleh menaiki bot laju yang disediakan di jeti Marang dengan masa sekitar 30 ke 40 minit.
Alamat: Jalan Kampung Daik, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
52. Pasar Payang
Kalau di Kelantan terkenal dengan Pasar Siti Khadijah, di Terengganu pula, pasar yang paling ‘legendary’ adalah Pasar Payang.
Dibina pada tahun 1968, pasar ini menempatkan sekitar 1000 peniaga berbeza untuk pelbagai jenis produk Terengganu seperti keropok sira, ikan masin, keropok lekor, keropok keping dan pelbagai hasil kraftangan lain seperti songket, kain tenun, produk tembaga, batik dan sebagainya.
Kedudukannya juga cukup menarik kerana terletak berdekatan dengan banyak lagi tarikan lain di sekitar Terengganu seperti Bazar Warisan, Pulau Warisan, Bukit Puteri, Kampung Cina dan Dataran Shahbandar.
Alamat: Jalan Kampung Daik, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 am – 6.00 pm
51. Turtle Alley
Negeri yang popular dengan penyu ini mempunyai satu lorong khas yang dinamakan sebagai Turtle Alley. Bagi anda yang sukakan penyu, mesti datang ke sini. Lorong yang didedikasikan kepada haiwan ikonik negeri ini, dihias dengan cantik. Dengan mural-mural, seni mosaic dan macam-macam lagi.
Lorong ini terletak di Chinatown atau Kampung Cina, Terengganu. Antara yang menarik ialah mural-mural dan mosaic di sini ada yang mempunyai jalan ceritanya tersendiri. Malah ada seni pairing metallic yang merupakan adaptasi dari cerita the Little Turtle Messenger, sebuah buku cerita kanak-kanak yang ditulis oleh seorang pemulihara tempatan, Dr. Chan Eng Heng. Marilah lihat sendiri keunikan loring Turtle Alley ini.
Alamat: 219, Jalan Kampung Cina, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
50. Kota Lama Duyung
Ingin melawat tapak bersejarah di Terengganu? Pastikan anda juga datang ke Kota Lama Duyung. Kota Lama Duyung ini sebenarnya merupakan sebuah rumah banglo yang dibina pada tahun 1919 oleh Dato’ Biji Sura, seorang bekas hakim. Ia dinamakan sebagai Kota kerana dindingnya yang dibina tinggi sekeliling rumah ini.
Rumah ini memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam kerana merupakan tempat yang digunakan sebagai pusat tahfiz oleh Tok Syeikh Dugong. Kini, Kota Lama Duyung ini merupakan sebuah tempat lawatan atau muzium yang menempatkan pelbagai artifak-artifak seperti pinggan mangkuk, loyang dan macam-macam lagi.
Alamat: Pulau Duyung Kecil, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 9am-5pm (setiap hari)
49. Istana Syarqiyyah
Istana Syarqiyyah merupakan kediaman rasmi Sultan Terengganu dan merupakan lokasi di mana semua majlis-majlis rasmi dilangsungkan. Istana ini sangat istimewa Buat warga Terengganu kerana ia cukup cantik dan unik. Direka oleh arkitek Bill Bensley yang merupakan seorang arkitek yang sukakan rekaan luarbiasa dan eksotik.
Istana ini dibina tinggi dan nampak seperti Kota Lama tetapi dengan modern twist. Dengan keluasan 160,000 kaki persegi, Istana ini menempatkan lebih 100 bilik. Banyak kan? Rekaan dan hiasan istana ini mempunyai unsur Islamic dan tradisional Terengganu. Ia juga mengambil inspirasi dari bangunan berseharah Andalusia, Sepanyol iaitu Alhambra. Jangan lupa datang dan saksikan keindahan Istana Syarqiyyah ini sendiri.
Alamat: 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 9am-5pm (setiap hari, tutup pada hari Selasa dan Jumaat)
48. Pantai Batu Buruk
Pantai dengan angin yang sentiasa bertiupan segar ini, Pantai Batu Buruk cukup meriah dengan pelbagai aktiviti menarik. Di sini anda sekeluarga boleh berkelah dengan berlantaikan pasir pantai yang lembut sambil berbbq. Anda juga boleh membeli makanan yang banyak diniagakan di sekitar pantai ini seperti ikan celup tepung, sate ikan, keropok, dan lain-lain lagi.
Jangan lepaskan peluang untuk menaiki kereta kuda yang dihias dengan kreatif untuk mencipta memori yang indah bersama keluarga di samping berfotografi sepuas hati.
Berkaitan dengan kemudahan yang disediakan, Pantai Batu Buruk lengkap dengan fasiliti seperti medan selera, laluan berjogging dan taman permainan kanak-kanak.
Alamat: Pantai Batu Buruk, 20400, Terengganu
47. Istana Maziah
Istana Maziah adalah salah satu tarikan bersejarah di Terengganu. Istana ini telah dibina untuk menggantikan istana lama iaitu Istana Hijau yang musnah akibat kebakaran.
Mula dibina pada tahun 1870 semasa di bawah pemerintahan Sultan Omar, bangunan ini telah dihasilkan dengan gabungan kapur, tanah liat, telur putih, limau, madu dan pasir dengan hasil tangan daripada 20 orang pekerja Melayu dan Cina.
Terletak di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, istana ini digunakan sebagai lokasi untuk pelbagai majlis rasmi seperti perkahwinan, hari lahir, penganugerahan dan sebagainya.
Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
46. Kenyir Splash
Berlokasi di Dataran Gawi, Tasik Kenyir, Kenyir Splash adalah di mana anda sekeluarga dapat melepaskan gian bermain air dalam penuh keseronokan.
Selain kolam inflatable yang padat dengan bermacam permainan seperti gelongsor dan bola, anak-anak boleh terleka bermain sehinggakan tak sedar dah berjam-jam menggunakan tenaga. Bagi pengunjung dewasa pula, anda boleh berseronok dengan bermacam lagi tarikan lain yang disediakan seperti kayak, banana boat dan mega slice.
Dengan bayaran masuk hanya RM5, peluang untuk mencipta memori yang membahagiakan seisi keluarga sudah tersedia di depan mata.
Alamat: Dataran Gawi, Tasik Kenyir
Waktu Operasi: Rabu – Isnin (10.00 am – 6.00 pm) | Selasa Kecuali Cuti Sekolah / Cuti Umum (Tutup)
Bayaran:
- Masuk: RM5
- Aktiviti Tasik (Dewasa): Banana Boat RM10 | Mega Slice RM10 | Kayak RM10
45. Pulau Kapas
Terletak hanyalah 20-30 minit dari Jeti Marang adalah pulau peranginan yang indah, Pulau Kapas. Kedudukannya yang sangat dekat dengan tanah Semenanjung menjadikan ianya sesuai untuk anda yang kesempitan masa namun tetap ingin merasai pengalaman bercuti di pulau.
Perairan di sekitar pulau ini juga sungguh jernih menjadikan ianya menarik untuk aktiviti snorkeling di mana anda dapat melihat keindahan dalam air yang penuh dengan warna-warni.
Bukan itu sahaja, Pulau Kapas turut menjadi destinasi untuk mencandat sotong dari bulan Jun hingga Julai.
Alamat: Pulau Kapas, Terengganu
44. Bas Kite
Tak pernah dilihat di negeri lain, bas ini hanya wujud di Terengganu. Bas yang digelar sebagai Bas Kite ini memiliki reka bentuk seperti rumah tradisional Terengganu dengan menggunakan kayu. Rekaan luarannya cukup menggambarkan kekayaan budaya dan kesenian negeri yang terletak di pantai timur ini.
Ruangan dalamannya juga diberikan penelitian yang sama di mana anda dapat melihat dekorasi batik, songket serta ukiran kayu yang bermotif klasik.
Di samping konsep yang menarik ini, Bas Kite turut lengkap dengan tv LED, akses wifi dan rak yang diisi dengan brochure info berkaitan Terengganu.
Yang menariknya lagi, selama anda berada di dalam bas ini, anda dapat menikmati pemandangan di sekitar jalan yang dilalui oleh bas seluas pandangan kerana saiz tingkapnya yang besar.
43. Tasik Kenyir
Terbentuk hasil daripada pembinaan empangan, Tasik Kenyir turut kaya dengan ratusan buah pulau kecil yang menarik untuk diterokai. Setiap pulaunya kaya dengan flora dan fauna yang sentiasa menanti kedatangan pengunjung.
Kedudukannya juga cukup menarik kerana bersempadankan 3 buah negeri pantai timur yang lain iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu. Untuk pengetahuan anda, di tasik ini turut terdapat sebuah perkampungan masyarakat orang asli iaitu kaum Senoi. Di samping itu, di sini juga terdapat banyak kawasan air terjun seperti Air Terjun Petuang, Air Terjun Leban, Air Terjun Saok dan lain-lain lagi.
Antara aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan selain melawat pulau-pulau di sekitar tasik yang berkeluasan 38,000 hektar ini, anda boleh melakukan aktiviti jungle trekking, melawati pusat pemuliharaan gajah, memerhati burung yang pelbagai spesies, memancing ikan, melawat santuari ikan kelah dan meneroka gua-gua yang ada.
Alamat: Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu
Bayaran: Masuk RM1 | Kamera RM5 | Memancing RM10 | Camping RM1
42. Bukit Besi Rainforest Endurance Park
Suka melakukan aktiviti lasak yang menguji ketangkasan fizikal? Anda boleh memasukkan lawatan ke Bukit Besi Rainforest Endurance Park dalam bucket list anda.
Di sini anda boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti motor cross, ATV, jungle trekking, berkayak dan wind surfing.
Dalam banyak-banyak aktiviti ini, menaiki ATV adalah salah satu aktiviti yang wajib anda cuba kerana laluan yang disediakan tersangatlah mencabar di mana anda perlu melalui laluan yang berlumpur dan berbukit-bukit. Dengan cabaran sebegini, barulah boleh jadi penunggang ATV yang pro, betul tak?
Alamat: Tasik Puteri, 23200 Bukit Besi, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 12.00 pm)
41. Kelip-Kelip Sungai Yah Yah
Sungai Yah Yah menawarkan beberapa aktiviti menarik untuk menyempurnakan percutian anda di Terengganu iaitu aktiviti melihat kelip-kelip di sepanjang sungai dan juga river cruise.
Untuk melihat kelip-kelip yang terdapat di sekitar Sungai Yah Yah, waktu kebiasaan kumbang bercahaya ini menggerumuni pokok-pokok di sekitar sungai adalah dalam sekitar 8 ke 10 malam antara bulan Julai hingga Oktober.
Bagi aktiviti menyelusuri sungai (river cruise) pula ditawarkan setiap hari kecuali hari Jumaat. Anda boleh menuju ke Jeti Sungai Yah Yah untuk mendapatkan perkhidmatan bot dan menyelusuri sungai untuk melihat keindahan flora yang ditawarkan sekitar hutan paya bakau hijau. Jangka masa yang diambil untuk pergi dan balik adalah dalam sekitar 90 minit.
Alamat: Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, 24000 Kemaman, Terengganu
Waktu Operasi:
- Kelip-Kelip Sungai Yah-Yah: 8.00 am – 10.00 pm
- River Cruise: Setiap Hari Keucali Jumaat & Raya (11.00 am – 12.30 pm & 3.00 pm – 4.30 pm)
Bayaran:
- Kelip-Kelip Sungai Yah-Yah: Dewasa RM15 | Kanak-Kanak RM10
- River Cruise: RM40
40. Taman Tamadun Islam
Taman Tamadun Islam seperti namanya, di sini anda dapat melihat antara bukti kejayaan Islam sebagai sebuah agama yang membawa kepada kemajuan melalui replika-replika tarikan yang terkenal dalam dunia Islam seperti Istana Alhambra, Kota Lama Islam Aleppo, Kubah As Skahrah dan banyak lagi dengan jumlah 21 buah replika kesemuanya.
Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (7.00 am – 12.00 pm) | Jumaat (Tutup Sementara Dari 11.30 am – 2.30 pm) | Selasa Kecuali Cuti Sekolah (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM22.80 | Kanak-Kanak (7 – 12 Tahun) RM16.80 | Kanak-Kanak (6 Tahun & Kebawah) Percuma
39. Taman Awam Lagun Kuala Ibai
Taman Awam Lagun Kuala Ibai ini terletak bersebelahan sahaja dengan Masjid Terapung menjadikan ianya sebuah destinasi yang cukup indah untuk dilawati sekiranya anda ingin menyaksikan antara panorama yang tercantik semasa bercuti di Terengganu.
Sekiranya anda datang pada bulan puasa, di dalam kawasan yang sama juga meriah dengan bazar Ramadhan. Dah beli makanan di bazar, anda boleh terus berbuka sambil menikmati pemandangan lagun yang mengasyikkan sebelum bersolat terawih di masjid.
Alamat: Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu
38. Taman Rekreasi Pulau Kekabu
Cukup indah pemandangan yang disajikan di Taman Rekreasi Pulau Kekabu. Sambil merasai deruan ombak dan angin yang sentiasa bertiupan anda boleh melihat suasana bot-bot nelayan yang berlabuh di tepi pantai.
Kalau anda nak tahu, dari sini juga, anda boleh mendapatkan perkhidmatan bot untuk menuju ke Pulau Kapas. Ada masa lebih untuk diluangkan di Terengganu? Jangan lepaskan peluang untuk singgah ke salah sebuah pulau terindah di Terengganu ni ya?
Bercakap mengenai fasiliti yang disediakan pula, taman rekreasi ini cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, tempat meletak kereta, tandas yang selesa dan laluan pejalan kaki.
Alamat: Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu, Marang, Terengganu
37. Pusat Budaya Kraf Terengganu
Pusat Budaya Kraf Terengganu adalah lokasi di mana anda dapat mengenali dengan lebih mendalam berkenaan pelbagai industri tradisional yang wujud di Terengganu.
Bukan itu sahaja, kalau ada bajet lebih, anda boleh membuat tempahan khas produk yang diingini berdasarkan citarasa sendiri.
Antara hasil tangan yang dipamerkan serta boleh dibeli di sini adalah terdiri daripada pelbagai jenis barangan tembaga, ukiran kayu yang halus penghasilannya, kain songket, sutera, sarong dan banyak lagi.
Alamat: Lot 2195, Chendering Industrial Estate, 20700 Kuala Terengganu
Waktu Operasi: 08:00AM – 06.00PM
36. Kampung Losong
Kalau datang ke Terengganu, memang tak sah rasanya sekiranya tak bawa pulang keropok lekor atau keropok keping yang merupakan antara produk tradisional negeri pantai timur ini. Untuk tujuan ini, anda boleh menuju ke Kampung Losong iaitu sebuah kawasan perkampungan yang telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor Terengganu.
Kedudukannya, cukup strategik kerana terletak hanyalah 10 minit dari Bandar Kuala Terengganu serta tidak jauh dari tarikan lain seperti Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri Terengganu.
Alamat: Kg. Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu
35. Bot Penambang, Dataran Shahbandar
Nikmati kedinginan angin yang bertiupan di sepanjang sungai sambil menaiki bot yang disediakan di Dataran Shahbandar. Dari sini, anda akan dibawa menuju ke Seberang Takir untuk menyaksikan pemandangan klasik di sekitar perkampungan nelayan.
Untuk pengetahuan anda, kehadiran bot penambang ini sebenarnya untuk memudahkan penduduk di seberang sungai untuk merentasi Sungai Terengganu dan menuju ke kawasan bandar dalam masa tidak lebih dari 10 minit.
Alamat: Jeti Bot Penambang Shahbandar, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20200 Kuala Terengganu
34. Beca Pasar Payang
Pernah naik beca di Melaka? Kalau pernah, mesti anda tahukan betapa menariknya aktiviti menaiki beca ini untuk melihat pemandangan di sekitar negeri yang dilawati dengan sepuas hati dan lebih ‘terperinci’. Di Terengganu, kehadiran pengayuh beca cukup mudah untuk ditemui di sekitar Pasar Payang.
Beca-beca yang terdapat di sini boleh membawa anda menjelajah sekitar kawasan Kampung Cina di mana di celahannya terdapat banyak ruangan street art yang menarik untuk anda berfotografi.
Nak berjalan di kawasan lain? Kebiasannya perjalanan maksimum yang mampu dibawa pengayuh beca adalah dalam sekitar 30 km. Bagitahu sahaja lokasi yang ingin dituju, pengayuh beca akan membawa anda ke destinasi dengan wajah yang ceria.
Alamat: Pasar Payang, 20000, Kuala Terengganu
33. Bukit Panorama
Tiada yang lebih mengasyikkan daripada peluang untuk menikmati pemandangan indah sambil menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang mengiurkan. Sekiranya anda datang ke Bukit Panorama, inilah yang dapat anda nikmati.
Apa yang anda ingin makan? Masakan barat? Masakan panas atau sekadar menikmati jus buah? Bermacam jenis hidangan disediakan.
Sementara menanti makanan terhidang, jangan lepaskan peluang untuk bergambar sepuas hati dengan panorama indah dari puncak bukit ini.
Alamat: Jalan Cerong Lanjut, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
32. Waterfront Kuala Terengganu
Waterfront Kuala Terengganu menempatkan banyak kedai makan dan kafe yang menghidangkan pelbagai jenis menu tempatan dan antarabangsa yang menarik untuk dicuba sambil melihat pemandangan sekitar perairan Sungai Terengganu yang mengalir tenang.
Di samping kedai-kedai makan, ada juga gerai kecil yang menjual banyak makanan menarik seperti donut mini, pisang cheese dan banyak lagi.
Setelah puas menikmati pemandangan di sini, anda boleh membuka langkah kaki untuk ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk membeli pelbagai hasil laut segar yang diniagakan oleh para nelayan sendiri. Fresh dari laut!
Alamat: Jalan Balik Bukit, 20300 Kuala Terengganu
31. TTI River Cruise
Dah puas berjalan kaki dan melihat keindahan dari daratan? Apa kata sekiranya anda menyaksikan lanskap indah sekitar Taman Tamadun Islam dan kawasan sekitarnya dengan mengikuti TTI River Cruise?
Anda akan dibawa menyelusuri Sungai Terengganu untuk melihat pemandangan rumah atas air, kawasan perkampungan nelayan, keindahan Masjid Kristal dan juga tempat pembuatan bot dengan lokasi-lokasi laluan seperti Pulau Sekati, Pulau Haji Siah, Pulau Api dan banyak lagi.
Sungguh banyak pemandangan yang mustahil dapat anda saksikan sekiranya tidak meluangkan masa untuk berlayar bersama TTI River Cruise.
Alamat:Dewasa RM22.80 | Kanak-Kanak (7 – 12 Tahun) RM16.80 | Kanak-Kanak (6 Tahun & Kebawah) Percuma
Waktu Operasi: Isnin, Rabu & Khamis (10.00 am – 6.00 pm) | Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (9.00 am – 6.00 pm) | Jumaat (Rehat Sebentar 11.30 am – 2.30 pm) | Selasa Kecuali Cuti Sekolah (Tutup)
Bayaran: Dewasa
30. Masjid Abidin (Masjid Putih)
Terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu, siapa pun tak akan terlepas pandang bangunan Masjid Abidin ataupun Masjid Putih ini. Bangunan ini dikatakan sebagai binaan masjid yang tertua di Terengganu.
Dibina pada tahun 1793 oleh Sultan Zainal Abidin II, masjid ini pada asalnya didirikan dengan menggunakan kayu sebelum diubahsuai dengan batu yang lebih kukuh pada tahun 1852.
Alamat: Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
29. Air Terjun Chemerong
Kalau ke Terengganu tapi tak melawat tarikan yang telah memecah rekod, memang rugi. Salah satu tempat menarik di Terengganu yang tiada tandingan dengan kawasan air terjun lain ini adalah Air Terjun Chemerong. Air terjun ini dikatakan sebagai air terjun yang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian mencecah 400 meter!
Untuk menuju ke sini, anda perlu mendaki dari tempat meletak kereta dalam hampir 1 jam dengan menempuhi laluan yang agak berlumpur dan curam. Sebaiknya, dapatkan pemandu arah untuk sampai ke destinasi tanpa sebarang masalah.
Setibanya di kawasan air terjun, anda boleh berehat menikmati udara sejuk sambil berkelah atau berendam badan di dalam air yang sungguh menyegarkan.
Alamat: Hutan Simpan Pasir Raja, 23000, Dungun, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 am – 6.00 pm | Musim Tengkujuh Nov – Feb (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak (5 – 12 Tahun) RM1
28. Santuari Kelah Sungai Petang
Untuk menuju ke sini, anda perlu menaiki bot selama sekitar 30 ke 40 minit dari Pengkalan Gawi. Sejurus tiba, anda perlu berjalan kaki dalam sekitar 40 minit untuk merentas hutan menuju ke Santuari Kelah Sungai Petang.
Setibanya di santuari ini,anda boleh menyaksikan pameran di ruangan galeri, melihat akuarium, melawati pusat pembenihan ikan dan juga melihat tempat penyelidikan ikan kelah.
Caj yang dikenakan untuk ke Santuari Kelah Sungai Petang ini adalah termasuk harga tiket masuk, bot pertukaran dari Kompleks Santuari ke Hentian 1 di Sungai Petang dan juga barangan lain seperti cenderahati dan snek. Sangat berbaloi.
Alamat: Santuari Kelah Sungai Petang, Sungai Petang, Kenyir
Waktu Operasi: 9.00 am – 12.00 pm
Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-Kanak RM15
27. Pusat Santuari Penyu Rantau Abang
Rantau Abang sebenarnya pernah terkenal di seluruh dunia sebagai lokasi pendaratan penyu dari jenis leatherback. Namun begitu, sepertimana kebanyakan spesies haiwan yang lain, spesies ini kian diancam kepupusan sehinggakan kehadirannya semakin jarang dilihat.
Atas sebab ini, Pusat Santuari Penyu Rantau Abang ditubuhkan untuk memelihara penyu spesies ini dan beberapa lagi spesies lain seperti hawksbill dan green back.
Bagi para pengunjung, anda dapat melihat pelbagai spesies penyu dengan lebih dekat dan berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti melepaskan anak penyu ke dalam laut sekiranya bernasib baik.
Alamat: Rantau Abang, Terengganu, Kampung Rantau Abang, 23050, Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi: Ahad – Rabu (8.00 am – 5.00 pm) | Khamis (8.00 am – 4.00 pm) | Jumaat, Sabtu, Cuti Am (Tutup)
Bayaran Masuk: Percuma
26. Chinatown
Terletak di sepanjang Jalan Bandar yang dulunya dikenali sebagai Jalan Kampung Cina, Chinatown adalah sebuah bandar kecil namun kemeriahannya tidak ubah seperti di bandar besar lain. Setiap pelusuk bandar ini meriah dengan warna-warni dan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus.
Yang menariknya, di sebalik rumah-rumah kedai klasik yang persis di bandaraya Melaka ini, turut terdapat street art pada dinding-dinding yang menambahkan lagi keceriaannya. Seni lukisan yang dapat dilihat di sekitar Chinatown ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Lorong Penyu, Lorong Kenangan, Lorong Warisan Dunia dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Bandar, Kuala Terengganu 20100
25. Muzium Negeri Terengganu
Muzium yang direka dengan gaya seni bina rumah tradisional Terengganu ini, Muzium Negeri Terengganu adalah muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Bayangkanlah betapa banyaknya pameran yang dapat dilihat di sini menjadikan ianya wajib untuk dilawati oleh para pencinta sejarah.
Sebagai info, muzium ini terbahagi kepada 5 bahagian berbeza iaitu Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, taman herba, taman botani dan 4 buah rumah tradisional.
Alamat: Bukit Losong, 20566 Darul Iman, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (Tutup) | Hari Kelepasan Am (9.00 am – 5.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak (7 – 15 Tahun) RM2 | Kanak-Kanak (Bawah 7 Tahun) Percuma
24. Masjid Terapung
Negeri Terengganu sungguh kaya dengan binaan antara masjid yang terindah di Malaysia dan salah satunya adalah Masjid Terapung. Masjid yang kelihatan seperti terapung di atas air ini dibina dengan gabungan gaya seni bina tempatan dan Islamik.
Masjid yang terletak hanyalah 4 km dari bandar Kuala Terengganu ini memiliki keluasan sehingga 1,372 meter persegi dengan kemampuan untuk menampung sehingga seribu orang jemaah pada satu-satu masa.
Antara kemudahan yang disediakan di masjid ini adalah perpustakaan kecil, bilik diraja, pejabat imam, stor, tempat mengambil wuduk dan tempat meletak kereta dengan kapasiti sehingga 400 buah kenderaan.
Alamat: Masjid Tengku Tengah Zaharah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
23. Zoo Kemaman
Ingin memberikan anak-anak memori yang menyeronokkan mereka? Bawalah mereka ke Zoo Kemaman. Dengan bayaran masuk yang teramatlah murah anda dapat menyaksikan banyak spesies haiwan yang didatangkan bukan sahaja dari negara Malaysia tapi juga dari luar negara.
Antara haiwan liar yang dapat anda lihat dengan dekat di sini adalah tapir, kucing hutan, harimau, gajah, orang utan, buaya dan banyak lagi. Masa yang diambil untuk selesai melihat keseluruhan zoo ini adalah dalam sekitar 1 jam setengah.
Ingin menghilangkan rasa lapar atau dahaga? Anda boleh singgah ke sebuah kedai yang disediakan untuk membeli minuman dan snek.
Alamat: Majlis Perbandaran Kemaman, Kampung Tabuan, 24000 Kemaman, Terengganu
Waktu Operasi: 09.00AM – 05:00PM
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak (5 – 12 Tahun) RM7 | Kanak-Kanak (4 Tahun & Kebawah) Percuma
22. La Hot Spring
La Hot Spring adalah sebuah tarikan kolam air panas yang lengkap dengan kemudahan kolam buatan ala spa yang penuh dengan privasi menjadikan ianya selesa untuk digunakan para wanita.
Selain dapat berendam badan, air panas ini juga dikatakan memiliki kandungan sulfur semula jadi yang baik untuk kesihatan serta mengekalkan kesegaran badan.
Untuk pengetahuan anda, La Hot Spring turut lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti surau, tempat meletak kereta, rumah rehat, restoran, tandas dan gerai jualan makanan.
Lokasinya, hanyalah dalam sekitar 27 km dari Bandar Jertih.
Selepas puas menyerap kebaikan yang ditawarkan air kolam ini, barulah syok nak berjalan-jalan makan angin di tempat lain pula kan?
Alamat: Taman Rekreasi Air Panas La Hot Spring, 22010 Jerteh, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 am – 6.00 pm
Bayaran:
- Masuk: Percuma
- Chalet: Dari RM70 Semalaman
- Camping: Dari RM10 Semalaman
21. Air Terjun Lata Belatan
Tercari-cari lokasi tarikan alam semula jadi yang sesuai untuk anda datang bersama keluarga? Datanglah ke Air Terjun Lata Belatan. Anda sekeluarga boleh bermandi-manda di sini tanpa risau memandangkan airnya tidak begitu dalam atau berbatuan. Aliran airnya juga tidak deras.
Yang menambahkan keseronokan bermandian di sini adalah kerana air sungainya yang agak luas serta keadaan air yang begitu jernih. Bukan itu sahaja, air terjun ini juga lengkap dengan fasiliti yang dapat memaksimakan keseronokan anda sekeluarga di sini iaitu gelongsor-gelongsor air.
Macam mana? Semua kriteria air terjun yang best ada pada Air Terjun Lata Belatan ni. Singgah jangan tak singgah ya?
Alamat: Kampung Jabi, Besut, 22200, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 6.00 pm) | Musim Tengkujuh Nov – Feb (Tutup)
Bayaran Masuk: Berkhemah RM2 | Daki Gunung RM5
Lihat Panduan Tempat Menarik Berhampiran Terengganu
- 43 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu | Bandaraya Warisan Pesisir Air
- 12 Pulau Di Terengganu Untuk Percutian Pulau Yang Luarbiasa
- 14 Tempat Menarik Di Pulau Perhentian | Panduan Bercuti Ke Syurga Laut Biru
20. Pulau Redang
Pulau Redang adalah sebuah destinasi yang paling terkenal di Terengganu. Mana tidaknya, di sini anda akan dihidangkan dengan keindahan perairan jernih yang kaya dengan terumbu karang yang dikatakan mencecah sehingga 500 jenis!
Pulau ini juga turut menawarkan banyak tempat penginapan yang menarik bukan sahaja untuk keluarga tapi juga bagi anda yang datang untuk berbulan madu.
Untuk ke sini, masa yang diambil dengan menggunakan bot yang disediakan di Jeti Shahbandar dengan perjalanan yang memakan masa sekitar 1 jam setengah. Sekiranya anda bertolak dari Jeti Marang pula hanyalah dalam 45 minit.
Alamat: Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu
19. Bukit Besar
Kalau ke Kuala Terengganu, anda pasti tak akan terlepas pandang tulisan besar pada kedudukan di atas bukit yang tinggi ini iaitu perkataan ‘Allah Peliharakanlah Terengganu.’ Kalau anda nak tahu, tulisan ini terletak di Bukit Besar dan anda boleh menuju ke arah kawasan di mana tulisan ini didirikan.
Dari kedudukan di atas Bukit Besar ini juga anda boleh menyaksikan pemandangan yang luas sekitar Terengganu sehingga menjangkau ke kawasan tarikan-tarikan lain seperti Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan Sungai Terengganu.
Alamat: Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu
18. Tasik Puteri Bukit Besi
Tasik Puteri Bukit Besi adalah destinasi pilihan ramai untuk berekreasi atau mengadakan fotografi outdoor.
Berkeluasan sehingga 131 hektar, tasik ini turut memiliki trek untuk aktiviti ATV dengan pelbagai cabaran laluan berbeza bagi anda yang ingin menguji kebolehan mengawal kenderaan ini.
Lokasinya? Cukup mudah diakses sekiranya anda melalui jalan utama.
Alamat: Tasik Puteri Bukit Besi, 23200 Bukit Besi, Terengganu
17. Pusat Sains & Kreativiti Terengganu
Kalau Muzium Negeri Terengganu adalah muzium yang terbesar di Asia Tenggara, Pusat Sains Kreativiti Terengganu pula mendapat tempat di dalam The Malaysian Book of Records sebagai bangunan yang memiliki lukisan mural yang terbanyak di Malaysia.
Selain lukisan muralnya, Pusat Sains Kreativiti Terengganu turut padat dengan pelbagai info saintifik yang dapat membuka minda anak-anak sambil berseronok. Antara ruangan galeri yang terdapat di sini adalah Natural Disaster, Funovation, Energy World, Spark Youth Creativity dan banyak lagi. Yang menariknya lagi, pameran-pameran ini juga cukup interaktif dan penuh dengan warna-warni.
Lokasinya adalah di Kampung Laut, Chendering dan hanyalah 15 minit pemanduan dari Bandar Kuala Terengganu.
Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Sabtu – Rabu (9.00 am – 5.00 pm) | Khamis (9.00 am – 4.00 pm) | Jumaat (Tutup)
Bayaran Masuk: Dari RM3
16. Air Terjun Sekayu
Air Terjun Sekayu adalah sebuah air terjun bertingkat yang terletak di dalam Hutan Lipur Sekayu dengan air yang sangat jernih. Kawasan air terjun ini sering menjadi pilihan ramai untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil berkelah, berkhemah, atau mengadakan kem-kem motivasi.
Selain ini semua, anda juga boleh memilih untuk menginap di chalet-chalet yang disediakan untuk meluangkan lebih banyak masa di dalam dunia penuh kehijauan dan kesegaran ini.
Bayangkanlah, dapat menikmati bunyi unggas dan aliran sungai sebelum tidur dan sebaik terjaga, satu pengalaman yang sungguh mendamaikan.
Alamat: Hutan Lipur Sekayu, 21700 Kuala Berang, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 am – 6.00 pm
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
15. Masjid Kristal
Melihat daripada binaannya jelas terpancar nilaian masjid indah ini yang mencecah sehingga jutaan ringgit. Dibina dengan hanya menggunakan besi, kaca dan kristal, Masjid Kristal ini memiliki keunikannya yang tersendiri sehingga digelar sebagai salah sebuah masjid yang terindah di Terengganu.
Seri keindahannya masjid ini disempurnakan lagi dengan kedudukannya yang terletak bersebelahan Sungai Terengganu.
Sekiranya anda ingin menyaksikan keindahan sebenar masjid ini, waktu yang terbaik adalah setelah terbenamnya matahari ketika mana ianya dilimpahi cahaya warna-warni yang dapat memukau pandangan.
Alamat: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
14. Pantai Teluk Ketapang
Hilangkan segala beban di fikiran dengan menyaksikan keindahan yang terbentang di depan mata sewaktu berkunjung ke Pantai Teluk Ketapang.
Sambil menikmati keindahanya anda boleh melakukan banyak aktiviti bersama keluarga seperti bermain layang-layang, berkelah atau mencuba masakan panas seperti ikan celup tepung yang turut dijual di sini.
Alamat: Pantai Teluk Ketapang, 21300, Terengganu
13. Lata Tembakah
Terletak di dalam daerah Besut, Lata Tembakah adalah tarikan air terjun 7 tingkat dengan air yang segar dan sangat sejuk.
Antara kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung adalah tempat meletak kereta, chalet, jambatan gantung dan juga tapak perkhemahan.
Untuk menuju ke kawasan air terjun ini, masa yang diambil adalah dalam 30 minit dari bandar Jerteh. Untuk menuju ke kawasan air terjun yang tertinggi pula, anda perlu meredah hutan dalam sekitar 1 jam.
Alamat: Hutan Lipur Lata Tembakah, 22010, Besut, Terengganu
Waktu Operasi: 8.00 am – 5.00 pm | Musim Tengkujuh Nov – Feb (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
12. Pantai Bukit Kluang
Pantai Bukit Kluang adalah sebuah kawasan pantai indah yang yang turut memiliki guanya sendiri. Di bawah gua ini anda boleh berkelah untuk menikmati udara segar tanpa merasai panahan cahaya mentari.
Kalau anda nak tahu, berdasarkan cerita orang lama, gua ini pada suatu ketika dulu pernah menjadi tempat persembunyian lanun. Tapi jangan risau, gua ini kini dikuasai oleh pengunjung yang datang untuk menikmati ketenangan pantai.
Dah puas berehat, anda boleh singgah ke mana-mana gerai jualan untuk membeli snek atau minuman yang dijual.
Untuk menuju ke sini, anda boleh menggunakan Jalan Utama Terengganu – Kelantan dengan masa sekitar 10 minit. Kedudukannya juga tidak jauh dari tarikan lain iaitu Pantai Air Tawar yang hanyalah 4 ke 5 km dari sini.
Alamat: Pantai Bukit Keluarng, 22200, Kuala Besut, Terengganu
11. Kompleks Kraft Noor Arfa
Nak menambahkan koleksi batik di rumah? Singgahlah ke Kompleks Kraft Noor Arfa. Pelbagai barangan batik boleh anda temui di sini seperti batik sutera, batik terap, batik sarung, batik cop dan banyak lagi.
Di samping membeli-belah, anda juga boleh melihat sudut infografik untuk mempelajari banyak perkara baru berkaitan khazanah warisan negara ini.
Yang bestnya, anda turut boleh mencuba aktiviti mewarnakan batik sendiri. Kalau anak-anak masih terlalu kecil untuk menikmati semua ni, anda boleh membawa mereka ke petting zoo yang disediakan.
Alamat: Lot 4153, Kawasan Perindustrian Chendering, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm
10. Kota Putra Paragliding Park
Bosan dengan aktiviti santai? Apa kata kalau anda menguji keberanian dan stamina diri di Kota Putra Paragliding & Extreme Park?
Terletak di dalam lokasi yang menarik dikelilingi oleh lautan, hutan dan bukit-bukau, anda dapat beraktiviti sambil mengenyangkan pandangan mata dengan keindahan serta menghirup udara yang sangat menyegarkan dada.
Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah seperti jetski, surfing, memanah, rock climbing, paragliding, mendaki bukit, kite surfing dan banyak lagi sukan ekstrem yang lain.
Alamat: Bubus Hill, Dendong Beach, Unisza Road, Kampung Raja, Terengganu, 22020, Terengganu
9. Bazar Warisan
Hanyalah beberapa tapak dari Pasar Payang terletaknya sebuah bangunan dengan reka bentuk rumah tradisional Terengganu iaitu Bazar Warisan yang menjadi lokasi berjual-beli bermacam barangan kraftangan dan tradisional Terengganu seperti sutera, batik, tembaga dan songket.
Sekiranya anda menuju ke tingkat 3 bangunan ini, anda dapat menyaksikan pemandangan mempesonakan sehingga ke muara Sungai Terengganu.
Alamat: Bazar Warisan, Jalan Sultan Zainal Abidin
8. Bukit Kluang
Tanpa perlu mengeluarkan sebarang belanja anda dapat menyaksikan antara pemandangan yang terindah di Terengganu dari puncak Bukit Kluang.
Untuk menuju ke puncaknya, anda hanya perlu mendaki dalam sekitar 100 ke 140 meter dalam masa sekitar 10 ke 15 minit, bergantung kepada stamina masing-masing.
Setibanya anda di puncak Bukit Kluang, anda akan dapat melihat pemandangan menghadap Laut China Selatan yang sungguh memukau jiwa sehingga menampakkan pulau yang berada di sekitar perairan ini seperti Pulau Perhentian dan Pulau Ru.
Kalau anda nak tahu, bukit ini juga sebenarnya terletak bersebelahan dengan Pantai Bukit Kluang, jadi jangan lupa untuk sediakan pakaian untuk bermandi-manda sekali.
Alamat: Bukit Kluang, 22200, Kampung Raja, Besut, Terengganu
7. Pantai Pandak
Hanyalah 10 minit dari bandar Kuala Terengganu, Pantai Pandak atau nama lainnya Pantai Chendering, menawarkan pemandangan matahari terbit yang sangat memukau pandangan mata.
Untuk tujuan bergambar, waktu yang terbaik adalah selepas terbit mentari ketika mana pencahayaan di sekitar pantai ini menjadi agak menarik.
Namun begitu, pantai ini tidak begitu sesuai untuk dijadikan lokasi bermandi-manda memandangkan pusaran airnya yang agak kuat.
Alamat: Pantai Pandak, 21080 Kuala Terengganu
6. Gunung Berembun
Gunung Berembun yang terletak di Dungun ini adalah sebuah gunung yang berketinggian sehingga 3400 kaki. Walau dengan ketinggian yang mengambil masa sehingga 6 ke 10 jam untuk sampai ke puncak, ia tetap menjadi idaman hati ramai kaki hikers kerana air sungai yang ada di sini.
Sungainya dikatakan sangat jernih bak kristal tidak ubah seperti perairan di sekitar pulau. Untuk ke kawasan aliran air ini, anda perlu mendaki dalam sekitar 1 ke 2 jam untuk ke Air Terjun Lata Langsir atau Sungai Bangang.
Alamat: Gunung Berembun, Dungun, Terengganu
5. Pantai Tanjung Jara
Pantai Tanjung Jara menawarkan lanskap yang sungguh mengujakan dimana pasirnya berwarna kuning keemasan dan halus dipijak telapak kaki. Tahap kebersihan sekitar pantai ini juga cukup memuaskan hati tak ubah seperti bercuti di kawasan pulau.
Pantai yang sangat lapang ini turut padat dengan banyak aktiviti menarik untuk dilakukan seperti berkayak, menaiki bot, wind surfing dan banyak lagi.
Sekiranya anda datang bercuti antara bulan Mei ke Ogos, berkemungkinan anda dapat melihat penyu yang datang untuk bertelur di persisiran pantai.
Alamat: Batu 8, Off Jalan Dungun, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
4. Mencandat Sotong
Mencandat sotong adalah antara aktiviti yang agak terkenal di Terengganu. Musim mencandat kebiasaannya adalah dalam sekitar bulan April, Mei, Jun, Julai, Ogos dan September.
Namun waktu yang paling sesuai adalah antara Mac hingga Julai setiap tahun ketika angin musim tengkujuh kian reda. Aktiviti mencandat pada waktu ini adalah antara yang paling best sebab sotong-sotong di sekitar perairan pulau seperti Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Kapas umpama berpesta dalam satu kawasan yang sama.
Alamat: Jeti LKIM Marang, Arked Jeti Pelancongan, 21600 Marang, Terengganu
Waktu Operasi: April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September
Bayaran: Bergantung Kepada Operator & Pakej Dipilih
3. Pulau Duyong
Pulau Duyong adalah sebuah pulau klasik yang terletak di muara Sungai Terengganu. Kalau anda nak tahu, dulunya pulau ini terbahagi kepada 2 iaitu Pulau Duyong Kecil dan Pulau Duyong Besar, namun proses pemendapan telah menggabungkan keduanya sebagai sebuah pulau.
Kenapa pulau ini dianggap sebagai pulau klasik? Kerana di sini anda dapat menyaksikan masyarakat kampung yang masih mengusahakan pembuatan kapal. Satu industri yang kian lupus kerana teknologi yang semakin moden.
Di samping itu, di sini juga sering diadakan pertandingan bermain layang-layang pada waktu petang. Jangan lepaskan peluang untuk melihat kemeriahan suasananya ya?
Alamat: Pulau Duyong, Kuala Terengganu 21300
2. Pulau Gemia
Pulau Gemia hanyalah 800 meter dari Pulau Kapas dan hanyalah 5 km dari tanah Semenanjung. Untuk menuju ke pulau ini, anda boleh menaiki bot laju yang disediakan di Marang dengan masa hanya sekitar 15 minit.
Perairan di sekitar pulau ini dihiasi dengan terumbu karang bersesuaian dengan panggilan lain baginya iaitu ‘Coral Island.’ Kalau anda bernasib baik, anda dapat menyaksikan sendiri kedatangan penyu-penyu yang ingin bertelur di persisiran pantai.
Alamat: Pulau Gemia, Marang
1. Pulau Perhentian
Tahukah anda yang sebenarnya Pulau Perhentian terdiri daripada 2 buah pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil? Tak kisahlah yang mana pun pilihan anda, kedua-duanya memiliki daya tarikan masing-masing sehinggakan pernah disenaraikan sebagai salah sebuah destinasi yang terindah di dunia oleh CNN.
Sebagai info sebelum anda ke sini, Pulau Perhentian Besar menawarkan suasana yang lebih privasi. Manakala Pulau Perhentian Kecil pula lebih meriah terutama sekali di bahagian Pantai Panjang yang sentiasa aktif dengan bermacam jenis aktiviti. Di samping itu, Pulau Perhentian Kecil juga menawarkan banyak penginapan bajet bagi anda yang ingin berjimat.
Alamat: Pulau Perhentian, Terengganu
Begitu banyak tempat menarik di Terengganu bukan? Di sini anda dapat menenangkan fikiran dengan melawati pulau tropika yang tak terkira keindahannya, anda juga dapat memacu adrenalin dengan melakukan banyak aktiviti outdoor yang ditawarkan, memuaskan lidah dengan aneka masakan tradisional dan macam-macam lagi! Terengganu sememangnya sebuah negeri yang cukup sempurna pakejnya.
Merancang Percutian Ke Terengganu? Lihat Panduan kami untuk memudahkan anda memilih penginapan sesuai semasa berada di sana nanti:
- 24 Hotel Murah Di Kuala Terengganu Yang Selesa Untuk Bajet Traveller
- 30 Homestay Di Kuala Terengganu Untuk Percutian Keluarga Istimewa
Tapi sebelum ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com terlebih dahulu untuk melihat bermacam tawaran pilihan penginapan yang menarik di Terengganu dalam harga berpatutan.
Selamat bercuti ke Terengganu!